Monday 22 December 2014

"GIGITLAH SUNAHKU DENGAN GERAHAM-GERAHAM KAMU"



DARIPADA Irbadh bin Sariah r.a. berkata; Rasulullah SAW telah memberikan peringatan kepada kami dengan peringatan yang menakutkan kami dan mengalirkan air mata, lantas kami berkata; "Wahai Rasulullah SAW ia seolah-olah peringatan perpisahan, maka berilah wasiat kepada kami." Baginda SAW bersabda, "Aku berpesan kepada kamu supaya bertakwa kepada Allah, dengar dan patuh meskipun yang menjadi ketua ke atas kamu ialah seorang hamba. Maka sesungguhnya barang siapa yang hidup berumur panjang di antara kamu, pasti dia akan melihat perselisihan yang banyak. Oleh itu kamu wajib berpegang dengan sunahku dan sunah Khulafa al-Rasyidin. Gigitlah sunahku dengan geraham-geraham kamu dan awaslah kamu daripada perkara bidaah. Sesungguhnya semua bidaah ialah sesat."


     Hadis ini merupakan sebuah pesanan dan wasiat Baginda SAW buat umatnya. Para sahabat meminta wasiat daripada Baginda SAW tatkala mereka memahami bahawa Baginda SAW sedang menyampaikan ucapan salam perpisahan dan selamat tinggal. Maka Baginda pun memulakan dengan ucapan yang pertama dan utama iaitu;

Takwa dan takut kepada Allah.
Takwa dan takut kepada Allah ialah tali pengikat seorang Muslim di dunia. Dengan kekuatan takwanya kepada Allah inilah akan memiliharanya daripada terjatuh ke dalam jurang kehinaan, kecelakaan dan kesesatan. Kerana itu takwa ialah satu amalan yang berterusan dalam ketaatan kepada Allah dan benar-benar meninggalkan maksiat kerana-Nya. Seterusnya takwa yang sempurna adalah menjauhkan diri daripada perkara subahat dan yang bercampur dengan yang haram.
     Seterusnya Baginda SAW menyampaikan wasiat yang berikut;

● Patuh kepada pemimpin
Mendengar dan taat kepada pemimpin Muslimin dalam perkara makruf adalah wajib. Allah telah mewajibkannya dalam al-Quran dengan firman-Nya yang bermaksud, "Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan ulil' amri (pemerintah) daripada kalangan kamu." (an-Nisaa': 59)
     Kerana itulah Baginda SAW menyebut wasiat mengenai 'dengar dan taat' secara khusus untuk menunjukkan kepentingan dan perhatian yang lebih kepada masalah ini. Kerana melaluinya seluruh kepentingan manusia dalam kehidupan akan menjadi teratur. Menerusinya, kita akan dapat bantuan untuk memartabatkan agama dan menzahirkan ketaatan dan ibadah kepada Allah.
     Seterusnya ialah memastikan kesatuan umat itu terpelihara. Sesungguhnya di antara pertama yang melemah dan menghilangkan kekuatan umat ialah mereka tidak lagi DENGAR dan TAAT kepada pemerintah mereka, cenderung kepada suasana yang tisak berperaturan dan menuntut kebebasan melampau. Dengan ini akan membawa kepada fitnah dan lahirnya banyak perselisihan dan perpecahan.

● Jika amir jadi hamba
Berkaitan dengan ucapan Baginda SAW berbunyi, "... meskipun yang menjadi amir ke atas kamu ialah seorang hamba," terdapa dua kefahaman yang dibawakan oleh para ulama.
Pertama:
     Hadis ini menceritakan tentang keporakperandaan umat Islam dan ketidakstabilan pelaksanaan hukum syarak sehinggakan pemerintahan diberikan kepada yang tidak layak. Arahan Baginda supaya taat ketika itu adalah kerana mengambil mudarat yang lebih ringan. Maksudnya, bersabar terhadap kepimpinan hamba yang tidak harus dilantik adalah lebih ringan mudaratnya daripada menimbulkan fitnah.
Kedua:
     Ia hanyalah contoh yang tidak realistik kerana si hamba tidak boleh mememegang teraju pemerintahan. Akan tetapi Baginda ingin menunjukkan betapa pentingnya kita untuk mentaati pemimpin itu hinggakan andai kita diperintah oleh seorang hamba pun, kita mesti juga mentaatinya.

Awas perkara bidaah
Seterusnya Baginda mengingatkan agar jangan melakukan sesuatu yang bertentangan dengan sunah iaitu bidaah. Bidaah ialah perkara baru yang berkaitan urusan agama yang diada-adakan dan dicipta. Ia adalah sesuatu perkara baru yang bertentangan dengan al-Quran, sunah, athar sahabat dan juga ijmak ulama. Bidaah ini sama ada berbentuk kepercayaan ataupun perbuatan. Bidaah inilah yang dikatakan sesat oleh Baginda SAW. Sekarang ini bidaah muncul dalam bentuk ajaran-ajaran sesat, kepercayaan Syiah dan seumpamanya.
     Adapun sekiranya ada perkara baru, tetapi ia baik dan memberi manfaat serta maslahat kepada umat Islam dan tidak bertentangan dengan al-Quran, sunah, athar sahabat dan ijmak ulama, maka ulama memutuskan ia bukanlah bidaah yang dimaksudkan di dalam hadis ini. 
     Maka inilah antara pesanan terakhir Baginda dan Baginda menyampaikannya dalam keadaan yang sungguh menyentuh dan menyentap di hati, tidak seperti peringatan Baginda SAW sebelum ini. Hinggakan para sahabat yang mendengar berasa sangat takut dan mengalirkan air mata. Maka eloklah kita ingat akan perkara-perkara yang disampaikan oleh Baginda SAW di dalam hadis ini kerana ia membawa maksud yang cukup mendalam, dan juga merupakan tempat pemegang untuk kita; umat akhir zaman.


AKAN BERLAKU PERSELISIHAN YANG BANYAK 
     BAGINDA SAW juga mengingatkan bahawa pada akhir zaman nanti, akan berlaku perselisihan yang banyak dalam pelbagai persoalan asas agama dan persoalan perpecahan, sama ada berkaitan kata-kata, perbuatan ataupun kepercayaan. Hakikatnya ini ialah satu pemberitahuan tentang perkara yang bakal berlaku selepas kewafatan Baginda SAW. Nabi telah menggambarkan apa yang bakal berlaku pada akhir zaman nanti.
     Maka Baginda SAW menambah pesanannya terhadal umatnya yang hidup pada akhir zaman nanti; 
     Mesti berpegang kepada sunah nabi dan sunah Khulafa' al-Rasyidin.
     Berpegang kepada sunah bermaksud mengikut suruhan Nabi SAW sama ada suruhan itu dalam bentuk perkataan, iaitu hadis Nabi, perbuatan, dan juga perakuan Baginda SAW terhadap sesuatu perkara.
     Sesungguhnya sunah Baginda SAW adalah PELENGKAP kepada al-Quran. Sunah juga MENTAFSIRKAN apa yang umum dalam al-Quran. Sunah MENJELASKAN apa yang didatangkan secara umum dalam al-Quran. Malah dalam beberapa perkara, sunah MENDATANGKAN AAPA YANG TIDAK DIDATANGKAN dalam al-Quran sama ada dalam perkara berkaitan akidah dan juga hukum hakam.
     Sunah bukan sekadar menunjukkan cara makan dan pakai Nabi SAW akan tetapi apa yang jauh dari itu, sunah MEMBAWA BERSAMANYA HUKUM HAKAM dan perkara penting dalam agama. Kerana itu sunah itu sumber kedua dalam sumber pengambilan hukum.
     Baginda SAW juga mengingatkan sjpaya mengikut sunah Khulafa' al-Rasyidin, iaitu para sahabat yang empat; Sayidina Abu Bakar, Sayidina Omar, Sayidina Uthman dan Sayidina Ali. Mereka adalah sahabat-sahabat besar yang sempat hidup lama bersama Baginda SAW dan mereka itu tahu serta memahami setiap tindak-tanduk Rasulullah SAW. Mereka mendapat tarbiah secara langsung dengan Baginda SAW dan juga daripada al-Quran. Kerana itulah Baginda berpesan supaya mengikuti sunah mereka.
     Baginda SAW menggambarkan kepentingan ketaatan kepada mereka ini dengan ungkapan, "Gigitlah sunahku dengan geraham-geraham kamu," iaitu menggenggam sunah dengan sepenuh hati, dan mengikut sunah dengan kesungguhan yang tinggi.




OLEH USTAZAH SURIANI BINTI SUDI
-MAJALAH IMAN-

Sunday 21 December 2014

KULIT YANG MERASA SEKSA




FIRMAN Allah SWT dalam surah al-Nisaa': 56, bermaksud, "Sesungguhnya orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Kami, kelak akan Kami masukkan ke dalam neraka. Setiap kali kulit mereka hangus, kami ganti kulit mereka dengan kulit yang lain, supaya mereka merasakan azab. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."


     Allah SWT telah memberikan peringatan dan ancaman kepada golongan kufar dengan azab api neraka sekiranya mereka tetap degil dan terus berada dalam kekufuran dan ingkar terhadap ayat al-Quran, berhak menerima azab berpanjangan di dalam neraka. Bahkan kesakitan yang dialami oleh penghuni neraka juga akan berterusan tanpa henti.

     Hal ini disebabkan kulit penghuni neraka akan sentiasa ditukar baru bahi mengekalkan azab dan kesakitan kepada mereka. Allah SWT telah menceritakan mengenai cara penghuni neraka itu diazab. Apabila kulit tubuh mereka hangus terbakar, kulit yang baru akan tumbuh dan tubuhnya dibakar lagi sehingga hangus. Kemudian tumbuh lagi kulit yang baru, dan begitulah seterusnya mereka diseksa berulang-ulang dengan penuh kesakitan. Perlu diingatkan bahawa penghuni neraka tidak akan mati kerana azab seksaan yang berterusan. Segalanya untuk merasai kesakitan dan kepedihan yang berterusan.

     Persoalannya ialah, apakah kaitan ditukar kulit yang baru kepada penghuni neraka dengan kesakitan yang berpanjangan yang akan dirasai oleh mereka? Di sinilah hebatnya al-Quran dalam mengungkapkan sesuatu. Setiap ungkapan al-Quran sekiranya dikaji akan dapat dirasai rahsia mukjizat yang terdapat di dalamnya.

     Jika dilihat di bawah mikroskop, kulit terdiri daripada dua lapisan iaitu lapisan epidermis dan lapisan dermis. Lapisan Epidermis adalah lapisan luar yang terus berganti, tipis dan tidak mempunyai pembuluh darah ataupun sel saraf. Lapisan dermis terletak di bawah epidermis terdiri atas sel-sel yang longgar dengan letak yang berjauhan, serta banyak mengandungi pembuluh darah.

     Pada bahagian kulit terdapat reseptor khusus untuk dapat membezakan sentuhan, tekanan, suhu (panas dan sejuk), serta rasa sakit. Sebahagian besar reseptor terletak pada lapisan dermis dan ada juga yang terletak pada lapisan epidermis. Pada hujung saraf ada yang terbungkus kapsul jaringan ikat (disebut korpuskel) dan ada yang tidak terbungkus (disebut hujung-hujung saraf bebas).

     Sehubungan dengan itu, kesakitan akan dirasa oleh kulit yang terdapat pada tubuh badan manusia apabila ia dibakar kerana deria atau saraf sakit yang terdapat pada kulit itu akan mengesannya. Namun, apabila kulit tersebut dibakar dalam tempoh yang lama, maka deria atau saraf tersebut akan mati, seterusnya rasa sakit itu pun akan hilang.

     Maka disinilah hikmahnya Allah SWT menggantikan dengan kulit yang baharu bagi penghuni neraka agar kesakitan itu akan terus berpanjangan dengan wujudnya kulit baharu yang mempunyai deria dan saraf yang baharu.

     Seorang bekas pelajar Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) di Scotland yang berbangsa Inggeris memeluk Islam kerana kajian yang dibuatnya untuk mendapatkan Ijazah Doktor Falsafahnya itu sudah diterangkan maklumatnya di dalam al-Quran!

     Kajian yang dibuat oleh beliau ialah tentang kulit manusia yang tidak akan merasai sakit apabila dibakar berulang kali. Beliau amat terpegun apabila mendapati bahawa al-Quran telah sekian lama membicarakan perkara tersebut melalui ayat 56 Surah al-Nisaa' yang bermaksud, "Sesungguhnya orang yang kufur dan engkar kepada ayat-ayat keterangan Kami (Allah), Kami akan bakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka terus merasai azab sengsara itu dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

     Dalam ayat ini, dengan jelas Allah menyatakan bahawa kulit penghuni nereka yang hangus terbakar akan digantikan dengan kulit baru yang lain. Ia bertujuan agar penghuni neraka tersebut akan terus merasai sakit dan peritnya api neraka. Apabila menghayati ayat ini, lantas tanpa ragu-ragu lagi beliau terus memeluk agama Islam yang suci murni ini.


KULIT - ORGAN TERBESAR

     KULIT merupakan organ homeostasis yang penting. Ia merupakan organ manusia yang paling besar yang memiliki berat sekitar enam paun. Kulit bertindak sebagai rintangan di antara persekitaran luar dan  dalam sebagai pemisah. Kulit berperanan melindungi otot dan organ manusia.

     Permukaan kulit mengandung saraf-saeaf yang memiliki bentuk dan fungsi yang berbeza-beza. Hujung saraf tersebut iaitu sebagai berikut:

     ● Paccini, merupakan hujung saraf pada   kulit yang peka terhadap rangsangan berupa tekanan atau saraf perasa tekanan kuat, letaknya di sekitar akar rambut.
     ● Ruffini, merupakan hujung saraf pada kulit yang peka terhadap rangsangan panas.
     ● Meisner, merupakan hujung saraf perasa pada kulit yang peka terhadap sentuhan.
     ● Krause, merupakan hujung saraf perasa pada kulit yang peka terhadap rangsangan sejuk.
     ● Lempeng Merkel, merupakan hujung perasa sentuhan dan tekanan ringan, terlekat pada permukaan kulit.
     ● Hujung saraf tanpa selaput, merupakan hujung saraf perasa sakit.


IMAN
- 5 PERKARA DALAM PESANAN BAPA -

     TANYA seorang anak kepada bapanya, "WAHAI ayah, apabila orang mahu menjadi baik, apakah perkara paling asas yang perlu mereka milikinya?"
     Jawap bapanya, "Agama."
     Tanya si anak, "Jika dua perkara?"
     Jawap si bapa, "Agama dan harta."
     "Jika tiga perkara?"
     "Agama, harta dan kesopanan."
     "Jika empat perkara?"
     "Agama, harta, kesopanan dan kelakuan yang baik."
     "Jika lima perkara?"
     Jawap bapanya, "Agama, harta, maruah diri, kelakuan yang baik dan kemurahan hati."
     "Jika enam perkara?"
     Maka kata Lukman al-Hakim kepada anaknya, "Wahai anakku, apabila seseorang mempunyai lima sifat itu, orang itu suci dan takut kepada Allah. Allah melindunginya, dan dia terselamat daripada godaan syaitan."




OLEH DR. MOHD. SUKKI OTHMAN 
-MAJALAH IMAN-


WALLAHUALAM :)


     

Saturday 20 December 2014

AYAT TERAGUNG DI DALAM AL-QURAN

SUATU hari, Rasulullah bertanya kepada seorang sahabat Baginda yang bernama Ubay bin Ka'ab, "Wahai Abu Munzir (gelaran bagi Ubay bin Ka'ab)! Adakah kamu tahu apakah ayat uang paling agung di dalam kitab Allaj pada dirimu?" Lalu Ubay Bin Ka'ab menjawab, "Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui." Kemudian Baginda bertanya lagi, "Wahai Abu Munzir! Adakah kamu tahu apakah ayat yang palijg agung dalam kitab Allah pada dirimu?" Lalu Ubay bin Ka'ab menjawab: "ALLAHU LAA ILAAHA ILLAA HUWAL HAYYUL QAYYUUM" (Ayatul Kursi). Lalu Baginda menepuk dada Ubay bin Ka'ab dan bersabda, "Demi Allah, semoga dadamu dipenuhi dengan ilmu, wahai Abu Munzir." (HR Imam Muslim)



Ayat paling agung
Diriwayatkan daripada Abu Dzar di dalam sebuah hadis yang panjang, beliau berkata, "Aku bertanya kepada Rasulullah, "Wahai Rasulullah, ayat yang Allah turunkan padamu, manakah yang paling agung?" Baginda menjawab: "Ayatul Kursi, iaitu; ALLAHU LAA ILLAHA ILLA HUWAL HAYYUL QAYYUM (Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhluk-Nya)." (HR Imam Ahmad)

Lebih agung daripada langit dan bumi
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas' ud bahawa dia berkata, "Tidaklah Allah menciptakan sesuatu di langit dan bumi yang lebih agung daripada Ayatul Kursi." Lalu Sufyan berkata, "Kerana Ayatul Kursi adalah kalam Allah dan kalam Allah lebih agung daripada ciptaan Allah seperti langit dan bumi." (HR Imam at-Tirmizi)

Ayatul Kursi
Ayatul Kursi terletak di dalam surah al-Baqarah ayat ke-255. Maksudnya: "Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanua mentadbirkan (sekalian makhluk-Nya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat di sisi-Nya melainkan dengan izin-Nya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedangkan mereka tidak mengetahui sesuatu pun daripada (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki. Luasnya Kursi Allah (ilmu-Nya dan kekuasaan-Nya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah untuk menjaga serta memelihara kedua-duanya. Dan Dialah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaan-Nya), lagi Maha besar (kekuasaan-Nya).

Nama Allah yang paling agung
Imam Ahmad meriwayatkan daripada Asma' binti Yazid, bahawa beliau berkata, "Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda tentang dua ayat ini iaitu ALLAHU LAA ILLAHA ILLA HUWAL HAYYUL QAYYUMA (al-Baqarah: 255 dan Ali Imran: 2). Sabda Baginda, 'Sesungguhnya di dalam kedua-dua ayat ini mengandungi nama Allah yang paling agung'." (HR Imam Ahmad)

Amalkan dengan cara yang benar
Justeru, marilah sama-sama kita amalkan Ayatul Kursi dalam kehidupan seharian kita sebagaimana yang telah diajarkan oleh Rasulullah kepada kita. Ajarkanlah iiajuga kepada anak-anak dan seisi keluarga. Janganlah jadikan Ayatul Kursi sekadar perhiasan di dinding rumah, kedai, pejabat mahupun dalam kereta sahaja dengan harapan dijauhi daripada gangguan syaitan. Bacalah ia setiap pagi dan malam, SETIAP KALI MENDIRIKAN SOLAT FARDHU DAN SETIAP KALI SEBELUM TIDUR, semoga Allah mengurniakan kebaikan, pemeliharaan dan memasukkan kita semua ke dalam syurga dengan asbab ayat yang teragung di dalam al-Quran iaitu Ayatul Kursi.



AYATUL KURSI - JADIKAN AMALAN

MELIHAT kepada keagungan Ayatul Kursi, sewajarnya kita menjadikannya sebagai salah satu ayat yang wajib kita hafal daripada al-Quran dan bersama-sama mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Terdapat banyak hadis yang disampaikan oleh Rasulullah akan kepentingan dan kelebihan Ayatul Kursi bagi yang mengamalkannya. Antaranya adalah seperti berikut:

Beroleh doa yang mustajab
Ibnu Mardawaih meriwayatkan daripada Abu Umamah secara marfu' bahawa Rasulullah pernah bersabda, "Nama-nama Allah yang paling agung di dalam tiga surah, sekiranya seseorang berdoa dengannya, nescaya doanya akan termakbul; iaitu surah AL-BAQARAH, surah ALI IMRAN dan surah TAHA. Ibnu Ammar menjelaskan, yang dimaksudkan di dalam surah al-Baqarah adalah Ayatul Kursi iaitu ayat yang ke-255, kemudian ayat pertama dan kedua daripada surah Ali Imran, dan ayat ke-111 daripa surah Taha." (Hadis Riwayat Imam al-Thabarani)

● Perlindungan daripada syaitan
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa beliau berkata, "Suatu ketika, Rasulullah mmenugaskan aku untuk menjaga harta zakat. Lalu pada suatu hari, ada seseorang yang menyusup hendak mengambil makanan, maka aku pun menangkapnya dan berkata, 'Aku benar-benar akan menyerahkanmu kepada Rasulullah'. Lalu dia berkata, 'Jika kamu hendak pergi ke tempat tidur, maka bacalah Ayatul Kursi, nescaya Allah akan sentiasa mmenjagamu dan syaitan tidak akan mendekatimu sehingga pagi'. Maka Rasulullah pun bersabda: 'Dia telah berkata benar kepadamu, padahal di adalah pendusta. Si penyusup tadi sebenarnya adalah syaitan'." (HR Imam al-Bukahri)

● Beroleh perlindungan daripada Allah
Diriwayatkan daripada al-Hasan bin Ali, cucu Rasulullah, bahawa Baginda pernah bersabda, "Barangsiapa yang membaca Ayatul Kursi setiap kali selepas solat fardu, maka dia sentiasa berada dalam perlindungan Allah sehingga solat yang berikutnya." (HR Imam at-Thabarani)

● Dikurniakan syurga Allah
Diriwayatkan daripada Abi Umamah bahawa Rasulullah pernah bersabda, "Barangsiapa yang membava Ayatul Kursi setiap kali selepas solat fardu, maka tidak ada sesuatu pun yang boleh menghalanginya masuk ke dalam syurga melainkan kematian." (HR Imam al-Nasa'i)

Syeikh al-Mulla Ali al-Qari menjelaskan, yang dimaksudkan dari hadis ini ialah; Sesungguhnya tiada sesiapa pun yang dapat mmenghalang orang yang mengamalkan Ayatul Kursi setiap kali selepas solat fardu untuk masuk ke dalam syurga, bahkan kematian adalah syarat untuk dia masuk kkedalam syurga. Ertinya, seseorang hanya bboleh dapat masuk ke dalam syurga setelah kematiannya sahaja.

- OLEH USTAZ MUHAMMAD HAFIZ SALEH- 
-MAJALAH IMAN-

WALLAHUALAM :)