Monday 23 February 2015

AMINAH [ BAB 7 - BAHAGIA UNTUK AMINAH ]




BAHAGIA UNTUK AMINAH



Pada keesokan harinya, Mekah kelihatan sibuk sekali. Kegembiraan dan kegirangan jelas terpapar pada wajah para penduduk kota Mekah. Bahkan pengemis yang papa kedana dan sebatang kara mampu tersenyum kini kerana tahu mereka akan dijamu makan daging unta yang enak hasil pertukaran nazar Abdul Mutalib.

     Nilai Abdullah bersamaan dengan 100 ekor unta.

     "Gembira kamu pada hari ini," sapa seorang pengemis kepada sahabatnya.

     Sahabatnya itu kelihatan malas mahu bangkit daripada tidur kerana tempat tidur yang terlindung daripada panas matahari itu, selesa untuk dirinya.

     "Kamu tidak gembira?" tanyanya kembali kepada sahabatnya itu. Matanya masih dipejamkan.

     Dia lantas menyambung dengan bertanyakan soalan kepada sahabatnya. "Aku tidak pernah sebegini kenyang sepanjang hidup ini. Bilakah kali terakhir kamu makan daging?"

     Kawannya itu tersenyum. "Saya sudah lupa bilakah kali terakhir kita makan daging unta."

     "Nasib baik juga, bukan Abdullah yang disembelih. Sekiranya tidak, kita hanya akan berputih mata. Daging manusia mana boleh dimakan."

     Tiba-tiba, sekumpulan fakir miskin berlari-larian di hadapan mereka.

     "Ke manakah mereka itu?"

     "Ke mana lagi sekiranya bukan ke tempat sembelihan unta-unta Abdul Mutalib itu."

     Kumpulan-kumpulan musafir yang lalu dan singgah, sama ada mahu ke tempat lain ataupun sememangnya mahu datang ke kota Mekah menunaikan haji dan umrah kerana begitu senang apabila mendapat daging-daging unta sedang dibahagi secara percuma.

     Mereka memuji, "Sungguh mulia kaum Arab Quraisy. Kita dimuliakan sebagai tetamu sehingga makanan yang sebegini enak disediakan untuk tetamu mereka."

     "Ya, kita wajar mencontohi mereka. Walaupun mereka terkenal sebagai kaum yang keras hati dan suka berperang, namun dalam hal menghormati tetamu yang datang ke laman mereka, mereka adalah yang terbaik," tingkah salah seorang anggota rombongan.

     Anggota rombongan bertanyakan salah seorang penduduk di situ, "Saudara, apakah menjadi kebiasaan unta-unta disembelih dengan begitu banyak dan dibahagikan kepada sesiapa sahaja?"

     Dengan bangga penjaga itu menjawab, "Ya, namun apa yang kamu lihat sekarang adalah sembelihan daripada 100 ekor unta yang menjadi tebusan kepada nazar Abdul Mutalib."

     "Apakah nazarnya?"

     "Abdullah, anak Abdul Mutalib, putera Quraisy kesayangan kami semua sepatutnya disembelih."

     Alangkah terkejutnya rombong itu. "Ceritakanlah perkara yang sebenarnya."

     Tanpa rasa berat hati, pemuda itu menceritakan kisah bersejarah itu kepada rombongan itu. Mereka kagum tidak terkata dan timbul rasa hormat yang mendalam pada Abdul Mutalib serta anak-anaknya, terutama Abdullah.

     Sementara itu, di rumah Fatimah, ibu kepada Abdullah dan isteri kepada Abdul Mutalib sedang dibanjiri oleh tetamu. Kelihatan mereka sibuk melayani tetamu. Puteri-puterinya yang lain juga turut sama menolong.

     Tetamu yang bertali arus itu datang mengucapkan kata-kata selamat dan tahniah kerana Abdullah terselamat daripada disembelih tempoh hari.

     "Tahniah dan bergembiralah wahai Ummu Abdullah, anak puan sudah selamat dan kami semua sangat gembira." Salah seorang hadirin menyapa.

     "Ya, ini adalah perkara yang paling bersejarah bagi kaum Arab Quraisy. Kegembiraan ini wajar dikongsi semua penduduk Mekah. Sepanjang jalan kami menuju ke sini, kami lihat orang ramai semuanya bergembira," tingkah sahabatnya.

     "Abdullah adalah putera kita semua dan Arab Quraisy berbangga dengan Abdullah. Syukur kita semua terlepas daripada kesedihan atas kehilangannya. Tidak dapat saya bayangkan apakah kesannya kepada kita semua sekiranya benar Abdullah disembelih oleh suamimu." Wanita yang berpangkat nenek antara mereka pula berkata hiba.

     Fatimah segera meleraikan suasana itu. "Wahai ibu-ibu sekalian, usahlah kita bicarakan perkara yang sudah berlalu kerana hari ini adalah hari yang gembira. Apakah kamu semua datang bagi bercerita perkara-perkara yang sedih itu?"

     Keceriaan terserlah pada wajah mereka semua. Walaupun resah beberapa hari lalu masih terasa, namun sebagai tuan rumah, Fatimah gagahkan diri dan cekalkan hati bagi menyambut hari keraian itu.

     Tidak ketinggalan dalam majlis itu gadis-gadis Quraisy Mekah yang hadir mengikuti orang tua mereka dengan suatu harapan yang menggunung iaitu bagi menambat hati Abdullah.

     Dalam kalangan ibu-ibu yang hadir pula sibuk berbicara sesama mereka. "Alangkah bertuah sekiranya kita dapat berbesankan Fatimah...."

     "Maksud puan, mengambil anak Fatimah menjadi menantu?" tanya salah seorang daripada mereka.

     "Ya, siapa yang tidak menginginkannya? Menjadikan Abdullah sebagai menantu mereka?" jawab puan itu pula.

     Hadirin yang lain terdiam. Masing-masing menggerutu dalam hati. Sebenarnya antara agenda yang dirancang oleh para ibu kaum Quraisy pada hari itu adalah menyuruh anak-anak mereka berpakaian paling indah dan bersolek bagi menarik perhatian Abdullah, paling kurang pun memikat hati ibunya, Fatimah.

     Sekiranya diperhatikan pada majlis itu, lebih separuh daripada hadirian adalah anak gadis yang muda. Ibu mereka masing-masing pula sedang berusaha bagi mendapatkan perhatian Fatimah.

     Salah seorang ibu yang hadir bertanyakan Fatimah, "Wahai saudaraku Fatimah, di manakah puteramu Abdullah, suamimu juga tidak kelihatan?"

     Fatimah mengerutkan muka seakan mengingatkan sesuatu. "Saya rasa beliau ada memberitahu saya yang mahu ke kabilah bani Zuhrah. Atas tujuan apa, saya sendiri kurang pasti. Biasanya beliau ke sana bagi menemui sahabatnya, Wuhaib."

     Mendengar jawapan itu, muka ibu-ibu dan anak gadis mereka seakan ketara berubah. Ada galau yang menimpa lalu masing-masing berpandang sesama sendiri seakan berkata tanpa suara, "Habislah harapan kita, Abdul Mutalib dan Abdullah mungkin pergi bagi meminang Aminah, anak saudara Wuhaib dari bani Zuhrah itu."

     Benar, kedatangan mereka ke bani Zuhrah membawa maksud yang tertunggak sekian lama antara Abdul Mutalib dan Wuhaib. Perjalanan yang tidak memakan masa yang lama semakin ringan mengenangkan kegembiraan yang bakal mereka temui di sana nanti.

     Halah terlebih dahulu mendahului rombongan. Sesampai sahaja di rumah ayahnya itu, belum pun sempat dia berjumpa dengan ayahnya, terus sahaja dia menuju ke bilik Aminah.

     Aminah sedikit terkejut, namun dirinya sangat gembira melihat sepupunya itu. "Halah, lama sudah saya tidak menemui kamu."

     Halah segera meraih tangan adindanya yang tercinta itu dengan penuh kasih sayang lalu mereka berpelukan. Halah lantas mengucup dahi dan memancapkan pandangan menyeluruhi wajah Aminah dengan penuh makna. Aminah masih berdebar saat itu memikirkan apa sebabnya Halah berkelakuan begitu. Halah meraih dagu Aminah dan mengangkat wajah setentang dengan wajahnya seraya membisikkan ke cuping telinga Aminah, "Adikku sayang, sudah tiba masanya kamu diberitahukan dengan satu rahsia...."

     Belum sempat Halah meneruskan kata-kata, Wuhaib masuk ke dalam bilik dan mendapatkan mereka berdua. Seraya itu Wuhaib berkata, "Berbahagialah kamu wahai Aminah, seruan takdir sudah tiba." Wuhaib sebak di hujung kata. Dia kemudian menyambung, "Keputusan sudah ditetapkan kepada kamu, adakah kamu merestuinya?"

     Halah yang berada di sisi juga sudah menitiskan air mata syukur dan kasih kerana kegembiraan yang bakal mereka hadapi.

     Merona indah wajah Aminah, terduduk malu tersipu apabila memahami maksud pak cik dan sepupunya itu. Lidahnya kelu tanpa kata.

     Tiba-tiba, isteri Wuhaib datang mendapatkan mereka dalam di dalam bilik itu. "Rombongan sudah tiba...."

     Abdul Mutalib, Abdullah, dan beberapa orang pembesar Quraisy yang lain baru sahaja tiba di penempatan bani Zuhrah. Sudah tentu rumah yang mereka tuju adalah rumah Wuhaib. Kelihatan Wuhaib juga seperti sedang bersedia menanti kehadiran rombongan itu.

     Masuk sahaja ke rumah Wuhaib, selepas mereka bersalaman dan berpelukan tanda persaudaraan yang erat itu, perbincangan dimulakan. Perbincangan mereka rancak sekali dihiasi dengan suasana yang sungguh indah dan harmonis. Basi-basi orang tua menjadi penyeri di samping cerita-cerita semasa yang dikongsi.

     Di dalam bilik, Halah membisikkan lagi kata-kata manis kepada Aminah, "Berbahagialah wahai Aminah, kebahagiaan bakal menjadi milikmu dengan izin Tuhan."

     Aminah tetap membisu dan mulutnya terkunci rapat. Bagi memandang Halah pun, dia tidak sanggup.

     "Bukankah manis apabila berasa bahagia? Kamu layak mendapatkan kebahagiaan ini saudaraku. Mari kita ke sana, lebih sesuai kita berbicara di sana," ajak Halah lantas menarik tangan Aminah ke ruangan di belakang rumah ayahnya itu.

     Seketika kemudian, sekali lagi Wuhaib datang mendapatkan Aminah. Wuhaib menatap wajah indah Aminah lalu berkata, "Wahai anak kepada saudaraku, Wahab. Takdir sudah ditetapkan untuk kamu, adakah kamu bersetuju?"

     Aminah hanya mampu mendiamkan dirinya. Wajahnya semakin merona merah. Wuhaib dan Halah memandang kepada dirinya dengan tersenyum bahagia.

     Diam itu ertinya bersetuju.

     Hati Aminah berkata, 'Wahai pak cik, tidak ada perkara yang paling bahagia melainkan bersuamikan Abdullah. Sayalah wanita yang paling baahagia. Katakan sahaja kepada mereka yang saya setuju.'

     Namun apakan daya itu hanya luahan hati seorang gadis yang tidak wajar berkata-kata dalam urusan sebegitu. Harapan yang Aminah ada ialah Halah. "Wahai Halah, berbicaralah untukku."

     Halah sebenarnya mengetahui dan memahami perasaan Aminah saat itu. Dia kemudian memeluk Aminah dan berkata kepada ayahnya, "Wahai ayahku, semoga Tuhan memberkati kamu dan nenek moyang kita. Sampaikanlah kepada rombongan Abdul Mutalib. Pemuda yang paling layak disandingkan dengan Aminah adalah Abdullah dan gadis yang paling layak untuk Abdullah adalah Aminah, tiada sangsinya lagi."

     Air mata bahagia meleleh laju menelusuri pipi Wuhaib. Dia kembali ke ruang tamu mendapatkan Abdul Mutalib, Abdullah, dan ahli rombongan yang lainnya.

     Apabila Abdul Mutalib berdiri melihat Wuhaib keluar dari bahagian dalam rumah, segera beliau bertanya, "Bagaimana?"

     Wuhaib menyambutnya dengan senyuman, didepakan tangan lantas dirangkul tubuh sahabatnya itu. Wuhaib kemudian membisikkan sesuatu ke telinga Abdul Mutalib.

     "Terima!"

     Senyuman tercipta di wajah Abdul Mutalib, dia lantas berpaling kepada ahli rombongan yang sedang menanti dan berkata dengan suara keras, "Terima... terima...."

     "Syukur...!"

     Suasana menjadi gamat dengan suara puji-pujian dan kesyukuran. Mereka berpelukan dan menyanyikan lagu kegembiraan. Abdullah tersenyum bahagia lalu matanya bersinar memancarkan cahaya karisma. Semua yang turut gembira. Mereka menyambut dua kegembiraan dan kesyukuran serentak pada hari itu.




P/S: DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI-SRIKANDI YANG BENAR, DITULIS OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI. SYUKRAN JAZILAN.

Friday 20 February 2015

AMINAH [ BAB 6 - TEMPURUNG NASIB ]




TEMPURUNG NASIB


Beberapa hari selepas itu, Abdul Mutalib berbincang dengan kaum kerabat serta pembesar-pembesar Mekah yang lain berkenaaan cadangan yang diutarakan tempoh hari. Mereka mahu merujuk kepada mana-mana bomoh bagi mendapatkan nasihat ataupun jalan keluar daripada masalah yang sedang mereka hadapi bagi menyelamatkan kepala Abdullah daripada dipenggal.

     Abdul Mutalib memulakan bicara, "Selepas berfikir secara mendalam, saya dapati cadangan mendapatkan pandangan dan nasihat bomoh berkenaan ganti nazar ini boleh diterima. Soalnya sekarang, siapakah bomoh yang patut kita rujuk?"

     Orang ramai diam seketika, kemudian salah seorang daripada mereka bangun. "Saya mohon mencelah tuan-tuan yang mulia, saya kenal seorang bomoh lelaki yang hebat. Saya berjumpa dengannya beberapa tahun sudah. Dengan izin, saya syorkan kita merujuk kepada beliau."

     Tiba-tiba seorang lelaki tua berkata, "Kamu maksudkan bomoh yang tinggal di lereng bukit di sebelah barat?"

     "Ya."

     "Sekiranya begitu, beliau sudah meninggal dunia tahun lepas. Saya mendapat berita ini apabila mahu pergi mendapatkan bantuannya bulan sudah," kata lelaki itu lagi.

     Lelaki itu sedikit terkejut. "Sayang sekali, namun memang patut kerana usianya sudah lanjut."

     "Apa kata kita ke Khaibar berdekatan Yathrib, di sana ada seorang bomoh perempuan berbangsa Arab yang hebat. Ramai yang memperakuinya," kata seorang lelaki lain.

     "Benar, saya pernah mendapatkan bantuan daripadanya dan ia berhasil," tingkah seorang ibu.

     Abdul Mutalib sejak tadi diam membisu, hanya mendengar.

     Dia lantas bersuara, "Sekiranya begitu, adakah kamu semua setuju bagi mendapatkan pertolongannya ataupun ada yang membangkang?"

     Ternyata ada yang kurang berpuas hati.

     "Mengapa tidak dicari bomoh lelaki? Secara peribadi, saya ragu pada bomoh," kata seorang khalayak tegas.

     "Namun, kehebatannya sudah terbukti. Apa lagi yang lebih penting?" tegas yang lain pula.

     "Ya, kita cuba sahaja dahulu," sokong rakan lelaki itu.

     Keputusan dicapai lalu mereka mendapatkan bantuan bomoh perempuan yang tinggal di Khaibar, berdekatan Yathrib.


====================


"Mari kita bertolak!" Ketua rombong para pembesar Quraisy berteriak keras. Mentari sedang terik di atas kepala waktu itu. Mungkin sebab itulah orang Arab terkenal dengan sifat keras hati, kuat semangat dan tekun, apatah lagi mereka hidup di tengah padang pasir yang hampir gersang dan panas membahang.

     Bayangkan perjalanan di tengah lautan pasir yang sayup mata memandang, tanpa pokok mahupun air. Sekiranya mereka tidak keras hati, nescaya mereka tidak layak hidup di padang pasir.

     Menjadi tradisi Arab Jahiliah, bomoh adalah pilihan sesudah perundingan menemui jalan buntu. Bomoh mendapt tempat yang tinggi dalam hierarki masyarakat Arab Jahiliah kala itu. Lebih seminggu mereka menunggang di tengah padang pasir semenanjung Hijaz itu, akhirnya mereka sampai dan menemui bomoh wanita itu.

     Maka perundingan perundingan pun berlangsung. Kini mereka sudah punya keputusan yang akan dipersembahkan kepada kaum mereka terutama kepada Abdul Mutalib.

     Perjalanan yang memakan masa 20 hari pergi dan pulang sememangnya mendatangkan hasil yang baik. Mereka pulang dengan hati yang riang dan kepuasan yang tidak terhingga.

     Di Mekah, kepulangan rombongan dari Yathrib bagi berjumpa bomoh mendapat perhatian yang hebat. Hampir semua orang berbicara berkenaannya.

     Di suatu sudut di pasar Mekah, beberapa orang saudagar sedang berbicara sesama mereka.

     Saudagar tamar menimbulkan kerisauannya pada keputusan yang bakal berlaku. "Wahai saudaraku, apakah kalian tahu rombongan ke Yathrib sudah pulang?"

     Sahabat-sahabat saudagar itu yang juga adalah saudagar di pasar Mekah menjawab serentak, "Ya, kami tahu."

     "Entah apakah keputusan yang dibawa mereka?" soalnya lagi.

     "Kami yakin Abdullah terlepas daripada sembelihan bapanya itu," jawab saudagar kambing.

     "Mengapa kamu begitu yakin?" tanya saudagar susu pula.

     "Kita bukan tidak kenal Abdullah. Dia juga adalah sahabat kita, pemuda terbaik di kalangan kita. Siapa yang tidak senang dengan Abdullah. Semua orang di Mekah mengasihinya." Saudagar kambing menegaskan.

     "Benar, itu tidak dinafikan. Tetapi apakah itu jaminan Abdullah tidak dipenggal dan nazar Abdul Mutalib boleh berubah. Kita juga kenal Abdul Mutalib yang tegas apabila melafazkan kata-katanya." Saudagar tamar pula bersuara.

     "Saya yakin keputusan yang dibawa balik oleh rombongan akan memihak kepada Abdullah. Tuhan itu maha adil," kata saudagar yang lain.

     "Saya juga mengharapkan yang demikian," kata saudagar yang lain pula.

     "Benar, satu kerugian yang besar kepada bangsa Quraisy sekiranya pemuda sehebat Abdullah disia-siakan di bawah parang sembelihan. Dia punya masa depan yang cerah menyinar."

     Nampaknya di tempa-tempat lain juga kedengaran kata-kata yang lebih kurang sama topiknya. Namun kadang-kadang ada juga suara protes yang tidak menyetujui cara Abdul Mutalib, begitu juga suara-suara yang berani mengkritik tuhan berhala mereka dengan mempersoalkan kekuasaannya.

     Perjumpaan besar-besaran sekali lagi diadakan bagi mengisytiharkan keputusan yang dibawa balik oleh rombongan.

     Masing-masing menunggu dalam debar. Ketegangannya sedikit berkurangan apabila sudah ada khabar angin yang Abdullah terselamat daripada penyembelihan, namun ada gantinya.

     Wajah-wajah kaum kerabat Abdul Mutalib juga tidak seperti dahulu, semasa Abdullah hampir disembelih oleh bapanya sendiri. Orang ramai tidak dapat mengagak apakah keputusan yang cepat, cuma mereka tahu Abdullah terselamat.

     Apabila semua penduduk Mekah hadir, ketua rombongan memulakan bicaranya. "Wahai penduduk Mekah, kini kami sudah mendapatkan jalan penyelesaian bagi melangsaikan nazar Abdul Mutalib tanpa perlu menumpahkan darah puteranya Abdullah."

     Orang ramai tekun mendengar.

     "Perjalanan kami selama 20 puluh hari bagi berjumpa bomoh perempuan di Khaibar berdekatan Yathrib tidak sia-sia apabila beliau sendiri berkata, Abdullah boleh digantikan dengan 10 ekor unta." Belum sempat ketua rombongan itu menghabiskan kata-katanya, para hadirin sudah gegak gempita bersorak riang.

     Si ketua terpaksa mengeraskan suaranya, "Dengarlah wahai penduduk Mekah, saya belum habis berbicara!" jerkahnya.

     Semua diam serentak. dia menyambung bicara, "Selepas 10 ekor unta dikorbankan, undi dibuat sekali lagi. Sekiranya nama Abdullah masih lagi terpilih, Abdul Mutalib mesti menambah 10 ekor unta lagi sehingga nama Abdullah sudah tidak terpilih. Maka nazar Abdul Mutalib dikira diterima oleh Tuhan."

     Kegembiraan tadi bertukar sedikit gusar sehingga para hadirin tidak terkata apa-apa. Masing-masing bertanya dan menjawab kepada diri sendiri.

     "Apakah Tuhan merahmati Abdullah dengan sekali undi dan korban sahaja? Bagaimana sekiranya diundi dan terus nama Abdullah yang terpilih?" tanya seorang hadirin.

     "Sanggupkah Abdul Mutalib mengorbankan unta-untanya? Bagaimana selama sepuluh kali undi tetap juga nama Abdullah yang terpilih, ini bermaksud Abdul Mutalib terpaksa menyembelih 100 ekor unta!" soal yang lain pula.

     "Biar berapa harganya, nyawa Abdullah lebih berharga. Harta dapat boleh dicari tetapi nyawa anak sendiri tidak mampu dibeli," jawab beberapa hadirin yang berada di situ.

     "Abdul Mutalib akan papa kelak kerana Tuhan sedang menarik harta kekayaannya. Orang baik seperti Abdul Mutalib dan anaknya Abdullah tidak terlepas daripadanya." Mereka yang lain pula memberikan pendapat.

     Banyak lagi persoalan yang berlegar dalam ruangan minda kaum Quraisy. Mereka musykil, apakah Abdul Mutalib wajar dibantu ataupun dibiarkan sahaja. Sekiranya mahu dibantu pula, bagaimanakah caranya? Sekiranya dilihat dan dibiarkan sahaja, apakah betul tindakan itu? Bukankah mereka adalah kabilah, puak dan suku yang sama. Darah mereka adalah darah daripada jalur yang sama.

     "Baiklah, kami setuju. Asal sahaja Abdullah tidak dikorbankan oleh Abdul Mutalib!" Keras sahaja suara itu.

     Diikuti dengan laungan tanda menyokong tindakan itu, hampir semuanya. Mereka mengasihi Abdullah dan pada masa yang sama, dia tidak sanggup menginkari arahan Abdul Mutalib, ketua suku mereka.

     Sekali lagi pada malam itu, acara yang sama sepertimana yang berlaku berlangsung 20 hari sudah dijalankan. Undian tempurung, sama ada unta ataupun kepala Abdullah.

     Sebelum itu Ummu Hakim, saudara perempuan Abdullah merencanakan sesuatu dengan adik-beradiknya yang lain.

     Ummu Hakim mengumpulkan mereka di suatu tempat dan berkata, "Saudara sekalian, kita ini darah daging Abdullah dan Abdul Mutalib adalah ayah kandung kita. Kita semua tahu ayah adalah manusia yang berprinsip, mustahil dia berlembut tam

Tuesday 17 February 2015

AMINAH [ BAB 5 - NASIB ABDULLAH ]



NASIB ABDULLAH


Penjaga berhala itu sebenarnya tidak berniat mahu melakukannya. Namun hati kecilnya berkata, 'Sekiranya aku tidak buat seperti yang disuruh oleh Abdul Mutalib, aku tidak mendapat upahnya. Pasti aku rugi kerana upahnya tentu sekali lumayan.'

     Dia menyedari banyak mata yang sedang menyoroti dirinya dengan penuh kebencian.
   
     'Aku tidak peduli. Apa yang kamu fikir, suka hati kamu semua!' getus penjaga berhala itu dalam hati.

     Dia lantas maju ke hadapan anak Abdul Mutalib satu persatu sambil menghulurkan tempurung yang digunakan bagi mencabut undi.

     Suasana hening.

     "Sifat berani anak-anak teruna Abdul Mutalib terserlah apabila tiada sedikit pun riak gentar pada wajah mereka," kata penjaga berhala selepas mengagihkan kertas undian kepada anak-anak Abdul Mutalib.

     Kemudian kesepuluh mereka menulis nama sendiri di atas kertas itu lantas dimasukkan semula ke dalam tempurung itu.

     "Kemudian apa yang akan dilakukan oleh mereka?" tanya seorang anak kecil yang melihat acara itu bersama ibunya.

     "Orang tua penjaga berhala akan menggoncang tempurung itu dan mengambil satu nama. Nama yang terdapat pada kertas yang dicabut akan diisytiharkan sebagai korban nazar Abdul Mutalib," jawab ibu anak kecil itu.

     Keadaan semakin genting kerana semua orang menanti dalam debaran. Jantung masing-masing berdegup kencang. Nafas semakin laju, Abdul Mutalib juga kelihatan tegang dengan situasi ini.

     "Lihat anak-anak Abdul Mutalib. Tidak ada sekelumit gentar pun pada wajah mereka," kata Kilab, salah seorang pemuda Quraisy kepada sahabatnya Uzza.

     "Ya, saya kagum kepada mereka," jawab Uzza.

     "Mereka kelihatan tersusun kemas dan gagah perkasa. Lihat sahaja Abdullah, senyumannya semanis gula, ibarat pahlawan yang baru pulang membawa kemenangan sambil disambut gadis rupawan idaman hati," kata Kilab lagi.

     "Bukan kita tidak kenal Abdullah yang menjadi putera kaum ini. Bani Quraisy akan kehilangan permata bangsa sekiranya Abdullah yang terkorban hari ini." Uzza melahirkan kerisauannya.

     'Apakah kamu kasihankan aku, tidak pernah aku mengocak tempurung ini bagi menumpahkan darah kerana nazar. Bukan selama ini aku hanya ditugaskan membuat undian bagi pembahagian harta untuk mereka yang mempertikaikannya, mengkhabarkan baik dan buruk kepada mereka yang mahu menilik masa depan, memilih jodoh antara pemuda dan pemudi bangsa Quraisy dan yang paling besar dan penting sekalipun menentukan tarikh bagi memulakan perang sahaja.' Si penjaga berhala bermonolog sendirian.

     "Namun pada hari ini, aku gunakan tempurung ini bagi membuat undian menentukan siapakah antara anak Abdul Mutalib yang menjadi korban nazarnya. Apakah benar perbuatan ini Tuhan? Berilah petunjuk kepadaku." Tidak putus-putus si penjaga berhala berkata-kata dalam hati. Dia berasa sangat terbeban dengan apa yang sedang dilakukannya sekarang. Tangannya terus menggoyang-goyangkan tempurung itu, kini matanya disorot ke arah para hadirin.

     Dia berasakan ada yang berkata kepadanya, "Kamu adalah manusia yang keji!"

     Tiba-tiba dia berasakan ada yang mencercanya, "Adakah kamu sedar apa yang kamu lakukan? Kamu lebih hina daripada seekor binatang!"

     Dari jauh, dia terdengar ada suara sayup-sayup, "Kamu pasti menyesal sekiranya undian ini diteruskan!"

     Dia semakin gementar memikirkan hal-hal itu. Walaupun dia sedar suara-suara tadi hanyalah ilusinya. Fikirnya, "Mereka semua pasti sedang marahkan Hubal, tuhan berhala ini. Sorotan mata penuh kebencian seakan mempersoalkan mengapa tuhan ini tidak berbuat apa-apa apabila seorang yang baik daripada keturunan yang baik menjadi korban."

     "Khabarkanlah, wahai Hubal. Bukankah engkau tuhan, khabarkanlah yang sebenar-benarnya. Abdul Mutalib hanya tersilap membuat nazar, bukan anak-anaknya yang bersalah. Aku juga tidak sanggup sekiranya amalan nazar ini menjadi amalan kepada kaum Quraisy selepas ini!" raung si penjaga berhala dalam sanubarinya.

     Di tengah-tengah ketegangan itu, ada butiran air mata tumpah daripada kelopak mata si bunga kaum Quraisy, Aminah. Aminah turut berada dalam kelompok penonton peristiwa yang dasyat itu.

     'Mengapa? Mengapa kamu masih membisu?' tanya Aminah dalam hati sambil matanya memanah tajam ke arah berhala bernama Hubal itu.

     'Sekiranya diikutkan hati ini, mahu sahaja kamu digoncang-goncang bagi menyedarkan apa yang sedang terjadi di hadapanmu kini,' tingkah Aminah lagi.

     'Patutlah kebelakangan ini aku mendengar ada di kalangan Quraisy keluar mencari Tuhan lain selain dirimu. Nampaknya hari ini kamu memperakuinya sendiri dakwaan mereka yang dirimu tidak lebih daripada sebuah patung batu yang dibuat oleh tangan penyembahmu sahaja,' getus Aminah melepaskan geram. Namun, raungan batinnya tidak mampu mengubah keadaan.

     Kini semua mata memandang ke arah tangan penjaga berhala yang sedang menggoncang tempurung itu. Lama dia mengocaknya. Mungkin ada ragu-ragu dan serba salah. Tiba-tiba dia berhenti menggoncang, tangannya dimasukkan ke dalam tempurung, dipusing-pusing tangannya sebanyak dua kali lagi, kemudian dia mengeluarkan tangannya yang membentuk penumbuk. Semua tahu yang ada dalam genggaman itu adalah nama salah seorang anak Abdul Mutalib yang akan disembelih.

     Mata membuntang, urat menegang, peluh dingin meleleh keluar dari liang roma, bunyi tangisan mulai mereda, kini hanya degupan jantung sahaja yang merajai suasana.

     Perlahan-lahan kepala dan tangan dibuka oleh si penjaga berhala. Tiada riak pada wajahnya, dilihatnya sekali lagi agak lama. Lalu....

     Suatu teriakan kuat dilontarkan.

     "Ab... Abdullah!"

     Bagaikan bukit di sekeliling lembah Mekah hancur berkecai dan menimpa mereka. Hati mereka remuk redam, suara tangisan dan ratapan menguasai keadaan.

     "Tidak! Ini suatu kekejaman, tolong hentikan sekarang!" raung seorang wanita setengah abad sekuat hatinya. "Kasihanilah Abdullah, dia putera terbaik bangsa Quraisy, janganlah kamu membunuhnya!"

     "Karut! Undian sebegini adalah karut, jangan kita percaya kepada permainan sebegini. Wahai Abdul Mutalib yang mulia, janganlah kamu melaksanakan nazarmu semata-mata kerana undian tempurung ini!" kata salah seorang hadirin.

     "Benar, jangan hanya kerana perkara yang kebetulan ini kamu terpaksa lakukan perkara yang kamu akan sesalkan sepanjang hayat kamu kelak!" Suatu suara mencelah entah dari mana, dan banyak lagi suara memprotes, mencela, memarah dan tidak kurang juga memaki hamun.

     Sama ada Abdul Mutalib ataupun patung yang bernama Hubal itu, kedua-duanya menjadi mangsa kemarahan masyarat Quraisy.

     Abdul Mutalib hanya membatukan diri. Sebenarnya hati bergetar dasyat tatkala mendengar nama Abdullah yang disebut oleh si penjaga berhala itu.

     'Wahai Tuhan, aku nyaris sahaja duduk tersungkur tatkala nama Abdullah yang disebut tadi. Apakah ini ujian daripada-Mu? Semua mereka memarahimu sekarang, jawablah wahai Hubal, kaki ini aku teguhkan juga nazar itu!' Abdul Mutalib sedang dibantai dilema.

     Sedang Abdul Mutalib dalam dilema sendirian, Abdullah sedang mendapatkan bapanya. Abdul Mutalib mengangkat muka lalu pandangan mereka bertemu. Abdullah tersenyum dan senyuman itu menjelaskan yang dia bersedia dan ikhlas dikorbankan oleh ayahnya sendiri. Senyuman itu yang membuatkan hadirin semakin tidak keruan, membuatkan ayahnya gugup.

     Abdullah berbisik lembut ke telinga ayahnya, "Wahai ayah, laksanakan nazarmu kepada Tuhan. Jangan gusar dan gentar di hadapan anak-anak dan kaummu, sungguh saya tidak sedikit pun menyalahkanmu dalam hal ini. Tunaikanlah nazar dan lapangkanlah dadamu selepas menebus janji Tuhanmu itu."

     Masih ada suara keras memprotesnya, "Undian itu tidak benar, ia perlu dilakukan semula!"

     "Ya!" Ramai yang bersetuju.

     "Mungkin ada kesilapan pada undian pertama. Lakukan sahaja sekali lagi wahai Abdul Mutalib!" pinta orang ramai lagi.

     "Ya! Sekiranya undian tidak dilaksanakan sekali lagi, kami sanggup gantikan kepala kami dengan Abdullah!" jerkah salah seorang saudara mereka.

     Abdul Mutalib seakan tuli kala itu dengan suara-suara yang memprotes, mengutuk dan mengejinya. Dia perlu tunaikan nazarnya, dan undian yang dibuat menunjukkan Abdullah adalah korbannya, dia mesti lakukannya!

     Genggaman tangannya pada parang semakin kemas, dikepal-kepal tangannya yang memegang parang panjang berkilat itu. Ada tekad bagi melaksanakan sahaja nazar itu. Itu sahaja yang terlintas di hati dan fikiran Abdul Mutalib.

     Perlahan-lahan Abdul Mutalib melangkah ke hadapan Hubal lantas berseru, "Wahai Abdullah, majulah anakku!"

     Abdullah tanpa membantah mahupun rasa gentar terus melangkah gagah ke arah ayahnya di hadapan Hubal.

     "Silakan ayahku."

     Sinar matahari yang menyimbah bumi menantulkan silau dan sangat memeritkan amta para hadirin. Seketika, seorang gadis berlari daripada kelompok orang ramai lalu menyerbu dan melutut di antara Abdul Mutalib dan Abdullah. Dalam ratapan dia bersuara keras. "Gantikan Abdullah dengan saya. Bebaskan dia."

     Rupa-rupanya gadis itu ialah Ummu Hakim, saudara kembar Abdullah.

     Abdul Mutalib terkejut, lantas berkata dengan suara bergetar, "Apakah yang kamu lakukan ini wahai Ummu Hakim? Mengapa kamu menghalang pelaksanaan nazar ini? Adakah kamu mahu menderhakai Tuhan?"

     Ummu Hakim membalas, "Saya hanya mahu menyelamatkan saudara saya sendiri kerana dia juga anak kesayangan ayah. Janganlah ayah bunuh Abdullah. Sekiranya Abdullah, ayah juga mengikutinya lantaran kesedihan atas kematiannya. Gantikan sahaja dirinya dengan saya, bukankah saya juga seorang manusia?"

     "Tidak mungkin Ummu Hakim, orang yang mesti dikorbankan untuk nazar ini mesti seorang lelaki," tegas Abdul Mutalib.

     "Apakah kamu kira Tuhan merestui perbuatanmu ini wahai ayahku? Sesungguhnya Allah tidak meredhai pembunuhan orang yang tidak berdosa tanpa sebab!" Ummu Hakim juga bertegas.

     Beberapa orang lelaki dewasa kaum Quraisy mula sedar yang mereka hanya menikus tatkala melihat peristiwa itu. Terkesan dengan tindakan Ummu Hakim, mereka naik angin lalu menyerbu ke arah Abdul Mutalib.

     "Mari kita selamatkan Abdullah! Kita mesti tahan Abdul Mutalib," laung salah seorang daripada mereka.

     "Ya, malu kita kepada Ummu Hakim, dia hanya seorang perempuan namun keberaniannya mengatasi kita semua, malu kita wahai lelaki Quraisy!" Lelaki kedua pula menerpa.

     Terkesan dengan kata-kata dan drama yang sedang berlaku di hadapan mereka, secara spontan beberapa orang lelaki menyerbu ke arah Abdul Mutalib, serentak menahan dan cuba meleraikan pegangan parangnya yang tajam berkilat itu.

     "Kami tidak membenarkan kamu membunuh anak saudara kami!"

     "Ya, Abdullah adalah milik Arab Quraisy! Langkah mayat kami dahulu sebelum kamu mahu membunuhnya!"

     Mendengar kata-kata itu, Abdul Mutalib mula mengalah. Dia bersuara dalam sebak, "Nazar sudah dibuat wahai kaum Quraisy, bukankah setiap nazar itu perlu dilaksanakan. Apakah kamu tidak takut bala daripada Tuhan? Siapakah yang mahu bertanggungjawab kelak?" Ada getar berulam tangis di hujung bicara Abdul Mutalib. 

     Tiga orang pemuda Quraisy semakin kuat memegang Abdul Mutalib, sambil menyindir salah seorang daripada pemuda itu berkata, "Bagaimana tempurung itu sentiasa benar? Apakah tidak ada celanya keputusan tempurung itu? Kami sering menggunakan tempurung dan sentiasa kecundang. Beberapa kali kita menang dan banyak mana yang kita kalah dalam perang kerana tempurung itu, wahai Abdul Mutalib?"

     Seorang lagi menyampuk, "Kamu sendiri juga tahu jawapannya."

     Hujah menghujah kembali berlaku. Tiga orang pemuda itu tidak melepaskan malah mengemaskan lagi simpulan tangan mereka pada Abdul Mutalib.

     Abdul Mutalib cuba juga meronta bagi mendapatkan parangnya, Abdullah tetap kaku di situ, suasana semakin gawat. Selepas mencuba berkali-kali, akhirnya Abdul Mutalib kelihatan akur dan beralah.

     Dia lantas memalingkan wajah kepada penjaga berhala dan bertanya, "Apakah kamu mempunyai pandangan lain dalam hal ini?"

     Belum pun sempat si penjaga berhala menjawab, kedengaran suara orang ramai. "Tanyakan kepada bomoh lelaki mahupun perempuan akan hal ini? Mereka tentu lebih arif. Mungkin ada jalan keluar yang lebih baik daripada terpaksa membunuh anak-anakmu sendiri."

     "Baiklah sekiranya begitu. Saya terima keputusan kamu semua. Nazar ini tertangguh sehingga saya mendapatkan pandangan daripada bomoh-bomoh itu." Kata-kata Abdul Mutalib melegakan segenap jiwa yang ada di situ.




P/S : DIPETIK DARIPADA BUKU SRINKANDI-SRIKANDI YANG BENAR, DITULIS OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI. 

Monday 16 February 2015

AMINAH [ BAB 4 - UNDIAN MAUT ]




UNDIAN MAUT


Nampaknya keadaan di rumah Abdul Mutalib hingar-bingar dengan kehadiran orang Quraisy. Mereka bercakap sesama sendiri berkenaan nazar Abdul Mutalib.

     "Kamu rasa Abdul Mutalib mahu melaksanakan nazarnya itu?" tanya seorang pemuda Quraisy kepada sahabatnya.

     "Saya juga kurang pasti. Sekiranya saya yang menjadi Abdul Mutalib, pasti saya carikan jalan lain selain menyembelih anak kandung sendiri," jawab pemuda itu.

     "Saya juga berfikiran begitu," sambung pemuda yang lain pula.

     Tiba-tiba kedengaran suara yang agak keras daripada seorang yang sudah berumur. Dia sedang menujukan percakapannya kepada Abdul Mutalib yang duduk di tengah-tengah kerumunan manusia yang berbangsa Quraisy itu.

     "Wahai Abdul Mutalib, kamu adalah lelaki mulia dan penyelamat kabilah kita. Hanya kerana tangan kamu yang menghayun cangkul, tanah Mekah sudi mengeluarkan air dari telaga zamzam."

     Sekalian hadirin sedang menumpukan perhatian kepada orang tu yang sedang bercakap itu. Kemudian dia menyambung lagi, "Saya mewakili kabilah Quraisy merayu kepada kamu supaya membatalkan sahaja nazar kamu itu, ataupun gantikan sahaja dengan nazar lain yang setimpal."

     Abdul Mutalib diam seribu bahasa, wajahnya mencuka.

     Beberapa ketika kemudian, dia memandang hadirin lalu berkata, "Tuan-tuan dan puan-puan, apakah kamu semua fikir yang nazar kepada Tuhan adalah perkara main-main? Saya tetap laksanakan nazar saya."

     Orang tua itu masih tidak putus asa dan merayu, "Kami khuatir sekiranya kamu melaksanakan nazar itu, akan timbul amalan baru yang menjadi ikutan kepada anak cucu kita."

     Ada beberapa suara menyampuk namun tidak jelas. Abdul Mutalib tetap memasang telinganya. Melihat Abdul Mutalib tidak memberi reaksi kepada kata-kata para hadirin, mereka akhirnya diam. 

     Saat itu Abdul Mutalib berkata, "Saya sudah bernazar, ia wajib dilaksanakan."

     Hadirin terkedu.

     Sepuluh orang anak Abdul Mutalib kemudian datang berdiri mengelilingi Abdul Mutalib. Mereka seakan bersedia menerima apa sahaja keputusan ayah mereka. Tiada gambaran takut pada wajah mereka.

     Hadirin kagum dengan mereka semua. Apa yang mereka lebih kagumkan ialah Abdul Mutalib sendiri kerana berjaya mendidik dan menjadikan kesemua anak-anaknya sebagai pahlawan padang pasir yang tidak takut mati.

     "Sungguh berani, kami kagum kepada kamu. Kamu bukan sahaja berjaya pemimpin kabilah kita yang berkaliber, malah sebagai seorang ayah yang gagah perkasa dan prihatin juga," kata seseorang kepada Abdul Mutalib.

     "Lihat anak-anak Abdul Mutalib, inilah pemuda Quraisy yang sejati. Sekiranya ada 100 orang lagi anak Abdul Mutalib, saya pasti tiada makhluk di atas muka bumi ini berani menyerang kaum Quraisy lagi," laung seseorang di celah kerumunan manusia itu.

     Salah seorang daripada anak Abdul Mutalib yang berada di sampingnya saat itu kemudian berkata dengan suara yang keras dan menggentarkan hadirin, "Kami adalah anak Abdul Mutalib, penjaga Kaabah yang tangannya sudah menyelamatkan tanah Mekah. Kami tidak gentar walaupun terpaksa mengorbankan nyawa kami. Jangan gentar, tunaikan nazar itu supaya reda Tuhan bersama kita."

     Kata-kata itu disambut serentak oleh adik-beradiknya yang lain. "Benar, kami tidak gentar, pilih sahaja salah seorang daripada kami, wahai ayahanda."

     "Ini sungguh tidak masuk akal," getus salah seorang hadirin.

     "Nampaknya, tidak ada apa pun yang dapat menghalang Abdul Mutalib daripada melaksanakan nazarnya itu," sahut rakan hadirin itu.

     Tatkala itu, kedengaran suara tangisan wanita. Rupa-rupanya isteri-isteri Abdul Mutalib sedang risau. Adakah anak mereka yang bakal menjadi korban?

     Masing-masing tidak mampu lagi menahan sebak dan gundah yang hadir, "Ya Tuhan, janganlah Kamu pilih anakku sebagai korban nazar ini."

     "Wahai Abdul Mutalib, suami kepada kami dan ayah kepada anak-anak kami, adakah tidak ada lagi jalan lain selain mengorbankan salah seorang anak kamu, darah daging kamu yang kami kandungkan? Mengapa tidak digantikan dengan binatang ternakan kambing, dan unta yang menjadi korban menggantikan mereka?" rayu salah seorang isteri Abdul Mutalib.

     Isteri-isteri yang lain seraya memandang Abdul Mutalib dengan pandangan yang basah dengan air mata kasih seorang ibu, air mata kerisauan, air mata harapan.

     Abdul Mutalib memandang satu persatu wajah mereka. Tegar sekali. Lantas dia mengalihkan pandangannya ke langit malam lalu berkata, "Saya sudah bernazar dan setiap nazar itu wajib ditunaikan."

     Remuk-rendamlah hati wanita-wanita yang menjadi suri Abdul Mutalib itu. Kini mereka sedar yang tekad Abdul Mutalib tidak mampu lagi diubah. Walaupun ditawar intan permata, walaupun diberi selautan harta, bagi Abdul Mutalib, nazar kepada Tuhan tetap perlu dilaksanakan.

     Situasi itu menjadi igauan dan mimpi buruk kepada penduduk Mekah. Mereka tidak dapat membayangkan bagaimana keadaannya seorang ayah mahu menyembelih anak kandungnya? Bagaimana pula perasan ibu kepada anak-anak itu?

     "Malang sungguh isteri-isteri Abdul Mutalib!" kata seorang mak cik yang tidak mampu menunggu lebih lama di itu.

     Bagaimanapun, ada rintihan yang berbeza sedikit bunyinya. Ia datang daripada anak-anak gadis yang sentiasa mendambakan Abdullah, anak Abdul Mutalib yang sempurna itu.

     "Ketampanan dan kegagahan Abdullah sia-sia sekiranya nyawa melayang di hujung pisau sembelihan bapanya sendiri. Tuhanku, jangan Kamu pilih dirinya kerana aku mahu hidup bersamanya," rintih seorang gadis.

     Ternyata bukan gadis itu sahaja yang mengucapkan doa begitu, namun hampir keseluruhan anak gadis Quraisy mendoakan perkara yang sama kepada Abdullah.

     Di suatu sudut bilik yang gelap, kedengaran juga rintih doa daripada seseorang yang mulus. Dari siang tadi, dia tidak putus-putus berdoa dan mengharapkan supaya pemuda yang bernama Abdullah selamat daripada menjadi mangsa korban nazar ayahnya.

     "Wahai Tuhan, aku tidak tahu mengapa, aku resah dan gelisah memikirkan hal ini. Aku yakin para isteri Abdul Mutalib pasti merayu kepadanya, namun aku juga tahu yang nazar Abdul Mutalib seteguh bukit di sekeliling lembah gersang ini. Aku juga khuatir sekiranya yang terpilih kelak adalah Abdullah. Aku tidak tahu wahai Tuhan, mengapa aku gelisah dan resah. Semoga Kamu kasihan kepada kami dan berikan ikhtiar selain menjadikan manusia sebagai korban kepada-Mu."

     Malam itu berakhir dengan seribu satu gundah dan tanya. Siapakah yang bakal disembelih esok lantas menjadi korban kepada Tuhan bagi melunaskan nazar Abdul Mutalib.


====================


Mentari mula menyinar, sedikit demi sedikit menuju ke puncak. Penduduk Mekah bangun awal walaupun tidur lewat semalam. Malah ada yang tidak dapat melelapkan mata langsung, namun digagahi juga bagi melihat Abdul Mutalib melaksanakan nazarnya.

     "Mari kita ke sana segera," tingkah seorang lelaki.

     "Ke mana?" tanya isterinya.

     "Melihat siapa yang menjadi korban kepada nazar Abdul Mutalib."

     Tiba-tiba....

     "Itu rombongan Abdul Mutalib, dia sedang berlalu di depan rumah kita, kelihatan dia membimbit sebilah parang sembelihan," kata lelaki itu.

     "Di mana?" getus lelaki itu lalu keluar melihat sendiri.

     "Mahu mengikut mereka?" soal isterinya.

     "Ya, bagaimana kamu?"

     "Tidak sanggup saya melihat kekejaman ini," jawab isteri kepada pemuda Quraisy itu.

     "Sekiranya begitu, saya sahaja yang pergi. Kamu tinggal di rumah."

     Isteri pemuda Quraisy itu hanya mampu mengangguk. Pemuda itu kemudiannya menyertai rombong yang ramai jumlahnya. Debu-debu kering berterbangan memenuhi ruang udara.

     Dia kemudian mencuit seorang lelaki yang lebih tua di sebelahnya lalu bertanya, "Adakah semua anak lelaki Abdul Mutalib ada? Ataupun ada yang melarikan diri?"

     Lelaki tua itu menjegilkan matanya. "Apakah kamu sedar apa yang kamu cakapkan? Orang yang melaksanakan nazar ini adalah Abdul Mutalib, ketua bani Hasyim yang mulia. Anak-anaknya diasuh tidak gentar kepada maut!"

     Pemuda itu terdiam lalu cuba meloloskan diri ke hadapan. Hampir sahaja sampai di barisan hadapan, baru dia lihat kesepuluh anak Abdul Mutalib ada, bahkan sebenarnya keseluruhan ahli keluarga daripada kabilah bani Hasyim juga hadir pada pagi itu.

     Terdengar raungan para ibu....

     "Nasib apakah ini! Nasib apakah ini!" Salah seorang isteri Abdul Mutalib meratap keras.

     "Ini adalah kejam! Tolonglah batalkan sahaja!" jerit hadirin yang lain.

     "Tolonglah, mereka ini masih muda, baru mahu mengenal dunia, sudah disuruh mati, kasihannya!" rayu hadirin yang lain pula.

     Ratap hiba itu berterusan dan menggemparkan seisi Mekah. Mereka berarak sehingga sampai di hadapan Kaabah dan melakukan tawaf.

     Selepas itu mereka semua berkumpul di hadapan Hubai, berhala yang paling besar antara yang lain. Mereka hanya mampu memandang berhala itu dengan mata dan hati membara.

     Kini, di hadapan berhala yang diperbuat daripada batu itu, ada segelintir hati yang menyumpah. Mereka seakan tidak bersetuju nyawa manusia dikorbankan bagi dipersembahkan kepada berhala yang tidak punya kuasa apa pun itu.

     'Apakah patung ini punya manfaatnya, sehingga perlu dikorbankan manusia untuknya!' getus salah seorang hadirin dalam hati. Dia tidak berani menyuarakan hasratnya itu kerana buruk padahnya kelak sekiranya didengari pembesar Quraisy.

     "Sekiranya Ibrahim dan Ismail masih hidup, mereka pasti melaknat urusan ini. Ini bukan ajaran Tuhan yang benar, ini hanya perlakuan orang yang sesat!" tingkah yang lain pula.

     Beberapa orang yang mendengar sahabat mereka sedang mengata-ngata perihal keburukan dan kejelikan berhala memberi amaran, "Jangan kalian berbicara sebegitu, takut nanti ditimpa musibah."

     Ada pula yang menambah. "Ya, lebih baik kita mendiamkan diri. Walaupun berhala ini bukan Tuhan yang sebenar namun ia dianggap sebagai wakil Tuhan yang setaraf denganNya. Jangan kita ingkari ajaran nenek moyang kita."

     Saatnya kini sudah tiba, keringat jantan mula membasahi Abdul Mutalib.

     "Nampaknya Abdul Mutalib sedang bertafakur." Mereka yang berada di situ sedang memerhatikan setiap tingkah Abdul Mutalib.

     "Ya, semuanya terjawab sebentar sahaja lagi," jawab beberapa orang yang ada di situ.

     Tiba-tiba....

     "Wahai penjaga berhala, keluarkan tempurung itu dan goncanglah!"

     Abdul Mutalib bertempik keras kerana yang dimaksudkan dengan tempurung itu adalah bekas yang di dalamnya ada nama anak-anaknya bagi menentukan siapa yang menjadi korban nazar nanti.

     "Biar Tuhan tentukan, siapa yang dia mahu. Saya sudah bernazar mahu menyembelih salah seorang daripada sepuluh anak saya dan tidak ada perkara yang dapat menghalangnya. Tentukan siapa yang akan disembelih itu." Abdul Mutalib berkata dengan yakin.

     Hadirin semakin gusar memikirkan apa yang bakal berlaku, memikirkan siapa yang menjadi jamuan parang sembelihan yang tersisip kemas di pinggang Abdul Mutalib.

     Pisau itu berkilat-kilat dipantul cahaya mentari, seakan-akan tidak sabar lagi membaham mangsanya.

     Undian bermula....




P/S : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI-SRIKANDI YANG BENAR, DITULIS OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.