Saturday 27 January 2018

PERANG KHANDAQ [ BAB 13 - RAHSIA TERBONGKAR ]






RAHSIA TERBONGKAR








"Kami sudah menemui sepuluh ketua kabilah Yahudi dan mereka semuanya bersetuju bergabung dengan kita bagi menyerang Madinah. Bagaimana pula dengan usaha kamu?" tanya Huyay yang datang ke Mekah menemui pemimpin Quraisy selepas berjaya menjalankan tugasnya.

     "Benarkah begitu? Kami seperti tidak percaya," tanya Abu Sufian dengan rasa takjub.

     "Kami tidak berbohong. Sekiranya masih tidak percaya tanyalah mereka," jawab Huyay dengan rasa bangga.

     "Bagaimana pula dengan usaha kamu? Sudah dimulakan ataupun belum?" tanya Hauzah pula yang turut datang ke Mekah bersama Huyay.

     "Maaf kerana kami masih belum memulakannya," jawab Abu Sufian yang kelihat malu-malu.

     "Sekiranya begitu kamu tidak perlu menyertai kami kerana dengan pasukan yang sudah sedia ada, kami yakin dapat mengalahkan Muhammad," kata Huyay dengan nada suara yang marah.

     "Jangan begitu wahai sahabatku. Kami sudah bersumpah di hadapan Kaabah bagi bersama kamu menyerang Madinah. Kerana itu jangan tinggalkan kami. Esok kami mulakan usaha memujuk kabilah Arab dan Badwi di sekitar kawasan Mekah," kata Abu Sufian bersungguh-sungguh.

     "Semua kabilah Quraisy kecuali Bani Hasyim dan Bani Abdul Manaf menyertai usaha kami ini. Kami yakin kami pasti berjaya memujuk mereka," kata Safwan pula.

     "Baiklah kami beri masa sebulan bagi kamu mengusahakannya. Sekiranya berjaya kita bersatu menyerang Madinah. Sekiranya usaha kamu tidak berjaya biarkan kami sahaja yang melakukannya," kata Huyay lalu memberi kata dua itu kepada Abu Sufian sebelum meninggalkan Mekah.

     Keesokan harinya Abu Sufian bin Harb, Ikramah bin Abu Jahal, Safwan bin Umaiyah, Suhail bin Amru, Al-Harith bin Hisyam dan Abdullah bin Abu Rabiah pergi ke perkampungan Bani Tihamah. Mereka memujuk Tahama, ketua Bani Tihamah bergabung dengan pasukan bersekutu.

     "Kami sudah membantu kamu dalam Perang Uhud. Tidak ada faedah yang kami dapat selain kematian dan kerugian kerana itu kami tidak mahu terlibat lagi," tegas Tahama yang menolak bagi bergabung dengan mereka.

     "Semua kabilah Yahudi dan Arab menyertai gabungan pasukan bersekutu ini. Sekiranya Bani Tihamah tidak mahu menyertainya kamu akan dipulaukan," ugut Abu Sufian pula. Dia menggunakan ugutan selepas pujukan secara lembut tidak berjaya.

     Mendengar ugutan akan dipulaukan oleh semua kabilah Arab dan Yahudi menyebabkan Tahama berasa takut.

     "Sekiranya kami mahu bergabung dengan kamu, apa yang kami dapat?" tanya Tahama.

     "Kamu akan dianggap seperti keluarga kami. Kita akan berurusan dalam perniagaan bagaikan satu keluarga. Kamu juga boleh tinggal di Mekah ataupun Madinah," jawab Abu Sufian dengan harapan Tahamah bersetuju.

     "Selepas berlaku Perang Badar dan Perang Uhud, saya ragu apakah kita mampu mengalahkan Muhammad? Tambahan pula sekarang kedudukan mereka semakin kuat selepas Bani Nadhir keluar dari Madinah," kata Tahamah pula.

     "Dalam Perang Badar jumlah kami cuma seribu orang. Dalam Perang Uhud jumlah kita tiga ribu orang. Kali ini pasukan bersekutu berjumlah sepuluh ribu orang. Kerana itu dengan mudah kita mengalahkan Muhammad," pujuk Safwan pula dan akhirnya Tahamah menyatakan persetujuannya.

     Kemudian mereka menemui Kanna ketua Bani Kinanah pula. Abu Sufian menggunakan ugutan bagi memaksa mereka menyertainya. Kerana takut dipulaukan kaum Arab dan Yahudi maka Bani Kinanah terpaksa bersetuju.

     Selepas berjaya memujuk Bani Kinanah dan Bani Tihamah, Abu Sufian menemui kaum Habsyi lalu memujuk mereka supaya menyertai pasukan bersekutu bagi menyerang Madinah.

     "Serangan kali ini pasti berjaya sekiranya semua orang Yahudi, Arab dan Habsyi bersatu," pujuk Safwan yang mempunyai hubungan baik dengan kaum Habsyi itu.

     "Apa yang kami dapat sekiranya menyertai pasukan bersekutu?" tanya Jabalia ketua orang Habsyi.

     "Kami akan mengganggap kamu setaraf dengan kami. Kamu bebas tinggal di mana sahaja, di Mekah ataupun Madinah," jawab Abu Sufian sambil memujuk ketua orang Habsyi itu.

     Akhirnya dengan kepandaian Abu Sufian dan Safwan maka Jabalia bersetuju menyertainya dengan janji menghantar tiga ribu orang tentera. Selepas itu mereka memujuk Bani Mustalig pula.

     "Kami menyokong rancangan bagi menyerang Madinah secara besar-besaran. Kerana itu Bani Mustalig sanggup membantu secara sukarela tanpa apa-apa bayaran," kata ketua Bani MUstaliq. Abu Sufian dan Safwan berasa sangat gembira.

     "Kita sudah berjaya memujuk Bani Kinanah, Bani Tihamah, Kaum Habsyi dan Bani Mustaliq menyertai pasukan bersekutu. Seterunya kita pujuk Bani Khuzaah pula," kata Abu Sufian dengan rasa senang hati kerana yakin usahanya mendapat sokongan semua kabilah Arab di sekitar Mekah.

     "Bani Khuzaah mempunyai hubungan yang baik dengan Muhammad. Ketua mereka Budail bin Warqa' sering pergi ke Madinah bertemu dengan Muhammad. Saya bimbang mereka tidak setuju," kata Safwan melahirkan keraguan hatinya.

     "Bani Fazarah juga mempunyai hubungan yang baik dengan Muhammad selepas mereka mengikat perjanjian. Uyainah akhirnya dapat dipujuk oleh Huyay dan Hauzah supaya berpaling tadah. Sekiranya mereka berjaya memujuk Uyainah, kita pasti berjaya memujuk Budail," kata Abu Sufian pula.

     "Benar kata kamu. Sekiranya kita gagal memujuk Budail, pasti kita ditertawakan Huyay dan Hauzah. Kerana itu mari kita pujuk Budail sehingga berjaya." Akhirnya Safwan akur dengan kehendak Abu Sufian.

     Mereka pergi ke perkampungan Bani Khuzaah yang terletak di sempadan antara Mekah dengan Madinah. Kedatangan mereka disambut dengan baik.

     "Apakah hajat kamu datang ke sini wahai pemimpin-pemimpin Quraisy yang terbilang?" tanya Budail dengan ramah. Walaupun dia tahu mereka memusuhi Nabi Muhammad namun tetamu yang datang perlu disambut dengan baik.

     "Kami datang bagi menjalin persahabatan. Semoga kamu gembira menerima kedatangan kami," jawab Abu Sufian.

     "Kami sanggup bersahabat dengan sesiapa sahaja asalkan bertujuan baik. Kami boleh menjadi sahabat yang baik dan boleh menjadi musuh yang paling kejam," kata Budail pula.

     "Apa pandangan kamu tentang Muhammad?" tanya Abu Sufian selepas agak lama mereka berbual.

     "Kamu sepatutnya lebih mengenali Muhammad daripada saya kerana dia dilahirkan di Mekah," jawab Budail.

     "Dia seorang yang tidak boleh dijadikan sahabat. Kata-katanya dusta. Tindakannya merugikan sesiapa yang berdampingan dengannya," kata Safwan pula.

     "Bukankah kamu gelar Muhammad itu Al-Amin? Seorang yang dipercayai kata-katanya? Seorang yang jujur dan amanah serta yang dipercayai bagi menyimpan harta." Budail memuji Nabi Muhammad.

     "Itu dahulu semasa dia berada di Mekah. Sekarang dia berada di Madinah. Apa pandangan kamu kepadanya," tanya Abu Sufian lagi.

     "Selepas diangkat menjadi pesuruh Allah, kelakuan Muhammad semakin terpuji. Dia berjaya mendidik pengikutnya menjadi manusia yang baik. Mereka tidak mencuri, tidak membuat kerosakan, tidak memakan bangkai, menghormati jiran tertangga dan..."

     "Cukup...," teriak Abu Sufian sebelum sempat Budail menghabiskan kata-katanya.

     "Kamu terlalu memuji Muhammad kerana sudah terkena sihirnya," marah Safwan pula.

     "Muhammad itu bukan tukang sihir. Saya menafikan tuduhan itu. Sekiranya kamu datang hanya kerana mahu menghina Nabi Muhammad, sila pergi dari sini kerana saya tidak mahu mendengarnya," marah Budail.

     "Baiklah kami tidak berkata begitu lagi kepada Muhammad. Kami datang cuma mahu mengetahui benarkah kamu sudah mengikat perjanjian dengan Muhammad?" tanya Abu Sufian yang mula menunjukkan sikap yang mesra terhadap Budail.

     "Memang benar kami sudah mengikat perjanjian dengan Muhammad. Kami lakukannya dengan kehendak sendiri bukan dipaksa," jawab Budail terus terang.

     "Bukankah Bani Qainuqa' dan Bani Nadhir juga pernah mengikat perjanjian dengan Muhammad?" tanya Safwan pula.

     "Benar...," jawab Budail.

     "Kamu tahu apa yang terjadi terhadap Bani Qainuqa' dan Bani Nadhir? Muhammad menghalau mereka keluar dari Madinah. Tidak mustahil suatu hari nanti Bani Khuzaah juga akan menerima nasib yang sama," kata Abu Sufian dalam usahanya menerbitkan rasa tidak percaya dalam hati Budail kepada Muhammad.

     "Bani Qainuqa' dan Bani Nadhir melanggar perjanjian. Mereka dijatuhkan hukuman halau keluar dari Madinah. Tetapi kami tidak akan melanggar perjanjian dengan Muhammad kerana itu kami dilayan dengan baik dan adil," kata Budail pula lalu terus memberi pujian kepada Nabi Muhammad.

     "Wahai Budail, kamu terlalu memuji Muhammad sehingga menyakitkan hati kami mendengarnya. Saya berpendapat kamu lebih bijak daripada Muhammad. Mahukah kamu sekiranya dilantik menjadi raja yang memerintah daerah ini?" Tiba-tiba Safwan membuat tawaran.

     "Saya sudah menjadi raja di kalangan kaumku," jawab Budail kerana tidak tertarik dengan tawaran itu.

     "Saya ada membawa emas dan permata. Mahukah kamu menerima hadiah kami?" tanya Abu Sufian lalu mengeluarkan bungkusan berisi harta.

     "Saya tidak memerlukan harta kamu kerana saya sudah pun memilikinya. Saya bersyukur dengan apa yang saya ada," kata Budail sambil menolak pemberian itu.

     Abu Sufian dan Safwan kelihatan kecewa kerana gagal memujuk ketua Bani Khuzaah itu. Mereka bercadang pulang tanpa memberitahu maksud sebenar kedatangan mereka kerana bimbang disampaikan kepada Muhammad. Melihat tetamunya seperti sedang kebingungan tiba-tiba Budail mendapat idea bagi mencungkil rahsia mereka.

     "Saya baru tersedar daripada kelalaianku. Mungkin benar katamu tadi suatu hari nanti kami menerima nasib seperti Bani Qainuqa' dan Bani Nadhir," kata Budail lalu berpura-pura menunjukkan rasa kesalnya.

     "Seperti yang saya kata tadi, sekiranya Muhammad sanggup menghalau Bani Qainuqa' dan Bani Nadhir, tidak mustahil akan tiba pula giliran kamu dihalau keluar dari sini," kata Abu Sufian sambil tersenyum gembira.

     "Apa yang patut saya lakukan?" tanya Budail pula.

     "Apakah kamu setuju sekiranya Muhammad tidak lagi berada di Madinah?" tanya Abu Sufian pula.

     "Apa maksud kamu?" tanya Budail yang kelihatan begitu tertarik mahu mengetahuinya.

     "Sebagai makluman kamu, sepuluh kabilah Yahudi sudah bersatu bagi membantu Bani Nadhir pulang ke Madinah? Mereka membentuk pasukan bersekutu yang akan menyerang serta mengambil alih Madinah dari Muhammad," jawab Safwan yang kelihatan tidak dapat lagi menyembunyikan kegembiraan di hatinya.

     "Apa pula pendirian kamu?" tanya Budail lagi.

     "Muhammad itu musuh kami. Sesiapa yang memusuhi Muhammad mereka adalah kawan kami. Kerana itu kami akan menyertai pasukan bersekutu menyerang Madinah," jawab Abu Sufian.

     "Kami datang mengajak kamu menyertai pasukan bersekutu. Bani Kinanah, Bani Tihamah, Bani Mustaliq, dan orang Habsyi sudah bersetuju bergabung dengan kami. Seeloknya Bani Khuzaah juga menyertai kami," pujuk Safwan pula.

     "Sekiranya kamu setuju maka kamu adalah sahabat kami. Sekiranya kamu menolak maka kamu menjadi musuh kami. Percayalah mereka akan menyerang perkampungan ini terlebih dahulu sebelum menyerang Madinah. Kerana itu pilihlah jalan selamat," ugut Abu Sufian.

     Budail tidak gentar dengan ugutan itu. Namun demi keselamatan Nabi Muhammad maka dia berpura-pura setuju.

     "Baiklah saya akan menyertainya," kata Budail.

     Abu Sufian dan Safwan bersorak gembira kerana usaha mereka memujuk ketua Bani Khuzaah itu sudah berjaya.

     "Buat masa sekarang kamu jangan putuskan hubungan dengan Muhammad. Buat seperti biasa. Apabila sampai masanya nanti, kamu bergabung dengan kami menyerang Madinah. Kami akan beritahu tarikh dan masanya," kata Abu Sufian tanpa curiga.

     "Baiklah," kata Budail namun dalam hatinya Tuhan yang mengetahuinya. Sesungguhnya kesetiaan kepada Nabi Muhammad tidak berbelah bahagi.

     "Selepas ini kami akan menemui Sufyan bin Abdul Syamsi ketua Bani Sulaim. Kami yakin mereka juga bersetuju bergabung dengan kami," kata Abu Sufian sebelum meninggalkan perkampungan Bani Khuzaah.

    Keesokan harinya Budail dan beberapa orang pembantunya pergi ke Madinah lalu melaporkan perkara itu kepada Nabi Muhammad.

     Abu Sufian dan Safwan pula selepas berjaya memujuk Sufyan ketua Bani Sulaim, mereka menemui Tulaiha bin Khuwailid Al-Asadi ketua Bani Asad. Mereka menyatakan persetujuan menyertai pasukan bersekutu menyerang Madinah. Semasa dalam perjalanan pulang ke Mekah mereka singgah sekali lagi di perkampungan Bani Khuzaah.

     "Sufyan bin Abdul Syamsi bersetuju menghantar tujuh ratus orang pahlawan mereka bagi menyertai pasukan bersekutu. Tulaiha bin Khuwailid pula bersetuju menghantar jumlah tentera yang sama banyaknya. Berapa ramai pula tentera yang dapat disediakan oleh Bani Khazaah?" tanya Abu Sufian.

     "Kami ada seribu orang tentera yang mahir bertempur. Mereka bersedia pada bila-bila masa," jawab Budail dan Abu Sufian begitu gembinra mendengarnya.

     "Bani Nadhir sudah berjaya mengumpulkan empat ribu orang. Kita pula berjaya mengumpulkan tujuh ribu orang. Jumlah pasukan bersekutu sebelas ribu orang," kata Safwan dengan rasa gembira.

     "Boleh saya tahu bila serangan akan dilancarkan? Dengan itu dapatlah kami membuat persediaan," tanya Budail pula.

     "Kita akan berkumpul di Mekah pada awal bulan Syawal. Kemudian terus bergerak ke Madinah. Saya mahu Madinah ditawan sebelum habis bulan Syawal," jawab Abu Sufian.

     Semua maklumat itu disampaikan Budail kepada Nabi Muhammad SAW.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

PERANG KHANDAQ [ BAB 12 - ANGKATAN PERANG BERSEKUTU ]






ANGKATAN PERANG BERSEKUTU








Abu Sufian berasa sangat malu kerana pasukan Quraisy kalah dalam Perang Badar. Tambahan pula perang itu berpunca daripada sikapnya yang terburu-burunya bagi menyelamatkan kafilah dagang dari dirampas Muhammad dan pengikutnya. Sedangkan kafilah dagang yang dipimpinya selamat sampai ke Mekah melalui pantai Laut Merah. Sekiranya dia tidak menyuruh Dhamdham pergi ke Mekah meminta bantuan, mungkin peperangan itu tidak berlaku.

     Abu Sufian juga berasa malu apabila pasukan Quraisy di bawah pimpinannya yang kononnya menang dalam Perang Uhud pulang ke Mekah tanpa membawa seorang pun tawanan perang dan tidak ada barang berharga yang dijadikan harta rampasan. Lebih memalukan kerana tidak dapat membunuh Nabi Muhammad dan tidak dapat menakluk Kota Madinah.

     Paling memalukannya apabila pasukan Quraisy yang di bawah pimpinannya digelar 'pahlawan Sawiq' apabila pulang dari Perang Badar kedua. Semasa Perang Uhud dan sebelum pulang ke Mekah dia mengajak Nabi Muhammad bertemu di Badar pada tahun berikutnya. Cabaran itu disambut oleh Muhammad. Apabila sampai masanya Nabi Muhammad datang ke Badar dengan pasukannya. Abu Sufian pula cuma pergi sekerat jalan dan terpaksa pulang ke Mekah selepas rasa takut berperang dengan Nabi Muhammad menguasai dirinya.

     Mereka diejek dengan panggilan 'pahlawan sawiq' kerana penduduk Mekah membekalkan mereka dengan makanan tradisi Arab yang digemari ramai bernama Sawiq sejenis tepung yang digoreng sehingga garing kemudian ditumbuk halus lalu dicampur dengan manisan dan sedikit daging. Mereka menghabiskan makanan itu sebelum pulang ke Mekah. Kerana itu mereka digelar 'Pahlawan Sawiq' bertujuan menghina Abu Sufian dan pasukan tenteranya.

     Sejak itu dia merasakan dirinya tidak lagi dipandang hebat oleh penduduk Mekah. Ke mana sahaja dia pergi, dia merasakan orang ramai memandangnya sambil mengejek. Kerana itu dendamnya kepada Nabi Muhammad tidak pernah padam malah semakin menyala.

     "Saya gembira apabila Muhammad kalah dalam perang Uhud. Kegembiraan saya semakin bertambah apabila ramai pengikutnya terbunuh di Raji' dan Bir Maunah. Saya menyangka ia pasti melemahkan Muhammad dan pasukan perangnya. Namun sangkaanku meleset kerana mereka bertambah kuat. Mereka menjadi semakin kuat apabila dapat memiliki rumah dan ladang peninggalan Bani Nadhir." Kata-kata Safwan itu menambahkan lagi sakitnya hati Abu Sufian.

     "Kita akan tebus kekecewaan penduduk Mekah dengan mengalahkan Muhammad. Kita akan berperang sekali lagi dengan mereka. Kali ini Muhammad dan pengikutnya mesti dikalahkan dan kita pulang dengan membawa kemenangan," kata Abu Sufian yang masih tidak mahu mengaku kalah.

     "Bagi mengalahkan Muhammad, kita mesti mempunyai tentera yang jumlahnya sepuluh kali ganda dari mereka. Sedangkan tentera kita berjumlah 1500 orang sahaja. Bagaimana hendak menjadikan mereka sepuluh kali ganda?" tanya Safwan sambil menggaru kepala.

     "Apakah kamu sudah lupa? Semasa Perang Uhud jumlah tentera Quraisy cuma lapan ratus orang. Kita berjaya dapatkan tentera dari kalangan orang Habsyi, Bani Kinanah dan Bani Tihamah menjadikan jumlah semuanya tiga ribu orang. Sekarang tentera Quraisy berjumlah 1500 orang, sekiranya kita dapat bantuan orang Habsyi, Bani Kinanah dan Bani Tihamah jumlah semuanya dapat meningkat sepuluh kali ganda," jawab Abu Sufian dengan penuh yakin walaupun dalam hatinya sendiri berasa kurang yakin.

     "Mereka tidak mahu lagi membantu kita. Buktinya apabila kita hendak ke Badar sekali lagi, orang Habsyi, Bani Kinanah dan Bani Tihamah menolak. Mereka tidak mahu menyertai kita walau dibayar dengan upah yang mahal," kata Safwan pula.

     Abu Sufian termenung kerana kata-kata Safwan itu ada benarnya. Mereka tidak dapat lagi mengharapkan bantuan orang Habsyi, Bani Kinanah dan Bani Tihamah. Tiba-tiba Abu Sufian mendapat satu idea.

     "Baru-baru ini Yahudi Bani Nadhir dihalau keluar dari Madinah. Sekarang mereka menumpang di Khaibar. Mereka tentu sanggup membantu kita mendapatkan semula tanah air mereka," kata Abu Sufian dengan wajah yang menampakkan harapan.

     "Benar katamu itu. Kita mesti pujuk Bani Nadhir bergabung dengan kita bagi memerangi Muhammad," kata Safwan dengan penuh bersemangat.

     Pada masa yang sama Huyay bin Akhtab, Sallam bin Misykam, Sallam bin Rabi' dan Kinanah bin Abu Huqaiq bertemu dengan Hauzah bin Qais dan Abu Ammar pemimpin Bani Wail yang tinggal di Khaibar.

     "Penduduk Khaibar juga masih menganggap kami orang asing walau sudah berpuluh tahun tinggal di sini. Kerana itu kami juga mahu kembali ke Madinah tempat asal nenek moyang kami," kata Hauzah sambil meluahkan rasa terkilannya dengan sikap penduduk Khaibar.

     Menurut Hauzah nenek moyang Bani Wail asalnya menetap di Madinah. Apabila berlaku peperangan antara kaum Aus dan Khazraj mereka berpindah ke Khaibar yang jauhnya kira-kira 130 kilometer dari Madinah. Kerana itu mereka menyimpan cita-cita mahu kembali ke Madinah.

     "Impian kita bagi kembali ke Madinah hanya tinggal impian selagi Muhammad dan pengikutnya masih berkuasa. Kerana itu mereka perlu dikalahkan dan Madinah perlu ditakluk semula," kata Huyay bin Akhtab pula.

     "Bani Nadhir dan Bani Wail perlu bersatu bagi menjayakan impian kita itu. Penduduk Khaibar juga menyokong kita. Mereka sanggup memberikan bantuan tentera, senjata dan makanan," kata Sallam pula yang sengaja mereka-reka cerita bagi meyakinkan Hauzah dan Abu Ammar.

     "Kita masih belum cukup kuat bagi mengalahkan Muhammad. Kerana itu kita terpaksa mengajak kaum yang lain membantu kita. Sekiranya dapat, kita ajak semua kabilah Arab dan Yahudi bersatu menyerang Madinah. Kita tubuhkan pasukan bersekutu," kata Abu Ammar pula.

     "Benar kata Abu Ammar, sekiranya dikumpulkan pahlawan Bani Nadhir dan Bani Wail tidak sampai seribu. Bagi memastikan kemenangan, kita perlu mempunyai angkatan tentera berjumlah sepuluh ribu orang," kata Hauzah pula.

     "Sebenarnya ramai yang memusuhi Muhammad. Selain Bani Nadhir dan Bani Wail, Bani Sulaim, Bani Qais, Bani Ailan juga memusuhi Muhammad. Sekiranya semua bersatu, jumlah kita menjadi ramai. Mungkin melebihi sepuluh ribu orang," kata Huyay dengan penuh yakin.

     "Apakah kamu sudah lupa kaum Quraisy di Mekah juga memusuhi Muhammad? Mereka pernah berperang di Badar dan di Uhud. Di Badar pasukan Muhammad mendapat kemenangan. Di Uhud pula pasukan Quraisy Mekah yang menang," kata Sallam bin Misykam pula.

     "Kita tidak dapat menaruh kepercayaan kepada mereka kerana mereka sama bangsa Quraisy. Muhammad bangsa Quraisy, Abu Sufian juga bangsa Quraisy. Tidak mustahil suatu ketika nanti mereka bersatu semula dan kita mereka musuhi," kata Hauzah melahirkan keraguannya.

     "Mustahil mereka dapat berdamai dan bersatu semula kerana permusuhan mereka berpunca daripada perbezaan fahaman agama. Muhammad dan pengikutnya menyembah Allah sedangkan Quraisy Mekah menyembah berhala. Kedua-dua pihak akan bermusuhan selama-lamanya," kata Huyay pula yang memahami punca permusuhan Quraisy Mekah dengan Nabi Muhammad.

     "Mari kita pujuk orang Quraisy Mekah bersatu dengan kita bagi menyerang Madinah. Sekiranya berjaya maka semua kabilah Arab di sekitar Mekah akan turut bergabung dengan kita," kata Kinanah pula.

     "Sekiranya begitu kita berenam pergi ke Mekah bagi bertemu dengan pemimpin Quraisy. Kita perlu memujuk mereka sehingga berjaya." Akhirnya Hauzah bersetuju dengan cadangan itu.

     Keesokan harinya empat orang pemimpin Bani Nadhir dan dua orang Bani Wail pergi ke Mekah menemui pemimpin Quraisy. Mereka bertemu dengan Abu Sufian bin Harb, Safwan bin Umaiyah, Suhail bin Amru, Al-Harith bin Hisyam, Abdullah bin Abu Rabiah dan Ikramah bin Abu Jahal.

     "Kami datang bagi meminta simpati daripada pemimpin Quraisy berkenaan nasib Bani Nadhir yang dihalau oleh Muhammad dari Madinah. Sekarang kami berada dalam kesengsaraan dan masih merempat tanpa arah tujuan. Buat masa sekarang kami tinggal di satu kawasan tandus antara Khaibar dengan Madinah," kata Huyay dengan wajah sedih bagi mendapatkan simpati pemimpin Quraisy.

     "Muhammad dan pengikutnya merampas rumah kediaman kami yang besar dan cantik. Mereka juga merampas kebun kurma dan buah-buahan kami yang banyak mengeluarkan hasil. Haiwan ternakan kami yang sedang membiak dengan banyaknya habis dirampas mereka. Sekarang Muhammad dengan pengikutnya sedang tertawa riang gembira sedangkan kami sedang sengsara," kata Sallam bin Misykam pula.

     "Kami Bani Wail berasa simpati dengan nasib malang yang menimpa Bani Nadhir. Walaupun kami sudah kaya-raya dan hidup senang di Khaibar namun perasaan simpati kami masih ada kepada Bani Nadhir. Kerana itu kami turut datang ke sini menemui tuan-tuan. Kami merayu jangan biarkan mereka terus berada dalam kesengsaraan," kata Hauzah sambil melahirkan rasa simpatinya terhadap orang Bani Nadhir.

     "Muhammad musuh kami dan musuh tuan-tuan juga. Kita adalah sahabat dalam menghadapi musuh yang sama. Kerana itu marilah kita bersatu bagi memerangi Muhammad dan membela Bani Nadhir," pujuk Abu Ammar pula.

     "Kami sudah bertemu dengan pemimpin Khaibar dan mereka bersetuju membantu kami. Kami juga sudah menemui Kaab bin Asad pemimpin Bani Quraizah dan mereka juga sanggup membantu kami. Sekarang kami menemui pemimpin Quraisy Mekah pula. Kasihanilah kami dan bantulah kami," kata Huyay dengan nada merayu simpati daripada pemimpin Quraisy. Dia sanggup berdusta bagi mendapat simpati mereka.

     Selepas mendengar kata-kata rayuan pemimpin Bani Nadhir dan Bani Wail itu maka Abu Sufian pun menyatakan rasa simpatinya kepada mereka.

     "Dahulu semasa kamu mengikat perjanjian damai dengan Muhammad kami anggap kamu juga adalah musuh kami. Tetapi sekarang selepas kamu memusuhi Muhammad maka kamu adalah sahabat kami," kata Abu Sufian bin Harb.

     Huyay bin Akhtab senang hati mendengar kata-kata Abu Sufian lalu berkata, "Benarlah seperti sangkaan kami pemimpin Quraisy lebih baik dan bertimbang rasa daripada Muhammad. Simpati tuan itu mengubat sedikit kesengsaraan kami."

     "Wahai pemimpin Quraisy yang bijaksana dan bertimbang rasa. Menyatakan rasa sahaja kepada Bani Nadhir masih belum mencukupi kerana mereka mahukan bantuan yang lebih mahal daripada itu," kata Hauzah pula. Dia juga berasa senang hati apabila ketua kaum Quraisy itu menyatakan rasa simpatinya.

     "Saya juga berasa simpati kepada Bani Nadhir. Saya sanggup memberikan apa sahaja yang mereka mahukan. Sekiranya kamu mahu meminjam harta, saya sanggup meminjamkan harta. Sekirany kamu mahu menyewa tanah saya sanggup menyewakan tanah saya," kata Safwan pula yang turut menyatakan rasa simpatinya.

     "Bani Nadhir mahu kembali semula ke Madinah. Kami Bani Wail sanggup membantu mereka. Kami yakin orang Quraisy juga sanggup membantu mereka," kata Hauzah lalu menyatakan kesanggupannya membantu Bani Nadhir pulang ke kampung halaman mereka.

     "Muhammad menghalau kami dari Madinah dengan kekerasan. Kerana itu kami perlu kembali ke Madinah juga dengan kekerasan. Kerana itu bantulah kami," kata Huyay pula.

     "Kami merancang hendak menyerang Madinah. Muhammad dan pengikutnya perlu dibunuh. Kerana itu kami datang bagi mendapatkan bantuan tuan-tuan. Marilah kita bersatu menyerang Madinah," pujuk Abu Ammar pula.

     Bagaikan orang yang lapar diberikan makanan, Abu Sufian berasa sangat gembira mendengarnya. Begitu juga dengan Safwan, Suhail, Al-Harith, Abdullah dan Ikramah. Namun mereka mahu menguji dahulu kesanggupan pemimpin Bani Nadhir itu.

     "Kami memusuhi Muhammad kerana fahaman agama. Dia dan pengikutnya menganut agama dari langit. Kami menganut agama dari bumi. Mereka menyembah Allah sedangkan kami menyembah berhala. Kamu adalah ahli kitab yang berpegang teguh pada agama kamu. Kamu juga banyak mengetahui perbezaan agama kami dengan agama Muhammad. Saya mahu bertanya, pada pendapat kamu apakah agama kami yang lebih baik ataupun agama Muhammmad? Sekiranya jawapan kamu menyenangkan hati kami maka kami sanggup membantu," kata Abu Sufian dengan tujuan hendak menguji kesetiaan pemimpin Yahudi Bani Nadhir itu.

     Sebelum itu Huyay dan kaum Yahudi yang lain menentang mereka yang menyembah berhala. Tambahan pula agama Yahudi sendiri melarang penganutnya menjadikan berhala sebagai sembahan mereka. Namun demi menjaga hati kaum Quraisy dan demi mendapatkan bantuan daripada mereka maka Huyay sanggup menjual agamanya.

     "Pada pandangan saya agama tuan-tuan lebih benar daripada agama yang dibawa Muhammad," kata Huyay tanpa ada rasa bersalah pada wajahnya.

     "Bagaimana pula pandangan yang lain?" tanya Safwan pula.

     "Saya setuju dengan kata-kata ketua kami, Huyay. Agama tuan lebih benar daripada agama Muhammad," sokong Sallam bin Masykam pula.

     Dia seorang pendeta Yahudi yang banyak mengetahui kandungan kitab Taurat dan Injil. Dia juga pernah mengakui Muhammad itu sememangnya pesuruh Allah dan agama Islam yang dibawanya adalah agama yang benar. Cuma dia menentang kerana Nabi Muhammad itu bukan orang Yahudi.

     Demi menjaga hati pemimpin Quraisy dan demi membalas dendam kepada Nabi Muhammad maka Sallam sanggup membelakangkan fahaman agamanya.

     Allah menurunkan firmannya,

     "Apakah kamu tidak memerhatikan mereka yang diberikan kitab, mereka percaya kepada jibt dan thaghut (nama berhala) dan mengatakan kepada kafir (musyrik Mekah) bahawa mereka itu lebih benar jalannya dari orang beriman. Mereka itulah orang yang dikutuk Allah. Barang siapa yang dikutuk Allah nescaya kamu tidak beroleh pertolongan." An-Nisa ayat 51-52.

     Pemimpin Quraisy berasa gembira mendengar kata-kata Huyay dan Sallam. Yakinlah mereka yang pemimpin Bani Nadhir itu benar-benar mengharapkan bantuan mereka.

     "Mulai sekarang kamu adalah sahabat kami. Kita akan bersama ketika susah dan senang. Kesengsaraan kamu adalah kesengsaraan kami juga. Kerana itu kami akan membantu kamu mendapatkan semula tanah air kamu," kata Abu Sufian sambil tertawa.

     "Sudah dua kali kami berperang dengan Muhammad. Kami tahu di mana kelemahannya. Peperangan kali ketiga ini kami yakin dapat mengalahkan mereka," kata Safwan pula.

     "Apakah kelemahan Muhammad? Beritahu kami supaya dapat kami gunakan bagi mengalahkannya,"kata Hauzah pemimpin Bani Wail.

     "Saya akan beritahu apabila sampai masanya nanti," dalih Safwan kerana dia sendiri tidak tahu di mana kelemahan Nabi Muhammad. Kata-katanya itu sekadar menunjukkan kesombongannya.

     "Sebagai menandakan kesetiaan dan kejujuran kita maka marilah kita berdiri di hadapan Kaabah memohon restu tuhan-tuhan kita," kata Abu Sufian.

     Tidak lama kemudian seramai lima puluh orang pemimpin Quraisy, empat orang pemimpin Bani Nadhir dan dua orang pemimpin Bani Wail berdiri di hadapan Kaabah. Mereka menyatakan ikrar bersatu bagi memerangi Nabi Muhammad. Kemudian mereka membuat surat perjanjian persahabatan saling bantu membantu. Surat perjanjian itu digantungkan pada dinding Kaabah.

     "Mulai sekarang kita berusaha memujuk semua kabilah Arab dan Yahudi bersatu dengan kita. Kami akan memujuk kabilah-kabilah Arab di sekitar Mekah dan kamu memujuk mereka yang di sebelah utara," kata Abu Sufian yang bertindak sebagai ketua.

     Huyay dan Hauzah menyatakan persetujuannya dan mereka berjanji akan memujuk semua orang Yahudi menyertai pakatan itu. Abu Sufian dan kawan-kawannya pula berjanji memujuk kabilah Arab di sekitar Mekah.

     Kemudian Huyay dan pembantunya menemui Qais pemimpin Bani Qais. Hauzah dan Abu Ammar pula menemui pemimpin Bani Ailan. Kedua-dua pemimpin Yahudi itu berjaya dipujuk dan mereka sanggup menyertai pasukan tentera bersekutu menyerang Madinah.

     "Mari kita pergi ke Tabuk menemui Al-Harith bin Auf Al-Murri pemimpin Bani Murrah. Mereka mempunyai empat ratus orang tentera yang terlatih dalam peperangan," kata Hauzah yang bertambah yakin usaha mereka pasti berjaya kerana semakin ramai yang bersedia menyertai mereka.

     Mana mungkin Huyay menolaknya. Mereka segera pergi ke Tabuk lalu memujuk Al-Harith bin Auf Al-Murri. Sekali lagi Huyay menggunakan kepetahannya bercakap bagi memujuk ketua Bani Murrah itu.

     "Atas rasa simpati terhadap Bani Nadhir maka saya akan kerahkan semua pahlawan Bani Murrah membantu kamu menyerang Madinah," kata Al-Harith sambil meluahkan rasa kebenciannya kepada Nabi Muhammad selepas dihasut oleh Huyay.

     "Sebagai balasannya kami benarkan Bani Murrah meneroka tanah di Madinah bagi tujuan bercucuk tanam tanpa dikenakan bayaran," kata Huyay yang sanggup berjanji asalkan maksudnya tercapai.

     "Selepas ini kami akan menemui Uyainah bin Hisn Al-Fazari ketua Bani Fazarah," kata Huyay selepas berjaya memujuk ketua Bani Murrah.

     "Uyainah baru sahaja mengikat perjanjian damai dengan Muhammad. Mana mungkin dia mahu bergabung dengan kita," kata Hauzah yang berasa ragu bagi menemui ketua Bani Fazarah itu.

     "Mari kita berusaha memujuknya sehingga berjaya. Sekiranya dia mahukan bayaran, kita penuhi kehendaknya asalkan mereka mahu menyebelahi kita," kata Sallam bin Masykam pula lalu menggesa mereka segera menemui Uyainah.

     Mereka pergi ke perkampungan Bani Fazarah lalu memujuk Uyainah. Pada mulanya kedatangan mereka disambut dengan kasar oleh pemimpin Bani Fazarah ini. Tambahan pula Uyainah memang terkenal sebagai seorang yang tidak pandai melayan tetamu.

     "Sekiranya kamu datang mahukan makanan saya tidak dapat memberinya kerana makanan sudah saya berikan kepada haiwan ternakan kerana mereka lebih berharga daripada kamu. Sekiranya kamu mahukan minuman pergi ke sungai sana dan minumlah sepuasnya," kata Uyainah sambil tertawa.

     Huyay dan kawan-kawannya turut tertawa kerana mereka sudah faham dengan sikap Uyainah yang perangainya bodoh-bodoh alang namun tetap ditaati oleh kaumnya kerana dia ketua mereka.
  
     "Kami datang bukan bagi meminta makanan ataupun minuman kerana kami ada membawanya. Kami datang bagi mengikat tali persahabatan dengan kamu," kata Huyay dengan suara yang lunak memujuk.

     "Muhammad juga pernah datang menemui saya. Dia juga mengajak saya menjadi sahabatnya. Kami pun mengikat perjanjian damai. Kerana itu saya kurang senang dengan kedatangan kamu yang menjadi musuh Muhammad," kata Uyainah berterus terang.

     "Memang benar kami memusuhi Muhammad dan kami akan menyerang mereka tidak lama lagi. Marilah bergabung dengan kami," pujuk Huazah

     "Saya baru sahaja mengikat perjanjian dengan Muhammad. Sebagai balasannya Muhammad membenarkan kami membawa binatang ternakan ke kawasan padang rumput berhampiran dengan Madinah. Kerana itu saya tidak mahu menyebelahi kamu," kata Uyainah yang terkenal dengan sikapnya yang suka berterus terang.

     "Bani Fazarah tidak akan rugi sekiranya menyebelahi kami. Lagipun kami tidak minta kamu batalkan perjanjian damai dengan Muhammad. Teruslah berpura-pura baik dengan Muhammad. Apabila sampai masanya nanti baru kamu membantu kami mengalahkannya," pujuk Hauzah pula.

     "Sebagai balasannya kawasan padang rumput itu akan menjadi milik Bani Fazarah," sokong Huyay pula.

     Uyainah akhirnya terpengaruh dengan pujukan Huyay dan Hauzah sehingga sanggup berpaling tadah serta melupakan perjanjiannya dengan Nabi Muhammad.

     Namun tindakan Uyainah itu mendapat bantahan daripada kaumnya sendiri. Tambahan pula ramai antara mereka yang sudah mula berjinak-jinak dengan Islam sejak termeterainya perjanjian damai dengan Nabi Muhammad. Akibat tindakan Uyainah itu daripada empat ribu pengikutnya, cuma satu ribu yang bersetuju bergabung dengan pasukan bersekutu. Mereka yang lain berkecuali.

     Kemudian Huyay dan kawan-kawannya berjaya memujuk Mas'ud bin Rukhailah pemimpin kabilah Asyja' yang sanggup menghantar seramai empat ratus orang pahlawannya. Selepas itu mereka berjaya juga memujuk beberapa kabilah Yahudi bergabung dengan mereka.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

Thursday 25 January 2018

PERANG KHANDAQ [ BAB 11 - HELAH YAHUDI KHAIBAR ]






HELAH YAHUDI KHAIBAR








5 Syawal Tahun Kelima Hijrah

Cuaca panas sepanjang bulan Safar meresahkan penduduk Khaibar yang terletak di utara Kota Madinah. Wilayah yang tanahnya subur, mewah, kaya dengan hasil tanaman itu adalah tempat tinggal kaum Yahudi yang turut memusuhi Nabi Muhammad. Kita mereka menjadi resah dan gundah dengan kedatangan Yahudi Bani Nadhir yang dihalau keluar dari Madinah.

     "Kedatangan Bani Nadhir ke sini hanya menyusahkan kita. Kerana itu saya langsung tidak mengalu-alukan kedatangan mereka. Saya mahu mereka dihalau keluar dari sini dengan segera," kata Imran salah seorang penduduk Khaibar yang terkenal dengan kelantangannya bersuara dan kepetahan lidahnya apabila berbicara.

     "Mengapa kamu membenci mereka dan sanggup buat tuduhan begitu rupa? Bukankah Bani Nadhir satu keturunan dengan kita? Mereka satu bangsa dan satu agama dengan kita. Dan mereka sekarang berada dalam kesusahan kerana dihalau keluar dari negeri sendiri. Kerana itu kita benarkan mereka datang ke sini," kata Sulaimani, ketua Yahudi Khaibar.

     Dia berasa kurang senang apabila Imran mengkritik keputusannya membenarkan Bani Nadhir berlindung di perkampungan Khaibar. Tambahan pula mereka satu bangsa dan satu agama. Cuma berlainan jurai keturunan.

     "Saya tetap mengatakan kedatangan Bani Nadhir ke Khaibar hanya menyusahkan kita. Bukan saya seorang malah ramai yang mengatakan begitu. Cuma mereka belum mahu bersuara dan tidak lama lagi mereka akan membantahnya secara beramai," kata Imran pula masih tetap dengan pendiriannya tidak mengalu-alukan kedatangan Bani Nadhir.

     "Saya yakin lebih ramai membenarkan Bani Nadhir menumpang di Khaibar daripada mereka yang tidak menyukainya. Dalam perkara sebegini saya sebagai ketua memilih persetujuan ramai. Apabila lebih ramai yang menyokong sesuatu keputusan maka yang tidak ramai terpaksa akur dengan kehendak ramai," kata Sulaimani pula lalu memujuk Imran supaya jangan mengungkit lagi keputusan membenarkan Bani Nadhir datang ke Khaibar.

     "Saya tetap tidak suka!" bentak Imran.

     "Baiklah, beri hujah yang jelas mengapa kamu tidak suka kepada Bani Nadhir?" pinta Sulaimani pula.

     "Mereka datang membawa penyakit kerana ramai antara mereka menghidap sakit batuk, demam dan selsema. Ada pula menghidap penyakit kurap, sopak dan kusta. Malah ada pula yang gila. Semua penyakit itu akan merebak dan berjangkit kepada kita," jawab Imran mengemukakan hujahnya.

     "Memang benar ramai antara mereka mendapat sakit akibat terkurung di dalam benteng Bani Nadhir di Madinah. Tetapi itu bukan alasan bagi kita menolak mereka. Ke mana mereka hendak pergi sekiranya kita tidak membenarkan mereka datang ke sini," kata Sulaimani pula yang mempertahankan keputusannya membenarkan Bani Nadhir berlindung di Khaibar.

     "Sudah lupakah kamu perihal sejarah nenek moyang kita? Mereka yang mula-mula datang ke Madinah. Kemudian datang orang Bani Nadhir lalu merebut kuasa sehingga nenek moyang kita terpaksa keluar dari Madinah lalu berpindah ke Khaibar. Sekarang sejarah itu berulang lagi. Bani Nadhir datang ke Khaibar sebagai pelarian. Kita menerima kedatangan mereka kerana belas kasihan. Suatu masa nanti mereka berkuasa di sini dan kita akan dihalau keluar dari Khaibar," kata Imran pula.

     Kemudian diceritakannya sejarah Bani Nadhir, walaupun mereka bangsa Yahudi tetapi sering bermusuhan dengan bangsa sendiri. Mereka pernah berperang dengan Yahudi Bani Khuraizah dan Bani Qainuqa' kerana merebutkan kawasan tanah dan perniagaan.

     "Mereka yang tamak dan mementingkan diri sendiri sewajarnya tidak diberi tempat di Khaibar. Lebih baik biarkan mereka mencari kediaman sendiri kerana padang pasir masih luas bagi diteroka," kata Imran dengan harapan ada yang akan menyokongnya.

     "Saya juga tidak suka kepada Bani Nadhir kerana mereka keturunan yang tamak dan gila kuasa. Sejarah sudah membuktikannya. Kerana itu elok kita halau sahaja mereka ke tempat lain."

     Akhirnya Yadzir menyokong. Imran berasa senang hati.

     "Apakah kita sanggup melihat Bani Nadhir menerima nasib yang sama seperti Bani Qainuqa? Kamu tahu apa yang berlaku kepada mereka?" tanya Sulaimani pula. Dia juga mengharapkan sokongan ramai.

     Lalu Sulaimani pun menceritakan apa yang berlaku kepada Bani Qainuqa'. Mereka dihalau keluar dari Madinah kerana melanggar perjanjian damai dengan Nabi Muhammad. Kisahnya bermula apabila beberapa orang pemuda Yahudi Bani Qainuqa' mengganggu seorang muslimah. Akibat gangguan itu terjadi pergaduhan antara orang Bani Qainuqa' dengan orang Islam yang membela gadis itu. Sebelum itu memang sering wanita Islam yang pergi ke pasar diganggu lelaki Yahudi Bani Qainuqa' namun mereka tetap bersabar. Tetapi peristiwa lelaki Yahudi mencabul kehormatan muslimah itu tidak boleh lagi dimaafkan. Maka terjadi perkelahian menyebabkan kematian kedua-dua belah pihak. Ekoran itu orang Yahudi Bani Qainuqa' membuat persiapan berperang. Nabi Muhammad segera bertindak mengepung benteng Yahudi Bani Qainuqa'. Akibatnya mereka dihalau keluar dari Madinah.

     Pada mulanya mereka cuba menumpang hidup di Khaibar tetapi tidak dibenarkan menyebabkan mereka terpaksa pergi mencari kawasan baru bagi didiami yang terletak di kawasan gurun. Akibatnya orang Yahudi Bani Qainuqa' itu menghidap penyakit misteri menyebabkan seorang demi seorang meninggal dunia dan akhirnya mereka pupus.

     "Saya kasihan kepada Bani Nadhir kerana itu saya benarkan mereka menumpang di sini. Saya minta maaf kerana tidak meminta persetujuan daripada semua penduduk Khaibar. Tambahan pula mereka datang dalam keadaan tergesa-gesa," kata Sulaimani dengan harapan Imran menaruh simpati.

     "Saya setuju dengan keputusan membenarkan Bani Nadhir menumpang di Khaibar. Tambahan pula ada kebaikannya kepada kita. Kamu hanya nampak keburukan tetapi kamu tidak nampak kebaikannya." Tiba-tiba Durhum mencelah.

     "Apa kebaikannya?" tanya Imran pula.

     "Sejak Bani Nadhir datang ke sini kita dapat menjual barang-barang makanan dan pakaian kepada mereka. Tanah-tanah kita yang terbiar juga dapat dijual kepada mereka dengan harga yang tinggi. Ramai yang mengaut keuntungan melalui perniagaan dengan Bani Nadhir. Bukankah itu kebaikan namanya?" jawab Durhum dengan disokong kawan-kawannya yang juga terdiri daripada peniaga yang sering berurusan dengan Bani Nadhir.

     "Kamu hanya memikirkan keuntungan perniagaan kamu. Tetapi kamu tidak fikir masa hadapan anak cucu kita. Apabila tanah milik kita sudah terlepas kepada Bani Nadhir, apa jadi dengan anak cucu kita kemudian hari nanti? Mereka akan merempat di tanah air sendiri," balas Imran pula lalu melahirkan rasa kesalnya kerana sudah banyak tanah di Khaibar bertukar milik kepada orang Bani Nadhir.

     "Kamu jangan jadi bodoh kerana Bani Nadhir tidak lama di Khaibar. Mereka akan kembali ke Madinah tidak lama lagi," kata Durhum pula.

     "Saya yakin Bani Nadhir tidak dapat pulang semula ke Madinah kerana Muhammad dan pengikutnya berkuasa di sana. Mereka semakin bertambah kuat. Mereka dapat menghalau Bani Qainuqa' dan sekarang Bani Nadhir pula. Tidak lama lagi Bani Quraizah pula menerima nasib yang sama," kata Imran pula.

     "Salah mereka juga kerana membenarkan Muhammad dan pengikutnya datang ke Madinah. Salah kita juga kerana membenarkan Bani Nadhir datang ke sini," balas Jekob kawan baik Imran.

     Maka akhirnya terjadi pertengkaran antara mereka sehingga hampir terjadi pergaduhan. Mujur dapat dileraikan.

     "Jangan kita bergaduh sesama sendiri mengenai perkara ini. Bimbang nanti berlaku pertumpahan darah kelak kita juga yang rugi." Jayasyi lelaki paling tua di kalangan mereka berjaya meredakan suasana.

     Beberapa hari kemudian, Huyay dan Salam mengadakan perbincangan dengan ketua Yahudi Khaibar itu. Ketua Bani Nadhir itu menyatakan rancangan mereka mahu menyerang Madinah.

     "Kami sudah bertekad mahu merampas semula tanah air kami. Madinah akan kami serang. Muhammad dan semua pengikutnya mesti dibunuh. Selepas itu kami akan memerintah Madinah. Rancangan kami ini tidak akan berjaya tanpa bantuan penduduk Khaibar. Kerana itu bantulah kami supaya dapat kembali semula ke tanah air kami," kata Huyay memujuk Sulaimani membantunya.

     "Saya menyokong rancangan kamu itu. Malah saya yakin semua penduduk Khaibar pasti menyokongnya," kata Salamani dengan wajah yang gembira.

     Sekiranya Bani Nadhir kembali ke Madinah maka tidak timbul perbalahan dengan Imran dan kawan-kawannya. Penduduk Khaibar kembali bersatu tidak berpecah belah lagi dengan kedatangan Bani Nadhir.

     "Sekiranya tuan bersetuju maka bantulah kami dengan tentera, senjata dan makanan," pinta Huyay dengan harapan ketua Bani Khaibar itu memenuhi permintaannya.

     "Saya bersetuju dan sanggup membantu tetapi perkara ini tidak boleh dibuat dengan terburu-buru. Buat persiapan dan perancangan yang teliti sebelum melaksanakannya. Saya tidak mahu gagal kerana buruk padahnya," kata Sulaimani.

     "Apakah kamu tidak yakin rancangan itu beroleh kejayaan?" tanya Huyay pula.

     "Kedudukan Muhammad di Madinah semakin kuat. Tidak semudah itu kamu dapat mengalahkannya. Tambahan pula Bani Fazarah, Bani Ghatafan, Bani Khuraizah, dan beberapa kabilah Arab di sekitar Madinah sudah mengadakan perjanjian damai dengan Muhammad. Mereka akan membantu Muhammad mempertahankan Madinah," kata Sulaimani lalu melahirkan kebimbangan hatinya.

     "Kami akan memujuk semua kabilah Yahudi, Arab dan Badwi bergabung dengan kita. Dengan itu akan terbentuk sebuah angkatan tentera yang besar bagi menyerang Madinah. Saya yakin Muhammad dengan mudah dapat dikalahkan," kata Huyay dengan begitu yakin.

     "Sebagai balasannya kami sanggup berkongsi kuasa memerintah Madinah. Percayalah kami tidak lupa jasa mereka yang membantu kami," pujuk Salam pula.

     Akhirnya Sulaimani berjaya dipujuk. Namun dia tidak boleh membuat keputusan tanpa persetujuan para pemimpin Khaibar terutama Imran yang sering mempertikaikan keputusannya. Beliau segera mengadakan mesyuarat.

     "Membantu Bani Nadhir menyerang Madinah mengundang bahaya yang sangat besar. Sekiranya kita kalah maka Muhammad dan pasukan tenteranya akan menyerang Khaibar dan kita menerima nasib seperti Bani Qainqua' dan Bani Nadhir. Kita akan dihalau keluar dari sini. Apakah kamu sanggup meninggalkan Khaibar dan menjadi pelarian di tempat orang?" ternyata Imran tidak setuju dengan rancangan itu.

     "Lebih baik kita jangan masuk campur masalah mereka. Biarkan Bani Nadhir menyelesaikan masalah mereka sendiri. Itu lebih selamat," sokong Jayasyi pula.

     "Masalah Bani Nadhir adalah masalah kita juga. Sekiranya kita tidak membantu mereka akan terus menetap di Khaibar. Bimbang satu hari nanti timbul pula masalah kita dengan mereka. Kerana itu kita mesti membantu supaya mereka dapat pulang semula ke Madinah," kata Durhum pula yang menyokong supaya penduduk Khaibar membantu Bani Nadhir.

     "Setiap keputusan yang kita buat mesti menguntungkan penduduk Khaibar. Jangan membuat keputusan yang merugikan kita. Kerana itu sebelum kita membantu Bani Nadhir, suruh mereka membantu kita dulu." Jekob pula bersuara.

     "Apa bantuan yang kita mahukan daripada mereka?" tanya Sulaimani pula.

     "Orang Bani Nadhir pandai membuat benteng yang kukuh sehingga Muhammad dan pengikutnya tidak dapat menembusinya. Kerana itu kita minta bantuan orang Bani Nadhir membina benteng Khaibar. Dengan itu apabila terjadi peperangan dengan Muhammad, mereka tidak dapat mengalahkan kita," jawab Jekob.

     "Bukankah sekarang kita sudah mempunyai benteng yang kukuh? Saya yakin musuh tidak dapat memasuki benteng kita," kata Durhum pula.

     "Orang Bani Nadhir terkenal dengan kemahiran mereka membina benteng. Kita gunakan kepandaian mereka bagi membina lebih banyak benteng yang lebih kukuh dan selamat. Bukankah itu akan menguntungkan kita?" kata Imran menyokong cadangan Jekob.

     Cadangan itu akhirnya dipersetujui dengan sebulat suara. Kemudian Sulaimani menyampaikan keputusan mesyuarat itu kepada Huyay. Orang Bani Nadhir tidak ada pilihan selain bersetuju mengukuhkan lagi pertahanan Benteng Khaibar. Di sana terdapat sebanyak tujuh benteng dibina dengan nama-nama tersendiri iaitu Benteng Na'im tempat menyimpan senjata, Benteng Qamus tempat menyimpan makanan, Katibah bagi merawat mereka yang sakit, Nastat tempat kediaman perajurit, Syiq tempat mandian, Watih tempat latihan dan Sulaim tempat istirahat.

     Bagi memastikan keselamatan, di setiap benteng itu didirikan sebuah menara bagi membolehkan pengawal mengawasi wilayah di luarnya dan menyerang musuh dengan panah. Dinding benteng itu dibina dengan kukuh dan teguh tidak boleh ditebuk ataupun dirobohkan. Sesiapa yang cuba mendekatinya akan diserang dengan anak-anak panah dari atas menara. Dengan itu Benteng Khaibar adalah pertahanan Yahudi yang paling kuat. Mereka berasa selamat berada di dalam benteng itu lalu dinamakan 'Syurga Khaibar'.

     "Benteng Khaibar ini lebih kukuh daripada benteng kami di Madinah. Sekiranya dikepung musuh selama setahun kamu masih dapat menjalani kehidupan seperti biasa kerana di dalamnya disediakan pelbagai kemudahan," kata Huyay lalu memuji kepandaian orang Bani Nadhir membina benteng.

     "Kami mengucapkan terima kasih kerana mengukuhkan lagi Benteng Khaibar," kata Sulaimani pula.

     "Hanya sekadar ucapan terima kasih?" tanya Huyay yang berasa kecil hati seolah tidak dihargai.

     "Kami membantu kamu dengan membenarkan menumpang di perkampungan Khaibar. Kamu pula membantu kami mengukuhkan lagi Benteng Khaibar. Bukankah itu sudah memadai? Kita saling bantu membantu tanpa meminta balasannya," jawab Sulaimani.

     "Bukankah kamu berjanji membantu kami menyerang Madinah? Jangan kamu mungkiri janji itu," balas Huyay pula.

     "Memang benar kami berjanji membantu Bani Nadhir menyerang Madinah. Tetapi kami belum tetapkan apa bentuk bantuan yang dapat kami berikan." Sulaimani seperti mahu berhelah.

     "Bantulah kami dengan tentera, senjata dan makanan," pinta Huyay yang benar-benar mengharapkan Bani Khaibar membantu.

     "Kami akan putuskan dalam mesyuarat dengan pemimpin-pemimpin Bani Khaibar. Mereka sebulat suara bersetuju memberikan bantuan tetapi berbeza pendapat jenis bantuan yang akan diberikan.

     "Bani Nadhir mahukan kita membantu mereka dengan menghantar tentera, senjata dan makanan. Sekiranya mendapat persetujuan dalam mesyuarat ini, tidak menjadi masalah bagi kita memenuhi permintaan mereka kerana kita mempunyai pasukan tentera, senjata dan makanan yang secukupnya," kata Sulaimani yang berusaha meminta persetujuan ahli majlis mesyuarat.

     "Kita mempunyai ramai pahlawan yang terlatih dan bijak bertempur di medan perang. Sekiranya kita menghantar mereka ke medan perang semata-mata bagi membantu Bani Nadhir, dan sekiranya mereka terbunuh apa yang kita dapat selain kematian yang sia-sia? Sedangkan kita perlukan pahlawan-pahlawan bagi menjaga serta mempertahankan Benteng Khaibar. Kerana itu saya tidak setuju kita menghantar pasukan tentera membantu Bani Nadhir," kata Imran lalu menyatakan bantahannya.

     "Saya juga tidak setuju kerana kita memerlukan pahlawan yang ramai bagi mengawal Benteng Khaibar," sokong Jekob pula.

     "Sekiranya begitu kita berikan bantuan senjata," kata Sulaimani selepas ahli majlis mesyuarat sebulat suara menolak cadangan memberikan bantuan tentera kepada Bani Nadhir.

     "Kita mendapat senjata bukan secara percuma. Kita membelinya dari Rom dan Parsi. Senjata itu penting kepada kita bagi mempertahankan diri daripada serangan musuh. Kerana itu adalah sangat merugikan sekiranya senjata itu kita berikan kepada Bani Nadhir secara percuma." Bantahan Jayasyi itu mengecewakan Sulaimani kerana dia mengharapkan sokongannya.

     "Saya juga tidak setuju kita memberi bantuan senjata kepada Bani Nadhir," kata Imran dan disokong Durhum.

     "Bani Nadhir pasti tidak mampu membelinya kerana wang mereka sudah habis digunakan membeli tanah dan membina rumah kediaman. Kerana itu mereka mahu kita membantu secara percuma," kata Sulaimani yang berasa semakin simpati kepada Bani Nadhir.

     "Sekiranya begitu mari kita fikirkan apakah bantuan percuma yang mampu kita berikan dan tidak merugikan kita," kata Jayasyi pula.

     "Bagaimana sekiranya kita beri bantuan makanan?" kata Sulaimani selepas mereka menolak memberi bantuan tentera dan senjata.

     "Apa jenis makanan yang mahu kita berikan? Berapa banyak jumlahnya? Jangan sampai nanti kita kebuluran," kata Imran yang sering membuat bantahan.

     "Saya mencadangkan kita berikan buah kurma sahaja," kata Jayasyi mencadangkan.

     "Saya setuju," sokong Durhum.

     "Berapa jumlahnya?" tanya Jekob pula.

     "Saya mencadangkan kutipan buah kurma tahun hadapan kita berikan semuanya kepada Bani Nadhir," kata Sulaimani mencadangkan.

     "Maksud kamu kutipan kurma pada tahun depan semuanya diserahkan kepada Bani Nadhir?" jerkah Imran.

     "Benar," jawab Sulaimani.

     "Saya tidak setuju," bantah Imran.

     "Saya setuju," kata Jayasyi pula sambil tersenyum.

     "Gila. Tidak munasabah. Merugikan," marah Imran.

     "Ternyata lidah Imran lebih panjang dari akalnya," sindir Sulaimani sambil tersenyum sinis.

     "Apa maksud kamu?" marah Imran.

     "Tidakkah kamu tahu pada setiap sepuluh tahun berlaku satu tahun kemarau yang panjang. Mengikut ramalan saya pada tahun hadapan berlaku kemarau yang panjang. Pokok kurma tidak mengeluarkan buahnya. Sekiranya berbuah pun sedikit sahaja. Kerana itu apa salahnya kita berikan kepada Bani Nadhir," kata Sulaimani sambil tersenyum sinis kerana merasakan dirinya lebih cerdik daripada Imran.

     "Saya setuju sebab itu dari awal saya menyokong kita berikan bantuan buah kurma sahaja," kata Jayasyi pula yang turut tersenyum melihat Imran.

     "Saya juga menyokong kerana cadangan itu tidak merugikan kita. Bagi memastikan bekalan makanan kita mencukup maka bermula dari sekarang kita kumpulkan buah kurma dan makanan di dalam benteng," kata Jekob pula.

     "Saya bersetuju kita menyerahkan semua hasil tuaian buah kurma tahun hadapan kepada Bani Nadhir. Itu pun sekiranya mereka berjaya mengalahkan Muhammad dan menakluk Madinah. Sekiranya gagal, maka kita tidak perlu memberi apa-apa bantuan kepada mereka," kata Durhum sambil tertawa.

     Akhirnya Imran terpaksa akur dengan keputusan itu.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.