Tuesday 9 January 2018

PERANG UHUD [ BAB 15 - HAMRAUL ASAD ]






HAMRAUL ASAD








Ahad, 12 Syawal tahun ke-3 hijrah.

Pagi itu apabila azan berkumandang menandakan masuknya waktu sembahyang Subuh maka orang ramai menuju ke Masjid Nabi untuk sembahyang berjemaah. Kaum lelaki masih dalam keadaan berjaga-jaga dengan membawa senjata masing-masing. Apabila bersembahyang, senjata itu diletakkan di sisi bagi memudahkan mereka bertindak sekiranya berlaku serangan mengejut pihak musuh. Musuh mereka bukan sahaja kaum Quraisy Mekah tetapi juga kaum Yahudi di Madinah. Mereka menyangka Nabi Muhammad dan pengikutnya sudah lemah dan mudah dikalahkan.

     Selepas sembahyang subuh, Nabi Muhammad mengajak sahabat-sahabatnya bermesyuarat. Hanya mereka yang dipilih sahaja menyertai mesyuarat tertutup itu. Mesyuarat itu dijalankan secara rahsia.

     Menurut Nabi Muhammad, walaupun mereka kalah dalam Perang Uhud, namun tidak boleh menunjukkan kelemahan terhadap musuh-musuh mereka terutama kaum Yahudi di Madinah dan kaum Quraisy di Mekah. Tambahan pula, sejak pulang dari Perang Uhud, kaum Yahudi di Madinah mempersendakan Nabi Muhammad dan para pengikutnya dengan mengatakan doa Rasulullah tidak lagi diterima Tuhan. Dia juga mengatakan umat Islam sudah lemah.

     Nabi Muhammad mencadangkan mereka mesti keluar semula memburu musuh. Bukan untuk menyerang mereka, tetapi untuk menunjukkan kekuatan serta keberanian mereka bahawa orang Islam masih kuat dan mampu berperang sekali lagi. Nabi Muhammad juga mensyaratkan, hanya mereka yang terlibat bersama dalam Perang Uhud sahaja dibenarkan ikut serta termasuk mereka yang sakit dan cedera.

     "Saya menyokong cadangan Rasulullah," kata Abu Bakar As-Siddiq.

     Kemudian katanya lagi, "Kita perlu menunjukkan kekuatan dan keberanian kita terhadap musuh. Jika kita berdiam diri, kita dianggap penakut dan musuh-musuh kita menunggu peluang untuk menundukkan kita. Walaupun ada di kalangan kita yang letih, sakit dan cedera namun perintah Rasulullah itu lebih diutamakan. Apa yang dilakukan Rasulullah adalah demi kepentingan Islam."

     "Saya juga menyokong cadangan itu. Tambahan pula kita keluar bukan untuk menyerang musuh tetapi sekadar menunjukkan keberanian dan kekuatan kita terhadap mereka. Namun kita hendaklah bersedia jika berlaku lagi peperangan," kata Umar al-Khattab pula.

     Ali bin Abi Talib, Uthman Affan, Abu Ubaidah al-Jarrah juga turut menyokong. Akhirnya mereka sebulat suara menyokong cadangan Rasulullah dan tidak seorang pun membantah.

     Keputusan mesyuarat itu segera diumumkan kepada orang ramai dan mereka yang terlibat dengan Perang Uhud diminta bersiap kerana mereka akan berangkat pada pagi itu juga. Tidak ada sesiapa yang membantah termasuk mereka yang cedera turut menyatakan kesediaan menyertainya.

     Sehubungan dengan itu, Allah Taala memuji mereka melalui ayat al-Quran surah Ali Imran ayat 172 hingga 173.

     "Mereka memperkenankan seruan Allah dan Rasul sesudah mereka mendapat luka-luka. Untuk orang-orang yang berbuat baik di antara mereka itu serta bertakwa (dikurniakan) pahala yang besar. Mereka berkata, sesungguhnya mereka (orang-orang kafir) telah berhimpun untuk memerangi kamu sebab itu takutlah kamu kepada mereka, lalu perkara itu menambah lagi keimanan mereka dan berkata, cukuplah Allah memelihara kami dan Dialah sebaik-baik wakil."

"Wahai Rasulullah, bolehkah kami turut serta?" tanya Abdullah bin Umar al-Khattab mewakili 20 orang kawan-kawannya yang sebaya dengannya.

     Rasulullah tidak membenarkan mereka ikut serta dan mereka diperintahkan menjaga keselamatan Madinah bersama orang yang tinggal. Mereka akur dengan perintah itu.

     "Benarkah Muhammad dan pasukannya hendak keluar berperang lagi? Bukankah mereka baru sahaja dikalahkan pasukan Quraisy dalam Perang Uhud?" tanya Jayasyi kepada Abdullah bin Ubai.

     "Begitulah khabarnya tetapi aku tidak diajak bersama dalam mesyuarat yang dijalankan secara rahsia dan tertutup. Aku sendiri tidak tahu apa perancangan sebenar mereka," jawab Abdullah bin Ubai.

     "Lebih baik kamu pergi tanyakan kepada Muhammad. Jika benar mereka hendak pergi berperang, maka kita perlu lakukan sesuatu," kata Jayasyi pula.

     "Apa maksud kamu?" tanya Abdullah bin Ubai pula.

     "Semasa ketiadaan mereka, kita merampas kuasa lalu memerintah Madinah. Kemudian kita ajak semua penduduk Madinah bersatu bagi mengusir Muhammad apabila mereka pulang," jawab Jayasyi.

     "Kita tidak akan berjaya jika melakukannya secara sendirian. Kita memerlukan bantuan orang Quraisy Mekah. Oleh itu, kita akan membantu apabila mereka menyerang Madinah," bantah Abdullah bin Ubai.

     "Keadaan sekarang sudah terbalik kerana bukan orang Quraisy menyerang Madinah tetapi Muhammad dan pengikutnya yang menyerang Kota Mekah," kata Jayasyi pula.

     "Kita mesti menyertai Muhammad dan pengikutnya menyerang Kota Mekah. Apabila berlaku pertempuran, kita belot dari dalam pasukan Madinah. Selepas mereka kalah maka kita segera pulang ke Madinah bagi menguasainya. Waktu itu, tidak siapa lagi yang boleh menghalang kita," kata Abdullah bin Ubai.

     Jayasyi bersetuju dengan cadangan itu. Dia menyuruh Abdullah bin Ubai segera berjumpa Nabi Muhammad.

     "Aku akan mengumpulkan orang kita untuk menyertai pasukan Muslimin. Kami akan membawa bekalan senjata dan makanan yang mencukupi," kata Jayasyi.

     Abdullah bin Ubai segera menghadap Rasulullah yang ketika itu berkumpul di Masjid Nabi bersama pahlawan-pahlawan Uhud.

     "Wahai Rasulullah, benarkah kamu hendak keluar berperang?" tanya Abdullah bin Ubai.

     "Benar," jawab Rasulullah.

     "Aku bersama 300 orang pengikutku hendak membantu kamu menakluk Kota Mekah. Kali ini aku bersumpah tidak akan meninggalkan kamu lagi," kata Abdullah bin Ubai sambil merayu supaya dibenarkan ikut pergi.

     Namun Rasulullah menolak permintaan itu. Hanya mereka yang terlibat dalam Perang Uhud sahaja yang dibenarkan pergi.

     Tidak lama kemudian, datang pula Jabir bin Abdullah lalu menghadap Nabi Muhammad.

     "Wahai Rasulullah, saya juga tidak ikut dalam Perang Uhud. Tetapi saya minta kebenaran untuk menyertai kamu pada kali ini. Izinkanlah aku menyertainya," kata Jabir bin Abdullah.

     Oleh sebab Jabir menunjukkan kesungguhan dan keikhlasannya, maka dia dibenarkan menyertainya. Abdullah bin Ubai berasa tersinggung lalu segera keluar.

     "Muhammad tidak adil kerana menolak permintaan aku tetapi menerima permintaan Jabir," kata Abdullah bin Ubai seperti memohon sokongan.

     "Kamu telah mengkhianati Nabi Muhammad. Tetapi Jabir tidak pernah mengkhianati Rasulullah kerana itu permintaannya diterima," kata Umar al-Khattab.

     "Kamu baru balik dari medan perang. Kemudian Muhammad memaksa kamu keluar sekali lagi untuk berperang. Alangkah baiknya jika pada waktu ini kamu bersama keluargamu," kata Abdullah Ubai dalam usahanya menghasut pengikut Nabi Muhammad supaya jangan keluar berperang.

     "Kami patuh dan taat dengan perintah Nabi Muhammad walaupun kami diajak terjun ke lautan api," kata Zubair bin Awwam pula.

     Namun Abdullah bin Ubai masih tidak berputus asa. Dia menemui Amir salah seorang pahlawan Islam yang mendapat cedera.

     "Kamu mendapat cedera dalam perang Uhud. Luka kamu masih belum sembuh tetapi sudah dipaksa keluar berperang oleh Muhammad," kata Abdullah bi Ubai seolah-olah menunjukkan rasa simpatinya.

     "Dalam perang Uhud, aku ingin mendapat syahid. Tetapi tuhan belum mengizinkannya. Aku sanggup keluar sekali lagi dengan harapan kali ini aku mendapat syahid," jawapan Amir itu mengecewakan Abdullah bin Ubai.

     Tidak lama kemudian Nabi Muhammad bersama pasukannya keluar dari Madinah menuju ke Mekah. Orang ramai mengiringi pemergian mereka hingga sampai di pintu masuk Kota Madinah. Mereka meninggalkan orang tersayang untuk menyahut seruan jihad.

     Setelah berjalan sejauh lapan batu, mereka sampai di suatu tempat bernama Hamraul Asad. Pada waktu itu, telah masuk waktu sembahyang Zohor. Nabi Muhammad menyuruh mereka berhenti rehat dan sembahyang Zohor secara berjemaah.

     Kedatangan pasukan Madinah itu disambut baik oleh Bani Khuzaah yang mendiami kawasan itu, Ma'bad bin Abi Ma'bad Al Khuza'i iaitu ketua Bani Khuzaah datang menemui Nabi Muhammad. Ketika itu Rasulullah sedang mengimami sembahyang Zohor. Ma'bad berasa sangat kagum apabila melihat disiplin dan kasih sayang pengikut Muhammad terhadap nabi mereka. Apabila Nabi Muhammad rukuk maka pengikutnya juga rukuk. Apabila beliau sujud maka yang lain juga ikut sujud. Apabila Nabi Muhammad berdoa yang lain menadah tangan mengaminkan.

     "Wahai Muhammad. Aku yakin agama yang engkau bawa adalah agama yang benar. Aku dan pengikutku akan masuk Islam," kata Ma'bad.

     Rasulullah menerima permintaan itu dengan gembira. Maka Ma'bad dan semua kaum Ma'bad memeluk Islam di hadapan Rasulullah.

     "Wahai Rasulullah, aku sudah menjadi pengikutmu. Berilah aku satu tugas nescaya aku lakukan dengan bersungguh-sungguh," kata Ma'bad.

     Nabi Muhammad menyuruh Ma'bad pergi ke Mekah untuk berjumpa dengan Abu Sufian. Rasulullah juga mengajar Ma'bad apa yang patut dilakukannya apabila berjumpa dengan ketua Quraisy Mekah itu. Ma'bad segera menurut perintah. Dengan diiringi tiga orang pengikutnya, maka Ma'bad pun pergi ke Mekah.

     Pada masa yang sama, Abu Sufian sudah jauh meninggalkan Kota Mekah. Mereka berhenti di suatu tempat bernama Rauha' yang terletak kira-kira 36 kilometer dari Kota Madinah. Kedua-dua pasukan semkain hampir tetapi masing-masing belum menyedarinya.

     Abu Sufian membawa bersama dalam pasukannya Abu Azzah seorang penyair Arab yang terkenal. Tugasnya menaikkan semangat pasukan Quraisy melalui puisi-puisinya. Abu Azzah juga ditugaskan mengajak kabilah-kabilah Arab supaya menyertai pasukan Quraisy memerangi Nabi Muhammad.

     "Kamu pergilah ke Hamrul Asad. Ajak mereka membantu kita menyerang Kota Madinah," perintah Abu Sufian kepada Abu Azzah.

     "Baiklah," kata penyair itu.

     Dia segera berangkat ke Hamraul Asad dengan tujuan mengajak mereka menyertai pasukan Quraisy menyerang Madinah. Di pertengahan jalan, mereka bertemu dengan Ma'bad dan pengiringnya yang sedang dalam perjalanan ke Mekah.

     "Wahai Ma'bad. Marilah sertai pasukan Quraisy Mekah bagi menyerang Madinah. Kamu akan mendapat penghormatan dan kemuliaan," pujuk Abu Azzah.

     "Aku memang hendak ke Mekah berjumpa dengan Abu Sufian," kata Ma'bad pula.

     "Abu Sufian dan pasukan tenteranya sudah berada di Rauha'. Oleh itu, lebih baik kamu pulang saja ke Hamraul Asad. Suruh orang kamu bersiap untuk menyertai pasukan Quraisy," kata Abu Azzah.

     Ma'bad membuat helah dengan mengatakan dia perlu berjumpa dengan Abu Sufian kerana ada perkara mustahak yang hendak dibincangkan.

     "Kamu teruskan perjalanan hingga sampai ke Hamraul Asad. Di sana orangku sedang menunggu. Suruh mereka bersiap untuk menyertai pasukan Quraisy," kata Ma'bad yang sengaja membuat helah supaya penyair terkenal itu dapat diperangkap.

     Bagi meyakinkan Abu Azzah, maka Ma'bad menyuruh seorang pengiringnya menemani penyair Arab itu hingga sampai ke Hamraul Asad. Apabila sampai, maka pengiring itu memaklumkan kepada pengikut Nabi Muhammad bahawa orang yang dibawanya itu adalah Abu Azzah, seorang penyair Arab yang terkenal dengan puisi-puisinya yang memusuhi Nabi Muhammad. Abu Azzah segera ditangkap lalu dibawa menghadap Rasulullah.

     "Bukankah kamu pernah menjadi tawanan Perang Badar kemudian dibebaskan tanpa membayar apa-apa tebusan?" tanya Zaid bin Tsabit yang bertindak sebagai pendakwa.

     "Benar," jawab Abu Azzah.

     "Bukankah kamu berjanji tidak akan membantu pasukan Quraisy menyerang kami?" tanya Zaid lagi.

     "Benar," kata Abu Azzah.

     "Bukankah kami telah memberi amaran jika kamu mungkir janji dengan membantu pasukan Quraisy menyerang kami, kamu akan dihukum bunuh?" tanya Zaid lagi.

     Abu Azzah nampak ketakutan lalu menangis.

     Zaid bertanya lagi, "Bukankah kamu menyertai pasukan Quraisy dalam Perang Uhud?"

     "Benar," jawab Abu Azzah.

     "Kamu menyertai pasukan Quraisy sekali lagi untuk menyerang Madinah?" Zaid terus bertanya.

     Abu Azzah tidak menjawab lalu menangis teresak-esak, seolah-olah menyesali kesalahan yang dilakukannya.

     Maka Nabi Muhammad menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Abu Azzah kerana kesalahannya tidak boleh dimaafkan lagi. Tambahan pula selepas dibebaskan dari tawanan Badar, dia menulis puisi yang menimbulkan rasa benci terhadap Nabi Muhammad. Dia juga menulis puisi untuk menaikkan semangat orang Quraisy memerangi Nabi Muhammad.

     Dia juga pernah berkata, "Aku menipu Muhammad dua kali."

     "Wahai Nabi Muhammad. Lepaskanlah aku ini, kasihanilah aku dan biarkanlah aku pulang ke pangkuan isteri dan anak-anak perempuanku. Aku berjanji tidak akan mengulangi lagi kesilapanku ini," kata Abu Azzah merayu simpati.

     "Tidaklah orang mukmin terjatuh dua kali dalam satu lubang," kata Nabi Muhammad lalu memerintahkan Zaid memancung leher Abu Azzah.

     Ma'bad dan dua orang pengiringnya meneruskan perjalanan hingga bertemu dengan pasukan Quraisy di Rauha'. Kemudian dia menemui Abu Sufian.

     "Apa tujuan kamu datang wahai Ma'bad?" tanya Abu Sufian yang belum tahu ketua Bani Khuizaah itu sudah masuk Islam.

     "Aku ingin memaklumkan kepada kamu bahawa Muhammad dan pasukan tenteranya yang sangat ramai dan lengkap dengan senjata serta pasukan berkuda yang memakai baju besi telah keluar dari Madinah untuk memerangi kamu. Aku belum pernah melihat pasukan tentera yang begitu ramai dan hebat. Mereka sangat bernafsu hendak memerangi kamu," jawab Ma'bad.

     "Celaka kamu wahai Ma'bad. Apa yang engkau katakan ini?" marah Abu Sufian.

     "Percayalah dengan kata-kata aku ini. Pasukan Muhammad kali ini disertai oleh semua penduduk Madinah termasuk mereka yang tidak menyertai Perang Uhud. Mereka begitu bersemangat hendak menebus kekalahan mereka serta menghapuskan kamu semua," kata Ma'bad lagi.

     "Hei Ma'bad. Kata-kata kamu itu boleh menakutkan orang kami. Sedangkan kami telah bersumpah untuk memerangi Muhammad sehingga dia dan pengikutnya dibunuh," marah Abu Sufian.

     "Aku bercakap perkara yang benar. Tidak lama lagi mereka akan sampai ke sini dan mereka akan muncul dari celah-celah bukit, lurah dan gunung-gunung di sekeliling kita ini," gertak Ma'bad.

     Abu Sufian dan pengikutnya mula berasa takut. Tambahan pula apabila mendengar pasukan dari Madinah itu sepuluh kali ganda ramainya dari pasukan Quraisy Mekah.

     "Benarkah semua penduduk Madinah telah keluar bersama Muhammad?" tanya Abu Sufian lagi inginkan kepastian.

     "Memang benar," kata Ma'bad.

     "Jika begitu, mudahlah kami menakluk Madinah kerana tidak siapa yang dapat mempertahankannya lagi," kata Abu Sufian pula.

     "Lebih baik jangan dilakukan kerana Muhammad juga boleh membuat perkara yang sama. Mereka akan terus menuju ke Kota Mekah dan menakluknya. Apakah kamu lebih sayangkan Madinah daripada Kota Mekah? Bagi Muhammad, tentu dia dan pengikutnya lebih suka dapat menakluk Mekah," kata Ma'bad.

     Abu Sufian berasa serba salah. Tambahan pula apabila para pembantunya mendesak supaya mereka segera pulang ke Mekah. Namun Abu Sufian masih tidak mahu mengalah. Dia mencari helah supaya Nabi Muhammad pulang semula ke Madinah.

     Kebetulan lalu kafilah dagang dari Syam hendak pergi ke Madinah.

     Abu Sufian berjumpa dengan ketua mereka lalu berpesan, "Beritahu Muhammad bahawa kami dalam perjalanan untuk menyerang Kota Madinah. Suruh mereka bersiap sedia menentang kami," pesan Abu Sufian.

     "Apa yang kami dapat," tanya ketua kafilah Syam itu.

     "Kami berjanji akan memberi kamu kurma dan anggur kering apabila kamu datang ke Mekah," jawab Abu Sufian.

     Ketua kafilah dagang dari Syam itu bersetuju menyampaikan pesanan itu kepada Nabi Muhammad. Apabila kafilah dagang Syam itu pergi, maka Abu Sufian memerintahkan pasukannya pulang ke Mekah.

     Apabila kafilah dari Syam itu sampai di Hamraul Asad, mereka bertemu dengan pasukan muslimin yang masih berada di situ lalu disampaikan pesan daripada Abu Sufian. Nabi Muhammad dan para sahabatnya tidak berasa gementar dan bersedia untuk berperang sekali lagi dengan pasukan Quraisy Mekah.

     Selepas menunggu beberapa hari di Hamraul Asad, namun pasukan Quraisy tidak juga muncul. Maka Nabi Muhammad memerintahkan mereka pulang ke Madinah.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment