Thursday 10 May 2018

NABI YUSUF A.S. [ BAHAGIAN 1 ]






BAHAGIAN 1








     NABI Yusuf adalah putera nombor tujuh dari dua belas putera-puteri Nabi Ya'qub. Dia dengan adiknya yang bernama Benyamin beribu Rahil, saudara sepupu Nabi Ya'qub. Dia dikurniakan oleh Allah SWT wajah yang bagus, paras yang tampan dan bertubuh tegap yang menjadi idaman ramai wanita dan igauan gadis-gadis remaja. Dia anak yang dimanja oleh ayahnya, lebih disayangi dan dicintai berbanding saudara-saudaranya yang lain, terutama setelah ditinggal wafat oleh ibu kandungnya Rahil semasa dia masih berusia dua belas tahun.

     Perhatian yang lebih dari Nabi Ya'qub terhadap Yusuf dan Bunyamin telah menimbulkan rasa iri hati dan dengki di antara saudara-saudara Yusuf yang lain, yang merasa bahawa mereka dianaktirikan oleh ayahnya yang berlaku tidak adil terhadap sesama anak, memanjakan Yusuf lebih daripada yang lain.

     Rasa iri hati mereka kepada ayah dan iri hati terhadap Yusuf membangkitkan rasa setia kawan, persatuan dan rasa persaudaraan yang akrab di antara mereka.


A. Saudara-Saudara Yusuf Mengadakan Pertemuan Rahsia


     Dalam pertemuan rahsia yang mereka adakan untuk merundingkan nasib yang mereka alami dan mengatur perancangan yang harus mereka lakukan bagi menyedarkan ayahnya, menuntut layanan yang adil dan sama rata, berkata salah seorang daripada mereka: "Tidakkah kamu merasakan bahawa layanan ayah terhadap kita sebagai anak-anaknya tidak adil dan berat sebelah? Dia memanjakan Yusuf dan menyintai serta menyayanginya lebih daripada kita, seolah-olah Yusuf dan Bunyamin sajalah anak-anak kandungnya dan kita anak-anak tirinya, padahal kita adalah lebih tua dan lebih cekap daripada Yusuf dan kitalah yang selalu mendampingi ayah, mengurus segala keperluannya dan keperluan rumahtangganya."

     "Kita merasa hairan mengapa Yusuf dan Bunyamin mendapat layanan istimewa dari ayah. Apakah kerana ibunya yang lebih dekat kepada hati ayah berbanding ibu kita? Jika memang itu alasannya, maka apakah salah kita? Bahawa kita lahir dari ibu yang menduduki tempat nombor dua dalam hati ayah ataukah kerana paras Yusuf yang lebih tampan dan lebih cekap daripada paras dan wajah kita yang memang sudah demikian diciptakan oleh Tuhan dan sekali-kali bukan kehendak atau hasil usaha kita? Kita sangat kesal terhadap perlakuan dan tindakan ayah dan kita harus melakukan sesuatu untuk mengakhiri keadaan yang merisaukan serta membuatkan hati kita semua merasa terasing."

     Seorang saudara lain berkata menyambung: "Soal cinta atau benci dan simpati adalah soal hati yang tumbuh laksana dijari-jemari kita tidak dapat ditanyakan mengapa yang satu lebih rendah dari yang lain dan mengapa ibu jari lebih besar dari jari kelingking. Yang kita kesalkan ialah ayah kita tidak dapat mengawal rasa cintanya yang berlebih-lebihan kepada Yusuf dan Bunyamin sehingga menyebabkannya berlaku tidak adil terhadap kita semua selaku sesama anak kandungnya."

     "Keadaan yang tidak harmonis dalam hubungan kita dengan ayah tidak akan hilang, jika penyebab utamanya tidak kita hilangkan. Dan sebagaimana kamu mengetahui, bahawa penyebab utamanya dari keadaan yang merisaukan hati ini ialah adanya Yusuf di tengah-tengah kita. Dia adalah penghalang bagi kita untuk dapat menerobos ke dalam lubuk hati ayah kita dan dia merupakan dinding tebal yang memisahkan kita dari ayah kami yang sangat kami cintai."

     "Maka jalan satu-satunya untuk mengakhiri keadaan yang merisaukan kita ini ialah melenyapkan dari tengah-tengah kita dan melemparkannya jauh-jauh dari berhubung dengan ayah dan keluarga kita. Kita harus membunuhnya dengan tangan kita sendiri atau mengasingkannya ke suatu tempat di mana terdapat binatang-binatang buas yang akan melahapnya sebagai mangsa yang empuk dan lazat. Dan kita tidak perlu meragukan lagi bahawa bila Yusuf sudah lenyap dari mata dan pergaulan ayah, dia akan kembali menyintai dan menyayangi kita sebagai anak-anak yang patut mendapat perlakuan yang adil dan manis dari ayah dan suasana rumah tanggan akan kembali menjadi rukun, tenang dan menyesakkan dada."

     Berkata Yahudza, putera keempat daripada Nabi Ya'kub dan yang paling cekap dan bijaksana di antara sesama saudara: "Kita semua adalah putera-putera Ya'qub pesuruh Allah SWT dan anak cucu dari Ibrahim, pesuruh dan kekasih Allah SWT kita semua adalah orang-orang yang beragama dan berakal waras. Membunuh seseorang adalah tindakan yang dilarang oleh agama dan tidak dibenarkan oleh akal yang sihat, apalagi yang akan kami bunuh atau serahkan jiwanya kepada binatang buas itu adalah saudara kita sendiri, sekandung, sedarah dan sedaging, yang tidak berdosa dan tidak pula pernah melakukan hal-hal yang menyakitkan hati atau menyentuh perasaan."

     "Dan bahawa dia lebih dicintai dan disayangi oleh ayah, itu adalah suatu yang berada di luar kekuasaannya dan sekali-kali tidak dapat ditimpakan dosa tersebut kepadanya. Maka menurut fikiran saya," kata Yahudza melanjutkan, "jalan yang terbaik untuk melenyapkan Yusuf, ialah melemparkannya ke dalam sebuah perigi yang kering yang terletak di sebuah persimpangan jalan, tempat kabilah-kabilah dan para musafir berhenti beristirahat memberi makan dan minum kepada binatang-binatang kenderaannya. Dengan cara demikian terdapat kemungkinan bahawa salah seorang daripada para musafir itu menemukan Yusuf, mengangkatnya dari dalam perigi dan membawanya jauh-jauh sebagai anak pungut atau sebagai hamba sahaya yang akan diperjual belikan."

     "Dengan cara yang aku kemukakan ini, kami telah dapat mencapai tujuan kita, menyingkirkan Yusuf dari tengah-tengah pergaulan kita tanpa melakukan pembunuhan atau merenggut nyawa adik kita yang tidak berdosa."

     Fikiran dan cadangan yang dikemukakan oleh Yahudza itu mendapat sambutan baik dan disetujui sebulat suara oleh saudara-saudaranya yang lain dan akan dilaksanakannya pada waktu dan kesempatan yang tepat. Pertemuan secara rahsia itu bersurai dengan janji dari masing-masing saudara yang hadir, akan tutup mulut, merahsiakan rancangan jahat ini seketat-ketatnya agar tidak bocor dan tidak didengar oleh ayah mereka sebelum perlaksanaannya.


B. Nabi Yusuf A.S. Bermimpi


     Pada malam di mana para saudara-saudaranya mengadakan pertemuan rahsia merancangkan muslihat dan rancangan jahat terhadap dirinya. Nabi Yusuf sedang tidur nyenyak, mengawang di alam mimpi yang enak dan mengasyikkan, tidak mengetahui apa yang takdir rencanakan ke atas dirinya dan tidak terbayang olehnya bahawa penderitaan-penderitaan yang akan dialami adalah akibat perbuatan saudara-saudara sekandungnya sendiri, yang diilhami oleh sifat-sifat cemburu, iri hati dan dengki.

     Pada malam itu, Nabi Yusuf melihat dalam mimpinya seakan-akan sebelas bintang, matahari dan bulan yang berada di langit turun dan sujud di hadapannya. Terburu-buru setelah terbangun dari tidurnya, dia datang menghampiri ayahnya, menceritakan kepadanya apa yang dia lihat dan alami dalam mimpi.

     Tanda gembira segera tampak pada wajah Ta'qub yang berseri-seri ketika mendengar cerita mimpi Yusuf, puteranya. Dia berkata kepada puteranya: "Wahai anakku! Mimpimu adalah mimpi yang berisi dan bukan mimpi yang kosong. Mimpimu itu memberi tanda yang membenarkan firasatku kepada dirimu, bahawa engkau akan dikurniai Allah SWT kemuliaan, ilmu dan kenikmatan hidup yang mewah. Mimpimu itu adalah suatu berita gembira dari Allah SWT kepadamu bahawa hari depanmu adalah hari depan yang cerah, penuh kebahagiaan, kebesaran dan kenikmatan yang berlimpah-limpah."

     "Akan tetap engkau harus hati-hati, wahai anakku. Janganlah engkau ceritakan mimpimu itu kepada saudara-saudaramu yang aku tahu mereka tidak menaruh cinta kasih kepadamu, bahkan mereka merasa dengki kepadamu kerana kedudukan yang aku berikan kepadamu dan kepada adikmu Bunyamin. Mereka selalu berbisik-bisik jika membicarakan halmu dan selalu menyindir-nyindir dalam percakapan mereka tentang kamu berdua."

     "Aku khuatir kalau engkau ceritakan kepada mereka kisah mimpimu akan makin meluaplah rasa dengki dan iri hati mereka terhadapmu bahkan ada kemungkinan mereka akan merancangkan perbuatan jahat terhadap dirimu yang akan membinasakan engkau. Dan dalam keadaan demikian syaitan tidak akan tinggal diam, tetapi akan makin membakar semangat jahat mereka dan mengobarkan rasa dengki dan iri hati yang bersemayam dalam dada mereka. Maka berhati-hatilah, wahai anakku, jangan sampai kisah mimpimu ini bocor dan didengar mereka."

     Isi cerita tersebut di atas terdapat dalam Al-Quran, dalam surah Yusuf ayat 4 sehingga ayat 10 yang berbunyi seperti berikut:

Ertinya:

"(Ingatlah) ketika Yusuf berkata kepada ayahnya: "Wahai ayahku! Sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas bintang, matahari dan bulan; aku lihat semuanya sujud kepadaku." Ayahnya berkata: "Wahai anakku! Janganlah kamu ceritakan mimpimu itu kepada saudara-saudaramu, maka mereka akan membuat tipu daya (untuk membinasakan)mu. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia." Dan demikianlah Tuhanmu memilihmu (untuk menjadi nabi) dan diajarkanNya kepadamu sebahagian daripada takwil mimpi-mimpi dan disempurnakan nikmatNya kepadamu dan kepada keluarga Yaakub, sebagaimana Dia telah menyempurnakan nikmatNya kepada nenek moyangmu dahulu iaitu Ibrahim dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Sesungguhnya ada beberapa tanda-tanda kekuasaan Allah dalam (kisah) Yusuf dan saudara-saudaranya bagi orang yang bertanya. (Iaitu) ketika mereka berkata: "Sesungguhnya Yusuf dan saudara kandungnya (Bunyamin) telah dicintai oleh ayah kita daripada kita sendiri, padahal kita (ini) adalah satu golongan (yang kuat). Sesungguhnya ayah kita adalah dalam kekeliruan yang nyata. Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu daerah (yang tidak dikenali) supaya perhatian ayah kamu tertumpu kepadamu saja dan sesudah itu hendaklah kamu menjadi orang yang baik." Seorang di antara mereka berkata: "Janganlah kamu membunuh Yusuf, tetapi masukkanlah dia ke dalam perigi supaya dia dipungut oleh beberapa orang musafir, sekiranya kamu tetap hendak menjalankan rancangan kamu itu." (Surah Yusuf: 4-10)


C. Yusuf Dimasukkan Ke Dalam Perigi


     Pada esok harinya setelah semalam suntuk saudara kandung Yusuf bertemu merundingkan cara dan merancangkan penyingkiran adiknya yang merupakan saingan yang berat dalam merebut hati si ayah, datanglah mereka berjumpa Nabi Ya'qub, ayahnya untuk meminta izin membawa Yusuf bersama mereka di luar kota.

     Berkata jurucakap mereka kepada si ayah: "Wahai ayah yang kami cintai! Kami berhajat berehat dan berkelah ke luar kota beramai-ramai dan ingin sekali bahawa adik kami Yusuf turut serta dan tidak ketinggalan, menikmati udara yang cerah di bawah langit biru yang bersih. Kami akan bawa bekal makanan dan minuman yang cukup untuk santapan kami selama sehari berada di luar kota untuk bersuka-ria dan bersenang-senang, menghiburkan hati yang lara dan melapangkan dada yang sesak, sambil mempereratkan rasa persaudaraan dan semangat kerukunan di antara sesama saudara."

     Berkata Ya'qub kepada putera-puteranya: "Sesungguhnya sangat merungsingkan fikiranku bila Yusuf berada jauh dari jangkaun mataku, apalagi akan turut serta bersamamu ke luar kota, di lapangan terbuka, dan apa yang aku dengar, banyak binatang buas seperti serigala yang berkeliaran di sana. Aku khuatir sekiranya kamu akan lalai menjaganya, kerana kesibukan kamu bermain-main sendiri sehingga menjadikannya mangsa bagi binatang-binatang buas itu. Alangkah sedihnya aku bila hal itu terjadi. Kamu mengetahui betapa sayangku kepada Yusuf yang telah ditinggalkan ibunya."

     Putera-puteranya menjawab: "Wahai ayah kami! Tidak masuk di akal, sekiranya Yusuf akan diterkam oleh serigala atau binatang buas di hadapan mati kami sekumpulan ini? Padahal tidak ada di antara kami seorang yang bertubuh lemah atau berhati penakut. Kami sanggup menolak segala gangguan atau serangan, dari mana pun datangnya, sama ada binatang buas atau makhluk lain. Kami cukup kuat dan berani dan kami akan menjaga Yusuf sebaik-baiknya, tidak akan melepaskannya dari pandangan kami walau sekejap pun. Kami akan mempertaruhkan jiwa dan raga kami semua untuk keselamatannya dan di manakah kami akan menaruh wajah kami bila terjadi hal-hal yang mengecewakan ayah mengenai diri Yusuf."

     Akhirnya Nabi Ya'qub merasa tidak ada alasan untuk menolak permintaan anak-anaknya membawa Yusuf berekreasi di luar kota, walaupun dalam hati kecilnya dia merasa tidak aman melepaskan Yusuf di tangan saudara-saudaranya yang diketahui mereka tidak menyukainya dan tidak menaruh kasih sayang kepadanya. Dia berkata kepada anak-anaknya: "Baiklah, jika kamu memang sanggup bertanggungjawab atas keamanan dan keselamatannya sesuai dengan kata-kata yang kamu ucapkan itu, maka aku izinkan Yusuf menyertaimu, semoga Allah SWT melindunginya bersama kamu sekalian."

     Pada esok harinya berangkatlah rombongan putera-putera Ya'qub kecuali Bunyamin, menuju tempat rekreasi, atau yang sebenarnya, menuju tempat di mana menurut rancangan, Yusuf akan ditinggalkan. Setiba mereka di sekitar telaga yang menjadi tujuan, Yusuf segera ditanggalkan, pakaiannya dan dicampakkannya Yusuf ke dalam telaga itu tanpa menghiraukan jerit tangisnya yang sedikit pun tidak menggugat hati abang-abangnya yang sudah kehilangan rasa cinta kepada adik yang tidak berdosa itu. Hati mereka menjadi lega dan dada mereka menjadi lapang, kerana rancangan busuknya telah berhasil dilaksanakan dan dengan demikian akan terbukalah hati Ya'qub seluas-luasnya bagi mereka, dan walaupun tindakan mereka itu akan menyedihkan ayahnya, maka lama-kelamaan akan hilanglah kesedihan itu, bila mereka pandai menghiburkannya untuk melupakan dan melenyapkan bayangan Yusuf dari ingatannya.

     Pada petang hari pulanglah mereka kembali ke rumah tanpa Yusuf, yang ditinggalkannya seorang diri di dasar telaga yang gelap itu. Dengan membawa serta pakaiannya setelah disirami darah seekor arnab yang sengaja dipotong untuk keperluan itu, mereka menghadap Nabi Ya'qub sambil menangis mencucurkan air mata dan bersandiwara seakan-akan sedih dan susah hati, berkatalah mereka kepada ayahnya: "Wahai ayah! Alangkah sial dan nahasnya hari ini bagi kami, bahawa kekhuatiran yang ayah telah kemukakan kepada kami tentang Yusuf telah terjadi dan menjadi kenyataan dan bahawa firasat ayah yang tajam itu tidak meleset Yusuf telah diterkam oleh seekor serigala di kala kami bermain lumba lari dan meninggalkan Yusuf seorang diri menjaga pakaian."

     "Kami cukup hati-hati menjaga adik kami sesuai dengan pesanan ayah, namun kerana menurut pengamatan kami pada saat itu, tidak ada tanda-tanda atau jejak binatang-binatang buas sekitar tempat kami bermain, kami sekali-kali tidak melihat adanya bahaya dengan meninggalkan Yusuf bersendirian menjaga pakaian kami yang tidak jauh dari tempat kami bermain, bahkan masih terjangkau oleh pandangan mata kami. Akan tetapi serigala yang rupanya sudah mengintai adik kami Yusuf itu, bertindak begitu cepat menggunakan kesempatan di atas kelalaian kami, waktu bermain sehingga tidak dapat kami menolong menyelamatkan jiwa adik kami yang sangat kami sayangi dan cintai itu."

     "Oh, ayah! Kami sangat kesalkan diri kami yang telah gagal menepati janji dan kesanggupan kami kepada ayah ketika kami minta izin membawa Yusuf, namun apa yang hendak dikatakan bila takdir memang menghendaki yang demikian. Inilah pakaian Yusuf yang berlumuran darah sebagai bukti kebenaran cerita kami ini, walaupun kami merasa bahawa ayah tidak akan mempercayai kami sekalipun kami berkata yang benar."

     Nabi Ya'qub yang telah memperoleh firasat tentang apa yang akan terjadi atas diri putera kesayangannya Yusuf dan mengetahui bagaimana sikap abang-abangnya terhadap adiknya itu, tidak dapat berbuat selain berpasrah kepada takdir Ilahi dan sambil menahan rasa sedih, cemas dan marah yang sedang bergelora di dalam dadanya, berkatalah beliau kepada putera-puteranya itu: "Kamu telah memperturutkan hawa nafsumu dan mengikuti apa yang direncanakan oleh syaitan kepadamu. Kamu telah melakukan suatu perbuatan yang akan kamu rasakan sendiri akibatnya kelak jika sudah terbuka takbirnya dan terungkap rahsia yang meliputinya. Dan Allahlah yang patut diminta pertolonganNya dalam segala hal dan peristiwa."

     Isi cerita di atas dapat dibaca dalam Al-Quran pada surah Yusuf ayat 11 sehingga 18 seperti berikut:

Ertinya:

"Mereka berkata: "Wahai ayah kami! Apa sebabnya kamu tidak mempercayai kami terhadap Yusuf, padahal sesungguhnya kami semua menginginkan kebaikan baginya. Biarkanlah dia pergi bersama kami esok pagi agar dia (dapat) bersukaria dan bermain-main dan sesungguhnya kami pasti akan menjaganya." (Yaakub) berkata: "Sesungguhnya pemergian kamu bersama Yusuf sangat menyedihkanku dan aku khuatir kalau-kalau dia dimakan serigala, sedang kamu lalai daripadanya." Mereka berkata: "Jika dia dimakan serigala, sedang kami golongan (yang kuat), sesungguhnya kalau demikian, kami adalah orang yang rugi." Maka tatkala mereka membawanya dan sepakat memasukkannya ke dasar perigi, Kami wahyukan kepada (Yusuf): "Sesungguhnya kamu kelak akan menceritakan perbuatan ini kepada mereka, sedang mereka tidak menyedarinya." Kemudian mereka datang kepada ayah mereka di waktu petang hari sambil menangis. Mereka berkata: "Wahai ayah kami! Sesungguhnya kami pergi berlumba-lumba dan kami tinggalkan Yusuf berdekatan barang-barang kami, kemudian dia telah dimakan serigala; dan kamu sekali-kali tidak akan percaya kepada kami, sekalipun kami adalah orang yang benar." Mereka datang membawa baju gamisnya (yang berlumuran) dengan darah palsu. Yaakub berkata: "Sebenarnya diri kamu sendirilah yang memandang baik perbuatan (yang buruk) itu; maka kesabaran yang baik itulah (kesabaranku). Dan Allah sajalah yang dipohon pertolonganNya terhadap apa yang kamu ceritakan." (Surah Yusuf: 11-18)









N / F : DARIPADA "KISAH-KISAH PARA NABI & RASUL", OLEH ABDULLAH BIN AHMAD MUBARAK.

No comments:

Post a Comment