Sunday 14 January 2018

PERANG UHUD [ BAB 19 - TRAGEDI DI BIR MA'UNAH ]






TRAGEDI DI BIR MA'UNAH








Safar tahun 4 Hijrah

Abu Barra', ketua Bani Amir bin Malik datang ke Madinah bertemu Nabi Muhammad bagi menyatakan rasa simpatinya pada apa yang berlaku di Ar-Raji'.

     "Kami Bani Amir jujur dalam persahabatan dan tidak pernah mungkir janji. Kami juga tidak pernah membuat khianat pada kawan," kata Abu Barra' sambil memuji kaumnya Bani Amir.

     "Kami orang Islam juga dilarang menipu, bercakap bohong dan jujur dalam persahabatan. Tetapi musuh-musuh kami tidak menghargainya. Mereka mengambil kesempatan di atas kejujuran kami. Namun kami tetap bersabar dan redha dengan apa yang berlaku," kata Abu Bakar As-Siddiq.

     "Jika dibenarkan Rasulullah, kami mahu perangi mereka yang mengkhianati sahabat-sahabat kami itu. Rasulullah menyuruh kami bersabar dan jangan membalas dendam," kata Umar al-Khattab pula yang turut berada dalam pertemuan itu.

     Dalam pertemuan itu, Nabi Muhammad mengajak Abu Barra' dan para pengirinya masuk Islam. Mereka tidak memberi apa-apa jawapan.

     "Khabarnya penduduk Najd tertarik dengan Islam. Hantarlah pendakwah ke sana. Mungkin ramai yang akan menjadi pengikutmu," kata Abu Barra' mencadangkan.

     "Aku bimbang keselamatan mereka dari kemungkinan buruk yang akan dilakukan penduduk Najd," kata Rasulullah.

     "Benar kata Rasulullah. Penduduk Najd terkenal dengan perlakuan ganas mereka yang suka berbunuh-bunuhan. Oleh sebab itu, mereka bersahabat baik dengan orang Quraisy Mekah yang memusuhi kami," kata Abu Bakar As-Siddiq pula.

     "Memang benar kata kamu itu. Perkampungan kami terletak bersebelahan dengan perkampungan mereka. Namun kami tidak pernah menjalin hubungan baik sejak dahulu. Malah kami juga pernah berperang beberapa kali. Oleh itu, kami suka jika mereka menjadi orang Islam supaya mereka menjadi baik. Jika mereka masuk Islam, maka kami juga ikut serta," kata Abu Barra'.

     "Bagaimana jikalau mereka mengkhianati kami?" tanya Umar al-Khattab pula.

     "Aku yang menjamin keselamatan mereka," janji Abu Barra' yang terkenal sebagai pelontar lembing yang mahir.

     "Penduduk Najd pasti tidak berani mengganggu mereka yang berada di bawah perlindungan kami," sokong pembantu Abu Barra' pula.

     Seperti biasa sebelum membuat apa-apa keputusan, Nabi Muhammad berbincang dulu dengan sahabat-sahabatnya. Mereka sebulat suara menyokong permintaan Abu Barra' supaya dihantar pendakwah kepada penduduk Najd.

     Setelah mendapat kata sepakat, maka Nabi Muhammad menghantar 70 orang pendakwah yang diketuai Mundzir bin Amru. Turut peserta dalam pasukan itu, beberapa orang qari antaranya Haram bin Milham, Harits bin Shammal, Salim bin Milham, Amir bin Fuhairah, Hakam bin Kaisan, Sahal bin Amir, Thufail bin Asad, Anas bin Muawiyah, Hafi bin Budail, Urwah bin Asma, Athiyah bin Abdu Amar, Malik bin Tsabit, Sufyan bin Tsabit, Amr bin Umayyah, Kaab bin Zaid, Mundzir bin Muhamad dan Uqwbah bin Jallah.

     Nabi Muhammad juga menyuruh Ali bin Abi Talib menulis surat kepada kabilah-kabilah Arab dan Badwi yang terdapat di sekitar Najd, menyeru mereka menyembah Allah serta mengakui Muhammad seorang Rasul. Surat itu diberikan kepada Mundzir bin Amru supaya diberikan kepada mereka. Pendakwah-pendakwah itu juga dibekalkan dengan senjata bagi menjaga keselamatan mereka sepanjang perjalanan.

     Sejak mula meninggalkan Kota Madinah, tidak ada apa-apa yang berlaku kerana perjalanan lancar. Apabila sampai di Bir Ma'unah suatu tempat yang terletak di sempadan perkampungan Bani Amir dan Bani Salim mereka berhenti berehat.

     "Kami akan bermalam di sini. Jika kamu mahu boleh sahaja bersama kami atau pulang ke perkampungan kamu," kata Mundzir kepada Abu Barra'.

     "Perkampungan kami tidak jauh dari sini. Oleh itu, aku dan orangku ingin pulang ke rumah masing-masing. Kamu berehatlah di sini. Jangan khuatir kerana kami telah memberi perlindungan terhadap kamu," kata Abu Barra'. Mundzir senang hati mendengarnya.

     Kemudian dia bertanya berkenaan kabilah-kabilah yang berada di sekitar kawasan itu.

     "Di sebelah kanan adalah perkampungan Bani Amir. Itulah perkampungan kami. Di sebelah kiri perkampungan Bani Salim. Agak jauh di belakang sana kediaman penduduk Najd. Pergilah ke sana dan pujuklah mereka supaya menjadi baik," kata Abu Barra'.

     "Esok kami akan ke sana. Tetapi sebelum itu kami ingin menghantar surat daripada Nabi Muhammad kepada Amir Thufail ketua Bani Salim. Semoga mereka juga mendapat hidayah," kata Mundzir.

     "Aku hanya mencadangkan kamu pergi ke kediaman penduduk Najd. Bukan Bani Salim. Jika berlaku sesuatu terhadap kamu, aku berlepas tangan," kata Abu Barra' pula.

     "Bukankah kamu berjanji melindungi kami?" tanya Mundzir.

     "Memang benar aku melindungi keselamatan kamu. Tetapi kami juga mempunyai kepentingan dengan orang Bani Salim. Oleh itu, kami tidak masuk campur jika terjadi sesuatu antara kamu dengan mereka," jawab Abu Barra'.

     Menurut Abu Barra' ketua penduduk Najd lebih baik daripada Amir bin Thufail ketua Bani Salim.

     "Dia seorang pemabuk dan sikapnya sukar untuk diramal. Kamu mesti berhati-hati apabila berurusan dengannya," pesan Abu Barra' sebelum beredar dari situ.

     Kemudian Mundzir mengadakan perbincangan dengan para pembantunya berkenaan surat yang dikirim Rasulullah.

     "Walau apapun yang terjadi, surat Rasulullah itu mesti kita berikan kepada Amir bin Thufail. Siapa antara kamu yang secara sukarela sanggup menyampaikan surat ini?" kata Mundzir selaku ketua rombongan pendakwah itu.

     "Aku sanggup," kata Harram bin Milhan menawarkan dirinya.

     "Pergilah sendirian semoga Amir bin Thufail menyambut baik kedatangan kamu. Kemudian, selepas menyerahkan surat itu kembali segera ke sini," pesan Mundzir.

     "Baiklah," ujar Harram bin Milhan.

     Mundzir pun memberikan surat Rasulullah itu kepada Harram untuk diserahkan kepada ketua Bani Salim. Harram segera menuju ke perkampungan Bani Salim.

     "Aku dan Amru bin Umaiyah akan pergi ke perkampungan Bani Amir untuk mendapatkan bekalan makanan. Kamu berehatlah sementara menunggu kami pulang," pesan Mundzir kepada orangnya.

     Kemudian dia dan Amru menuju ke perkampungan Bani Amir untuk mendapatkan bekalan makanan. Abu Barra' bersetuju memberikan pada keesokan harinya.

     Harram bin Milhan terus berjalan menuju ke perkampungan Bani Salim dan terus bertemu dengan Amir bin Thufail.

     "Kedatangan saya adalah untuk menyampaikan surat daripada Nabi Muhammad. Semoga kamu mendapat hidayah," kata Harram lalu menyerahkan surat itu kepada Amir.

     "Bukankah nabi kamu itu seorang yang tidak tahu membaca dan menulis? Bagaimana dia menulis surat ini?" tanya Amir pula.

     "Surat ini ditulis oleh Ali bin Abi Talib dengan perintah Nabi Muhammad," jawab Harram bin Milhan.

     "Jika begitu, surat ini daripada Ali bukan Muhammad," kata Amir lalu mempersendakan Nabi Muhammad.

     "Demi Allah, surat itu daripada Nabi Muhammad pesuruh Allah," kata Harram.

     "Bagaimana kami hendak percaya seorang yang buta huruf mengaku menjadi pesuruh Allah?" tanya Amir sambil tersenyum sinis.

     "Setiap nabi dan rasul dikurniakan mukjizat. Nabi Muhammad juga dikurniakan mukjizat. Itu bukti dia memang pesuruh Allah," jawab Harram.

     Lalu dia menceritakan beberapa mukjizat Nabi Muhammad, antaranya bulan terbelah dua, berlakunya israk dan mikraj, pokok boleh keluar dari batu dan sebagainya.

     "Mukjizat Nabi Muhammad yang paling besar adalah al-Quran," kata Harram lalu membacakan beberapa ayat al-Quran.

     Tiba-tiba Amir membisikkan sesuatu kepada salah seorang pengikutnya, "Aku mahu kamu gunakan tombak menikamnya dari belakang."

     "Baiklah," kata-kata lelaki yang bersenjatakan tombak itu.

     Kemudian dia pergi ke belakang Harram yang ketika itu sedang membaca ayat al-Quran. Lelaki itu menikam belakang Harram dengan tombaknya.

     "Allahu Akbar! Aku telah beruntung kerana mendapat syurga," kata Harram sambil menahan kesakitan. Tidak lama kemudian dia meninggal dunia.

     Kemudian Amir mengumpulkan semua kaum lelaki Bani Salim. Dia mengajak mereka memerangi kawan-kawan Harram yang sedang berehat di Bir Ma'unah.

     "Aku akan mengajak Bani Amir bersama-sama kita untuk memerangi pengikut Muhammad itu," kata Amir.

     Kemudian dia pergi ke perkampungan Bani Amir lalu memujuk Abu Barra' membantunya memerangi pendakwah itu.

     "Jangan apa-apakan mereka kerana aku telah menjadi pelindung mereka," kata Abu Barra'.

     "Mereka berada di kawasan kami. Oleh itu, kami boleh memerangi mereka. Kamu jangan masuk campur," kata Amir sambil memberi amaran kepada Abu Barra'.

     "Baiklah aku tidak akan masuk campur jika Muhammad dan pengikutnya memerangi kamu," kata Abu Barra'.

     "Aku akan ajak kabilah Ishyah, Ra'I dan Dzakwan memerangi mereka. Muhammad tidak berani menyerang jika kami bersatu," kata Amir pula.

     Kemudian dia memujuk ketua kabilah Ishyah, Ra'I dan Dzakwan membantunya memerangi pengikut Nabi Muhammad yang sedang berehat di Bir Ma'unah.

     "Jika kamu bersetuju membantu, kami sanggup memberikan seratus ekor unta," pujuk Amir.

     Dia begitu bersungguh-sungguh memujuk kerana kabilah Ishyah, Ra'I dan Dzakwan yang terkenal mahir memanah dan membaling tombak. Dengan bantuan mereka pasti pasukan pendakwah itu dengan mudah dapat ditewaskan.

     Mereka akhirnya bersetuju untuk membantu Bani Salim memerangi pengikut Nabi Muhammad yang sedang berehat di Bir Ma'unah. Abu Barra' pula segera ke Bir Ma'unah untuk menyampaikan berita itu kepada Mundzir.

     "Aku nasihatkan kamu pulang segera ke Madinah kerana mereka akan menyerang kamu tidak lama lagi," kata Abu Barra' lalu menyuruh para pendakwah itu meninggalkan segera tempat itu.

     "Kami tidak akan meninggalkan tempat ini selagi ketua kami belum pulang," kata Salim bin Milhan.

     "Kami diperintahkan Rasulullah untuk keluar berdakwah. Kami tidak akan pulang selagi tugas itu belum kami lakukan," kata Thufail bin Asad pula.

     Mereka sebulat suara tidak akan meninggalkan tempat itu. Abu Barra' berasa kecewa lalu berkata, "Kerana kamu enggan mendengar amaran aku, maka aku dengan ini menarik semula perlindungan ke atas kamu. Kami tidak akan melindungi kamu lagi."

     "Kami berlindung dengan Allah kerana Dia sebaik-baik pelindung," kata Athiyah bin Abdu Amar. Abu Barra' segera meninggalkan tempat itu.

     "Bersiap sedialah menghadapi serangan mereka," kata Salim bin Milhan.

     Pendakwah itu pun bersiap sedia menghadapi serangan daripada muush mereka. Tidak lama kemudian, seramai 500 orang lelaki yang bersenjatakan tombak, pedang dan panah menyerang mereka.

     Bir Ma'unah sebuah kawasan lapang yang dijadikan tempat [ersinggahan para pedagang dan musafir untuk berehat dan mendapatkan air minuman. Di situ terdapat kolam dan sungai, akan tetapi tempat itu tidak ada batu-batu besar yang boleh dijadikan tempat perlindungan. Maka mereka mudah menjadi sasaran senjata musuh.

     Mula-mula mereka yang mahir memanah melepaskan anak-anak panah sehingga beberapa orang pendakwah menjadi mangsa. Melihat keadaan itu, maka Salim bin Milhan mengajak kawan-kawannya menyerbu ke arah musuh.

     "Jika kita berada di tempat ini, kita akan terus menjadi sasaran anak-anak panah mereka. Oleh itu, lebih baik kita menyerang mereka," kata Salim.

     "Allahuakbar!" teriak mereka beramai-ramai lalu menyerbu ke arah musuh.

     Kedatangan mereka disambut dengan balingan tombak oleh orang kabilah Dzakwan, Ra'I dan Ishyah. Ramai pulang yang menjadi mangsa. Akhirnya setelah berlaku pertempuran, semua pendakwah itu terbunuh kecuali Ka'ab bin Zaid. Dia cedera parah dan berada di samping kawan-kawannya yang syahid.

     Ketika itu Mundzir dan Amru sedang dalam perjalanan kembali ke pasukannya. Kedua-duanya tidak tahu apa yang sedang berlaku. Apabila sampai di Bir Ma'unah mereka lihat pertempuran sudah selesai dan mayat-mayat bergelimpangan. Mundzir dan Amru terus menyerbu musuh-musuh yang telah membunuh kawan-kawannya. Selepas berlaku pertempuran yang singkat, Mundzir syahid dan Amru ditawan.

     "Aku daripada kabilah Mudhar. Mereka pasti datang menuntut bela jika kamu membunuh aku," beritahu Amru.

     "Aku tidak mahu bermusuhan dengan kabilah Mudhar. Bebaskan dia," kata Amir.

     Maka Amru dibebaskan. Dia segera meninggalkan tempat itu pulang ke Madinah. Apabila sampai di Qarqarah, Amru berehat untuk melepaskan penat. Tiba-tiba datang dua orang lelaki yang tidak dikenalinya. Amru menyangka mereka adalah musuh yang telah membunuh kawan-kawannya. Dia ingin menuntut bela lalu menikam kedua-dua orang lelaki itu.

     "Kenapa kamu bunuh kami?" tanya salah seorang lelaki itu sebelum meninggal dunia.

     "Bukankah kamu yang membunuh kawan-kawan aku di Bir Ma'unah?" jawab Amru.

     "Kami bukan musuh kamu. Kami daripada Bani Kilab yang telah mengikat perjanjian dengan Muhammad," kata lelaki itu. Tidak lama kemudian dia meninggal dunia.

     Amru berasa menyesal kerana bertindak terburu-buru. Namun tujuannya baik iaitu untuk membela kematian kawan-kawannya dan untuk menyelamatkan dirinya. Apabila sampai di Madinah, Amru pun menceritakan apa yang berlaku terhadap mereka.

     Nabi Muhammad berkata, "Kamu telah membunuh kerana keliru. Aku harus membayar ganti rugi kepada keluarganya."

     "Wahai Rasulullah, saya yang melakukan kesilapan itu biarlah saya yang membayar ganti ruginya," kata Amru.

     Menurut Rasulullah, Amru dan kawan-kawannya pergi menjalankan perintah Rasulullah untuk berdakwah. Apa-apa yang berlaku di bawah tanggungan Rasulullah. Baginda rasa perlu bertanggungjawab menyelesaikan masalah itu dengan baik.

     Jika dibiarkan Amru sendiri yang berurusan dengan keluarga mangsa, dikhuatiri mereka akan membalas dendam dengan membunuh Amru. Rasulullah mengatakan beliau yang akan membayar ganti ruginya.

     Bulan Safar tahun ke-4 Hijrah itu benar-benar menguji umat Islam dengan peristiwa di Raji' dan tragedi di Bir Ma'unah. Umat Islam berasa sangat sedih dengan kejadian tersebut. Mereka baru sahaja kehilangan 70 orang dalam Perang Uhud. Kita mereka kehilangan 10 orang pendakwah di Raji' dan 70 orang lagi di Bir Ma'unah.

     Ekoran tragedi di Raji' dan Bir Ma'unah Nabi Muhammad mengadakan qunut nazilah setiap kali selepas sembahyang. Mereka mendoakan kebinasaan kepada kabilah Ra'I, Dzakwan dan Ishyah.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment