Friday 9 September 2016

HASAN AL-BANNA [ BAB 12 - CUTI MUSIM PANAS ]






CUTI MUSIM PANAS








Hasan Al-Banna berasa gembira kerana keluarganya berada di Kaherah. Ayahnya terus mencari rezeki dengan bekerja sebagai tukang membaiki jam. Pelanggannya semakin ramai. Adik-adiknya juga sudah bersekolah di Kaherah. Abdul Rahman Al-Banna memasuki sekolah perdagangan dan Muhammad Al-Banna pula memasuki Maahad Kaherah, iaitu cawangan Al-Azhar. Hasan Al-Banna pula sentiasa cemerlang dalam peperiksaan. Akhirnya cuti musim panas pun tiba lagi.

     "Esok bermula cuti musim panas. Saya mahu pergi ke Mahmodiyah bertemu dengan Ahmad Afendi Sakri dan kawan-kawan yang lain," beritahu Hasan Al-Banna kepada ayah dan ibunya.

     "Berapa lama kamu berada di Mahmodiyah?" tanya ayahnya Imam Ahmad Al-Banna.

     "Sepanjang cuti musim panas," jawab Hasan Al-Banna.

     Imam Ahmad Al-Banna keberatan mahu memberi kebenaran. "Itu terlalu lama."

     "Di Mahmodiyah nanti saya mahu bekerja mencari duit," kata Hasan Al-Banna pula.

     "Apa kerja yang kamu boleh lakukan?" tanya ayahnya.

     "Kawan baik saya, Ahmad Afendi Sakri menulis surat mengatakan kedai ayah yang sudah dijual itu masih belum dibuka, kerana belum ada yang minat berniaga di situ. Saya bercadang mahu menyewa kedai itu bagi menjalankan kerja membaiki jam. Saya sudah mahir membaiki jam. Penduduk Mahmodiyah mengenali saya. Mereka pasti dengan mudah menjadi pelanggan," jawab Hasan Al-Banna.

     "Jika mahu bekerja, ibu benarkan. Tambahan pula tempatnya di Mahmodiyah. Kamu boleh duduk di rumah kita." Fudhla menyokong tindakan anaknya itu.

     Imam Ahmad Al-Banna akhirnya memberi kebenaran. Namun terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi. "Ayah juga benarkan tetapi dengan syarat, kedai mesti ditutup sebelum maghrib. Jangan menipu dalam perniagaan. Bersikap jujur dan amanah terhadap pelanggan."

     Alangkah gembira hati Hasan Al-Banna selepas mendapat izin daripada ayah dan ibunya. Beliau berasa yakin untuk berdikari. Beliau bertekad tidak mengecewakan ayah dan ibunya.

     Kepulangan Hasan Al-Banna ke Mahmodiyah menggembirakan penduduk di situ. Ahmad Afendi Sakri yang paling gembira. Dia segera mendapatkan Hasan Al-Banna.

     "Saya sudah menjangka kamu akan pulang ke Mahmodiyah pada cuti musim panas ini," kata Ahmad Afendi Sakri.

     "Saya akan berada di Mahmodiyah sehingga habis cuti musim panas," kata Hasan Al-Banna pula.

     "Itu sesuatu yang menggembirakan hati saya. Bagaimana dengan ayah, ibu, dan adik-beradik kamu?" tanya Ahmad Afandi Sakri.

     "Mereka semuanya dalam keadaan sihat. Perniagaan ayah semakin maju. Kerana itu dia tidak dapat ikut pulang ke Mahmodiyah," jawab Hasan Al-Banna.

     Ahmad Afandi Sakri semakin teruja dengan kepulangan rakannya itu. Dia mula merancang beberapa perkara. "Kamu kata tadi akan berada di Mahmodiyah hingga habis cuti musim panas. Banyak perkara yang dapat kita lakukan. Antaranya mengejutkan ahli Tarekat Hasafiyah supaya bangun sembahyang subuh berjemaah di masjid, mengadakan majlis zikir, majlis ilmu, dan banyak lagi."

     "Pada sebelah siang, saya mahu bekerja kerana saya perlukan duit bagi menampung perbelanjaan pelajaran selepas habis cuti musim panas," kata Hasan Al-Banna.

     Ahmad Afandi Sakri menawarkan pekerjaan kepada Hasan Al-Banna. "Tidak menjadi masalah kerana kamu boleh sahaja bekerja di kedai ayah saya. Kebetulan kami memang perlukan pembantu."

     "Saya mahu bekerja sendiri," kata Hasan Al-Banna pula.

     Ahmad Afandi Sakri sedikit terkejut. "Kamu mahu berniaga?"

     "Bukankah kamu mengatakan kedai ayahku yang dijual itu masih belum ada peniaga yang mendudukinya? Saya mahu menyewa kedai itu untuk kerja membaiki jam. Saya teruskan kerja yang pernah dibuat oleh ayah saya," jawab Hasan Al-Banna.

     "Mari kita jumpa Pak Cik Yazid. Mungkin dia setuju menyewakannya kepada kamu," sokong Ahmad Afandi Sakri. Mereka pergi menemui Yazid lalu menyatakan tujuan.

     Sebagai peniaga yang dermawan, Yazid berkata, "Kamu boleh berniaga di kedai itu tanpa apa-apa bayaran."

     "Saya tidak mahu secara percuma kerana mahu berniaga," kata Hasan Al-Banna pula yang berkeras mahu membayar sewanya.

     "Jika begitu kamu masukkan sahaja duit sewa itu ke dalam tabung Masjid Mahmodiyah. Berapa jumlah tersrah kepada kemampuan kamu," kata Yazid lalu menyerahkan kunci kedai itu.

     Hasan Al-Banna mengucapkan terima kasih, lalu mengucapkan syukur. Walaupun ayah dan ibunya sudah berhijrah ke Kaherah, namun penduduk Mahmodiyah masih menyayanginya.

     "Bagi memulakan perniagaan, kamu perlu ada modal. Sekiranya mahu, boleh sahaja pinjam duit daripada saya," pelawa Ahmad Afandi Sakri.

     Hasan Al-Banna menolak dengan lembut. "Tidak perlu kerana ayah ada memberi saya duit untuk modal perniagaan. Saya mula berniaga esok."

     Kemudian mereka berpisah kerana pulang ke rumah masing-masing. Hasan Al-Banna dapati rumahnya masih seperti dahulu kerana dijaga oleh Jaafar yang juga jirannya. Rumah itu banyak meninggalkan kenangan manis dalam hidupnya. Hasan Al-Banna teringat cerita ibunya, semasa kecil pernah didatangi seekor ular tedung yang kelihatan mahu mematuknya. Mujur Allah selamatkannya. Kemudian pernah pula bumbung rumah itu runtuh sedangkan ketika itu hanya dia dan adiknya Abdul Rahman Al-Banna berada di dalam rumah itu. Nasibnya baik kerana terselamat.

     Keesokan harinya Hasan Al-Banna memulakan perniagaan di kedia yang pernah dijadikan tempat mencari rezeki oleh ayahnya. Sekiranya dahulu dia membantu ayahnya, tetapi sekarang dia mengusahakannya sendiri.

     Ahmad Afandi Sakri pula memberitahu orang ramai mengenai kedai membaiki jam Hasan Al-Banna. Dalam masa beberapa hari sahaja, sudah ramai pelanggan yang datang. Hasan Al-Banna semakin yakin dia juga mampu berdikari.

     Pada waktu siang, Hasan Al-Banna sibuk melayan pelanggan yang datang ke kedainya. Pada waktu malam pula, beliau menghadiri majlis ilmu dan majlis zikir yang dianjurkan oleh Tarekat Haafiyah. Sering kali juga Hasan Al-Banna bermalam di rumah Ahmad Afandi Sakri. Mereka berbincang mengenai dakwah Islam hingga larut malam.

     Pada hari Jumaat, Hasan Al-Banna tidak berniaga. Pada sebelah pagi, dia mengunjungi guru-gurunya yang terdiri daripada ahli Tarekat Hasafiyah. Kerana saya kepada gurunya, setiap kali bertemu, dibelikannya hadiah berupa jubah, seraban, minyak wangi, dan sebagainya. Setiap kali bertemu juga, gurunya mendoakan kejayaan untuknya.

     Sering kali juga guru-gurunya meminta pendapat Hasan Al-Banna mengenai unsur syirik dan khurafat yang cuba dibawa masuk ke dalam Tarekat Hasafiyah oleh ahli yang baru.

     "Kita mesti menolak semua amalan yang bertentangan dengan Al-Quran dan hadis," begitu jawapan yang selalu diberikan oleh Hasan Al-Banna.

     Sebelum sembahyang Jumaat di Masjid Mahmodiyah, Hasan Al-Banna dan kawan-kawannya mandi di Sungai Nil. Itu antara kegemarannya sejak kecil.

     "Saya pernah terjun di sungai ini dalam usaha menyelamatkan diri daripada gigitan anjing liar," sering kali kata-kata itu diucapkan oleh Hasan Al-Banna, mengenang semula zaman kanak-kanaknya.

     "Aku ingin menjadi seperti Sungai Nil yang berguna kepada rakyat Mesir," kata Hasan Al-Banna lagi.

     Pada suatu hari, sedang Hasan Al-Banna bekerja membaiki jam di kedainya, tiba-tiba dia dikejutkan dengan kedatangan Syeikh Syibli Ar-Rijal yang juga gurunya. Hasan Al-Banna menyambut kedatangan tetamu istimewa itu dengan penuh rasa hormat.

     "Kedatangan Tuan membawa rahmat kepada saya," kata Hasan Al-Banna dengan gembira.

     "Semoga Tuhan merahmatimu di dunia dan akhirat," kata Syeikh Syibli Ar-Rijal.

     "Apakah Tuan mahu membaiki jam yang rosak? Saya sedia berkhidmat untuk Tuan," kata Hasan Al-Banna.

     "Jam saya masih elok dan belum pernah rosak. Saya datang mahu mendapatkan kerjasama kamu supaya menghebahkan kepada orang ramai kita akan menyambut Maulidur Rasul pada 12 Rabiul Awal ini. Dan beritahu jemaah kita berkumpul di rumah saya pada malam itu," kata Syeikh Syibli Ar-Rijal.

     "Baiklah Tuan, saya akan maklumkan kepada orang ramai," kata Hasan Al-Banna pula.

     Selepas selesai membawa doa dan berselawat memuji Nabi Muhamad s.a.w, orang ramai mula bersurai.

     Syeikh Syibli Ar-Rijal menghampiri Hasan Al-Banna lalu berkata, "Pagi esok sesudah sembahyang subuh, ajak kawan-kawan kamu datang semula ke sini."

     "Adakah Tuan hendak menjamu kami dengan sarapan pagi?" tanya Ahmad Afandi Sakri yang berdiri di sebelah Hasan Al-Banna.

     "Anak saya Ruhiyah meninggal dunia. Pagi esok dikebumikan," jawab Syeikh Syibli Ar-Rijal, masih dengan wajahnya yang tenang.

     Hasan Al-Banna dan Ahmad Afandi Sakri pula yang terkejut mendengarnya.

     "Innalillah...," ucap Hasan Al-Banna.

     Ahmad Afandi Sakri tidak dapat menahan diri daripada bertanya, "Bila anak Tuan meninggal?"

     Syeikh Syibli Ar-Rijal menjawab dengan senyuman di bibir, "Selepas solat maghrib tadi."

     "Apa sakitnya?" tanya Ahmad Afandi Sakri lagi.

     "Sakit perut, semua yang berlaku dengan kehendak Tuhan," jawab Syeikh Syibli Ar-Rijal.

     "Di mana mayat anak Tuan?" tanya Hasan Al-Banna pula.

     "Ada di dalam bilik tidur dengan ditemani ibunya," jawab Syeikh Syibli Ar-Rijal.

     "Sekiranya Tuan beritahu kami dari awal, sudah tentu kami batalkan perarakan Maulidur Rasul ini," kata Ahmad Afandi Sakri.

     Senyuman yang terukir pada wajah Syeikh Syibli Ar-Rijal terus hilang sebaik sahaja mendengar kata-kata Ahmad Afandi Sakri. Dengan marah dia berkata, "Apakah kamu lebih menghormati mayat anak saya daripada menyambut hari kelahiran nabi? Sesungguhnya gembira menyambut kelahiran nabi adalah lebih baik daripada meratapi mayat anak saya."

     Menurut Syeikh Syibli Ar-Rijal, Ruhiyah itu adalah anak perempuan tunggalnya yang dikurniakan Allah kepadanya sebelas tahun yang lalu. Dia sangat mengasihi anaknya sehingga tidak berpisah dengannya walaupun ketika melakukan kerja-kerja harian. Kini dia sudah besar dan memasuki alam remaja. Dia menamakannya Ruhiyah kerana anaknya itu berada dalam hatinya, seumpama roh yang berada di dalam jasad.

     "Saya kagum kerana Tuan kelihatan tenang sahaja, sedangkan yang pergi itu anak yang paling Tuan sayangi," kata Hasan Al-Banna pula.

     "Saya sudah melakukan kesilapan, kerana itu Ruhiyah diambil penciptanya," kata Syeikh Syibli Ar-Rijal.

     "Tuan melakukan kesilapan apa?" tanya Ahmad Afandi Sakri pula.

     "Saya terlalu mengasihi anak perempuan itu," jawab Syeikh Syibli Ar-Rijal.

     Beliau menyifatkan kematian anak perempuan yang dikasihi itu kerana kehendak Allah. Allah tidak ingin hambanya menumpukan perhatian kepada orang lain melainkan kepada-Nya sahaja.

     "Nabi Ibrahim diuji Allah supaya menyembelih anak kesayangannya, Nabi Ismail. Nabi Yaakub yang sangat sayangkan anaknya Nabi Yusuf juga diuji Allah dengan memisahkan kedua-duanya selama bertahun-tahun. Maha Suci Allah yang menghidupkan dan mematikan kita. Sepatutnya kita hanya mencintai Allah dan tidak mencintai makhluknya," kata Syeikh Syibli Ar-Rijal.

     Keesokan harinya, orang ramai datang ke rumah Syeikh Syibli Ar-Rijal bagi mengebumikan jenazah anak perempuannya. Hasan Al-Banna dan kawan-kawannya turut datang membantu apa yang diperlukan. Syeikh Syibli Ar-Rijal masih kelihatan tenang sehingga anak kesayangannya selesai dikebumikan.




N / F : DARIPADA "HASAN AL-BANNA", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment