Thursday 15 September 2016

HASAN AL-BANNA [ BAB 21 - DAKWAH TERSEBAR DI LUAR ISMAILIYAH ]






DAKWAH TERSEBAR DI LUAR ISMAILIYAH








"Masjid ini bukan sekadar dijadikan tempat sembahyang sahaja, tetapi lebih daripada itu," kata Hasan Al-Banna semasa mereka bermesyuarat, selepas pembinaan Masjid Ikhwan Muslimin yang pertama di Ismailiyah.

     "Saya juga berfikiran begitu. Alangkah bagusnya sekiranya kita menjadikan masjid ini sebagai tempat menuntut ilmu," kata Muhammad Fuad pula.

     "Di tingkat atas masjid ini, kita jadikan sekolah bagi mendidik anak-anak kita dengan ilmu pengetahuan dan akhlak. Saya faham prinsip dan cara pendidikan beberapa orang pendidik Barat, namun saya tidak mahu mengikut pendapat mereka secara membuta tulis. Sebaliknya saya mengubah-suai pendapat dan cara-cara mereka itu menurut acuan Islam," kata Hasan Al-Banna.

     "Saya setuju, dan kita beri nama sekolah itu dengan nama yang sesuai. Pelajar sekolah itu mesti memakai pakaian yang sesuai," kata Muhammad Fuad dengan begitu bersungguh-sungguh.

     Hasan Al-Banna meminta sahabat-sahabatnya mencadangkan nama sekolah itu dan akhirnya mereka bersetuju menamakannya 'Maahad Hirak Al'Islam'. Pelajar sekolah itu memakai pakaian seragam khas iaitu baju gamis (baju tup) labuh dan kot yang diperbuat daripada bahan tempatan, kopiah putih serta sepasang sepatu.

     "Jadual waktu sekolah kita ini perlu berbeza dengan sekolah-sekolah yang lain. Perlu diperuntukkan waktu untuk menunaikan sembahyang. Tidak boleh jadual waktu belajar melebihi waktu solat supaya pelajar dapat sembahyang pada awal waktu secara berjemaah," Hasan Al-Banna mencadangkan.

     Kemudian katanya lagi, "Jadual waktu belajar bermula pada awal pagi dan berakhir sebelum sembahyang zuhur, dan semua penuntut dikehendaki sembahyang secara berjemaah di masjid. Selepas itu mereka boleh pulang ke rumah dan kembali semula ke sekolah selepas makan tengah hari bagi menunaikan sembahyang asar secara berjemaah."

     Cadangan Hasan Al-Banna itu dipersetujui dengan sebulat suara oleh anggota mesyuarat. Kemudian mereka membuat susunan pengajian. Silibus dibahagikan kepada tiga kumpulan. Kumpulan pertama mengikut sistem pelajaran sekolah rendah. Penuntut kumpulan ini disediakan untuk memasuki Al-Azhar dan lain-lain pusat pengajian agama. Para penuntut kumpulan kedua menjalani corak pengajian yang serupa dengan yang pertama tadi untuk separuh hari. Waktu yang separuh hari lagi dihabiskan untuk pelajaran yang berkaitan dengan pertukangan, perindustrian atau vokasional.

     Selepas makan tengah hari di rumah masing-masing, pelajar datang semula ke sekolah dan mereka dihantar ke bengkel-bengkel dan kilang-kilang Ikhwan Muslimin bagi menjalani latihan amali. Para pemilik bengkel dan kilang itu adalah ahli-ahli Ikhwan yang telah menyatakan kesediaan mereka bagi melatih para penuntut. Hanya Sekolah Islam Hira yang menyediakan kemudahan khas itu.

     Para penuntut di Sekolah Islam Hira juga tidak dibebankan dengan bayaran yuran yang mahal, malah mereka diberi biasiswa. Selain itu mereka diajar oleh guru dan jurulatih yang berkelayakan. Semua tenaga pengajar menguasai mata pelajaran yang mereka sampaikan.

     Mereka menggunakan cara-cara moden bagi mengajar, pengenalan huruf dan ilmu hisab diajar menggunakan tanah, batu, dan model-model kertas. Para penuntut diberi kebebasan sepenuhnya bagi menyuarakan pendapat, ataupun bertanya mana-mana guru bagi menyelesaikan sebarang masalah yang mereka hadapi.

     Hasan Al-Banna turut memainkan peranan serta mengambil berat pengurusan di Sekolah Islam Hira. Apabila ada masa lapang, beliau menyampaikan ceramah yang turut dihadiri guru-guru dan pelajar. Beliau juga membantu guru-guru membuat persediaan mengajar. Dengan itu wujud hubungan yang baik antara Hasan Al-Banna dengan guru dan pelajar. Beliau menyayangi penuntut dan guru seperti keluarganya sendiri.

     "Saya berpendapat sudah tiba masanya Ikhwan Muslimin bergerak di luar Ismailiyah," kata Hasan Al-Banna dalam satu mesyuarat dengan para pemimpin Ikhwan Muslimin.

     "Maksud Tuan, kita tubuhkan cawangan Ikhwan Muslimin di luar Ismailiyah?" tanya Abdul Rahman Hasbullah.

     "Semoga Tuhan merestuinya," jawab Hasan Al-Banna.

     "Saya sokong cadangan itu. Adakah Tuan sudah mengenal pasti kawasan mana bagi cawangan pertama Ikhwan Muslimin mahu ditubuhkan?" tanya Fuad Ibrahim pula.

     "Saya memilih Aboo Suwair kerana tempat itu yang paling hampir dengan Ismailiyah. Penduduknya terdiri daripada buruh-buruh yang bekerja di perkhemahan tentera British. Terdapat juga peniaga dan petani yang tinggal di situ," jawab Hasan Al-Banna.

     Afandi Abdul Sa'ud memberi cadangan, "Sebaiknya kita tinjau dahulu fikiran orang ramai di Aboo Suwair. Saya ada seorang kenalan bernama Syeikh Muhammad Al Ajroodi yang membuka kedai kopi di sana. Saya yakin dia dapat membantu kita."

     Hasan Al-Banna bersetuju dengan cadangan itu. Keesokan harinya, mereka pergi ke Aboo Suwair bagi meninjau fikiran orang ramai mengenai cadangan membuka cawangan Ikhwan Muslimin. Hasan Al-Banna ditemani Abdul Rahman Hasbullah, Fuad Ibrahim dan Afandi Abdul Sa'ud. Mereka menuju ke kedai kopi Syeikh Muhammad Al-Ajroodi, dan memerhati dari jauh sebelum singgah di kedai itu.

     Hasan Al-Banna tertarik dengan Syeikh Muhammad Al-Ajroodi kerana dia seorang yang berperibadi mulia dan mempunyai harga diri. Dia bijak bercakap dan suka berterus-terang. Pelanggan yang datang ke kedainya dilayan dengan baik dan sopan.

     Kemudian Hasan Al-Banna mengajak kawan-kawannya masuk ke kedai tersebut. Syeikh Muhammad Al-Ajroodi menyambut kedatangan mereka dengan mesra.

     Afandi Abdul Sa'ud segera memperkenalkan sahabatnya, "Saya perkenalkan ini ketua dan sahabat baik saya, namanya Hasan Al-Banna."

     Selepas bersalaman, Hasan Al-Banna duduk di sebelah Syeikh Muhammad Al-Ajroodi. Ketika itu ada beberapa orang pelanggan di dalam kedai itu.

     Selepas bertanya khabar, Hasan Al-Banna pun berkata, "Undang-undang Islam adalah undang-undang yang teragung dan termulia bagi seluruh umat manusia. Masyarakat kita sekarang sedang menuju kemusnahan dan kemungkaran kerana kita lupa kewajipan kita kepada Allah. Kita berkewajipan melancarkan gerakan dakwah bagi menyekat kemungkaran daripada berleluasa dan menegakkan undang-undang Islam. Ini sahaja caranya supaya manusia dapat merasa kebahagiaan, dan masyarakat yang baik dapat ditegakkan. Berdosa sekiranya kita mengetepikan kewajipan ini. Perjuangan ini tidak boleh dilaksanakan bersendirian atau berseorangan. Sebuah jemaah yang tersusun rapi diperlukan bagi menjalankan tugas ini. Jemaah sedemikian perlu ditubuhkan di setiap kawasan. Kita boleh namakan jemaah itu Ikhwan Muslimin," kata Hasan Al-Banna.

     Syeikh Muhammad Al-Ajroodi dan beberapa orang pelanggan dalam kedai itu kelihatan tertarik mendengarnya.

     Seorang daripada mereka mula bertanya, "Kata-kata Tuan begitu menarik. Apakah Tuan dihantar oleh satu pertubuhan kebajikan atau Tuan datang sendiri bagi menyampaikan ceramah kepada kami?"

     Hasan Al-Banna tersenyum menjawab soalan itu, "Kami datang sendiri tanpa mewakili mana-mana pertubuhan kebajikan. Terima kasih sekiranya Tuan tertarik hati mendengarnya."

     "Saya juga amat tertarik hati mendengarnya," kata Syeikh Muhammad Al-Ajroodi pula.

     "Tuhan temukan saya dengan Tuan hari ini. Saya dapati Tuan memiliki sifat-sifat yang mulia. Saya rasa Tuan mampu memberi sumbangan dalam Ikhwan Muslimin," kata Hasan Al-Banna.

     "Hari ini saya bermurah hati kepada kamu semua. Saya akan belanja kamu makan tengah hari dan minum kopi secara percuma," kata Syeikh Muhammad Ajroodi.

     Tersinggung dengan kata-kata itu, Hasan Al-Banna lalu bangun mahu pergi dari situ. "Saya datang ke sini bukan untuk mendapatkan makanan ataupun minuman. Saya datang mahu berdakwah."

     "Sekiranya Tuan tersinggung dengan pelawaan tadi, saya mohon maaf. Tuan seorang yang pandai berceramah. Kerana itu saya mencadangkan Tuan pergi berceramah di masjid ataupun surau yang terletak di tepi laut kerana ramai orang berkumpul di situ," kata Syeikh Muhammad Al Ajroodi.

     Hasan Al-Banna menolak pelawaan itu dengan baik. "Terima kasih atas cadangan Tuan. Tetapi saya lebih berminat memberi ceramah di kedai ini sahaja. Dan pendengarnya adalah para pelanggan di kedai tuan."

     "Berceramah di kedai kopi belum pernah dibuat orang di tempat ini. Tetapi sekiranya Tuan mahu melakukannya, saya benarkan asalkan tidak mengganggu pelanggan kedai ini," kata Syeikh Muhammad Al Ajroodi.

     Hasan Al-Banna menyatakan janjinya, "Saya tidak akan mengganggu mereka yang sedang makan ataupun minum. Mereka boleh mendengar saya berceramah sambil menikmati makanan ataupun minuman."

     Syeikh Muhammad Al Ajroodi bersetuju dengan cadangan itu. Keesokan harinya, Hasan Al-Banna datang semula ke kedai itu bagi memberi ceramah. Orang ramai tertarik hati mendengarnya sehingga kedai itu penuh sesak dengan orang ramai yang mahu mendengar ceramah Hasan Al-Banna.

     "Kami tertarik hati dengan cara Tuan berdakwah. Bolehkah Tuan datang lagi ke sini? Kami mahu mendengar ceramah Tuan lagi," pinta salah seorang daripada mereka.

     "Saya dan kawan-kawan pasti datang lagi, insya Allah," kata Hasan Al-Banna.

     Pada minggu hadapannya, Hasan Al-Banna dan kawan-kawannya datang lagi ke kedai kopi Syeikh Muhammad Al Ajroodi di Aboo Suwair untuk berdakwah. Mereka yang datang semakin ramai kerana tertarik dengan dakwah Hasan Al-Banna. Walaupun dia bukan seorang imam ataupun ulama terkenal, namun cara penyampaian ceramahnya menarik hati mereka yang mendengar.

     "Saya menjemput Tuan dan kawan-kawan Tuan menjadi tetamu di rumah saya. Harap tidak dihampakan jemputan saya ini," kata seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya bernama Ahmad Afandi Dasuqi.

     Beliau antara yang tidak pernah ketinggalan mendengar ceramah yang disampaikan Hasan Al-Banna. Selepas beberapa kali mendengarnya, Ahmad Afandi Dasuqi tertarik hati untuk mendekati Hasan Al-Banna.

     Pelawaan itu tidak dihampakan, malah Hasan Al-Banna merasakan itu satu penghormatan dari penduduk Aboo Suwair terhadap usahanya. Maka terjalin hubungan baik antara Hasan Al-Banna dengan Ahmad Afandi Dasuqi. Setiap kali datang ke Aboo Suwair, Hasan Al-Banna menjadi tetamu di rumahnya.

     "Bagaimana sekiranya kami membuka candangan Ikhwan Muslimin di Aboo Suwair?" tanya Hasan Al-Banna semasa berbincang dengan Ahmad Afandi Dasuqi di rumahnya.

     "Satu cadangan yang baik dan saya menyokongnya," kata Ahmad Afandi Dasuqi.

     "Bagaimana pula dengan penduduk Aboo Suwair, apakah mereka juga bersetuju?" tanya Hasan Al-Banna pula.

     "Saya yakin mereka setuju. Namun ada baiknya kita adakan satu perjumpaan bagi memaklumkan kepada orang ramai," jawab Ahmad Afandi Dasuqi.

     Tidak lama kemudian diadakan satu perjumpaan bagi membincangkan penubuhan cawangan Ikhwan Muslimin di Aboo Suwair. Ramai yang bersetuju, namun ada juga yang tidak setuju. Kerana bilangan yang bersetuju lebih ramai, keputusan perjumpaan itu membenarkan Ikhwan Muslimin membuka cawangannya di Aboo Suwair.

     Ahmad Afandi Dasuqi dipilih menjadi Yang Dipertua Ikhwan Muslimin cawangan Aboo Suwair. Beliau menerima pelantikan itu dengan gembira. Namun timbul masalah kerana Ahmad Afandi Dasuqi seorang peniaga yang selalu sibuk denga perniagaannya. Beliau tidak dapat menumpukan banyak masa untuk Ikhwan Muslimin. Banyak masalah yang timbul tidak dapat diselesaikannya.

     Akhirnya ahli-ahli Ikhwan Muslimin cawangan Aboo Suwair menemui Hasan Al-Banna, dan mereka mencadangkan supaya Syeikh Abdullah Badwi dilantik menjadi yang Dipertua Ikhwan Muslimin Aboo Suwair.

     Syeikh Muhammad Al Ajroodi menerangkan, "Beliau seorang guru besar sekolah rendah. Dia juga seorang yang alim dan selalu menyampaikan ceramah kepada orang ramai. Dia sangat terkenal di Aboo Suwair dan mempunyai hubungan yang sangat baik dengan orang ramai."

     Hasan Al-Banna meminta sesuatu, "Izinkan saya bertemu dengan Syeikh Abdullah Badwi dahulu kerana saya tidak mahu membuat keputusan dengan terburu-buru."

     Keesokan harinya, Hasan Al-Banna menemui Syeikh Abdullah Badwi di Aboo Suwair. Beliau seorang yang alim dan berilmu pengetahuan. Dia mengajar Al-Quran, seorang yang berwibawa, teliti, dan jitu ketika memberikan buah fikiran.

     "Ahli-Ahli Ikhwan Muslimin cawangan Abu Suwair memerlukan seorang ketua yang berkaliber seperti Tuan. Tujuan saya datang adalah bagi menawarkan jawatan Yang Dipertua Ikhwan Muslimin Aboo Suwair kepada Tuan," kata Hasan Al-Banna.

     "Saya juga selalu sibuk bercermaah dan mengajar Al-Quran. Bimbang nanti tidak mampu menjalankan tanggungjawab yang diberikan itu dengan sempurna," kata Syeikh Abdullah Badwi.

     "Janganlah Tuan hampakan permintaan ini. Kami menawarkannya kerana Allah dan Tuan terimalah kerana Allah juga," pujuk Hasan Al-Banna.

     Selepas agak lama berfikir, Syeikh Abdullah Badwi pun berkata, "Saya bersetuju menerima tanggungjawab itu dengan syarat, saya dibenarkan mengatur rangka pentadbiran pertubuhan dengan mengambil rakan-rakan sejawat saya. Mereka adalah guru-guru yang berdedikasi dan bersedia memberi kerjasama. Selain itu, saya juga bercadang hendak mengambil beberapa orang tempatan yang agak matang pemikiran mereka."

     "Kami setuju dengan cadangan itu," kata Hasan Al-Banna.

     Syeikh Abdullah Badwi pun menjalankan tugasnya sebagai Yang dipertua Ikhwan Muslimin cawangan Aboo Suwair. Dia bekerja dengan tekun dan penuh kegigihan. Usaha itu akhirnya membawa kepada Ikhwanul Muslimin cawangan Aboo Suwair.

     "Alhamdulillah, berkat kerja dakwah yang kita lakukan, penduduk Aboo Suwair sudah ramai yang ke masjid untuk sembahyang berjemaah. Malah pada hari Jumaat, masjid penuh sehingga jemaah melimpah keluar. Tambahan pula di Aboo Suwair ini hanya ada sebuah masjid, kerana itu kami memerlukan sebuah masjid lagi," kata Syeikh Abdullah Badwi dalam satu mesyuarat yang turut dihadiri Hasan Al-Banna.

     "Kami mahu mencontohi pembinaan masjid Ikhwan Muslimin di Ismailiyah. Kami akan meminta derma dari ahli dan orang ramai," sokong Abdullah Fahmi pula.

     "Saya melihat di simpang jalan masuk ke Aboo Suwair ini ada sebuah masjid yang kelihatan terbengkalai pembinaannya. Boleh saya tahu siapa yang membina masjid itu dan mengapa ia terbengkalai?" tanya Hasan Al-Banna.

     "Masjid itu dibina oleh Syeikh Ibrahim. Kerja pembinaannya terbengkalai kerana beliau jatuh sakit," jawab Syeikh Abdullah Badwi.

     Hasan Al-Banna mencadangkan, "Mari kita berjumpa dengan Syeikh Ibrahim. Kita pujuk supaya dia serahkan kepada kita untuk menyiapkan pembinaan masjid itu."

     Mereka bersetuju dengan cadangan itu lalu menemui Syeikh Ibrahim. Beliau dengan rela hati menyerahkan pembinaan masjid itu kepada Ikhwan Muslimin. Hasan Al-Banna mencadangkan supaya masjid itu nanti dijadikan pejabat Ikhwan Muslimin.

     Maka kerja pembinaan masjid itu pun dijalankan. Selepas siap, didirikan sebuah bangunan pejabat Ikhwan Muslimin di sebelah masjid itu. Mesyuarat dan perjumpaan para anggota Ikhwan diadakan di situ.

     Masjid baru itu memberi kemudahan kepada orang ramai untuk bersembahyang. Tidak lama kemudian, diwujudkan 'Pengangkat Ikhwan Muslimin'. Halaman masjid yang luas itu dijadikan tempat latihan para anggota pengangkap. Pada musim cuti sekolah, tempat itu bertukar menjadi gelanggang syarahan.

     Beberapa bulan kemudian, Ikhwan Muslimin Ismailiyah menghantar Syeikh Aidul Azhari untuk bertugas di pusat gerakan Ikhwanul Muslimin cawangan Aboo Suwair. Beliau lepasan Al-Azhar dan seorang hafiz Al-Quran. Beliau diberi tugas menjadi imam, khatib, dan pentadbir Masjid Aboo Suwair. Gajinya dibayar oleh Ikhwan Muslimin Ismailiah. Kehadiran Syeikh Aidul Azhari banyak membantu dalam menegakkan Risalah Islamiah di Aboo Suwair.




N / F : DARIPADA "HASAN AL-BANNA", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment