Saturday 8 April 2017

PERANG UHUD [ BAB 2 - AKHIRNYA DIA INSAF ]






AKHIRNYA DIA INSAF








"Makanan kita hampir habis. Kita tidak boleh tinggal di sini lebih lama lagi. Kita mesti kembali ke rumah kita," desak Khadri mewakili pelarian yang terpaksa bersembunyi di gunung Najd itu.

     Sudah hampir seminggu orang Bani Sulaim bersembunyi di kawasan pergunungan Najd. Mereka hampir kehabisan bekalan makanan. Ramai pula yang sakit dan mengalami tekanan jiwa. Mereka meminta Khadri untuk menyampaikan masalah itu kepada Ubaid.

     "Kita akan keluar dari persembunyian ini selepas Muhammad dan pasukannya meninggalkan perkampungan kita," kata Ubaid.

     "Jika begitu izinkan saya keluar untuk pergi menyiasat. Jika saya tertangkap pun tidak mengapa kerana saya sudah tua," kata Khadri menawarkan dirinya bagi pergi menyiasat.

     "Aku benarkan tetapi dengan satu syarat. Jika kamu ditangkap, jangan beritahu tempat persembunyian kita. Kamu hendaklah bersumpah merahsiakannya walaupun kamu dibunuh," kata Ubaid. Dia bimbang Muhammad dan pasukan tenteranya pasti datang menyerang jika tahu di mana tempat persembunyian mereka.

     "Aku tidak mahu bersumpah. Tetapi yakinlah aku rela mati dibunuh atau dikurung di dalam penjara daripada melihat kaumku dibunuh oleh Muhammad dan para pengikutnya," kata Khadri pula.

     "Kami percaya kepada Khadri. Dia tidak akan mengkhianati kita," kata yang lain pula. Mereka bersetuju melepaskannya pergi.

     Kemudian Khadri pun bersiap lalu keluar dari tempat persembunyian itu dengan menunggang kuda. Orang ramai mengiringi pemergiannya dengan harapan dia selamat sepanjang perjalanan. Khadri terpaksa memecut kudanya dengan pantas menuju ke perkampungan Bani Sulaim.

     Selepas sampai, dia memanjat sebuah bukit bagi meninjau perkampungan itu dari jauh. Dilihatnya kosong sahaja. Tidak ada apa-apa pergerakan di kawasan itu. Tahulah dia perkampungan itu sudah ditinggalkan. Namun Khadri masih belum berpuas hati sebelum memasuki perkampungan itu. Dia memberanikan diri memasukinya dan ternyata Muhammad dan pasukannya sudah pergi dari situ.

     Khadri menjadi hairan dan terharu apabila melihat perkampungan itu seperti sediakala. Tidak ada sebuah rumah pun yang dimusnahkan. Kebun dan tanam-tanaman mereka juga tidak dimusnahkan. Dengan perasaan yang gembira, Khadri pergi semula ke tempat persembunyian Bani Sulaim. Petang itu juga mereka kembali semula ke rumah masing-masing. Kemudian pada sebelah malam, mereka berkumpul bagi membincangkan masalah mereka.

     "Kita bernasib baik kerana Muhammad dan pasukannya tidak memusnahkan rumah dan tanaman kita. Mereka hanya merampas lima ratus ekor unta sahaja. Namun ini tidak menjadikan kita miskin kerana ternakan itu memang hendak dikorbankan untuk pasukan tentera kita menyerang Madinah. Jadi kita lupakan saja rancangan menyerang Madinah," kata Khadri.

     Dia semakin dihormati kerana pendiriannya lebih sederhana dan selamat. Sejak dari mula Khadri memang tidak bersetuju dengan rancangan hendak menyerang Madinah.

     "Sekarang kita sudah tahu siapa sebenarnya orang Quraisy itu. Mereka bukan sahabat kerana tidak sanggup bersama kita ketika susah. Oleh itu, mulai hari ini aku akan batalkan perjanjian dengan mereka," kata Ubaid sambil menyatakan rasa kesalnya kerana terpengaruh dengan hasutan Abu Sufian.

     "Jika kita kehilangan kawan lama maka kawan baru perlu diganti. Saya mencadangkan kita menjalinkan hubungan baik dengan Muhammad. Kemudian kita buat perjanjian baru dengannya," kata Khadri mencadangkan.

     "Apakah Muhammad sanggup menerima kita kerana mereka sudah menganggap kita sebagai musuh," kata Ubaid pula.

     "Jika benar Muhammad itu pesuruh Allah, maka dia memaafkan sesiapa saja yang meminta maaf. Dia juga akan berdamai dengan sesiapa sahaja yang ingin berdamai dengannya. Oleh yang demikian, saya menawarkan diri pergi ke Madinah sebagai wakil Bani Sulaim untuk berjumpa dengannya," kata Khadri menawarkan dirinya.

     Permintaan itu dipersetujui sebulat suara. Mereka menaruh harapan semoga usaha Khadri itu membuahkan hasil. Entah mengapa, tiba-tiba mereka mula berasa takut kepada Muhammad. Mereka tidak mahu berperang lagi dengannya.

     "Beritahu Muhammad jika dia bersetuju berdamai dengan kita maka tidak ada lagi permusuhan antara kita dengan mereka. Muhammad juga boleh datang ke sini untuk berdakwah dan kita tidak akan menghalangnya," kata Ubaid.

     "Baiklah. Saya akan sampaikan pesanan itu," ujar Khadri.

     Keesokan harinya Khadri pergi ke Madinah seorang diri dengan menunggang kuda. Walaupun usianya sudah agak lanjut tetapi masih mampu menunggang kuda bersendirian. Emas untuk diberikan kepada Nabi Muhammad sebagai hadiah juga sudah disediakan.

     Apabila sampai di Madinah, Khadri terus menuju ke Masjid Nabi. Dia menambat kudanya di depan masjid lalu mengupah seorang budak lelaki untuk menjaga kudanya.

     "Tuan jangan bimbang. Kuda tuan selamat kerana tidak siapa yang akan mencurinya," kata budak lelaki itu.

     Mendengar kata-kata budak itu, barulah hati Khadri berasa tenang. Dia terus masuk ke dalam masjid. Khadri tidak mahu terus menemui Nabi Muhammad tetapi memperhatikannya dari jauh. Dia ingin menyelidik perlakuan lelaki yang mengaku menjadi nabi itu.

     Ketika itu Nabi Muhammad sedang duduk bersama orang ramai di dalam masjid. Beliau memberikan tazkirah sementara menunggu masuknya sembahyang asar. Tiba-tiba datang seorang lelaki membawa sepinggan makanan untuk Nabi Muhammad. Baginda tidak memakannya seorang diri tetapi mengajak kawan-kawannya untuk sama-sama menikmati makanan itu. Beliau juga sama-sama duduk bersila di atas lantai masjid bersama orang ramai. Nabi Muhammad dihormati oleh pengikutnya sebagai raja tetapi dia hanya memakai pakaian biasa sahaja tanpa memakai mahkota atau apa-apa alat kebesaran. Khadri yakin bahawa memang benarlah Muhammad itu seorang Rasul.

     Apabila masuk waktu sembahyang, azan pun dilaungkan oleh Bilal bin Rabah. Kalimah azan itu menusuk ke kalbu setiap yang mendengarnya. Khadri juga terpesona mendengarnya. Kemudian Nabi Muhammad tampil ke hadapan menjadi imam sembahyang berjemaah. Orang ramai berdiri di belakangnya berlapis-lapis dalam barisan masing-masing. Apabila Nabi Muhammad rukuk maka orang ramai di belakangnya rukuk. Apabila beliau sujud maka makmum pun sujud sehinggalah selesai. Khadri memerhatikannya dengan penuh minat.

     Selesai bersembahyang dan selepas Nabi Muhammad memberi tazkirah barulah Khadri datang menghadap Nabi Muhammad lalu memperkenalkan dirinya. Beliau dilayan dengan baik kemudian diperdengarkan bacaan ayat-ayat suci al Quran. Akhirnya Khadri mengucapkan kalimah syahadah mengaku tidak ada tuhan yang disembah selain Allah dan mengaku Muhammad itu pesuruh Allah.

     Selama berada di Madinah, Khadri diberi layanan yang baik. Dia dianggap sebagai saudara seagama. Beberapa hari kemudian Khadri pulang ke kampung halamannya dengan membawa berita gembira bahawa Nabi Muhammad sedia menjalinkan hubungan baik dengan Bani Sulaim.


================================================


Abu Sufian berasa sangat kecewa dan marah apabila mendapat tahu Bani Sulaim sudah membatalkan perjanjian dengan mereka dan mengikat perjanjian baru dengan Nabi Muhammad. Kebenciannya terhadap pesuruh Allah itu semakin menjadi-jadi. Dia terus menghasut serta menanamkan bibit kebencian penduduk Mekah terhadap Nabi Muhammad.

     "Hei Safwan, aku tengok engkau tidak lagi menangis. Adakah engkau sudah melupakan ayah kamu yang terkorban di Badar?" tanya Abu Sufian apabila dilihatnya Safwan sedang duduk termenung di depan Kaabah.

     "Air mataku sudah kering untuk menangis. Sebab itu aku menangisi pemergian ayahku dalam hati," kata Safwan.

     "Engkau seorang yang kaya. Ayah kau juga banyak meninggalkan harta. Gunakan harta kamu itu untuk membalas dendam kepada Muhammad kerana dia yang menyebabkan kematian ayahmu. Selepas itu engkau tidak perlu menangis lagi," hasut Abu Sufian.

     "Carilah seorang pembunuh upahan. Aku sanggup membayar berapa sahaja upah yang dipintanya untuk membunuh Muhammad," kata Safwan yang juga menyimpan dendam kepada Nabi Muhammad.

     "Aku akan berusaha mencarinya. Engkau juga berusahalah untuk mencarinya. Aku juga tidak berdiam diri selagi Muhammad masih hidup," kata Abu Sufian.

     Kemudian Safwan keluar dari Masjidil Haram lalu berjalan kaki seorang diri menuju ke sebuah batu besar yang terletak di puncak bukit Kubais. Dia duduk termenung sendirian di situ mengenangkan ayahnya yang sudah pergi tidak kembali lagi.

     "Apakah yang engkau termenungkan itu wahai sahabatku?" tanya Umair bin Wahab yang tiba-tiba muncul disitu. Safwan tersentak dengan teguran kawan baiknya itu. Lamunannya terhenti.

     "Aku sedang menangisi pemergian ayahku. Semasa aku kecil dulu ayahku sering membawa aku ke puncak bukit ini. Aku datang untuk mengingati semula kenangan manis itu," kata Safwan sambil meluahkan rasa sedih dan rindunya terhadap ayahnya.

     "Ayahmu dibunuh oleh Bilal bin Rabah. Dia mati sebagai pahlawan," kata Umair sambil memuji Umayyah bin Khalaf, ayah Safwan.

     "Aku berdendam kepada Bilal bin Rabah. Tetapi dendamku kepada Muhammad lebih mendalam kerana dia yang bertanggungjawab di atas kematian ayahku," kata Safwan pula.

     Kemudian, dia menyambung lagi, "Aku tidak dapat melihat mayat ayahku dan aku tidak tahu di mana kuburnya. Itu yang membuat aku berasa sangat sedih. Aku masih teringat pesanan ayah aku sebelum berangkat ke Badar. Katanya, jika dia terbunuh maka gunakan harta peninggalannya untuk membalas dendam terhadap Muhammad."

     "Aku juga sedang menanggung kesedihan kerana anakku Wahab menjadi tawanan Muhammad. Aku tidak mampu untuk membayar tebusannya. Oleh sebab itu, anak aku akan terus menjadi tawanan Muhammad. Entah esok ataupun lusa akan dihukum bunuh," kata Umair pula sambil meluahkan rasa sedihnya.

     "Bukan kita sahaja yang sedang bersedih. Malah semua keluarga mereka yang terbunuh dalam perang Badar dan keluarga mereka yang menjadi tawanan Muhammad sedang bersedih. Aku tidak tahu cara bagi menghiburkan hati aku sendiri apatah lagi hendak menghiburkan hati orang lain," kata Safwan.

     "Adakah engkau mempunyai cadangan bagi menghilangkan kesedihan kita dan kesedihan semua penduduk Mekah?" tanya Umair.

     "Bunuh Muhammad. Itu sahaja caranya," jawab Safwan.

     "Benar katamu wahai sahabatku. Jika Muhammad dapat dibunuh maka seluruh penduduk Mekah akan bergembira dan kita tidak akan bersedih lagi." Umair bersetuju dengan cadangan Safwan.

     "Kita memerlukan seorang pahlawan yang berani untuk membunuh Muhammad. Tetapi aku belum bertemu mereka yang sanggup melakukannya," kata Safwan.

     "Aku sanggup membunuh Muhammad. Tetapi aku mempunyai hutang yang banyak. Jika aku terbunuh keluarga aku akan menanggung kesusahan bagi membayar hutangku. Sebab itu aku terhalang untuk melakukannya," kata Umair pula.

     Kata-kata Umair itu menarik perhatian Safwan lalu berkata, "Bagaimana jika aku yang membayarkan hutang kamu dan menjaga kebajikan keluarga kamu?"

     "Jika benar aku sanggup membunuh Muhammad," kata Umair dengan bersungguh-sungguh.

     "Bagaimana engkau hendak melakukannya. Jika dapat meyakinkan aku sanggup membayar semua hutang engkau serta menjaga keluarga engkau," kata Safwan.

     "Anak aku masih ada dalam tawanan Muhammad. Jika aku pergi ke Madinah mereka tidak syak apa-apa kerana menyangka aku bertemu dengan Muhammad bagi membayar tebusan anakku. Apabila aku berjaya mendekati Muhammad aku akan gunakan pedang aku untuk memenggal lehernya," kata Umair bersungguh-sungguh.

     "Engkau tahu apa akibatnya ke atasmu selepas itu?" tanya Safwan.

     "Aku pasti dibunuh pula oleh pengikut Muhammad. Tetapi aku tidak kisah lagi kerana hutangku sudah dibayar dan keluargaku sudah ada yang membelanya. Tetapi aku tidak mahu engkau mungkir janji," jawab Umair bersungguh-sungguh.

     Kata-kata Umair itu berjaya meyakinkan Safwan. Dia bersetuju mengeluarkan hartanya untuk membayar semua hutang Umair dan berjanji menjaga keluarganya jika sesuatu menimpa dirinya.

     "Untuk meyakinkan aku, maka aku mahu engkau bayarkan dahulu semua hutang-hutang aku," pinta Umair.

     "Baiklah aku setuju," kata Safwan.

     "Permintaan aku yang kedua, serahkan satu per sepuluh kebun kurma kamu kepada isteriku," kata Umair lagi.

     "Aku bersetuju," balas Safwan. Dia sanggup berbuat apa sahaja asalkan Nabi Muhammad dapat dibunuh.

     Selepas Safwan membayarkan semua hutangnya dan menyerahkan satu per sepuluh kebun kurmanya kepada isteri Umair maka dia pun berangkat ke Madinah dengan menunggang seekor unta. Sebelum itu Umair mengasah pedangnya sehingga tajam kemudian menyapukannya dengan racun supaya sesiapa yang terkena mata pedangkan akan meninggal dunia.

     Selepas sampai di Madinah, Umair terus menuju ke Masjid Nabi kerana yakin di situ ada Nabi Muhammad. Dari jauh dilihatnya masjid itu tidak putus-putus dikunjung oleh orang ramai. Namun itu tidak menakutkannya kerana hatinya sudah nekad hendak membunuh Muhammad dengan pedangnya yang sudah disapu dengan racun. Dia sedar tindakan itu membahayakan nyawanya sendiri kerana pengikut Muhammad tentu tidak akan melepaskannya dengan selamat. Namun dia tidak ambil peduli kerana dendam kesumatnya kepada Muhammad. Tambahan pula keluarganya tidak susah lagi jika dia terbunuh. Semua hutangnya sudah dibayarkan oleh Safwan dan keluarganya kini memiliki kebun kurma.

     Kemudian Umair menambatkan tali untanya di pintu masjid lalu melangkah masuk sambil menyandang pedangnya. Umar al-Khattab yang kebetulan berada di masjid ketika itu berasa curiga dengan kedatangan Umair yang membawa sebilah pedang.

     "Lelaki itu memusuhi Allah dan Rasulnya. Dia tidak datang melainkan dengan maksud yang jahat," kata Umar al Khattab.

     "Lelaki itu adalah Umair, salah soerang penduduk Mekah yang memusuhi Rasulullah. Dia juga sering menyakiti kita. Mungkin tujuan kedatangannya untuk membunuh Nabi Muhammad," kata Hamzah pula.

     "Jika dia berniat jahat terhadap Rasulullah aku yang akan membunuhnya," kata Umar al Khattab.

     Kemudian dia segera memaklumkannya kepada Nabi Muhammad. "Wahai Rasulullah, lelaki yang memusuhi Allah dan RasulNya sudah datang dengan membawa sebilah pedang. Berwaspadalah..." beritahu Umar al-Khattab.

     "Suruhlah dia masuk menemuiku," kata Rasulullah.

     Umar al Khattab agak terkejut kerana Rasulullah langsung tidak menunjukkan rasa bimbang malah menyuruh lelaki yang membawa pedang itu datang menemuinya. Namun perintah Rasulullah mesti dipatuhi. Umar al-Khattab segera mendapatkan Umair lalu membawanya menghadap Nabi Muhammad.

     Sebagai langkah berjaga-jaga, Umar al-Khattab memegang tali pedang Umair dengan maksud jika Umair hendak membunuh Rasulullah dapat segera dihalangnya. Apabila Nabi Muhammad melihat Umair al-Khattab masih memegang tali pedang Umair maka Rasulullah menyuruh Umar al Khattab melepaskan tali pedang lelaki itu.

     "Lepaskanlah dia wahai Umar dan hampirlah aku wahai Umair," pelawa Nabi Muhammad dengan sikap ramah tanpa menunjukkan sikap permusuhan.

     Umair berjalan lalu menghampiri Rasulullah sambil mengucapkan, "Selamat petang wahai Muhammad."

     "Allah memuliakan kami dengan satu penghormatan yang lebih baik daripada penghormatan kamu, wahai Umair," kata Nabi Muhammad.

     Umair terdiam. Dia memandang wajah Nabi Muhammad yang lembut dan bersih itu. Tiba-tiba api kemarahannya beransur padam. Dendam kesumatnya juga semakin hilang. Barangkali kata-kata Rasulullah itu menyenangkan hatinya.

     "Wahai Umair, apa tujuan kamu datang?" tanya Rasulullah.

     "Aku datang untuk meminta kamu melayan tahanan dengan baik kerana di kalangan mereka terdapat anak aku," jawab Umair.

     "Mengapa pula kamu membawa pedang?" tanya Rasulullah lagi.

     "Pedang ini untuk menjaga keselamatan aku. Tetapi pedang ini sudah tidak berguna lagi kepada aku," jawab Umair.

     "Bercakaplah dengan jujur, wahai Umair. Apa tujuan kamu datang ke mari?" tanya Nabi Muhammad.

     "Seperti yang sudah aku perkatakan tadi..." jawab Umair yang masih cuba berdalih.

     "Tidak, kamu bersama Safwan bin Umaiyah duduk di atas sebuah batu. Kamu berbincang tentang mereka yang terkorban dari kalangan kaum Quraisy. Kamu berkata kepada Safwan. Sekiranya aku tidak mempunyai hutang dan tanggungan keluarga, aku sanggup membunuh Muhammad. Kemudian Safwan sanggup membayar hutang kamu serta menanggung keluarga kamu dengan syarat kamu membunuh aku. Allah tahu apa yang kamu cakapkan dan menghalang niat jahatmu itu," kata Rasulullah.

     Umair terkejut dan berasa sangat hairan bagaimana Nabi Muhammad boleh tahu perbualannya dengan Safwan sedangkan ketika itu hanya mereka berdua sahaja yang berada di situ. Dia dan Safwan sudah berjanji merahsiakannya.

     "Wahai Muhammad. Sesungguhnya kamu adalah benar. Aku yakin engkau adalah pesuruh Allah. Sebelum ini aku mendustakan berita-berita dari langit yang engkau bawa. Tetapi sekarang aku percaya," kata Umair.

     Kemudian dia menyambung kata-katanya, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya apa yang aku rancang dengan Safwan tidak ada sesiapa yang tahu. Kami berdua sudah bersumpah untuk merahsiakannya. Tetapi apabila engkau tahu apa yang aku cakapkan kepada Safwan maka aku yakin perkara itu disampaikan oleh Allah kepada kamu. Segala puji bagi Allah yang memimpin perjalananku hingga sampai ke sini. Aku mengucapkan syahadah secara ikhlas dan benar."

     Kemudian Umair pun mengucapkan syahadah dan mengaku tidak ada tuhan yang disembah selain Allah dan mengaku Muhammad itu pesuruh Allah. Kemudian Nabi Muhammad menyuruh sahabatnya mengajar Umair berkenaan Islam dan mengajarnya membaca al-Quran serta membebaskan anaknya.

     Tidak lama kemudian Umair bersama anaknya pulang ke Mekah. Sebelum pulang Umair sempat berkata di depan Rasulullah.

     "Wahai Rasulullah, aku akan sebarkan Islam di Mekah. Jika ada yang menghalang aku akan sakit mereka sepertimana mereka pernah menyakiti kamu," kata Umair.

     Kemudian Umair dan anaknya pulang ke Mekah. Safwan orang pertama yang menyambutnya dengan gembira kerana yakin Umair sudah berjaya membunuh Nabi Muhammad.

     "Wahai sahabatku Safwan, adakah engkau masih merahsiakan daripada pengetahuan orang ramai berkenaan apa yang sudah kita lakukan?" tanya Umair.

     "Aku masih merahsiakannya dan tidak siapa yang tahu hingga hari ini," jawab Safwan.

     "Bagaimana pula dengan kamu? Sudah dapat membunuh Muhammad?" tanya Safwan seolah tidak sabar lagi hendak mengetahuinya.

     "Aku tidak dapat membunuh Muhammad," beritahu Umair berterus terang.
    
     Safwan terkejut. Dia tidak percaya dengan apa yang dikatakan Umair. "Berterus teranglah wahai Umair," tanya Safwan.

     "Demi Allah dan RasulNya, aku tidak bercakap bohong. Sesungguhnya aku sudah menjadi pengikut Muhammad. Aku bersumpah akan membalas apa yang kamu lakukan terhadap aku. Jika aku disakiti maka aku juga akan menyakiti kamu," kata Umair sambil memberi amaran supaya Safwan terus merahsiakan perkara itu jika mahu selamat.

     Sejak itu hubungan persahabatan kedua-duanya terputus malah Safwan tidak mahu bercakap dengan Umair. Namun dia tidak berani berbuat apa-apa kerana bimbang dengan tindak balas Umair.




N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment