Wednesday 9 May 2018

NABI YA'QUB A.S.






NABI YA'QUB A.S.








     NABI Ya'qub adalah putera dari Nabi Ishaq bin Ibrahim, sedang ibunya adalah anak saudara dari Nabi Ibrahim, bernama Rifqah binti A'zar. Dia adalah saudara kembar daripada putera Ishaq yang kedua bernama Ishu.

     Antara kedua saudara kembar ini tidak terdapat suasana harmoni dan damai dan tidak ada menaruh kasih sayang antara satu sama yang lain bahkan Ishu mendendam dengki dan iri hati terhadapnya Ya'qub saudara kembarnya yang memang dimanja dan lebih disayang dan dicintai oleh ibunya. Hubungan mereka yang renggang dan tidak akrab itu semakin buruk dan tegang setelah diketahui oleh Ishu bahawa Ya'qublah yang diajukan oleh ibunya ketika ayah mereka minta kedatangan anak-anaknya untuk diberkahi dan didoakan, sedang dia tidak diberitahu dan kerana itu tidak mendapat kesempatan seperti Ya'qub memperoleh berkah dari doa ayahnya, Nabi Ishaq A.S..

     Melihat sikap saudaranya yang bersikap kaku dan dingin dan mendengar kata-kata sindirannya yang timbul dari rasa dengki dan irihati, bahkan dia selalu diancam, maka datanglah Ya'qub kepada ayahnya mengadukan sikap permusuhan itu. Dia berkata mengeluh: "Wahai ayahku! Tolonglah beri fikiran kepadaku, bagaimana aku harus menghadapi saudaraku Ishu yang membenciku, mendendam dengki kepadaku dan selalu menyindirku dengan kata-kata yang menyakitkan hatiku, sehingga menjadikan hubungan persaudaraan kami berdua renggang dan tegang tidak ada saling cinta-mencintai dan saling sayang-menyayangi."

     "Dia marah kerana ayah telah memberkahi dan mendoakan aku agar aku memperoleh keturunan yang soleh, rezeki yang mudah dan penghidupan makmur dan mewah. Dia menyombongkan diri dengan kedua isterinya dari suku Kan'aan dan mengancam bahawa anak-anaknya dari kedua isteri itu akan menjadi saingan berat bagi anak-anakku kelak di dalam pencarian dan penghidupan dan macam-macam ancaman lain yang mencemaskan serta menyeksakan hati. Tolonglah ayah, berilah aku fikiran bagaimana dapat kami mengatasi masalah ini serta menyelesaikannya dengan cara kekeluargaan."

     Berkata si ayah, Nabi Ishaq, yang memang sudah merasa kesal hati melihat hubungan kedua puteranya makin hari makin meruncing: "Wahai anakku, kerana usiaku yang sudah lanjut, aku tidak dapat menangani kamu berdua. Ubanku sudah menutupi seluruh kepalaku, badanku sudah membongkok, raut mukaku sudah berkedut dan aku sudah berada di ambang pintu berpisah dari kamu dan meninggalkan dunia yang fana ini. Aku khuatir bahawa bila aku telah habis usia, gangguan saudaramu kepadamu akan makin meningkat dan dia secara terbuka akan memusuhimu, berusaha mencari kecelakaanmu dan kebinasaanmu. Dia dalam usahanya memusuhimu akan mendapat sokongan dan pertolongan dan saudara-saudara iparnya yang berpengaruh dan berwibawa di negeri ini. Maka jalan yang terbaik bagimu, menurut fikiranku, engkau harus pergi meninggalkan negeri ini dan berhijrahlah ke Fadan A'raam di daerah Iraq, di mana bermukimnya bapa saudara ibumu Laban bin Batu'il. Engkau dapat mengharapkan dikahwinkan kepada salah seorang puterinya dan dengan demikian menjadi kuatlah kedudukan sosialmu, disegani dan dihormati orang kerana kedudukan mertuamu yang menonjol di mata masyarakat. Pergilah engkau ke sana dengan iringan doa daripadaku semoga Allah SWT memberkahi perjalananmu, memberimu murah rezeki dan mudah serta kehidupan yang tenang dan tenteram."
   
     Nasihat dan saranan si ayah mendapat tempat dalam hati si anak. Ya'qub melihat dalam anjuran ayahnya jalan keluar yang dikehendaki dari krisis hubungan persaudaraan antaranya dan Ishu, apalagi dengan bapa saudaranya dan anggota-anggota keluarganya dari pihak ibunya. Dia segera berkemas-kemas membungkus barang-barang yang diperlukan dalam perjalanan dan dengan hati terharu serta air mata yang bergelinangan di matanya dia meminta kepada ayah dan ibunya ketika akan meninggalkan rumah.


A. Nabi Ya'qub Tiba Di Iraq


     Dengan melalui padang pasir dan sahara yang luas dengan panas mataharinya yang terik dan angin panas yang membakar kulit, Ya'qub meneruskan perjalanannya seorang diri, menuju ke Fadan A'raam di mana bapa saudaranya Laban tinggal. Dalam perjalanan yang jauh itu, dia sekali-sekali berhenti beristirahat bila merasa letih dan lesu. Dan dalam salah satu tempat perhentiannya dia berhenti kerana sudah sangat letih, lalu tertidur di bawah teduhan sebuah batu karang yang besar.

     Dalam tidurnya yang nyenyak, dia mendapat mimpi bahawa dia dikurniai rezeki yang luas, penghidupan yang aman dan damai, keluarga dan anak cucu yang soleh dan bakti serta kerajaan yang besar dan makmur. Terbangunlah Ya'qub dari tidurnya, mengusap matanya, menoleh ke kanan dan ke kiri dan sedarlah dia bahawa apa yang dilihatnya hanyalah suatu mimpi, namun dia percaya bahawa mimpinya itu akan menjadi kenyataan di kemudian hari sesuai dengan doa ayahnya yang masih tetap terngiang-ngiang di telinganya. Dengan diperolehnya mimpi itu, dia merasa segala letih yang dirasakan semasa dalam perjalanannya menjadi hilang, seolah-olah dia memperoleh tenaga baru dan bertambahlah semangatnya untuk secepat mungkin tiba di tempat yang dituju dan menemui sanak keluarganya dari pihak ibu.

     Tibalah pada akhirnya Ya'qub di depan pintu gerbang kota Fadan A'raam setelah berhari-hari siang dan malam menempuh perjalanan yang membosankan, tiada yang dilihat selain langit di atas dan pasir di bawah. Alangkah lega hatinya ketika dia mulai melihat binatang-binatang peliharaan berkeliaran di atas ladang-ladang rumput, burung-burung berterbangan di udara yang cerah dan para penduduk kota ke hulu ke hilir, mudik mencari nafkah dan keperluan hidup masing-masing.

     Sesampainya di salah satu persimpangan jalan, dia berhenti sebentar, bertanya kepada salah seorang penduduk di mana letak rumah saudara ibunya Laban berada. Laban, seorang kaya-raya yang kenamaan, pemilik dari suatu perusahaan penternakan yang terbesar di kota itu, tidak sukar bagi seseorang untuk menemukan alamatnya. Penduduk yang ditanya itu segera menujuk ke arah seorang gadis cantik yang sedang menggembala kambing sambil berkata kepada Ya'qub: "Kebetulan sekali, itulah dia puterinya Laban yang akan dapat membawamu ke rumah ayahnya, dia bernama Rahil."

     Dengan hati berdebar, pergilah Ya'qub menghampiri gadis yang ayu dan cantik itu, lalu dengan suara terputus-putus seakan-akan ada sesuatu yang mengikat lidahnya, dia mengenalkan dirinya, bahawa dia adalah saudara sepupunya sendiri. Ibunya yang bernama Rifqah adalah saudara kandung dari ayah si gadis itu. Selanjutnya dia menerangkan kepada gadis itu bahawa dia datang ke Fadan A'raam dari Kan'aan dengan tujaun hendak menemui Laban, ayahnya, untuk menyampaikan pesanan Ishaq, ayah Ya'qub kepada ayah gadis itu. Maka dengan senang hati, sikap yang ramah dan muka yang manis disilakan Ya'qub mengikutinya berjalan menuju rumah Laba, bapa saudaranya.

     Berpeluk-peluklah dengan mesranya si bapa saudara dengan anak saudara, menandakan kegembiraan masing-masing dengan pertemuan yang tidak disangka-sangka itu dan mengalirlah pada pipi masing-masing air mata yang dicucurkan oleh rasa terharu dan sukacita. Maka disiapkanlah oleh Laban bin Batu'il tempat dan bilik khas untuk anak saudaranya Ya'qub yang tidak berbeza dengan tempat-tempat anak kandungnya sendiri di mana dia dapat tinggal sesuka hatinya seperti di rumahnya sendiri.

     Setelah selang beberapa waktu tinggal di rumah Laban, bapa saudaranya, sebagai anggota keluarganya, disampaikanlah oleh Ya'qub kepada bapa saudaranya pesanan Ishaq, ayahnya agar mereka berdua berbesan dengan mengahwinkannya kepada salah seorang dari puteri-puterinya.

     Pesanan tersebut diterima oleh Laban dan setuju akan mengahwinkan Ya'qub dengan salah seorang puterinya, dengan syarat sebagai mas kahwin, dia harus memberikan tenaganya bekerja di dalam perusahaan penternakan bakal mertuanya selama tujuh tahu. Ya'qub menyetujui syarat-syarat yang dikemuakan oleh bapa saudaranya dan bekerjalah dia sebagai salah seorang pengurus perusahaan penternakan terbesar di kota Fadan A'raam itu.

     Setelah masa tujuh tahun dilalui oleh Ya'qub sebagai pekerja dalam perusahaan penternakan Laban, dia menagih janji bapa suadaranya yang akan mengambilnya sebagai anak menantu. Laban menawarkan kepada Ya'qub agar menyunting puterinya yang bernama Laiya sebagai isteri, namun anak saudaranya mengkehendaki Rahil, adik dari Laiya, kerana lebih cantik dan lebih ayu daripada Laiya yang ditawarkannya itu.

     Keinginan tersebut diutarakannya secara terus-terang oleh Ya'qub kepada bapa saudaranya, yang juga dari pihak bapa saudaranya memahami dan mengerti isi hati anak saudaranya itu. Akan tetapi adat-istiadat yang berlaku pada waktu itu tidak mengizinkan seorang adik melangkahi kakaknya kahwin terlebih dahulu. Kerana itu sebagai jalan tengah, agar tidak mengecewakan Ya'qub dan tidaklah pula melanggar peraturan yang berlaku, Laban menyarankan agar anak saudaranya Ya'qub menerima Laiya sebagai isteri pertama dan Rahil sebagai isteri kedua yang akan disuntingnya kelak setelah dia menjalani masa kerja tujuh tahun kedua di dalam perusahaan penternakannya.

     Ya'qub yang sangat hormat kepada bapa saudaranya dan merasa terhutang budi kepadanya yang telah menerimanya tinggal di rumah sebagai keluarga, melayannya dengan baik dan tidak dibeza-bezakan seolah-olah anak kandungnya sendiri, tidak dapat berbuat selain menerima cadangan bapa saudaranya itu. Perkahwinan dilaksanakan dan kontrak kerja untuk masa tujuh tahun kedua ditandatangani.

     Sebaik saja masa kerja tujuh tahun kedua berakhir, dikahwinkanlah Ya'qub dengan Rahil, gadis yang sangat dicintai dan selalu dikenang sejak pertemuan pertamanya tatkala dia masuk kota Fadan A'raam. Dengan demikian Nabi Ya'qub memperisterikan dua wanita bersaudara, kakak dan adik, di mana menurut syariat dan peraturan yang berlaku pada waktu itu tidak terlarang, akan tetapi oleh syariat Muhammad SAW perkara seperti itu diharamkan.

     Laban memberi hadiah kepada setiap puterinya, kedua isteri Nabi Ya'qub, seorang hamba sahaya untuk menjadi pembantu rumahtangga mereka. Dan dari kedua isteri serta kedua hamba sahaya itu Nabi Ya'qub dikurniai dua belas anak, di antaranya Yusuf dan Binyamin dari ibu Rahil sedang yang lain dari Laiya.


B. Nabi Ya'qub Dalam Al-Quran


     Kisah Nabi Ya'qub tidak terdapat dalam Al-Quran secara tersendiri, namun disebut-sebut nama Ya'qub dalam hubungannya dengan Ibrahim, Yusuf dan lain-lain nabi. Bahan kisah ini bersumber dari beberapa kitab tafsir dan buku-buku sejarah.









N / F : DARIPADA "KISAH-KISAH PARA NABI & RASUL", OLEH ABDULLAH BIN AHMAD MUBARAK.

No comments:

Post a Comment