Thursday 15 September 2016

SATU PERMULAAN






SATU PERMULAAN








Pendosa. Siapa bukan pendosa dalam kehidupan dunia ini? Hanya Rasulullah s.a.w. dan para nabi sahaja maksum daripada segala noda. Kita sebagai manusia biasa, dosa hakikatnya adalah sebahagian daripada fitrah. Saya, kamu, dan manusia di sekeliling juga mempunyai dosa. Bezanya sama ada ia jelas ataupun tersembunyi sahaja. Masing-masing mempunyai aib, terzahir ataupun terhijab.

     Persoalannya, bukanlah dosa yang jelas ataupun tidak jelas. Tetapi, adakah kita mahu membersihkan dosa-dosa kita ataupun tidak?

     'Mahu' adalah jawapan yang membezakan kita daripada pendosa-pendosa yang lain.

Saya Tidak Sekali Mencaci Pendosa

Saya tidak sesekali melakukannya. Kita sering mendengar cacian dan makian kepada pendosa.

     "Semua ini adalah ahli neraka!"

     "Mereka tidak ada harapan."

     "Inilah sampah masyarakat."

Saya tidak sesekali melakukan seperti itu, kerana saya juga adalah pendosa. Hakikat sebenar saya menulis perkara ini adalah bertujuan menyelamatkan diri sendiri juga.

     Benarkah pendosa tidak mempunyai harapan? Manusia manakah yang berkata demikian? Sedangkan pengampunan Allah s.w.t. begitu luas.

     Pendosa yang tidak memohon ampun daripada-Nya, akan menjadi sebahagian daripada ahli neraka. Tetapi, pendosa-pendosa ini akan memasuki syurga-Nya sekiranya mereka bersungguh-sungguh membersihkan diri, mencari kesalahan diri, dan berusaha memperbaikinya. Itu adalah keyakinan dan kepercayaan saya. Saya percaya keampunan Allah begitu luas. Tetapi, saya juga percaya bahawa keampunan Allah perlu disertai dengan usaha. Bukan dengan bersahaja.

     Daripada saya terus menghumban manusia ke dalam neraka, dan menyatakan mereka tidak mempunyai harapan, adalah lebih baik sekiranya saya mengajak manusia ke syurga Allah, dan memberikan mereka impian. Ini kerana, apa saya jatuh tersungkur kelak, suka sekiranya ada yang menarik saya bangun semula.

Harapan kepada Para Pendosa

Suka saya jelaskan, kita para pendosa ini sentiasa mempunyai harapan. Jangan sesekali berkata tidak. Harapan sentiasa terbuka selagi ajal dan kiamat belum tiba.

     Allah menjelaskan dalam surah An-Nisa'. ayat 110 yang bermaksud:

     "Sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri                                  dengan melakukan maksiat, kemudian ia memohon ampun kepada                                    Allah, mescaya ia mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha                                        Mengasihani."

Ini adalah sebahagian daripada ayat yang mengandungi bicara, "Allah Maha Pengampun."

     Terdapat lebih daripada 90 ayat dalam Al-Quran menyatakan sedemikian. Siapakah yang dapat menafikannya?

     Mengapa wujudnya taubat, sekiranya bukan kepada makhluk yang melakukan dosa? Benarkah dengan wujudnya taubat dalam Islam, itu tandanya Dia bersedia mengampuni kita?

     Ketahuilah wahai pendosa, rahmat Allah itu lebih luas daripada segala-galanya. Allah menjelaskan dalam surah Al-'Araf ayat 156 yang bermaksud:

     "Rahmat-Ku meliputi segala sesuatu."

     Ketahuilah ini semua. Sesungguhnya kita sebagai pendosa, masih ada harapan daripada-Nya.

Bagaimana Kita Menggunakan Harapan Itu?

Bagaimanakah kita menggunakan harapan yang Allah s.w.t. berikan kepada kita?

     Bagaimanakah kita menggunakan sifat keampunan Allah s.w.t. yang luas itu?

     Ini adalah persoalan penting yang menentukan sama ada kita layak ataupun tidak mendapat keampunan-Nya.

     Pilihan saya adalah kita bersegera mendapatkan keampunan itu tanpa berlengah. Tanpa berkira-kira. Kita berusaha bersungguh-sungguh, bermati-matian bagi mendapatkannya. Kita tidak menjadikan alasan Allah itu Maha Pengampun bagi menambah dosa. Manusia yang benar-benar inginkan harapan semestinya menggunakan segala peluang yang ada. Sekiranya kita kufur, tidak bersyukur, dan tidak menghargai harapan yang Allah s.w.t. berikan ini, adakah mungkin wujud keampunan untuk kita?

     Mustahil.

Kepada Para Pendosa

Maka, tulisan kepada para pendosa ini adalah untuk kita. Ya, kita. Saya dan saudara yang sedang membaca. Bersama-sama. Bukan saudara sahaja. Ini seperti yang saya katakan, kita adalah sama.

     Ini adalah buku motivasi saya yang keenam, sepanjang kehidupan saya ketika ini. Tidak ada lain yang saya harapkan daripada buku ini, melainkan keredhaan Allah s.w.t.

     Sama-sama kita merasai harapan-Nya, mengetahui jalan keluar daripada dosa ini, memandang betapa dosa ini perlu ditinggalkan, dan menggapai makna kehidupan yang sebenar di sisi Allah.

     Jangan sesekali berasa tidak mempunyai harapan. Jangan sesekali berasa bahawa kita memang diciptakan menjadi manusia yang derhaka kepada Allah s.w.t.

     Sebenarnya, Allah memberikan kita pilihan. Kita yang membuat pilihan sama ada mahu ke syurga, ataupun neraka-Nya. Mahu menjadi hamba-Nya yang sejati ataupun penderhaka kepada-Nya.

     Sama-sama kita bergerak ke arah-Nya. Amin.


Seorang hamba,
Hilal Asyraf
http://langitilahi.com




N / F : DARIPADA "UNTUK KITA PENDOSA, HARAPAN SELALU ADA", OLEH HILAL ASYRAF.     

No comments:

Post a Comment