Saturday 18 April 2015

AMINAH [ BAB 16 - IBU SUSUAN ]




IBU SUSUAN


Pagi yang bening, bersulam kabus pagi padang pasir yang sejuk nan salju. Pada siangnya panas mencengkam kulit. Pada sebelah malamnya mula sejuk mengigit kulit. Kedua-dua keadaan itu adalah resam para penghuni padang pasir. Tidak pernah mereka berkeluh-kesah, jauh sekali memarahi Tuhan kerana menjadikan mereka orang Arab yang mendiami padang pasir di Semenanjung Tanah Arab.

     Pada hari itu Aminah terjaga daripada tidurnya. Rasa rindu kepada puteranya menjengah sebaik sahaja matanya celik dan memorinya berfungsi kembali. Segera dia memalingkan pandangannya ke tempat pembaringan puteranya, Muhammad.

     Ditatap wajahnya puteranya yang sempurna itu lantas berkata, "Wahai anakku, sungguh pada dirimu ini ada Abdullah, bapamu dan Abdul Mutalib, datukmu."

     Puteranya seakan faham apa yang dituturkan si ibu. Lantas dibalas dengan senyuman yang indah dan cukup membahagiakan si ibu. Sedetik... memori lalu menjengah, terungkit kembali saat dirinya baru berkahwin dengan Abdullah. Segalanya kembali terpampang di minda dan sanubarinya.

     Apabila diamati, proses perjalanan hidup mereka seakan sudah dan sengaja ditetapkan sebegitu. Semata-mata demi kelahiran puteranya itu. Aminah lantas terfikir, "Apakah mungkin Abdullah sebenarnya diciptakan Tuhan bagi menyampaikan anak ini kepada makhluk di muka bumi ini? Segalanya seakan rancangan yang sangat rapi. Sungguh mati mahupun hidup bukan terletak di tangan kita."

     Khayalan Aminah lantas dilampiaskan sehingga ke tempat-tempat yang belum pernah dirinya sampai. Gunung-ganang didaki, langit diterokai, lautan direntangi semata-mata mahu mencari jawapan yang paling tepat.

     Sedang dirinya tenggelam dalam harapan dan kerisauan, kedengaran rengekan manja puteranya. Sudah sampai waktu puteranya itu disusukan. Aminah kemudian mengambil kedudukan yang sesuai bagi menyusukan puteranya itu. Dengan lembut Aminah melaksanakan tanggungjawabnya, penuh kasih sayang kepada amanah itu. Ya, amanah daripada Tuhan dan juga amanah suaminya yang tercinta.

     Tanpa diduga, perkara yang luar biasa berlaku. Aminah segera memanggil Barakah. "Wahai Barakah, sila datang ke sini sebentar. Saya perlukan pertolongan kamu."

     Barakah segera mendapatkan Aminah. "Ya, puan. Ada apa-apa yang boleh saya bantu? Saya dengar puan memanggil saya."

     "Ya, Barakah. Sungguh saya berasa sangat pelik. Air susu saya sudah kering saat ini sedangkan saya mahu menyusukan Muhammad. Apa pendapat kamu?"

     "Benarkah? Ternyata pelik kerana puan baru sahaja melahirkan Muhammad. Bagaimana mungkin air susu puan sudah tiada. Sepatutnya ibu yang baru melahirkan anak tidak akan kekeringan susu badan."

     "Ini yang menjadi persoalan kepadaku. Kamu juga tahu, saat saya mengandungkannya, tiada sebarang masalah yang saya hadapi. Saat melahirkannya pula tiada secubit rasa sakit pun saya rasakan, bahkan pula saat lahirnya bersama cahaya yang sangat menyinar. Suamiku iaitu ayah Muhammad, Abdullah, juga meninggal sebelum sempat tahu yang saya mengandung."

     "Jangan berfikir terlalu banyak. Ia cuma menambahkan duka dan kesedihan. Namun, saya kasihankan Muhammad. Sekiranya puan tidak dapat menyusukannya, apa yang terjadi kepada dirinya nanti."

     "Justeru, saya minta kamu carikan wanita-wanita dari pedalaman tanah Arab yang mahu mengambil upah menyusukan bayi. Kalau tidak Muhammad akan kelaparan tidak disusukan."

     Barakah kelihatan sedang mengingat sesuatu, kemudian dia berkata hiba, "Nampaknya hal ini menjadi sedikit sukar."

     "Mengapa Barakah? Apakah yang berlaku sebenarnya?"

     "Menurut apa yang saya maklum, para wanita dari pedalaman itu sudah lama tidak datang ke mari," jawab Barakah sambil air matanya mula meleleh dari kelopak matanya.

     Aminah perasan dan sedikit terkejut dengan perubahan pada wajah Barakah. "Wahai Barakah, untuk apa kesedihan kamu itu? Mengapakah air matamu tumpah saat ini? Bukankah kita sudah berjanji, membuang jauh segala kesedihan dan memberikan sepenuh perhatian kepada Muhammad?"

     Barakah tetap membisu, menanam rasa yang memakan hati.

     Kemudian Barakah berkata perlahan lantas memeluk Muhammad. "Puan, andai Tuhan kurniakan saya susu di badan ini bagi diberikan kepada tuan muda, nescaya saya tidak membenarkan wanita lain menyusukannya."

     Hati Aminah tersentuh dengan tutur kata mulus Barakah. Dia lantas menjawab, "Wahai Barakah, sesungguhnya kamu adalah wanita yang baik. Semoga kamu mendapat suami yang sebaik kamu dan anak yang sebaik kamu juga."

     Barakah tersenyum dalam esak tangisnya mendengar ungkapan Aminah. Secalit bahagia membuah dalam hatinya.

     Saat mereka masih berbincang berkenaan urusan penyusuan Muhammad, entah dari mana Suwaibah muncul di rumah Aminah malah terus sahaja masuk ke dalam bilik beradu Aminah. Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam bilik itu, terus sahaja Suwaibah mendapatkan Muhammad lantas dipeluk dan diciumnya berkali-kali.

     Aminah dan Barakah hanya memerhatikan apa yang terjadi dalam keadaan yang terkejut.

     Sejurus kemudian. Suwaibah memalingkan wajahnya menghadap Aminah lalu berkata, "Wahai Aminah, dengan penuh rasa hormat saya mohon kamu izinkan saya mendapatkan kehormatan yang teragung dalam hidup saya ini."

     Aminah tidak memahami maksud permintaan Suwaibah itu. "Apakah maksudnya, wahai Suwaibah? Penghormatan apa yang kamu maksudkan?"

     "Pada pagi ini, sejurus saya bangkit daripada tidur, tiba-tiba perasaan mahu berjumpa kamu berdua tiba-tiba membara. Malah jauh di sudut hatiku, seakan ada suara yang membisik. Katanya saya menjadi orang yang paling bahagia dan bertuah sekiranya dapat menyusukan Muhammad. Saya mohon kepada kamu supaya membenarkan saya menyusukan Muhammad."

     Aminah tersenyum lantas berkata lega, "Sungguh wahai Suwaibah, memang ada tercetus dalam hatiku ini mahu menjemput kamu menyusukan Muhammad. Susuku sendiri sudah mengering tanpa diketahui sebabnya. Sekiranya begitu, silakan wahai Suwaibah."

     Suwaibah kelihatan sungguh gembira.

     "Terima kasih, terima kasih, Aminah." Suwaibah kemudian mengampu Muhammad ke dalam pangkuannya dan mula menyusu. Muhammad kelihatan mula menyusu dengan enak sekali.

     Kebahagiaan jelas terzahir pada wajah Suwaibah. "Sekarang saya sudah menjadi ibu kepada bayi ini. Apakah saya boleh beroleh keizinan daripada ibumu bagi memanjangkan penghormatan ini, penghormatan bagi menyusukan kamu?"

     Suwaibah cuba berkias, namun pada masa yang sama dia mahu menujukan persoalan itu kepada Aminah. Barakah yang berada bersama mereka segera menjawab, "Wanita-wanita penyusu upahan dari kampung akan datang menyusukan Muhammad, wahai Suwaibah."

     "Ya, saya tahu. Namun saya pasti sebelum kedatangan mereka, bayi ini memerlukan susu."

     Berhenti sejenak melihat Muhammad, Suwaibah menyambung kembali, "Tahukah kamu yang air susuku melimpah ruah sejak saya menyusukan Muhammad. Wahai Barakah, apa yang menyebabkan saya tidak layak menyusukan Muhammad sedangkan ramai lagi ibu Quraisy yang mahu anak mereka disusukan? Saya juga yakin, dengan niat yang ikhlas ini, Aminah pasti tidak ada halangan pada keinginan saya ini."

     Bual bicara dan diskusi panjang berterusan. Mencari pencerahan bagi memberi yang terbaik kepada Muhammad, putera Aminah dan Abdullah itu.

     Tatkala itu, sekumpulan ibu orang Arab dari pedalaman sampai di kota Mekah. Tiada lain harapan mereka, mendapatkan anak-anak bangsawan Quraisy dan menyusukan mereka, kemudian memperoleh upah bagi menyara kehidupan mereka.

     Salah seorang daripada mereka mula membayangkan. "Sekiranya nanti saya mendapat anak daripada bangsawan yang kaya raya dan baik hati, pasti sahaja rezeki saya juga murah. Tidak dapat saya bayangkan betapa nanti saya diberi upah yang banyak, dengan itu saya dapat membeli kain baju yang mahal-mahal dan makanan yang terbaik."

     Kawan-kawannya daripada kalangan ibu juga mempunyai impian yang sama iaitu mendapatkan seorang bayi daripada kalangan bangsawan Quraisy yang baik hati.

     "Sekiranya ada rezeki dan nasib kita, tidak ke mana habuan itu. Yang penting kita berusaha, lagipun kita sudah lama tidak datang ke kota Mekah. Pasti ramai bayi yang baharu lahir yang mahu disusukan. Bukankah sudah menjadi adat kaum Arab Quraisy kota Mekah, memberikan anak mereka kepada kita bagi disusukan."

     "Ya, itu semestinya. Mari kita berdoa supaya mendapat anak yang baik bagi disusukan daripada ibu bapa yang prihatin, percaya dan kasih kepada kita. Sekali anak-anak itu kita susukan, tiada bezanya mereka dan anak kandung kita sendiri."

     Rombongan kali ini disertai juga seorang wanita yang sangat daif. Dia menaiki keldai yang kurus kering sambil di tangannya mendukung seorang anak kecil yang kelihatan dalam kelaparan.

     Kadang-kadang ada suara membisik sesama mereka. "Siapakah itu, sangat perlahan jalannya. Bagaimana dia sanggup menaiki keldai dari kampung ke kota Mekah? Disebabkan dia, kita sentiasa lewat."

     "Sekiranya yang kamu maksudkan wanita kurus kering yang mendukung seorang bayi itu, dia adalah Halimatun Saadiah dan lelaki yang bersamanya adalah suaminya."

     "Sungguh kelakar saya melihat mereka. Si suami menaiki unta yang kurus kering seperti dirinya sendiri, manakala isterinya pula menaiki keldai yang kurus kering seperti dirinya juga."

     "Janganlah kamu berkata begitu, sepatutnya kita kasihan kepada mereka. Paling kurang mereka berusaha, tidak hanya mengharap kasihan belas daripada orang selagi berdaya dan mereka tidak mengemis bagi mendapatkan rezeki."

     Perempuan yang bertanya akhirnya senyap. Dia malas memikirkan dan memacu untanya terus ke hadapan.

     Kemudian terdengar suara ketua rombongan berteriak keras, "Wahai Halimatun Saadiah, kemari segera! Kita lewat sampai sekiranya kamu berdua terus berjalan dengan perlahan begitu."

     Terdengar teriakan itu, Halimatun Saadiah dan suaminya segera memukul kenderaan masing-masing bagi mengejar rombongan yang sudah berada jauh di hadapan.

     Terdengar suara ejekan yang keras daripada kalangan rombongan. "Kami sudah nasihatkan kamu, jangan ikut kami. Kamu berdua hanya menyusahkan kami sahaja. Lagipun, adakah kamu yakin ada daripada kalangan pembesar Quraisy yang mahu mengupah kamu apabila melihat sosok tubuh badan kamu?"

     "Benar, sekiranya saya mempunyai anak sekalipun, saya tidak akan serahkan kepada wanita yang kurus kering bermata cengkung dan berwajah kecil seperti kamu ini."

     Halimatun Saadiah dan suaminya hanya mendiamkan diri pada peringkat awalnya, namun apabila kutukan yang diterimanya semakin lebat, dia kemudian mula bersuara, "Kita tunggu dan lihat nanti. Kamu semua pasti terkejut apabila saya kembali dengan bayi yang paling kaya dan baik dari sana."

     Suara Halimatun Saadiah semakin meninggi. Kali ini keldainya pula yang menjadi sasaran. "Cepat keldaiku, majulah ke kota Mekah. Firasatku menyatakan ada rezeki dan rahmat yang menggunung sedang menunggu kita di sana."

     Akibat tidak dapat menahan marah kerana disindir kembali oleh Halimatun Saadiah, mereka yang berada dalam kumpulan rombongan itu mengusulkan supaya dia dan suaminya ditinggalkan sahaja.

     Akhirnya rombongan itu sampai. Beberapa ketika kemudian, Halimatun Saadiah dan suaminya pula sampai.

     "Sampai juga mereka. Ingatkan sudah hilang ditiup ribut pasir." Suara-suara yang mengejek mereka kembali kedengaran, namun tidak dihiraukan Halimatun Saadiah dan suaminya.

     Dia kemudian terus sahaja mengikuti wanita-wanita itu tanpa terlebih dahulu menyiapkan dirinya.

     Suara umpatan dan kejian kedengaran kembali. "Kamu lihat sahaja Halimatun Saadiah itu. Sudahlah dirinya tidak terurus, ada hati mahu mengikuti kita pula."

     "Ya, saya khuatir sekiranya dia terus mengikut kita, tidak ada yang sudi mengupah kita."

     "Sudahlah, daripada terus kita terganggu dengan dia, lebih baik kita cepat-cepat dapatkan bayi susuan."

     Mereka kemudian segera berlalu pantas dan terus menawarkan perkhidmatan mereka. Setiap lorong dan dan jalan dilalui sambil berteriak keras memanggil-manggil bakal pelanggan mereka. "Tuan-tuan dan puan-puan yang mahu menyusukan anak, silakan datang kepada kami."

     Sehingga terjumpa sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain dan mereka berkata sambil menunjuk ke arah satu rumah. "Di sana, di sana ada bayi yang baru dilahirkan."

     Mereka kelihatan teragak-agak pada awalnya, sama ada mahu pergi ataupun tidak ke rumah itu. Barakah yang kebetulan berada di luar rumah perasan kepada rombongan wanita-wanita itu segera memanggil. "Wahai wanita-wanita penyusu, mari ke sini. Di sini ada anak kecil keturunan yang terhormat dan anak kepada bangsawan Quraisy daripada bani Hasyim."

     Mendengar jeritan Barakah, mereka segera menuju ke Barakah.

     "Silakan masuk ke rumah dan berjumpa dengan puan saya. Dia memerlukan penyusu kerana susunya sudah kering tanpa sebab."

     Mereka pun masuk dan berjumpa Aminah. Tatkala memandang Aminah, mereka terpegun dengan kecantikannya.

     "Tuhan, ini bukan manusia. Ini adalah secantik-cantik makhluk di alam."

     Begitu juga saat mereka memandang Muhammad. "Tuhan, ini juga bukan manusia biasa. Cahaya yang terpancar daripadanya membuatkan kami ingin memilikinya."

     Mereka kelihatan teruja mahu memiliki Muhammad, namun mereka berasa sedikit sangsi dan canggung saat mata mereka menerjah ke setiap pelusuk rumah Aminah.

     Lantas salah seorang daripada mereka bertanya, "Mohon bertanya puan, di manakah ayah kepada bayi ini? Maksud saya, suami puan?"

     Aminah lambat menjawab. Dia tiba-tiba sebak. "Ayahnya sudah meninggal dunia lama sebelum dia lahir. Bayi ini adalah anak yatim."

     Hati kecil wanita-wanita mula berfikiran tidak elok. "Mungkin sahaja anak ini mewarisi segerombolan harta daripada ayahnya."

     Kemudian salah seorang pula bertanya, "Siapakah nama ayah bayi ini?"

     "Abdullah. Abdullah bin Abdul Mutalib."

     Sekali lagi para wanita ini terpegun. Mereka masih teringat saat datang ke kota Mekah semata-mata mahu mendapatkan daging unta dengan percuma. Unta-unta itu adalah tebusan kepada seorang lelaki yang bernama Abdullah bin Abdul Mutalib. Seratus ekor unta saat mewah bagi mereka yang hanya mempunyai beberapa ekor kambing dan keldai sebagai tunggangan.

     Mereka semakin tertarik. "Sekiranya begitu, mengapa perlu bersedih wahai puan yang mulia? Meskipun suami puan terlebih dahulu dijemput Tuhan, bukankah harta yang ditinggalkan kepada kamu melimpah-ruah?"

     Esak tangis Aminah belum selesai. Apabila soalan itu ditujukan, baru Aminah sedar maksud sebenar para wanita itu. "Puan-puan sekalian, ketahuilah yang suami saya Abdullah hanya sempat meninggalkan sedikit ternakan iaitu kambing dan unta. Selain itu hanya ada seorang hamba dan rumah ini."

     Sejurus mendengar ungkapan Aminah, para wanita itu segera berubah wajah dan mencipta alasan yang pelbagai.

     "Nampaknya Muhammad lebih sesuai bersama ibunya. Barakah juga ada bersama kamu, bukan?"

     "Ya... ya... kami rasa Muhammad tentu lebih selesa bersama kamu berdua."

     Pelbagai lagi alasan cipta bagi mengelak daripada menerima Muhammad. Tidak lama selepas itu, mereka meminta diri. Jelas terpampang pada wajah mereka rasa kecewa dan marah.

     Di dalam rumah, Suwaibah kelihatan sangat gembira. Pada wajahnya sentiasa terukir senyuman. Hatinya melafaz kesyukuran. "Syukur Tuhan, ternyata Muhammad ditakdirkan bersama saya."

     Ketika melewati Halimatun Saadiah, mereka sempat menyindirnya, "Hai wanita kurus, anak keluarga ini paling sesuai untuk mereka. Mereka miskin walaupun daripada kalangan bangsawan sedangkan kamu juga kurus kering dan miskin daripada pedalaman."

     Halimatun Saadiah naik berang seketika. Mereka yang mengejeknya disembur kembali dengan kata yang lebih berbisa, "Kamu semua bersifat munafik, sekiranya sudah tidak mahu, usahlah dikutuk-kutuk mereka. Cukup dengan ini sudah membuktikan yang kamu semua tidak ikhlas, sedangkan menjaga seorang bayi perlukan keikhlasan yang sejati."

     "Sekiranya begitu, kamu sahaja yang mengambilnya pulang."

     Halimatun Saadiah menegaskan, "Sekiranya saya mampu, nescaya saya mengambilnya."

     Wanita-wanita itu terus mengejek Halimatun Saadiah, sehinggakan dia yang asalnya mahu sahaja bersetuju mengambil Muhammad, turut membatalkan hasratnya.

     Saat melangkah memalingkan badan bagi meninggalkan rumah Aminah, dia beberapa kali berpaling dan terasa berat hati. Beberapa seketika Halimatun Saadiah terpaksa berperang dengan perasaan dan dirinya sendiri.

     Seketika... dia keliru dengan keputusannya sendiri.

     Hatinya galau. "Andainya...."




P/S : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI-SRIKANDI YANG BENAR, DITULIS OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.