Saturday 27 January 2018

PERANG KHANDAQ [ BAB 12 - ANGKATAN PERANG BERSEKUTU ]






ANGKATAN PERANG BERSEKUTU








Abu Sufian berasa sangat malu kerana pasukan Quraisy kalah dalam Perang Badar. Tambahan pula perang itu berpunca daripada sikapnya yang terburu-burunya bagi menyelamatkan kafilah dagang dari dirampas Muhammad dan pengikutnya. Sedangkan kafilah dagang yang dipimpinya selamat sampai ke Mekah melalui pantai Laut Merah. Sekiranya dia tidak menyuruh Dhamdham pergi ke Mekah meminta bantuan, mungkin peperangan itu tidak berlaku.

     Abu Sufian juga berasa malu apabila pasukan Quraisy di bawah pimpinannya yang kononnya menang dalam Perang Uhud pulang ke Mekah tanpa membawa seorang pun tawanan perang dan tidak ada barang berharga yang dijadikan harta rampasan. Lebih memalukan kerana tidak dapat membunuh Nabi Muhammad dan tidak dapat menakluk Kota Madinah.

     Paling memalukannya apabila pasukan Quraisy yang di bawah pimpinannya digelar 'pahlawan Sawiq' apabila pulang dari Perang Badar kedua. Semasa Perang Uhud dan sebelum pulang ke Mekah dia mengajak Nabi Muhammad bertemu di Badar pada tahun berikutnya. Cabaran itu disambut oleh Muhammad. Apabila sampai masanya Nabi Muhammad datang ke Badar dengan pasukannya. Abu Sufian pula cuma pergi sekerat jalan dan terpaksa pulang ke Mekah selepas rasa takut berperang dengan Nabi Muhammad menguasai dirinya.

     Mereka diejek dengan panggilan 'pahlawan sawiq' kerana penduduk Mekah membekalkan mereka dengan makanan tradisi Arab yang digemari ramai bernama Sawiq sejenis tepung yang digoreng sehingga garing kemudian ditumbuk halus lalu dicampur dengan manisan dan sedikit daging. Mereka menghabiskan makanan itu sebelum pulang ke Mekah. Kerana itu mereka digelar 'Pahlawan Sawiq' bertujuan menghina Abu Sufian dan pasukan tenteranya.

     Sejak itu dia merasakan dirinya tidak lagi dipandang hebat oleh penduduk Mekah. Ke mana sahaja dia pergi, dia merasakan orang ramai memandangnya sambil mengejek. Kerana itu dendamnya kepada Nabi Muhammad tidak pernah padam malah semakin menyala.

     "Saya gembira apabila Muhammad kalah dalam perang Uhud. Kegembiraan saya semakin bertambah apabila ramai pengikutnya terbunuh di Raji' dan Bir Maunah. Saya menyangka ia pasti melemahkan Muhammad dan pasukan perangnya. Namun sangkaanku meleset kerana mereka bertambah kuat. Mereka menjadi semakin kuat apabila dapat memiliki rumah dan ladang peninggalan Bani Nadhir." Kata-kata Safwan itu menambahkan lagi sakitnya hati Abu Sufian.

     "Kita akan tebus kekecewaan penduduk Mekah dengan mengalahkan Muhammad. Kita akan berperang sekali lagi dengan mereka. Kali ini Muhammad dan pengikutnya mesti dikalahkan dan kita pulang dengan membawa kemenangan," kata Abu Sufian yang masih tidak mahu mengaku kalah.

     "Bagi mengalahkan Muhammad, kita mesti mempunyai tentera yang jumlahnya sepuluh kali ganda dari mereka. Sedangkan tentera kita berjumlah 1500 orang sahaja. Bagaimana hendak menjadikan mereka sepuluh kali ganda?" tanya Safwan sambil menggaru kepala.

     "Apakah kamu sudah lupa? Semasa Perang Uhud jumlah tentera Quraisy cuma lapan ratus orang. Kita berjaya dapatkan tentera dari kalangan orang Habsyi, Bani Kinanah dan Bani Tihamah menjadikan jumlah semuanya tiga ribu orang. Sekarang tentera Quraisy berjumlah 1500 orang, sekiranya kita dapat bantuan orang Habsyi, Bani Kinanah dan Bani Tihamah jumlah semuanya dapat meningkat sepuluh kali ganda," jawab Abu Sufian dengan penuh yakin walaupun dalam hatinya sendiri berasa kurang yakin.

     "Mereka tidak mahu lagi membantu kita. Buktinya apabila kita hendak ke Badar sekali lagi, orang Habsyi, Bani Kinanah dan Bani Tihamah menolak. Mereka tidak mahu menyertai kita walau dibayar dengan upah yang mahal," kata Safwan pula.

     Abu Sufian termenung kerana kata-kata Safwan itu ada benarnya. Mereka tidak dapat lagi mengharapkan bantuan orang Habsyi, Bani Kinanah dan Bani Tihamah. Tiba-tiba Abu Sufian mendapat satu idea.

     "Baru-baru ini Yahudi Bani Nadhir dihalau keluar dari Madinah. Sekarang mereka menumpang di Khaibar. Mereka tentu sanggup membantu kita mendapatkan semula tanah air mereka," kata Abu Sufian dengan wajah yang menampakkan harapan.

     "Benar katamu itu. Kita mesti pujuk Bani Nadhir bergabung dengan kita bagi memerangi Muhammad," kata Safwan dengan penuh bersemangat.

     Pada masa yang sama Huyay bin Akhtab, Sallam bin Misykam, Sallam bin Rabi' dan Kinanah bin Abu Huqaiq bertemu dengan Hauzah bin Qais dan Abu Ammar pemimpin Bani Wail yang tinggal di Khaibar.

     "Penduduk Khaibar juga masih menganggap kami orang asing walau sudah berpuluh tahun tinggal di sini. Kerana itu kami juga mahu kembali ke Madinah tempat asal nenek moyang kami," kata Hauzah sambil meluahkan rasa terkilannya dengan sikap penduduk Khaibar.

     Menurut Hauzah nenek moyang Bani Wail asalnya menetap di Madinah. Apabila berlaku peperangan antara kaum Aus dan Khazraj mereka berpindah ke Khaibar yang jauhnya kira-kira 130 kilometer dari Madinah. Kerana itu mereka menyimpan cita-cita mahu kembali ke Madinah.

     "Impian kita bagi kembali ke Madinah hanya tinggal impian selagi Muhammad dan pengikutnya masih berkuasa. Kerana itu mereka perlu dikalahkan dan Madinah perlu ditakluk semula," kata Huyay bin Akhtab pula.

     "Bani Nadhir dan Bani Wail perlu bersatu bagi menjayakan impian kita itu. Penduduk Khaibar juga menyokong kita. Mereka sanggup memberikan bantuan tentera, senjata dan makanan," kata Sallam pula yang sengaja mereka-reka cerita bagi meyakinkan Hauzah dan Abu Ammar.

     "Kita masih belum cukup kuat bagi mengalahkan Muhammad. Kerana itu kita terpaksa mengajak kaum yang lain membantu kita. Sekiranya dapat, kita ajak semua kabilah Arab dan Yahudi bersatu menyerang Madinah. Kita tubuhkan pasukan bersekutu," kata Abu Ammar pula.

     "Benar kata Abu Ammar, sekiranya dikumpulkan pahlawan Bani Nadhir dan Bani Wail tidak sampai seribu. Bagi memastikan kemenangan, kita perlu mempunyai angkatan tentera berjumlah sepuluh ribu orang," kata Hauzah pula.

     "Sebenarnya ramai yang memusuhi Muhammad. Selain Bani Nadhir dan Bani Wail, Bani Sulaim, Bani Qais, Bani Ailan juga memusuhi Muhammad. Sekiranya semua bersatu, jumlah kita menjadi ramai. Mungkin melebihi sepuluh ribu orang," kata Huyay dengan penuh yakin.

     "Apakah kamu sudah lupa kaum Quraisy di Mekah juga memusuhi Muhammad? Mereka pernah berperang di Badar dan di Uhud. Di Badar pasukan Muhammad mendapat kemenangan. Di Uhud pula pasukan Quraisy Mekah yang menang," kata Sallam bin Misykam pula.

     "Kita tidak dapat menaruh kepercayaan kepada mereka kerana mereka sama bangsa Quraisy. Muhammad bangsa Quraisy, Abu Sufian juga bangsa Quraisy. Tidak mustahil suatu ketika nanti mereka bersatu semula dan kita mereka musuhi," kata Hauzah melahirkan keraguannya.

     "Mustahil mereka dapat berdamai dan bersatu semula kerana permusuhan mereka berpunca daripada perbezaan fahaman agama. Muhammad dan pengikutnya menyembah Allah sedangkan Quraisy Mekah menyembah berhala. Kedua-dua pihak akan bermusuhan selama-lamanya," kata Huyay pula yang memahami punca permusuhan Quraisy Mekah dengan Nabi Muhammad.

     "Mari kita pujuk orang Quraisy Mekah bersatu dengan kita bagi menyerang Madinah. Sekiranya berjaya maka semua kabilah Arab di sekitar Mekah akan turut bergabung dengan kita," kata Kinanah pula.

     "Sekiranya begitu kita berenam pergi ke Mekah bagi bertemu dengan pemimpin Quraisy. Kita perlu memujuk mereka sehingga berjaya." Akhirnya Hauzah bersetuju dengan cadangan itu.

     Keesokan harinya empat orang pemimpin Bani Nadhir dan dua orang Bani Wail pergi ke Mekah menemui pemimpin Quraisy. Mereka bertemu dengan Abu Sufian bin Harb, Safwan bin Umaiyah, Suhail bin Amru, Al-Harith bin Hisyam, Abdullah bin Abu Rabiah dan Ikramah bin Abu Jahal.

     "Kami datang bagi meminta simpati daripada pemimpin Quraisy berkenaan nasib Bani Nadhir yang dihalau oleh Muhammad dari Madinah. Sekarang kami berada dalam kesengsaraan dan masih merempat tanpa arah tujuan. Buat masa sekarang kami tinggal di satu kawasan tandus antara Khaibar dengan Madinah," kata Huyay dengan wajah sedih bagi mendapatkan simpati pemimpin Quraisy.

     "Muhammad dan pengikutnya merampas rumah kediaman kami yang besar dan cantik. Mereka juga merampas kebun kurma dan buah-buahan kami yang banyak mengeluarkan hasil. Haiwan ternakan kami yang sedang membiak dengan banyaknya habis dirampas mereka. Sekarang Muhammad dengan pengikutnya sedang tertawa riang gembira sedangkan kami sedang sengsara," kata Sallam bin Misykam pula.

     "Kami Bani Wail berasa simpati dengan nasib malang yang menimpa Bani Nadhir. Walaupun kami sudah kaya-raya dan hidup senang di Khaibar namun perasaan simpati kami masih ada kepada Bani Nadhir. Kerana itu kami turut datang ke sini menemui tuan-tuan. Kami merayu jangan biarkan mereka terus berada dalam kesengsaraan," kata Hauzah sambil melahirkan rasa simpatinya terhadap orang Bani Nadhir.

     "Muhammad musuh kami dan musuh tuan-tuan juga. Kita adalah sahabat dalam menghadapi musuh yang sama. Kerana itu marilah kita bersatu bagi memerangi Muhammad dan membela Bani Nadhir," pujuk Abu Ammar pula.

     "Kami sudah bertemu dengan pemimpin Khaibar dan mereka bersetuju membantu kami. Kami juga sudah menemui Kaab bin Asad pemimpin Bani Quraizah dan mereka juga sanggup membantu kami. Sekarang kami menemui pemimpin Quraisy Mekah pula. Kasihanilah kami dan bantulah kami," kata Huyay dengan nada merayu simpati daripada pemimpin Quraisy. Dia sanggup berdusta bagi mendapat simpati mereka.

     Selepas mendengar kata-kata rayuan pemimpin Bani Nadhir dan Bani Wail itu maka Abu Sufian pun menyatakan rasa simpatinya kepada mereka.

     "Dahulu semasa kamu mengikat perjanjian damai dengan Muhammad kami anggap kamu juga adalah musuh kami. Tetapi sekarang selepas kamu memusuhi Muhammad maka kamu adalah sahabat kami," kata Abu Sufian bin Harb.

     Huyay bin Akhtab senang hati mendengar kata-kata Abu Sufian lalu berkata, "Benarlah seperti sangkaan kami pemimpin Quraisy lebih baik dan bertimbang rasa daripada Muhammad. Simpati tuan itu mengubat sedikit kesengsaraan kami."

     "Wahai pemimpin Quraisy yang bijaksana dan bertimbang rasa. Menyatakan rasa sahaja kepada Bani Nadhir masih belum mencukupi kerana mereka mahukan bantuan yang lebih mahal daripada itu," kata Hauzah pula. Dia juga berasa senang hati apabila ketua kaum Quraisy itu menyatakan rasa simpatinya.

     "Saya juga berasa simpati kepada Bani Nadhir. Saya sanggup memberikan apa sahaja yang mereka mahukan. Sekiranya kamu mahu meminjam harta, saya sanggup meminjamkan harta. Sekirany kamu mahu menyewa tanah saya sanggup menyewakan tanah saya," kata Safwan pula yang turut menyatakan rasa simpatinya.

     "Bani Nadhir mahu kembali semula ke Madinah. Kami Bani Wail sanggup membantu mereka. Kami yakin orang Quraisy juga sanggup membantu mereka," kata Hauzah lalu menyatakan kesanggupannya membantu Bani Nadhir pulang ke kampung halaman mereka.

     "Muhammad menghalau kami dari Madinah dengan kekerasan. Kerana itu kami perlu kembali ke Madinah juga dengan kekerasan. Kerana itu bantulah kami," kata Huyay pula.

     "Kami merancang hendak menyerang Madinah. Muhammad dan pengikutnya perlu dibunuh. Kerana itu kami datang bagi mendapatkan bantuan tuan-tuan. Marilah kita bersatu menyerang Madinah," pujuk Abu Ammar pula.

     Bagaikan orang yang lapar diberikan makanan, Abu Sufian berasa sangat gembira mendengarnya. Begitu juga dengan Safwan, Suhail, Al-Harith, Abdullah dan Ikramah. Namun mereka mahu menguji dahulu kesanggupan pemimpin Bani Nadhir itu.

     "Kami memusuhi Muhammad kerana fahaman agama. Dia dan pengikutnya menganut agama dari langit. Kami menganut agama dari bumi. Mereka menyembah Allah sedangkan kami menyembah berhala. Kamu adalah ahli kitab yang berpegang teguh pada agama kamu. Kamu juga banyak mengetahui perbezaan agama kami dengan agama Muhammad. Saya mahu bertanya, pada pendapat kamu apakah agama kami yang lebih baik ataupun agama Muhammmad? Sekiranya jawapan kamu menyenangkan hati kami maka kami sanggup membantu," kata Abu Sufian dengan tujuan hendak menguji kesetiaan pemimpin Yahudi Bani Nadhir itu.

     Sebelum itu Huyay dan kaum Yahudi yang lain menentang mereka yang menyembah berhala. Tambahan pula agama Yahudi sendiri melarang penganutnya menjadikan berhala sebagai sembahan mereka. Namun demi menjaga hati kaum Quraisy dan demi mendapatkan bantuan daripada mereka maka Huyay sanggup menjual agamanya.

     "Pada pandangan saya agama tuan-tuan lebih benar daripada agama yang dibawa Muhammad," kata Huyay tanpa ada rasa bersalah pada wajahnya.

     "Bagaimana pula pandangan yang lain?" tanya Safwan pula.

     "Saya setuju dengan kata-kata ketua kami, Huyay. Agama tuan lebih benar daripada agama Muhammad," sokong Sallam bin Masykam pula.

     Dia seorang pendeta Yahudi yang banyak mengetahui kandungan kitab Taurat dan Injil. Dia juga pernah mengakui Muhammad itu sememangnya pesuruh Allah dan agama Islam yang dibawanya adalah agama yang benar. Cuma dia menentang kerana Nabi Muhammad itu bukan orang Yahudi.

     Demi menjaga hati pemimpin Quraisy dan demi membalas dendam kepada Nabi Muhammad maka Sallam sanggup membelakangkan fahaman agamanya.

     Allah menurunkan firmannya,

     "Apakah kamu tidak memerhatikan mereka yang diberikan kitab, mereka percaya kepada jibt dan thaghut (nama berhala) dan mengatakan kepada kafir (musyrik Mekah) bahawa mereka itu lebih benar jalannya dari orang beriman. Mereka itulah orang yang dikutuk Allah. Barang siapa yang dikutuk Allah nescaya kamu tidak beroleh pertolongan." An-Nisa ayat 51-52.

     Pemimpin Quraisy berasa gembira mendengar kata-kata Huyay dan Sallam. Yakinlah mereka yang pemimpin Bani Nadhir itu benar-benar mengharapkan bantuan mereka.

     "Mulai sekarang kamu adalah sahabat kami. Kita akan bersama ketika susah dan senang. Kesengsaraan kamu adalah kesengsaraan kami juga. Kerana itu kami akan membantu kamu mendapatkan semula tanah air kamu," kata Abu Sufian sambil tertawa.

     "Sudah dua kali kami berperang dengan Muhammad. Kami tahu di mana kelemahannya. Peperangan kali ketiga ini kami yakin dapat mengalahkan mereka," kata Safwan pula.

     "Apakah kelemahan Muhammad? Beritahu kami supaya dapat kami gunakan bagi mengalahkannya,"kata Hauzah pemimpin Bani Wail.

     "Saya akan beritahu apabila sampai masanya nanti," dalih Safwan kerana dia sendiri tidak tahu di mana kelemahan Nabi Muhammad. Kata-katanya itu sekadar menunjukkan kesombongannya.

     "Sebagai menandakan kesetiaan dan kejujuran kita maka marilah kita berdiri di hadapan Kaabah memohon restu tuhan-tuhan kita," kata Abu Sufian.

     Tidak lama kemudian seramai lima puluh orang pemimpin Quraisy, empat orang pemimpin Bani Nadhir dan dua orang pemimpin Bani Wail berdiri di hadapan Kaabah. Mereka menyatakan ikrar bersatu bagi memerangi Nabi Muhammad. Kemudian mereka membuat surat perjanjian persahabatan saling bantu membantu. Surat perjanjian itu digantungkan pada dinding Kaabah.

     "Mulai sekarang kita berusaha memujuk semua kabilah Arab dan Yahudi bersatu dengan kita. Kami akan memujuk kabilah-kabilah Arab di sekitar Mekah dan kamu memujuk mereka yang di sebelah utara," kata Abu Sufian yang bertindak sebagai ketua.

     Huyay dan Hauzah menyatakan persetujuannya dan mereka berjanji akan memujuk semua orang Yahudi menyertai pakatan itu. Abu Sufian dan kawan-kawannya pula berjanji memujuk kabilah Arab di sekitar Mekah.

     Kemudian Huyay dan pembantunya menemui Qais pemimpin Bani Qais. Hauzah dan Abu Ammar pula menemui pemimpin Bani Ailan. Kedua-dua pemimpin Yahudi itu berjaya dipujuk dan mereka sanggup menyertai pasukan tentera bersekutu menyerang Madinah.

     "Mari kita pergi ke Tabuk menemui Al-Harith bin Auf Al-Murri pemimpin Bani Murrah. Mereka mempunyai empat ratus orang tentera yang terlatih dalam peperangan," kata Hauzah yang bertambah yakin usaha mereka pasti berjaya kerana semakin ramai yang bersedia menyertai mereka.

     Mana mungkin Huyay menolaknya. Mereka segera pergi ke Tabuk lalu memujuk Al-Harith bin Auf Al-Murri. Sekali lagi Huyay menggunakan kepetahannya bercakap bagi memujuk ketua Bani Murrah itu.

     "Atas rasa simpati terhadap Bani Nadhir maka saya akan kerahkan semua pahlawan Bani Murrah membantu kamu menyerang Madinah," kata Al-Harith sambil meluahkan rasa kebenciannya kepada Nabi Muhammad selepas dihasut oleh Huyay.

     "Sebagai balasannya kami benarkan Bani Murrah meneroka tanah di Madinah bagi tujuan bercucuk tanam tanpa dikenakan bayaran," kata Huyay yang sanggup berjanji asalkan maksudnya tercapai.

     "Selepas ini kami akan menemui Uyainah bin Hisn Al-Fazari ketua Bani Fazarah," kata Huyay selepas berjaya memujuk ketua Bani Murrah.

     "Uyainah baru sahaja mengikat perjanjian damai dengan Muhammad. Mana mungkin dia mahu bergabung dengan kita," kata Hauzah yang berasa ragu bagi menemui ketua Bani Fazarah itu.

     "Mari kita berusaha memujuknya sehingga berjaya. Sekiranya dia mahukan bayaran, kita penuhi kehendaknya asalkan mereka mahu menyebelahi kita," kata Sallam bin Masykam pula lalu menggesa mereka segera menemui Uyainah.

     Mereka pergi ke perkampungan Bani Fazarah lalu memujuk Uyainah. Pada mulanya kedatangan mereka disambut dengan kasar oleh pemimpin Bani Fazarah ini. Tambahan pula Uyainah memang terkenal sebagai seorang yang tidak pandai melayan tetamu.

     "Sekiranya kamu datang mahukan makanan saya tidak dapat memberinya kerana makanan sudah saya berikan kepada haiwan ternakan kerana mereka lebih berharga daripada kamu. Sekiranya kamu mahukan minuman pergi ke sungai sana dan minumlah sepuasnya," kata Uyainah sambil tertawa.

     Huyay dan kawan-kawannya turut tertawa kerana mereka sudah faham dengan sikap Uyainah yang perangainya bodoh-bodoh alang namun tetap ditaati oleh kaumnya kerana dia ketua mereka.
  
     "Kami datang bukan bagi meminta makanan ataupun minuman kerana kami ada membawanya. Kami datang bagi mengikat tali persahabatan dengan kamu," kata Huyay dengan suara yang lunak memujuk.

     "Muhammad juga pernah datang menemui saya. Dia juga mengajak saya menjadi sahabatnya. Kami pun mengikat perjanjian damai. Kerana itu saya kurang senang dengan kedatangan kamu yang menjadi musuh Muhammad," kata Uyainah berterus terang.

     "Memang benar kami memusuhi Muhammad dan kami akan menyerang mereka tidak lama lagi. Marilah bergabung dengan kami," pujuk Huazah

     "Saya baru sahaja mengikat perjanjian dengan Muhammad. Sebagai balasannya Muhammad membenarkan kami membawa binatang ternakan ke kawasan padang rumput berhampiran dengan Madinah. Kerana itu saya tidak mahu menyebelahi kamu," kata Uyainah yang terkenal dengan sikapnya yang suka berterus terang.

     "Bani Fazarah tidak akan rugi sekiranya menyebelahi kami. Lagipun kami tidak minta kamu batalkan perjanjian damai dengan Muhammad. Teruslah berpura-pura baik dengan Muhammad. Apabila sampai masanya nanti baru kamu membantu kami mengalahkannya," pujuk Hauzah pula.

     "Sebagai balasannya kawasan padang rumput itu akan menjadi milik Bani Fazarah," sokong Huyay pula.

     Uyainah akhirnya terpengaruh dengan pujukan Huyay dan Hauzah sehingga sanggup berpaling tadah serta melupakan perjanjiannya dengan Nabi Muhammad.

     Namun tindakan Uyainah itu mendapat bantahan daripada kaumnya sendiri. Tambahan pula ramai antara mereka yang sudah mula berjinak-jinak dengan Islam sejak termeterainya perjanjian damai dengan Nabi Muhammad. Akibat tindakan Uyainah itu daripada empat ribu pengikutnya, cuma satu ribu yang bersetuju bergabung dengan pasukan bersekutu. Mereka yang lain berkecuali.

     Kemudian Huyay dan kawan-kawannya berjaya memujuk Mas'ud bin Rukhailah pemimpin kabilah Asyja' yang sanggup menghantar seramai empat ratus orang pahlawannya. Selepas itu mereka berjaya juga memujuk beberapa kabilah Yahudi bergabung dengan mereka.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment