Sunday 27 May 2018

NABI YUSUF A.S. [ BAHAGIAN 6 ]






BAHAGIAN 6








J. Yusuf A.S. Menahan Bunyamin Sebagai Tahanan


     Yusuf menerima saudara-saudaranya sebagai tetamu selama tiga hari tiga malam. Setelah selesai masa bertamu bersiap-siaplah mereka untuk bertolak pulang kembali ke negerinya, sesudah karung-karung kosong mereka diisi penuh dengan gandum dan bahan-bahan makanan lain yang mereka perlukan.

     Setelah berjabat tangan, meminta diri dari Yusuf, bergeraklah kabilah mereka menuju pintu gerbang ke luar kota. Akan tetapi sebelum kabilah sempat melalui batas kota, tiba-tiba beberapa pengawal istana yang berkuda mengejar mereka dan memerintahkan agar berhenti dan dilarang meneruskan perjalanan, sebelum diadakan pemeriksaan terhadap barang-barang yang mereka bawa. Para pengawal mengatakan bahawa sebuah piala, gelas minum raja telah hilang dan mungkin salah seorang daripada mereka yang mencurinya.

     Kabilah berhenti di tempat dan dengan hairan berkatalah jurucakap mereka: "Demi Allah SWT, kami datang ke mari bukan untuk mengacau dan sangat tidak mungkin bahawa salah seorang daripada kami akan mencuri piala itu. Kami adalah putera-putera Ya'qub pesuruh Allah SWT kami sudah merasa berhutang budi kepada raja dan banyak berterima kasih atas bantuan yang telah diberikan kepada kami. Tidak wajar bagi kami akan membalas kebaikan hati raja dengan mencuri barang-barangnya? Namun untuk membenarkan kata-kata kami, kami tidak berkeratan karung-karung dan barang-barang kami dibongkar dan digeledah sepuas-puasnya. Dan ternyata ada salah seorang daripada kami yang terdapat piala itu di dalam kumpulan barang-barangnya, kami rela menyerahkannya kepada raja untuk diberi ganjaran yang setimpal."

     Penggeledahan dilakukan oleh para pengawal, barang-barang serta karung-karung diturunkannya dari atas punggung unta, dibongkar dan diperiksa. Sejurus kemudian berteriaklah salah seorang pengawal dengan memegang piala di tangannya sambil berkata: "Inilah dia pahala yang hilang."

     Para anggota rombongan terkejut dan ternganga mulut mereka, sambil memandang antara satu kepada yang lain kehairan-hairanan, seakan-akan masing-masing bertanya dalam diri sendiri, gerangan musibah apakah yang menimpa mereka ini? Sangat berat, bahkan tidak mungkin, mereka akan percaya bahawa salah seorang dari rombongan bersaudara itu melakukan perbuatan yang akan mencemarkan nama baik keluarga mereka. Namun bukti yang mereka saksikan dengan mata kepala sendiri tidak dapat dimungkiri dan ditolak kebenarannya.

     Bertanya pemimpin rombongan kepada pengawal dari mana mereka dapatkan piala itu. Pengawal menunjuk kepada salah satu karung, yang ternyata bahawa karung itu adalah kepunyaan adik bongsu mereka Bunyamin. Maka sesuai dengan persetujuan yang telah disepakati, ditahanlah Bunyamin dan tidak diizinkan pulang menyertai rombongan. 

     Pada masa itu terbayanglah di hadapan mereka wajah Ya'qub, ayah mereka, yang sedang buta dan mengidap penyakit, kerana tidak henti-hentinya mengenangkan dan mengingati Yusuf. Ayah yang dengan susah-payah dan dengan rasa berat melepaskan Bunyamin menyertai mereka ke Mesir, kerana khuatir berulangnya kembali tragedi Yusuf akan dialami oleh anak bongsunya Bunyamin.

     Bagaimana mereka harus menghadapi ayah mereka yang telah diberinya janji yang teguh atas nama Allah SWT akan membawa Bunyamin kembali? Dan apakah akan percaya ayah mereka bila diberitahu bahawa Bunyamin telah ditahan di Mesir kerana mencuri piala raja? Tidakkah berita itu kelak akan menjadikan penyakit ayah mereka makin parah, bahkan mungkin akan membinasakannya dan mengakhiri hayatnya?

     Selagi pertanyaan-pertanyaan itu berputar dalam fikiran abang-abangnya, Bunyamin termenung seorang diri, tidak berkata sepatah kata pun. Dia ternganga kehairanan, bagaimana piala itu boleh didapati di dalam muatannya, padahal dia sekali-kali tidak merasa menyentuhnya. Dia ingin menolak tuduhan dan menyangkal tuduhan terhadap dirinya, namun dia merasa akan sia-sia belaka, bahkan akan menambahkan marah para pengawal yang telah mengeluarkan piala dari muatannya sebagai bukti yang nyata yang tidak dapat dibantah. Dia hanya berpasrah kepada Allah SWT yang Mengetahui bahawa dia bersih dari tuduhan mencuri.

     Anggota rombongan beramai-ramai mendatangi Yusuf, memohon kebijaksanaannya agar menerima salah seorang daripada mereka menggantikan Bunyamin sebagai tahanan.

     Berkata mereka: "Wahai Tuan Paduka, kami sedar bahawa adik bongsu kami bersalah dan kami tidak dapat memungkiri kenyataan yang telah kami saksikan dengan mata kepala kami ketika piala ditemukan di dalam muatannya. Akan tetapi kami mohon kebijaksanaan dan belas kasihan Tuan, agar adik kami Bunyamin diizinkan meninggalkan Mesir dan sebagai gantinya, Tuan Paduka dapat memilih salah seorang daripada kami sebagai tahanan. Sebab bila rombongan kami tiba di tempat asal kami tanpa Bunyamin, hal itu akan menyedihkan ayah kami bahkan mungkin dapat membinasakan jiwanya. Ayah kami yang sudah lanjut usia, hampir mencapai satu abad, berada dalam keadaan sakit sejak kehilangan putera kesayangannya Yusuf. Adalah adik kami Bunyamin ini yang menjadi penghibur hatinya yang dirundung duka dan sedih sepanjang hayatnya. Dia bahkan tidak akan mengizinkan kami membawanya ke mari kalau tidak kerana terpaksa kerana berkuranganya persediaan gandum di rumah. Maka sangat kami harapkan belas kasihan Tuan Paduka agar melepaskan Bunyamin dan menahan salah seorang daripada kami sebagai gantinya."

     Yusuf menolak permohonan abang-abangnya dan berpegang teguh pada persepakatan yang telah sama disetujui bahawa barangsiapa kedapatan piala di dalam muatannya akan ditahan, apa lagi memang menurut syariat Nabi Ya'qub bahawa barangsiapa yang mencuri maka, hukumannya ialah si pencuri dijadikan hamba satu tahun lamanya.

     Dalam perbincangan yang dilakukan oleh abang-abang Yusuf setelah gagal memperoleh persetujuannya melepaskan Bunyamin dari tahanan, berkatalah Yahudza, saudara tertua di antara mereka: "Aku tidak terdaya untuk menghadap ayah tanpa Bunyamin. Kita telah menderhakai ayah dengan melemparkan Yusuf ke dalam perigi sehingga menjadikan ayah menderita sepanjang hayatnya dan kini akan menambah lagi penderitaan ayah dengan meninggalkan Bunyamin seorang diri di sini tanpa kita mengetahui nasib apa yang akan dialaminya sedang kita telah berjanji dan bersumpah akan membawanya kembali apa pun yang akan kita hadapi untuk menjaga keselamatannya. Kerana itu aku akan tinggal di sini buat sementara waktu dan tidak akan pulang ke rumah sebelum ayah memanggilku dan mengizinkanku kembali. Pergilah kamu segera pulang kembali dan ceritakanlah kepada ayah apa yang telah terjadi dengan sebenarnya dan bila ayah tidak mempercayaimu, sedangkan pengalamannya dengan Yusuf, maka biarlah dia menanya kepada kabilah-kabilah dan orang-orang yang telah menyaksikan peristiwa pergeledahan dengan mata kepala mereka sendiri di tempat kami ditahan."

     Berangkatlah kabilah Ya'qub kembali ke tanah airnya dengan hanya terdiri dari sembilan orang, meninggalkan di belakang mereka abang sulungnya Yahudza dan adik bongsunya Bunyamin. Setiba mereka di rumah hanya dengan sembilan orang dan menghadap ayahnya menceritakan apa yang terjadi pada diri Bunyamin dan Yahudza. Nabi Ya'qub berkata sambil berpaling dari mereka dan mengusap dada.

     "Oh alangkah sedih hatiku kerana hilangnya Yusuf yang masih selalu terbayang wajahnya di depan mataku. Kini kamu tambah lagi penderitaanku dengan meninggalkan Bunyamin di negeri orang. Untuk kedua kalinya kamu melanggar janjimu dan sumpahmu sendiri dan untuk kedua kalinya aku kehilangan putera yang sangat aku sayangi dan hanya dirimu sendirilah yang memandang baik perbuatan itu. Semoga Allah SWT memberi kesabaran kepadaku dan mempertemukanku kembali dengan anak-anakku semuanya."

     Berkata putera-puteranya menjawab: "Wahai ayah, demi Allah SWT engkau akan mengidap penyakit yang berat dan akan binasalah engkau bila engkau terus-menerus mengenangkan Yusuf dan tidak berusaha menghilangkan bayangannya dari fikiranmu."

     Menjawab teguran putera-puteranya itu berkatalah Ya'qub: "Sesungguhnya hanya kepada Allah SWT aku mengadukan nasibku, kesusahan dan kesedihan hatiku. Aku mengetahui dari Allah SWT apa yang kamu tidak mengetahuinya."

     Kemudian, mengenai diri Bunyamin yang ditahan oleh pengawal-pengawal kerajaan, maka sepeninggalan abang-abangnya, oleh Yusuf diberitahu bahawa piala raja yang terdapat dalam muatannya, adalah perbuatan pengawal-pengawalnya yang memang sengaja diperintahkan oleh beliau untuk diisikannya ke dalam muatan Bunyamin itu dengan maksud menahannya tinggal bersamanya di dalam istana. Dia membesarkan hati adiknya dengan meramalkan bahawa akan tiba kelak suatu saat di mana dia dengan adiknya dan seluruh keluarga akan bertemu dan berkumpul kembali.

     Bacalah tentang isi cerita di atas ayat 70 sehingga 86 dari surah Yusuf yang bermaksud:

Ertinya:

"Maka tatkala telah disiapkan untuk mereka bahan makanan mereka, Yusuf memasukkan piala (bekas yang terbuat dari emas yang digunakan untuk minum) ke dalam karung saudaranya. Kemudian berteriaklah seseorang yang menyerukan: "Wahai ahli kafilah! Sesungguhnya kamu adalah orang yang mencuri." Mereka bertanya kepada penyeru-penyeru itu: "Barang apa yang hilang daripada kamu?" Penyeru-penyeru itu berkata: "Kami kehilangan piala (bekas minum) raja dan siapa yang dapat mengembalikannya akan memperolehi bahan makanan (seberat) beban unta dan akulah yang menjamin pemberian tersebut." Saudara-saudara Yusuf menjawab: "Demi Allah, sesungguhnya kamu mengetahui bahawa kami datang bukan untuk membuat kerosakan di negeri (ini) dan kami bukanlah para pencuri." Mereka berkata: "Tetapi apa balasannya jikalau kamu betul-betul pendusta?" Mereka menjawab: "Balasannya ialah pada siapa ditemui (barang yang hilang), maka dia sendirilah yang menerima balasannya (tebusannya). Demikianlah kami memberi pembalasan kepada orang yang zalim." Maka Yusuf mulai (memeriksa) karung-karung mereka sebelum (memeriksa) karung saudaranya sendiri, kemudian dia mengeluarkan piala (bekas minum) raja itu dari karung saudaranya. Demikianlah Kami atur untuk (mencapai maksud) Yusuf. Tidak patut Yusuf menghukum saudaranya menurut undang-undang raja kecuali Allah mengkehendakinya. Kami tinggikan darjat orang yang Kami kehendaki; dan di atas setiap orang yang berpengetahuan itu ada lagi Yang Maha Mengetahui. Mereka berkata: "Jika dia mencuri, maka sesungguhnya saudaranya sebelum itu pun pernah mencuri." Maka Yusuf menyembunyikan (kejengkelan itu) dalam hatinya dan tidak menyatakan kepada mereka. Dia berkata (dalam hatinya): "Kamulah yang lebih buruk kedudukanmu (sifat-sifatmu) dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu terangkan itu." Mereka berkata: "Wahai al-Aziz! Sesungguhnya dia mempunyai ayah yang sudah lanjut usianya, lantaran itu ambillah salah seorang di antara kami sebagai gantinya, sesungguhnya kami melihat kamu termasuk orang yang berbuat baik." Yusuf berkata: "Aku memohon perlindungan kepada Allah daripada menahan seseorang kecuali orang yang kami dapati harta benda kami ada padanya, jika kami berbuat demikian, maka benarlah kami orang yang zalim." Maka tatkala mereka berputus asa daripada (keputusan) Yusuf, mereka menyendiri sambil berunding dengan berbisik-bisik. Berkatalah yang paling tua di antara mereka: "Tidakkah kamu ketahui bahawa, sesungguhnya ayah kamu telah mengambil janji daripada kamu dengan nama Allah dan sebelum itu, kamu telah mensia-siakan Yusuf. Disebabkan itu aku tidak akan meninggalkan negeri Mesir sehingga ayahku mengizinkan kepadaku (untuk kembali) atau sehingga Allah memberi keputusan terhadapku. Dan Dia adalah hakim yang sebaik-baiknya." Kembalilah kepada ayah kamu dan katakanlah: "Wahai ayah kami! Sesungguhnya anakmu (Bunyamin) telah mencuri dan kami hanya meyaksikan apa yang kami ketahui dan kami sekali-kali tidak dapat menjaga (mengetahui) barang yang ghaib." "Dan tanyalah penduduk negeri (Mesir) tempat kami berada di situ dan kafilah yang datang bersama kami dan sesungguhnya kami adalah orang yang benar." Yaakub berkata: "Hanya dirimu sendirilah yang memandang baik perbuatan (yang buruk) itu. Maka kesabaran yang baik itulah (kesabaran-ku). Mudah-mudahan Allah mengembalikan mereka semuanya kepadaku; sesungguhnya Dialah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." Dan Yaakub berpaling daripada mereka (anak-anaknya) seraya berkata: "Aduhai dukacitanya aku terhadap Yusuf" dan kedua matanya menjadi putih kerana kesedihan sedang dia diam menahan amarah (terhadap anak-anaknya). Mereka berkata: "Demi Allah, kamu sentiasa mengingati Yusuf sehingga kamu mengidap penyakit berat atau termasuk orang yang binasa." Yaakub menjawab: "Sesungguhnya hanyalah kepada Allah aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku dan aku mengetahui daripada Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya." (Surah Yusuf: 70-86)









N / F : DARIPADA "KISAH-KISAH PARA NABI & RASUL", OLEH ABDULLAH BIN AHMAD MUBARAK.

Saturday 19 May 2018

NABI YUSUF A.S. [ BAHAGIAN 5 ]






BAHAGIAN 5








H. Yusuf A.S. Dilantik Sebagai Wakil Raja Mesir

  
     Raja Mesir yang telah mendengar banyak tentang Nabi Yusuf dari pelayannya, teman Nabi Yusuf dalam penjara, dari kesaksian wanita-wanita, tamu Zulaikha dalam jamuan makan dan dari Zulaikha sendiri, makin bertambah rasa hormatnya dan kagumnya terhadap Nabi Yusuf setelah berhadapan muka dan bercakap-cakap dengan beliau setelah keluarnya dari penjara.

     Kecerdasan Nabi Yusuf, pengetahuannya yang luas, kesabarannya, kejujurannya, keramah-tamahannya dan akhlak serta budi pekerti luhurnya, menurut fikiran Raja akan sangat bermanfaat bagi kerajaannya bila Nabi Yusuf diserahkan kepada pimpinan negara dan rakyat. Maka kepada Nabi Yusuf dalam pertemuan pertamanya dengan Raja ditawarkan agar dia tinggal di istana, mewakili Raja menyelenggarakan pemerintahan dan pengurusan negara serta memimpin rakyat Mesir yang diramalkan akan menghadapi masa-masa sukar dan gawat.

     Nabi Yusuf tidak menolak tawaran Raja itu. Dia menerimanya asal saja kepadanya diberi kekuasaan penuh dalam bidang kewangan dan bidang pengedaran bahan makanan, kerana menurut pertimbangan Nabi Yusuf, kedua bidang yang berkaitan satu dengan yang lain itu, merupakan kunci dari kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara. Raja yang sudah mempunyai kepercayaan penuh terhadap diri Nabi Yusuf, terhadap kecerdasan otaknya, kejujurannya serta kecekapannya menyetujui fikiran beliau dan memutuskan untuk menyerahkan kekuasaannya kepada Nabi Yusuf dalam suatu upacara penabalan yang lazimnya dan menurut kebiasaan yang berlaku.

     Pada hari penabalan yang telah ditentukan, yang dihadiri oleh para pembesar negeri dan pemuka-pemuka masyarakat, Nabi Yusuf dikukuhkan sebagai wakil raja, dengan mengenakan pakaian kerajaan dan di lehernya dikalungkan sebuah kalung emas, kemudian Raja di hadapan para hadirin melepaskan cincin dari jari tangannya lalu disarungkannya ke jari tangan Nabi Yusuf, sebagai tanda penyerahan kekuasaan kerajaan.

     Setelah selesai penabalan, dan diserahkan jawatan Nabi Yusuf A.S., maka raja Mesir berkenan untuk mengahwinkan Yusuf dengan Zulaikha (Ra'il) janda majikannya yang telah mati ketika Nabi Yusuf A.S. masih dalam penjara.

     Kemudian setelah Yusuf bergaul dengan isterinya dia berkata: "Tidakkah ini lebih baik daripada apa yang anda kehendaki dahulu itu."

     Jawab Zulaikha (Ra'il): "Wahai orang yang jujur, janganlah mencelaku. Anda mengetahui bahawa aku dahulu sedemikian muda dan cantik, dalam keadaan serba mewah, sedang suamiku lemah, tidak dapat memuaskan isterinya dan engkau dijadikan oleh Allah SWT sedemikian tampannya, maka aku kalah dengan hawa nafsuku. Demikianlah keadaannya, kerana itu Nabi Yusuf A.S. masih bertemu dengan Zulaikha dalam keadaan gadis, dan mendapat dua putera daripadanya, Ifratsim dan Minsya bin Yusuf.

     Demikianlah rahmat dan kurniaan Tuhan yang telah memberi kedudukan tinggi dan kerajaan besar kepada hamba-Nya Nabi Yusuf setelah mengalami beberapa penderitaan dan ujian yang berat, yang dimulai dengan pelemparannya ke dalam sebuah perigi oleh saudara-saudaranya sendiri, kemudian dijual-belikannya sebagai hamba dalam suatu penawaran umum, dan pada akhirnya setelah dia mulai merasakan ketenangan hidup di rumah Ketua Polis Negara Mesir datanglah godaan dan fitnahan yang berat bagi dirinya di mana nama baiknya dikaitkan dengan suatu perbuatan maksiat yang menyebabkan dia merengkok dalam penjara selama bertahun-tahun. Sebagai penguasa yang bijaksana, Nabi Yusuf memulakan tugasnya dengan mengadakan lawatan ke daerah-daerah yang termasuk dalam lingkungan kekuasaannya untuk berkenalan dengan rakyat jelata serta daerah yang diperintahnya dari dekat, sehingga segala rancangan dan peraturan yang akan diadakan dapat memenuhi keperluan dan sesuai dengan iklim dan keadaan daerah.

     Dalam masa tujuh tahun pertama Nabi Yusuf menjalankan pemerintah di Mesir, rakyat merasakan hidup tenteram, aman dan sejahtera. Barang-barang keperluan cukup dibahagi sama rata dan dijangkau oleh semua lapisan masyarakat tanpa berkecuali. Dalam pada itu Nabi Yusuf tidak lupa akan peringatan yang terkandung dalam mimpi Raja Mesir, bahawa akan datang masa tujuh tahun yang sukar dan gawat. Maka untuk menghadapi masa itu, Nabi Yusuf mempersiapkan gudang dan kepuk-kepuk bagi penyimpanan bahan makanan untuk musim kemarau yang akan datang.

     Berkat pengurusan yang bijaksana dari Nabi Yusuf, maka setelah masa hijau dan subur berlalu dan masa kemarau dan kering tiba, rakyat Mesir tidak sampai mengalami krisis makanan atau menderita kelaparan. Persediaan bahan makanan yang dihimpun di waktu masa hijau dan subur dapat mencukupi keperluan rakyat selama masa kering, bahkan masih dapat menolong masyarakat Mesir yang sudah kekurangan bahan makanan dan menghadapi bahaya kelaparan.

     Kisah pengangkatan Nabi Yusuf sebagai penguasa Mesir diceritakan dalam Al-Quran dalam surah Yusuf, ayat 54 sehingga ayat 57 yang berbunyi seperti berikut:

Ertinya:

"Dan raja berkata: "Bawalah Yusuf kepadaku, untuk jadikan dia sebagai orang (kepercayaan) yang rapat denganku." Setelah raja berbual-bual dengan Yusuf, maka raja berkata: "Sesungguhnya kamu (mulai) hari ini menjadi seorang yang berkedudukan tinggi lagi dipercayai di sisi kami." Yusuf berkata: "Jadikanlah aku pengurus perbendaharaan hasil negara (Mesir); sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga lagi berpengetahuan." Dan demikianlah Kami memberi kedudukan kepada Yusuf di negeri Mesir; (dia berkuasa penuh) bebas tinggal di mana saja dia kehendaki di Mesir itu. Kami melimpahkan rahmat Kami kepada siapa yang Kami kehendaki dan Kami tidak mensia-siakan pahala orang yang berbuat baik. Dan sesungguhnya pahala akhirat itu lebih baik bagi orang beriman dan sentiasa bertakwa." (Surah Yusuf: 54-57)


I. Pertemuan Yusuf A.S. Dengan Saudara-Saudaranya


     Kemudian datanglah orang berduyun-duyun dari kota dan desa-desa pinggiran Mesir, bahkan dari negara-negara berhampiran Mesir yang sudah kekurangan bahan makanan bagi rakyat. Mereka datang mengharapkan pertolongan Nabi Yusuf untuk memberi kesempatan membeli gandum serta lain-lain bahan makanan yang masih tersedia dalam gudang-gudang pemerintah.

     Di antara para pendatang yang ingin berbelanja di Mesir terdapat rombongan orang-orang Palestin, termasuk di antara mereka saudara-saudara Nabi Yusuf sendiri iaitu penyebab utama bagi penderitaan yang telah dialaminya. Nabi Yusuf segera mengenali mereka, tetapi sebaliknya mereka tidak mengenali adik mereka yang pernah dilempar ke dalam telaga. Bahkan tidak terlintas dalam fikiran mereka bahawa Yusuf masih hidup, apalagi menjadi orang besar memimpin negara Mesir sebagai wakil Raja yang berkuasa mutlak.

     Atas pertanyaan Nabi Yusuf berkatalah jurucakap rombongan putera-putera Ya'qub: "Wahai Tuan Paduka, kami adalah putera-putera Ya'qub yang kesemuanya adalah dua belas orang. Yang termuda di antara kami putera ayah yang bongsu, kami tinggalkan di rumah untuk menjaga ayah kami yang telah lanjut usia dan buta pula. Seorang saudara lain telah lama meninggalkan rumah dan hingga kini kami tidak mengetahui di mana dia berada. Kami datang ke mari atas perintah ayah kami, agar memohon pertolongan dan bantuan Tuan Paduka yang budiman, kiranya dapat memberi kesempatan memperkenankan kami membeli gandum dari persediaan pemerintah tuan, bagi memenuhi keperluan kami yang sangat mendesak, sehubungan dengan krisis bahan makanan yang menimpa daerah kami."

     Berkata Nabi Yusuf menjawab keterangan saudara-saudaranya itu: "Sesungguhnya kami meragukan identiti kamu dan menyangsikan keteranganmu ini. Kami tidak dapat mengabaikan bahawa adanya kemungkinan bahawa kamu adalah pengintip yang dikirim oleh musuh-musuh kami untuk mengadakan kekecohan dan kekacauan di negeri kami kerana itu kami mengkehendaki kamu memberi bukti-bukti yang kuat atas kebenaran kata-katamu atau membawa saksi-saksi yang kami percaya bahawa kamu adalah betul-betul putera-putera Ya'qub."

     "Tuan Paduka yang bijaksana," menyambut jurucakap itu, "Kami adalah orang-orang musafir gharib di negeri tuan, tidak seorang pun di sini yang mengenali kami atau kami kenal, maka sukar sekali bagi kami pada masa ini memberi bukti atau membawa saksi sebagaimana Tuan Paduka kehendaki. Maka kami hanya berpasrah kepada Tuan Paduka untuk memberi jalan kepada kami dengan cara bagaimana kami dapat memenuhi perintah Tuan Paduka itu."

     "Baiklah," Nabi Yusuf berkata, "kali ini kami memberi kesempatan kepada kamu untuk membeli gandum dari gudang kami secukupnya keperluan kamu sekeluarga dengan syarat bahawa kamu harus kembali ke sini secepat mungkin membawa saudara bongsumu yang kamu tinggalkan di rumah. Jika syarat ini tidak terpenuhi, maka kami tidak akan melayani keperluan kamu untuk memperolehi gandum untuk masa-masa akan datang."

     Berkata abang kepada Yusuf yang tidak mengenalnya itu: "Tuan Paduka kami mengira bahawa ayah kami tidak akan mengizinkan kami membawa adik bongsu kami ke sini kerana dia adalah kesayangan ayah kami yang sangat dicintai dan dia adalah penghibur ayah yang menggantikan kedudukan saudara kami Yusuf, sejak dia keluar dari rumah menghilang tanpa meninggalkan berita. Akan tetapi bagaimana pun untuk kepentingan kami sekeluarga, akan kami usahakan secepat mungkin memujuk ayah kami agar mengizinkan kami membawa adik kami Bunyamin ke mari dalam kesempatan yang akan datang."

     Sejak awal Nabi Yusuf melihat wajah-wajah saudaranya yang datang memerlukan gandum, tidak ada niat sedikit pun dalam hatinya hendak menyukarkan keinginan mereka sebagai balas dendam atas perbuatan yang mereka telah lakukan terhadap dirinya. Soal jawab yang dilakukan dengan mereka hanya sekadar ingin mengetahui keadaan ayah dan adik bongsunya, Bunyamin yang sudah bertahun-tahun ditinggalkan dan hanya sekadar taktik untuk mempertemukan kembali dengan ayah dan saudara-saudaranya yang sudah lama berpisah.

     Kemudian Nabi Yusuf A.S. memerintahkan pegawai-pegawainya mengisi karung-karung saudara-saudaranya dengan gandum dan bahan makanan yang mereka perlukan. Sedang barang-barang emas dan perak yang mereka bawa untuk harga gandum dan bahan makanan itu, diisikan kembali ke dalam karung-karung mereka secara diam-diam tanpa mereka ketahui.

     Setibanya kembali di Palestin berceritalah mereka kepada ayahnya Nabi Ya'qub tentang perjalanan mereka dan bagaimana Yusuf menerima mereka, yang dipujinya sebagai penguasa yang bijaksana, adil, sabar, rendah hati dan sangat ramah-tamah. Tanpa sedikit kesukaran pun mereka telah diberinya hajat mereka dari gandum yang diisikan oleh pegawai-pegawai Yusuf ke dalam karung mereka.

     Disampaikan juga oleh mereka kepada ayahnya, bahawa mereka diarahkan oleh Yusuf membawa adik bongsu mereka ke Mesir, bila mereka datang lagi untuk membeli gandum dan bahan makanan. Tanpa membawa adik mereka, mereka tidak akan dilayani dan diperkenankan membeli gandum yang mereka perlukan. Kerana itu mereka memohon agar mereka diperkenankan membawa adik mereka Bunyamin bila mereka kembali ke Mesir untuk membeli gandum.

     Berkata Nabi Ya'qub serta-merta setelah mendengar cerita putera-puteranya: "Tidak, sekali-kali tidak akan kuberikan izin kepadamu membawa Bunyamin jauh daripadaku. Aku tidak akan membenarkan Bunyamin ikut serta setelah apa yang terjadi dengan diri Yusuf adikmu. Kamu telah berjanji akan menjaganya baik-baik, bahkan sanggup akan mengorbankan jiwa-ragamu untuk keselamatannya. Akan tetapi apa yang telah terjadi adalah sebaliknya. Kamu pulang ke rumah dalam keadaan selamat, sedangkan adikmu Yusuf, kamu lepaskan menjadi mangsa serigala. Cukuplah apa yang telah kualami mengenai diri Yusuf dan janganlah berulang lagi kali ini mengenai diri Bunyamin."

     Ketika karung-karung yang dibawa kembali dari Mesir dibongkar, ternyata di dalamnya terdapat barang-barang emas dan perak yang mereka telah bayarkan untuk harga gandum yang dibeli. Maka sambil tercengang bercampur gembira, berlari-larilah mereka menyampaikan kehairanan mereka kepada ayahnya. Mereka berkata: "Wahai ayah! Kami tidak berdusta dalam cerita kami tentang penguasa Mesir orang yang hati. Lihatlah, barang-barang emas dan perak yang kami telah bayarkan untuk membeli gandum yang kami terima, dipulangkan kembali ke dalam karung-karung kami tanpa kami mengetahui. Jadi apa yang kami bawa ini adalah pemberian percuma dari penguasa Mesir yang sangat murah hati itu."

     Dengan diperolehnya gandum, bantuan percuma dari putera yang tidak mereka kenal keluarga Ya'qub menjadi tenang buat beberapa waktu, bahawa api di dapur rumah akan tetap menyala. Akan tetapi persediaan yang terbatas itu tidak akan bertahan lama jika tidak disusul dengan pengisian stok baru selama musim kemarau belum berakhir.

     Demikianlah maka Nabi Ya'qub yang melihat persediaan gandumnya makin hari makin berkurangan, sedang tanda-tanda meredanya krisis makanan belum nampak, terpaksalah dia mengutus putera-puteranya kembali ke Mesir untuk memperoleh bekalan gandum untuk kedua kalinya dari Yusuf Wakil Raja negeri itu. Dan kerana putera-putera Ya'qub tidak akan berangkat ke Mesir tanpa Bunyamin, sesuai dengan janji mereka kepada Yusuf, maka terpaksalah Ya'qub mengizinkan putera bongsunya Bunyamin dalam rombongan abang-abangnya.

     Dengan iringan doa serta nasihat si ayah, berangkatlah kabilah putera-putera Ya'qub yang terdiri dari sebelas orang. Setiba mereka di perbatasan kota, berpisahlah mereka menjadi beberapa kelompok, setiap kelompok memasuki kota dari arah yang berlainan sesuai dengan pesanan ayah mereka, untuk menghindari timbulnya iri hati penduduk serta prasangka dan tuduhan bahawa mereka adalah pengintip musuh.

     Setibanya di istana kerajaan, mereka diterima oleh adik mereka sendiri Yusuf yang belum mereka kenali kembali dengan penuh ramah-tamah dan dihormati dengan jamuan makan. Bagi mereka disediakan tempat penginapan, untuk setiap dua orang sebuah rumah, sedang adik bongsu Yusuf, Bunyamin diajak bersamanya menginap di dalam istana.

     Sewaktu berada berduaan dengan Yusuf, Bunyamin mencucurkan air mata sambil berkata kepada abangnya yang belum dikenal kembali: "Andai kata abangku Yusuf masih hidup, nescaya engkau akan menempatkan aku bersamanya di sebuah rumah tersendiri sebagaimana saudara-saudaraku yang lain."

     Yusuf lalu menghibur hati adiknya dengan kata-kata: "Sukakah engkau bila aku menjadi abangmu menggantikan abangmu yanghilang itu?"

     Bunyamin menjawab: "Tentu, namun sayang sekali bahawa engkau tidak dilahirkan oleh ayahku Ya'qub dan ibuku Rahil."

     Mendengar kata-kata si adik yang menyedihkan hati itu bercucurlah air mata Yusuf, lalu memeluk adiknya sambil mengaku bahawa dia adalah Yusuf, abangnya yang hilang itu. Dia menceritakan kepada adiknya penderitaan-penderitaan yang telah dialaminya sejak dia dicampakkan ke dalam sebuah perigi, diperjual-belikan sebagai hamba sahaya, ditahannya dalam penjara selama bertahun-tahun tanpa dosa dan akhirnya berkat rahmat serta kurnia Tuhan diangkatlah dia sebagai wakil raja yang berkuasa mutlak. Yusuf, mengakhirnya beritanya dengan berpesan kepada adiknya, agar merahsiakan apa yang dia telah dengar dan jangan sampai diketahui oleh saudara-saudaranya yang lain.

     Alangkah gembiranya Bunyamin mendengar cerita abangnya yang selalu dikenangnya sejak dia hilang meninggalkan rumah bersama saudara-saudaranya berkelah beberapa tahun yang lalu. Dia segera memeluk abangnya kembali sambil berkata: "Aku tidak dapat bayangkan betapa gembiranya ayah bila dia mendengar bahawa engkau masih hidup dalam keadaan segear bugar, sihat afiat, menguasai suatu kerajaan besar, tinggal di dalam istana yang diliputi oleh segala kemewahan dan kemegahan. Sebab sejak engkau menghilang ayah kami tidak pernah melihat gembira. Dia selalu diliputi oleh rasa sedih dan duka, tidak pernah sedetik pun bayanganmu terlepas dari ingatannya. Demikianlah keadaan ayah kami wahai Yusuf sejak engkau meninggalkan rumah dan menghilang, sehingga menjadi kabur matanya kerana kesedihan dan tangisnya yang tidak ada hentinya."

     Kisah pertemuan Yusuf dengan saudaranya dikisahkan dalam Al-Quran pada surah Yusuf ayat 58 sehingga 69 yang bermaksud:

Ertinya:

"Dan saudara-saudara Yusuf datang (ke Mesir) lalu mereka masuk ke (tempat)nya. Maka Yusuf mengenali mereka, sedang mereka tidak mengenalinya (lagi). Dan tatkala Yusuf menyiapkan bahan makanannya untuk mereka, dia berkata: "Bawalah kepadaku saudara seayah dengan kamu (Bunyamin), tidakkah kamu melihat bahawa aku menyempurnakan sukatan dan aku adalah penerima tetamu yang terbaik?" "Jika kamu tidak membawanya kepadaku, maka kamu tidak akan mendapatkan sukatan lagi daripadaku dan jangan kamu mendekatiku." Mereka berkata: "Kami akan memujuk ayah untuk membawanya (ke mari) dan sesungguhnya kami benar-benar akan melaksanakannya." Yusuf berkata kepada pelayan-pelayannya: "Masukkanlah barang-barang (iaitu barang-barang tukaran untuk mendapatkan makanan) ke dalam karung-karung mereka supaya mereka mengetahuinya apabila mereka telah kembali kepada keluarga mereka, mudah-mudahan mereka kembali lagi." Maka tatkala mereka kembali kepada ayah mereka (Yaakub), mereka berkata: "Wahai ayah kami! Kami tidak akan mendapat sukatan (gandum) lagi, (jika tidak membawa saudara kami), sebab itu biarkanlah saudara kami pergi bersama-sama kami supaya kami mendapat sukatan dan sesungguhnya kami benar-benar akan menjaganya." Yaakub berkata: "Bagaimana aku akan membenarkannya (Bunyamin) bersama kamu melainkan seperti aku telah membenarkan saudaranya (Yusuf) bersama kamu dahulu?" Maka Allah adalah sebaik-baik penjaga dan Dia Maha Penyayang di antara para penyayang. Tatkala mereka membuka barang-barang mereka, mereka dapati barang-barang (tukaran) mereka dikembalikan kepada mereka. Mereka berkata: "Wahai ayah kami! Apa lagi yang kita inginkan. Ini barang-barang tukaran kita dikembalikan kepada kita dan kami akan dapat memberi makan keluarga kami dan kami akan dapat memelihara saudara kami serta kami akan mendapat tambahan sukatan (gandum) seberat beban seekor unta. Itu adalah sukatan yang mudah (bagi raja Mesir) untuk ditunaikan." Yaakub berkata: "Aku sekali-kali tidak akan melepaskannya (pergi) bersama kamu sehingga kamu memberikan janji yang teguh atas nama Allah kepadaku bahawa kamu pasti akan membawanya kepadaku kembali, kecuali jika kamu dikepung musuh." Tatkala mereka memberikan janji mereka, Yaakub berkata: "Allah adalah saksi terhadap apa yang kita ucapkan (ini)." Dan Yaakub berkata: "Wahai anak-anakku! Janganlah kamu (bersama-sama) masuk dari satu pintu gerbang dan masuklah dari beberapa buah pintu gerbang yang berlainan; namun demikian aku tidak dapat menyelamatkan kamu barang sedikit pun daripada (takdir) Allah. Keputusan menetapkan (sesuatu) hanyalah hak Allah; kepadaNyalah aku bertawakal dan kepadaNya saja orang yang bertawakal berserah diri." Dan tatkala mereka masuk menurut yang diperintahkan ayah mereka, maka (cara yang mereka lakukan itu) tidak menyelamatkan sedikit pun daripada takdir Allah, akan tetapi itu hanya suatu keinginan pada diri Yaakub yang telah ditetapkannya. Dan sesungguhnya dia mempunyai pengetahuan kerana Kami telah mengajarkan kepadanya. Akan tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui. Dan tatkala mereka masuk ke (tempat) Yusuf, Yusuf membawa saudaranya (Bunyamin) ke tempatnya, Yusuf berkata: "Sesungguhnya aku (ini) adalah saudaramu, maka janganlah kamu berdukacita terhadap apa yang telah mereka kerjakan." (Yusuf: 58-69)









N / F : DARIPADA "KISAH-KISAH PARA NABI & RASUL", OLEH ABDULLAH BIN AHMAD MUBARAK.

Thursday 17 May 2018

NABI YUSUF A.S. [ BAHAGIAN 4 ]






BAHAGIAN 4








F. Yusuf A.S. Dalam Penjara


     Yusuf dimasukkan ke dalam penjara bukan kerana dia telah melakukan kesalahan atau kejahatan, tetapi kerana sewenang-wenang penguasa yang memenjarakannya untuk menutupi dosanya sendiri dengan mengenakan dosa itu kepada orang yang dipenjarakan. Akan tetapi bagi Nabi Yusuf, penjara adalah tempat yang aman untuk menghindari segala godaan dan tipu daya yang akan menjerumuskannya ke dalam kemaksiatan dan perbuatan mungkar. Bagi Yusuf, hidup di dalam sebuah penjara yang gelap dan sempit, di mana gerak badannya dan pandangan matanya dibatasi adalah lebih baik dan lebih disukai daripada hidup di alam bebas di mana jiwanya tertekan dan hatinya tidak merasa aman dan tenteram. Di dalam penjara Yusuf dapat membulatkan fikiran dan jiwanya beribadah dan menyembah kepada Allah SWT.

     Di samping itu dia dapat melakukan dakwah di dalam penjara, memberi bimbingan dan nasihat kepada pesalah, agar mereka yang telah berdosa melakukan kejahatan, bertaubat dan kembali menjadi orang-orang baik, malah kepada para tahanan yang tidak berdosa yang menjadi korban perbuatan penguasa yang sewenang-wenang dihibur agar mereka bersabar dan bertakwa, bertawakkal dan beriman memohon kepada Allah SWT mengakhiri penderitaan dan kesengsaraan mereka.

     Bersama dengan Yusuf, dipenjarakan pula dua orang pegawai istana Raja dengan tuduhan hendak meracun Raja atas perintah dan dengan kerjasama dengan pihak musuh istana. Dua orang pegawai yang dipenjarakan itu, seorang penjaga gudang makanan dan yang seorang bekerja sebagai pelayan meja istana.

     Pada suatu pagi datanglah kedua pemuda tahanan itu ke tempat Nabi Yusuf, mengisahkan bahawa mereka telah mendapat mimpi. Si pelayan melihat seakan-akan dia berada di tengah sebuah kebun anggur memegang gelas, seperti gelas yang biasa digunakan untuk minum oleh Raja, majikannya, lalu diisinya gelas itu dengan perahan buah anggur. Sedang pemuda penjaga gudang melihat dalam mimpinya seolah-olah dia menjunjung di atas kepalanya sebuah bakul besar yang berisi roti, roti tersembut disambar oleh sekelompok burung dan dibawanya terbang. Kedua pemuda tahanan itu mengharapkan dari Nabi Yusuf agar memberi tafsiran bagi mimpi mereka itu.

     Nabi Yusuf yang telah dikurniai kenabian dan ditugaskan oleh Allah SWT. Menyampaikan risalah-Nya kepada hamba-hamba-Nya memulai dakwahnya kepada kedua pemuda yang datang menanyakan tafsiran mimpinya, mengajak mereka beriman kepada Allah SWT Yang Maha Esa, meninggalkan sembahan kepada berhala-berhala yang mereka ada-adakan sendiri dengan memberi nama kepada berhala-berhala itu sesuka hati mereka.

     Untuk membuktikan kepada kedua pemuda itu bahawa dia adalah seorang Nabi dan pesuruh Allah SWT, berkata Nabi Yusuf: "Aku tahu dan dapat menerangkan kepada kamu, makanan apa yang akan kamu terima, apa jenisnya dan berapa banyaknya, demikian juga jenis dan jenis minuman yang akan kamu peroleh. Demikian juga aku dapat memberi tafsiran bagi mimpi seseorang termasuk kedua mimpimu. Itu semua adalah ilmu yang dikurniakan oleh Allah SWT kepadaku."

     "Aku telah meninggalkan agama orang-orang yang tidak beriman kepada Allah SWT dan yang mengingkari adanya hari kiamat kelak. Aku telah mengikuti agama bapa-bapaku, Ibrahim, Ishaq dan Ya'qub. Tidaklah sepatutnya kami menyekutukan sesuatu bagi Allah SWT yang telah mengurniakan rahmat dan nikmat-Nya ke atas kami dan ke atas manusia seluruhnya, tetapi kebanyakan manusia tidak menghargai nikmat Allah SWT itu dan tidak mensyukuri-Nya. Cubalah fikirkan, wahai teman-temanku dalam penjara, mana lebih baik dan lebih masuk akal penyembahan kepada beberapa tuhan yang berbeza-beza atau penyembahan kepada Tuhan Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa? Tuhan telah memerintahkan, janganlah kamu menyembah selain Dia. Itulah agama yang benar dan lurus, tetapi ramai orang tidak mengetahui dan tidak mahu mengerti." "Adapun mengenai mimpimu," Nabi Yusuf melanjutkan ceritanya, "maka takbirnya bahawa engkau, wahai pemuda pelayan, segera akan dikeluarkan dari penjara dan akan ditugaskan kembali seperti sediakala, sedangkan engkau wahai pemuda penjaga gudang akan dihukum mati dengan disalib dan kepalamu menjadi makanan burung-burung yang mematuknya. Demikianlah takbir mimpimu yang telah menjadi hukum Allah SWT bagi kamu berdua."

     Berkata Nabi Yusuf selanjutnya kepada pemuda yang diramalkan akan keluar dari penjara: "Wahai temanku, pesanku kepadamu, bila engkau telah keluar dan kembali bekerja di istana, sebutlah namaku di hadapan Raja, majikanmu. Katakanlah kepadanya bahawa aku dipenjarakan sewenang-wenangnya, tidak berdosa dan tidak bersalah. Aku dipenjarakan hanya untuk kepentingan menyelamatkan nama keluarga Ketua Polis Negara dan atas hasutan isterinya belaka. Janganlah engkau lupakan pesananku ini, wahai temanku yang baik."

     Kemudian, maka sesuai dengan takbir Nabi Yusuf, selang tidak lama keluarlah surat pengampunan Raja bagi pemuda pelayan dan hukuman salib bagi pemuda penjaga gudang dilaksanakan. Akan tetapi pesanan Nabi Yusuf kepada pemuda pelayan, tidak disampaikan kepada Raja setelah dia diterima kembali bekerja di istana. Syaitan telah menjadikannya lupa setelah dia menikmati kebebasan dari penjara dan dengan demikian tetaplah Nabi Yusuf berada di penjara beberapa tahun lamanya, menghibur para tahanan yang tidak berdosa dan mendidik serta berdakwah kepada tahanan yang telah bersalah melakukan kejahatan dan perbuatan-perbuatan yang buruk, agar mereka menjadi orang-orang yang baik dan bermanfaat bagi sesama manusia dan menjadi hamba-hamba Allah SWT yang beriman dan bertauhid.

     Isi cerita tersebut di atas terdapat dalam Al-Quran pada surah Yusuf ayat 36 sehingga ayat 42 yang bermaksud:

Ertinya:

"Dan telah masuk bersamanya ke dalam penjara dua orang pemuda. Berkatalah salah seorang di antara keduanya: "Sesungguhnya aku bermimpi memerah anggur." Dan yang lainnya berkata: "Sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku membawa roti di atas kepalaku, sebahagiannya dimakan burung. Berikanlah kepada kami takwilnya; sesungguhnya kami memandang kamu termasuk orang yang pandai (mentakwilkan mimpi)." Yusuf menjawab: "(Aku bukan sahaja dapat menerangkan takbir mimpi kamu itu, bahkan) tidak datang kepada kamu sesuatu makanan yang diberikan kepada kamu (tiap-tiap hari dalam penjara), melainkan aku juga dapat memberitahu kepada kamu akan nama dan jenisnya, sebelum ia dibawa kepada kamu. Yang demikian itu ialah sebahagian daripada apa yang diajarkan kepadaku oleh Tuhanku. Dengan sebab itu aku meninggalkan agama kaum yang tidak beriman kepada Allah serta tidak pula percayakan hari akhirat." Dan aku menurut agama nenek moyangku: Ibrahim dan Ishak serta Yaakub. Tidaklah sepatutnya kita mempersekutukan sesuatupun dengan Allah. Mentauhid mengesakan Allah ialah hasil daripada limpah kurnia Allah kepada kita dan kepada umat manusia. Tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur." Wahai sahabatku berdua yang sepenjara, memuja dan menyembah berbilang-bilang tuhan yang bercerai-berai itukah yang lebih baik atau menyembah Allah Tuhan Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa? Apa yang kamu sembah, yang lain daripada Allah, hanyalah nama yang kamu dan datuk nenek kamu namakannya, Allah tidak pernah menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya. Sebenarnya hukum (yang menentukan amal ibadat) hanyalah bagi Allah. Dia memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan Dia. Yang demikian itulah agama yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." Wahai sahabatku berdua yang sepenjara! (Takbir mimpi kamu itu ialah): adapun salah seorang daripada kamu, maka dia akan memberi minum arak kepada tuannya. Ada pun yang seorang lagi, maka dia akan dipalang, serta burung pula akan makan daripada kepalanya. Telah selesailah (dan tetaplah berlakunya) perkara yang kamu tanyakan itu." Dan berkatalah Yusuf kepada orang yang dia percaya akan terselamat di antara mereka berdua: "Sebutkanlah perihalku kepada tuanmu." (Setelah orang itu dibebaskan daripada penjara) maka dia dilupakan oleh syaitan untuk menyebutkan (hal Yusuf) kepada tuannya. Dengan sebab itu tinggallah Yusuf dalam penjara beberapa tahun." (Surah Yusuf: 36-42)


G. Yusuf A.S. Dibebaskan Daripada Penjara


     Pada suatu hari berkumpullah di istana Raja Mesir, para pembesar, penasihat dan para arif bijaksana yang sengaja dipanggil oleh Raja untuk memberi takbir mimpi yang telah merungsingkan dan menakutkan hatinya. Dia bermimpi seakan-akan melihat tujuh ekor lembu betina yang gemuk-gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu betina lain yang kurus-kurus. Di samping itu, dia melihat juga dalam mimpinya tujuh butir gandum hijau di samping tujuh butir lain yang kering.

     Tidak seorang daripada pembesar-pembesar yang didatangkan itu yang dapat memberi tafsiran bagi mimpi Raja, bahkan sebahagian dari mereka menganggapnya sebagai mimpi kosong yang tiada bererti dan menasihatkan kepada Raja melupakan saja mimpi itu dan menghilangkannya dari fikiran.

     Pelayan Raja, pemuda teman Yusuf dalam penjara, pada masa pertemuan Raja dengan para pembesar itu, sedang melayani para tamu menghidangkan makanan dan menuangkan minuman. Dia mendengar percakapan Raja dengan para tamunya, lalu teringat olehnya pesan Nabi Yusuf kepadanya sewaktu dia akan dikeluarkan dari penjara dan bahawa takbir yang diberikan Nabi Yusuf bagi mimpinya adalah tepat, telah terjadi sebagaimana ditakbirkan.

     Dia lalu memberanikan diri menghampiri Raja dan berkata: "Wahai Tuan Padukaku! Hamba mempunyai kenalan seorang teman di dalam penjara, yang pandai mentafsirkan mimpi. Dia adalah seorang yang cekap, ramah, berbudi pekerti luhur. Dia tidak berdosa dan tidak melakukan kesalahan apa pun. Dia dipenjarakan hanya atas fitnah dan tuduhan palsu belaka. Dia telah memberi tafsir bagi mimpiku sewaktu hamba berada dalam tahanan bersamanya dan ternyata tafsirnya tepat dan benar sesuai dengan apa yang hamba alami. Jika Tuan Paduka berkenan, hamba akan pergi mengunjunginya di penjara untuk menanyakan dia tentang tafsir mimpi Tuan Paduka."

     Dengan izin Raja, pergilah pelayan mengunjungi Nabi Yusuf dalam penjara. Dia menyampaikan kepada Nabi Yusuf kisah mimpi Raja yang tidak seorang pun daripada anggota kakitangannya dan para penasihatnya dapat memberi tafsir yang memuaskan dan melegakan hati majikannya. Dia mengatakan kepada Nabi Yusuf bahawa jika Raja dapat dipuaskan dengan pemberi tafsir bagi mimpinya, kemungkinan sekali dia akan dikeluarkan dari penjara dan dengan demikian akan berakhirlah penderitaan yang telah dialami bertahun-tahun dalam kurungan. 

     Berkatalah Nabi Yusuf menghuraikan tafsir mimpi tersebut: "Negara akan menghadapi masa makmur dan subur selama tujuh tahun, di mana tumbuh-tumbuhan dan semua tanaman gandum, padi dan sayur-sayuran akan mengalami masa menuai yang baik yang membawa hasil makanan berlimpah-ruah, kemudian menyusul musim kemarau selama tujuh tahun berikutnya di mana sungai Nil tidak memberi air yang cukup bagi ladang-ladang yang kering, tumbuh-tumbuhan dan tanaman rosak dimakan hama sedang persediaan bahan makanan, hasil tuaian semasa subur itu sudah habis dimakan. Akan tetapi, Nabi Yusuf melanjutkan keterangannya, setelah mengalami kedua musim tujuh tahun itu, akan tibalah tahun basah di mana hujan akan turun dengan lebatnya menyirami tanah-tanah yang kering dan kembali menghijau menghasilkan bahan makanan dan buah-buahan yang lazat yang dapat diperah untuk minum."

     "Maka jika tafsirku ini menjadi kenyataan," Nabi Yusuf berkata lebih lanjut, "seharusnya kamu menyimpan baik-baik apa yang telah dihasilkan dalam tahun-tahun subur, serta berjimat dalam menggunakannya untuk persiapan menghadapi masa kering, supaya terhindarlah rakyat daripada bencana kelaparan dan kesengsaraan."

     Setelah Raja mendengar daripada pelayannya apa yang diceritakan oleh Nabi Yusuf tentang mimpinya; merasa bahawa tafsir yang didengarnya itu sangat masuk akal dan dapat dipercayai bahawa apa yang telah diramalkannya oleh Yusuf akan menjadi kenyataan. Dia memperoleh kesan bahawa Yusuf yang telah memberi tafsir yang tepat itu adalah seorang yang pandai, bijaksana dan sangat berguna bagi negara jika dia ditempatkan di istana menjadi tempat penasihat dan pembantu kerajaan. Maka disuruhnya si pelayan kembali ke penjara untuk membawa Yusuf menghadap kepadanya di istana.

     Nabi Yusuf yang sudah cukup menderita hidup sebagai orang tahanan yang tidak berdosa, dan ingin segera keluar dari kurungan yang mencengkam hatinya itu, namun dia enggan dikeluarkan dari penjara sebelum peristiwanya dengan isteri Ketua Polis Negara dijernihkan lebih dahulu dan sebelum tuduhan serta fitnah yang ditimpakan di atas dirinya diterangkan kepalsuannya. Nabi Yusuf ingin keluar dari penjara sebagai orang yang suci bersih dan bahawa dosa yang dilekatkan kepada dirinya adalah fitnah dan tipu daya yang bertujuan menutupi dosa isteri Ketua Polis Negara sendiri.

     Raja Mesir yang sudah banyak mendengar tentang Nabi Yusuf dan terkesan oleh tafsir yang diberikan bagi mimpinya secara terperinci dan menyeluruh, makin merasa hormat kepadanya, mendengar tuntutannya agar diselesaikan lebih dahulu soal tuduhan dan fitnah yang ditimpakan atas dirinya sebelum dia keluarkan dari penjara. Yang mana menurut fikiran Raja menandakan kejujurannya, kesucian hatinya dan kebesaran jiwanya bahawa dia tidak ingin dibebaskan atas dasar pengampunan, tetapi ingin dibebaskan kerana dia bersih, tidak bersalah dan tidak berdosa.

     Tuntutan Nabi Yusuf diterima oleh Raja Mesir dan segera dikeluarkan perintah mengumpulkan para wanita yang telah menghadiri jamuan makan Zulaikha dan terhiris hujung jari tangan masing-masing ketika melihat wajahnya. Di hadapan Raja mereka menceritakan apa yang mereka lihat dan alami dalam jamuan makan itu serta percakapan dan soalan jawab yang mereka lakukan dengan Nabi Yusuf.

     Mereka menceritakan tentang diri Nabi Yusuf bahawa dia seorang yang jujur, soleh, bersih dan bukan dialah yang salah dalam peristiwanya dengan Zulaikha. Zulaikha pun dalam pertemuan itu, mengakui bahawa memang dialah yang berdosa dalam peristiwanya dengan Yusuf dan dialah yang mencadangkan kepada suaminya agar memenjarakan Yusuf untuk memberi gambaran palsu kepada masyarakat bahawa dialah yang salah dan bahawa dialah yang memperkosa kehormatannya.

     Hasil pertemuan Raja dengan para wanita itu diumumkan agar diketahui oleh seluruh lapisan masyarakat dengan dengan demikian terungkaplah takbir yang meliputi peristiwa Yusuf dan Zulaikha. Maka atas, perintah Raja, dikeluarkanlah Nabi Yusuf dari penjara secara terhormat, bersih daripada segala tuduhan. Dia terus ke istana Raja memenuhi undangannya.

     Bacalah isi cerita ini dalam Al-Quran surah Yusuf ayat 43 sehingga ayat 53 yang bermaksud:

Ertinya:

"Dan (pada suatu hari) raja Mesir berkata: "Sesungguhnya aku mimpi melihat: tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus, dan aku melihat tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau dan tujuh tangkai lagi yang kering. Wahai ketua kaum (yang hadir, terangkanlah kepadaku tentang mimpiku ini, kalau kamu orang yang pandai menafsikan mimpi." Mereka menjawab: (Itu) mimpi-mimpi yang kosong dan kami sekali-kali tidak mampu mentakwilkan mimpi itu." Dan berkatalah orang yang selamat di antara mereka berdua setelah teringat kembali (akan pesanan Yusuf) sudah berlalu suatu masa yang lama: "Aku akan memberitahu kepada kamu tentang (orang yang pandai) mentakwilkan mimpi itu, maka utuslah aku (kepadanya)." (Setelah pelayan itu berjumpa dengan Yusuf, dia berseru): "Yusuf, wahai orang yang sangat dipercayai! Terangkanlah kepada kami tentng tujuh ekor lembu betina gemuk-gemuk yang dimakan oleh tujuh ekor lembu betina yang kurus-kurus, dan tujuh tangkai (gandum) yang hijau dan (tujuh tangkai) lainnya yang kering agar aku kembali kepada mereka itu, supaya mereka mengetahuinya." Yusuf berkata: "Supaya kamu bercucuk tanam tujuh tahun (lamanya) sebagaimana biasa; maka apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan pada tangkainya kecuali sedikit untuk kamu makan." "Kemudian setelah itu akan datang tujuh (tahun) yang sangat sulit, yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sulit), kecuali sedikit daripada apa (benih gandum) yang kamu simpan." "Kemudian setelah itu akan datang tahun, di mana manusia diberi hujan (dengan cukup) dan pada masa itu mereka memerah anggur." Raja berkata: "Bawalah dia kepadaku." Maka tatkala utusan itu datang kepada Yusuf, berkatalah Yusuf: "Kembalilah kepada tuanmu dan tanyakanlah kepadanya bagaimana halnya wanita-wanita yang telah melukai tangannya. Sesungguhnya Tuhanku Maha Mengetahui tipu daya mereka." Raja berkata (kepada wanita-wanita itu): "Bagaimana keadaanmu ketika kamu menggoda Yusuf untuk menundukkan dirinya (kepadamu)?" Mereka berkata: "Maha Sempurna Allah, kami tidak mengetahui sesuatu keburukan daripadanya." Isteri al-Aziz berkata: "Sekarang jelasnya kebenaran itu, akulah yang menggoda untuk menundukkan diirnya (kepadaku) dan sesungguhnya dia termasuk orang yang benar." (Yusuf berkata): "Yang demikian itu agar dia (al-Aziz) mengetahui bahawa sesungguhnya aku tidak khianat kepadanya di belakangnya, dan bahawasanya Allah tidak meredhai tipu daya orang yang khianat." "Dan aku tidak mengaku diriku suci (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang." (Surah Yusuf: 43-53)








N / F : DARIPADA "KISAH-KISAH PARA NABI & RASUL", OLEH ABDULLAH BIN AHMAD MUBARAK.











Tuesday 15 May 2018

NABI YUSUF A.S. [ BAHAGIAN 3 ]






BAHAGIAN 3








E. Yusuf A.S. Dan Godaan Isteri Futhifar


     Yusuf hidup tenang dan tenteram di rumah Futhifar, Ketua Polis Mesir, sejak dia menjejakkan kakinya di rumah itu. Dia mendapat kepercayaan penuh dari kedua majikannya, suami isteri, mengurus rumahtangga mereka dan melaksanakan perintah dan segala keperluan mereka dengan sesungguh hatinya, ikhlas dan kejujuran, tiada menuntut upah dan balasan atas setiap tenaga dan susah payah yang dicurahkan untuk kepentingan keluarga tersebut. Dia menganggap dirinya di rumah itu bukan sebagai hamba bayaran, tetapi sebagai salah seorang daripada anggota keluarga. Demikian pula anggapan majikannya, suami-isteri, terhadap dirinya.

     Ketenangan hidup dan kepuasan hati yang didapati oleh Yusuf selama dia tinggal di rumah Futhifar, telah mempengaruhi kesihatan dan pertumbuhan tubuhnya. Dia yang telah dikurniai Tuhan kesempurnaan jasmani, dengan kehidupan yang senang dan empuk di rumah Futhifar, makin terlihat bertambah segar wajahnya, tambah elok parasnya dan tambah tegap tubuhnya, sehingga dia merupakan seorang pemuda remaja yang gagah perkasa yang menggiurkan hati setiap wanita yang melihatnya, tidak terkecuali isteri Futhifar, majikannya sendiri, bahkan bukan tidak mungkin bahawa dia akan menjadi rebutan kaum lelaki, andai kata dia hidup di kota Sadum di tengah-tengah kaum Nabi Lut pada masa itu.

     Pergaulan sehari-hari di bawah satu atap rumah antara Yusuf pemuda remaja yang gagah perkasa dan Puan Futhifar, seorang wanita muda cantik dan ayu, tidak akan terhindar dari risiko terjadinya perbuatan maksiat, bila tidak ada kekuatan iman dan takwa yang menyekat hawa nafsu yang ammarah bissu. Demikianlah apa yang terjadi pada diri Yusuf dan isteri Ketua Polis Mesir.

     Pada hari-hari pertama Yusuf berada di tengah-tengah keluarga, isteri Futhifar tidak menganggapnya dan memperlakukannya lebih dari sebagai pembantu rumah yang cekap, tangkas, giat dan jujur, berakhlak dan berbudi pekerti yang baik. Dia hanya mengagumi sifat-sifat luhurnya itu serta kecekapan dan ketangkasan kerjanya dalam menyelesaikan urusan dan tugas yang diserahkan kepadanya. Akan tetapi memang ada rasa cinta itu selalu didahului oleh rasa simpati.

     Simpati dan kekaguman isteri Futhifar terhadap cara kerja Yusuf, lama-kelamaan berubah menjadi simpati dan kekaguman terhadap bentuk badan dan paras mukanya. Gerak-geri dan tingkah laku Yusuf diperhatikannya dari jauh dan diintainya dengan penuh hati-hati. Bunga api cinta yang masih kecil di dalam hati isteri Futhifar terhadap Yusuf makin hari makin membesar dan membara setiap kali dia melihat Yusuf berada dekatnya atau tiap kali dia mendengar suaranya dan pantas langkah kakinya.

     Walaupun dia berusaha hendak memadamkan api yang membara di dadanya itu dan hendak menyekat nafsu berahi yang sedang bergelora di dalam hatinya, untuk menjaga maruahnya sebagai majikan dan mempertahankan kedudukannya sebagai isteri Ketua Polis, namun dia tidak berdaya menguasai perasaan hati dan hawa nafsunya dengan kekuatan akalnya. Bila dia duduk seorang diri, maka terbayanglah di hadapan matanya paras Yusuf yang tampan dan tubuhnya yang bagus dan tetaplah melekat bayangan itu di depan matanya dan di dalam hatinya, sekalipun dia berusaha hendak menghilangkannya dengan mengalihkan perhatiannya kepada urusan dan kesibukan rumahtangga. Dan akhirnya menyerahlah isteri Futhifar kepada kehendak dan panggilan hati serta hawa nafsunya yang mendapat sokongan syaitan dan Iblis dan diketepikannyalah semua pertimbangan maruah, kedudukan dan martabat serta kehormatan diri sesuai dengan tuntutan akal yang sihat.

     Isteri Futhifar menggunakan taktik, memancing-mancing Yusuf agar dia lebih dahulu mendekatinya dan bukan dia yang harus mendekati Yusuf lebih dahulu demi menjaga kehormatan dirinya sebagai isteri Ketua Polis. Dia selalu berdandan dan berhias rapi, bila Yusuf berada di rumah merangsangnya dengan wangi-wangian dan dengan memperagakan gerak-geri dan tingkah-laku sambil menampakkan, seakan-akan tidak dengan sengaja, bahagian tubuh yang biasanya dapat menggiurkan hati orang lelaki.

     Yusuf yang tidak sedar bahawa Zulaikha, isteri Futhifar, mencintanya dan mengandungi nafsu syahwat kepadanya, menganggap bahawa perlakuan manis dan pendekatan Zulaikha kepadanya adalah hal biasa sesuai dengan pesanan Futhifar kepada isterinya ketika dibawa pulang dari tempat perlelongan. Dia berlaku seperti biasa, bersopan santuan dan bersikap hormat dan tidak sedikit pun terlihat dari haknya sesuatu gerak atau tindakan yang menandakan bahawa dia terpikat oleh gaya dan aksi Zulaikha yang ingin menarik perhatiannya dan menggiurkan hatinya. Yusuf sebagai calon nabi telah dibekali oleh Allah SWT dengan iman yang kuat, akhlak yang mulia dan budi pekerti yang tinggi. Dia tidak akan terjerumus melakukan sesuatu maksiat, yang sekaligus merupakan suatu tindakan khianat terhadap orang yang telah mempercayainya memperlakukannya sebagai anak dan memberinya tempat di tengah-tengah keluarganya.

     Sikap dingin dan tidak peduli dari Yusuf terhadap rayuan dan tingkah-laku Zulaikha yang bertujuan membangkitkan nafsu syahwatnya menjadikan Zulaikha bahkan tambah panas hati dan bertekad akan berusaha terus sampai maksudnya tercapai. Jika aksi samar-samar yang dia lakukan tetap tidak dimengertikan oleh Yusuf yang berdarah dingin itu, maka akan dilakukannya secara terus terang dan kalau perlu dengan cara paksa sekalipun.

     Zulaikha, isteri Futhifar, tidak tahan lebih lama menunggu reaksi dari Yusuf yang tetap bersikap dingin, terhadap rayuan dan ajakan yang samar-samar daripadanya. Maka pada kesempatan si suami tidak berada di rumah, masuklah Zulaikha ke bilik tidurnya sambil berseru kepada Yusuf agar mengikutinya. Yusuf segera mengikutinya dan masuk ke bilik Zulaikha, sebagaimana dia sering melakukannya bila diminta pertolongannya melakukan sesuatu di dalam bilik.

     Sekali-kali tidak terlintas di fikirannya bahawa perintah Zulaikha kali itu kepadanya untuk masuk ke biliknya bukanlah perintah biasa untuk melakukan sesuatu yang biasa diperintahkannya. Dia baru sedar, ketika dia berada dalam bilik, pintu dikunci oleh Zulaikha, tabir disisihkan dan sambil berbaring berkatalah dia kepada Yusuf: "Ayuh, hai Yusuf! Aku sudah siap bagimu, aku tidak tahan menyimpan lebih lama lagi rasa rinduku kepada sentuhan tubuhmu. Inilah tubuhku kuserahkan kepadamu, berbuatlah sekehendak hatimu dan sepuas nafsumu."

     Sambil memalingkan wajahnya ke arah lain, berkatalah Yusuf: "Semoga Allah SWT melindungiku dari godaan syaitan. Tidak mungkin wahai puan puteriku aku akan melakukan maksiat dan memenuhi kehendakmu. Jika aku melakukan apa yang puan puteri kehendaki, maka aku mengkhianati tuanku, suami puan puteri, yang telah melimpahkan kebaikannya dan kasih sayangnya kepadaku. Kepercayaan yang dilimpahkan olehnya kepadaku, adalah suatu amanah yang tidak boleh aku cederai. Sekali-kali tidak akan kubalas budi baik tuanku dengan pengkhianatan dan penodaan nama baiknya. Selain itu Allah SWT pun akan murka kepadaku dan akan mengutukku bila aku lakukan apa yang puan puteri minta daripadaku. Allah SWT mengetahui segala apa yang diperbuat oleh hamba-Nya."

     Segera mata Zulaikha terbeliak dan wajahnya menjadi merah, tanda marah yang meluap-luap, akibat penolakan Yusuf terhadap ajakannya. Dia merasa dirinya dihina dan diremehkan oleh Yusuf dengan penolakannya, yang dianggapnya sebagai perbuatan kurang ajar dari seorang pelayan terhadap majikannya yang sudah merendahkan diri, mengajaknya tidur bersama, tetapi ditolak mentah-mentah. Padahal bukan sedikit pembesar pemerintahan dan orang-orang yang berkedudukan telah lama merayunya dan ingin sekali menyentuh tubuhnya yang elok itu, tetapi tidak dihiraukan oleh Zulaikha.

     Yusuf melihat mata Zulaikha yang terbeliak dan wajahnya yang menjadi merah, merasa takut, akan terjadi perkara yang tidak diinginkan, dan segera lari menuju pintu yang tertutup, namun Zulaikha cepat-cepat bangun dari katilnya mengejar Yusuf yang sedang berusaha membuka pintu, ditariknya kuat-kuat oleh Zulaikha bahagian belakang kemejanya sehingga terkoyak. Tepat pada masa mereka berada di belakang mereka sambil tarik-menarik, datanglah Futhifar mendapati mereka dalam keadaan yang mencurigakan itu.

     Dengan tiada memberi kesempatan Yusuf membuka mulut, berkatalah Zulaikha dengan segera kepada suaminya yang masih berdiri tercengang memandang kepada kedua orang kepercayaannya itu: "Inilah dia Yusuf, hamba yang engkau puja dan puji telah berani, kurang ajar masuk ke bilik tidurku dan memaksaku memenuhi nafsu syahwatnya. Berilah dia balasan yang setimpal dengan perbuatan biadabnya. Orang tidak mengenal baik budi kamu ini harus dipenjarakan dan dikenakan seksaan yang pedih."

     Yusuf mendengar laporan dan tuduhan palsu Zulaikha kepada suaminya, tidak dapat berbuat selain memberi keterangan apa yang terjadi sebenarnya.

     Berkata dia kepada Futhifar, majikannya: "Sesungguhnya dialah yang menggodaku, memanggilku ke biliknya, lalu memaksaku memenuhi nafsu syahwatnya. Aku menolak tawarannya itu dan lari menyingkirinya, namun dia mengejarku dan menarik kemejaku dari belakang sehingga terkoyak."

     Futhifar dalam keadaan bingung. Siapakah di antara kedua orang ini yang benar? Yusufkah yang selama hidup bersama di rumahnya belum pernah berkata dusta, atau Zulaikhakah yang dalam fikirannya tidak mungkin akan mengkhianatinya? Dalam keadaan demikian itu datanglah seorang dari keluarga Zulaikha, iaitu saudaranya yang dikenal bijaksana, pandai dan selalu memberi pertimbangan dalam masalah yang membingungkannya itu, berkatalah: "Lihatlah, bila kemeja Yusuf terkoyak bahagian belakangnya, maka dialah yang benar dan isterimu yang berdusta. Sebaliknya bila koyak mejanya berada di bahagian hadapan, maka dialah yang berdusta dan isterimu yang berkata benar."

     Berkatalah Futhifar kepada isterinya setelah persoalannya menjadi jelas dan tabir rahsianya terungkap: "Beristighfarlah engkau hai Zulaikha dan mohonlah ampun atas dosamu. Engkau telah berbuat salah dan dusta pula untuk menutupi kesalahanmu. Memang yang demikian itu adalah sifat-sifat dan tipu daya kaum wanita yang sudah kami kenal." Kemudian berpalinglah dia menghadap Yusuf dan berkata kepadanya: "Tutuplah rapat-rapat mulutmu wahai Yusuf, dan ikatlah lidahmu, agar masalah itu tetap menjadi rahsia yang tersimpan sekeliling dinding rumah ini, dan jagalah sekali-kali jangan sampai keluar dan menjadi rahsia umum dan buah mulut masyarakat. Anggap saja persoalan ini sudah selesai sampai di sini."

     Ada sebuah peribahasa yang berbunyi; "Tiap rahsia yang diketahui oleh lebih dari dua orang pasti tersebar dan diketahui oleh orang ramai."

     Demikian juga peristiwa Zulaikha dengan Yusuf, yang dengan ketat ingin ditutupi oleh keluarga Futhifar, tidak perlu menunggu lama untuk menjadi rahsia umum. Pada mulanya orang berbisik-bisik dari mulut ke mulut, menceritakan kejadian itu, tetapi makin hari makin meluas dan makin menyebar ke tiap-tiap pertemuan dan menjadi bahan pembicaraan di kalangan wanita-wanita dari golongan atas dan menengah.

     Kecaman-kecaman yang bersifat sindiran mahupun yang terang-terangan mulai dilontarkan orang terhadap Zulaikha, isteri Ketua Polis Negara, yang dikatakan telah bercumbu-cumbuan dengan pelayannya sendiri, seorang hamba belian dan yang sangat memalukan, kata mereka, bahawa pelayan tersebut menolak ajakan majikannya dan tatkala melarikan diri daripadanya, dikejarnya sampai bahagian belakang kemejanya terkoyak.

     Kecaman-kecaman, sindiran-sindiran dan ejekan-ejekan orang terhadap dirinya akhirnya sampai ke telinga Zulaikha. Dia menjadi gusar dan sedih apabila peristiwanya dengan Yusuf sudah menjadi buah mulut orang, yang dengan sendirinya membawa nama baik keluarga dan nama baik suaminya sebagai Ketua Polis Negara yang sangat disegani dan dihormati. Zulaikha sangat marah dan iri hati terhadap wanita-wanita yang setarafnya, isteri-isteri pembesar yang tidak henti-hentinya dalam pertemuan mereka menyinggung namanya dengan ejekan dan kecaman sehubungan dengan peristiwanya dengan Yusuf.

     Setelah masing-masing tetamu mengambil tempat masing-masing dan dipersilakannya menikmati hidangan yang sudah tersedia di depannya, maka tepat pada masa mereka sibuk mengupas buah yang ada di tangan masing-masing, Yusuf diarahkan keluarga oleh Zulaikha berjalan sebagai peragawan berjalan di hadapan wanita-wanita yang sedang sibuk memotong buah-buahan itu. Tanpa disedari, para tetamu wanita yang sedang memegang pisau dan buah-buahan di tangannya, sambil ternganga mengagumi keindahan wajah dan tubuh Yusuf, mereka melukai jari-jari tangannya sendiri dan sambil menggeleng-geleng kepada kehairanan, maka berkatalah mereka: "Maha Sempurnalah Allah SWT. Ini bukanlah manusia. Ini adalah seorang malaikat yang mulia."

     "Maka tidak hairanlah aku yang berkumpul dengan Yusuf di bawah satu bumbung, melihat wajah dan tubuhnya serta mendengar suaranya pada setiap saat dan setiap detik, sampai kehilangan akal sehingga tidak dapat mengawal nafsu syahwatku menghadapinya? Aku harus mengaku di depan kamu bahawa memang akulah yang menggodanya dan merayunnya dan dengan segala daya upaya ingin memikat hatinya dan mengundangnya untuk menyambut cintaku dan melayani nafsu syahwatku."

     "Akan tetapi dia bertahan diri, tidak menghiraukan ajakanku dan bersikap dingin terhadap rayuan dan godaanku. Dia makin menjauhkan diri, bila aku mencuba mendekatinya dan memalingkan pandangan matanya dari pandanganku bila mataku bertentangan dengannya. Aku telah merendahkan diriku sebagai isteri Ketua Polis Negara kepada Yusuf yang hanya seorang hamba sahaya dan pembantu rumah, namaku sudah terlanjur ternomda dan menjadi ejekan orang kerananya, maka bila dia tetap membangkang dan tidak mahu memperturutkan kehendakku, aku tidak akan ragu-ragu akan memasukkannya ke dalam penjara sepanjang waktu sebagai pengajaran baginya dan imbalan bagi kecemaran namaku kerananya."

     Mendengar kata-kata ancaman Zulaikha terhadap Yusuf menggugah hati para wanita yang menaruh simpati dan rasa kasihan kepada diri Yusuf. Mereka membayangkan bahawa tubuh yang indah dan wajah yang kacak serta manusia yang berbudi pekerti dan berakhlak luhur itu tidak patut dipenjarakan dan dimasukkan ke tempat orang-orang yang melakukan jenayah dan penjahat.

     Berkata salah seorang yang menghampirinya: "Wahai Yusuf, mengapa engkau berkeras kepala menghadapi Zulaikha yang menyayangimu dan mencintaimu? Mengapa engkau menolak ajakan dan seruannya kepadamu? Suatu keuntungan besar bagimu, bahawa seorang wanita cantik seperti Zulaikha yang bersuamikan seorang pembesar negara, tertarik kepadamu menginginkan pendekatanmu. Ataukah mungkin engkau adalah seorang lelaki yang lemah syahwat dan kerana itu tidak tertarik oleh kecantikan serta keelokan seorang wanita muda seperti Zulaikha."

     Berkata seorang wanita tetamu lain: "Jika sekiranya engkau tidak tertarik kepada Zulaikha kerana kecantikannya, maka berbuatlah untuk kekayaannya dan kedudukan suaminya. Sebab jika engkau dapat menyesuaikan dirimu dengan kehendak Zulaikha dan mengikut segala perintahnya, nescaya engkau akan dianugerahi harta yang banyak dan mungkin pangkatmu pun akan dinaikkan."

     Berkatalah seorang tetamu lain memberi nasihat; "Wahai Yusuf, fikirkanlah baik-baik dan dengarlah nasihatku ini: Zulaikha sudah berketetapan hati, harus mencapai tujuannya dan memperoleh apa yang dia kehendaki daripadamu. Dia sudah terlanjur diejek dan dikecam orang dan sudah terlanjur namanya menjadi bualan di dalam masyarakat kerana engkau, maka dia mengancam, bila engkau tetap berkeras kepala dan tidak melunakkan sikapmu terhadap tuntutannya, pasti dia akan memasukkan engkau ke dalam penjara sebagai penjahat dan penjenayah. Engkau mengetahui bahawa suami Zulaikha adalah Ketua Polis Negara yang berkuasa memenjarakan seseorang ke dalam tahanan dan engkau mengetahui pula bahawa Zulaikha sangat berpengaruh kepada suaminya. Sayangilah wahai Yusuf dirimu yang masih muda remaja dan tampan ini dan ikutilah perintah Zulaikha agar engkau selamat dan terhindar dari akibat yang kami semua tidak menginginkan bagimu."

     Kata-kata nasihat dan pujukan para wanita, para tetamu Zulaikha itu didengar oleh Yusuf oleh telinga kanan dan dikeluarkan dari telinga kirinya. Tidak satu pun daripadanya yang dapat turun ke lubuk hatinya atau menjadi bahan perimbangannya. Akan tetapi walaupun dia percaya kepada dirinya, tidak akan terpengaruh oleh pujukan dan nasihat-nasihat itu, dia merasa khuatir, bahawa jika dia masih tinggal lama di tengah-tengah pergaulan itu, akhirnya dia mungkin akan terjebak dan masuk ke dalam perangkap tipu daya dan tipu muslihat Zulaikha dan kawan-kawan wanitanya.

     Berdoalah Nabi Yusuf memohon kepada Allah SWT, agar diberi ketetapan iman dan keteguhan tekad kepadanya supaya tidak tersesat oleh godaan syaitan dan tipu muslihat kaum wanita yang akan menjerumuskannya ke dalam lembah kemaksiatan dan perbuatan mungkar. Berucaplah dia dalam doanya: "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku lebih suka dipenjarakan berbanding aku berada di luar tetapi harus memperturutkan hawa nafsu para wanita itu. Lindungilah aku wahai Tuhanku dari pergaulan orang-orang yang hendak membawaku ke jalan yang sesat dan memaksaku melakukan perbuatan yang Engkau tidak redhai! Bila aku dipenjarakan, akan kubulatkan fikiranku serta ibadaku kepadMu wahai Tuhanku. Jauhkanlah daripadaku rayuan dan tipu daya wanita-wanita itu, supaya aku tidak termasuk orang-orang yang bodoh dan sesat."

     Futhifar, Ketua Polis Negara, suami Zulaikha mengetahui dengan pasti bahawa Yusuf bersih dari segala tuduhan yang dilemparkan kepadanya. Dia pula sedar bahawa isterinyalah yang menjadi miang keladi dalam peristiwa yang sampai mencemarkan nama baik keluarganya. Akan tetapi dia tidak dapat berbuat selain mengikuti nasihat isterinya yang mencadangkan agar Yusuf dipenjarakan. Kerana dengan memasukkan Yusuf ke dalam tahanan, pendapat umum akan berubah dan berbalik menunduh serta menganggap Yusuflah yang bersalah dalam peristiwa itu dan bukannya Zulaikha.

     Dengan demikian mereka berharap nama baiknya akan pulih kembali dan desas-desus dari masyarakat tentang rumahtangganya akan berakhir. Demikianlah, maka perintah dikeluarkan oleh Futhifar dan masuklah Yusuf ke dalam penjara sesuai dengan doanya.

     Isi cerita di atas dapat dibaca dalam Al-Quran, surah Yusuf, ayat 22 sehingga ayat 35 yang bermaksud:

Ertinya:

"Dan tatkala dia cukup dewasa, Kami berikan kepadanya hikmah dan ilmu. Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang yang berbuat baik. Dan wanita (Zulaikha), di mana Yusuf tinggal di rumahnya, menggoda Yusuf supaya berkehendakkan dirinya, lalu dia pun menutup pintu-pintu seraya berkata: "Marilah mendekati aku." Yusuf berkata: "Aku berlindung kepada Allah, sesungguhnya Tuhanku telah memperlakukan aku dengan baik." Sesungguhnya orang yang zalim tidak akan beruntung. Sesungguhnya wanita itu telah berkeinginan dengan Yusuf dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya dengan wanita itu andaikata dia tidak melihat tanda (daripada) Tuhannya. Demikianlah agar Kami memalingkan daripadanya kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba-hamba Kami yang terpilih. Dan keduanya berkejaran menuju ke pintu, lalu wanita itu menarik baju gamis Yusuf dari belakang hingga terkoyak dan keduanya dapati suami wanita itu berada di muka pintu. Wanita itu berkata: "Apakah balasan terhadap orang yang bermaksud buruk terhadap isterimu, selain dipenjarakan atau (dihukum) dengan seksaan yang pedih?" Yusuf berkata: "Dia yang menggodaku untuk menundukkan diriku (kepadanya)." Dan seorang saksi daripada keluarga wanita itu memberikan kesaksiannya: "Jika baju gamisnya koyak di bahagian hadapan, maka wanita itu benar dan Yusuf termasuk orang yang dusta." "Dan jika baju gamisnya koyak di bahagian belakang, maka wanita itulah yang dusta dan Yusuf termasuk orang yang benar." Maka tatkala suami wanita itu melihat baju gamis Yusuf koyak di bahagian belakang, dia berkata: "Sesungguhnya (kejadian) itu adalah di antara tipu daya kamu, sesungguhnya tipu daya kamu benar-benar hebat." "(Wahai) Yusuf! Lupakanlah hal ini, dan (kamu hai isteriku) mohon ampunlah atas dosamu, kerana kamu sesungguhnya termasuk orang yang berbuat salah." Dan wanita-wanita di bandar Mesir berkata: "Isteri al-Aziz yang menggoda hambanya (Yusuf) supaya berkehendakkan dirinya, sesungguhnya cintanya itu sudah meresap ke dalam hatinya. Sesungguhnya kami memandangnya berada dalam kesesatan yang nyata." Maka tatkala wanita itu (Zulaikha) mendengar cercaan mereka, diundangnya wanita-wanita itu dan disediakannya bagi mereka tempat duduk dan diberikannya kepada mereka masing-masing sebilah pisau (untuk memotong), kemudian dia berkata (kepada Yusuf): "Keluarlah (tunjukkan dirimu) kepada mereka." Maka tatkala wanita-wanita itu melihatnya, mereka merasa kagum dengan (keelokan rupa)nya dan tanpa disedari mereka telah melukai (jari) tangan mereka sambil berkata: "Maka Sempurna Allah, ini bukanlah manusia. Sesungguhnya ini tidak lain hanyalah para malaikat yang mulia." Wanita itu berkata: "Itulah dia oran gyang kamu cela aku kerana (tertarik) kepadanya dan sesungguhnya aku telah menggoda dia untuk menundukkan dirinya (kepadaku), akan tetapi dia menolak. Dan sesungguhnya jika dia tidak mentaati apa yang aku perintahkan kepadanya, nescaya dia akan dipenjarakan dan dia akan termasuk golongan yang hina." Yusuf berkata: "Wahai Tuhanku! Penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka. Dan jika Kamu tidak hindarkan daripada tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka) dan tentulah aku termasuk orang yang bodoh." Maka Tuhan memperkenankan doa Yusuf, dan Dia menghindarkan Yusuf daripada tipu daya mereka. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Kemudian timbul fikiran bagi suami wanita itu serta orangnya setelah mereka melihat tanda-tanda (kebenaran Yusuf) bahawa mereka perlu memenjarakannya sampai waktu tertentu." (Surah Yusuf: 22-35)








N / F : DARIPADA "KISAH-KISAH PARA NABI & RASUL", OLEH ABDULLAH BIN AHMAD MUBARAK.