Sunday 21 December 2014

KULIT YANG MERASA SEKSA




FIRMAN Allah SWT dalam surah al-Nisaa': 56, bermaksud, "Sesungguhnya orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Kami, kelak akan Kami masukkan ke dalam neraka. Setiap kali kulit mereka hangus, kami ganti kulit mereka dengan kulit yang lain, supaya mereka merasakan azab. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."


     Allah SWT telah memberikan peringatan dan ancaman kepada golongan kufar dengan azab api neraka sekiranya mereka tetap degil dan terus berada dalam kekufuran dan ingkar terhadap ayat al-Quran, berhak menerima azab berpanjangan di dalam neraka. Bahkan kesakitan yang dialami oleh penghuni neraka juga akan berterusan tanpa henti.

     Hal ini disebabkan kulit penghuni neraka akan sentiasa ditukar baru bahi mengekalkan azab dan kesakitan kepada mereka. Allah SWT telah menceritakan mengenai cara penghuni neraka itu diazab. Apabila kulit tubuh mereka hangus terbakar, kulit yang baru akan tumbuh dan tubuhnya dibakar lagi sehingga hangus. Kemudian tumbuh lagi kulit yang baru, dan begitulah seterusnya mereka diseksa berulang-ulang dengan penuh kesakitan. Perlu diingatkan bahawa penghuni neraka tidak akan mati kerana azab seksaan yang berterusan. Segalanya untuk merasai kesakitan dan kepedihan yang berterusan.

     Persoalannya ialah, apakah kaitan ditukar kulit yang baru kepada penghuni neraka dengan kesakitan yang berpanjangan yang akan dirasai oleh mereka? Di sinilah hebatnya al-Quran dalam mengungkapkan sesuatu. Setiap ungkapan al-Quran sekiranya dikaji akan dapat dirasai rahsia mukjizat yang terdapat di dalamnya.

     Jika dilihat di bawah mikroskop, kulit terdiri daripada dua lapisan iaitu lapisan epidermis dan lapisan dermis. Lapisan Epidermis adalah lapisan luar yang terus berganti, tipis dan tidak mempunyai pembuluh darah ataupun sel saraf. Lapisan dermis terletak di bawah epidermis terdiri atas sel-sel yang longgar dengan letak yang berjauhan, serta banyak mengandungi pembuluh darah.

     Pada bahagian kulit terdapat reseptor khusus untuk dapat membezakan sentuhan, tekanan, suhu (panas dan sejuk), serta rasa sakit. Sebahagian besar reseptor terletak pada lapisan dermis dan ada juga yang terletak pada lapisan epidermis. Pada hujung saraf ada yang terbungkus kapsul jaringan ikat (disebut korpuskel) dan ada yang tidak terbungkus (disebut hujung-hujung saraf bebas).

     Sehubungan dengan itu, kesakitan akan dirasa oleh kulit yang terdapat pada tubuh badan manusia apabila ia dibakar kerana deria atau saraf sakit yang terdapat pada kulit itu akan mengesannya. Namun, apabila kulit tersebut dibakar dalam tempoh yang lama, maka deria atau saraf tersebut akan mati, seterusnya rasa sakit itu pun akan hilang.

     Maka disinilah hikmahnya Allah SWT menggantikan dengan kulit yang baharu bagi penghuni neraka agar kesakitan itu akan terus berpanjangan dengan wujudnya kulit baharu yang mempunyai deria dan saraf yang baharu.

     Seorang bekas pelajar Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) di Scotland yang berbangsa Inggeris memeluk Islam kerana kajian yang dibuatnya untuk mendapatkan Ijazah Doktor Falsafahnya itu sudah diterangkan maklumatnya di dalam al-Quran!

     Kajian yang dibuat oleh beliau ialah tentang kulit manusia yang tidak akan merasai sakit apabila dibakar berulang kali. Beliau amat terpegun apabila mendapati bahawa al-Quran telah sekian lama membicarakan perkara tersebut melalui ayat 56 Surah al-Nisaa' yang bermaksud, "Sesungguhnya orang yang kufur dan engkar kepada ayat-ayat keterangan Kami (Allah), Kami akan bakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka terus merasai azab sengsara itu dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

     Dalam ayat ini, dengan jelas Allah menyatakan bahawa kulit penghuni nereka yang hangus terbakar akan digantikan dengan kulit baru yang lain. Ia bertujuan agar penghuni neraka tersebut akan terus merasai sakit dan peritnya api neraka. Apabila menghayati ayat ini, lantas tanpa ragu-ragu lagi beliau terus memeluk agama Islam yang suci murni ini.


KULIT - ORGAN TERBESAR

     KULIT merupakan organ homeostasis yang penting. Ia merupakan organ manusia yang paling besar yang memiliki berat sekitar enam paun. Kulit bertindak sebagai rintangan di antara persekitaran luar dan  dalam sebagai pemisah. Kulit berperanan melindungi otot dan organ manusia.

     Permukaan kulit mengandung saraf-saeaf yang memiliki bentuk dan fungsi yang berbeza-beza. Hujung saraf tersebut iaitu sebagai berikut:

     ● Paccini, merupakan hujung saraf pada   kulit yang peka terhadap rangsangan berupa tekanan atau saraf perasa tekanan kuat, letaknya di sekitar akar rambut.
     ● Ruffini, merupakan hujung saraf pada kulit yang peka terhadap rangsangan panas.
     ● Meisner, merupakan hujung saraf perasa pada kulit yang peka terhadap sentuhan.
     ● Krause, merupakan hujung saraf perasa pada kulit yang peka terhadap rangsangan sejuk.
     ● Lempeng Merkel, merupakan hujung perasa sentuhan dan tekanan ringan, terlekat pada permukaan kulit.
     ● Hujung saraf tanpa selaput, merupakan hujung saraf perasa sakit.


IMAN
- 5 PERKARA DALAM PESANAN BAPA -

     TANYA seorang anak kepada bapanya, "WAHAI ayah, apabila orang mahu menjadi baik, apakah perkara paling asas yang perlu mereka milikinya?"
     Jawap bapanya, "Agama."
     Tanya si anak, "Jika dua perkara?"
     Jawap si bapa, "Agama dan harta."
     "Jika tiga perkara?"
     "Agama, harta dan kesopanan."
     "Jika empat perkara?"
     "Agama, harta, kesopanan dan kelakuan yang baik."
     "Jika lima perkara?"
     Jawap bapanya, "Agama, harta, maruah diri, kelakuan yang baik dan kemurahan hati."
     "Jika enam perkara?"
     Maka kata Lukman al-Hakim kepada anaknya, "Wahai anakku, apabila seseorang mempunyai lima sifat itu, orang itu suci dan takut kepada Allah. Allah melindunginya, dan dia terselamat daripada godaan syaitan."




OLEH DR. MOHD. SUKKI OTHMAN 
-MAJALAH IMAN-


WALLAHUALAM :)


     

No comments:

Post a Comment