Monday 14 May 2018

NABI YUSUF A.S. [ BAHAGIAN 2 ]






BAHAGIAN 2








D. Yusuf A.S. Diperjual-Belikan Sebagai Hamba Sahaya


     Ketika Yusuf sedang berada di dalam perigi itu seorang diri, diselubungi oleh kegelapan dan kesunyian yang mencekam. Dia melihat ke atas, ke bawah, ke kanan dan ke kiri, memikirkan bagaimana dia dapat memanjat naik dari dasar perigi itu, namun dia tidak melihat sesuatu yang dapat menolongnya. Dia hanya melihat bayangan tubuh dalam air yang cetek di bawah kakinya. Ia suatu ujian yang amat berat bagi seorang semuda Nabi Yusuf yang masih belum banyak pengalamannya dalam penghidupan, bahkan inilah pertama kalinya dia berpisah dari ayahnya yang sangat menyayangi dan memanjakannya. Lebih-lebih lagi terasa berat ujian itu ialah kerana yang melemparkannya ke dasar telaga itu adalah abang-abangnya sendiri, putera-putera ayahnya.

     Di samping memikirkan nasibnya sendiri dan penderitaan yang sedang dialami, serta bagaimana dia akan menyelamatkan dirinya dari bahaya kelaparan sekiranya dia tidak ditolong, dia selalu mengenangkan ayahnya dan betapa sedihnya si ayah ketika melihat abang-abangnya kembali pulang ke rumah tanpa dirinya berada bersama mereka.

     Tiga hari berlalu, sejak Yusuf dilempar ke dalam perigi, dan belum tampak tanda-tanda yang memberi harapan baginya dapat keluar dari kurungannya, sedang kelaparan mulai membayangi dan nyaris berputus asa. Secara tiba-tiba terdengar olehnya suara sayup-sayup, suara aneh yang belum pernah didengarnya sejak dia dilemparkan ke dalam telaga itu. Makin lama makin jelaslah suara-suara itu pada akhirnya terdengar seperti anjing menyalak, suara orang-orang bercakap dan ketawa terbahak-bahak dan suara jejak kaki manusia dan binatang sekitar telaga itu.

     Ternyata bahawa apa yang terdengar oleh Yusuf, ialah suara-suara yang ditimbulkan oleh sebuah kabilah yang sedang berhenti di sekitar perigi, di mana ia terkurung, untuk beristrahat sambil mencari air untuk diminum bagi mereka, dan binatang-binatang mereka. Alangkah gembiranya Yusuf ketika dia sedang memasang telinganya dan mendengar suara ketua kabilah memerintahkan orangnya melepaskan gayung mengambil air dari telaga itu. Sejurus kemudian dilihat oleh Yusuf sebuah gayung turun ke bawah dan sebaik sahaja terjangkau oleh tangannya dipeganglah kuat-kuat gayung itu yang kemudian ditarik ke atas oleh si musafir sambil berteriak mengeluh kerana beratnya gayung yang ditarik itu.
  
     Para musafir yang berada di kabilah itu, terperanjat dan takjub ketika melihat bahawa yang memberatkan gayung itu bukanlah air, tetapi manusia hidup berparas kacak, bertubuh tegap dan berkulit putih bersih. Mereka berunding apa yang akan mereka buat terhadap hamba Allah SWT yang telah ditemui di dasar perigi itu, dilepaskannya di tempat yang sunyi itu atau dikembalikan kepada keluarganya. Maka bersepakatlah mereka untuk dibawa ke Mesir untuk dijual di sana sebagai hamba sahaya dengan harga, yang menurut taksiran mereka akan mencapai harga yang tertinggi kerana tubuhnya yang baik dan parasnya yang kacak.

     Setibanya kabilah itu di kota Mesir, dibawalah Yusuf ke sebuah pasar khas, di mana manusia diperdagangkan dan diperjual-belikan sebagai barang dagangan atau sebagai binatang-binatang ternakan. Yusuf lalu ditawarkan di hadapan umum, dilelongkan. Dan kerana para musafir yang membawanya itu khuatir akan terbuka rahsia penemuan Yusuf, maka mereka enggan mempertahankannya sampai mencapai harga yang tinggi, tetapi dilepaskannya pada penawaran pertama dengan harga rendah dan tidak sepadan.

     Padahal seorang seperti Nabi Yusuf tidak dapat dinilai dengan wang, bahkan dengan emas seisi bumi pun tidak seimbang sebagai harga manusia yang besar dan makhluk Allah SWT yang agung seperti Nabi Yusuf oleh Allah SWT telah digariskan dalam takdirnya, bahawa dia akan melaksanakan tujuan yang suci dan menjalankan peranan yang menentukan dalam pergaulan hidup umat manusia.

     Nabi Yusuf dalam perlelongan itu dibeli oleh Ketua Polis Mesir bernama Fathifar sebagai penawar pertama, yang merasa gembira memperolehi seorang hamba yang berparas bagus, bertubuh kuat dengan air muka yang memberi kesan bahawa dalam tubuh manusia yang dibeli dari perlelongan itu, terkandung jiwa besar, hati suci bersih dan bahawa dia bukanlah dari kualiti manusia yang harus diperjual-belikan.

     Kata Futhifar kepada isterinya ketika memperkenalkan Yusuf kepadanya: "Inilah hamba yang aku beli dari pelelongan tadi. Berilah dia perlakuan dan layanan yang baik, kalau-kalau kelak kami dapat memperoleh manfaat daripadanya dan memungutnya sebagai anak kandung kita. Aku dapat firasat dari paras mukanya dan gerak-gerinya bahawa dia bukanlah dari golongan hamba-hamba yang harus diperjual-belikan, bahkan mungkin sekali bahawa dia adalah keturunan keluarga yang berkedudukan tinggi dan orang-orang yang beradab.

     Isteri Ketua Polis Mesir menerima Yusuf di rumahnya, sesuai dengan pesanan suaminya. Dilayannya sebagai seorang daripada anggota keluarga dan sekali-kali tidak diperlakukan sebagai hamba belian. Yusuf pun dapat menyesuaikan diri dengan keadaan rumah tangga Futhifar. Dia melakukan tugas hariannya di rumah dengan penuh semangat dan dengan kejujuran serta disiplin yang tinggi. Segala kewajipan dan tugas yang diperintahkan kepadanya, diurus dengan senang hati seolah-olah perintah orang tuanya sendiri. Demikianlah, semakin lama semakin disayangi sehingga dia merasa seakan-akan berada di rumah keluarga dan orang tuanya sendiri.

     Tentang isi cerita di atas, dapat dibaca dalam surah Yusuf ayat 19 sehingga ayat 21 seperti berikut:

Ertinya:

"Kemudian datanglah rombongan musafir, lalu mereka menyuruh seorang pencari air, maka dia menurunkan timbanya ke dalam perigi (dan melihat Yusuf bergantung pada timbanya), dia berkata: "Oh, berita gembira, ini seorang budak lelaki!" Kemudian mereka menyembunyikan dia sebagai barang dagangan. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan. Dan mereka menjual Yusuf dengan harga murah iaitu beberapa dirham saja dan mereka merasa tidak tertarik kepada Yusuf. Dan orang Mesir yang membelinya berkata kepada isterinya: "Berikanlah kepadanya tempat (dan layanan) yang baik, boleh jadi dia bermanfaat kepada kita atau kita pungut dia sebagai anak." Dan demikian pulalah, Kami memberikan kedudukan yang baik kepada Yusuf di muka bumi (Mesir) dan agar kami ajarkan kepadanya takwil mimpi. Dan Allah berkuasa terhadap urusanNya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya." (Surah Yusuf: 19-21)








N / F : DARIPADA "KISAH-KISAH PARA NABI & RASUL", OLEH ABDULLAH BIN AHMAD MUBARAK.






No comments:

Post a Comment