Monday 7 May 2018

NABI LUT A.S. [ BAHAGIAN 1 ]






BAHAGIAN 1








     NABI Lut adalah anak saudara dari Nabi Ibrahim. Ayahnya yang bernama Hasan bin Tareh adalah saudara sekandung dari Nabi Ibrahim. Dia beriman kepada bapa saudaranya, Nabi Ibrahim, mendampinginya dalam semua perjalanannya dan sewaktu mereka berada di Mesir berusaha bersama dalam bidang penternakan yang berhasil dengan baik, binatang ternaknya berkembang biak, sehingga dalam waktu yang singkah jumlah yang sudah berlipat kali ganda itu tidak dapat ditampung dalam tempat yang telah tersedia. Akhirnya perkongsian Ibrahim dan Lut dipecah dan binatang-binatang ternakan, serta harta milik perusahaan mereka dibahagi dan berpisahlah Lut dari Ibrahim, pindah ke Jordan dan bermukim di sebuah tempat bernama Sadum.


A. Nabi Lut Diutus Oleh Allah SWT Kepada Rakyat Sadum


     Masyarakat Sadum adalah masyarakat yang rendah tahap moralnya, rosak mentalnya, tidak mempunyai pegangan agama atau nilai kemanusiaan yang beradab. Kemaksiatan dan kemungkaran bermaharajalela dalam pergaulan hidup mereka. Kecurian dan rampasan harta milik merupakan kejadian seharian, di mana yang kuat menjadi kuasa, sedangkan yang lemah menjadi korban penindasan dan perlakuan sewenang-wenann. Maksiat yang paling menonjol, yang menjadi ciri khas masyarakat mereka adalah perbuatan homoseks (liwat) di kalangan lelakinya dan lesbian di kalangan wanitanya. Kedua jenis kemungkaran ini begitu bermaharajalela di dalam masyarakat sehingga merupakan kebudayaan.

     Seorang pendatang yang baru masuk ke Sadum tidak akan selamat dari gangguan mereka. Jika dia membawa barang-barang yang berharga, maka dirampaslah barang-barangnya, jika dia melawan atau menolak menyerahkannya, maka nyawanya tidak akan selamat. Akan tetapi jika pendatang itu seorang lelaki yang bermuka kacak dan berparas elok, maka dia akan menjadi rebutan di antara mereka dan akan menjadi korban perbuatan keji si lelaki dan sebaliknya jika si pendatang itu seorang wanita muda, maka dia menjadi mangsa pihak wanita.

     Kepada masyarakat yang sudah sedemikian rupa keruntuhan moralnya dan sudah sedemikian parah penyakit sosialnya, diutuslah Nabi Lut sebagai pesuruh dan rasulNya untuk mengangkat mereka dari lembah kenistaan, kejahilan dan kesesatan dan membawanya ke alam yang bersih, bermoral dan berakhlak mulia. Nabi Lut mengajak mereka beriman dan beribadah kepada Allah SWT, meninggalkan kebiasaan-kebiasaan mungkar, menjauhkan diri dari perbuatan maksiat dan kejahatan yang diilhamkan oleh Iblis dan syaitan. Dia memberi penerangan kepada mereka bahawa Allah SWT yang telah menciptakan mereka dan alam sekitar mereka tidak meredhai amal perbuatan mereka yang mendekati sifat dan tabiat kebinatangan dan tidak sesuai dengan nilai-nilai kemanusiaan dan bahawa Allah SWT akan memberi ganjaran setimpal dengan amal perbuatan mereka. Yang berbuat baik dan beramal soleh akan diganjari dengan syurga di akhirat, sedang yang melakukan perbuatan mungkar akan mendapat ganjaran masuk neraka Jahannam.

     Nabi Lut berseru kepada mereka agar meninggalkan adat dan kebiasaan melakukan homoseks dan lesbian, kerana perbuatan itu bertentangan dengan fitrah dan hati nurani manusia serta menyalahi hikmah yang terkandung di dalam penciptaan manusia menjadi dua jenis lelaki dan wanita. Juga kepada mereka diberi nasihat dan diperintahkan agar menghormati hak dan milik masing-masing dengan meninggalkan cara-cara rampasan, rompakan serta pencurian yang selalu mereka lakukan di antara sesama mereka dan terutama terhadap pendatang-pendatang yang mengunjungi Sadum. Diterangkan bahawa perbuatan-perbuatan itu akan merugikan mereka sendiri, kerana akan menimbulkan kekacauan dan ketidakamanan di dalam negeri sehingga masing-masing dari mereka tidak akan merasa aman dan tenteram dalam hidupnya.

     Demikianlah Nabi Lut melaksanakan dakwahnya sesuai dengan tugas risalahNya. Dia tidak henti-hentinya menggunakan setiap kesempatan dan dalam tiap pertemuan dengan kaumnya secara berkelompok atau secara perseorangan, mengajak mereka agar beriman dan percaya kepada Allah SWT, menyembah-Nya, melakukan amal soleh dan meninggalkan perbuatan maksiat dan mungkar. Akan tetapi keruntuhan moral dan kerosakan akhlak sudah berakar sangat dalam di dalam pergaulan hidup mereka dan pengaruh hawa nafsu dan penyesatan syaitan sudah begitu kuatnya menguasai tindak-tanduk mereka, maka dakwah dan ajakan Nabi Lut yang dilaksanakan dengan kesabaran dan ketekunan tidak mendapatkan tanah yang subur di dalam hati dan fikiran mereka dan berlalu laksana suasana teriakan di tengah-tengah padang pasir. Telinga-telinga mereka sudah menjadi pekak bagi ajaran-ajaran Nabi Lut sedang hati dan fikiran mereka sudah tersumbat rapat dengan ajaran-ajaran syaitan dan Iblis.

     Akhirnya kaum Lut merasa jemu dan sakit hati mendengar dakwah dan nasihat-nasihat Nabi Lut yang tidak putus-putus itu dan minta agar dia menghentikan aktiviti dakwahnya atau menghadapi pengusiran dirinya dari Sadum bersama semua keluarganya. Dari pihak Nabi Lut pun merasa sudah tidak ada harapan lagi untuk masyarakat Sadum dapat terangkat dari lembah kesesatan dan keruntuhan moral mereka dan bahawa meneruskan dakwah kepada mereka yang sudah buta hati dan keras kepala itu hanya merupakan penghamburan tenaga dan fikiran serta mensia-siakan masa.

     Satu-satunya ubat, menurut fikiran Nabi Lut, untuk mencegah penyakit akhlak yang sudah parah itu dari menular kepada tetangga-tetangga dekatnya, ialah dengan membasmi mereka dari atas bumi sebagai pembalasan terhadap kekerasan kepala mereka, juga untuk menjadi ibrah dan pengajaran bagi umat-umat sekelilingnya. Beliau memohon kepada Allah SWT, agar kepada kaumnya, masyarakat Sadum diberi pengajaran berupa azab di dunia sebelum azab yang menanti mereka di akhirat.









N / F : DARIPADA "KISAH-KISAH PARA NABI & RASUL", OLEH ABDULLAH BIN AHMAD MUBARAK.

No comments:

Post a Comment