Sunday 7 January 2018

PERANG UHUD [ BAB 12 - PAHLAWAN-PAHLAWAN ISLAM ]






PAHLAWAN-PAHLAWAN ISLAM








Gunung Uhud bermandikan darah. Pemandangan begitu mengerikan. Mayat-mayat bergelimpangan tanpa sempat dipedulikan. Mereka yang cedera menahan kesakitan. Bau hanyir darah menusuk hidung. Namun pertempuran masih berterusan. Pahlawan-pahlawan Islam semakin bersemangat apabila berasa yakin kemenangan berpihak kepada mereka. Kehebatan serang balas daripada pasukan tentera Islam menyebabkan tentera Quraisy berpecah belah dan pertahanan mereka semakin lemah.

     Ramai pasukan Quraisy lari lintang pukang menyelamatkan diri dengan meninggalkan harta mereka. Kaum wanita pula menanggalkan gelang kaki dan tangan lalu dibuang ke tanah dengan harapan mereka tidak dikejar pasukan Muslimin. Apabila melihat harta bersepah di depan mata maka ramai pasukan Muslimin gelap mata lalu berebut-rebut mengambilnya. Panglima Khalid Al-Walid yang melihat situasi itu dari jauh dapat menghidu kelemahan pasukan lawannya. Dia menyuruh sekumpulan tenteranya meletakkan harta itu di kaki Bukit Rumat dan kemudian pura-pura melarikan diri. Arahan itu segera dipatuhi. Beberapa orang tentera berkuda kelihatan membawa banyak harta kemudian meninggalkan di kaki Bukit Rumat dengan tujuan menjadi umpan kepada pasukan pemanah yang berkubu di puncak bukit.

     "Musuh telah lari meninggalkan harta mereka. Kita telah menang. Ayuh mari kita ambil harta itu!" teriak salah seorang pasukan pemanah di puncak Bukit Rumat.

     "Mari kita ambil sebelum dijumpai oleh orang lain," teriak yang lain pula.

     Mereka pun berebut-rebut menuruni Bukit Rumat. Abdullah bin Jubair melarang mereka turun.

     "Rasulullah berpesan kepada kita jangan tinggalkan tempat ini sama ada kita menang ataupun kalah. Apakah kalian lupa pesan Rasulullah?" teriak Abdullah bin Jubair.

     Namun kata-kata amaran Abdullah itu tidak dihiraukan. Harta yang sengaja ditinggalkan oleh pasukan berkuda Khalid Al Walid itu membuat mereka silau mata lalu melupakan pesanan nabi mereka. Seramai 40 orang pasukan pemanah turun dari Bukit Rumat. Mereka berebut-rebut mengumpulkan harta itu. Hanya sepuluh orang sahaja yang masih kekal di atas bukit kerana patuh dengan perintah Rasulullah.

     Khalid Al-Walid seorang pahlawan Quraisy yang bijak dan berani, tidak melepaskan peluang itu. Dia memimpin pasukan tentera berkudanya melakukan serangan kilat ke atas pasukan pemanah yang sudah turut dari Bukit Rumat. Pada waktu itu, 40 orang pasukan pemanah sedang sibuk mengumpulkan harta hingga tidak sedar bahaya yang sedang menimpa. Tiba-tiba mereka diserang oleh pasukan berkuda Quraisy. Ramai yang terbunuh dan sebahagian lagi terpaksa melarikan diri. Kemudian Khalid Al-Walid memerintahkan pasukan berkudanya memanjat Bukit Rumat bagi menghapuskan sepuluh orang pasukan pemanah yang masih bertahan di bukit itu.

     Dalam sekelip mata keadaan berubah apabila pasukan tentera Quraisy yang dipimpin Khalid Al-Walid dapat menguasai Bukit Rumat. Mereka berteriak memanggil pasukan Quraisy berpatah semula ke medan perang. Teriakan itu mengembalikan semula semangat pasukan tentera Quraisy. Mereka berpatah semula ke Gunung Uhud.

     Ketika itu Nabi Muhammad berada di barisan belakang. Baginda sedang melihat suasana yang berlaku. Tiba-tiba baginda melihat sepasukan tentera berkuda Quraisy sedang menuju ke arahnya. Pada waktu itu, baginda hanya mempunyai dua pilihan sama ada melarikan diri ataupun menentang musuh yang datang.

     "Wahai hamba Allah, kemarilah bersama aku!" teriak Nabi Muhammad.

     Pada mulanya tentera berkuda Quraisy itu tidak tahu itu adalah Nabi Muhammad yang sedang mereka cari. Apabila mendengar suaranya maka mereka pun menyerbu.

     Pada masa yang sama beberapa orang pahlawan Islam yang berada di situ juga terdengar suara Nabi Muhammad. Mereka segera mendatanginya tanpa menghiraukan keselamatan diri masing-masing. Mereka berlumba-lumba untuk melindungi Rasulullah. Tetapi jumlah mereka hanya sembilan orang sahaja.

     Di tengah medan perang di kaki Gunung Uhud pula, suasana begitu kelam-kabut dan haru-biru sehingga mereka tidak kenal mana satu kawan dan lawan. Malah ada yang bertempur sesama sendiri.

     "Hai hamba Allah, berlindung daripada orang yang berada di belakang kalian," teriak satu suara.

     Mendengar teriakan itu, maka mereka yang berada di hadapan berundur ke belakang. Ini menjadikan keadaan menjadi bertambah kelam-kabut sehingga berlaku pertempuran sesama sendiri.

     Abdullah bin Hudzaifah melihat sendiri ayahnya Hudzaifah diperangi oleh pasukan Muslimin. Dia berteriak mengatakan ayahnya dari pasukan tentera Islam namun jeritan itu tidak didengari dan akhirnya Hudzaifah dibunuh oleh kawannya sendiri.

     Dalam suasana yang kelam kabut itu juga beberapa orang pahlawan Quraisy mencari Rasulullah untuk dibunuh. Antaranya seorang lelaki bernama Ibnu Qami'ah. Apabila dia mendengar suara Nabi Muhammad memanggil sahabat-sahabatnya, dia meluru ke arah datangnya suara itu kerana yakin itu adalah suara Nabi Muhammad.

     Tidak jauh dari situ seorang serikandi Muslimah bernama Ummu Umara binti Al-Qamah Al-Harithsiyyah menunjukkan keberaniaannya dengan mengambil bendera pasukan Quraisy yang jatuh ke tanah lalu mengoyakkannya.

     Kemudian dia menjulang bendera itu sambil berteriak, "Wahai pahlawan-pahlawan Islam. Lihatlah bendera musuh sudah aku musnahkan. Marilah berkumpul di sini dan berjuang bersama Rasulullah."

     Tiba-tiba Ummu Umara belihat Ibnu Qami'ah sedang meluru ke arah Nabi Muhammad hendak membunuhnya. Serikandi Islam itu cuba menghalangnya dengan menetak bahu Ibnu Qami'ah dengan pedang tetapi lawannya itu memakai baju besi. Kemudian Ibnu Qami'ah pula menyerang Ummu Umara sehingga wanita itu cedera parah. Pada tubuhnya terdapat kesan luka sebanyak dua belas liang.

     Ummu Umara wanita Ansar. Dia menyertai perang Uhud bersama suami dan anak-anak lelakinya. Sebelum bertempur dengan Ibnu Qami'ah, beliau telah bertempur dengan tentera Quraisy dengan gagah berani. Beliau bagaikan singa betina yang terluka menentang musuhnya sehingga berjaya mencederakan beberapa orang tentera Quraisy.

     Mush'ab bin Umair yang ditugaskan membawa bendera pasukan Islam berada tidak jauh dari situ. Apabila melihat Ibnu Qami'ah menyerang Ummu Umara dia segera datang menyelamatkan serikandi Islam itu. Mush'ab segera menyerang Ibnu Qami'ah.

     Semasa menentang lawannya Mush'ab tetap memegang bendera dengan tangan kanan dan memegang senjata dengan tangan kirinya. Semasa bertarung akhirnya Ibnu Qami'ah dapat menetak tangan kanan Mush'ab hingga putus. Dengan pantas Mush'ab mencampakkan pedang lalu menyambut bendera itu dengan tangan kirinya. Ibnu Qami'ah menetak tangan kiri Mush'ab hingga putus dan bendera itu terjatuh ke tanah. Mush'ab merebahkan tubuhnya melindungi bendera itu sebelum ditikam oleh Ibnu Qami'ah. Ibnu Qami'ah menyangka Mush'ab itu adalah Nabi Muhammad kerana wajah kedua-duanya seiras.

     "Muhammad sudah aku bunuh!" teriak Ibnu Qami'ah berulang kali kerana menyangka Mush'ab itu Rasulullah.

     Apabila mendengar Nabi Muhammad terbunuh pasukan Muslimin menjadi keliru dan kelam-kabut. Mereka kehilangan arah untuk meneruskan pertempuran. Ada yang tidak mahu lagi berperang lalu mencampakkan senjatanya. Malah ada yang sanggup meminta perlindungan daripada Abu Sufian. Namun masih ramai juga yang terus berjuang. Mereka terdiri dari pahlawan-pahlawan yang taat setianya tidak berbelah bahagi terhadap Rasulullah.

     Anas bin Nazhar yang sedang meminum air kerana kehausan apabila terdengar suara yang mengatakan Nabi Muhammad terbunuh, membuang air minumannya lalu mendapatkan kawan-kawannya.

     "Mengapa kalian berhenti berperang?" marah Anas.

     "Nabi Muhammad sudah terbunuh," jawab mereka.

     "Jika nabi kita sudah terbunuh buat apa lagi kita hidup? Mari kita menyusuli beliau," kata Anas lalu meluru ke arah pasukan Quraisy.

     "Wahai Anas, mahu ke mana?" teriak Sa'ad bin Mu'adz.

     "Wahai Sa'ad. Aku tercium bau syurga di kaki Gunung Uhud," jawab Anas.

     Anas terus menerjah pasukan tentera Quraisy yang sedang berkumpul di kaki Gunung Uhud. Anas berjaya membunuh beberapa orang musuhnya. Tentera Quraisy segera mengepung Anas dan akhirnya pahlawan Islam itu gugur syahid. Pada tubuhnya terdapat 80 kesan luka yang dalam akibat ditikam dengan tombak, ditetak dengan pedang dan ditusuk anak panah.

     "Wahai kaum Ansar, kita berperang kerana Allah. Jika Muhammad terbunuh maka Allah tetap hidup dan tidak akan mati. Mari berperang demi agama Islam dan Allah akan menolong kita," teriak Tsabit bin As-Dahdah.

     Teriakan Tsabit itu disahut oleh beberapa orang pahlawan Ansar. Mereka berganding bahu menyerang pasukan berkuda di bawah pimpinan Khalid Al-Walid. Selepas lama bertempur akhirnya Tsabit dan kawan-kawannya gugur syahid setelah berjaya menewaskan beberapa orang pasukan berkuda Quraisy itu.

     Ketika itu Nabi Muhammad berada di barisan belakang pasukan Muslimin. Baginda hanya bersendirian kerana tidak ada sesiapa yang menemaninya. Tiba-tiba muncul Abdullah bin Syihab Az-Zuhri di hadapan Rasulullah lalu berteriak, "Tunjukkan aku di mana mayat Muhammad. Aku tidak akan selamat jika dia masih hidup."

     Abdullah bin Syihab Az-Zuhri tidak kenal Nabi Muhammad kerana belum pernah melihatnya. Setelah puas mencarinya maka dia segera beredar dari situ.

     "Aku akan mencari Muhammad. Jika dia masih hidup aku akan bunuh dia dengan pedangku ini. Jika dia sudah mati aku akan cincang mayatnya," kata Abdullah.

     "Marilah datang kepadaku, aku adalah Rasulullah," teriak Nabi Muhammad.

     Teriakan itu turut didengar tentera Quraisy termasuk Abdullah bin Syihab Az-Zuhri. Mereka meluru ke arah Nabi Muhammad dan hendak membunuhnya tetapi segera dihalang oleh sembilan orang sahabat yang turut datang mendapatkan Rasulullah. Mereka terdiri daripada dua orang Muhajirin dan tujuh orang Ansar. Semakin lama, semakin ramai tentera Quraisy menyerbu ke arah Nabi Muhammad dengan niat mahu membunuhnya.

     "Sesiapa yang menangkis serangan mereka terhadap kami, dia memperoleh syurga," kata Nabi Muhammad.

     Mendengar kata-kata Rasulullah itu maka tampil seorang pahlawan kaum Ansar lalu menghalang serangan musuh sehingga dia gugur syahid. Kemudian tampil seorang lagi pahlawan Ansar juga menentang musuh yang hendak menyerang Rasulullah sehingga dia juga gugur syahid. Maka berturut-turut orang Ansar mempertahankan Rasulullah hingga sampai yang ketujuh iaitu Imarah bin Yazid. Dia berjaya menangkis serangan musuh sebelum dia mendapat luka parah.

     Daripada sembilan orang kaum muslimin yang melindungi Rasulullah enam orang telah gugur syahid dan seorang luka parah. Thalhah bin Ubaidillah dan Saad bin Abi Waqqas yang masih setia melindungi Rasulullah. Apabila melihat Nabi Muhammad hanya dilindungi dua orang sahabatnya maka tentera Quraisy menumpukan serangan terhadap mereka.

     "Siapakah yang bersedia menangkis serangan mereka?" tanya Rasulullah.

     "Saya," jawab Thalhah bin Ubaidillah.

     Kemudian dia bertempur hebat untuk melindungi Rasulullah sehingga pada tubuhnya terdapat 39 luka akibat tikaman senjata musuh. Namun dia masih berupaya bertempur untuk melindungi Nabi Muhammad.

     Melihat keadaan itu maka Nabi Muhammad berkata, "Sesiapa yang ingin melihat seorang yang syahid berjalan di muka bumi maka lihatlah Thalhah bin Ubaidillah."

     Saad bin Abi Waqqas juga turut menentang serangan musuh. Dia menggunakan kemahirannya untuk memanah musuh. Nabi Muhammad menghulurkan anak-anak panah kepada Saad lalu menyuruhnya melepaskan anak-anak panah itu.

     Dalam keadaan yang gawat dan genting itu tiba-tiba muncul Uthbah bin Abi Waqqas lalu melepaskan anak panah ke arah Rasulullah dan mengenai pipi baginda hingga terkena gigi seri bawah sebelah kanan. Bibir baginda juga terluka.

     Saad bin Abi Waqqas bertindak hendak membunuh adiknya itu tetapi Uthbah berjaya melepaskan diri lalu dikejar oleh Hathib bin Abi Balta'ah. Dia datang ke situ untuk melindungi Rasulullah. Saad bin Abi Waqqas menyuruh Hathib mengejar adiknya kerana telah mencederakan Rasulullah. Hathib dapat memenggal leher Uthbah sehingga kepalanya terpelanting jatuh ke tanah. Kemudian Hathib mengambil kuda dan senjata Uthbah lalu menggunakannya untuk menentang tentera Quraisy.

     Nabi Muhammad ketika itu masih berada di tempatnya. Beliau yang baru cedera akibat terkena panah Uthbah hanya dilindungi Saad bin Abi Waqqas. Tiba-tiba muncul beberapa orang tentera Quraisy hendak membunuh Rasulullah. Saad menentang mereka bermati-matian. Dalam keadaan yang kelam kabut itu, Abdullah bin Syibah Az-Zuhri dapat menghampiri Rasulullah lalu memukulnya dan terkena pada dahi baginda. Kemudian datang pula Abdullah bin Qami'ah melibaskan pedangnya tetapi mengenai baju besi yang dipakai Nabi Muhammad. Kemudian Abdullah bin Qami'ah memukul bahagian atas pipi Rasulullah sehingga perisai muka dan penutup kepada baginda pecah dan serpihan besinya melekat pada pipi dan rahang Rasulullah.

     "Kamu rasakanlah pukulan aku anak Qami'ah," kata Abdullah bin Qami'ah dengan bangga.

     Rasulullah mengusap darah yang meleleh pada wajahnya lalu berkata, "Semoga Allah menghinamu."

     Ketika itu Rasulullah mendapat cedera. Gigi serinya patah, kepalanya terluka dan ada besi tertanam pada pipinya.

     Nabi Muhammad menyapu darah yang mengalir pada lukanya sambil berkata, "Bagaimana boleh beruntung suatu kaum yang melukai wajah nabi mereka dan mematahkan gigi serinya pada hal dia mengajak mereka menuju jalan Allah."

     Ketika itu turun ayat al-Quran surah Ali Imran ayat 128.
     "Tidak ada sedikitpun campur tanganmu dalam urusan mereka itu, atau Allah Taala menerima taubat mereka atau mengazab mereka. Sesungguhnya mereka itu adalah orang-orang yang zalim."

     Dalam saat yang genting itu, Allah memberikan pertolongan melalui dua malaikat Jibrail dan Mikail yang menjelma sebagai manusia yang berpakaian serba putih berada di sisi Rasulullah. Kedua-dua orang lelaki itu melindungi Rasulullah serta menangkis serangan orang Quraisy.

     "Marilah datang kepadaku. Aku adalah Rasulullah," teriak Nabi Muhammad memanggil para sahabatnya yang ketika itu sedang bertempur dengan musuh dalam jarak yang agak jauh dari beliau.

     Apabila mendengar kata-kata Rasulullah itu beberapa orang sahabatnya datang mendapatkan Rasulullah. Orang yang pertama sampai adalah Abu Bakar As-Siddiq. Kemudian diikuti oleh Abu Ubaidah al-Jarrah. Ketika itu Thalhah jatuh tersungkur akibat serangan tentera Quraisy.

     "Tolonglah saudara kalian. Dia sudah terjatuh," kata Nabi Muhammad.

     Abu Bakar segera mendapatkan Thalhah lalu membawanya kepada Rasulullah. Beliau membaca doa serta menyapukan tangannya pada luka-luka yang terdapat pada tubuh Thalhah.

     Tiba-tiba Abu Bakar As-Siddiq melihat ada serpihan besi melekat pada pipi dan menembusi rahang Rasulullah. Abu Bakar cuba mencabut besi itu.

     "Wahai Abu Bakar, biarkan sahaja aku yang mencabutnya," kata Abu Ubaidah Al-Jarrah.

     Kemudian dia mencabut besi itu dengan giginya sehingga beberapa batang giginya patah. Malik bin Sinan segera menghisap darah yang keluar dari bekas luka pada rahang Rasulullah.

     "Muntahkanlah," kata Rasulullah.

     Tetapi Malik bin Sinan tidak memuntahkannya.

     Dia menelannya kemudian berkata, "Demi Allah, apabila darah Rasulullah sudah berada dalam mulutku, aku tidak mahu memuntahkannya."

     "Barang siapa ingin melihat ahli syurga, maka lihatlah orang ini," kata Nabi Muhammad sambil menunjuk ke arah Malik bin Sinan.

     Kemudian Malik bin Sinan menyerbu ke arah musuh yang cuba menyerang Nabi Muhammad sehingga akhirnya gugur syahid.

     "Nabi Muhammad masih hidup," teriak satu suara.

     Mendengar teriakan yang kuat itu maka beberapa orang pahlawan Islam datang mendapatkannya. Antara mereka adalah Abu Dujanah, Mush'ab bin Umair, Ali bin Abi Talib, Sahl bin Hanif, Qatadah bin An Nu'man, Hathib bin Abi Balta'ah, Abu Thalhah dan Umar al-Khattab. Mereka melindungi Rasulullah dengan menjadikan diri mereka sebagai perisai.

     Pada masa yang sama tentera Quraisy juga semakin ramai yang datang menyerang. Mereka ditentang oleh pahlawan-pahlawan Islam yang berada di sekeliling Rasulullah. Pasukan berkuda Khalid Al-Walid menyerang Rasulullah dengan anak-anak panah. Abu Dujanah menjadikan belakangnya sebagai perisai untuk melindungi Rasulullah sehingga beberapa batang anak panah melekat di belakangnya namun tidak dihiraukannya. Abu Dujanah terus bertahan melindungi Rasulullah.

     Saad bin Abi Waqqas pula terus melepaskan anak-anak panah bagi membalas serangan tentera berkuda yang dipimpin Khalid Al-Walid. Nabi Muhammad sendiri walaupun dalam keadaan terluka turut menentang musuhnya. Beliau mengambil busar panah kepunyaan Qatadah bin An-Nu'man lalu memanah musuh sehingga tali busar panah itu putus.

     Qatadah yang turut melindungi Nabi Muhammad mendapat cedera pada bahagian matanya apabila terkena anak panah musuh. Sebelah mata Qatadah terkeluar. Nabi Muhammad membaca doa kemudian memasukkan semula mata Qatadah di tempatnya. Dengan izin Tuhan mata itu pulih semula seperti sediakala.

     Abdul Rahman bin Auf pula muncul lalu terus bersama rakan-rakannya melindungi Rasulullah. Tubuh beliau juga menjadi sasaran anak panah dan tombak musuh sehingga terdapat luka pada tubuhnya sebanyak lebih 20 tempat. Beliau juga mendapat cedera pada kaki sehingga berjalan pincang.

     Ali bin Abi Talib pula apabila melihat Mush'ab pembawa bendera telah syahid lantas mengambil bendera itu lalu menjulangnya. Beberapa orang tentera Quraisy cuba merebut bendera itu tetapi ditentang oleh Ali berhabis-habisan.

     Selepas mendengar khabar Nabi Muhammad terbunuh, maka semangat juang Ka'ab bin Malik semakin meningkat. Dia ingin syahid supaya dapat bertemu dengan Rasulullah di alam akhirat. Tetapi tuhan belum mengizinkan dia syahid. Sewaktu Ka'ab menggempur musuh-musuhnya, tiba-tiba dia ternampak Rasulullah lalu segera mendapatkannya.

     "Wahai kaum Muslimin. Bergembiralah kerana Rasulullah masih hidup. Beliau ada bersama aku di sini," teriak Ka'ab dengan suara yang nyaring.

     Nabi Muhammad memberi isyarat supaya Ka'ab diam kerana bimbang kehadirannya diketahui musuh tetapi kerana terlalu gembira melihat Rasulullah masih hidup maka Ka'ab memberitahu kawan-kawannya Rasulullah masih hidup.

     Apabila mendengar sahaja suara Ka'ab yang mengatakan Rasulullah masih hidup maka mereka pun segera mendapatkannya. Kini seramai 30 orang sahabat berada di sekeliling Rasulullah dan mereka bersedia menggadai nyawa melindunginya. Rasulullah mengajak mereka berundur ke lereng Bukit Uhud tetapi perjalanan mereka dihalang oleh pasukan berkuda Quraisy.

     Usman bin Abdillah bin Mughirah salah seorang tentera berkuda Quraisy tiba-tiba muncul lalu berteriak, "Aku akan bunuh Muhammad. Aku tidak akan selamat jika dia masih hidup."

     Kemudian Usman memacu kudanya ke arah Nabi Muhammad. Tiba-tiba kaki kudanya terperosok ke dalam lubang lalu terjatuh. Al-Haris bin Ash-Shamah segera mendapatkan Usman lalu membunuhnya. Kemudian datang pula Abdullah bin Jabir lalu menyerang Al-Haris sehingga beliau cedera. Abu Dujanah segera bertindak menyerang Abdullah bin Jabir yang berada di atas kudanya. Dengan sekali libasan pedang yang diberikan Rasulullah, Abdullah bin Jabir tersungkur.

     Melihat kehebatan serta keberanian pahlawan-pahlawan Islam berjuang serta melindungi Rasulullah menyebabkan pasukan tentera berkuda Quraisy tidak berani lagi melakukan serangan dari jarak dekat. Kesempatan itu digunakan oleh Rasulullah untuk berundur ke lereng Gunung Uhud. Ketika dalam perjalanan itu ada sebuah batu besar yang menghalang perjalanan mereka. Nabi Muhammad cuba memanjat batu itu tetapi tidak berjaya kerana dia memakai baju besi dan terluka. Tiba-tiba Thalhah menundukkan badannya supaya Rasulullah dapat naik di atas belakangnya untuk mendaki batu besar itu.

     "Selayaknya Thalhah mendapatkan syurga," kata Rasulullah.

     Ketika Rasulullah sedang duduk di atas batu itu tiba-tiba datang Ubai bin Khalaf lalu berkata, "Di mana Muhammad? Aku tidak akan selamat jika dia masih selamat."

     "Wahai Rasulullah, bolehkah kami menyerangnya?" tanya Harith bin Ash-Shamah.

     "Biarkan dia," jawab Nabi Muhammad.

     Apabila Ubai menghampiri tempat itu maka Rasulullah mengambil tombak kepunyaan Harith lalu melemparkannya kepada Ubai sehingga dia tersungkur dari kudanya. Tetapi Ubai masih mampu berdiri kepada pasukannya.

     "Muhammad berada di lereng Gunung Uhud. Dia telah melukai aku," beritahu Ubai kepada kawan-kawannya. Tidak lama kemudian dia meninggal dunia.

     Suatu ketika dahulu iaitu sebelum Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah, Ubai bin Khalaf pernah berkata, "Wahai Muhammad. Aku mempunyai seekor kuda yang tangkas kerana aku memberinya makanan setiap hari. Suatu hari nanti aku akan membunuh kamu sambil menunggang kudaku itu."

     "Bahkan aku yang akan membunuh kamu dengan izin Allah," kata Nabi Muhammad pula.

     Kini terbukti betapa benarnya kata-kata Rasulullah itu. Ubai bin Khalaf datang kepada Nabi Muhammad sambil menunggang kudanya. Dia cuba membunuh Rasulullah tetapi akhirnya dia mati di tangan Rasulullah.

     Abu Sufian dan Khalid Al-Walid tidak menghiraukan lagi Ubai bin Khalaf. Mereka membawa pasukan tentera Quraisy ke tempat yang ditunjukkan oleh Ubai. Apabila melihat kedatangan tentera Quraisy yang begitu ramai maka Nabi Muhammad pun berdoa, "Ya Allah jangan sampai mereka mendapatkan kami."

     Umar Al Khattab, Ali bin Abu Talib dan Abu Ubaidah Al-Jarrah menghalang kedatangan pasukan Quraisy itu sehingga mereka terpaksa lari bercerai-berai selepas ramai yang terbunuh. Kemudian Khalid Al-Walid memerintahkan 10 orang tenteranya mendaki lereng bukit di mana Nabi Muhammad sedang duduk.

     "Lawanlah mereka," kata Rasulullah kepada Saad bin Abi Waqqas.

     "Saya tidak mahu berjauhan denganmu wahai Rasulullah. Bagaimana saya hendak melawan mereka," kata Saad bin Abi Waqqas.

     "Lawanlah mereka," kata Rasulullah lagi.

     "Saya sedang melindungimu wahai Rasulullah. Bagaimana saya hendak melawan mereka?" kata Saad bin Abi Waqqas pula.

     "Lawanlah mereka," kata Rasulullah untuk kali yang ketiga.

     Saad bin Abi Waqqas kemudian mengambil sebilah pedang lalu merejamkannya kepada salah seorang tentera Quraisy yang sedang memanjat bukit menyebabkan tentera itu jatuh ke bawah bukit.

     Kemudian datang seorang lagi tentera Quraisy hendak membunuh Rasulullah. Sa'ad memanah mereka seorang demi seorang sehingga anak panahnya kehabisan. Tiba-tiba Rasulullah menghulurkan anak panah kepada Saad lalu menyuruhnya terus melepaskan anak-anak panah ke arah musuh yang datang. Akhirnya pasukan tentera Quraisy berundur selepas gagal membunuh Nabi Muhammad.

     Tidak lama kemudian, Abu Sufian memerintahkan pasukan tenteranya pulang ke Mekah. Sebelum meninggalkan medan perang, tentera Quraisy melepaskan kemarahan dan dendam mereka dengan mencincang mayat-mayat pahlawan Islam yang syahid.

     Hindun pergi sekali lagi mendapatkan mayat Hamzah bin Abdul Mutalib yang dibunuh oleh Wahsyi. Dia membelah perut Hamzah. Kemudian membelah dadanya sekali lagi lalu mengambil hatinya. Sekali lagi dia cuba menelan hati Hamzah tetapi tidak berjaya. Hindun terpaksa memuntahkan semula dari dalam mulutnya. Kemudian Hindun memotong telinga dan Hamzah untuk diikat pada gelang kakinya.

     Ketika pertempuran sedang berlaku di Gunung Uhud, beberapa orang serikandi Islam seperti Aisyah binti Abu Bakar, Ummu Sulaiman dan Ummu Aiman datang untuk memberikan bantuan.

     Di pertengahan jalan mereka bertemu dengan beberapa tentera Islam yang lari dari medan perang lalu melontar mereka dengan pasir sambil berkata, "Wahai si pengecut. Jangan pulang. Kembali ke Uhud dengan pedangmu."

     Kata-kata itu berjaya memulihkan semula semangat pahlawan-pahlawan Islam untuk berjuang. Kemudian mereka kembali ke Gunung Uhud untuk meneruskan pertempuran. Para serikandi Islam merawat tentera yang cedera. Mereka juga mengambil air minuman lalu diberikan kepada tentera yang kehausan.

     Hibban bin Al-Irqah berasa marah apabila melihat serikandi Islam itu memberi bantuan kepada pasukan tentera Islam. Dia membidik anak panahnya tepat mengenai punggung Ummu Aiman menyebabkan wanita itu tersungkur dan terselak kain yang dipakai sehingga menampakkan auratnya. Hibban dan kawan-kawannya gelak tertawa melihat keadaan Ummu Aiman.

     Rasulullah kurang senang melihat kejadian itu. Dia memberikan anak panah kepada Saad lalu menyuruhnya membidik Hibban. Anak panah yang dilepaskan Saad tepat mengenai leher Hibban menyebabkan dia tersungkur dan terselat pula pakaiannnya. Giliran Rasulullah pula tertawa sehingga menampakkan giginya.

     "Saad telah berdoa untuk Ummu Aiman dan Allah telah mengabulkan doanya," kata Rasulullah.

     Tidak lama kemudian datang Fatimah dan Ali bin Abi Talib, Fatimah mencuci darah yang mengalir pada luka di pipi Rasulullah. Ali bin Abi Talib menuangkan air dan Fatimah mencucinya. Namun darah masih keluar tidak mahu kering. Fatimah memotong sehelai tikar lalu membakarnya. Kemudian abu dari tikar itu dipupuk pada luka Rasulullah dan darah pun berhenti mengalir.

     "Allah sangat marah kepada orang yang melukai wajah nabinya," kata Nabi Muhammad.

     Kemudian datang Muhamad bin Muslamah membawa air benih. Nabi Muhammad meminum air itu kemudian berwuduk kerana sudah masuk waktu sembahyang zohor. Nabi Muhamad terpaksa bersembahyang secara duduk. Makmum di belakangnya juga turut sembahyang sambil duduk.

     Ketika itu angkatan perang Quraisy bersiap untuk meninggalkan medan Uhud. Abu Sufian berdiri di atas batu lalu berteriak, "Apakah di kalangan kamu masih ada Muhammad?"

     Soalan itu tidak dijawab kerana Nabi Muhammad tidak mahu mereka menjawabnya.

     "Apakah di kalangan kamu masih ada Abu Bakar As-Siddiq?" tanya Abu Sufian lagi.

     Soalan itu juga tidak dijawab kerana Rasulullah melarang mereka menjawabnya.

     "Apakah di kalangan kamu masih ada Umar al-Khattab?" tanya Abu Sufian lagi. Soalan itupun tidak dijawab kerana Rasulullah melarang dari jawabnya.

     "Aku yakin mereka bertiga sudah mati. Kamu jangan terperanjat ada antara mereka yang dicincang mayatnya. Aku tidak menyuruh dan tidak pula melarangnya," teriak Abu Sufian.

     Umar al-Khattab tidak tertahan lagi lalu menjawab, "Wahai musuh Allah. Orang yang kamu sebutkan itu masih hidup. Allah telah menetapkan keputusan yang menyakitkan hatimu."

     Mendengar kata-kata Umar al-Khattab itu Abu Sufian membalasnya dengan jeritan, "Kami agungkan Hubal, Al-Latta dan Al-Uzza!"

     "Tidakkah kamu mahu menjawab?" tanya Rasulullah.

     "Apa yang perlu kami katakan?" tanya Umar al Khattab.

     "Katakanlah bahawa Allah lebih agung dan lebih mulia," jawab Nabi Muhammad.

     Umar al Khattab pun berteriak, "Allah lebih agung dan lebih mulia."

     "Hari-hari mendatang adalah milik kami. Tidak ada lagi kemuliaan milik kalian," balas Abu Sufian.

     "Tidakkah kalian mahu menjawabnya?" tanya Nabi Muhammad.

     "Apa yang harus kami katakan?" tanya Umar al-Khattab lagi.

     "Katakanlah Allah pelindung kami dan tidak ada pelindung kalian," jawab Nabi Muhammad. Umar al-Khattab pun mengucapkan apa yang diajar Nabi Muhammad.

     Abu Sufian terus berteriak, "Sungguh menyenangkan hati kami kerana roda peperangan telah berputar. Kemenangan kami sekarang menebus kekalahan kami di Badar."

     Umar al-Khattab menjawab. "Tidak sama antara kami dengan kamu. Pahlawan kami yang gugur masuk syurga. Pahlawan kamu yang mati masuk neraka."

     Abu Sufian berasa marah lalu menjerit. "Hai Umar. Kemarilah dekat kepada aku jika engkau berani."

     Umar al-Khattab menoleh ke arah Rasulullah untuk mendapatkan kata putusnya. "Pergilah dan tengok apa dia mahu."

     Umar al-Khattab dengan beraninya bangun lalu berjalan mendekati tempat Abu Sufian sehingga jarak kedua-duanya dekat.

     "Apa yang kamu mahu?" tanya Umar al Khattab.

     "Hei Umar, aku hanya mahu kepastian. Benarkan Muhammad sudah terbunuh?" jawab Abu Sufian.

     "Beliau masih hidup dan mendengar apa yang engkau katakan," kata Umar al Khattab.

     "Aku lebih percaya kata kamu daripada kata Ibnu Qami'ah yang mengatakan Muhammad sudah dapat dibunuhnya," kata Abu Sufian dengan rasa kecewa.

     Kemudian dia memerintahkan pasukannya pulang ke Mekah. Sebelum pergi Abu Sufian sempat berkata, "Kami akan berperang sekali lagi dengan kalian di Badar pada tahun depan."

     "Kami bersedia dan itu adalah janji antara kami dengan kamu," kata Umar Al-Khattab pula.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment