Wednesday 21 September 2016

HASAN AL-BANNA [ BAB 25 - TAMAK, DENDAM, DAN DAKYAH ]






TAMAK, DENDAM, DAN DAKYAH








Suatu hari Hasan Al-Banna berbincang dengan pembantunya. Dia berkata, "Sudah empat tahun saya bertugas di Ismailiyah, kemungkinan akan ada arahan bertukar tempat bertugas yang boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja. Kerana itu Ikhwan Muslimin perlu melantik Timbalan Yang Dipertua."

     "Kami setuju dengan cadangan Tuan itu. Apakah Tuan sudah ada calon yang difikirkan layak bagi memegang jawatan yang penting itu? Sekiranya ada, kami bersetuju dengan pilihan Tuan kerana Tuan lebih mengetahuinya," kata Afandi Abdul Saud.

     "Saya mencadangkan Syeikh Ali Al-Jadawi. Itu pun sekiranya kamu setuju. Sekiranya tidak setuju, kamu boleh kemukakan nama lain," kata Hasan Al-Banna mencadangkan. Perkara itu sudah lama difikirkannya. Sekarang baru dikemukakannya kepada mereka yang dipercayainya.

     Kemudian Hasan Al-Banna berkata lagi, "Saya memilih Syeikh Ali Al-Jadawi kerana dia dikira terbaik dalam kalangan kita, daripada segi agama dan akhlak. Syeikh Ali Al Jadawi adalah orang yang berpengetahuan. Bacaan Al-Qurannya sedap didengar. Beliau juga sangat giat dalam perjuangan-perjuangan agama. Dia juga selalu mengkaji dan mengajar Al-Quran. Di samping itu, dia adalah antara ahli Ikhwan yang terawal. Beliau disayangi oleh para anggota Ikhwan."

     "Pilihan itu memang tetap. Saya setuju dengan cadangan tuan," kata Fuad Ibrahim.

     "Saya juga setuju, tetapi...." Afandi Abdul Saud seperti ragu-ragu mahu meneruskan kata-katanya.

     Hasan Al-Banna memberi ruang kepada Afandi Abdul Saud untuk bersuara. "Katakanlah apa yang sedang fikirkan. Kami sedia mendengarnya."

     "Seperti yang kita maklum, sejak Ikhwan Muslimin membuka beberapa buah sekolah, ramai mereka yang memiliki ijazah tinggi seperti guru. Mungkin kerana merasakan diri mereka berpelajaran tinggi, mereka sering berebut jawatan dalam pertubuhan Ikhwan Muslimin. Keadaan ini menjadi lebih membimbangkan apabila kita melihat sikap dan telatah Efendy Basyir," kata Afandi Abdul Saud.

     "Saya juga melihat dia seperti mahu menjadi pemimpin Ikhwan Muslimin. Dia seorang ulama di Sekolah Hira, yang bijak dan fasih bersyarah. Dia dibesar-besarkan oleh para penyokongnya. Dia kerap dilantik menjadi pengerusi beberapa jawatankuasa, penyelia pelajaran, dan diberi pujian serta penghormatan yang berlebihan. Hal ini menimbulkan keinginan dalam dirinya bagi menjadi Ketua Ikhwan Muslimin di Ismailiyah," kata Fuad Ibrahim pula.

     "Saya juga melihat keadaan yang sedang berlaku itu. Memang benar mereka ahli akademik yang memiliki ijazah, tetapi mereka kurang layak daripada segi rohani dan latihan dakwah. Bahaya sekiranya mereka diberi memegang jawatan penting dalam Ikhwan Muslimin. Kerana itu saya menyokong Syeikh Ali Al-Jadawi menjadi Timbalan Yang Dipertua," kata Abdul Rahman Hasbullah pula.

     "Basyir tahu, Yang Dipertua Ikhwan Muslimin adalah pegawai kerajaan yang telah berkhidmat selama empat tahun di bandar Ismailiyah. Mungkin akan ditukarkan ke bandar lain. Kerana terlalu gilakan jawatan, dia lupa bahawa dia sendiri adalah pegawai kerajaan yang boleh ditukar ataupun dipecat pada bila-bila masa sahaja. Dia tidak mengikut cara yang lumrah bagi mencapai cita-citanya, iaitu dengan memberi khidmat yang ikhlas dan gigih kepada gerakan. Sebaliknya dia menggunakan cara-cara yang jahat seperti berkomplot, memecah belah, dan mengumpat. Dia memperkukuhkan hubungannya dengan beberapa orang anggota Ikhwan yang menjadi ahli jawatankuasa pimpinan Ikhwan Muslimin. Dia menyangka dengan berbuat demikian, dia dapat menyebarkan pengaruhnya dalam kalangan Ikhwan. Alangkah gigihnya dia dalam usaha bagi memperkuatkan hubungannya dengan para anggota Ikhwan," komen Fuad Ibrahim dengan panjang lebar.

     Hasan Al-Banna mengangguk-angguk lalu berkata, "Kita memang tidak mahu Basyir Efendi memegang jawatan penting dalam Ikhwan Muslimin. Tetapi kita perlu mendapat persetujuan ahli jawatankuasa yang lain. Kerana itu perlu diadakan mesyuarat bagi membuat pelantikan ini."

     Maka diadakan satu mesyuarat khas yang dihadiri semua ahli jawatankuasa dan ketua bahagian. Dalam mesyuarat itu, Hasan Al-Banna mencadangkan supaya dilantik seorang Timbalan Yang Dipertua, yang akan memikul tugas kepimpinan, andainya beliau ditukar ke tempat lain. Lalu Hasan Al-Banna mencadangkan nama Syeikh Ali Jadawi, dan semua ahli Ikhwan menyokong cadangan tersebut.

     "Ada baiknya jika Syeikh Ali Al-Jawadi menutup perniagaannya, dan diambil bekerja dengan Ikhwan sepenuh masa. Dengan cara ini, barulah dia dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerja-kerja dakwah," kata Fuad Ibrahim mencadangkan.

     "Saya setuju dengan cadangan itu kerana Ikhwan Muslimin sangat memerlukan seorang pekerja sepenuh masa," kata Hasan Al-Banna.

     "Kita melantiknya sebagai imam di masjid Ikhwan dan diberi sagu hati bulanan bagi menampung perbelanjaannya," sokong Abdul Rahman Hasbullah dan semua ahli mesyuarat bersetuju.

     Basyir Efendi berasa kecewa kerana dirinya tidak dipilih memegang jawatan itu. Dia berasa terkejut apabila kepimpinan pertubuhan terlepas daripada tangannya. Dia tidak tahan melihat seorang yang lebih rendah taraf daripadanya dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua.

     Justeru itu, Basyir Efendi mula mengatur rancangan untuk merampas jawatan yang dipegang oleh Syeikh Ali Al-Jadawi. Dia meyakinkan kawan-kawannya bahawa dia lebih sesuai memegang jawatan itu, dan bukannya seorang tukang kayu seperti Syeikh Ali Al-Jadawi. Dia juga memberitahu mereks bahawa haknya telah dirampas, dan pihak Ikhwan tidak menghargai atau mengiktiraf sumbangannya kepada pertubuhan Ikhwan Muslimin. Ulama itu berusaha dengan gigihnya meyakinkan rakan-rakan Ikhwannya, bahawa dia menghadapi banyak kesukaran dan menghabiskan banyak wang dan masanya untuk gerakan itu.

     Menurutnya, senarai pengorbanannya sangat panjang. Dia juga menganggap sumbangan Syeikh Ali Al-Jadawi sangat sedikit sekiranya dibandingkan dengan sumbangannya. Dia menganggap dirinya dizalimi.

     "Mesyuarat yang diadakan itu tidak sah kerana ia dilakukan dengan tergesa-gesa dan tanpa pemberitahuan yang sempurna. Ada ahli-ahli Ikhwan yang tidak tahu mengenai mesyuarat tersebut. Oleh itu, mereka tidak dapat memberi pendapat. Mungkin mereka mempunyai pendapat yang berbeza. Dengan itu, hak mereka bagi menyuarakan pendapat sudah dinafikan," kata Basyir Efendi.

     Dia terus mengecam Syeikh Ali Al-Jadawi. "Bagaimana dia boleh menerima gaji tiga Junaih sebulan untuk tugasnya sebagai imam masjid, padahal pihak Ikhwan sedang menghadapi kekurangan wang. Di samping itu, pihak masjid, sekolah, dan lain-lain bangunan juga masih berhutang dengan saya sebanyak 350 Junaih."

     Ramai yang terpengaruh dengan kata-kata ulama itu hingga akhirnya menjadi perbualan ramai. Hasan Al-Banna mahu menyelesaikan perkara itu dengan memanggil mereka yang terlibat ke rumahnya untuk berbincang.

     "Kami berpendapat Basyir Efendi itu seorang yang jujur dan setia dengan Ikhwan Muslimin. Apa yang dikatakannya itu adalah untuk kepentingan pertubuhan kita," kata Ahmad Jailani yang sudah terpengaruh dengan Basyir Efendi.

     Penyokong setia Basyir Efendi, Miqdad berkata dengan lantangnya, "Kami tidak setuju Syeikh Ali Al Jawadi dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua. Ramai yang berpendapat orang yang layak untuk jawatan itu adalah Basyir Efendi."

     Hasan Al-Banna berkata lembut, "Itu cuma pendapat kamu. Sedang orang lain mempunyai pendapat yang berbeza. Mereka memilih Syeikh Ali Al-Jawadi sebagai Timbalan Yang Dipertua. Kita perlu akur dengan keputusan mereka. Sekiranya saya menurut kehendak kamu, bermakna saya mengetepikan keputusan rakan-rakan kamu."

     Miqdad tidak berpuas hati dengan penerangan itu. Dengan suara yang keras dia berkata, "Mesyuarat itu diadakan secara tergesa-gesa dan agendanya tidak jelas. Kerana itu tidak semua ahli Ikhwan Muslimin dapat hadir. Sekiranya kamu hadir, pasti keputusannya berbeza. Kerana itu kami berpendapat mesyuarat itu tidak sah, dan keputusan melantik Syeikh Ali Al-Jawadi itu tidak sah."
    
     "Baiklah sekiranya begitu, apakah kamu bersetuju sekiranya mesyuarat agung itu diadakan sekali lagi?" tanya Hasan Al-Banna.
  
     Miqdad mengangguk pantas seraya berkata, "Itu yang sebaiknya."

     Hasan Al-Banna bertanya lagi, "Andainya kita menjemput semua ahli Ikhwanul Muslimin Ismailiyah hadir ke mesyuarat itu, menerangkan kepada mereka tujuan mesyuarat tersebut, dan membenarkan setiap ahli menyatakan pendapatnya dengan bebas, apakah kamu bersetuju menerima keputusan suara terbanyak?"

     "Kami bersetuju," kata Miqdad.

     "Nampaknya kita masih belum terlambat dan belum lagi kerugian apa-apa. Marilah kita bersumpah di hadapan Allah bahawa kita semua akan berpegang teguh dengan pendirian kita, iaitu bersetuju dengan kehendak ramai," kata Hasan Al-Banna.

     Mereka pun bersumpah dengan menyebut nama Allah bahawa mereka akan mengotakan apa yang dijanjikan. Maka tarikh mesyuarat pun ditentukan. Surat-surat jemputan dihantar kepada semua ahli Ikhwanul Muslimin. Agenda mesyuarat juga dicatatkan dengan jelas pada surat jemputan.

     Mesyuarat pun diadakan menurut jadual yang ditetapkan. Kesemua anggota Ikhwanul Muslimin Ismailiyah hadir termasuk Basyir Efendi dan beberapa orang penyokongnya. Pilihan pun dijalankan dengan aman. Apabila keputusan diumumkan, hampir kesemua anggota Ikhwan Muslimin menyokong pelnatikan Syeikh Ali Al-Jadawi sebagai Timbalan Yang Dipertua Ikhwan Muslimin. Basyir Efendi dan beberapa orang penyokong setianya terkejut dengan keputusan itu. Mereka lebih terkejut apabila Syeikh Ali Al-Jadawi membuat pengumuman bahawa dia tidak akan menerima sebarang elaun daripada tugasnya sebagai imam dan Timbalan Yang Dipertua.

     Pengorbanan itu disambut baik ahli Ikhwan Muslimin. Mereka mencadangkan supaya Syeikh Ali Al Jadawi tidak dibiarkan berada dalam kesusahan. Mereka menyewa sebuah kedai berhampiran masid, lalu diberikan kepadanya untuk dia mencari nafkah. Dengan cara itu, Syeikh Ali Al-Jadawi dapat tinggal berhampiran dengan masjid.

     Hasan Al-Banna berasa gembira kerana menyangka perkara itu sudah selesai. Tetapi bagi mereka yang dikuasai perasaan dendam dan tamak, tidak akan nampak kebaikan dan kebenaran. Mereka menyebarkan dakyah kononnya Hasan Al-Banna sudah memberi jawatan kepada orang yang sangat berbahaya serta merugikan Ikhwan Muslimin.

     Mereka juga memberitahu orang ramai bahawa Ikhwan Muslimin telah berhutang dengan para peniaga sebanyak 350 Junaih bagi membina masjid dan Pusat Gerakan Ikhwan. Mereka mengugut sekiranya orang ramai tahu perkara itu, pasti mereka meminta wang mereka dikembalikan semula dan mereka berhenti memberi sumbangan. Dengan demikian, orang ramai akan memandang buruk Ikhwan Muslimin.

     "Syeikh Ali Al-Jadawi tidak mampu memikul tanggungjawab kepimpinan yang berat itu, lebih-lebih lagi apabila Hasan Al-Banna ditukarkan ke tempat lain. Sepatutnya seorang yang lebih terpelajar, berpengaruh, dan kaya dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua," kata Miqdad dalam usahanya mempertikaikan pelantikan Syeikh Ali Jadawi.

     Apabila Hasan Al-Banna mendapat tahu dakyah itu sedang tersebar dalam kalangan orang ramai, dia berazam mahu menyelesaikan perkara tersebut. Beliau memanggil para peniaga yang memberi pinjaman kepada Ikhwan Muslimin. Jumlah mereka hanya empat orang.

     "Apa yang dikatakan orang ramai itu tidak benar kerana kami tidak pernah meminta Ikhwan Muslimin membayar hutang pada masa sekarang, kerana kami tahu pertubuhan itu belum mampu membayarnya," kata Mahfuz seorang daripada peniaga itu.

     Hasan Al-Banna memberi kata putus, "Bagi mengelakkan salah faham orang ramai, saya sendiri akan membayar hutang itu kepada tuan-tuan secara beransur-ansur. Bagi memudahkan saya membuat bayaran, elok tuan-tuan gunakan satu nama sahaja."

     Para peniaga itu menyatakan persetujuan mereka. Kemudian Hasan Al-Banna menulis surat perjanjian, menyatakan dirinya yang berhutang dengan para peniaga itu, bukan Ikhwan Muslimin. Kerana itu dia sanggup membayarnya secara beransur-ansur, sebanyak lapan paun sebulan. Para peniaga itu juga bersetuju bahawa Ikhwan Muslimin Ismailiyah tidak berhutang dengan mereka lagi. Kemudian Hasan Al-Banna memanggil ahli Ikhwan Muslimin bermesyuarat termasuk Basyir Efendi dan beberapa orang penyokongnya.

     "Saya ingin memaklumkan, Ikhwan Muslimin tidak lagi berhutang dengan sesiapa kerana semua hutang piutangnya, saya sendiri yang akan membayarnya. Perkara ini sudah dipersetujui para peniaga yang memberi hutang," kata Hasan Al-Banna.

     Basyir Efendi kelihatan terpegun mendengarnya. Begitu juga dengan para penyokongnya. Bagi menyembunyikan apa yang bergolak dalam fikirannya, dia pun pura-pura meluahkan rasa simpati.

     "Kami tidak menyangka begitu mulia hati Tuan sehingga sanggup menanggung hutang Ikhwan Muslimin. Tetapi kami rasa hairan kenapa Tuan sanggup bersusah payah? Bagaimana sekiranya berlaku sesuatu terhadap Tuan," kata Basyir Efendi dengan berpura-pura menyatakan rasa simpati.

     "Perkara ini adalah berkaitan dengan diri saya, biarlah saya sendiri yang menanggungnya. Berkenaan dengan hutang yang saya tanggung itu, saya sudah membuat persediaan bagi membayar semuanya dengan cara ansuran yang sangat mudah. Peminjam sudah bersetuju dengan cara bayaran itu. Saya rasa bertanggungjawab dalam perkara ini kerana saya adalah salah seorang anggota masyarakat Islam. Sudah menjadi kewajipan saya berkorban pada jalan Allah. Oleh itu, janganlah berasa bimbang terhadap diri saya. Ini sudah cukup bagi kita semua untuk terselamat daripada dituduh yang bukan-bukan oleh orang ramai. Semoga Allah meletakkan kita di jalan yang lurus." Kata-kata Hasan Al-Banna itu membuatkan Basyir Efendi dan penyokongnya terdiam.

     Melihat keadaan itu, maka Abdul Rahman Hasbullah pun berkata, "Sebagai orang Islam dan anggota Ikhwan Muslimin, kita perlu bertanggungjawab terhadap apa yang kita lakukan. Semoga selepas ini tidak ada lagi menyebarkan dakyah yang mampu menghilangkan kepercayaan orang ramai terhadap pertubuhan kita."

     Ahmad Bakhtiar yang memegang jawatan sebagai bendahari yang merupakan seorang penyokong Basyir Efendi berasa tercabar lalu berkata, "Sekiranya tuan-tuan tidak lagi menaruh kepercayaan terhadap saya, saya mahu serahkan jawatan yang saya pegang ini kepada orang lain."

     "Saya menyokong kerana tuan punya diri yang mencadangkan. Kita lantik seorang yang lebih jujur dan ikhlas dalam perjuangan," kata Fuad Ibrahim.

     Ahmad Bakhtiar mula naik angin mendengar kata-kata itu. "Apakah kamu menuduh saya tidak ikhlas dan tidak jujur?"

     "Baiklah sekiranya kamu seorang yang jujur, serahkan peti kewangan kepada Yang Dipertua kerana kamu tidak lagi memegang jawatan bendahari," kata Fuad Ibrahim.

     Muka Ahmad Bakhtiar tiba-tiba menjadi pucat. Hasan Al-Banna menyuruhnya menyerahkan peti kewangan Ikhwan Muslimin.

     "Peti kewangan Ikhwan Muslimin itu sudah kosong. Bukan salah saya tetapi salah orang lain. Semoga, dengan izin Allah, tabung kewangan ini akan selamanya kosong," kata Ahmad Bakhtiar lalu menyerahkan tabung itu kepada Hasan Al-Banna.

     "Semoga dengan rahmat Allah, tabung kewangan ini akan sentiasa penuh," kata Hasan Al-Banna pula.

     Ahmad Bakhtiar segera keluar dari bilik mesyuarat, diikuti Basyir Efendi dan para penyokong yang lain. Kemudian ahli masyarakat melantik bendahari baru.

     Beberapa hari kemudian, saya mesyuarat diadakan di rumah Syeikh Muhammad Hussain Zamloot yang dihadiri beberapa orang pemimpin Ikhwan Muslimin, kecuali Hasan Al-Banna. Dalam mesyuarat tersebut, mereka membincangkan mengenai hutang Ikhwan Muslimin yang ditanggung oleh Hasan Al-Banna. Mereka mengambil keputusan untuk sama-sama memikul bebanan hutang tersebut. Mereka berjaya mengumpulkan 400 paun dan kesemua hutang itu dapat dijelaskan. Baki 5 paun itu dimasukkan ke Tabung Kewangan Ikhwan.

     Ahmad Bakhtiar berasa semakin tercabar, dan bertambah sakit hati terhadap Hasan Al-Banna lalu menemui pendakwa raya, membuat aduan bertulis. Demikian bunyi aduannya.

     "Hasan Al-Banna, ketua Ikhwan Muslimin Ismailiyah dan guru sekolah rendah sedang menyalahgunakan tabung kewangan Ikhwan Muslimin. Dia menggunakan wang itu sesuka hatinya dengan menghantar wang kepada adiknya di Kaherah yang merupakan Yang Dipertua Ikhwan Muslimin, Kaherah. Dia juga menghantar wang ke Pelabuhan Said dan Aboo Suwair. Wang tersebut adalah hasil derma para penduduk Ismailiyah. Oleh itu, wang tersebut perlu dibelanjakan di Ismailiyah sahaja. Maka pendakwa raya berkewajipan melindungi wang, maruah, dan darah Ismailiyah. Semoga pendakwa raya mencampuri perkara ini dan menyekat Hasan Al-Banna daripada terus membazirkan wang orang ramai."

     "Adakah kamu juga ahli jawatankuasa kerja Ikhwan Muslimin Ismailiyah?" tanya pendakwa raya.

     "Benar, dan saya dilantik menjadi bendahari. Kerana itu saya mengetahui ke mana wang itu dibelanjakan oleh Hasan Al-Banna. Tetapi sekarang saya sudah meletak jawatan kerana tidak setuju dengan mereka," jawab Ahmad Bakhtiar.

     "Adakah penyata kewangan dibawa ke dalam mesyuarat jawatankuasa?" tanya pendakwa raya lagi.

     Ahmad Bakhtiar menjawab, "Memang ada dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa."

     "Adakah mesyuarat jawatankuasa meluluskan penggunaan wang itu?" tanya pendakwa raya lagi.

     Ahmad Bakhtiar menjawab tanpa teragak-agak, "Hasan Al-Banna berjaya memukau dan mempengaruhi mereka supaya meluluskan setiap wang yang dibelanjakan walaupun digunakan untuk dirinya sendiir. Ahli jawatankuasa meluluskan tanpa berfikir panjang atau mereka juga sama bersubahat dengan mendapat faedah daripada wang itu."

     "Sekiranya tindakan Hasan Al-Banna itu diluluskan dalam mesyuarat jawatankuasa kerja dan Majlis Tertinggi Ikhwan Muslimin, mengapa kamu menuduhnya itu satu penyelewengan? Mengapa kamu mahu pendakwa raya masuk campur urusan mereka?" marah Pendakwa Raya.

     Kemudian katanya lagi, "Ikhwan Muslimin adalah sebuah pertubuhan yang terdiri daripada orang-orang yang berakhlak mulia. Orang-orang Islam mendermakan wang mereka dan wang itu dibelanjakan oleh wakil-wakil mereka. Atas alasan apakah pihak pendakwa raya perlu mencampuri urusan mereka ini? Mereka boleh buat apa yang mereka suka dengan wang itu."

     Ahmad Bakhtiar terpanar apabila mendengar kata-kata pendakwa raya yang tidak menyebelahinya itu. Dia berasa malu yang teramat sangat kerana aduannya itu ditolak.

     "Pada zahirnya kamu kelihatan seperti seorang yang ikhlas, tetapi sebaliknya kamu melakukan kesalahan yang besar. Dengan tulus ikhlas, saya menasihati kamu supaya kembali ke pangkuan mereka. Bekerjasamalah dengan mereka dan jauhkan daripada fikiran yang sebegini. Sekiranya kamu tidak setuju dengan kegiatan mereka, pulanglah ke rumah dan buatlah kerja lain. Biarlah mereka dengan kerja yang sedang mereka lakukan. Kamu perlu mengikuti nasihat saya ini demi kepentingan diri kamu sendiri," kata pendakwa raya lalu menyuruh Ahmad Bakhtiar segera beredar dari pejabatnya.

     Ahmad Bakhtiar semakin berasa sakit hati lalu menghantar surat-surat layang kepada kementerian pelajaran, balai polis, dan hakim daerah dengan pelbagai tuduhan terhadap Hasan Al-Banna dan Ikhwan Muslimin. Tetapi surat layang itu tidak diendahkan. Ahmad Bakhtiar masih tidak berputus asa lalu menemui Syeikh Muhammad Hussain Zamloot.

     "Ikhwan Muslimin adalah satu pertubuhan yang berbahaya. Sekiranya kamu tahu mengenai kegiatan sulitnya, kamu akan menjauhkan diri daripada mereka serta-merta. Bahkan kamu akan berusaha menyelamatkan nyawa kamu. Kami mahu adukan kegiatan sulit mereka itu kepada pihak polis, pihak tenteram dan jabatan kerajaan. Sebelum kami buat laporan serta mendedahkannya, lebih baik kamu letak jawatan serta keluar daripada Ikhwan Muslimin. Dengan itu kamu tidak akan terlibat dengan kegiatan sulit mereka itu," hasut Ahmad Bakhtiar.

     "Apakah kamu yakin bahawa apa yang kamu katakan itu benar?" tanya Syeikh Muhammad Zamloot.

     "Kami yakin kami benar. Bahkan kamu juga mengambil bahagian dalam kegiatan sulit mereka itu. Kerana itu kami tahu mengenainya," jawab Ahmad Bakhtiar.

     "Dalam hal ini, saya ada dua penilaian terhadap kamu. Sekiranya apa yang kamu katakan itu benar, ini bermakna kamu sudah berkhianat dan memecah amanah. Sekiranya kamu berdusta, ini bermakna kamu semua adalah pendusta. Dalam keadaan begini, bagaimana saya hendak menyebelahi ataupun menghormati kamu? Sama ada kamu adalah pendusta atau perampas hak, sila keluar dari rumah saya ini kerana saya tidak mahu melihat muka kamu lagi," marah Syeikh Muhammad Zamloot.

     Selepas Ahmad Bakhtiar pergi, Syeikh Muhammad Zamloot berasa tidak sedap hati kerana pelbagai persoalan bermain dalam fikirannya. Bagaimana sekiranya apa yang dikatakan Ahmad Bakhtiar itu benar? Bagaimana sekiranya benar Hasan Al-Banna sedang melakukan kegiatan sulit? Syeikh Muhammad Zamloot segera menemui Hasan Al-Banna di sekolah bagi mendapat penjelasan.

     Ketika itu Hasan Al-Banna sedang mengajar, lalu Syeikh Muhammad Zamloot meminta izin daripada pengetua sekolah untuk bertemu dengan Hasan Al-Banna kerana ada perkara penting mahu dibincangkan. Selepas mendapat izin pengetua, mereka pergi ke kawasan sunyi supaya tidak ada yang mendengar perbincangan mereka.

     "Saya baru sahaja didatangi seseorang yang melaporkan bahawa kamu sedang menjalankan kegiatan sulit dan itu amat menakutkan. Sekiranya apa yang mereka kata itu benar, kamu seharusnya mengatur langkah bagi menyelamatkan diri, kerana mereka akan melaporkannya kepada pihak polis. Andainya benar kamu sedang menjalankan kegiatan sulit, sepatutnya kamu berhati-hati supaya tiada sesiapa pun mengetahuinya. Jikalau rahsia kegiatan itu didedahkan, hendaklah kamu membuat pengakuan tidak menjadi ahli Ikhwan lagi. Kamu beritahu mereka bahawa Yang Dipertua Ikhwan adalah Muhammad Aboo Hussain Zamloot," kata Syeikh Muhammad Zamloot dengan muka merah menahan marah.

     Hasan Al-Banna terdiam mendengar kata-kata itu. Dia berfikir panjang sebelum memberi sebarang penjelasan terhadap orang yang dipercayainya. Melihat Hasan Al-Banna berdiam diri, Syeikh Muhammad Zamloot menyambung kata-katanya.

     "Saudaraku, Tuan masih muda. Tuan punya masa depan yang panjang untuk difikirkan. Lagipun kamu adalah kakitangan kerajaan. Pihak kerajaan boleh mengambil tindakan terhadap Tuan dan itu akan mendatangkan kesusahan kepada Tuan. Tuan adalah tetamu di bandar kami. Tuan sudah menjalankan usaha kerana Allah. Tuan layak menerima penghargaan dan kesyukuran."

     Selepas Syeikh Muhammad Zamloot meluahkan kemarahannya, barulah Hasan Al-Banna berkata dengan suara yang lunak, "Tuan bertenanglah, sesungguhnya apa yang sedang kami lakukan tidak ada yang sulit. Semuanya secara terang-terangan. Sesungguhnya orang itu berdusta. Kegiatan mereka bagi menyusahkan perjuangan kita ini bukanlah perkara baru. Sebenarnya, mereka tahu Tuan sudah dan sedang membelanjakan kekayaan Tuan untuk perjuangan Ikhwan Muslimin. Mereka juga tahu Tuan adalah seorang yang berakhlak mulia dan dihormati penduduk bandar ini. Oleh itu, langkah pertama mereka adalah menyekat Ikhwanul Muslimin daripada menerima sokongan dan bantuan daripada Tuan. Selepas itu, barulah mereka akan mencanangkan kepada orang ramai bahawa Ikhwan Muslimin itu amat berbahaya. Buktinya, Syeikh Muhammad Zamloot sendiri sudah keluar dan orang ramai akan meyakininya. Saya sangat berterima kasih kepada Tuan kerana telah memberi nasihat yang baik itu."

     Selepas mendengar kata-kata Hasan Al-Banna itu, barulah senang hati Syeikh Muhammad Zamloot. Kemudian dia pun berkata, "Bapa saudara saya Syeikh Eid pernah berkata, saya berdoa kepada Allah agar dia tidak mengambil nyawa saya sehingga dapat melihat undang-undang Islam ditegakkan dan negara Islam berjaya diwujudkan. Dia mati tanpa mencapai hasratnya itu. Saya juga mahu melihat Islam gemilang semula sebelum saya menemui maut. Tetapi saya rasa cita-cita saya terlalu jauh untuk dicapai kerana orang-orang Islam masih menganggap setitis darah mereka sebagai sesuatu yang sangat berharga. Selagi mereka beranggapan bahawa darah mereka sangat berharga, selagi itulah mereka tidak akan berjaya."

     Hasan Al-Banna berkata dengan tenang, "Apa yang kamu katakan itu memang benar. Tetapi saya mahu memperingatkan kamu bahawa iman yang teguh sahaja yang dapat menentukan nilai darah yang dikorbankan. Darah yang mengalir kerana Allah akan mendatangkan ganjaran yang besar di akhirat kelak. Lantaran itu, saya dapat melihat api iman sedang membakar hati-hati para penyembah Allah. Insya Allah, kumpulan ini akan menyebarkan cahaya Islam. Mereka ini sangat suka kepada setiap amalan yang baik. Semoga Allah memberi kamu umur yang panjang agar kamu dapat melihat kegemilangan Islam tertegak di seluruh dunia."

     "Tetapi kumpulan ini sangat kecil. Mereka yang memusuhinya dan cuba menyekatnya terlalu ramai," kata Syeikh Muhammad Zamloot.

     "Jumlahnya akan membesar pada masa depan," kata Hasan Al-Banna.

     "Baru senang hati saya mendengarnya. Semoga Allah melimpahi kamu dengan segala kebaikan. Kita yakin sepenuhnya kepada Allah. Kita memohon dan berharap daripada-Nya," kata Syeikh Muhammad Zamloot dengan wajah gembira.

     Basyir Efendi dan para penyokongnya terus mencari jalan memburukkan Ikhwan Muslimin. Mereka menerbitkan majalah dan buku-buku ilmiah yang mengandungi tuduhan-tuduhan palsu terhadap Ikhwan Muslimin. Antaranya, mereka menuduh tidak ada kebebasan bersuara kerana Ikhwan Muslimin tidak mengamalkan majlis syura. Buktinya ahli jawatankuasa kerja dan majlis tertinggi tidak berani menentang sebarang cadangan Hasan Al-Banna, bahkan meluluskannya secara membuta tuli. Wang Ikhwan Muslimin Ismailiyah dibelanjakan sewenang-wenangnya oleh Hasan Al-Banna, dengan menghantar wang tersebut kepada adiknya di Kaherah. Hasan Al-Banna juga membelanjakan wang Ismailiyah untuk Aboo Suwair dan Pelabuhan Said. Mereka juga menuduh penyata kewangan masjid tidak dibentangkan kepada orang ramai. Barang-barang sekolah dibeli tanpa mengeluarkan tawaran tender, dan hal ini tidak sah dari segi undang-undang.

     Apabila Hasan Al-Banna mendapat tahu perkara itu, beliau pergi menemui Basyir Efendi di pejabatnya lalu menyatakan rasa kesalnya kerana apa yang dilaporkan itu adalah palsu. Hasan Al-Banna menunjukkan laporan mesyuarat ahli jawatankuasa. Basyir Efendi terdiam tanpa mengeluarkan sepatah perkataan pun.

     "Pihak kami boleh mengambil tindakan undang-undang di atas tuduhan palsu ini. Tetapi kami tidak akan melakukannya. Kamu boleh buat apa yang kamu suka. Saya datang ke sini bukan untuk meminta kamu berhenti mencetak dan menerbitkan laporan ini. Saya juga tidak akan meminta kamu berhenti daripada menjalankan usaha menentang gerakan Ikhwan Muslimin. Kamu adalah tuan bagi semua pendapat itu. Oleh itu kamu boleh lakukan apa sahaja yang kamu suka. Setakat yang saya tahu dan ingat, kamu adalah seorang yang bertimbang rasa. Setiap tindakan ada tindak balasnya. Membalas dendam tidak menguntungkan sesiapa. Apakah yang kamu inginkan daripada laporan ini?" kata Hasan Al-Banna.

     "Kami hendak menerangkan perkara yang sebenarnya kepada orang ramai," akhirnya Basyir Efendi bersuara.

     "Perkara yang kamu anggap benar itu adalah dusta. Saya tidak mahu bertengkar mengenai perkara ini. Kamu silap sekiranya kamu fikir kami tidak berupaya menjawab tuduhan itu, dan meyakinkan orang ramai kepada perkara yang sebenarnya. Insya Allah, kami akan membuktikan kamu adalah seorang pendusta dan kami di pihak yang benar. Kamu hanya mempunyai alasan-alasan palsu dan tidak berasas, tetapi kami ada surat-surat yang sah daripada segi undang-undang."

     "Lagipun kamu lebih tahu perkara yang sebenarnya. Kamu sendiri pernah menjaga buku kira-kira masjid. Segala barang yang dibeli untuk sekolah diketahui oleh kamu. Kebanyakan pembelian barang-barang untuk masjid dan lain-lain dibuat melalui kamu. Oleh itu, apabila kamu menghadapi orang ramai, kamilah yang memiliki kelebihan dan bukannya kamu. Lagipun, kami ada bukti yang kamu tidak miliki. Kami lebih rapat dengan orang ramai dan hubungan kami dengan mereka adalah lebih kuat berbanding kamu. Kami boleh menjelaskan perkara ini kepada orang ramai melalui penulisan, ceramah-ceramah umum, persidangan, dan perjumpaan."

     "Kami boleh menyatakan pendapat kami kepada orang ramai di masjid, kedai-kedai kopi, jalan jalan raya, pasar, dan lain-lain tempat umum. Kami mempunyai beberapa lidah dan pena bagi menyatakan kebenaran. Lagipun, kebenaran itu tetap ketara. Ia tidak dapat disembunyikan. Ada satu perkara yang menyakitkan saya. Selama ini saya memaparkan kamu kepada orang ramai dengan penuh penghormatan seperti anak memuliakan bapanya. Saya memperkenalkan kamu kepada mereka sebagai orang yang cintakan Islam. Tetapi sekarang saya terpaksa mendedahkan peribadi kamu yang sebenarnya kepada orang ramai. Saya akan berkata kamu mengkhianati pertubuhan Ikhwan Muslimin, dan terbukti sebagai seorang pendusta dan berpura pura."

     "Usaha membalas dendam ini tidak akan mendatangkan hasil yang baik kepada kita berdua. Usaha kamu untuk memburukkan nama ahli-ahli Ikhwan Muslimin akan gagal. Adalah lebih baik kamu tahu akibat tindakan itu terlebih dahulu. Andainya kamu mahu meneruskan kegiatan itu kerana hendak membalas dendam, kerugian tetap berada di pihak kamu. Orang ramai tahu apa yang hendak kamu katakan. Sudah cukup bagi kamu sekiranya kamu sedar Allah itu Maha Mengetahui. Sekiranya kamu fikir kamu melakukan semua ini kerana Allah, Allah lebih mengetahui mengenai perkara ini," Hasan Al-Banna meluahkan rasa hatinya dengan panjang lebar.

     "Baiklah, kami berjanji tidak mencetak lagi majalah dan risalah itu. Kami akan mengambil naskhah asalnya dari pencetak," janji Basyir Efendi.

     Kemudian Hasan Al-Banna menulis surat kepada semua yang menentangnya. Antara kandungan surat tersebut, belia menyatakan sedia melupakan perkara yang terjadi dan mereka diterima semula ke dalam Ikhwan Muslimin. Tetapi surat itu tidak dapat mempengaruhi orang-orang yang berhati keras. Mereka terus juga mencetak risalah palsu bagi memfitnah Ikhwan Muslimin. Kemudian risalah tersebut disebarkan ke Aboo Suwair dan Pelabuhan Said.

     Bagi menjelaskan perkara tersebut, Ikhwan Muslimin menerbitkan risalah yang diberi tajuk 'Kebenaran' bagi menjawab segala tuduhan itu. Dengan itu orang ramai faham dan semakin ramai yang menyertai Ikhwan Muslimin.

     Pada suatu malam, Hasan Al-Banna tidak lena tidur. Sebelum subuh beliau pergi ke masjid. Dalam perjalanan, beliau lalu di depan rumah Basyir Efendi. Dilihatnya lampu rumah itu terang-benderang dan semua tingkap terbuka. Hasan Al-Banna dapat mendengar mereka berbincang dengan lantangnya. Dari tingkap yang terbuka, Hasan Al-Banna dapat melihat Basyir Efendi sedang dikelilingi para penyokongnya. Kemudian Hasan Al-Banna terus beredar dari situ menuju ke masjid. Selepas sembahyang subuh, Hasan Al-Banna memanggil Basyir Efendi.

     "Di mana kamu berada pada malam tadi?" tanya Hasan Al-Banna.

     "Sepanjang malam tadi, saya berada dalam rumah," jawab Basyir Efendi.

     "Saya mendengar ada orang sedang merancang hendak memfitnah dan menjatuhkan saya. Khabarnya kamu terlibat dalam komplot itu?" tanya Hasan Al-Banna.

     Basyir Efendi menafikan hal itu dengan berkata, "Saya tidak tahu menahu hal itu."

     "Lebih baik kamu berterus terang. Sekiranya benar kamu terlibat dalam usaha yang keji itu, saya boleh memaafkannya kerana perkara itu belum berlaku lagi," pujuk Hasan Al-Banna.

     "Saya bersumpah saya sanggup menceraikan isteri saya sekiranya saya terlibat dalam komplot itu," kata Basyir Efendi.

     Hasan Al-Banna tidak dapat mengawal perasaan marah lalu berkata, "Takutlah kepada Allah dan jangalah bersumpah. Di mana kamu malam tadi?"

     "Saya berada di rumah dan tidur sepanjang malam tadi," jawab Basyir Efendi.

     Hasan Al-Banna pun menceritakan apa yang didengarnya semasa dalam perjalanan ke masjid. Akhirnya Basyir Efendi mengaku salah. "Saya berasa sangat malu. Kasihanilah saya," kata Basyir Efendi.

     "Jangan takut kepada saya kerana saya tidak pernah terfikir hendak menyusahkan kamu. Saya sellau meminta kamu menjadi imam sembahyang dan saya menjadi makmum di belakang. Saya menghadiri majlis ceramah kamu dan mengajak orang lain turut serta. Walau bagaimanapun, saya tidak benarkan kamu berada dalam kalangan kami," kata Hasan Al-Banna dalam nada suara marah.

     "Apa maksud kamu?" tanya Basyir Efendi pula.

     "Kamu ada dua pilihan dan boleh pilih salah satu daripadanya. Pertama kamu boleh terus tinggal di Ismailiyah, tetapi tidak boleh berada dalam pertubuhan Ikhwanul Muslimin dan meletak jawatan sebagai guru di sekolah Ikhwan. Pilihan kedua, kamu boleh pulang ke kampung halaman," jawab Hasan Al-Banna.

     "Saya memilih pulang ke kampung halaman sekiranya kamu sanggup bayarkan semua hutang saya," kata Basyir Efendi, dan Hasan Al-Banna menyatakan persetujuannya.

     Basyir Efendi ternyata tidak menepati janjinya untuk pulang ke kampung halamannya. Dia terus berada di Ismailiyah dan berpakat dengan para penyokongnya menubuhkan sebuah sekolah. Kemudian mereka meneruskan usaha mengecam Hasan Al-Banna dan Ikhwan Muslimin. Namun Hasan Al-Banna tidak mengambil apa-apa tindakan. Sikap berdiam diri Hasan Al-Banna itu disalah tafsir oleh Basyir Efendi lalu dia merancang tipu helah seterusnya.

     Tiba-tiba, Hasan Al-Banna menerima surat dari mahkamah yang menyatakan Basyir Efendi menuntut tunggakan gaji selama dia berkhidmat dengan Ikhwan Muslimin. Hasan Al-Banna hadir ke mahkamah dengan membawa surat yang membuktikan Basyir Efendi berhutang dengan Ikhwan Muslimin yang jumlahnya lebih daripada yang dia minta.

     Pada hari, perbicaraan di mahkamah, Basyir Efendi membentangkan aduannya kepada hakim. Kemudian giliran Hasan Al-Banna pula membentangkan hujahnya. Akhirnya mahkamah mendapati Basyir Efendi yang bersalah. Dia diarah membayar semua perbelanjaan mahkamah. Akhirnya beliau meninggalkan Ismailiyah.

     British sedar pengaruh Hasan Al-Banna di Ismailiyah begitu kuat. Ikhwan Muslimin yang diasaskannya bergerak dalam bidang dakwah begitu pantas dan berkesan. Keadaan itu amat membimbangkan pihak gereja kerana penduduk Ismailiyah semakin menjauhi mereka.

     Pada suatu hari seorang pegawai British menemui Hasan Al-Banna lalu menawarkan satu jawatan sebagai pegawai British di Ismailiyah. Sekiranya Hasan Al-Banna menerima tawaran itu, beliau boleh hidup mewah kerana gaji yang ditawarkan cukup lumayan. Tetapi Hasan Al-Banna menolak tawaran itu. Selepas puas memujuk dan tidak berjaya, akhirnya pegawai British itu sedar, Hasan Al-Banna bukan lelaki yang mudah dipujuk dengan pangkat dan harta.




N / F : DARIPADA "HASAN AL-BANNA", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

HATI YANG KOSONG






HATI YANG KOSONG








Dalam hati kita, ada satu lompong. Kosong. Tidak terisi. Kita semua merasakan kekosongannya. Ruang itu sunyi. Kita takut dengan kesunyian yang ada dalam ruang itu. 

     Akhirnya kita mula mencari sesuatu bagi mengisinya. Ada yang mencari harta, ada yang mencari pasangan, ada yang mencarinya dengan memanjat gunung, dan menyelam ke dasar lautan. Ada yang berusaha mengisinya dengan menganiaya orang lain, dan ada juga yang mengisinya dengan cara menggembirakan orang lain.

     Tetapi, semuanya ibarat berpusing dalam bulatan. Perasaan kosong itu tetap tidak terisi. Kita berasa takut dengan kekosongan itu.

     Apakah kekosongan itu? Apakah yang patut diisi?

     Itu adalah ruang khas untuk Allah s.w.t. Kosong, kerana kita tidak mengisinya dengan perkara yang patut kita isikan padanya, iaitu kepatuhan dan ketaatan, serta pergantungan kita kepada-Nya.

Kesedaran bahawa Pergantungan Kita adalah Rapuh

Hidup kita diisi dengan pelbagai pengisian. Kita bergantung dalam pelbagai pergantungan. Kita mengharapkan kasih sayang insan itu berkekalan. Kita dambakan kebahagiaan yang berterusan.

     Tetapi sebagai manusia yang berfikir, kita akan terfikir, sejauh manakah kesenangan kita berkekalan? Selama manakah keamanan yang ada pada kita berterusan?

     Adakah kita dapat meneruskan kebahagiaan ini seperti biasa selepas kematian orang yang memberikan kita kasih sayang? Adakah harta ini dapat memuaskan kita selama-lamanya?

     Akhirnya, kita melihat terdapat 1001 kemungkinan dalam perjalanan hidup kita atas dunia ini, yang mampu membawa kepada kesengsaraan.

     Kemalangan, tragedi, musibah, dugaan, dan kematian, semuanya mungkin terjadi. Lantas, kita sedar bahawa diri ini lemah. Tidak berkuasa. Tidak mampu berbuat apa-apa sebenarnya.

     Di sinilah kita melihat kerapuhan.

     Perasaan takut mulai muncul.

     Gerun dengan hari esok tanpa pergantungan yang utuh.

Allah yang Terampuh

Akhirnya, kita melihat kekosongan itu hanya terisi apabila kita mendekatkan diri dengan Allah. Apabila kita mengadu kepada-Nya. Apabila kita bernaung di bawah-Nya. Apabila kita meminta kepada-Nya. Apabila kita melaksanakan semua perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya.

     Kita yakin bahawa Allah adalah yang terampuh.

     Dia yang menciptakan kita. Dia yang memberikan kita bahagia dan sengsara. Dia yang menyusun atur seluruh alam ini. Dia yang menciptakan semuanya. Dia yang Maha Tahu, Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha Berkuasa atas segala-gala.

     Tidak ada yang mampu menandingi-Nya.

     Hatta, kehebatan mentari juga dalam kekuasaan-Nya.

     Hatta, keindahan bulan juga dalam genggaman-Nya.

     Allah menjelaskan dalam surah Al-An'am ayat 74 hingga ayat 80 yang bermaksud:

        74. "Ingatlah ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya,
              'Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan?
              Sesungguhnya saya melihat ayah dan kaum ayah dalam
              kesesatan yang nyata.'

        75. Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan
              kekuasaan Kami di langit dan di bumi, supaya beliau menjadi
              golongan yang percaya dengan penuh yakin.

        76. Ketika beliau berada pada waktu malam yang gelap, beliau
              melihat sebuah bintang bersinar-sinar. Lalu beliau berkata,
              'Inikah Tuhanku?' Apabila bintang terbenam, beliau
              berkata pula, 'Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang.'

        77. Kemudian, apabila dilihatnya bulan terbit menyinarkan
              cahayanya, beliau berkata, 'Inikah Tuhanku?' Selepas bulan
              terbenam, beliau berkata, "Sesungguhnya, sekiranya
              aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhan aku, nescaya aku 
              tergolong dalam kaum yang sesat.

        78. Kemudian, apabila beliau melihat matahari sedang terbit
              menyinarkan cahayanya, beliau berkatalah, 'Inikah 
              Tuhanku? Ini lebih besar.' Selepas matahari terbenam, beliau
              berkata pula, 'Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas
              diri daripada apa yang kamu sekutukan.

        79. Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada
              Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang
              aku tetap di atas dasar tauhid dan bukan daripada
              golongan yang menyekutukan Allah dengan sesuatu
              yang lain.

        80. Dan beliau dibantah oleh kaumnya. Beliau pun berkata,
              'Patutkah kamu membantah aku berkenaan Allah,
              sesungguhnya Allah memberi petunjuk kepada aku? Aku
              tidak takut sebarang bahaya daripada apa yang kamu
              sekutukan dengan Allah, kecuali Tuhan aku menghendaki
              sesuatu daripada bahaya itu. Sesungguhnya pengetahuan
              Tuhan aku meliputi tiap-tiap sesuatu, tidakkah kamu insaf 
              dan mengambil ikhtibar?'."

Dengan Allah, Kekosongan Itu Terisi

Apabila mendekati Dia, kekosongan hati terisi sepenuhnya. Perasaan takut mulai hilang. Perasaan gelisah hilang. Perasaan resah juga punah. Yang ada hanyalah ketenangan.

     Ketenangan yang ditunjukkan oleh Bilal bin Rabah pada saat batu menghempap di atas dadanya.

     Ketenangan yang ditunjukkan oleh Suhaib Ar-Rumy pada saat beliau mengorbankan seluruh hartanya.

     Ketenangan yang ditunjukkan oleh Bara' bin Malik pada saat beliau melemparkan dirinya ke kubu musuh.

     Ketenangan yang ditunjukkan oleh Saad bin Abi Waqqas pada saat beliau ingin merentas sungai yang luas dan dalam.

     Ketenangan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. pada saat beliau hanya berdua bersama Abu Bakar di dalam Gua Tsur.

     Sehingga ke tahap nyawa di hujung tanduk, ketenangan itu wujud seperti yang ditunjukkan oleh Khubaib bin 'Adi, pada saat tubuhnya dilapah hidup-hidup oleh Abu Jahal, dan juga ditunjukkan oleh Ali bin Abi Talib pada saat menggantikan tempat tidur Rasulullah s.a.w.

     Apatah lagi sekadar kehidupan kita.

     Ketenangan, perasaan selamat, perasaan bahagia, dan perasaan aman ini wujud ketika menghadapi kesukaran dan pada saat kritikal. Perasaan ini hanya diperoleh apabila merapatkan diri dengan Allah. Ini adalah hakikat yang kita cari-cari.

     Pada Allah tempat kita menuntutnya kini.

Kembali kepada Allah dengan Sebenar-Benarnya

Dekatilah Allah s.w.t.

     Bukan semata-mata dalam solat dan ibadah kita di masjid, bukan semata-mata pada masa kita bangun pada tengah malam. Tetapi, di pejabat, di meja makan, di rumah, di tempat belajar, di tengah padang permainan, dan di taman-taman rekreasi.

     Mendekati-Nya dan tunduk kepada-Nya, sepanjang masa dan ketika. Kehidupan kita perlu dibina atas apa yang diredhai-Nya.

     Kita melihat golongan manusia sebelum kita yang melakukan perkara yang sama dengan mendekati Allah s.w.t. dan tunduk kepada-Nya sepanjang masa. Apakah yang mereka peroleh di dunia dan akhirat? Allah menyatakan dalam surah Al-Fajr, ayat 27 hingga ayat 30 yang bermaksud:

          "Sesudah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan
          akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman
          dan beramal soleh disambut dengan kata-kata, 'Wahai insan
          yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang dengan kepercayaan.
          Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati
          dengan segala nikmat yang diberikan lagi diredhai di sisi Tuhanmu,
          serta masuklah engkau dalam kumpulan para hamba-Ku yang
          berbahagia, masuk dalam syurga-Ku.'."

Tidakkah kita melihat, ini jawapan kepada 'kekosongan' itu? Apakah yang patut kita lakukan sekarang?




N / F : DARIPADA "UNTUK KITA PENDOSA, HARAPAN SELALU ADA", OLEH HILAL ASYRAF.  

Tuesday 20 September 2016

HASAN AL-BANNA [ BAB 24 - FITNAH ]






FITNAH








Dua puluh tujuh Rejab adalah peristiwa sejarah dalam Islam kerana berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj ke atas Nabi Muhammad s.a.w. Setiap tahun pada tarikh tersebut, umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis ceramah bagi memperingati peristiwa itu. Masyarakat Islam di Ismailiyah juga turut mengadakannya. Ikhwan Muslimin turut mengadakannya di masjid mereka dan orang ramai dijemput hadir. Pada malam itu, orang ramai datang sehingga kawasan masjid penuh sesak. Hasan Al-Banna pun dijemput memberikan ceramah.

     Ceramah Hasan Al-Banna terhenti apabila seorang lelaki bertanya, "Adakah perjalanan Israk dan Mikraj nabi itu melibatkan hanya roh ataupun termasuk jasad baginda?"

     "Jika kita yakin bahawa roh dapat menguasai seluruh jasad, bolehlah kita katakan bahawa roh Rasulullah s.a.w. sudah menguasai seluruh jasad baginda. Roh ini telah menangguhkan segala pergerakan jasmani seperti makan, minum, dan lain-lain lagi. Tiada ragu lagi bahawa peristiwa itu melibatkan pengembaraan roh dan jasad baginda. Ini kerana roh dan jasad sudah dibersihkan sehingga kedua-duanya menjadi sama," kata Hasan Al-Banna.

     Sebenarnya wujud perbezaan pendapat dalam kalangan umat Islam di Ismailiyah dalam peristiwa Israk dan Mikraj. Ada yang berpendapat peristiwa itu hanya berlaku melibatkan roh baginda. Mengikut logik akal, tidak mungkin nabi boleh melaluinya dalam masa yang singkat pada satu malam.

     Namun ada pul berpendapat yang mengatakan Israk dan Mikraj itu berlaku dengan roh dan jasad Nabi Muhammad s.a.w. Perbezaan pendapat dua kumpulan itu berterusan dan tidak dapat diselesaikan. Kerana itu majlis memperingati peristiwa Israk dan Mikraj sentiasa diadakan di dua tempat. Tetapi pada malam itu, kedua-dua golongan yang berbeza pendapat itu datang bagi mendengar pendapat Hasan Al-Banna pula.

     Seperti yang dijangka, jawapan Hasan Al-Banna mengenai Israk dan Mikraj itu menimbulkan kontroversi dalam kalangan orang ramai. Mereka yang tidak menyukai Hasan Al-Banna mengambil kesempatana menyebarkan fitnah kononnya Hasan Al-Banna tidak percaya berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj. Ada pula yang mengatakan kononnya Hasan Al-Banna percaya peristiwa Israk dan Mikraj itu berlaku hanya melibatkan roh tanpa jasad.

     Kerana perkara itu menjadi perbualan ramai, sahabat-sahabat Hasan Al-Banna meminta izin bagi menjawab fitnah yang sengaja disebarkan itu, tetapi beliau menahan mereka dengan berkata, "Dalam keadaan begini, hanya pendekatan membina yang berguna. Kewajipan kita semua adalah pemimpin umat manusia ke jalan yang benar supaya mereka meninggalkan keyakinan ataupun akidah yang salah."

     "Apa yang patut kita lakukan sekarang?" tanya mereka.

     "Aturkan satu ceramah bertajuk, Keagungan Rasulullah s.a.w," jawab Hasan Al-Banna.

     Tidak lama kemudian, mereka mengadakan satu lagi majlis ceramah di masjid Ikhwan dan orang ramai pun berhimpun bagi mendengarnya. Dalam ceramahnya, Hasan Al-Banna menceritakan sejarah hidup Nabi Muhammad s.a.w. yang gilang-gemilang itu sejak kelahiran sehingga kewafatannya. Ceramah itu memberi kesan kepada orang ramai yang mendengarnya. Dengan itu, isu mengenai peristiwa Israk dan Mikraj menjadi hilang dengan sendirinya. Tetapi tidak lama kemudian, Hasan Al-Banna difitnah sekali lagi.

     "Satu fitnah yang menyentuh kita sedang disebarkan di seluruh bandar, dan kami tidak tahan lagi mendengarnya. Benarkan kami bertindak balas ke atas mereka yang menyebarkan fitnah itu," kata Basir Efendi, seorang ahli Ikhwan Muslimin yang datang menemui Hasan Al-Banna.

     "Memang benar seperti apa yang dikatakan sahabat saya ini. Sekiranya ftnah itu dibiarkan, orang ramai pasti menjadi keliru dan mereka akan memusuhi kita," sokong Ahmad kawan Basir Efendi. Kedua-dua lelaki itu datang menemui Hasan Al-Banna bagi menyatakan perkara tersebut.

     Hasan Al-Banna tenang sahaja mendengarnya lalu berkata, "Oleh itu, kita perlu bersabar dan bertakwa, apabila fitnah dilemparkan kepada kita. Ini membuktikan bahawa kita benar-benar sedang berjuang untuk Islam. Sudah menjadi amalan para penentang Islam untuk menyebar fitnah terhadap pendakwah-pendakwah Islam yang benar. Cara yang serupa juga digunakan oleh musuh-musuh Islam ketika peringkat awal dahulu bahkan Rasulullah s.a.w. sendiri pun tidak terkecuali daripada tindakan mereka."

     Kata-kata Hasan Al-Banna itu masih tidak dapat meredakan kemarahan kedua-dua lelaki itu. Seorang daripada mereka pun berkata, "Kami setuju dengan kata-kata Tuan itu. Nabi dibenci dan difitnah oleh mereka yang bukan Islam. Tetapi tuduhan atau fitnah terhadap Tuan itu dilakukan oleh seorang ulama yang terkenal, ia sangat buruk dan kami tidak boleh berdiam diri."

     "Apakah tuduhan itu?" tanya Hasan Al-Banna.

     Basir Efendi menjawab dengan nafas turun naik. "Mereka menuduh yang Tuan menyuruh kami menyembah Tuan, bukannya Allah. Mereka juga menuduh anggota Ikhwan Muslimin yakin bahawa Hasan Al-Banna itu tuhan dan tidak bersifat baru iaitu tidak mati dan kekal abadi. Kerana itu, kami tidak dapat bersabar lagi dengan fitnah jahat yang sedang disebarkan itu."

     "Orang yang membuat fitnah itu adalah seorang ulama yang terkenal. Kerana itu ramai yang percaya dengan kata-katanya. Kami sudah menyiasat perkara ini dengan teliti, bahkan kami menemui ulama tersebut dan memintanya memberitahu dari mana dia mendapat maklumat yang mengatakan pihak Ikhwan menganggap Hasan Al-Banna sebagai tuhan mereka. Dia menjawab, saaya dengar daripada Hasan Al-Banna sendiri. Kami terkejut mendengar jawapannya. Kami bertanya lagi bagi mendapat penjelasan dan ulama itu memberi jawapan yang serupa. Kami tidak percaya Tuan berkata seperti itu. Kerana itu kami datang menemui Tuan untuk mendapatkan penjelasan," kata Ahmad pula.

     Hasan Al-Banna terkejut mendengarnya. Dia tidaks sangka ada orang yang sanggup memfitnah dirinya sehingga ke peringkat itu. Bagi mendapatkan penjelasan, Hasan Al-Banna mengajak dua lelaki itu menemui ulama tersebut. Dia juga mengajak dua orang anggota Ikhwan yang kenal baik dengan ulama itu turut serta. Tujuannya bagi mengetahui apakah ulama itu yang salah faham ataupun kedua-dua lelaki itu yang tidak memahami maksud sebenar kata-kata ulama tersebut.

     Mereka berlima pun pergi ke rumah ulama itu. Kebetulan ulama itu sedang berada di dalam biliknya. Isteri ulama itu yang membuka pintu lalu mempersilakan Hasan Al-Banna dan kawan-kawannya masuk ke dalam rumah kerana mereka menyangka mereka adalah sahabat suaminya.

     Hasan Al-Banna menyampaikan tujuannya, "Kami mahu berjumpa suami puan kerana ada perkara penting yang mahu kami bincangkan."

     "Baiklah, kata isteri ulama itu lalu memanggil suaminya keluar.

     Tidak lama kemudian, ulama itu muncul dan memberi salam kepada tetamunya. Tetapi sebaik sahaja dia melihat Hasan Al-Banna, mukanya menjadi pucat. Dia menggeletar dan suaranya tersekat-sekat.

     Melihat keadaan itu, Hasan Al-Banna pun berkata, "Kedua-dua sahabat saya ini mengatakan bahawa kamu mendengar saya menyuruh orang Ikhwan menyembah saya, dan bukannya menyembah Allah. Sekarang, saya hendak mendengar penjelasan sama ada kamu mengaku ataupun menafikan kata-kata mereka itu."

     Mendengar kata-kata itu, bertambah pucat muka ulama itu dan bertambah kuat tubuhnya menggeletar.

     "Berkata benarlah kerana Tuhan menjadi saksi," desak Hasan Al-Banna.

     Akhirnya ulama itu pun berkata, "Benar, saya berkata begitu."

     Hasan Al-Banna menarik nafas panjang seraya berkata, "Sekarang jelaslah kedudukan dua sahabat saya ini. Mereka menyampaikan berita yang benar. Semoga Allah mencucuri rahmat dan berkat ke atas mereka kerana telah berkata benar."

     Kemudian dia berpaling ke arah ulama itu lalu bertanya, "Tuan seorang ulama yang dikenali ramai. Bilakah Tuan mendengar yang saya menyuruh para pengikut saya, supaya menyembah saya seperti menyembah Tuhan?"

     "Saya membuat kesimpulan begitu kerana kira-kira sebulan yang lalu, ketika berada di dalam masjid, seorang guru yang bernama Muhammad Al-Laitsee Afandi datang dan duduk bersama-sama kita. Kemudian saya melihat para anggota Ikhwan pun tiba seorang demi seorang dan mengucapkan salam kepada kamu. Setelah melihat tingkah laku mereka, Muhammad AI Laitsee Afandi pun berkata kepada kamu, para anggota Ikhwan menyayangi tuan sehingga ke peringkat menyembah," jawab ulama itu.

     Hasan Al-Banna mengangguk lalu berkata, "Benar, saya masih ingat peristiwa itu."

     "Bukankah itu bermakna mereka menyembah kamu?" kata ulama itu.

     Mendengar kata-kata ulama itu, Basir Efendi bingkas bangun lalu memukulnya sambil berkata, "Betapa ceteknya ilmu kamu. Inikah sahaja yang kamu dapat fahami? Adakah itu yang kamu pelajari selama ini? Inikah caranya kamu menyampaikan kebenaran?"

     Anggota Ikhwan yang lain segera meleraikan pergaduhan itu. Kemudian Hasan Al-Banna pun berkata, "Tuan ulama, kamu mendengar kata-kata saya dan kamu juga berhak meletakkan maksud yang kamu suka. Tetapi Tuan silap apabila mengatakan saya yang menyuruh para anggota Ikhwan menyembah saya. Tuan tidak menyebut langsung tindakan saya memarahi Muhammad Al-Laisee Afandi kerana menggunakan perkataan menyembah itu. Bukankah saya sudah memberitahunya bahawa penggunaan perkataan menyembah itu bertentangan dengan Islam. Kamu ingat kata-kata Muhammad Al-Laitsee  Afandi, tetapi kamu lupa kepada teguran-teguran yang saya berikan kepadanya. Walau bagaimanapun, kami rasa sudah cukup kami terima telatah kamu. Saya bersyukur kepada Allah kerana sudah jelas perkara yang sebenarnya."

     "Wahai ulama, kesalahan kamu amat berat sehingga orang ramai percaya. Kerana itu kami mahu Tuan beritahu kepada orang ramai dalam satu perhimpunan, bahawa kata-kata Tuan itu tidak benar, dan itu adalah kesilapan Tuan sendiri. Sekiranya Tuan enggan, kami akan bertindak ke atas Tuan," gertak Basir Efendi.

     Kerana takut maka ulama itu bersetuju. Beliau pun menjelaskan kedudukan yang sebenarnya dalam satu perhimpunan agung para anggota Ikhwan Muslimin. Dia juga berterima kasih kepada pihak Ikhwan dan menghargai usaha-usaha gigih mereka bagi memperjuangan Islam dan umatnya.




N / F : DARIPADA "HASAN AL-BANNA", OLEH ABDUL LATIP TALIB.