Tuesday 1 May 2018

NABI ISMAIL A.S. [ BAHAGIAN 3 (AKHIR) ]






BAHAGIAN 3 (AKHIR)








G. Pengajaran Yang Dapat Dipetik Daripada Kisah Ibrahim dan Ismail A.S.


1. Bahawasanya aqidah dan iman yang sudah mantap dan meresap di dalam hati seseorang akan sangat berpengaruh terhadap perilakunya, tindak-tanduknya dan cara berfikirnya serta menguasai seluruh perasaannya. Dia akan menganggap segala pengorbanan dan penderitaan yang dialaminya dalam membela aqidahnya suatu hal yang ringan, walaupun dia dilemparkan ke dalam api sebagaimana dialami oleh Nabi Ibrahim atau akan dipotong lehernya sebagaimana telah ditunjukkan oleh Nabi Ismail. Jika seorang patriot bangsa rela mengorbankan jiwa raganya untuk membela tanah air dan bangsanya, maka lebih-lebih lagi seorang mukmin yang sudah tergolong dalam golongan Siddiqin akan rela dan ikhlas menyerahkan kembali jiwa raganya dan segala apa yang dimilikinya kepada Allah Tuhan Penciptanya.

2. Bahawasanya penentangan Nabi Ibrahim terhadap kemungkaran yang dilakukan oleh kaumnya, seperti penyembahan berhala, kezaliman dan kesombongan serta lain-lain maksiat, telah dilakukannya dengan lisan dan perbuatan, ketika menumbangkan berhala-berhala persembahan kaumnya dengan tangannya sendiri, tanpa memikirkan akibat yang akan terjadi pada dirinya dari perbuatan nekad itu. Dengan demikian Nabi Ibrahim telah memberi contoh melakukan nahi mungkar dalam tingkat dan cara yang terberat, di antara tiga cara yang telah digariskan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud:

"Barangsiapa daripada kamu melihat perbuatan mungkar, maka hendaklah dia mengubah dan menentangnya dengan tangan dan apabila tidak sanggup melakukannya dengan tangan, dapat dilakukan dengan lisan secara nasihat dan pada tingkat yang paling ringan, hendaklah dia mengingkari perbuatan mungkar itu dengan hatinya. Namun tingkat yang terakhir itu menandakan kelemahan iman."

3. Bahawasanya Nabi Ibrahim dalam dakwahnya kepada kaum penentangnya tidak meninggalkan cara mujadalah dan berdialog dengan tujuan agar mereka menggunakan akal dan fikiran untuk mempertimbangkan dan membanding-bandingkan hujjah dan dalil-dalil yang dibawanya, agar mereka mengikutinya dan menerima dakwahnya dengan keyakinan dan bukan secara buta-tuli. Hal yang demikian tercermin dalam perdebatan yang berlaku antara Nabi Ibrahim dan para penyembah bintang-bintang dan dalam soal-jawab antara beliau dengan Raja Namrud, demikian juga ketika beliau menghadapi para hakim dalam kes kerosakan berhala-berhala.

4. Bahawasanya Nabi Ibrahim berbudi-pekerti dan berakhlak mulia, tahu bagaimana dia harus berlaku sikap lemah lembut terhadap ayahnya yang berlainan kepercayaan dan pendirian dengan dirinya sendiri. Dia mengajak ayahnya agar beriman kepada Tuhan, meninggalkan syirik dan persembahan berhalanya, dengan sopan-santun, kata-kata halus dan sikap hormat. Dia tidak membalas sikap angkuh dan kata-kata kasar ayahnya dengan sikap dan kata-kata yang serupa, bahkan dia berdoa dan akan beristighfar meminta ampun bagi ayahnya dari Allah SWT, dengan harapan bahawa Allah SWT akan memberi hidayah dan petunjuk kepadanya. Contoh dan teladan yang diberikan oleh Nabi Ibrahim itu adalah sesuai dengan ajaran Islam yang mewajibkan anak berbakti kepada orang tua mentaati perintah-perintahnya selagi tidak bertentangan dengan perintah Allah SWT dan tidak merupakan perbuatan maksiat.

5. Bahawasanya Nabi Ibrahim adalah seorang yang murah hati dan cinta kepada tamu. Dia menerima tetamunya dengan ramah-tamah, wajah berseri-seri dan kehormatan yang layak. Sikap yang demikian itu telah nampak jelas tatkala beliau menerima tetamunya, para malaikat yang menyamar sebagai manusia biasa, di mana sebagai penghormatan, dia segera menyembelih seekor lembu bagi jamuan makan mereka. Sifat murah hati dan cinta tamu, adalah juga salah satu akhlak Islam yang patut dimiliki oleh setiap muslim, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Hormatilah tamamu walaupun dia seorang kafir dan tidak termasuk dalam golonganku, barangsiapa tidak menghormat tamunya."

6. Bahawasanya Nabi Ibrahim mempunyai jiwa yang kuat dan selalu haus kepada pengetahuan dan kebenaran. Dia ingin mengetahui dan mempercayai segala sesuatu secara mendalam dan meyakinkan. Jika dia meragukan tentang sesuatu, maka doa berusaha dan berdaya-upaya menghilangkan keraguannya itu dengan mencari fakta dan bukti yang dapat diterima oleh akal fikirannya dan hati nuraninya.

     Dia tidak segan-segan memohon kepada Allah SWT agar dipertunjukkan kepadanya, bagaimana Tuhan menghidupkan kembali makhluk yang suah mati, yang mana adalah semata-mata untuk memberi keyakinan yang kepada dirinya dan mententeramkan hatinya yang mungkin masih diganggu oleh rasa ragu-ragu dan ketidakpastian.

     Sifat kritis dan haus akan pengetahuan yang demikian itu, patut dimiliki oleh setiap orang muslim, yang bila merasa kurang yakin akan kebenaran sesuatu hukum dan ajaran agamanya, hendaknya dia segera berusaha mencari keterangan dan bertanya kepada para ulama yang ahli dalam bidangnya, agar dia tidak mudah tergoda oleh ajaran-ajaran yang menyesatkan, bahkan mungkin bertambah menjauhkannya dari ajaran dan aqidah yang benar.

7. Nabi Ismail dalam kisah ini, dapat menjadi contoh dan teladan yang baik, sebagai anak yang soleh taat kepada Allah SWT berbakti dan taat kepada orang tuanya. Dia dengan ikhlas dan hati yang tabah telah menyerahkan jiwa raganya untuk dikorbankan, setelah diberitahu oleh ayahnya bahawa hal itu diperintahkan oleh Allah SWT yang harus dilakukannya.

     Dengan demikian dia telah memenuhi perintah Allah SWT dan sekaligus mempermudahkan ayahnya melaksanakan tugas samawinya. Begitu patuh dan taatnya Nabi Ismail kepada ayahnya, sehingga hubungannya dengan isterinya diputuskan setelah mendapat isyarat dari ayahnya untuk berbuat demikian.

8. Dalam kisah ini terdapat gambaran tentang sifat dan akhlak dua perempuan yang dapat dijadikan teladan bagi wanita-wanita yang bersuami. Seorang wanita, isteri Nabi Ismail yang pertama, digambarkan sebagai wanita yang tidak mengenal syukur kepada Allah SWT, berkeluh-kesah kepada seorang asing yang belum dikenalnya tentang keadaan rumahtangganya yang miskin, susah dan serba kekurangan sehingga dia tidak dapat menjamukan sesuatu untuk tamunya. Sedang seorang wanita lain, isteri kedua Ismail digambarkan sebagai seorang wanita yang bijaksana menunjukkan rasa puasnya tentang rumahtangganya yang bahagia, aman sentosa, serta cukup dan tidak kurang sesuatu berkat rahmat Allah SWT dan pertolongan-Nya.

     Nabi Ibrahim yang mengadakan soal jawab secara samar dengan kedua wanita yang adalah menantunya sendiri memperoleh kesan, bahawa wanita pertama adalah seorang isteri yang tidak akan membawa kebahagiaan rumahtangga, kerana akhlaknya yang selalu merasa kekurangan, suka mengeluh, tidak bersyukur atas nikmat Allah SWT yang dikurniakan kepadanya. Kerana itu Nabi Ibrahim memberi isyarat kepada Nabi Ismail, puteranya agar menceraikan isterinya itu. Sedang wanita yang kedua, digambarkan sebagai isteri yang baik, bijaksana, tidak mengeluh, menerima dengan apa adanya dengan bersyukur kepada Allah SWT, sehingga dengan akhlaknya yang demikian, ia akan menjadi teman hidup yang baik bagi suami dalam keadaan suka mahupun duka, susah mahupun senang. Bagi isteri yang kedua ini, Nabi Ibrahim mengisyaratkan kepada Nabi Ismail, agar mempertahankannya sebagai isteri untuk selama-lamanya.




"Keduanya berkata: "Ya Tuhan kami! Kami
telah menganiaya diri kami sendiri. Jika
Engkau tidak mengampuni kami dan
memberi rahmat kepada kami, nescaya,
pastilah kami termasuk orang yang rugi."
(Surah Al-A'raf: 23)









N / F : DARIPADA "KISAH-KISAH PARA NABI & RASUL", OLEH ABDULLAH BIN AHMAD MUBARAK.

No comments:

Post a Comment