Monday 22 December 2014

"GIGITLAH SUNAHKU DENGAN GERAHAM-GERAHAM KAMU"



DARIPADA Irbadh bin Sariah r.a. berkata; Rasulullah SAW telah memberikan peringatan kepada kami dengan peringatan yang menakutkan kami dan mengalirkan air mata, lantas kami berkata; "Wahai Rasulullah SAW ia seolah-olah peringatan perpisahan, maka berilah wasiat kepada kami." Baginda SAW bersabda, "Aku berpesan kepada kamu supaya bertakwa kepada Allah, dengar dan patuh meskipun yang menjadi ketua ke atas kamu ialah seorang hamba. Maka sesungguhnya barang siapa yang hidup berumur panjang di antara kamu, pasti dia akan melihat perselisihan yang banyak. Oleh itu kamu wajib berpegang dengan sunahku dan sunah Khulafa al-Rasyidin. Gigitlah sunahku dengan geraham-geraham kamu dan awaslah kamu daripada perkara bidaah. Sesungguhnya semua bidaah ialah sesat."


     Hadis ini merupakan sebuah pesanan dan wasiat Baginda SAW buat umatnya. Para sahabat meminta wasiat daripada Baginda SAW tatkala mereka memahami bahawa Baginda SAW sedang menyampaikan ucapan salam perpisahan dan selamat tinggal. Maka Baginda pun memulakan dengan ucapan yang pertama dan utama iaitu;

Takwa dan takut kepada Allah.
Takwa dan takut kepada Allah ialah tali pengikat seorang Muslim di dunia. Dengan kekuatan takwanya kepada Allah inilah akan memiliharanya daripada terjatuh ke dalam jurang kehinaan, kecelakaan dan kesesatan. Kerana itu takwa ialah satu amalan yang berterusan dalam ketaatan kepada Allah dan benar-benar meninggalkan maksiat kerana-Nya. Seterusnya takwa yang sempurna adalah menjauhkan diri daripada perkara subahat dan yang bercampur dengan yang haram.
     Seterusnya Baginda SAW menyampaikan wasiat yang berikut;

● Patuh kepada pemimpin
Mendengar dan taat kepada pemimpin Muslimin dalam perkara makruf adalah wajib. Allah telah mewajibkannya dalam al-Quran dengan firman-Nya yang bermaksud, "Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan ulil' amri (pemerintah) daripada kalangan kamu." (an-Nisaa': 59)
     Kerana itulah Baginda SAW menyebut wasiat mengenai 'dengar dan taat' secara khusus untuk menunjukkan kepentingan dan perhatian yang lebih kepada masalah ini. Kerana melaluinya seluruh kepentingan manusia dalam kehidupan akan menjadi teratur. Menerusinya, kita akan dapat bantuan untuk memartabatkan agama dan menzahirkan ketaatan dan ibadah kepada Allah.
     Seterusnya ialah memastikan kesatuan umat itu terpelihara. Sesungguhnya di antara pertama yang melemah dan menghilangkan kekuatan umat ialah mereka tidak lagi DENGAR dan TAAT kepada pemerintah mereka, cenderung kepada suasana yang tisak berperaturan dan menuntut kebebasan melampau. Dengan ini akan membawa kepada fitnah dan lahirnya banyak perselisihan dan perpecahan.

● Jika amir jadi hamba
Berkaitan dengan ucapan Baginda SAW berbunyi, "... meskipun yang menjadi amir ke atas kamu ialah seorang hamba," terdapa dua kefahaman yang dibawakan oleh para ulama.
Pertama:
     Hadis ini menceritakan tentang keporakperandaan umat Islam dan ketidakstabilan pelaksanaan hukum syarak sehinggakan pemerintahan diberikan kepada yang tidak layak. Arahan Baginda supaya taat ketika itu adalah kerana mengambil mudarat yang lebih ringan. Maksudnya, bersabar terhadap kepimpinan hamba yang tidak harus dilantik adalah lebih ringan mudaratnya daripada menimbulkan fitnah.
Kedua:
     Ia hanyalah contoh yang tidak realistik kerana si hamba tidak boleh mememegang teraju pemerintahan. Akan tetapi Baginda ingin menunjukkan betapa pentingnya kita untuk mentaati pemimpin itu hinggakan andai kita diperintah oleh seorang hamba pun, kita mesti juga mentaatinya.

Awas perkara bidaah
Seterusnya Baginda mengingatkan agar jangan melakukan sesuatu yang bertentangan dengan sunah iaitu bidaah. Bidaah ialah perkara baru yang berkaitan urusan agama yang diada-adakan dan dicipta. Ia adalah sesuatu perkara baru yang bertentangan dengan al-Quran, sunah, athar sahabat dan juga ijmak ulama. Bidaah ini sama ada berbentuk kepercayaan ataupun perbuatan. Bidaah inilah yang dikatakan sesat oleh Baginda SAW. Sekarang ini bidaah muncul dalam bentuk ajaran-ajaran sesat, kepercayaan Syiah dan seumpamanya.
     Adapun sekiranya ada perkara baru, tetapi ia baik dan memberi manfaat serta maslahat kepada umat Islam dan tidak bertentangan dengan al-Quran, sunah, athar sahabat dan ijmak ulama, maka ulama memutuskan ia bukanlah bidaah yang dimaksudkan di dalam hadis ini. 
     Maka inilah antara pesanan terakhir Baginda dan Baginda menyampaikannya dalam keadaan yang sungguh menyentuh dan menyentap di hati, tidak seperti peringatan Baginda SAW sebelum ini. Hinggakan para sahabat yang mendengar berasa sangat takut dan mengalirkan air mata. Maka eloklah kita ingat akan perkara-perkara yang disampaikan oleh Baginda SAW di dalam hadis ini kerana ia membawa maksud yang cukup mendalam, dan juga merupakan tempat pemegang untuk kita; umat akhir zaman.


AKAN BERLAKU PERSELISIHAN YANG BANYAK 
     BAGINDA SAW juga mengingatkan bahawa pada akhir zaman nanti, akan berlaku perselisihan yang banyak dalam pelbagai persoalan asas agama dan persoalan perpecahan, sama ada berkaitan kata-kata, perbuatan ataupun kepercayaan. Hakikatnya ini ialah satu pemberitahuan tentang perkara yang bakal berlaku selepas kewafatan Baginda SAW. Nabi telah menggambarkan apa yang bakal berlaku pada akhir zaman nanti.
     Maka Baginda SAW menambah pesanannya terhadal umatnya yang hidup pada akhir zaman nanti; 
     Mesti berpegang kepada sunah nabi dan sunah Khulafa' al-Rasyidin.
     Berpegang kepada sunah bermaksud mengikut suruhan Nabi SAW sama ada suruhan itu dalam bentuk perkataan, iaitu hadis Nabi, perbuatan, dan juga perakuan Baginda SAW terhadap sesuatu perkara.
     Sesungguhnya sunah Baginda SAW adalah PELENGKAP kepada al-Quran. Sunah juga MENTAFSIRKAN apa yang umum dalam al-Quran. Sunah MENJELASKAN apa yang didatangkan secara umum dalam al-Quran. Malah dalam beberapa perkara, sunah MENDATANGKAN AAPA YANG TIDAK DIDATANGKAN dalam al-Quran sama ada dalam perkara berkaitan akidah dan juga hukum hakam.
     Sunah bukan sekadar menunjukkan cara makan dan pakai Nabi SAW akan tetapi apa yang jauh dari itu, sunah MEMBAWA BERSAMANYA HUKUM HAKAM dan perkara penting dalam agama. Kerana itu sunah itu sumber kedua dalam sumber pengambilan hukum.
     Baginda SAW juga mengingatkan sjpaya mengikut sunah Khulafa' al-Rasyidin, iaitu para sahabat yang empat; Sayidina Abu Bakar, Sayidina Omar, Sayidina Uthman dan Sayidina Ali. Mereka adalah sahabat-sahabat besar yang sempat hidup lama bersama Baginda SAW dan mereka itu tahu serta memahami setiap tindak-tanduk Rasulullah SAW. Mereka mendapat tarbiah secara langsung dengan Baginda SAW dan juga daripada al-Quran. Kerana itulah Baginda berpesan supaya mengikuti sunah mereka.
     Baginda SAW menggambarkan kepentingan ketaatan kepada mereka ini dengan ungkapan, "Gigitlah sunahku dengan geraham-geraham kamu," iaitu menggenggam sunah dengan sepenuh hati, dan mengikut sunah dengan kesungguhan yang tinggi.




OLEH USTAZAH SURIANI BINTI SUDI
-MAJALAH IMAN-

No comments:

Post a Comment