Wednesday 24 January 2018

PERANG KHANDAQ [ BAB 9 - DAUMATUL JANDAL ]






DAUMATUL JANDAL








Rabiul Awal Tahun Kelima Hijrah

"Selepas berjaya memiliki rumah dan tanah yang ditinggalkan Bani Nadhir, kedudukan Muhammad dan pengikutnya semakin kuat. Mereka sudah mula menguasai perdagangan di Madinah," kata Abdullah bin Ubai sambil meluahkan rasa tidak puas hatinya.

     "Sejak pulang dari Badar, keadaan tenang selama enam bulan. Muhammad dan pengikutnya mengambil kesempatan menyebarkan agama Islam di kalangan penduduk Madinah serta menaikkan lagi taraf hidup mereka. Sekiranya keadaan ini berterusan, maka seluruh Madinah berada di bawah kekuasaan Muhammad," kata Jabair pula. Dia juga seperti Abdullah bin Ubai berpura-pura bersikap baik kepada Nabi Muhammad tetapi dalam diam-diam menaruh perasaan dendam.

     "Apa yang perlu kita lakukan?" tanya Basyir pula yang juga berasa kurang senang melihat orang Islam semakin berjaya dalam perniagaan dan agama mereka.

     "Suatu ketika dahulu pernah jadi peperangan antara kaum Aus dan Khazraj. Alangkah baiknya sekiranya terjadi pergaduhan antara orang Ansar dan Muhajirin pula. Sekiranya itu berlaku, maka Muhammad dan pengikutnya akan dihalau keluar dari Madinah," jawab Jubair yang berasa tidak senang hati melihat hubungan baik yang terjalin antara orang Ansar dan Muhajirin.

     "Sekiranya begitu mari kita cetuskan permusuhan antara Muhajirin dan Ansar. Sebagai permulaan kita timbulkan rasa tidak puas hati di kalangan mereka," Abdullah bin Ubai mencadangkan.

     "Itu yang sedang saya fikirkan. Sebagai permulaan kita sentuh berkenaan cara pembahagian harta peninggalan Bani Nadhir. Muhammad cuma membahagikannya kepada orang Muhajirin. Orang Ansar tidak dapat sedangkan mereka sama-sama keluar berperang," kata Basyir lalu menyatakan sokongannya terhadap cadangan Abdullah bin Ubai.

     Mereka bertiga pun berusaha menimbulkan perselisihan antara Muhajirin dengan Ansar. Mereka menemui orang Ansar yang menyertai Nabi Muhammad ke perkampungan Bani Nadhir.

     "Bani Nadhir meninggalkan rumah kediaman yang besar dan cantik. Kebun kurma dan buah-buahan yang subur dan banyak hasilnya. Tetapi mengapa Muhammad membahagikan harta itu secara tidak adil. Hanya orang Muhajirin yang mendapatkannya sedangkan orang Ansar berputih mata," kata Basyir sambil berpura-pura menunjukkan rasa simpatinya kepada orang Ansar.

     "Sepatutnya harta rampasan perang itu dibahagikan secara adil. Tetapi Muhammad bersikap pilih kasih. Apakah kamu merelakannya?" tanya Jabair pula dengan harapan orang Ansar itu akan marah.

     "Jaga mulut kamu jangan buat tuduhan melulu terhadap Nab Muhammad. Dia pesuruh Allah. Kami taat dan patuh kepadanya," marah Khalil. Kemudian katanya lagi, "Kami orang Ansar rela dan bersetuju dengan tindakan Nabi Muhammad itu. Saudara kami orang Muhajirin datang ke Madinah hanya dengan sehelai sepinggang. Mereka menumpang di rumah kami. Kerana itu memang sepatutnya mereka diberikan rumah dan tanah."

     "Bani Nadhir sudah merosakkan rumah kediaman mereka sebelum meninggalkannya. Kerana itu rumah-rumah itu terpaksa dirobohkan semula bagi membina kediaman yang baru. Orang Ansar turut membantu orang Muhajirin membina rumah mereka. Kerana itu tidak wujud perasaan marah atau iri hati sesama kami," sokong Muaz pula.

     "Berkenaan kebun kurma dan buah-buahan pula, Nabi Muhammad menyerahkannya kepada Baitulmal. Harta itu boleh digunakan bagi mereka yang memerlukannya pada masa hadapan," kata Zubair pula lalu memberi amaran kepada Jabair dan Basyir supaya jangan mengulangi semula tuduhan itu.

     Basyir dan Jabair terdiam dan tidak berani lagi bersuara.Kedua-duanya kecewa kerana usahanya bagi mencetuskan permusuhan antara orang Ansar dengan Muhajirin tidak berjaya. Abdullah bin Ubai juga cuba menghasut orang Ansar memusuhi orang Muhajirin namun tidak berjaya. Mereka berasa kecewa.

     Beberapa hari kemudian Basyir dan Jabair pergi ke Syam membawa barang dagangan. Kedua-duanya menyertai kafilah dagang dari Madinah. Apabila sampai di Daumatul Jandal yang terletak di sempadan antara Madinah dengan Syam, mereka diserang penyamun padang pasir. Maka berlaku pertempuran. Beberapa orang anggota kafilah dagang terbunuh dan cedera. Semua barang dagangan dirampas. Basyir dan Jabair serta yang terselamat berjaya melarikan diri lalu pulang ke Madinah.

     "Penduduk Daumatul Jandal menyerang kabilah dagang dari Madinah. Sudah ramai yang terbunuh dan cedera. Banyak pula harta dagangan yang mereka rampas, dan yang terbaru kafilah dagang kami diserang. Mujur saya dan Basyir selamat," kata Basyir yang datang menemui Rasulullah bagi membuat aduan.

     Pada mulanya tidak ada apa-apa tindakan diambil, cuma menasihatkan mereka supaya mengelakkan daripada melalui kawasan Daumatul Jandal. Namun orang Daumatul Jandal bertindak semakin berani dengan menyerang kafilah di luar kawasan mereka. Sikap berdiam diri itu menjadikan penduduk Daumatul Jandal semakin berani menunjukkan permusuhan dengan menyerang kabilah Arab yang sudah mengikat perjanjian damai dengan Rasulullah. Namun ada juga yang gembira dengan tindakan penduduk Daumatul Jandal itu, antaranya Abdullah bin Ubai.

     "Saya kurang senang dengan tindakan kamu menyerang kafilah dagang dari Madinah. Tetapi saya menyokong tindakan kamu menyerang kabilah Arab yang membuat perjanjian damai dengan Muhammad," kata Abdullah bin Ubai yang datang menemui Abu Aswad, ketua orang Daumatul Jandal.

     "Mengapa pula begitu?" tanya Abu Aswad.

     "Kerana Muhammad itu musuh kami," jawab Abdullah bin Ubai. Kemudian katanya lagi, "Kafilah dagang dari Madinah itu bukan pengikut Muhammad. Mereka terdiri daripada pedagang yang memusuhi orang Islam. Kerana itu saya tidak setuju mereka diserang."

     "Jangan masuk campur urusan kami. Lebih baik segera keluar dari perkampungan ini," marah Abu Aswad.

     "Saya datang sebagai kawan yang membawa khabar baik kepada kamu. Apabila kamu menyerang kabilah Arab yang mengikat perjanjian dengan Muhammad menyebabkan mereka takut. Kedudukan Muhammad dan pengikutnya di Madinah semakin lemah. Inilah masanya bagi kamu menyerang serta mengambil alih pemerintahan Madinah," pujuk Abdullah bin Ubai yang juga pandai menghasut.

     "Semua penduduk Madinah terutama Muhammad dan pengikutnya adalah musuh kami. Kerana itu kami tidak percaya kepada mereka termasuk kamu. Saya tidak tahu apa tujuan sebenar kamu menemui saya," kata Abu Aswad yang menaruh perasaan curiga kepada Abdullah bin Ubai.

     "Saya juga tidak suka kepada Muhammad. Kerana itu mereka yang memusuhi Muhammad adalah sahabat saya dan saya mahu menolongnya," kata Abdullah bin Ubai yang memang terkenal dengan sikap pura-puranya.

     "Apa pertolongan yang kamu dapat berikan?" tanya Abu Aswad yang mula tertarik dengan kata-kata tetamunya itu.

     "Saya tahu selok-belok Madinah. Saya juga tahu di mana kekuatan dan kelemahan Muhammad serta pengikutnya. Semua itu tentu berguna sekiranya kamu mahu menakluk Madinah," jawab Abdullah bin Ubai lalu memberitahu jalan-jalan yang selamat memasuki Kota Madinah.

     "Apabila Madinah diserang dari luar, maka kami membantu dari dalam. Muhammad dan pengikutnya pasti kelam kabut. Dengan itu Madinah akan mudah ditawan," kata Abdullah bin Ubai.

     "Apa pula faedah yang kamu dapat?" tanya Abu Aswad lagi.

     "Saya tidak meminta apa-apa balasan daripada kamu. Cuma apa yang saya mahukan Muhammad tidak lagi berkuasa di Madinah. Dia mesti dihapuskan. Itu sahaja permintaanku," jawab Abdullah bin Ubai.

     Akhirnya Abu Aswad dapat dipengaruhi Abdullah bin Ubai. Dia kelihatan gembira mendengar kata-kata lelaki yang memang terkenal bijak mengukir kata-kata. Abu Aswad tidak mahu lagi jadi penyamun padang pasir tetapi mahu menjadi pemerintah Madinah. Sejak itu dia membuat persiapan bagi menyerang Madinah. Abdullah bin Ubai juga membuat persiapan bagi melakukan huru-hara dari dalam apabila Madinah diserang dari luar.


===============================================

     "Pahlawan dari Daumatul Jandal akan menyerang Madinah. Kita perlu membantu mereka supaya Muhammad dan pengikutnya dengan mudah dapat dikalahkan," bisik Khumair kepada Yassar, kawan baiknya.

     "Benarkah berita itu ataupun cuma khabar angin?" tanya Yassar dengan rasa terkejut.

     "Memang benar, Abdullah bin Ubai sudah mengesahkannya. Dia juga yang menyuruh saya memaklumkan kepada semua kawan. Apabila Madinah diserang dari luar maka kita bertindak dari dalam. Dengan itu Kota Madinah mudah ditawan," jawab Khumair yang kelihatan begitu yakin.

     "Sepatutnya kita bersatu mempertahankan Madinah, bukan membantu musuh menakluk negeri kita." Yassar kelihatan tidak setuju dengan rancangan itu.

     "Pahlawan-pahlawan dari Daumatul Jandal datang hanya mahu membunuh Muhammad dan pengikutnya. Selepas berjaya maka mereka akan menyerahkan kuasa kepada kita bagi memerintah Madinah. Perjanjian sudah dibuat antara Abdullah bin Ubai dengan ketua orang Daumatul Jandal," pujuk Khumair bersungguh-sungguh.

     "Tidakkah kamu tahu penduduk Daumatul Jandal itu terdiri daripada penyamun padang pasir? Sumber utama pendapatan mereka adalah merompak kafilah dagang yang melalui kawasan mereka?" tanya Yassar yang kelihatan masih tidak setuju.

     "Saya tahu kerana itu saya yakin mereka akan berjaya menakluk Madinah kerana mereka biasa berperang dan tidak takut mati," jawab Khumair lalu memuji kehebatan dan keberanian pahlawan Daumatul Jandal.

     "Bagaimana sekiranya mereka mungkir janji? Selepas berjaya menakluk Madinah, mereka terus memerintah dan kita menjadi orang suruhan mereka," kata Yassar pula yang kelihatan ragu.

     Menurut Yassar dia tidak dapat menaruh kepercayaan kepada penduduk Daumatul Jandal kerana mereka sudah melakukan kejahatan. Negeri itu dijadikan tempat persembunyian para penjenayah. Pekerjaan utama mereka adalah merompak serta menyamun kafilah dagang.

     "Berkawan dengan penyamun sama seperti membenarkan merampas harta kita. Kerana itu saya tidak setuju dengan cadangan kamu itu," tegas Yassar. Kemudian katanya lagi, "Saya lebih suka kita diperintah oleh Muhammad daripada orang Daumatul Jandal. Sejak Muhammad berhijrah ke sini dan sejak dia dilantik menajdi pemimpin, kehidupan kita aman damai kerana tidak berlaku lagi peperangan sesama kita. Kaum Aus dan Khazraj bersatu tidak lagi bermusuhan. Muhammad juga tidak pernah mengganggu kita. Dia tidak memaksa kita memeluk agama Islam," kata Yassar sambil memuji Nabi Muhammad.

     "Saya kurang senang mendengar kata-katamu itu kerana terlalu memuji Muhammad. Dia tetapi musuh kita," marah Khumair.

     "Kamu tahu apa hukumannya terhadap mereka yang mengkhianati Muhammad? Mereka akan menerima nasib seperti orang Bani Qainuqa' dan Bani Nadhir dihalau keluar dari Madinah. Saya tidak mahu menerima nasib seperti mereka. Kerana itu saya tidak akan mengkhianati Nabi Muhammad." Yassar menyatakan pendiriannya.

     "Sekiranya kamu tidak mahu menyertai kami tidak mengapa. Tetapi awas jangan bocorkan rahsia ini kepada Muhammad. Kamu akan kami bunuh sekiranya mengkhianati kami," kata Khumair sambil memberi amaran kepada Yassar supaya merahsiakan perkara itu.

     Namun Yassar berasa tidak senang hati sekiranya perkara itu tidak disampaikan kepada Nabi Muhammad atau pengikutnya. Tambahan pula dia tidak mahu Madinah dikuasai orang Daumatul Jandal yang terkenal sebagai perompak dan penyamun padang pasir. Akhirnya Yassar membocorkan rahsia itu kepada Nabi Muhammad.

     Selepas Nabi Muhammad mendapat berita orang Daumatul Jandal sedang membuat persiapan bagi menyerang Madinah maka baginda segera membentuk pasukan tentera seramai seribu orang. Keutamaan diberikan kepada mereka yang pernah menyertai Perang Badar dan Perang Uhud. Kemudian menyerahkan tugas menjaga Madinah kepada Siba' bin Urfatah daripada suku Ghifari. Kerana Daumatul Jandal terletak di kawasan yang bersempadan dengan wilayah Rom Baizantine maka baginda sendiri yang mengetuai pasukan tentera itu. Seorang lelaki berasal dari Syam bernama Mazkur menjadi penunjuk jalan. Nabi Muhammad dan pasukannya berjalan pada waktu malam dan berehat pada waktu siang. Dengan itu perjalanan mereka tidak dapat dikesan musuh. Selepas berjalan selama lima belas hari akhirnya mereka sampai ke perkampungan Daumatul Jandal. Kedatangan pasukan dari Madinah itu akhirnya disedari juga oleh penduduk perkampungan itu. Mereka segera melaporkannya kepada Abu Aswad.

     "Muhammad dan pasukan tenteranya datang bagi menyerang perkampungan kita. Kerana itu lebih baik kita segera meninggalkan perkampungan ini," kata Abu Aswad melahirkan rasa kebimbangan hatinya.

     "Mengapa kita perlu berundur sebelum bertempur? Kita adalah keturunan pahlawan. Sangat mengaibkan sekiranya kita menyerah kalah begitu sahaja," bantah Damara, seorang pahlawan Daumatul Jandal.

     "Saya yakin Abdullah bin Ubai sudah mengkhianati kita dengan membocorkan rahsia kita hendak menyerang Madinah. Tidak mustahil juga dia sudah memberitahu Muhammad berkenaan rahsia dan kelemahan kita. Kerana itu Muhammad dan pasukan tenteranya dapat sampai ke sini dengan begitu mudah. Lebih selamat sekiranya kita berundur sahaja. Dengan itu dapat mengelakkan jatuhnya korban yang banyak," kata Abu Aswad.

     Entah mengapa selepas menerima berita berkenaan kedatangan Nabi Muhammad dan pasukan tenteranya, hati Abu Aswad menjadi takut. Dia menjadi gentar bagi berhadapan dengan pahlawan-pahlawan Islam. Kerana itu dia mengambil keputusan mengosongkan perkampungan Daumatul Jandal. Dia mahu pergi ke tempat yang selamat.

     "Sesiapa yang tidak mahu berundur maka bolehlah terus tinggal di sini bersama Damara. Kamu boleh menunjukkan kehandalan kamu menentang Muhammad dan pasukan tenteranya. Sesiapa yang mahu selamat maka ikutlah saya," kata Abu Aswad.

     Ternyata semua penduduk Daumatul Jandal mengikut ketua mereka Abu Aswad kerana lebih sayangkan nyawa mereka. Hanya Damara yang masih berdegil tidak mahu ikut serta. Dia bertekad mahu berhadapan dengan pasukan Islam walaupun seorang diri.

     Kerana penduduk Daumatul Jandal meninggalkan perkampungan itu dalam keadaan tergesa-gesa, mereka tidak sempat membawa binatang ternakan. Semuanya terpaksa ditinggalkan. Damara berasa gembira kerana menganggap semua binatang ternakan yang ditinggalkan itu sudah menjadi miliknya.

     Seperti operasi sebelumnya, Nabi Muhammad dan pasukannya tidak terus menyerang selagi musuh tidak memulakan serangan. Kerana itu apabila sampai di perkampungan Daumatul Jandal, baginda berhenti rehat. Kemudian menyuruh Mazkur masuk ke perkampungan itu bagi bertemu dengan ketua mereka, dengan memberi dua tawaran berdamai ataupun berperang. Tetapi tidak lama kemudian Mazkur pulang membawa berita perkampungan itu kosong kerana semua penduduknya sudah melarikan diri. Nabi Muhammad membahagikan pasukannya kepada beberapa kumpulan bagi menjejaki tempat persembunyian mereka, namun tidak berjumpa.

     "Penduduk Daumatul Jandal banyak memelihara haiwan ternakan seperti kuda, unta dan kambing. Mustahil mereka dapat membawa kesemuanya. Saya yakin mereka menyembunyikannya di satu tempat rahsia," kata Mazkur yang pernah beberapa kali singgah di perkampungan itu.

     "Mungkin disembunyikan di satu kawasan yang tidak pernah dilalui orang. Kerana itu mari kita cari sehingga dapat," kata Abu Ubaidah.

     Mereka mencarinya di serata tempat. Mazkur yang tahu kawasan itu, membawa mereka ke satu lembah yang tanahnya subur. Di situ juga terdapat sebatang sungai. Sebelum itu Damara sudah membawa semua haiwan ternakan ke lembah itu bagi mengelakkan jatuh ke tangan pasukan Islam. Nabi Muhammad menyuruh mereka menangkap semua haiwan ternakan itu termasuk lelaki itu. Damara terpaksa menyerah diri.

     Apabila disoal siasat Damara memberitahu semua penduduk Daumatul Jandal sudah melarikan diri jauh dari kawasan itu.

     "Saya sendiri tidak tahu di mana mereka berada," kata Damara lalu menyatakan hasrat di hatinya masuk Islam demi keselamatan dirinya.

     Bagi mengumpan supaya penduduk Daumatul Jandal keluar dari tempat persembunyian mereka maka semua binatang ternakan itu dikumpulkan di satu kawasan lapang. Selepas menunggu beberapa hari namun penduduk Daumatul Jandal masih tidak pulang, akhirnya Nabi Muhammad dan pasukannya meninggalkan perkampungan itu dengan menjadikan semua haiwan ternakan itu sebagai harta rampasan perang. Damara dibenarkan terus berada di kampung itu bagi memperkenalkan Islam kepada mereka.

     Semasa dalam perjalanan pulang ke Madinah Nabi Muhammad dan pasukannya bertemu dengan Uyainah bin Hisn ketua Bani Fazarah. Mazkur berasa kurang senang dengan lelaki itu.

     "Dia seorang pemimpin yang bodoh seperti ketua serigala. Walau bodoh namun diikuti juga oleh kaumnya. Kerana itu lebih elok kita tangkap lelaki itu dan serang Bani Fazarah," kata Mazkur lalu menceritakan bagaimana kaum Bani Fazarah sangat jahat kerana pekerjaan utama mereka merompak serta menyamun kafilah dagang yang melalui kawasan itu.

     Tetapi Nabi Muhammad tidak bersetuju dengan permintaan Mazkur. Beliau bersikap baik kepada ketua Bani Fazarah itu. Dilayan Uyainah dengan baik sehingga lelaki itu bersetuju mahu mengadakan perjanjian damai.

     "Ucapkanlah tidak ada Tuhan yang disembah selain Allah. Dan mengakui bahawa aku pesuruh Allah," kata Nabi Muhammad.

     Tetapi Uyainah tidak mahu mengucapkan apa yang diajar Nabi Muhammad. Dia berkata, "Wahai Muhammad, kami orang Bani Fazarah memiliki haiwan ternakan yang banyak. Kami terpaksa berpindah randah membawa ternakan kami mencari padang rumput. Tidak jauh dari Madinah ada satu kawasan padang rumput yang luas. Boleh benarkan kami membawa ternakan kami ke sana? Sebagai balasannya kami akan bersama mempertahankan Madinah apabila diserang musuh."

     Nabi Muhammad memperkenankan permintaan ketua Bani Fazarah itu. Kemudian Nabi Muhammad meneruskan perjalanan pulang ke Madinah.

     "Mengapa Nabi Muhammad berbuat baik kepada kaum yang jahat seperti Bani Fazarah? Mereka juga kaum yang ganas seperti penduduk Daumatul Jandal," kata Mazkur kerana masih belum faham tindakan baginda itu.

     "Memang benar penduduk Daumatul Jandal dan Bani Fazarah sama jahatnya. Cuma bezanya Bani Fazarah tidak pernah mengancam kita. Mereka jahat tetapi tidak bertindak menyerang kita. Tetapi penduduk Daumatul Jandal membuat persiapan bagi menyerang Madinah. Kerana itu mereka diperangi," kata Abu Bakar menerangkan.

     "Mengapa Nabi Muhammad membenarkan Bani Fazarah membawa ternakan mereka di padang rumput berhampiran dengan Madinah? Bukankah binatang ternakan kita juga memerlukan padang rumput yang luas?" tanya Mazkur lagi.

     Menurut Abu Bakar, kaum Bani Fazarah terkenal sebagai kaum yang lasak dan tidak takut berperang. Sekarang mereka sudah mengikat perjanjian damai dengan orang Islam. Mereka akan turut mengawal keselamatan Madinah daripada ancaman musuh.

     "Sekiranya Madinah diserang musuh maka Bani Fazah sanggup membantu kita mempertahankannya. Bukankah itu satu keuntungan kepada kita?" kata Umar pula.

     Menurutnya lagi banyak faedah yang mereka dapat dari operasi ke Daumatul Jandal. Antaranya pasukan tentera Islam dapat masuk ke kawasan jajahan Rom Timur tanpa mendapat tentangan daripada sesiapa. Apabila berdamai dengan Bani Fazarah maka kaum Arab Badwi yang lain tidak berani mengganggu penduduk Madinah kerana bimbang tindak balas Bani Fazarah yang terkenal ganas dan suka berperang itu. Barulah mereka faham dan tidak mempersoalkan lagi tindakan Nabi Muhammad bersikap baik dengan Bani Fazarah itu.

     Selepas meninggalkan Madinah selaam 25 hari, Nabi Muhammad dan pasukannya selamat sampai ke Madinah dengan membawa banyak haiwan ternakan yang dijadikan sebagai harta rampasan perang. Kepulangan mereka disambut dengan gembira.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment