Wednesday 12 April 2017

PERANG UHUD [ BAB 5 - PERANG GHATHAFAN ]






PERANG GHATHAFAN








Bulan Rabiul Awal tahun ke-3 Hijrah

Kaabah yang terletak di tengah Kota Mekah itu sentiasa dikunjungi manusia bagi mengerjakan haji dan umrah. Orang ramai tawaf mengelilingi Kaabah siang dan malam. Orang Arab Jahiliyah tawaf sambil bertelanjang. Manakala pengikut Muhammad tawaf dengan pakaian yang sopan dan menutup aurat.

     "Kenapa kamu biarkan pengikut Muhammad tawaf mengelilingi Kaabah sedangkan mereka bukan lagi menganut agama nenek moyang kita?" marah Al-Qamar penduduk Iraq yang baru sampai ke Mekah.

     "Mereka adalah pengikut Muhammad yang tidak sempat berhijrah. Biarkan sahaja mereka tawaf sebab kita tidak boleh menghalang sesiapa hendak bertawaf melainkan Muhammad. Jika dia datang aku yang akan membunuhnya," kata Abu Sufian.

     "Jika begitu kata kamu aku bersetuju. Harap-harap Muhammad akan datang ke Mekah untuk mengerjakan haji atau umrah. Kemudian kamu membunuhnya," kata Al-Qamar. Kedua-duanya sama-sama tertawa.

     Kemudian Al-Qamar segera berlalu. Tidak lama kemudian datang pulang kabilah dari Hijaz. Abu Sufian segera menyambut kedatangan mereka.

     "Selamat datang ke Kota Mekah wahai Dhu'tsur dari Bani Ghathafan, Al-Aswad dari Bani Tha'labab dan Kumair daripada Bani Maharib," kata Abu Sufian menyambut kedatangan ketua-ketua suku kaum dari tanah Hijaz itu.

     "Kami datang hendak mengerjakan umrah. Kami mendapat khabar, keadaan di Mekah tegang selepas berlakunya perang Badar antara pasukan Quraisy dengan orang Islam. Oleh itu, kami datang dalam satu kumpulan yang besar demi untuk menjaga keselamatan kami," kata Dhu'tsur yang juga terkenal sebagai pahlawan Bani Ghathafan.

     "Kami bersimpati dengan kekalahan pasukan Quraisy. Kami juga meratapi kematian sahabat-sahabat kami yang terkorban di Badar. Kami turut menyimpan rasa marah dan dendam kepada Muhammad dan para pengikutnya," kata Al-Aswad pula.

     "Sesiapa yang menjadi musuh kamu mereka juga adalah musuh kami. Sesiapa yang menjadi kawan kamu maka mereka juga adalah kawan kami. Apabila Muhammad dan pengikutnya memerangi kamu, maka kami juga akan memerangi mereka," kata Kumair pula.

     Abu Sufian senang hati mendengar kata-kata ketua Bani Ghathafan, Bani Tha'labah dan Bani Maharib itu. Dia mengambil kesempatan untuk menambahkan lagi kemarahan mereka terhadap Nabi Muhammad.

     "Aku bimbang suatu hari nanti Muhammad dan pengikutnya akan menakluki Mekah. Mereka tidak akan membenarkan kamu datang ke sini mengerjakan haji dan umrah. Mereka akan memusnahkan semua tuhan-tuhan kita yang terdapat di keliling Kaabah ini. Ketika itu tidak ada gunanya lagi tangisan kalian. Semua yang kita nampak hari ini akan tinggal kenang-kenangan sahaja," kata Abu Sufian sambil memperlihatkan wajah yang sedih.

     "Ini tidak akan berlaku. Kami tidak rela Muhammad dan pengikutnya menakluk Kota Mekah. Kami akan menentang mereka bermati-matian. Apa lagi yang kita megahkan jika tempat ini dikuasai Muhammad dan pengikutnya?" kata Al Aswad pula.

     "Jika kamu tidak mahu melihat perkara itu berlaku maka bersatulah untuk memerangi Mihammad. Jangan biarkan dia bertapak kukuh di Madinah. Perangi mereka habis-habisan," kata Abu Sufian.

     "Biar kami sahaja yang memerangi Muhammad dan pengikutnya. Orang Quraisy tidak perlu membantu. Apabila Bani Tha'labah dan Bani Mahrib bersatu maka dunia ini boleh kami takluki," kata Dhu'tsur dengan megahnya.

     "Memang benar kata kamu itu wahai sahabat-sahabatku. Jika Bani Tha'labah dan Bani Maharib bersatu maka dengan mudah Muhammad dan pengikutnya dikalahkan. Kota Madinah akan berada di bawah pemerintahan kamu. Oleh sebab itu, segeralah bertindak memerangi Muhammad," kata Abu Sufian.

     Selama berada di Mekah, Dhu'tsur, Al-Aswad dan Kumair merancang untuk menyerang Madinah. Mereka bersepakat untuk melakukan serangan mengejut terhadap Kota Madinah.

     "Pada suatu malam yang gelap pekat, ketika Muhammad dan pengikutnya sedang nyenyak tidur kita kejutkan mereka dengan mata pedang. Kemudian, pada keesokan harinya mayat mereka akan bergelimpangan bermandikan darah," kata Dhu'tsur dengan penuh yakin.

     "Lakukanlah segera wahai sahabat-sahabatku. Seluruh penduduk Mekah menaruh harapan kepada kamu. Kami akan berdoa di depan Kaabah dan di depan Al-Latta dan Al-Uzza semoga kamu beroleh kemenangan," kata Abu Sufian penuh harapan. Perbualan mereka itu didengari oleh Al-Abbas dan Abu Sufian bin Al-Harith.

     "Mereka sedang berpakat untuk menyerang Madinah. Jika itu berlaku pasti terjadi pertumpahan darah yang dahsyat. Aku tidak rela kaum kerabatku dibunuh oleh Bani Tha'labah dan Bani Maharib," kata Al-Abbas.

     Dia teringat bagaimana dia dilayan dengan baik semasa dalam tawanan orang Islam. Beliau juga sudah yakin Muhammad itu memang seorang pesuruh Allah. Benarlah kata Muhammad bahawa Allah mengetahui segala apa yang dilakukan oleh manusia. Tidak siapa yang mengetahuinya, bahawa dia menyerahkan harta kepada isterinya sebelum menyertai angkatan perang Quraisy keluar dari Mekah. Tetapi Muhammad mengetahuinya kerana Allah yang mewahyukan kepadanya. Oleh itu, dia tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku terhadap Nabi Muhammad.

     "Anak aku Habibah menjadi isteri Muhammad. Aku juga tidak mahu anakku menjadi mangsa orang Bani Tha'labah dan Bani Maharib. Kita mesti melaporkan perkara ini kepada Muhammad," kata Abu Sufian Al-Harith. Dia juga tidak setuju dengan sikap Abu Sufian bin Harb yang terus menerus bermusuhan dengan Nabi Muhammad.

     "Aku akan menulis surat kepada Muhammad berkenaan perkara ini. Semoga mereka cepat bertindak sebelum terlambat," kata Abbas.

     Kemudian dia menulis surat lalu mengirimkan kepada Nabi Muhammad melalui orang yang dipercayainya. Selepas mendapat surat itu, Rasulullah segera bermesyuarat dengan para sahabatnya dan mereka mendapat kata sepakat supaya bertindak dahulu sebelum musuh menyerang.

     "Satu-satunya cara menghalang musuh menyerang kita adalah dengan menyerang mereka terlebih dahulu," kata Hamzah bin Abdul Mutalib.

     "Aku bersetuju," kata Umar Al-Khattab.

     Namun Nabi Muhammad tidak mahu bertindak terburu-buru. Beliau menghantar dua orang perisik untuk mengintip pergerakan orang Bani Tha'labah dan Bani Maharib.

     Abu Salamah dan Basyir al-Marusi menjalankan tanggungjawab itu dengan segera. Kedua-duanya menunggang kuda keluar dari Madinah menuju ke perkampungan Bani Tha'labah dan Bani Maharib. Mereka menyamar sebagai pedagang.

     "Kami ingin membeli kuda dan unta untuk dijual ke Syam. Adakah di kalangan Bani Tha'labah yang mahu menjualnya?" tanya Abu Salamah kepada seorang petani yang ditemuinya di pinggir kediaman Bani Tha'labah. Dalam peperangan menipu dibolehkan sebagai satu muslihat.

     "Kami tidak menjual unta dan kuda kami kerana hendak menggunakannya untuk berperang," jawab lelaki itu acuh tidak acuh.

     "Berperang dengan siapa?" tanya Basyir al-Marusi pula.

     "Adakah kamu tidak tahu bahawa Bani Tha'labah dan Bani Maharib akan menyerang Madinah? Kami sedang membuat persiapan dan latihan berperang," jawab lelaki itu yang tidak tahu bahawa Abu Salamah dan Basyir al-Marusi adalah orang Madinah.

     "Bilakah serangan itu dilancarkan? Bolehkah kami turut serta?" tanya Abu Salamah pula.

     "Kami sudah cukup kuat dan tidak perlukan lagi bantuan orang luar," jawab lelaki itu lalu meneruskan kerjanya.

     Abu Salamah dan Basyir al-Murasi segera meninggalkan tempat itu lalu menuju ke perkampungan Bani Mahrib. Kedua-duanya juga menyamar sebagai saudagar Mekah yang hendak berniaga ke Syam.

     "Orang Bani Maharib mahir membuat senjata. Bolehkah kami membeli senjata untuk dijual di Syam?" tanya Abu Salamah kepada seorang peniaga di pasar Maharib.

     "Kami tidak dibenarkan lagi menjual senjata kepada orang luar kerana pasukan tentera kami memerlukan banyak senjata untuk digunakan bagi memerangi Muhammad," jawab peniaga itu.

     "Bolehkah kami berjumpa dengan ketua kamu?" tanya Basyir al-Murasi pula.

     "Dia sedang sibuk melatih pasukan tentera kami berperang," jawab lelaki itu.

     Daripada maklumat itu tahulah mereka Bani Tha'labah dan Bani Maharib memang sedang membuat persiapan menyerang Madinah. Kedua-duanya segera pulang ke Madinah bagi melaporkan perkara itu kepada Nabi Muhammad. Beliau segera membentuk pasukan tentera seramai 450 orang. Baginda sendiri yang memimpin pasukan itu dan melantik Uthman Affan bagi menjadi Madinah.

     Menurut Nabi Muhammad tindakan mereka itu lebih kepada menakutkan musuh supaya tidak jadi menyerang Madinah. Oleh itu, sepanjang perjalanan mereka bertakbir dan bertahmid bagi menggerunkan musuh. Perjalanan mereka juga sengaja dilambatkan bagi memberi peluang kepada musuh menyerah ataupun melarikan diri.

     Strategi Nabi Muhammad itu berjaya menakutkan musuh. Apabila orang Bani Tha'labah dan Bani Maharib mendapat tahu bahawa Nabi Muhamamd dan pengikutnya sedang mara untuk melakukan serangan, maka timbul rasa takut dalalm hati mereka. Mesyuarat tergempar segera diadakan.

     "Muhammad dan pengikutnya akan menyerang kita sebelum sempat kita menyerang mereka. Apa yang perlu kita lakukan?" tanya Al-Aswad ketua Bani Tha'labah.

     "Kita mesti tentang mereka habis-habisan. Tambahan pula kita sudah membuat persediaan dan latihan berperang," kata Dhu'thur ketua Bani Ghathafan.

     "Aku lebih suka kita yang menyerang mereka, bukan mereka yang menyerang kita. Apabila berlaku pertempuran di sini, aku bimbangkan keselamatan keluarga kita. Nyawa isteri dan anak-anak kita pasti terancam. Itulah yang aku bimbangkan," kata Kumair ketua Bani Maharib lalu melahirkan kebimbangan di hatinya.

     "Kita buka medan pertempuran jauh dari kediaman kita. Dengan ini nyawa keluarga kita tidak terancam," Dhu'thur masih mahu mereka berperang.

     "Apabila kita keluar, maka perkampungan kita terdedah dengan serangan dari luar. Bagaimana kalau Muhammad mengarahkan sebahagian daripada pasukan tenteranya berperang dengan kita dan sebahagian lagi menyerang perkampungan kita? Siapa yang akan mempertahankan kaum keluarga kita?" tanya Kumair pula.

     Al-Aswad mula gusar. Dia juga mula berasa bimbang berkenaan keselamatan anak-anak dan isterinya.

     Kumair menyambung kata-katanya, "Menurut maklumat yang aku terima, angkatan perang Islam yang keluar menyerang kita nanti lebih ramai daripada yang terlibat dalam perang Badar. Senjata mereka lebih lengkap. Mampukah kita menentang mereka? Aku tidak yakin kerana pasukan Quraisy yang berjumlah lebih daripada seribu pun dapat mereka kalahkan," kata Kumair.

     "Perancangan awal kita adalah melakukan serangan mengejut pada waktu tengah malam. Aku yakin itu boleh menjamin kemenangan kita. Tetapi sekarang keadaan adalah berbeza. Kita terpaksa menentang mereka secara terbuka," kata Al-Aswad. Dia mula berasa gementar.
  
     "Apakah kalian mahu menyerah diri sebelum bertempur ataupun membiarkan Muhammad dan para pengikutnya memperkosa isteri dan anak-anak gadis kamu? Demi tuhan, aku tidak rela membiarkan mereka melakukannya," kata Dhu'thur dengan penuh semangat.

     "Kita tidak akan menyerah kalah dan tidak membiarkan mereka melakukan sesuka hati terhadap keluarga kita," kata Kumair.

     "Apa lagi pilihan kamu?" tanya Dhu'thur.

     "Kita bawa keluarga kita berlindung di tempat yang selamat. Selepas Muhammad pergi baru kita kembali ke rumah kita," jawab Kumair.

     "Sanggupkah kamu dituduh penakut oleh orang Quraisy? Mereka akan mengejek serta mentertawakan kamu," tempelak Dhu'thur.

     "Lebih baik kita diejek daripada kehilangan kaum keluarga. Kita tidak akan berasa malu kerana orang Quraisy Mekah juga pernah dikalahkan oleh Muhammad," balas Kumair.

     "Aku bersetuju dengan cadangan Kumair. Aku juga akan membawa orangku berlindung di tempat yang selamat," kata Al-Aswad pula.

     "Apakah kamu sanggup membiarkan Muhammad membakar rumah kediaman kamu dan memusnahkan tanam-tanaman kamu?" tanya Dhu'thur lagi.

     "Biarlah harta kami musnah asalkan kami selamat. Nyawa kami lebih penting daripada segalanya," kata Al-Aswad. Entah mengapa rasa takut tiba-tiba menguasai hatinya.

     "Aku dan orangku tidak akan berpindah ke mana-mana. Kami sanggup menentang Muhamamd walaupun tanpa kamu," tegas Dhu'thur. Kemudian dia meninggalkan majlis mesyuarat dengan rasa yang kecewa.

     Tidak lama kemudian, perkampungan Bani Tha'labah dan Bani Maharib dikosongkan kerana penghuninya berpindah ke tempat selamat. Apabila Nabi Muhammad sampai mereka dapati perkampungan itu kosong dan mereka tidak mendapat apa-apa tentangan. Nabi Muhammad melarang anggota pasukannya memusnahkan rumah kediaman dan tanaman kecuali untuk berlindung dan mengambilnya sekadar untuk makanan. Kemudian mereka pergi ke perkampungan Bani Maharib.

     Pada masa yang sama, seorang lelaki dari Bani Tha'labah bernama Jabar kehilangan untanya. Dia keluar dari tempat persembunyian untuk mencarinya kemudian terserempak dengan pasukan tentera Islam. Jabar ditangkap lalu dibawa menghadap Rasulullah. Selepas disoal siasat maka Jabar menceritakan bahawa Bani Tha'labah dan Bani Maharib tidak mahu berperang dan mereka sudah melarikan diri ke tempat selamat.

     "Tetapi Bani Ghathafan berdegil dan mereka tidak mahu berpindah malah sanggup berperang dengan kalian," kata Jabar.

     "Tunjukkan kepada kami di mana tempat persembunyian Bani Tha'labah dan Bani Maharib. Kami akan perangi mereka satu demi satu. Kemudian kita serang perkampungan Bani Ghathafan pula," kata Hamzah bin Abdul Mutalib.

     Namun Nabi Muhammad tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana orang Bani Tha'labah dan Bani Maharib tidak mahu berperang dan mereka sudah berlindung di tempat selamat. Jabar berasa sangat terharu dengan kebaikan yang ditunjukkan oleh Rasulullah. Tambahan pula apabila orang Islam menolongnya mencarikan untanya yang hilang sehingga dapat ditemui semula. Akhirnya Jabar memeluk Islam di hadapan Rasulullah.

     "Tunjukkan kepada kami di mana perkampungan Bani Ghathafan," kata Hamzah yang ditugaskan membawa bendera Islam.

     "Baiklah," kata Jabar dengan senang hati.

     Kemudian Nabi Muhammad menyuruh Bilal bin Rabah mengiringi Jabar sepanjang perjalanan. Apabila sampai di satu tempat bernama Dzi Amar yang merupakan pintu masuk perkampungan Bani Ghathafan maka hujan lebat turun mencurah-curah sehingga semua anggota pasukan Islam basah kuyup. Rasulullah menyuruh mereka berhenti rehat di situ hingga hujan teduh.

     Apabila hujan teduh, masing-masing menanggalkan baju untuk dijemur. Nabi Muhamamd pergi ke batang pokok lalu menyidai pakaiannya serta berehat di bawah pokok kayu itu. Dhu'thur dan orangnya mula mengintip pasukan tentera Islam. Mereka menunggu masa untuk melancarkan serangan. 

     Tiba-tiba Dhu'thur ternampak Nabi Muhammad sedang berehat di bawah pokok seorang diri tanpa dikawal oleh sesiapa. Dhu'thur mengambil keputusan untuk membunuh Nabi Muhammad dengan harapan anggota pasukannya akan menyerah kalah. Maka Dhu'thur merangkak perlahan-lahan menghampiri Rasulullah.

     Sebaik sahaja dia mara dan mendekati Rasulullah, maka Dhu'thur menghunus pedang lalu diacukannya ke leher Rasulullah.

     "Hei Muhammad, suruh orang kamu meletakkan senjata ataupun aku bunuh kau!" teriak Dhu'thur dengan suara yang lantang supaya didengar ramai. Mata pedangnya itu diacukan ke leher Nabi Muhammad dan menunggu masa untuk ditusukkan.

     Nabi Muhammad kelihatan tenang sahaja tanpa menunjukkan rasa takut. Dhu'thur mengulangi semula kata-katanya.

     "Suruh orang kamu meletakkan senjata. Kalau tidak aku bunuh kau!" teriak Dhu'thur.

     Nabi Muhammad tetap enggan menurut permintaan Dhu'thur.

     Dengan rasa marah maka pemimpin Bani Ghathafan itu pun berkata, "Aku akan bunuh kau. Siapa yang dapat menolong kau wahai Muhammad?"

     "Allah pelindung aku," kata Nabi Muhammad.

     Tiba-tiba Dhu'thur berasa gementar. Hatinya tiba-tiba kecut apabila mendengar nama Allah. Tiba-tiba pedang di tangannya terlepas lalu jatuh ke tanah. Nabi Muhammad mengambil pedang itu lalu mengacukannya ke leher Dhu'thur pula.

     "Sekarang ini siapa yang dapat melindungi kamu wahai Dhu'thur?" tanya Nabi Muhammad.

     Dengan muka yang pucat dan tubuh yang menggeletar maka Dhu'thur pun berkata, "Tidak ada siapa yang dapat menolong aku wahai Muhammad."

     Kemudian Nabi Muhammad menyerahkan semula pedang itu kepada Dhu'thur. Dia berasa sangat terharu dan kagum dengan peribadi Nabi Muhammad yang langsung tidak menunjukkan rasa marah dan dendam walaupun kepada orang yang ingin membunuhnya.

     "Wahai Muhammad, aku mengaku tidak ada tuhan selain Allah dan engkau pesuruhNya," kata Dhu'thur lalu mengucapkan kalimah syahadah di hadapan Rasulullah.

     Kemudian Dhu'thur mengajak semua kaumnya masuk Islam. Selepas itu Dhu'thur pergi ke tempat persembunyian Bani Tha'labah dan Bani Maharib lalu menyuruh mereka pulang ke rumah masing-masing sambil memberi jaminan yang mereka tidak akan diserang oleh orang Islam.

     Nabi Muhammad dan anggota pasukannya berada di situ selama sebulan untuk berdakwah. Kemudian baru pulang ke Madinah.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment