Tuesday 31 January 2017

RAHSIA ASMA' BINTI ABU BAKAR






RAHSIA ASMA' BINTI ABU BAKAR








"Engkau digelar Dzatin-Nithaqain
Rela berkorban demi ayah tercinta
Biar ditampar, biar dihina
Rahsia tetap menjadi rahsia
Redha Allah sentiasa bersamamu
Wahai Asma' Abu Bakar..."




Asma' binti Abu Bakar As-Shiddiq berasal dari keluarga Muslim yang terhormat. Ayahnya, Abu Bakar adalah sahabat karib Rasulullah dan menjadi khalifah pertama selepas kewafatan Nabi. Asma' dilahirkan 27 tahun sebelum hijrah dan wafat pada tahun 73 selepas hijrah. Hayatnya genap satu abad. Asma' menyaksikan detik-detik awal kedatangan Islam sehingga kewafatan Rasulullah.

     Asma' mula terkenal dalam sejarah Islam dengan gelaran Dzatin-Nithaqain yang bermaksud, "Yang Mempunyai Dua Belahan Tali Pinggang'. Pada malam Rasulullah membuat keputusan berhijrah ke Madinah, baginda telah pergi ke rumah Abu Bakar untuk memberitahunya agar bersedia. Perkara yang cukup rahsia ini hanya diketahui oleh beberapa orang sahaja termasuk Asma'.

     Malangnya kaum Quraisy di Mekah telah menjangkakannya. Mereka memanggil ahli keluarga terbesar mereka untuk membincangkan soal ini. Abu Jahal telah mencadangkan, setiap kabilah mewakilkan seorang pemuda dan mereka akan sama-sama membunuh Rasulullah dengan satu tikaman setiap seorang sehingga mati. Namun rancangan itu digagalkan oleh Allah. Meskipun mereka mengepung rumah baginda, Allah telah mendatangkan angin dingin yang menyebabkan mereka tertidur. Rasulullah keluar dari rumah itu tanpa sedikit pun disedari oleh pemuda-pemuda Quraisy itu.

     Rasulullah dan Abu Bakar berjaya keluar dari Mekah dan menuju ke Gunung Tsur. Mereka pun masuk ke gua itu untuk berlindung selama beberapa hari. Keesokan harinya, kaum Quraisy mendapat tahu Rasulullah berjaya membebaskan diri dari kepungan mereka. Mereka pun mengarah satu pasukan bertindak untuk menjejaki Rasulullah dan menangkapnya. Pasukan bertindak itu akhirnya dapat menjejaki baginda di gua itu. Namun Allah mendatangkan labah-labah untuk membuat sarangnya di situ dan seekor burung merpati untuk bertelur di sarang labah-labah itu.

     Mereka memerhatikan jaringan labah-labah itu dengan musykil. Mustahil seseorang memasuki gua itu tanpa merosakkan jaringan labah-labah itu. Lalu mereka pun berangkat meninggalkan tempat itu. Begitulah kehendak Allah. Rasulullah dan Abu Bakar telah mendapat perlindungan Allah.

     Petang itu, Asma' telah pergi ke tempat persembunyian itu dengan membawa makanan dan minuman. Pada hari ketiga, Asma' pergi ke sana sekali lagi dengan membawa Abdullah bin Uraiqith Al-Bakri sebagai penunjuk jalan kepada Rasulullah dan Abu Bakar. Mereka bertiga pun memulakan perjalanan ke Madinah. Asma' ketika itu tidak mempunyai apa-apa untuk mengikat makanan itu pada unta mereka. Lalu beliau pun membuka tali pinggangnya dan mengoyakkannya kepada dua bahagian. Satu bahagian diikat pada unta dan satu bahagian lagi dijadikan tali pinggangnya. Sejak itu Asma' digelar Dzatin-Nithaqain iaitu 'yang mempunyai dua tali pinggang'.

     Rasulullah dan Abu Bakar meninggalkan gua itu bagi meneruskan perjalan ke Madinah dengan dipandu oleh Abdullah bin Uraiqith Al-Bakri. Asma' pula pulang ke rumahnya. Namun di pertengahan jalan, kaum Quraisy telah menunggu dan mengekorinya dari belakang. Mereka bertanya Asma' di manakah ayahnya. Asma' menjawab pendek, "Aku tak tahu." Selepas beberapa kali mendengar jawapan yang sama dari Asma', Abu Jahal hilang sabar. Beliau menampar Asma' dengan kuat sehingga tercabut anting-antingnya. Asma' masih merasa sakit akibat tamparan itu selama beberapa hari dan tidak melupakan peristiwa itu buat selamanya.

     Asma' adalah antara kumpulan terakhir yang berhijrah ke Madinah. Sewaktu penghijrahan itu, Asma' sedang berbadan dua. Namun beliau tidak sedikit pun menghiraukan keadaannya yang sedang mengandung itu. Sebaik saja kaum Muslimin sampai di Quba tidak jauh dari Madinah, Asma' pun melahirkan anaknya, Abdullah. Kaum Muslimin menyambut kelahiran bayi itu dengan laungan takbir dan tahlil bagi melahirkan kesyukuran di atas anak yang pertama dari kaum Muhajirin yang lahir di Madinah.

     Asma' juga sungguh berbakat. Beliau boleh bersyair dan bersastera. Ilmu tatabahasanya juga sangat mendalam Arab. Di samping itu, Asma' juga seorang yang pemurah hati, bijak dan berani. Kemuliaan hatinya pernah diceritakan oleh anaknya, Abdullah. Abdullah berkata, beliau tidak pernah melihat dua wanita yang lebih murah hati mereka dari ibu saudaranya, Aisyah dan ibunya, Asma'. Tetapi kemurahan hati mereka ini berbeza caranya antara satu sama lain. Aisyah suka mengumpulkan dulu barang-barang yang hendak diinfaqkan sedangkan Asma' tidak suka menunggu esok hari untuk menginfaqkan sesuatu.

     Kebijaksanaan dan keberanian Asma' terserlah apabila pada satu hari datuknya, Abu Quhafah, seorang musyrikin datang ketika ayahnya telah berhijrah ke Madinah bersama Rasulullah. Datuknya yang buta itu mempersendakan Asma'. Katanya, Abu Bakar pergi tanpa meninggalkan apa-apa untuk Asma'. Asma' segera mengumpulkan batu-batuk kerikil. meletakkannya ke dalam relung kecil di dinding dan meletakkan sehelai kain di atasnya. Kemudian beliau meletakkan tangan datuknya di dalam relung itu lalu berkata, "Lihatlah betapa banyaknya wang yang ditinggalkan oleh ayah buat kita." Asma' melakukannya kerana tidak mahu dibantu oleh datuknya. Beliau tidak mahu menerima apa-apa bantuan pun dari kaum musyrikin walau dari datuknya sendiri.

     Pendirian yang sama ditunjukan kepada ibunya, Qutaylah yang juga seorang musyrikin. Qutaylah bercerai dengan Abu Bakar sebelum kedatangan Islam. Semasa di Madinah, ibunya membawa pelbagai hadiah untuk Asma'. Namun, Asma' enggan membenarkan ibunya masuk atau menerima hadiah itu. Beliau mengutuskan seseorang ke rumah Aisyah dan bertanya kepada Rasulullah akan hal ini. Rasulullah pun menasihatinya untuk membenarkan ibunya masuk ke rumah dan menerima hadiah-hadiah itu. Ini kerana Allah berfirman:

     "Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan adil terhadap orang-
     orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak (pula)  
     mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai
     orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanya
     melarang kamu menjadikan sebagai kawan, orang-orang yang
     memerangi kamu kerana agama, mengusir kamu dari negerimu
     dan membantu (orang lain) mengusirmu. Dan sesiapa menjadikan
     mereka sebagai kawan, mereka adalah orang-orang yang zalim."
     (Al Mumtahanah: 8-9)

Kehidupan Asma' dan kaum Muslimin di Madinah amat susah. Suaminya, Zubair bin Al-Awwan seorang yang miskin. Beliau hanya mempunyai seekor kuda untuk membajak tanah dan menanam bijirin. Namun, berkat ketabahan dan kesabaran mereka, akhirnya mereka menjadi orang yang paling kaya di antara semua sahabat. Meskipun begitu, kekayaan dan kemewahan tidak pernah mengaburi mata dan menjejaskan pendiriannya terhadap nilai-nilai murni. Pernah suatu ketika anaknya, Al-Munzir menghadiahkannya sehelai baju dari kain yang mahal. Asma' menolaknya sambil berkata, ia terlalu menjolok mata.

     Ada satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan mengenai Asma' iaitu peristiwa pertemuan terakhir antara Asma' dan anaknya, Abdullah di awal kedatangan Islam. Dalam pertemuan itu, Asma' telah menunjukkan kebijaksanaa, ketaqwaan dan keimanan yang tidak berbelah bahagi terhadap agamanya. Selepas Yazid bin Muawiyyah wafat, Abdullah cuba merebut gelaran khalifah. Ramai yang menyokong dan mengiktiraf Abdullah sebagai khalifah. Namun Bani Umaiyyah di bawah pimpinan Al-Hajjah bin Yusuf ath-Thaqafi menolaknya. Mereka melancarkan perang ke atas Abdullah dan penyokong-penyokongnya. Ramai penyokongnya yang tidak dapat bertahan dan menarik diri. Mereka meninggalkan Abdullah bersama pengikut-pengikut yang sedikit bilangannya.

     Abdullah pun pergi menemui Asma' yang ketika itu sudah berusia 100 tahun dan buta. Beliau mengadu mengenai semua penyokong kuatnya telah meninggalkan dirinya kerana takutkan serangan Al-Hajjaj. Hanya sebilangan saja yang masih bertahan dan mereka juga tidak akan dapat bertahan lama. Mendengar aduan itu, Asma' berkata, "Kalau kamu pasti berada di atas kebenaran dan kepada kebenaran kamu menyeru mereka, teruskanlah! Kebenaran berada di pihak sahabat-sahabatmu yang gugur. Jangan biarkan Bani Umayyah mempermain-mainkan kamu. Tetapi, jika dunia yang kamu kehendaki, kamu adalah seburuk-buruk makhluk! Kamu membinasakan diri kamu dan mereka yang bersama kamu. Jika kamu menghadapi kesulitan di atas kebenaran, apakah kamu akan menjadi lemah? Demi Allah, ini bukan sikap golongan yang merdeka dan ahli agama. Berapa lama kamu akan tinggal di dunia ini? Mata adalah lebih baik!"

     Selepas mendengar kata-kata ibunya itu, Abdullah menjadi lebih bersemangat. Beliau mencium kepada ibunya sambil berkata, "Aku datang untuk mendengar pendapatmu. Allah tahu apa yang aku dengar membuatkan aku lebih kuat dan teguh. Beliau menyaksikan keteguhanku bukan kerana cintaku terhadap dunia, tetapi kemarahanku terhadap penderhakaan kepada Allah. Mulai hari ini, anggaplah aku telah mati, wahai ibuku dan janganlah bersedih. Serahkan segalanya kepada Allah!"

     Asma' membenarkan kata-kata Abdullah itu dan memberi semangat kepadanya. Ketika beliau memegang Abdullah, beliau terasa sesuatu yang keras dan bertanya apakah yang dipakainya? Abdullah menjawab, itu adalah baju perisai. Asma' pun memerintahkan supaya Abdullah membuka saja baju itu kerana seseorang yang ingin mati syahid tidak memerlukan sesuatu untuk melindungi dirinya. Abdullah pun membukanya dan mengucapkan selamat tinggal kepada ibunya. Itulah kali terakhir Asma' bertemu anaknya kerana selepas itu Abdullah tidak putus-putus berjuang sehingga ke titisan darahnya yang terakhir.

     Tidak lama selepas kewafatan Abdullah, Asma' pula menyusul. Asma' meninggal ketika usianya 100 tahun. Namun usianya itu tidak sedikit pun menjejaskan ketajaman minda, kekuatan dan keteguhannya memperjuangkan Islam.




N / F : DARIPADA "RIWAYAT BIDADARI SYURGA", OLEH MUNIF AHMAD.

No comments:

Post a Comment