Thursday 20 April 2017

PERANG UHUD [ BAB 6 - OPERASI DI BAHRAN ]






OPERASI DI BAHRAN








Rabiul Akhir tahun ke-3 Hijrah

Selepas solat Subuh, Nabi Muhammad memimpin pasukan tentera Islam seramai 300 orang bagi menjalankan satu operasi di Bahran yang terletak di kawasan Hijaz. Operasi itu dilakukan kerana baginda mendapat laporan kafilah Quraisy telah membuat laluan baru ke Syam melalui kawasan Bahran. Mereka juga sering mengganggu penduduk di sepanjang laluan tersebut. Orang-orang Quraisy juga menghasut Bani Salim supaya memusuhi Nabi Muhammad.

     Kafilah dagang Quraisy terpaksa mengambil laluan di Bahran untuk pergi ke Syam kerana hanya kawasan itu yang masih selamat untuk dilalui. Sejak kalah dalam perang Badar, mereka tidak berani lagi mengambil risiko melalui jalan dalam kawasan Madinah kerana bimbang diserang pasukan peronda Islam. Selepas berlakunya Perang Badar, mereka lebih berhati-hati dengan orang Islam. Mereka sanggup melalui Bahran walaupun laluan itu sukar dan jauh.

     Selepas membuat persiapan, maka pasukan Madinah itupun berangkat ke Bahran. Nabi Muhammad melantik Ibnu Ummu Maktum sebagai pengganti untuk menjaga di Madinah.

     "Muhammad dan pasukan tenteranya sedang mara ke Bahran. Berilah cadangan apa yang harus kita lakukan?" tanya As-Salim, pemimpin Bani Salim yang mendiami kawasan Bahran.

     "Muhammad datang ke sini untuk berperang dengan orang Quraisy Mekah. Bukan untuk berperang dengan kita. Oleh itu, jangan diganggu kedatangan mereka," kata Jidan, seorang penduduk Bani Salim.

     Beliau sendiri berasa gementar untuk berdepan dengan pahlawan Islam yang dikatakan terlalu gagah dan berani di medan perang. Mereka tidak takut mati kerana mati di medan perang itu adalah syahid, balasannya syurga. Oleh itu, tentera Islam tidak pernah gentar apabila bertempur dengan musuh.

     "Jika kita tidak menghalang kedatangan pasukan Madinah itu, orang Quraisy akan menuduh kita bersubahat dengan musuh mereka. Akibatnya nanti mereka akan mengganggu kita. Siapa yang akan membantu?" tanya As-Salim pula. Dia sendiri dalam keadaan serba salah untuk membuat pilihan.

     "Jika kita berperang dengan pasukan Islam, apakah orang Quraisy akan membantu kita? Bukankah mereka baru saja dikalahkan dalam perang Badar. Sebab itu aku mencadangkan kita berdamai saja dengan Muhammad," kata Qayyum seorang lelaki yang alim di kalangan Bani Salim.

     "Aku bersetuju dengan cadangan itu kerana jika kita mengikat perjanjian damai dengan Muhammad, mereka akan melindungi kita. Itu yang mereka lakukan terhadap kabilah-kabilah yang mengikat perjanjian dengan mereka," sokong yang lain pula.

     Akhirnya mereka bersetuju berdamai dengan Nabi Muhammad. Apabila pasukan Madinah itu sampai di Bahran, mereka disambut baik. Malah As-Salim sendiri datang menghadap Nabi Muhammad lalu menyatakan kesediaan mereka untuk berdamai.

     "Wahai Muhammad, kami ingin berdamai dengan kamu. Kami berjanji tidak akan memerangi kamu. Tetapi kami tidak mahu dipaksa masuk Islam. Biarkanlah kami terus dengan agama kami," kata As-Salim.

     Permintaan itu dipersetujui oleh Nabi Muhammad dengan syarat Bani Salim membayar jizyah atau cukai perlindungan kerana mereka berada di bawah pemerintahan Islam. Bani Salim juga bersetuju membenarkan Nabi Muhammad berdakwah di kalangan orang Bani Salim dan mereka tidak boleh menghalang sesiapa hendak masuk Islam secara sukarela.

     Selepas mencapai kata sepakat maka diadakan perjanjian antara Nabi Muhammad dengan Bani Salim. Antara kandungan perjanjian itu, Bani Salim tidak membenarkan kafilah dagang Quraisy melalui kawasan mereka dalam perjalanan ke Syam. Nabi Muhammad dan pasukan tenteranya berada di Bahran sehingga bulan Jamadil Awal. Sepanjang masa itu mereka sempat berdakwah sehingga ramai orang-orang Bani Salim masuk Islam. Selama berada di Bahran juga kafilah dagang Quraisy tidak berani lagi melalui jalan tersebut. 

     Pada penghujung bulan Jamadil Awal tahun ke-3 Hijrah, Nabi Muhammad dan pasukan tenteranya selamat pulang ke Madinah.


OPERASI DI AL-QARADAH

Jamadil Akhir tahun ke-3 hijrah.

Musim sejuk telah berakhir dan musim panas sudah tiba. Kebiasaannya, apabila tiba musim panas, orang-orang Quraisy pergi berniaga di Syam. Tetapi sekarang laluan ke Syam telah disekat oleh orang-orang Islam.

     "Muhammad dan pengikutnya telah menyekat laluan kita ke Syam. Mereka mengadakan perjanjian dengan Bani Salim. Dengan adanya perjanjian itu kita tidak boleh melalui kawasan Bahran yang dikuasai Bani Salim. Jika keadaan ini berterusan kita tidak dapat lagi pergi berniaga ke Syam. Lalu apa lagi yang kita dapat selain kebuluran dan kemiskinan?" kata Safwan bin Umaiyah.

     "Salah kamu juga kerana memusuhi Muhammad dan pengikutnya. Sejak mereka berada di Mekah kamu memusuhi mereka dan sampai sekarang permusuhan itu semakin membara. Satu-satunya cara bagi mengatasi masalah ini adalah dengan berdamai dengan Muhammad," kata Al-Abbas.

     "Kami tidak akan berdamai dengan Muhammad kerana mereka sudah membunuh keluarga kami dan menyekat perniagaan kami. Satu-satunya cara bagi menyelesaikan masalah ini adalah dengan menyerang Madinah dan membunuh Muhammad," kata Safwan pula. Dendamnya kepada Nabi Muhammad tidak pernah reda. Malah semakin marak menyala.

     "Jikalau begitu yang kamu kata, aku lepas tangan. Buatlah apa sahaja yang kamu mahu," kata Al-Abbas dengan rasa kecewa.

     Safwan menuju ke Masjidil Haram untuk bertemu dengan Abu Sufian. Kebetulan beliau berada di situ.

     "Wahai sahabatku Abu Sufian, musim panas sudah tiba. Aku dan kawan-kawanku mahu membawa barang-barang dagangan ke Syam. Tetapi lalu sudah disekat oleh Muhammad. Apa yang harus kami lakukan?" tanya Safwan.

     "Mari kita perangi Muhammad. Itu sahaja cara untuk menyelesaikan masalah ini," kata Abu Sufian pula. Dendamnya terhadap Muhammad juga semakin membara. Baginya, berperang sahaja jalan penyelesainnya.

     "Kita baru sahaja dikalahkan dalam perang Badar. Berperang dengan Muhammad dan pengikutnya untuk kali kedua, kita mesti membuat persiapan yang secukupnya. Tetapi sekarang kita masih belum cukup kuat untuk mengalahkan mereka," kata Safwan.

     "Jika begitu apa perancangan kamu sekarang?" tanya Abu Sufian.

     "Kita mesti pergi ke Syam untuk berniaga. Hasil keuntungan perniagaan kita nanti dideramakn untuk membiayai perang melawan Muhammad. Kami juga akan membeli lebih banyak senjata dari Syam. Masalahnya sekarang, semua lalu ke Syam sudah disekat oleh orang Islam," jawab Safwan.

     "Ternyata aku lebih berpengalaman daripada kamu berkenaan perjalanan ke Syam. Sebab itu, sewaktu kami disekat oleh Muhammad di Badar, kami dapat melepaskan diri dengan melalui jalan yang belum pernah dilalui orang ramai," kata Abu Sufian dengan bangga.

     "Tunjukkan aku jalan itu. Kami akan ke Syam melalui jalan yang belum diketahui orang ramai itu," kata Safwan.

     "Aku tidak dapat bersama kamu ke Syam kerana banyak tugas di sini yang perlu aku lakukan. Sejak dilantik menjadi ketua, aku semakin sibuk sehingga tidak sempat lagi hendak berniaga. Bagaimana aku dapat menunjukkan kamu jalannya?" tanya Abu Sufian pula.

     "Tentu ada orang lain yang tahu jalan itu. Tunjukkan kami siapa orangnya supaya kami jadikan sebagai penunjuk jalan. Berapa saja upah yang dimintanya akan kami bayar," kata Safwan bersungguh-sungguh.

     "Cubalah kamu pujuk Al-Aswad bin Abdul Mutalib. Dia tahu jalan itu. Jika kamu pandai memujuknya pasti dia sanggup menjadi penunjuk jalan," jawab Abu Sufian.

     Safwan segera menemui Al-Aswad. Namun Al-Aswad berasa keberatan untuk membantu. Tambahan pula hatinya sudah cenderung untuk berhijrah ke Madinah dan memeluk agama Islam.

     "Aku tidak dapat membantu kamu. Tetapi aku boleh tunjukkan orang yang tahu jalan itu. Temuilah dia dan pujuklah dia," kata Al-Aswad.

     "Siapakah orang itu?" tanya Safwan.

     "Farrat bin Hayyan dari Bani Bakr. Dia tahu jalan itu," kata Al-Aswad.

     Safwan pergi ke perkampungan Bani Bakr untuk berjumpa dengan Farrat lalu memujuknya menjadi penunjuk jalan ke Syam melalui timur Madinah.

     "Jalan itu terlalu jauh dan sukar. Kita terpaksa melalui kawasan Iraq dan menyisir kawasan tepi pantai," kata Farrat seperti keberatan untuk menerima tawaran tersebut. 

     "Berapa upah yang kamu minta kami sanggup membayarnya. Perjalanan itu sangat penting kepada kami," pujuk Safwan dan akhirnya Farrat bersetuju.

     Perbualan mereka didengar oleh Nu'aim bin Mas'ud yang ketika itu belum masuk Islam. Kemudian Nu'aim menceritakannya kepada Salith bin An Nu'man yang telah menjadi pengikut Nabi Muhammad tetapi masih secara rahsia. Apabila Salith mendapat maklumat itu lalu disampaikannya kepada Nabi Muhammad.

     Rasulullah segera membentuk pasukan tentera seramai 100 orang dan melantik Zaid bin Harithah sebagai ketuanya. Walaupun jumlah mereka kecil, namun mereka dilengkapi dengan cukup peralatan senjata dan haiwan tunggangan. Mereka diperintahkan pergi menyekat kafilah dagang Quraisy di suatu tempat bernama Qaradah yang terletak dalam wilayah Najd.

     Apabila pasukan tentera Islam sampai di tempat itu, Zaid bin Harithah menyuruh Salith dan Malik pergi mengintip kafilah Quraisy. Tidak lama kemudian kedua-duanya datang membuat laporan.

     "Kafilah dagang Quraisy itu membawa seratus ekor unta yang sarat dengan muatan. Mereka dikawal oleh 200 tentera berkuda Quraisy. Sekarang mereka sedang berehat," kata Malik melaporkan.

     "Aku ada satu cadangan. Itu pun jika mendapat persetujuan daripada ketua kita," kata Salith pula.

     "Sila beritahu apa cadangan itu?" tanya Zaid bin Harithah.

     "Kafilah Quraisy itu hanya bergantung pada Farrat bin Hayyan sebagai penunjuk jalan. Jika Farrat tidak ada, mereka akan sesat dan terpaksa pulang semula ke Mekah. Oleh itu saya mencadangkan kita culik Farrat," jawab Salith.

     Zaid bin Harithah bersetuju dengan cadangan itu. Salith ditemani Malik dan Abu Salamah pergi ke kawasan air Qaradah.

     "Kamu berdua tunggu di sini. Biar aku menemui Farrat seorang diri. Kemudian aku akan mengajak dia minum arak di sini. Selepas dia mabuk kita tangkap dia," kata Salih mencadangkan.

     Malik dan Abu Salamah bersetuju dengan cadangan itu. Salith segera menemui Farrat yang sedang mandi di sebuah kolam air di Qaradah.

     "Bagaimana kamu boleh sampai ke sini?" tanya Farrat hairan.

     "Aku juga dalam perjalanan ke Syam tetapi dalam kafilah lain. Kami membawa banyak arak untuk dijual di Syam. Arab buatan kami itu sangat bagus. Alangkah enak jika kamu meminumnya selepas mandi," kata Salith lalu memujuk Farrat menerima pelawannya.

     Farrat akhirnya bersetuju dengan pelawaan Salith tanpa berasa curiga. Apabila sampai di tempat yang dijanjikan maka Malik dan Abu Salamah menangkap Farrat lalu dibawa berjumpa dengan Zaid bin Harithah.

     Safwan dan anggota kafilahnya menjadi kelam kabut dengan kehilangan Farrat. Mereka tidak dapat meneruskan perjalanan tanpa penunjuk jalan. Mereka terpaksa menunggu di situ dengan harapan Farrat akan muncul. Tiba-tiba mereka diserang oleh pasukan tentera Islam. Serangan mengejut itu membuat pasukan pengawal kafilah dagang Quraisy itu ketakutan lalu lari lintang pukang menyelamatkan diri.

     Safwan juga terpaksa lari menyelamatkan diri dengan meninggalkan banyak barang dagangan. Semua harta rampasan perang itu dibawa pulang ke Madinah.

     Rasulullah mengambil satu per lima daripada harta rampasan perang itu untuk dibahagikan kepada fakir miskin. Selebihnya, baginda membahagikannya kepada setiap anggota tentera yang mengambil bahagian. Mereka mendapat pembahagiaan sama rata. Farrat akhirnya masuk Islam di hadapan Rasulullah.

     Safwan dan anggota kafilah dagangnya selamat sampai ke Mekah.

     Dia mengumpulkan pemimpin-pemimpin Quraisy lalu berkata, "Semua barang dagangan kepunyaan aku dan barang-barang yang tuan-tuan titipkan kepada aku semuanya sudah dirampas oleh Muhammad dan para pengikutnya. Mereka juga menyekat semua laluan ke Syam. Kita tidak ada pilihan selain berperang dengan mereka habis-habisan. Peperangan kali ini akan menentukan masa depan kita. Jika kita kalah maka musnahlah masa depan kita. Kita mesti membuat persiapan untuk memenangi peperangan kali ini," kata Safwan.

     Semua yang hadis bersetuju dengan cadangan Safwan. Mereka membuat persiapan bagi menyerang Madinah.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

MANFAAT DAN KELEBIHAN DOA IBU






MANFAAT DAN KELEBIHAN DOA IBU








Doa Ibu seperti Doa Nabi untuk Umatnya

Ada hadis yang menyatakan, ibu yang mendoakan kebaikan dunia dan akhirat anaknya, sama dengan nabi yang mendoakan kebaikan untuk umatnya. Nabi Muhammad berkata:

     "Doa orang tua untuk anaknya sama dengan doa nabi untuk 
     umatnya." (Hadis laporan ad-Dailami)

Quran menjelaskan pengalaman para nabi dalam menyebarkan agama Islam. Ramai orang pada waktu itu enggan mengikut petunjuk dan ajaran nabi, malah mereka menentang dan mengancam hendak membunuh para nabi dan rasul. Sewaktu para nabi berada dalam keadaan terdesak ataupun terperangkap, mereka memohon dan mengadukan masalah kepada Allah dengan berdoa. Mereka meminta Allah memberikan pengajaran ataupun menurunkan azab kepada orang yang melampau batas. Apabila para nabi memanjatkan doa mereka, Allah pasti mendengar dan mengabulkannya. Dengan itu, terjadilah kedahsyatan luar biasa daripada doa itu.

     Nabi Nuh pernah berdoa kepada Allah dengan bersungguh-sungguh dan memohon supaya beliau mampu mengalahkan kaumnya yang zalim. Nabi Nuh berdakwah selama 950 tahun namun kaumnya masih enggan mengikutnya. Mereka tetap mengingkari semua ajarannya. Nabi Nuh berasa sedih dengan sikap kaumnya itu. Allah mengabulkan doa Nabi Nuh dengan menurunkan badai yang dahsyat, yang membinasakan kaumnya, Nabi Nuh dan beberapa orang pengikutnya yang beriman sahaja yang terselamat.

     Nabi Ibrahim pula berdoa semoga Allah mengurniakan anak yang soleh kepadanya. Beliau menginginkan anak yang taat dan mendirikan solat serta keturunan yang dapat menjadi pemimpin umat. Allah mengabulkan doa Nabi Ibrahim dengan kelahiran anaknya, Ismail. Keturunan Nabi Ibrahim adalah orang beriman yang menegakkan solat, termasuk Nabi Muhammad. Sungguh luar biasa dahsyatnya doa Nabi Ibrahim hingga daripada keturunannya, lahirlah pemimpin besar daripada kalangan para nabi dan rasul.

     Nabi Zakaria adalah seorang lagi nabi yang menginginkan keturunan. Tambahan pula, usianya sudah lanjut dan isterinya pula mandul. Beliau bimbang tidak ada orang yang bakal meneruskan perjuangannya. Dalam kesunyiannya, Nabi Zakaria berdoa dan memohon Allah mengurniakan anak kepadanya. Sesungguhnya, Allah berkuasa atas segala sesuatu dan dengan kuasa serta izinnya, doa Nabi Zakaria termakbul. Begitulah dahsyatnya kekuatan doa.

     Bagaimana pula dengan Nabi Muhammad? Nabi Muhammad adalah pemimpin umat yang diutuskan oleh Allah sebagai rahmat bai seluruh alam. Nabi Muhammad tidak pernah berdoa dan meminta Allah membinasakan sesuatu kaum walaupun beliau mampu melakukannya. Dalam salah satu usaha dakwahnya, nabi mengajak penduduk Thaif beriman dan menyembah Allah tetapi mereka menolaknya. Mereka juga mencaci dan menyerang nabi dengan membaling batu kepadanya hingga beliau tercedera. Malaikat yang melihat kejadian itu berasa sedih dan hiba hingga malaikat menawarkan hendak membantu nabi dengan menimpakan gunung ke atas penduduk Thaif. Namun dengan tegas Nabi Muhammad menolak tawaran itu dan berdoa dengan deraian air mata. Nabi memohon Allah memberi petunjuk kepada penduduk Thaif. Begitulah ketulusan hati seorang nabi akhir zaman.

     Sepanjang hidupnya, Nabi Muhammad tidak henti-henti merasa bimbang akan nasib umatnya. Kasih sayang beliau kepada umatnya begitu dalam hingga sewaktu beliau hampir meninggal dunia, perkataan, "Umatku, umatku..." Terus keluar dari mulutnya.

     Dalam suatu hadis, nabi menjelaskan perbezaan antara doa beliau daripada doa para nabi terdahulu. Nabi Muhammad tidak pernah mendoakan keburukan untuk umatnya dengan memohon azab menimpa mereka dengan segera. Sebaliknya, beliau mendoakan umatnya kelak memperoleh syafaatnya pada hari kiamat. Pada hari kiamat nanti, Nabi Muhammad berusaha menyelamatkan semua umatnya daripada azab api neraka walaupun iman mereka hanya sebesar biji sawi.

     Abu Hurairah melaporkan, Nabi Muhammad berkata:

     "Allah pasti mengabulkan doa setiap nabi yang mendoakan
     umatnya hanya dalam sekelip mata tetapi aku menundakan
     kemakbulan doaku supaya ia menjadi syafaat untuk umat-
     ku pada hari kiamat." (Hadis laporan Bukhari dan Muslim
     daripada Anas)

Apabila doa orang tua, baik ibu ataupun bapa disamakan dengan doa nabi untuk umatnya, ini bererti doa orang tua juga makbul. Dalam hal ini, kita perlu melihat sikap anak itu kepada orang tuanya dan sebaliknya. Apabila orang tua reda kepada anaknya, dia tentu mendoakan kebaikan anaknya di dunia dan akhirat. Apabila orang tua tidak reda kepada anaknya, dia mungkin mendoakan keburukan untuk anaknya, sama seperti nabi yang memohon Allah membinasakan kaumnya yang ingkar.

     Seandainya orang tua memiliki kasih sayang yang mendalam kepada anaknya, ia samalah seperti kasih sayang nabi kepada umatnya. Denga itu, tidak mungkin ibu bapa mendoakan perkara-perkara yang buruk untuk anaknya. Walaupun anaknya jahat dan kejam kepada dirinya, dia tetap mendoakan kebaikan untuk anaknya itu. Dia memohon Allah memberikan keampunan dan petunjuk supaya anaknya menjadi baik. Begitulah perasaan orang tua, lebih-lebih lagi ibu yang biasanya lebih menyayangi anaknya berbanding bapa.

     Seorang ibu yang arif tidak mendoakan keburukan untuk anaknya, walaupun anaknya tidak melayannya dengan baik. Walaupun anaknya bersikap tidak baik kepadanya, dia tetap berdoa kepada Allah dan memohon Allah mengampunkan anaknya selagi anaknya itu tidak musyrik.

     Apabila ibu dan bapa mengetahui kelebihan dan manfaat doa mereka, mereka perlu mendoakan kebaikan untuk anak-anak mereka, mudah-mudahan mereka mendapat kemuliaan di sisi Allah.


Doa Ibu Membawa Kemuliaan

Doa nabi untuk umatnya membawa keberkatan di dunia dan akhirat. Ibnul Mubarak pernah bermimpi bertemu Nabi Muhammad sewaktu beliau sedang mengerjakan ibadah haji. Dalam mimpinya, nabi meminta dia mengirimkan salam kepada seorang Yahudi yang bernama Bahram. Nabi mahu menyampaikan salamnya kepada orang Yahudi itu kerana Allah mewahyukan kepadanya berkenaan Bahram dan Allah mengasihinya. Ibnul Mubarak bermimpi hal yang sama sebanyak tiga kali.

     Selesai mengerjakan ibadah haji, Ibnul Mubarak segera mencari Bahram. Apabila dia menemuinya, dia memohon Bahram menceritakan kepadanya kejadian-kejadian penting yang berlaku dalam hidupnya. Ibnul Mubarak yakin ada sesuatu peristiwa yang berlaku yang menyebabkan Allah dan rasulnya mengasihi Bahram.

     Selesai sahaja Bahram menceritakan kisah hidupnya, ternyata dia adalah seorang yang suka menolong orang miskin tanpa mengira siapa pun orang itu. Pada suatu hari, seorang wanita datang ke rumahnya dengan niat hendak meminta sedikit makanan. Namun sebaik sahaja dia sampai ke hadapan pintu Bahram, hatinya berkata, "Aku ini seorang muslimah, pantang bagiku meminta-minta daripada orang kafir walaupun aku dan anak-anakku kelaparan." Wanita itu kemudian berulang-alik beberapa kali antara rumahnya dan rumah Bahram tetapi tidak jadi meminta apa-apa daripadanya.

     Bahram yang melihat wanita itu menjadi gelisah. Dia berfikir mungkin wanita itu ada niat jahat kepada dirinya. Jadi, apabila wanita itu mula beredar dari hadapan rumahnya. Bahram mengikutnya secara senyap-senyap. Ternyata, wanita itu pulang ke rumahnya dan Bahram melihat anak-anak perempuan itu menangis dan merintih menahan lapar. Menyaksikan keadaan itu, Bahram segera pulang ke rumahnya dan mengambil makanan. Dia memasukkan banyak makanan ke dalam sebuah guni dan memikul guni itu sendiri ke rumah wanita itu.

     Selepas Ibnul Mubarak mendengar kisah itu, dia pun menyampaikan salam nabi kepadanya. Bahram berasa begitu gembira. Dia terus sujud dan mengucapkan dua kalimah syahadat. Lama sekali Bahram sujud hingga Ibnul Mubarak menggerakannya. Betapa terkejutnya Ibnul Mubarak mendapati Bahram sudah meninggal dunia. Sejurus itu, dia segera menguruskan pengebumian Bahram mengikut cara Islam. Beberapa hari kemudian, Ibnul Mubarak bermimpi melihat Bahram di syurga.
  
     Doa Nabi Muhammad mendatangkan keberkatan kepada Bahram dan Allah memberikannya hidayah, Bahram yang tulis ikhlas mengetuk pintu langit hingga Allah memperkenankan rasulnya menyampaikan salam kepadanya. Dari sedekahnya itulah, Bahram memperoleh kedudukan yang mulia di sisi Allah dan mati dalam keadaan beriman. Begitu juga dengan doa orang tua untuk anaknya yang membawa keberkatan hidup di dunia dan akhirat.

     Dalam Quran, tercatat doa-doa daripada wanita solehah. Contohnya, doa Aisyah yang memohon istana di syurga dan doa Hanah, ibu Maryam sewaktu mengandungkannya. Hanah binti Faruq adalah isteri kepada Imran dan ibu kepada Maryam. Apabila beliau mengetahui dirinya mengandung, beliau memanjatkan doa kepada Allah. Hanah memohon anaknya kelak menjadi orang yang berbakti kepada Allah dan mendapat kedudukan yang mulia serta memperoleh perlindungan Allah sepanjang hidupnya.

     Allah mendengar doa Hanah dan mengabulkannya. Walaupun anak yang dilahirkan itu adalah perempuan. Hanah dan suaminya menjaganya dengan penuh kasih sayang dan mengharapkan anak itu kelak berbakti kepada Allah. Berkat doa dan didikan yang sempurna, Maryam menjadi wanita yang suci di seluruh alam. Hanah adalah wanita yang patut menjadi teladan kepada semua ibu dan Maryam adalah wanita mulia yang lebih mulia kedudukannya daripada kaum lelaki.

     Allah berkata:

     "Sesungguhnya Allah memilih Adam, Nuh, keluarga
     Ibrahim dan keluarga Imran melebihi semua orang lain
     pada zamannya sebagai keturunan yang mulia. Allah maha
     mendengar lagi maha mengetahui." (Surah Ali Imran, ayat 
     33 hingga 34)


Doa Ibu Dapat Menolak Fitnah

Ummu Rumman adalah ibu yang bahagia kerana puteri kesayangannya, Aisyah disunting oleh lelaki pilihan Allah iaitu Nabi Muhammad. Dengan demikian, Aisyah mendapat kedudukan yang tinggi sebagai isteri seorang utusan Allah yang mulia.

     Sebagai manusia biasa, kedudukan Aisyah yang mulia itu tidak terlepas daripada fitnah orang yang dengki kepadanya dan memusuhi Nabi Muhammad. Kedudukan Aisyah sebagai isteri Nabi Muhammad memang berat. Beliau terpaksa menghadapi penderitaan demi penderitaan dalam usaha menegakkan syariat Islam. Aisyah juga perlu membuktikan dirinya sebagai Ummahatul Mukminin.

     Aisyah menghadapi semua cubaan dengan iman yang mantap. Beliau juga perlu sentiasa berwaspada dengan musuh, baik musuh yang berada dalam dirinya sendiri iaitu hawa nafsu mahupun musuh yang terdiri daripada orang lain.

     Aisyah pernah mengalami suatu ujian yang berat iaitu fitnah. Musuh Allah melemparkan fitnah ke atas Aisyah dengan mengatakan Aisyah melakukan perbuatan yang terkutuk. Akibat berita dusta itu, ramai orang mula memandang keji dan hina kepadanya malah sebahagian kaum muslimin turut terpedaya dan mempercayai fitnah itu. Ibu Aisyah, Ummu Rumman tidak dapat menahan kesedihannya dalam hal itu. Ibu mana yang tidak sedih dan terluka apabila anak kesayangannya yang baik dan mulia diperlakukan sedemikian. Aisyah sendiri begitu tertekan hingga beliau tidak mahu keluar dari rumah. Aisyah mengurung dirinya di dalam bilik dan menangis hingga berhari-hari lamanya.

     Dalam kesedihan yang mendalam, Ummu Rumman akhirnya pengsan kerana tidak mampu lagi menahan perasaan. Beliau tidak berdaya menghadapi fitnah yang jahat itu. Selepas beliau sedar daripda pengsannya, Ummu Rumman bermunajat dan memohon Allah menyelamatkan puteri kesayangannya.

     Allah mengabulkan doanya dan dengan itu, Aisyah bebas daripada tuduhan keji itu. Allah menurunkan wahyu dan menjelaskan apa sebenarnya yang terjadi. Sesungguhnya, fitnah itu adalah dusta semata-mata dan orang yang melakukannya adalah Ubay bin Salud iaitu orang munafik.

     Kemuliaan Aisyah dan kedudukannya yang tinggi sebagai isteri rasul tidak dapat dijatuhkan oleh manusia yang jahat dan berhati busuk. Nabi Muhammad berasa lega dan gembira dengan turunnya wahyu yang membersihkan nama isterinya itu. Begitu juga dengan semua kaum muslimin. Allah juga memerintahkan orang muslimin menghukum orang yang menyebarkan berita fitnah itu.

     Berbahagialah Aisyah kerana memiliki seorang ibu yang menyayanginya. Berkat doa ibunya, beliau terlepas daripada badai fitnah yang melanda. Kedudukannya sebagai Ummahatul Mukmin teruji dan ternyata beliau tidak goyah. Begitulah dahsyatnya doa seorang ibu.

     Allah berkata, "Sesungguhnya orang yang membawa berita bohong itu adalah daripada golongan kamu sendiri. Janganlah kamu mengira berita bohong itu buruk bagi kamu, ia sebenarnya baik bagimu. Setiap orang yang mengerjakan sesuatu pasti mendapat balasan atas apa yang dia kerjakan. Aku menyediakan azab yang besar bagi sesiapa yang mengambil bahagian dalam menyebarkan berita bohong itu." (Surah an-Nur, ayat 11)



Doa Ibu Membawa Keselamatan

Seorang lelaki soleh pulang dari Mekah dan bercerita mengenai seorang ibu yang berdoa memohon keselamatan untuk dirinya dan anaknya. Lelaki itu berkata, "Sewaktu aku sedang tawaf di Baitullah, aku terdengar suara seorang wanita sedang berdoa. Aku menoleh ke arah suara itu dan melihat seorang wanita muda sedang mendukung anaknya. Dia berdoa, 'Ya karim, ya karim. Ahdakal qadim'."

     Apabila aku bertanya kepadanya mengapa dia berdoa demikian, dia pun memberitahuku apa yang terjadi kepada dirinya dan anaknya. Rupa-rupanya wanita itu baru sahaja terselamat daripada ancaman yang membahayakan kehormatannya dan nyawa anaknya.

     Dalam sebuah laporan, Nabi Muhammad menceritakan bagaimana seorang anak terselamat daripada menjadi korban serigala. Daripada Ibnu Abbas, nabi berkata, "Seorang pengemis datang meminta sedikit makanan daripada seorang wanita yang sedang makan. Apabila wanita itu melihat pengemis itu datang kepadanya, dia tidak jadi menyuapkan makanan ke mulutnya. Dia memberikan semua makanannya kepada pengemis itu.

     Tidak berapa lama selepas kejadian itu, wanita yang memberikan sedekah itu melahirkan seorang anak lelaki. Apabila anaknya sudah boleh berjalan, dia keluar bermain-main. Tiba-tiba datang seekor serigala menerkamnya lalu melarikan anak itu ke dalam hutan. Wanita itu mengejarnya sambil memohon pertolongan daripada Allah, 'Anakku, anakku, ya Allah, selamatkanlah anakku!'

     Allah segera memerintahkan malaikat menyelamatkan anak wanita itu daripada menjadi korban seriga. Kemudian malaikat berkata kepada wanita itu, 'Allah menyelamatkan kamu dan Allah berkata inilah gantinya makanan yang engkau berikan kepada seorang pengemis dahulu'." (Hadis laporan Ibnu Misri)

     Selain daripada menunjukkan kedahsyatan doa ibu, hadis di atas turut menunjukkan bagaimana kebaikan hati seorang ibu yang suka bersedekah menjadikan doanya makbul.


Doa Ibu Membawa Husnul Khatimah

Ada seorang sahabat bernama Alqomah yang susah dalam menghadapi ajalnya. Dia terseksa dengan sakaratulmaut. Lidahnya kaku hendak mengucapkan kalimah 'Lailahaillallah' sedangkan dia adalah seorang yang soleh dan tekun beribadah. Dia rajin berpuasa, solat dan selalu bersedekah. Jadi mengapa dia terseksa dengan sakaratulmaut? Sebabnya adalah ibunya tidak reda kepadanya. Ibunya masih berasa sakit hati atas perbuatannya dahulu.

     Nabi Muhammad yang mengetahui hal itu melakukan muslihat dengan memerintahkan beberapa orang sahabat membuat persediaan bagi membakar Alqomah. Hati ibu Alqomah sedih dan pedih melihat mereka melonggokkan kayu bagi membakar anaknya. Ibunya bertanya kepada nabi, "Ya Rasulullah, apakah yang hendak engkau lakukan kepada anakku?"

     Nabi menjawab, "Aku hendak membakar anakmu kerana dia tidak mungkin dia meninggal dengan tenang sekiranya engkau tidak mahu mendoakannya!"

     Mendengar kata-kata nabi itu, ibu Alqomah segera menadahkan tangan ke langit dan berdoa, "Ya Allah, aku bersaksi kepadamu dan kepada kerasulan nabimu. Sesungguhnya aku ikhlas atas segala perbuatan Alqomah kepadaku. Semoga dia meninggal dunia dalam husnul khatimah!"

     Sebaik sahaja ibunya selesai berdoa, Alqomah dapat mengucapakan dua kalimah syahadat dengan lancar dan dia meninggal dunia dengan tenang. Berkat doa restu ibunya, Alqomah meninggal dunia dalam husnul khatimah.

     Salah seorang pelayan nabi adalah seorang pemuda Yahudi. Nabi berkali-kali mengajaknya memeluk Islam tetapi dia enggan. Hatinya masih belum terbuka mahu menerima hidayah Allah. Pemuda itu adalah seorang yang taat kepada kedua-dua orang tuanya. Bapanya masih hidup dan ibunya sudah meninggal dunia. Pada suatu hari, nabi mendapat berita pemuda itu sakit tenat lalu nabi segera pergi ke rumahnya. Apabila Nabi Muhammad tiba di rumahnya dan melihat keadaan pemuda itu, beliau tahu ajal pemuda itu sudah dekat. Nabi mencuba lagi mengajaknya memeluk Islam. Nabi berkata kepadanya, "Aslim, engkau masuklah Islam supaya selamat di akhirat kelak."

     Pemuda yang taat kepada orang tuanya itu menoleh ke arah bapanya. Kemudian, bapanya berkata, "Ikutlah saranan nabi, semoga engkau selamat, anakku." Pemuda itu pun terus mengucapkan dua kalimah syahadat dan sejurus selepas itu dia meninggal dunia. Nabi Muhammad keluar dan menemui orang ramai yang menunggu di hadapan rumahnya. Mereka semua menyayanginya dan mengharapkan dia meninggal dunia dalam agama Islam. Nabi berkata, "Alhamdulillah, dia selamat daripada seksaan api neraka."

     Kaum muslimin yang mendengar kata-kata nabi itu berasa lega dan gembira kerana pemuda itu meninggal dalam husnul khatimah. Keizinan memasuki agama Islam daripda bapanya adalah doa kebaikan untuknya. Dengan doa restu itulah, Allah berkenan memberikan hidayah iman ke lubuk hatinya hingga terbuka hatinya hingga terbuka hatinya menerima Islam.


Doa Ibu Membuka Pintu Rezeki

Nabi Muhammad banyak memberikan petunjuk kepada para sahabatnya supaya mereka sentiasa berdoa dan memohon Allah menunjukkan jalan rezeki. Nabi mengharapkan orang Islam bergiat dalam bidang ekonomi dan membawa manfaat kepada umat.

     Petunjuk orang tua kepada anaknya sama sepert petunjuk nabi kepada umatnya. Dalam hal ini, orang tua terutamanya ibu yang sering mendoakan kemurahan rezeki bagi anaknya telah dimakbulkan Allah. Apalagi, apabila anaknya itu taat kepada Allah dan rasulnya.

     Ada orang yang menyelesaikan masalah ekonomi ataupun rezeki dengan menziarahi makam-makam yang dianggap keramat seperti makam para wali. Mereka percaya makam-makam itu mampu menunjukkan jalan rezeki kepada mereka. Malah ada yang sanggup membelanjakan wang yang besar bagi menziarahi tempat seumpama itu. Pada masa yang sama, ada antara mereka tidak menghiraukan keadaan ibu mereka, sedangkan ibu adalah orang yang keramat bagi seorang anak.

     Ibu adalah sumber kemudahan hidup bagi setiap anak namun ramai orang tidak menyedari hal ini. Doa-doa yang ibu ucapkan untuk anaknya mampu menggoncang langit dan mengubah takdir di lohmahfuz. Doa-doa ibu berupaya mengelakkan malapetaka dan bencana serta membuka pintu rahmat Allah.

     Siti adalah seorang anak yang sentiasa memberikan perhatian kepada ibunya. Seringkali, perhatiannya kepada ibunya itu melebihi perhatiannya kepada anak-anaknya sendiri. Dia dengan sabar menjaga ibunya yang lanjut usia dan selalu sakit. Apabila ibunya semakin uzur dan tidak berdaya lagi hendak bangun, Siti tetap bersabar dan menjaga ibunya dengan penuh kasih sayang. Setiap hari, dia memberikan makan minum, memandikan dan membersihkan ibunya yang terlantar. Siti sentiasa berada di samping ibunya siang dan malam.

     Berlinangan air mata ibunya melihat kesabaran dan keikhlasan anaknya dalam menjaga dirinya yang uzur itu. Dalam hatinya, dia bersyukur kepada Allah kerana dikurniakan anak yang solehah. Ibunya berdoa, "Ya Allah, engkau berkatilah anakku apabila aku tiada lagi di dunia ini."

     Tidak lama kemudian, ibu Siti meninggal dunia. Siti rela dengan pemergian ibunya walaupun hatinya sedih dan sayu. Siti juga bersyukur kerana mampu menjaga ibunya dengan baik selama hidupnya walaupun apa yang dilakukannya itu tidak layak dibandingkan sama sekali dengan pengorbanan ibunya yang melahirkan dan membesarkannya.

     Siti hanya orang miskin. Suaminya bekerja mencari daun buluh di hutan dan kemudian menjualnya di pasar. Kehidupan mereka ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Setiap hari, mereka memperoleh sedikit wang hasil jualan daun itu sekadar cukup menampung kehidupan.

     Selang beberapa lama selepas ibunya meninggal dunia, kehidupan Siti mula berubah. Suaminya mampu mengumpulkan sedikit modal dan mereka membuka gerai menjual kuih di tepi tasik berdekatan rumah. Mereka memilih tempat itu kerana pada waktu petang ramai anak-anak muda datang bersantai di tepi tasik itu.

     Semakin lama, semakin ramai orang datang mengunjungi tasik itu. Tambahan pula, ada projek perumahan yang dibina berdekatan tasik itu. Di tepi tasik itu juga, ada taman bunga yang baru sahaja dibuka. Sekiranya dahulu, hanya anak-anak muda yang datang bersantai di tepi tasik itu, sekarang ramai ibu bapa datang membawa anak-anak bersiar-siar menghirup udara segar dan menikmati keindahan tasik dan taman bunga itu. Pada malam minggu dan hari cuti, tempat itu memang sesak dengan pengunjung. Perkembangan itu mendatangkan keuntungan yang lumayan kepada perniagaan Siti dan suaminya. Malah ramai orang yang membuka gerai di kawasan itu. Ada yang menjual rojak, soto, mi goreng, minuman dan pelbagai lagi.

     Kini, kehidupan Siti dan keluarganya lebih selesa berbanding dahulu. Anak-anaknya dapat meneruskan persekolahan hingga ke sekolah menengah. Dia juga mampu membesarkan rumahnya yang dahulu kecil bagaikan pondok. Dia turut membeli dua buah basikal bagi kegunaan anaknya dan dirinya sendiri.

     Begitulah luar biasanya doa ibu yang Allah makbulkan. Berkat kesabaran dan keikhlasan Siti menjaga ibunya, Allah murahkan rezekinya. Siti tidak perlu menziarahi makam para wali bagi mendapatkan rezeki itu. Apa yang dilakukannya adalah sering menziarahi kubur ibunya dan mendoakan keselamatan untuk arwah ibunya. Dengan itu, terbukalah pintu rahmat Allah untuknya.


Doa Ibu Menyihatkan Keluarga

Ibu adalah pemimpin dalam rumah tangga. Semua ahli keluarga pasti mencari ibu bagi menyelesaikan apa sahaja masalah mereka. Ibu juga adalah sumber kesihatan untuk keluarganya. Mari kita lihat hubungan antara kesihatan keluarga dan doa ibu.

     Manusia tidak boleh hidup tanpa air kerana air adalah sumber kehidupan. Quran menjelaskan, air hujan menghidupkan tanah yang mati. Apabila hujan turun, tumbuh-tumbuhan menghijau, haiwan menjadi riang, malah manusia turut gembira. Manusia mampu hidup tanpa makanan selama tiga hari tetapi tanpa air, manusia tidak dapat menahan hidup selama itu. Allah berkata, "Kami ciptakan segala sesuatu yang hidup daripada air."

     Seorang saintis Jepun dari Universiti Yokohama, Dr. Masaru Emoto membuat kajian ke atas air dan berjaya menemukan rahsia keajaibannya. Dr. Masaru menerangkan air itu sebenarnya hidup. Oleh itu ia dapat menerima mesej yang disampaikan kepadanya. Seluruh dunia kagum dengan hasil kajian Dr. Masaru. Sekali gus, ia mengungkapkan hikmah air dalam kehidupan dan membuktikan kebesaran Allah.

     Dalam penyelidikan, Dr. Masaru membekukan air hingga minum lima darjah celsius. Kemudian, dia mengambil gambar kristal air yang terbentuk dalam suhu itu. Hasil penelitian beliau diterbitkan di dalam buku best-sellernya iaitu The Hidden Message of Water, The True Power of Water dan The Secret Life of Water.

     Menurut Dr. Masaru, air terdiri daripada dua molekul iaitu pentagon dan heksagon. Dalam air biasa, gabungan itu membentuk H20 iaitu pentagon. Air heksagon pula adalah air yang murni. Struktur molekulnya mengandungi enam rangkaian molekul H20 iaitu (H20)6.

     Kandungan oksigen dalam air pentagon adalah sebanyak lima hingga enam ppm seliter manakala air heksagon memiliki sebanyak 10 hingga 12 ppm oksigen seliter. Air heksagon terdiri daripada kelompok molekul yang stabil dan oleh itu, ia mudah meresap ke dalam sel tubuh manusia. Ia mengandungi bekalan oksigen bagi mengaktifkan metabolisme sel.

     Dr. Masaru berkata, "Air heksagon sebenarnya adalah air murni yang ada di permukaan bumi sejak beribuan tahun yang lampau. Jumlah air ini semakin berkurangan kerana perbuatan manusia yang terus-menerus mencemarkan alam sekitar."
  
     Dr. Masaru juga mendapati wujudnya gelombang tenaga positif dan negatif yang berasal daripada air. Gelombang air itu bertindak balas dengan gelombang-gelombang lain yang ada di muka bumi dengan gelombang tubuh manusia. Dalam bahasa Jepun, gelombang itu dipanggil hado.

     Air memiliki kemampuan merakamkan hado yang terpancar daripada rasa syukur dan kasih sayang manusia hingga berlaku perubahan molekul pentagon menjadi heksagon. Beliau mengambil air dari Pulau Honshun dan mendoakan air itu mengikut cara agama Shinto. Kemudian, dia menyejukkan air itu hingga mencapai minus lima darjah celsius dan mengambil gambarnya menggunakan kamera berkelajuan tinggi. Hasilnya adalah gambar molekul air yang membentuk heksagon segi enam yang indah.

     Beliau mengulangi percubaan itu dengan berkata 'cinta' dan 'terima kasih' di hadapan air itu. Air itu membentuk kristal heksagon yang indah. Beliau mencuba lagi dengan menghadapkan air itu kepada huruf-huruf Jepun yang membentuk kata arigato. Hasilnya, air itu sekali lagi membentuk kristal heksagon yang indah.

     Selanjutnya, beliau menunjukkan kata-kata yang buruk iaitu 'syaitan' dan 'bodoh' kepada air itu. Hasilnya, ia membentuk kristal yang hodoh. Kemudian, Dr. Masaru memutarkan lagi simfoni Mozart. Kristal itu menjadi bentuk bunga. Sebaliknya, apabila muzik heavy metal dimainkan, kristal air hancur dan tidak memiliki sebarang bentuk.

     Dr. Masaru seterusnya membuat eksperimen dengan meminta 50 orang berdiri di hadapan sebotol air dan mereka menumpukan mesej keamanan kepada air itu. Hasilnya, kristal air berkembang membentuk cabang-cabang yang indah. Kemudian, apabila doa-doa Islam dibacakan kepada air itu, kristal heksagon terbentuk dalam bentuk segi enam dengan lima cabang daun yang berkilauan.

     Daripada hasil kajiannya, Dr. Masaru Emoto menyimpulkan air itu hidup. Air dapat mendengar, membaca tulisan dan memahami mesej. Apakah hubungan kajian itu dengan doa ibu dan kesihatan keluarga? Mari kita lihat perbincangan seterusnya.

     Ilmu pengetahuan membuktikan tubuh manusia terdiri daripada 75 peratus air. Otak manusia terdiri daripada 74.5 peratus air. Darah manusia terdiri daripada 82 peratus air dan tulang manusia pula terdiri daripada 22 peratus air. Tubuh kita mengandungi banyak air. Rahim ibu yang mengandungkan kita juga dipenuhi air.

     Dr. Masaru membuat senarai nilai hado yang terkandung dalam makanan, termasuk daging, sayur-sayuran dan buah-buahan. Daging itik memiliki hado yang mempunyai nilai anti tekanan dan kemurungan. Sebaliknya, daging babi memiliki nilai anti tekanan yang rendah. Sayur bayam dan buah kiwi memiliki nilai hado yang baik. Begitu juga dengan bawang putih. Kita dapat mengaitkan fakta ini dengan satu hadis yang menyatakan Nabi Muhammad pernah menggunakan bawang putih sebagai ubat.

     Apakah hikmah di sebalik penelitian Dr. Masaru Emoto? Ia menjelaskan kepada kita, sesungguhnya air mengandungi banyak hikmah. Oleh itu, kita melihat ramai orang menggunakan air dengan pelbagai keperluan, sama ada melalui cara yang benar ataupun tidak. Contohnya, air digunakan sebagai ubat pengasih, ubat bagi mendapatkan kerja, lulus peperiksaan dan sebagainya. Nabi Muhammad sendiri menggunakan air sebagai ubat. Nabi berkata, "Air zamzam mengandungi ubat kepada pelbagai jenis penyakit." (Hadis laporan Ibnu Majah)

     Air berfungi mengatur suhu tubuh, melancarkan peredaran darah, membuang racun dan sisa makanan, mengatur struktur dan fungsi kulit, membantu proses pencernaan, menjaga fungsi paru-paru, melindungi dan melicinkan gerakan sendi dan otot serta menyokong proses pemulihan.

     Apabila air yang masuk ke dalam tubuh kita adalah air pentaga, ia berbahaya. Ini kerana strukturnya susah larut dalam sel-sel tubuh dan darah. Dengan itu, kita perlu menggunakan air heksagon. Bagaimana caranya kita hendak mendapatkan air heksagon? Mudah sahaja. Sebelum kita meminum air ataupun menggunakan air bagi tujuan apa sahaja, kita berdoa semoga ia membawa kesejahteraan, kesihatan dan keselamatan untuk kita. Luar biasa, bukan?

     Ternyata kesucian doa yang memiliki kekuatan yang dahsyat mampu diterima oleh air. Terbukti, air yang didoakan mampu membunuh bakteria. Air dan doa adalah sumber kesihatan dalam kehidupan manusia. 

     Sesudah membaca penjelasan tadi, apakah yang terbayang dalam fikiran kita? Ibu adalah orang yang paling akrab dengan air di rumah. Bermula daripada memandikan anaknya, mencuci pakaian, memasak air, memasak nasi, sayur, membuat kuih, dan sebagainya. Semua itu memerlukan air.

     Dalam hal ini, ibu perlu berhati-hati dengan kandungan hado yang ada dalam makanan yang dimasak untuk keluarga. Semuanya bergantung pada perasaan dan ekspresi ibu sewaktu memasak makanan itu. Sewaktu ibu sedang memasak dan menyediakan makanan, iringilah pekerjaan itu dengan membaca doa ataupun berwirid. Dengan itu, air yang ada dalam masakan membentuk kristal heksagon yang mudah menyerap dalam sel-sel badan dan darah. Hado yang terkandung dalam air itu memberikan kesihatan untuk keluarganya.

     Sebaliknya, apabila ibu melakukan pekerjaan dengan perasaan marah, besar kemungkinan hado yang terkandung dalam masakan itu menjadi negatif hingga berbahaya kepada sesiapa yang memakannya.

     Bagi menghasilkan hado yang memiliki kekuatan positif, ibu perlu berdoa sebelum melakukan pekerjaan yang menggunakan air. Ini sesuai dengan sunah nabi yang menganjurkan kita memulakan sesuatu pekerjaan dengan kalimah 'Bismillah'.


Doa Ibu Sumber Kekuatan Batin

Pada asasnya, seorang anak sentiasa mengharapkan supaya apa sahaja yang dilakukannya mendapat restu daripada orang tua. Keredaan orang tua menjadi sumber kekuatan jiwa untuk anaknya terutama apabila mereka mempunyai pendirian yang berbeza dalam sesuatu perkara. Dengan keredaan itu, sikap berdikari wujud dalam diri anak. Orang tua yang bijak perlu memahami kesan positif ini. Seterusnya, anak juga perlu memahami setiap orang tua mahukan anaknya berjaya dan bahagia.

     Sikap menerima keputusan anak adalah pilihan orang tua dan dalam keadaan apa sekali pun, orang tua perlu mendoakan semoga apa yang anaknya putuskan itu berada pada jalan yang benar. Dalam hal ini, ada kalanya bapa bersikap agak keras tetapi ibu lebih lembut kerana biasanya ibu lebih mudah menerima dan mengenal karakter anaknya dengan lebih mendalam berbanding bapa.

     Quran menyebutkan suatu peristiwa sewaktu Nabi Sulaiman dan bapanya, Nabi Daud berselisih pendapat:

     "Ingatlah kisah Daud dan Sulaiman sewaktu mereka memberikan keputusan berkenaan tanaman yang dirosakkan oleh kambing-kambing kepunyaan kaumnya. Kami menyaksikan keputusan yang mereka berikan itu dan kami memberikan pengertian kepada Sulaiman berkenaan hukum yang lebih tepat. Kami juga memberikan kepadanya hikmah serta ilmu. Kami tundukkan gunung-gunung dan burung-burung, semua bertasbih bersama Daud dan kamilah yang melakukannya." (Surah al-Anbiyak, ayat 78 hingga 79)

     Menurut laporan Ibnu Abbas, terdapat sekelompok kambing yang merosakkan tanaman seorang petani pada waktu malam. Petani itu mengadukan kejadian itu kepada Nabi Daud. Nabi Daud memutuskan, kambing-kambing itu perlu diserahkan kepada petani itu sebagai ganti tanamannya yang rosak. Namun Nabi Sulaiman merasakan keputusan itu kurang adil. Oleh itu, Nabi Sulaiman mengusulkan suatu keputusan yang dirasakannya lebih adil untuk kedua-dua belah pihak.

     Keputusannya adalah kambing-kambing itu diserahkan sementara kepada petani itu bagi mengambil hasilnya iaitu susu dan bulu. Sementara si pemilik kambing perlu menggantikan tanaman yang rosak dengan tanaman baru. Apabila tanaman baru mengeluarkan hasil kelak, barulah pemilik kambing mengambil kambingnya semula.

     Demikianlah keputusan Nabi Sulaiman. Keputusannya tepat kerana dengan keputusan itu, kedua-dua belah pihak tidak kehilangan sumber mata pencarian. Nabi Daud menilai keputusan anaknya adalah lebih baik daripada keputusannya sendiri. Dengan itu, dia pun bersetuju dengan anaknya. Apabila bapanya bersetuju mengikut keputusannya, Nabi Sulaiman berasa gembira. Akhirnya, kedua-dua mereka berpuas hati dengan keputusan yang diambil.

     Nabi Sulaiman berasa gembira dan yakin pada dirinya sendiri apabila orang tuanya memberikan sokongan moral kepadanya. Beliau juga merasakan dirinya dihargai dan diberikan penghormatan yang tinggi. Atas sokongan bapanya, beliau mendapat kekuatan batin.

     Kisah di atas menunjukkan, secara fitrah, pendapat anak sering berbeza dengan pendapat bapa ataupun ibunya. Sikap bijak orang tua yang mahu mendengar dan seterusnya menerima pendapat anaknya adalah sikap yang baik dan terpuji. Dengan sikap itu, anak berupaya memupuk sikap berdikari dan tegas dalam dirinya. Anak turut merasakan kasih sayang orang tuanya dalam setiap langkah hidupnya.

     Kasih sayang orang tua bererti doa yang sentiasa menyertai anak dalam setiap langkahnya. Hubungan yang harmoni di antara ibu bapa dan anak terjaga dan keadaan inilah yang menjadi harapan semua orang. Apabila orang tua merestui anaknya dalam apa sahaja yang dilakukannya, secara automatik doa orang tua terutamanya doa ibu selalu mengiringi anaknya dalam pekerjaan yang bermanfaat di dunia dan akhirat.

     Bagaimana sekiranya keputusan anak tidak sesuai dengan ajaran Islam? Tentu tidak ada orang tua yang mahu anaknya mengikut jalan yang sesat apalagi terjerumus dalam kemusyrikan dan kekufuran. Apabila orang tua puas menasihatkan dan mengingatkannya, maka kewajipan orang tua sudah terlaksana. Anak yang tetap enggan mengikut nasihat orang tua adalah anak yang derhaka.

     Dengan demikian, kita dapat memahami maksud orang tua merestui anak dalam setiap langkahnya hanya dalam hal-hal kebaikan yang diredai Allah dan rasulnya. Ia tidak dinamakan keredaan orang tua, apabila merestui anaknya yang menjadi penjahat, penjudi, pemakan rasuah dan seumpamanya.

     Dalam kehidupan moden sekarang ini, kita sering melihat hubungan yang kurang mesra antara anak dan orang tua, lantaran perbezaan pendapat serta salah faham. Perkara itu tentu mengganggu keutuhan dan kedamaian keluarga.

     Salah satu sebab yang menimbulkan salah faham adalah berkenaan jodoh. Ada kalanya ibu tidak setuju dengan pilihan hati anaknya. Ia mungkin berlaku kerana perbezaan status, bangsa mahupun agama. Namun biasanya, akhirnya ibu tetap mendoakan kebahagiaan anaknya asalkan anaknya tetap berada dalam akidah Islam.


Doa Ibu Pintu Hidayah Sepanjang Zaman

Ibu adalah lebih mulia dan tinggi darjatnya berbanding bapa. Darjat ibu adalah tiga kali lebih mulia daripada bapa. Oleh itu, Nabi Muhammad memerintahkan kita supaya banyak berbakti kepada ibu.

     Seseorang pernah bertanya kepada Nabi Muhammad, "Ya Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak aku patuhi?" Nabi menjawab, 'Ibumu.' Orang itu bertanya lagi, 'Selepas itu, siapa lagi?' Nabi menjawab, 'Ibumu.' Dia bertanya lagi, 'Selepas itu, siapa?' jawab nabi lagi, 'Ibumu.' Orang itu bertanya lagi, 'Selepas itu, siapa?' Nabi menjawab, 'Ayahmu.'" (Hadis laporan Bukhari dan Muslim)

     Nabi mengingatkan:

     "Keredaan Allah itu bergantung pada keredaan ibu bapa
     dan kemurkaan Allah juga bergantung pada kemurkaan
     ibu bapa."

Apabila seorang ibu reda kepada anaknya, Allah juga reda kepadanya. Sebaliknya, apabila ibu tersinggung dan merasa sakit hati kepada anaknya, Allah membencinya dan menganggapnya anak yang derhaka.

     Anak yang taat kepada Allah dan rasul juga perlu taat kepada kedua ibu bapanya. Dia perlu berbuat baik kepada orang tua dengan sempurna sama seperti dia beribadah kepada Allah. Sikap yang baik perlu diutamakan kepada ibu kerana ibulah yang banyak menderita melahirkan dan membesarkan kita.

     Sepanjang hidupnya, perhatian dan kasih sayang kepada anaknya tidak pernah luntur oleh teriknya matahari, tidak pernah membeku oleh dinginnya salju, tidak pernah lenyap oleh kelam malam, tidak pernah kering pada waktu kemarau dan tidak pernah hancur oleh keganasan alam serta tidak pernah karam oleh dalamnya samudera. Seluruh jiwa dan raganya dikorbankan demi mengasuh dan membesarkan anaknya. Membimbing dan mendidiknya dengan penuh harapan dan doa siang malam, semoga anaknya selamat sepanjang hayatnya.

     Dalam hati, ibu selalu berdoa kepada Allah, "Ya Allah, semoga engkau berikan aku kekuatan dan ketabahan dalam menjaga amanah yang engkau berikan kepadaku. Semoga anakku kelak menjadi orang yang berbakti kepadamu, berguna kepada orang tuanya, kepada masyarakat, bangsa, negara dan agama." Itulah harapan dan doa ibu di seluruh dunia untuk anaknya.

     Iringan doa ibu sentiasa menyertai langkah-langkah anak sepanjang hidupnya, sejak dia lahir hingga ke ajalnya. Maka tidak berlebihan apabila kita mengatakan, sesungguhnya doa ibu untuk anak adalah pembuka pintu hidayah dan pengiring setiap langkah hidup anaknya.

     Allah berkata:

     "Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan
     tidak mengetahui sesuatu apa pun dan dia memberikan
     kepadamu pendengaran, penglihatan dan hati supaya kamu
     bersyukur." (Surah an-Nahl, ayat 78)

Allah menegaskan, apabila kita dilahirkan ke dunia ini, kita sama sekali tidak mengetahui apa-apa. Ibulah orang yang pertama menunjuk dan mengajarkan segala-galanya kepada kita. Semuanya ibu lakukan dengan landasan kasih sayang. Sebaik sahaja kita keluar dari perut ibu, kita menangis sekuat-kuatnya kerana berharap ada orang yang memberi petunjuk kepada kita dalam menjalani kehidupan yang asing di dunia ini.

     Kita menangis semahu-mahunya kerana kita mendapati diri kita dalam keadaan tanpa selembar benang pun menutupi tubuh. Ibulah orang yang pertama menunjukkan cara-cara menutup aurat dan memakaikan pakaian kita.

     Kita juga tidak tahu sama sekali ke mana arah hendak dituju dalam hidup ini. Ibu dengan segala kasih sayangnya menunjukkan jalannya kepada kita bagi mencari sumber rezeki. Dia membimbing kita menyusu dan menikmati rezeki yang halal, baik dan menyihatkan. Dengan itu, kita memahami rezeki yang perlu kita cari adalah rezeki yang baik dan halal.

     Begitulah seterusnya, hari demi hari, bulan demi bulan dan tahun demi tahun, ibu terus memberi petunjuk dan bimbingan kepada kita dengan penuh kasih sayang. Ibulah orang pertama yang menunjukkan cara-cara bagaimana menjalani hidup dengan baik. Ibu selalu mengiringinya dengan harapan dan doa semoga kita mendapat kebaikan dan keselamatan.

     Masihkah terbayang dalam fikiran kita, ayah mengajak kita pergi ke masjid menunaikan solat Jumaat? Ibu memandikan kita dan memakaikan pakaian yang bersih. Sewaktu kita hendak berangkat ke masjid, ibu mengiringinya dengan tersenyum bangga dan dalam hatinya, dia berdoa, "Ya Allah, semoga anakku menjadi orang yang taat kepadamu."

     Apabila kita pergi ke sekolah, ibu memberikan wang belanja dan dengan tersenyum ibu berdoa, "Ya Allah, semoga anakku kelak menjadi orang pintar dan mencapai kejayaan dalam hidupnya."

     Apabila kita pergi bermain, ibu berpesan supaya kita tidak berkelahi dengan kawan-kawan. Ibu berdoa, "Ya Allah, semoga anakku menjadi orang yang baik kepada sesiapa sahaja."

     Ke mana sahaja kita pergi, ibu bertanya, "Hendak pergi ke mana dan bila hendak balik?" Ke mana sahajaa kita pergi, ibu berdoa, "Semoga Allah memberikan keselamatan kepada anakku." Alangkah cemasnya hati ibu apabila kita lambat pulang. Dia terus-menerus berdoa, "Ya Allah, selamatkanlah anakku."

     Apabila kita jatuh sakit, bimbangnya ibu melihat keadaan kita. Dia berusaha menyembuhkan kita dengan segera dan tidak henti-henti berdoa, "Ya Allah, sembuhkanlah anakku, buah hatiku." Bahagianya hati ibu apabila melihat kita mulai sembuh.

     Apabila dewasa, kita mulai menjalani hidup dengan berdikari dan bertanggungjawab dalam kehidupan sendiri. Semua bekal yang ibu tunjukkan sejak kecil mula kita praktikkan dalam hidup kita. Mungkin ibu sudah tidak lagi mengurus kita seperti kecil dahulu tetapi dalam hal-hal tertentu, kita masih memerlukan bantuan ibu dan mengharapkan doa ibu. Ibu juga berharap apa sahaja yang kita lakukan mendatangkan kebaikan kepada diri kita.

     Sewaktu kita memohon pekerjaan, ibu mendoakan, "Ya Allah, semoga anakku mendapat pekerjaan yang dipohonnya." Sekiranya kita gagal dalam sesuatu hal, ibu memberikan dorongan dan semangat serta berdoa, "Ya Allah, berikan jalan keluar yang baik untuk anakku supaya dia berjaya mencapai cita-citanya."

     Menjelang tiba waktunya kita mendirikan rumah tangga, ibu berdoa, "Ya Allah semoga anakku mendapat jodoh yang baik." Begitulah seterusnya doa ibu sellau mengiringi perjalanan hidup kita.

     Itulah sebabnya Allah memerintahkan supaya setiap anak berbuat baik kepada orang tuanya dan bersyukur atas segala petunjuk dan bimbingannya hingga kita dapat hidup secara berdikari dan bertanggungjawab. Jangan sekali-kali membuatkan hati ibu terluka. Ia akan menutup jalan petunjuk Allah dan mendatangkan malapetaka kepada kita.

     Ali bin Abu Talib merekodkan, "Aku mendengar Nabi Muhammad berkata, 'Aku berlepas diri daripada orang yang tidak memenuhi hak kedua-dua orang tuanya.' Aku bertanya, 'Ya Rasulullah, bagaimana sekiranya orang itu tidak memiliki apa-apa yang dapat diberikan kepada orang tuanya?' Nabi menjawab, 'Apabila mendengar kata-kata orang tua, jawablah, 'Aku dengar dan aku taat, jangan berkata 'ah' dan jangan membentak mereka dan katakanlah kata-kata yang baik.'"

     Dalam perjalanan hidup kita, walaupun kita berada jauh daripada pandangan ibu, sesungguhnya pandangan hati ibu lebih dekat kepada anaknya dibandingkan hati anak kepada ibunya. Titisan air mata ibu berderai dan dadanya sebak apabila dia mendengar kesedihan anaknya. Dia bersusah payah berusaha bagi meringankan beban anaknya walaupun terpaksa mengorbankan harta dan jiwa. Doanya tidak perlu dipinta.

     Banyak kisah yang menceritakan kegigihan ibu yang berusaha supaya anaknya kembali ke jalan yang lurus dan memperoleh kebaikan serta keberkatan Allah. Di bawah ini, ada dua kisah benar berkenaan kesabaran dan kegigihan ibu yang mendoakan anak mereka yang derhaka.

     Amar adalah anak ketiga daripada tujuh orang bersaudara. Dia adalah anak ibunya yang daripada suami pertama sedangkan enam orang adiknya adalah hasil perkahwinan ibunya dengan suami kedua. Amar memperoleh harta peninggalan bapanya yang lumayan iaitu sebidang tanah yang luas. Namun Amar bukanlah anak yang baik. Dia suka berjudi, minum minuman  keras dan berfoya-foya dengan perempuan. Pada usia yang masih muda, Amar sudah berkahwin dan bercerai sebanyak tiga kali.

     Tanah pusaka peninggalan bapanya habis dijual dan wangnya digunakan bagi berseronok. Apabila wangnya habis, dia meminta pula daripada ibunya. Pada suatu hari, dia hendak mencederakan ibunya kerana tidak dapat memenuhi permintaannya. Nasib baik, jiran tetangga mendengar jeritan ibu Amar yang meminta tolong. Mereka segera menyelamatkannya.

     Dalam hatinya, ibu Amar berdoa, "Sekejam manapun anakku pada diriku, dia tetap darah dagingku. Aku tidak wajah menyumpahnya. Aku berharap semoga Allah memberikan hidayah kepada anakku supaya dia menyedari semua kesalahannya."

     Doa ibu Amar ternyata mustajab. Kini dalam usia 40 tahun, Amar menjadi seorang suami dan bapa yang bertanggungjawab. Di pangkuan ibunya, Amar memohon keampunan atas segala kesalahannya dahulu. Ibunya bersyukur kerana akhirnya Amar mengubah kelakuannya dan menjadi orang yang baik. Demikianlah kesabaran dan ketabahan seorang ibu dalam menghadapi anak yang bermasalah hingga anaknya mendapat hidayah daripada Allah berkat doanya.

     Satu lagi kisah adalah berkenaan kejayaan seorang ustaz muda yang bernama Jefri al-Bukari. Tidak ada sesiapa yang menyangka, dahulu dia seorang penagih dadah. Pada waktu itu, ibunya sentiasa tertekan memikirkan keadaan anaknya yang tersesat jalan. Malah Jefri pernah menyerang ibunya dengan parang sewaktu dia khayal akibat pengaruh dadah.

     Ibunya menyedari masalah Jefri bermula daripada pergaulan yang salah. Dia berkawan dengan budak-budak jahat yang mempengaruhinya. Ini kerana ibunya mendidik Jefri dengan sempurna sejak kecil. Ibunya memberikan pendidikan agama yang baik kepadanya, termasuk mengajarnya mengaji dan solat. Malah, apabila Jefri lambat bangun pagi dan solat subuh, ibunya menyiramnya dengan air.

     Sejak Jefri terlibat dengan gejala dadah, ibunya berusaha bermacam-macam cara bagi menyembuhkannya tetapi tidak ada hasilnya. Akhirnya, ibunya tekad berangkat ke tanah suci pada bulan Ramadan bagi mengerjakan ibadah umrah dan berniat hendak mendoakan anaknya. Di tanah suci, ibu Jefri berdoa dengan bersungguh-sungguh kepada Allah semoga Allah berkenan menyembuhkan dan memberikan petunjuk kepada anaknya.

     Sungguh luar biasa, doa ibu Jefri segera terkabul dan menjadi kenyataan. Jefri berjaya mengatasi ketagihannya dan peribadinya berubah 100 peratus. Kini, dia dikenali sebagai ustaz muda yang suka membantu orang yang berada dalam kesusahan. Begitulah kesabaran dan kegigihan ibu yang tidak jemu mendoakan kebaikan untuk anak mereka.

     Sesungguhnya apabila seseorang anak berdukacita, ibunya yang merasakan kedukaan itu. Ibu berdoa siang dan malam memohon Allah melenyapkan kedukaan di hati anaknya. Apabila seorang anak mencapai kejayaan, ibu tersenyum bangga dan tidak mengharapkan sebarang balasan. Segala pengorbanannya dalam mendidik dan membesarkan anaknya dilakukan dengan seikhlas hati. Pada setiap waktu, ibu mendoakan anaknya, "Ya Allah, semoga anakku tetap berada dalam bimbinganmu dan perlindunganmu di dunia dan akhirat."

     Dengan itu, bersyukurlah atas segala kurniaan Allah dan hargailah segala pengorbanan ibu dengan menghormati, menyayangi dan bersikap baik kepadanya.

     Ya Allah, jadikanlah kami anak-anak yang mensyukuri segala nikmat yang engkau berikan dan mensyukuri segala petunjuk dan bimbingan orang tua kami sejak kami lahir hingga dewasa. Ampunkanlah segala dosa kami dan dosa ibu bapa kami. Sayangilah mereka sepertimana mereka menyayangi kami sewaktu kami kecil. Amin.









N / F : DARIPADA "DAHSYATNYA DOA IBU", OLEH SYAMSUDDIN NOOR.