Friday 1 May 2015

AMINAH [ BAB 18 - TUHAN MENYAYANGINYA ] ( AKHIR )




TUHAN MENYAYANGINYA


Tahun demi tahun berlalu pergi, banyak benar perkara yang berubah. Dari kejahilan dan zulmat kini sudah dimenangi cahaya atau nur rahmat. Daripada hanya seorang yang biasa, kini sudah diangkat Tuhan menjadi manusia yang memberikan rahmat untuk sekalian alam. Yang dimaksudkan adalah Muhammad, anak Aminah dan Abdullah, cucu kepada Abdul Mutalib.

     Selepas ratusan tahun, beliau melakar kejayaan dakwah di muka bumi, kini urusan dakwah itu sudah berpindah tangan kepada para alim ulama dan khalifah Allah di muka bumi ini.

     Tatkala berlaku satu sesi taklim ilmu, seorang guru sedang memberikan pengajaran yang berhikmah kepada anak muridnya dengan lontaran soalan. Beliau bertanya, "Apakah yang paling jauh daripada kita?"

     Anak muridnya berebut menjawab.

     "Negeri China."

     "Angkasa raya."

     "Bulan."

     "Matahari."

     Si cendekiawan mengulum senyuman lalu berkata, "Benar, anakku. Jawapan kalian semuanya benar. Namun ada yang lebih tepat."

     Segera muridnya bertanya, "Apakah ia, guru?"

     Jawabnya ringkas, "Masa lalu kita."

     Kini zaman itu sudah berlalu, sudah terbentuk di dunia ini suatu kecemerlangan dan takdir yang indah. Tertegaknya sebuah empayar yang diredhai Tuhan. Sebuah empayar yang makin berkembang membawa panji agama yang benar dari langit.

     Seorang guru kelihatan sedang memberikan pengajaran kepada anak muridnya, masing-masing menumpukan perhatian yang sangat mengasyikkan. Seolah-olah mereka dipukau oleh kata-kata guru mereka.

     Pengajaran hari ini adalah mengenai Sirah Nabawiah atau sejarah hidup junjungan mulia Nabi Muhammad SAW.

     Si guru dengan bersemangat berpidato, "Selepas beliau dibawa pulang oleh Halimatun Saadiah dan suaminya ke pedalaman, Halimatun Saadiah yang pada awalnya hidup dalam keadaan serba kekurangan dilihat berkat dengan kehadiran putera kepada Aminah itu. Tanamannya menjadi subur, haiwa ternakan semakin sihat dan tidak putus-putus mengeluarkan susu. Muhammad yang semakin membesar juga hidup dengan aman dan bahagia bersama adik-beradik susuannya yang lain."

     "Selain keluarga Halimatun Saadiah, kaumnya juga menerima percikan berkat yang terlampias daripada anak kecil yang sangat tampan, Muhammad. Semua orang menyenangi dan meyayangi Muhammad, bahkan Halimatun Saadiah sendiri sentiasa melebihkan Muhammad daripada anak-anaknya sendiri."

     Si guru menyambung lagi, "Pada usianya lebih kurang dua tahun, suatu kejadian aneh berlaku. Saat Muhammad sedang bermain-main dengan saudara susunya, muncul dua sosok manusia berpakaian serba putih lantas membawanya pergi. Saudara susunya yang melihat kejadian itu berlari pulang dalam keadaan ketakutan serta melaporkannya kepada ibu mereka, Halimatun Saadiah."

     "Anak-anak yang berlari pulang kembali menceritakan kepada ibu mereka dalam keadaan cemas, ujar mereka dalam cemas, 'Ibu, Muhammad sudah diculik orang!'

     'Apa, benarkah tutur kamu?' gesa Halimatun Saadiah juga cemas.

     'Benar, sedang kami bermain-main, dua orang berpakaian serna putih datang mendapatkan Muhammad. Selepas bercakap-cakap seketika, Muhammad kelihatan mengikut mereka entah ke mana.'

     Halimatun Saadiah tidak keruan seketika. Bagi menyedapkan hatinya, dia berkata sendirian, 'Muhammad adalah sebaik-baik manusia, tidak mungkin Tuhan tidak menjaganya. Saya yakin apa yang berlaku adalah ketentuan Tuhan'."

     "Apa yang berlaku, guru? Apakah benar beliau diculik?"

     "Ya, beliau diculik. Namun yang menculik beliau bukan calang-calang makhluk kerana mereka adalah malaikat yang diarahkan oleh Allah bagi mencuci hati Nabi Muhammad."

     "Maksud guru? Mereka membasuh hati Nabi Muhammad? Bagaimana?"

     "Itu adalah mukjizat, anakku. Mukjizat itu hanya ada pada nabi-nabi dan rasul-rasul Allah. Mukjizat adalah perkara yang mencarikkan adat, tidak terdaya difikir dek akal namun tidak mustahil pada Allah."

     "Muhammad dibedah hanya menggunakan tangan, lantas dicuci hatinya dengan air suci dan sumur zamzam. Selepas itu Muhammad dihantar kembali ke rumah Halimatun Saadiah. Halimatun Saadiah segera memerika tubuhnya dan didapati tiada apa-apa kesan cedera ataupun kesan dibedah."

     "Berapa lamakah beliau tinggal bersama Halimatun Saadiah?"

     "Kira-kira lima tahun. Kemudian barulah Muhammad yang sudah besar itu kembali ke pangkuan bondanya, Aminah. Sebenarnya Halimatun Saadiah amat berat hati tatkala mahu melepaskan Muhammad kembali ke pangkuan keluarga kandungnya. Namun, saat kepulangan Muhammad ke kota Mekah amat dinantikan oleh ahli keluarganya terutama bondanya, Aminah. Tidak kurang yang sangat gembira adalah datuknya Abdul Mutalib dan sekalian pak cik dan mak cik serta sepupu-sepupunya."

     Selepas usianya mencecah enam tahun, ibunya Aminah membawanya ke Yathrib. Bersama mereka saat itu Ummu Aiman yang bertugas mengasuh beliau yang sudah berusia enam tahun."

     "Tujuan apa mereka ke sana, guru?"

     "Antara sebabnya adalah bagi menziarahi makam Abdullah dan pak cik sebelah ibunya yang berasal daripada bani an-Najjar. Selepas tinggal di sana beberapa bulan, mereka pun bersiap pulang ke kota Mekah semula."

     Tiba-tiba air muka si guru kelihatan berubah dan mendung sekali. Dadanya sedikit berombak. "Namun Allah sudah mentakdirkan perjalanan hidup Rasulullah dengan sebaik-baik perancangan."

     Suasana sunyi seketika.

     "Ada beberapa perkara berlaku semasa mereka di Yathrib."

     "Mengapa? Apakah yang terjadi, guru?"

     "Penduduk Yathrib sedikit gempar dengan kehadiran Aminah dan Muhammad. Ada antara mereka yang terpesona dengan kecantikan rupa paras puteri kaum Quraisy dan tidak kurang juga mereka yang terpegun melihat ketampanan putera Aminah, Muhammad."

     "Ada yang mula berbicara terutama daripada kalangan Yahudi yang menyedari bahawa anak itu adalah nabi akhir zaman yang disebut dalam kitab-kitab mereka. Pakatan penculikan Muhammad mula dibuat selepas menyedari kebenaran tanda-tanda kenabian pada Muhammad. Mereka mahu menculik lantas membesarkan Muhammad sebagai orang mereka. Mereka mahu Muhammad yang masih kecil dibesarkan dengan asuhan agama mereka. Mereka mahu membuat Muhammad melupakan asal-usul dan menyangka dirinya adalah seorang Yahudi."

     "Sehinggalah apabila dirinya dilantik menjadi nabi, menurut sangkaan orang Yahudi, Muhammad bakal menjadi nabi daripada golongan mereka. Yahudi percaya kepada nabi, namun atas sikap kesombongan dan keangkuhan yang bersifat kebangsaan, maka mereka dengan bongkaknya menafikan sesiapa sahaja yang dilantik menjadi nabi selain daripada kaum mereka sendiri."

     "Apakah mereka berjaya, guru?"

     "Mereka merancang, Allah yang maha perancang. Mereka merancang dengan baik, namun Allah terlebih dahulu merancang keseluruhan rancangan itu. Aminah sendiri dapat merasakan ada bahaya yang perlu mereka hadapi sekiranya tinggal lama di Yathrib. Aminah teringat kembali saat Halimatun Saadiah mengembalikan Muhammad kepadanya. Antara sebabnya adalah kerana Halimatun Saadiah khuatir kepada keselamatan Muhammad yang sering disangkanya sentiasa ada yang mahu menculik."

     "Aminah lantas mengambil keputusan bagi berangkat pulang ke kota Mekah dengan segera. Rombongan segera bertolak pada keesokan harinya. Sebelum itu Aminah dan Muhammad sempat melawat makam Abdullah buat kali terakhir."

     Si guru menghela nafas di hujung jeda sebelum kembali berbicara jelas. "Tanpa diduga, ujian besar sedang menanti Muhammad yang hanya berusia enam tahun kala itu."

     "Apakah yang berlaku seterusnya, guru? Apakah berlaku sesuatu yang buruk?"

     "Perkara yang tidak baik pada pandangan kita tidak semestinya tidak baik kepada kita manakala perkara yang baik pada perkiraan kita mungkin sahaja sebenarnya tidak baik untuk diri kita. Ya, Aminah diserang sakit secara mengejut saat mereka melewati perkampungan bernama Abwaa. Pada awalnya mereka sangka hanya sakit biasa dek amukan cuaca yang memanas, namun lama-kelamaan sakit Aminah semakin melarat dan semakin memberat. Sehingga saatnya, Muhammad berada di sisinya menyaksikan Aminah kembali kepada Tuhan dalam keadaan yang damai. Bolehkah anak-anak bayangkan perasaan si anak kecil yang baru berusia enam tahun pada ketika itu? Sesudah kehilangan ayahanda saat dirinya masih belum kenal siapa ayahandanya, lantas terbeban pula kehilangan bonda saat dirinya perlukan kasih sayang dan perhatian kedua orang tua."

     Air mata berguguran setiap kali kisah sejarah nabi junjungan besar akhir zaman ini dibaca dan dipedengarkan. Sekiranya dibandingkan dengan keagungannya, tidak selayaknya segala ujian dan cabaran yang dilaluinya.

     Namun, ini adalah suratan Ilahi. Semuanya diatur Allah sebagai pengajaran kepada umatnya.

     "Kisah cinta Aminah dan Abdullah, di sebalik kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad ini seharusnya dijadikan iktibar dan pengajaran buat kita. Cinta sejati dan hakiki serta kesetiaan dan pengorbanan yang menjadi latar kepada kelahiran beliau, wajar diberi perhatian."

     Para murid menekuni setiap butir kata guru mereka itu.

     Si guru menyambung lagi, "Bayangkan, perpisahan sebelum disatukan amat pedih dan perit, namun perpisahan sesudah dan selepas sejurus disatukan sebagai suami isteri lantas berpisah selama-lamanya semestinya lebih pedih dan memeritkan. Itulah kisah cinta suci Aminah dan Abdullah, ibu dan bapa kepada Nabi Muhammad."




P/S : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI-SRIKANDI YANG BENAR, DITULIS OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI. 

ALHAMDULILLAH, HABIS SUDAH CERITA AMINAH. BAHAGIAN KEDUA, IAITU FATIMAH, KISAH PUTERA NABI BAKAL MENYUSUL. SYUKRAN JAZILAN SIAPA YANG BACA :)

AMINAH [ BAB 17 - HALIMATUN SAADIAH ]




HALIMATUN SAADIAH


Kadang-kadang sahaja nurani dan sifat suci menang di dunia ini. Kebanyakannya dikuasai dan dimenangi serakah nafsu yang didalangi syaitan mahupun iblis. Kadang-kadang pula kesempitan hidup menghakis sifat nurani itu, lantas mendesak mereka yang nipis imannya bertindak di luar batas norma kemanusiaan.

     Rombongan wanita kampung yang datang ke kota Mekah bagi mendapatkan bayi-bayi bangsawan Quraisy hampir selesai menjalankan misi mereka.

     Salah seorang berkata, "Lihatlah anak yang diberikan kepadaku ini, bukan sahaja cantik rupa parasnya bahkan dia juga anak kepada bangsawan dan hartawan Quraisy. Saya pasti mendapatkan habuan yang lumayan kelak."

     Seorang lagi tidak mahu mengalah juga, "Apalah sangat bayimu itu sekiranya dibandingkan dengan anak yang menjadi kepunyaanku ini." Sambil beliau menunjukkan bayi dalam dukungannya, dia berkata, "Bukan sahaja sedap dipandang, malah orang tuanya juga adalah bangsawan Quraisy yang paling kaya. Lihat sahaja harta yang dihadiahkan mereka kepadaku, belum pun selesai tugas diberikan, upah sudah saya dapat."

     Beberapa yang lain kelihatan mencebik melihat perangai angkuh dan riak rakan mereka itu. Halimatun Saadiah yang masih bersama mereka tidak sedikit pun diberi perhatian. Dia juga tidak dapat berjalan jauh mencari ibu bapa bayi bagi disusukan kerana sibuk menenangkan anaknya sendiri yang menangis kelaparan.

     "Bersabarlah wahai anakku. Ibu sedang berusaha bagi mendapatkan sesuap rezeki untuk kita. Kamu juga berdoa dan ibu akan terus berusaha."

     Hiba menjelma dalam dirinya di hujung kata, kemudian dia terfikir, 'Nanti apa kata suamiku, apa pula kata orang kampung sekiranya saya pulang dengan tangan kosong. Saya pasti terus disindir dan dikeji sahaja.'

     Dirinya semakin resah. "Oh Tuhan, apakah perasaan ini? Dari manakah ia datang dan muncul, seakan tidak tertanggung kerinduan ini."

     Halimatun Saadiah kemudian mundar-mandir tidak tentu arah seketika sehingga dia terpandang rumah itu. Rumah yang sudah mereka singgah sebelum ini.

     Ya, rumah itu adalah rumah Aminah binti Abdul Wahab.

     "Apakah saya sudah jatuh hati kepada anak itu? Hati ini kuat membisikkan supaya saya kembali kepadanya. Namun adakah ruang bagi saya mendapatkan sedikit habuan. Bayi itu bukan sahaja yatim piatu, bahkan ayahnya meninggal dunia tanpa meninggalkan harta yang banyak. Apakah wajar saya menambahkan penderitaan ini dengan mengambil anak itu? Dengan unta dan kambing yang tidak cukup makan termasuk kami sendiri, bagaimana mungkin... bagaimana mungkin...."

     Seketika berkira-kira, Halimatun Saadiah menggagahkan diri melawan keinginan hatinya yang membara itu. Belum sampai beberapa langkah membelakangi kota Mekah bagi pulang semula ke kampung halaman, tiba-tiba dirinya seakan tersentak mendengar hatinya merontas keras. "Dapatkan anak itu, bawalah dia pulang bersamamu. Kamu sudah jatuh hati kepada kemuliaannya, apakah kamu tahu sekiranya ada keberkatan di sebalik pengambilan ini?"

     Halimatun Saadiah mendapatkan suaminya dan mereka berbincang panjang. Akhirnya, kata sepakat dicapai, mereka setuju mengambil Muhammad. Ketika itu, rombongan para wanita pedalaman itu sudah meninggalkan Halimatun Saadiah dan suaminya. Sedikit pun mereka tidak kisah dan bertanyakan sama ada Halimatun Saadiah mahu ikut mereka ataupun tidak.

     Halimatun menggumam dalam hati. "Biarkanlah, mereka tidak merasakan apa yang saya rasa. Lagipun suami saya masih setia di sisi, jadi tiada masalah walaupun yang tinggal hanya kami berdua."

     Halimatun Saadiah kemudian meminta izin suaminya bagi ke rumah Aminah. Sampai sahaja di sana, dia segera mengetuk pintu dan memanggil.

     Kedengaran suara dari dalam bertanya selepas terdengar ketukan daun pintu rumah itu. "Siapakah di luar, apakah maksud tujuan kamu ke sini?"

     Dalam keriangan Halimatun Saadiah menjawab, "Saya adalah Halimatun Saadiah, wanita dari pedalaman. Tujuan saya datang adalah kerana mahu menjemput tuan muda kembali ke kampung bersama saya. Saya sudah membuat keputusan mahu menyusukannya."

     Tanpa disangka, suara yang lembut tadi menjawab dengan nada yang agak keras. "Tahukah kamu, sebelum kamu datang sekalipun sudah ramai yang menolaknya kerana dia yatim dan fakir. Sesungguhnya kami sudah putuskan tidak memberikannya kepada sesiapa pun."

     Halimatun Saadiah tersentak selepas mendengar jawapan yang keras itu. Jantungnya mula menari rancak tanpa rentak yang teratur.

     Hatinya mengulum doa, tidak putus-putus. 'Oh Tuhan, saya bermohon janganlah ditarik kembali anugerah yang sudah hampir menjadi milikku ini. Saya bahkan merayu kepada Mu.' Dia kemudian menyampung pengharapannya itu. 'Sungguh saya amat rindukan si kecil itu, terbayang-bayang matanya yang cerah dan bersinar serta cahaya yang terpancar dari segenap wajahnya.'

     Halimatun Saadiah tidak berputus asa kerana dia yakin takdir Tuhan sudah menentukan yang bayi itu menjadi miliknya. Dia lantas bersuara lembut, "Wahai puan yang mulia, ketahuilah oleh kamu yang saya ini juga miskin dan fakir. Tidak ada kepentingan lain yang saya dambakan daripada kalian melainkan kerana rasa cinta dan kasih kepadanya saat pertama kali saya menatapnya. Saya yakin sememangnya saya ditakdirkan untuknya."

     Tanpa dapat menyeka rasa, Halimatun Saadiah menambah lagi tuturnya, "Saya yakin dan tahu puan juga yakin yang si kecil itu membawa banyak keberkatan dan saya tidak menyesal mengambilnya pulang."

     Masih tersisa akan Aminah kepedihan lantaran rombongan wanita yang menghina kemiskinannya. Fikirannya pantas melayang kepada suaminya, Abdullah.

     'Andai kanda ada, nescaya perkara ini tidak berlaku. Namun saya yakin Tuhan menciptakan kehidupan ini dengan penuh hikmahnya. Tentu ada perancangan yang lebih besar sedang menanti anak kita ini.'

     Aminah teringat kembali saat-saat yang dia lewati sewaktu mengandungkan Muhammad. Percaya ataupun tidak, tiada sakit, tiada pedih, tiada alahan sebagaimana wanita biasa. Malah sewaktu kelahirannya juga turut diiringi dengan kejadian-kejadian luar kebiasaan.

     Aminah berbisik kepada Barakah, "Wahai Barakah, pergilah kamu kepada Halimatun Saadiah. Bukakan pintu rumah kita kepadanya."

     Barakah kelihatan berat mahu melakukan suruhan itu. "Bukankah kita sudah bertekad tidak mahu menyerahkan anak puan kepada sesiapa?"

     "Pada mulanya ya, namun hati kuat saya mengatakan yang ini adalah takdir dan aturan Tuhan. Bagaimana mungkin seorang perempuan yang miskin dan fakir seperti Halimatun Saadiah sanggup mengambil Muhammad sedangkan dirinya sendiri sudah maklum yang kita tidak mempunyai apa-apa kemewahan."

     Mendengar jawapan itu, Barakah segera berlalu dan membukakan pintu kepada Halimatun Saadiah yang sudah menunggu sejak dari tadi lagi.

     "Silakan wahai Halimatun Saadiah, mungkin ada khabar gembira buat kamu di dalam sana."

     Halimatun Saadiah segera menerpa masuk seolah-olah tidak tertahan lagi gelora rindunya kepada si bayi. Segera dia menghadap Aminah dengan wajah yang penuh pengharapan.

     Halimatun Saadiah memulakan bicaranya, dalam getar rasa dia bersuara, "Wahai puan yang mulia, suatu penghormatan dan kemuliaan yang tinggi sekiranya puan sudi membenarkan putera tunggal rumah ini disusukan saya. Tiada lain yang dapat saya berikan melainkan sebuah janji. Janji bagi membahagiakan, memberikan kasih sayang, sepenuh perhatian kepada putera puan. Tahukah kamu yang saya sama sekali tidak tertahan mengenangkan kerinduan kepadanya. Kepada anak-anak saya sendiri, tidak saya rasakan begini. Mohon kepadamu berikan peluang ini, kepada kami yang fakir ini."

     Suwaibah yang masih berada di sana berharap supaya permintaan Halimatun Saadiah itu ditolak Aminah. Dia lantas berkata, "Bukankah diri kamu sudah dipalingkan saat pertama melihatnya dan mengetahui kemiskinannya?"

     Halimatun Saadiah mengumpul semangat bagi menjawab tutur kasar itu. "Tidak dinafikan, namun cinta saya kepadanya saat itu adalah hakikat dan kebenaran."

     Suwaibah terus menggasak, "Bukankah kamu juga mempunyai hasrat dan cita-cita supaya anak yang disusuimu adalah anak kepada bangsawan Arab Quraisy yang mempunyai banyak harta dan dermawan?"

     "Tidak saya nafikan, namun itu dahulu. Kini saya sudah menerima apa yang Tuhan tentukan untuk diri saya. Dengan yakin dan ikhlas saya menerimanya dan pada Tuhan sahaja kebaikan dan keburukan yang saya terima. Hati saya kini membuak-buakkan cinta kepada bayi ini."

     Halimatun Saadiah kemudian memalingkan mukanya kepada Aminah seraya berkata, "Saya yakin, masih tersisa belas kasih dan ehsan Tuhan kepada saya walaupun wanita-wanita lain yang bersama saya sudah membawa semua bayi bangsawan dan hartawan. Tuhan memberikan kemewahan dalam bentuk dan cara lain kepada saya." Saat Halimatun Saadiah masih berbicara, tangannya didepakan bagi menyambut bayi itu ke pangkuannya.

     Bayi itu lantas disuakan ke dadanya bagi disusukan. Yang lain hanya memerhati dengan penuh soal kerana secara fizikalnya mereka semua tahu yang Halimatun Saadiah tidak mampu memberikan susu badan kepada anaknya sekalipun, inikan pula anak orang lain.

     Dalam debar Halimatun Saadiah memperjudikan rasa, tiba-tiba sebuah senyuman bahagia terukir pada wajahnya. Dia lantas memandang semua orang di dalam rumah itu.

     "Kamu semua lihat, betapa bayi ini sudah mendatangkan kebahagiaan dan kekayaan kepada saya. Sebaik sahaja dia menyusu dengan saya, susu yang kering juga menjadi subur. Bukan sahaja dia yang dapat minum sepuasnya, anak saya juga turut menerima tempias habuan ini."

     Pandangan Halimatun Saadiah terarah kepada Aminah sekarang. Kini sudah tiba masanya bagi dirinya mendapatkan kata dua. "Wahai puan yang mulia, mohon saya diberi peluang menjaga anak ini. Dengan izin Tuhan semuanya selamat, janganlah puan risau. Sekarang ini suami saya sudah berada di luar kota Mekah menunggu kehadiran saya. Sekiranya diizinkan, saya ingin membawa anak ini bersama segera supaya nanti sempat saya mengejar rombongan dan menunjukkan kepada mereka yang Tuhan lebih kaya dan perancangan Tuhan adalah yang terbaik. Tidak rugi sekiranya bersabar dan sesungguhnya Tuhan bersama orang yang sabar."

     Aminah mendengar dengan teliti dan perasaannya berbelah bagi. Anak kecil itu didukung kembali, kemas dan penuh kasih sayang. Namun jelas, pandangan itu adalah pandangan selamat tinggal. Halimatun Saadiah mengambil dan membalut tubuh anak itu dengan sehelai kain lantas menyerahkannya kembali kepada Aminah.

     Pelukan ärat itu belum dileraikan. Barakah yang melihat peristiwa itu sudah menumpahkan air matanya. Suasana menjadi hiba sejenak. Aminah mengucup kedua-dua belah pipi puteranya lalu ditatapnya anak itu sepuas-puasnya.

     "Persilakan wahai Halimatun Saadiah, semoga Tuhan merahmati kamu dan keluarga kamu. Semoga anak ini juga membawa kebahagiaan dan keberkatan kepada kamu."

     "Terima kasih, puan. Terima kasih. Hanya Tuhan saya yang dapat membalas jasa baik dan kepercayaan puan kepada saya. Percayalah yang Tuhan adalah sebaik-baik perancang, kita pasti berbahagia dengan keputusan ini nanti."

     Halimatun Saadiah segera berangkat pulang menuju ke tempat suaminya sedang menunggu. Mereka mahu mengejar rombongan wanita-wanita pedalaman yang lain pula.

     Sementara itu, Aminah kelihatan berduka di rumahnya apabila terpaksa berpisah dengan anakanda tersayang. Tambahan pula Aminah sudah kehilangan Abdullah beberapa lama dahulu.

     Aminah bermada, "Apakah ini juga perpisahan wahai anakku? Ayahmu yang bonda sangat cintai itu sempat bermadu kasih sejenak sahaja. Kamu juga begitu, sengkang masa yang tidak lama, kemudian kita sudah dipisahkan. Adakah ada peluang bagi melihatmu dewasa dan menggapai kecemerlangan hidup? Mungkin juga sudah sampai masa bonda menghadap Tuhan kerana tugas bonda menyampaikan kamu kepada dunia sudah selesai. Wahai anakku, sejak saat mengetahui bonda hamil, segalanya berlaku dengan luar biasa. Semoga Tuhan merahmati dan memberkati bonda dan memanjangkan usia bonda."

     Tatkala itu, suatu suara entah dari corong mana singgah di cuping telinga Aminah. "Mengapa kamu bersedih dengan ketentuan ini? Adakah kamu kira ini bukan urusan Tuhan? Adakah juga ini kali pertama seorang bayi daripada kaum Quraisy dihantar ke pedalaman bagi disusukan? Ya, sudah ramai yang sudah merasakannya dan ia adalah adat resam kaum Quraisy kota Mekah. Si bayi diutuskan ke sebuah taman yang indah permai, tempat di mana matahari terbit jelas kelihatan, bintang-bintang, dan rembulan penghias malam bersuka ria, tempat yang dibenarkan dan disucikan, tempat yang digantungkan kepada kekuatan agung yang menguasai seluruh alam." Aminah kembali tenang. Sedikit demi sedikit dia tenggelam dalam emosi. Oh, Muhammad.


====================


Halimatun Saadiah sedang menuju ke tempat suaminya menunggu. Pada badannya terikat sehelai kain yang berisi bayi. Itu adalah anak Aminah yang baru dia ambil dengan penuh pujuk rayu.

     Dari kejauhan terlihat suami Halimatun Saadiah yang setia menanti di samping unta betina mereka. Pandangannya tetap kepada Halimatun Saadiah yang sedang berjalan ke arahnya.

     Sejurus sampai, dia diperlihatkan bayi itu. Terkejut amat dirinya lantas berseru, "Demi Tuhan, tiada kekuatan dan daya terhebat melainkand daripada Tuhan sahaja. Ini adalah punca kerberkatan dan kebahagiaan yang Tuhan kurniakan kepada kita kelak. Ini adalah perniagaan yang tidak dirugikan, wahai Halimatun Saadiah.

     "Ketahuilah olehmu,