Tuesday 16 January 2018

PERANG KHANDAQ [ BAB 1 - DAMAI NIAN KOTA MADINAH ]






DAMAI NIAN KOTA MADINAH








Tahun ketiga Hijrah

Selepas berlaku pertumparan darah dalam Perang Badar dan Perang Uhud, keadaan umat Islam di Madinah aman damai seketika. Mereka gunakan peluang itu bagi mendalami ajaran Islam serta memperlajari al-Quran. Masjid Nabi sentiasa dipenuhi mereka yang menuntut ilmu. Apabila azan berkumandang, umat Islam berduyun datang ke Masjid Nabi bagi sembahyang berjemaah. Selepas selesai mereka bertebaran mencari rezeki. Ramai pula yang terus berada dalam Masjid Nabi bagi mempelajari ilmu agama. Hidup berlangsung dengan tenang dan mereka dapat menguruskan kehidupan mereka dengan lebih baik. Keamanan dan ketenangan itu turut digunakan oleh para sahabat bagi menguruskan hidup mereka.

     "Wahai Uthman Affan. Kamu baru saja kehilangan isteri. Anakku Hafsah pula baru sahaja kehilangan suaminya. Sekiranya kamu setuju saya kahwinkan kamu dengan anakku Hafsah," kata Umar al-Khattab. Ketika itu mereka berdua sedang jalan beriringan.

     "Wahai Umar al-Khattab. Berilah tempoh hingga pagi esok bagi saya memikirkannya," kata Uthman Affan.

     "Baiklah," balas Umar al-Khattab dengan harapan Uthman Affan bersetuju.

     Keesokan harinya selepas sembahyang subuh di Masjid Nabi, Umar al-Khattab terus menemui Uthman Affan bagi meminta jawapan. Dia berharap permintaannya tidak dihampakan.

     "Wahai Umar al-Khattab. Terima kasih atas tawaran itu tetapi saya belum mahu berkahwin lagi. Kerana itu carilah orang lain," kata Uthman Affan berterus terang.

     Kemudian Umar al-Khattab berjumpa pula dengan Abu Bakar as-Siddiq. "Wahai Abu Bakar, sekiranya kamu setuju, saya kahwinkan dengan anakku Hafsah. Dia memerlukan suami bagi menjaga dirinya."

     Abu Bakar as-Siddiq kelihatan termenung seolah-olah sedang memikirkan sesuatu. Umar al-Khattab mengulangi sekali lagi tawarannya. Tetapi kali ini Abu Bakar As-Siddiq berpaling ke arah lain seolah sengaja tidak mahu menjawab pertanyaan itu. Umar al-Khattab berasa marah lalu mengadu kepada Rasulullah SAW.

     "Wahai Rasulullah. Saya tidak marah kepada Uthman Affan kerana dia berterus terang menolak tawaran saya. Tetapi saya marah apabila Abu Bakar berdiam diri seolah sengaja tidak mahu menjawabnya," kata Umar al-Khattab mengadu kepada Rasulullah.

     "Wahai Umar al-Khattab. Adakah kamu setuju sekiranya Hafsah berkahwin dengan seorang lelaki yang lebih baik daripada Abu Bakar dan Uthman?" tanya Rasulullah SAW.

     "Tentulah saya setuju. Siapakah lelaki itu, wahai Rasulullah?" tanya Umar al-Khattab pula.

     Lalu Nabi Muhammad SAW menyatakan hasrat di hatinya hendak melamar Hafsah. Alangkah gembiranya hati Umar al-Khattab kerana anaknya mendapat suami yang paling baik.

     Selepas Rasulullah SAW dikahwinkan dengan Hafsah maka Umar al-Khattab berkata kepada Abu Bakar. "Wahai Abu Bakar as-Siddiq, saya pernah mempelawa Uthman Affan supaya berkahwin dengan anakku Hafsah. Tetapi dia menolak. Kemudian saya tawarkan pula kepada kamu tetapi kamu cuma berdiam diri tidak memberi apa-apa jawapan. Sehingga sekarang saya masih berasa marah dengan sikapmu itu."

     Abu Bakar as-Siddiq pun berkata, "Wahai sahabatku Umar al-Khattab, saya pernah mendengar Rasulullah berkata dia hendak melamar anakmu Hafsah. Kerana itu saya berdiam diri apabila kamu bertanya. Sekiranya Rasulullah tidak jadi melamar Hafsah sudah tentu saya akan melamarnya."

     "Maafkan saya wahai Abu Bakar As-Siddiq," kata Umar al-Khattab. Dia tidak marah lagi kepada Abu Bakar.

     Perbualan mereka terhenti apabila melihat Uthman Affan datang.

     "Wahai Uthman Affan, wajahmu kelihatan berseri-seri. Apakah yang membuat kamu begitu gembira?" tanya Abu Bakar As-Siddiq.

     "Wahai sahabatku, ada masanya kita menangis dan ada masanya kita tertawa. Sebentar tadi saya menangis di hadapan Rasulullah. Sekarang saya gembira di hadapan kamu," kata Uthman Affan seperti berteka teki.

     "Apakah yang sudah berlaku kepadamu wahai sahabatku? Ceritakanlah kepada kami," kata Umar al-Khattab pula.

     "Semasa bertemu dengan Rasulullah tadi saya berasa sedih kerana tidak lagi menjadi menantunya. Kemudian baginda berkata, 'Wahai Uthman Affan, bergembiralah kamu kerana Malaikat Jibril datang kepadaku menyampaikan perintah Allah supaya saya mengahwinkan kamu dengan saudara Ruqiyah iaitu Ummu Kalthom.' Itu yang membuat saya gembira," kata Uthman Affan.

     Tidak lama kemudian maka Uthman Affan dikahwinkan dengan Ummu Kalthom. Mereka hidup bahagia. Ummu Kalthom gembira kerana mendapat suami yang jauh lebih baik daripada suami pertamanya Utbah bin Abu Lahab.

     Sebelum Muhammad diangkat menjadi Rasulullah, dua orang anak beliau iaitu Ruqiyah dan Ummu Kalthom dikahwinkan dengan dua orang anak Abu Lahab. Utbah dikahwinkan dengan Ruqiyah dan Utaibah dikahwinkan dengan Ummi Kaltom.

     Abu Lahab menyuruh kedua-dua anak lelakinya itu menceraikan isteri masing-masing kerana marah kepada Nabi Muhammad. Utbah menceraikan Ruqiyah secara baik. Tetapi Utaibah bersikap sebaliknya.

     Dia membawa Ummu Kaltom kepada Rasulullah SAW lalu berkata, "Wahai Muhammad, kamu bukan pesuruh Allah. Aku dustakan agama kamu bawa dan aku talak anak perempuanmu ini buat selamanya."

     Nabi Muhammad tidak menghiraukan kata-kata itu dan bersabar. Namun Utaibah masih belum berpuas hati. Dia menendang Nabi Muhammad pada pinggang menyebabkan baginda terjatuh dan berasa sakit yang teramat sangat.

     "Engkau akan dibinasakan oleh seekor anjing dari anjing-anjing Allah," kata Nabi Muhammad.

     Benarlah kata Nabi Muhammad. Utaibah akhirnya mati dibaham seekor singa semasa dalam perjalanan ke Syam. Kerana itu Ummi Kalthom berasa sangat bersyukur dan gembira kerana ditemukan jodoh dengan Uthman Affan, seorang lelaki yang baik. Hafsah anak Umar al-Khattab juga berasa gembira kerana menjadi isteri Rasulullah SAW.

     "Wahai Umar al-Khattab, Allah menemukan jodoh anakmu Hafsah dengan lelaki yang lebih baik daripada Abu Bakar dan Uthman. Dan Allah juga menemukan jodoh Uthman dengan wanita yang lebih baik dari anakmu Hafsah iaitu Ummu Kalthom," kata Nabi Muhammad SAW.

     "Wahai Rasulullah, alangkah beruntungnya Uthman Affan kerana dapat berkahwin dengan dua orang puterimu," puji Abu Bakar As-Siddiq.

     "Sekiranya saya mempunyai empat puluh anak perempuan. Saya sanggup mengahwinkannya dengan Uthman Affan seorang demi seorang sehingga kesemuanya menjadi isterinya," kata Rasulullah SAW.

     Zainab juga adalah salah seorang anak Nabi Muhammad SAW. Beliau adalah isteri kepada Abul Ash yang juga menentang Rasulullah SAW. Apabila Ruqiyah dan Ummu Kalthom diceraikan suaminya tetapi Abul Ash sengaja tidak mahu menceraikan Zainab. Kerana itu Zainab tidak dapat berhijrah ke Madinah bersama Rasulullah SAW. Semasa Perang Badar, Abul Ash turut berperang bagi pihak Quraisy. Dia menjadi tawanan perang kaum muslimin.

     Zainab menebus suaminya dengan kalung yang dihadiahkan ibunya Khadijah. Dia menyuruh Amru membawa kalung itu ke Madinah bagi diserahkan kepada Rasulullah SAW. Kalung itu kepunyaan Khadijah yang dihadiahkan kepada Zainab pada hari perkahwinannya dengan Abul Ash.

     Rasulullah SAW segera berbincang dengan para sahabatnya. Para sahabat menyatakan persetujuannya bagi membebaskan Abul Ash. Kemudian baginda membebaskan Abul Ash tetapi dengan satu syarat. Dia hendaklah menghantar Zainab ke Madinah kerana mereka tidak boleh hidup bersama. Ini disebabkan Zainab sudah memeluk Islam sedangkan Abul Ash tidak. Abul Ash bersetuju dengan syarat itu. Rasulullah SAW juga menyuruh dua orang Ansar mengiringi Abul Ash hingga sampai di pinggir Kota Mekah. Mereka juga ditugaskan membawa pulang Zainab ke Madinah selepas diserahkan oleh Abul Ash.

     Zainab gembira menyambut kepulangan suaminya dalam keadaan selamat. Tetapi kegembiraan itu cuma sementara apabila Abul Ash menyuruh Zainab pergi ke Madinah sebagai memenuhi syarat pembebasannya. Zainab terpaksa akur dengan kehendak suaminya walaupun terpaksa berpisah dengan Ali dan Umamah. Abul Ash memberikan seekor unta bagi dinaiki Zainab. Tetapi baru sahaja meninggalkan Kota Mekah tiba-tiba Abu Sufian bersama para pengiringnya memintas Zainab.

     "Kamu tidak dibenarkan pergi ke Madinah!" teriak Abu Sufian.

     Namun Zainab terus memecut untanya dan tidak mahu berhenti. Abu Sufian marah lalu menyuruh pengirinya membunuh unta yang ditunggang Zainab. Hubar bin Aswad al-Asadi menikam perut unta itu dengan lembing menyebabkan Zainab tersungkur ke tanah. Ketika itu dia sedang mengandung dan anak dalam kandungannya mengalami keguguran. Dua orang Ansar yang ditugaskan mengiringi perjalanan Zainab ke Madinah segera membantu. Akhirnya Zainab dapat dibawa ke Madinah.

     Beberapa hari kemudian Abul Ash hendak pergi ke Syam. Ketika dalam perjalanan dia diserang oleh sekumpulan penyamun. Abul Ash berjaya menyelamatkan diri ke Madinah lalu meminta perlindungan kepada isterinya Zainab. Kerana masih ada rasa kasih sayang terhadap suaminya maka Zainab menemui Rasulullah mengatakan dia sudah melindungi Abul Ash.

     "Kami akan melindungi orang yang telah dilindungi," kata Nabi Muhammad SAW.

     Akhirnya Abul Ash memeluk Islam dan mereka bersatu semula. Peristiwa itu semakin menimbulkan kemarahan orang Quraisy di Mekah terutama Abu Sufian bin Harb. Dia merancang mahu melakukan tindak balas kepada orang Islam.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment