Tuesday 1 May 2018

NABI ISMAIL A.S. [ BAHAGIAN 2 ]






BAHAGIAN 2








D. NABI ISMAIL BERKELUARGA


     Para perantau dari suku Jurhum yang datang berkhemah di sekitar Zamzam merasa sesuai tinggal di situ lalu memanggil para sanak keluarganya datang untuk menggabungkan diri dengan mereka dan membangunkan perkampungan baru bagi mereka di daerah itu dan menjadi tetangga yang baik dan ramah bagi Hajar dan Ismail puteranya yang telah menjadi pemuda remaja yang tampan. Ismail masuk ke dalam masyarakat suku Jurhum, bergaul sehari-hari dengan pemuda-pemuda sebayanya, mempelajari bahasa mereka, iaitu bahasa Arab, adat-istiadat dan cara hidup mereka dan akhirnya berhasil menyunting salah seorang gadis dari mereka sebagai isteri.

     Ismail merasa bahagia membentuk rumahtangga bersama isterinya, gadis Bani Jurhum itu dan buat sementara lupalah dia akan penderitaan dan ujian-ujian hidup yang berat, yang telah dia alami bersama ibunya Hajar. Akan tetapi si ibu yang merasa bahagia dengan perkahwinan puteranya dengan seorang gadis dari Bani Jurhum, tiba-tiba wafat sebelum dia merasakan hidup bersama menantunya di bawah satu atap rumah. Alangkah sedihnya Ismail ditinggalkan ibunya yang sangat menyintainya dan menyertainya dalam suka-duka sejak ditinggalkan ayahnya di Makkah.

     Walaupun Ismail sudah menjadi orang yang dewasa dan telah berkeluarga, Nabi Ibrahim, ayahnya tidak lupa mengunjunginya dan menjenguknya sekali-sekala bila dia sudah rindu kepada puteranya. Pada suatu ketika, dalam kunjungannya ke Makkah, datanglah Nabi Ibrahim menjenguk Ismail di rumahnya, tetapi dia hanya dapat bertemu dengan isterinya kerana Ismail pada masa itu tidak ada di rumah. Dalam perbualan dan atas pertanyaan Nabi Ibrahim, isteri Nabi Ismail mengeluh tentang keadaan rumahtangganya dan kehidupan sehari-hari yang miskin, sehingga dia tidak dapat menjamu tetamunya itu dengan sesuatu hidangan. Nabi Ibrahim lalu meminta dan berpesan kepada anak menantunya, isteri Ismail, agar menyampaikan salamnya kepada Ismail, suaminya, dengan disertai nasihat supaya ambang pintu rumahnya perlu diubah dan diganti.

     Sejurus setelah Nabi Ibrahim keluar, pulanglah Nabi Ismail dan segera diberitahu oleh isterinya, bahawa ada seorang tetamu tua datang dan berpesan, agar aku sampaikan salamnya kepadamu dengan nasihat supaya ambang pintu rumah ini diubah dan diganti. Nabi Ismail segera mengetahui bahawa tetamu tua itu adalah ayahnya sendiri, Nabi Ibrahim, dan maksud nasihat itu ialah agar dia menceraikan isterinya. Nasihat itu segera dilaksanakan oleh Nabi Ismail. Isterinya dicerai dan dikembalikan kepada keluarganya. Dan tidak lama kemudian, dia menyunting seorang gadis lain, juga dari suku Bani Jurhum, sebagai isteri yang baru.

     Selang tidak lama datang lagi Nabi Ibrahim mengunjungi puteranya di Makkah dan kali ini dia juga tidak berhasil menemui Ismail di rumahnya. Dia mengetuk pintu, lalu keluarlah isteri Ismail yang baru dan mempersilakan masuk dan diterimanya dengan muka manis dan ramah-tamah. Atas pertanyaan Nabi Ibrahim tentang keadaan suaminya dan keadaan rumahtangganya, isteri Ismail menerangkan, bahawa suaminya pada masa itu pergi berburu, mencari nafkah, sedang keadaan rumahtangganya cukup baik, sejahtera, bahagia dan tidak ada hal-hal yang meresahkan atau menggelisahkan hati.

     Melihat cara menantunya menerimanya dan mendengar kata-kata yang manis yang menandakan kepuasan hati, maka minta dirilah Nabi Ibrahim meninggalkan rumah tersebut sambil berpesan kepada si menantu, agar menyampaikan salamnya kepada Ismail dengan disertai nasihat, supaya ambang pintu rumahnya dipertahankan, tidak perlu diubah atau diganti kerana masih cukup kuat.

     Sekembalinya Ismail dari berburu di waktu senja, sebagaimana biasa dia mencium bau ayahnya dan bertanya kepada isterinya: "Adakah seorang tamu datang di sini hari ini?" Si isteri menjawab: "Ya, ada seorang tua, yang menurut rupa dan gayanya dia adalah seorang alim yang berwibawa, datang bertamu dan setelah sejurus duduk bercakap-cakap dan bertanya tentang keadaan kita dia minta diri keluar dengan meninggalkan pesan untukmu."

     "Apakah pesan yang ditinggalkan untukku?" Tanya Ismail. Si isteri berkata: "Dia minta kusampaikan salamnya kepadamu dengan pesan agar ambang pintu rumah itu jangan diubah atau diganti, kerana masih cukup baik dan kuat."

     "Itulah ayahku," kata Ismail, "dan pesannya bererti bahawa aku harus tetap bersamamu, dan tidak boleh menceraikanmu." Dan dari isteri inilah Nabi Ismail dikurniai anak-anak keturunannya.


E. Nabi Ibrahim Dan Ismail Membangunkan Kaabah


     Dalam dua kali perjalanannya ke Makkah, Nabi Ibrahim tidak berjaya menemui Ismail, puteranya, secara peribadi walaupun tujuan kedatangannya adalah untuk menjenguknya. Dia merasa cukup dengan menemui isterinya untuk mengetahui keadaan puteranya Ismail yang sangat dicintainya dan selalu rindu melihat wajahnya dari masa ke semasa. Namun dalam perjalanannya kali ini ke Makkah, dia harus bertemu muka dengan puteranya dan berbincang-bincang tentang sesuatu tugas suci dan berat yang telah diterimanya dari Allah SWT iaitu ditugaskan membangunkan Kaabah, Baitullahil Haram, rumah bagi umat manusia.

     Sampailah Nabi Ibrahim di Makkah, Ismail tidak ditemuinya di rumah, maka dicarinya dia di dalam dan di luar kota, di perkampungan suku-suku, di perkhemahan-perkhemahan para perantau dan di mana saja dirasa Ismail mungkin berada. Akhirnya diketemukan Nabi Ismail sedang duduk seorang diri sampai meraut anak pahanya di bawah sepohon rendang dekat mata air Zamzam. Berdirilah Nabi Ismail dengan wajah berseri-seri menjemput ayahnya, ketika dilihatnya sedang berjalan menuju ke arahnya. Berpeluk-pelukanlah si ayah dengan puteranya untuk memuaskan rasa rindu masing-masing.

     Setelah selesai menceritakan keadaan peribadi, rumah tangga dan kesihatan masing-masing, Ibrahim menyampaikan maksud kedatangannya kali itu, ialah bahawa beliau telah ditugaskan oleh Allah SWT membangunkan Kaabah di atas sebuah anak bukit, Ismail serta-merta menyambut pemberitahuan ayahnya dengan gembira sambil menyatakan kesanggupannya akan membantu, mendampingi ayahnya melaksanakan tugas yang diperintahkan oleh Allah SWT kepadanya.

     Bersiap-sedialah kedua hamba Allah SWT, Ibrahim dan puteranya Ismail, membina Baitullah yang diperintahkan. Alat-alat dan bahan-bahan bangunan disediakan, tanah digali bagi landasan bangunan dan tembok didirikan hingga mencapai ketinggian, di mana tangan Nabi Ibrahim tidak dapat menjangkaunya. Dia memerintahkan Nabi Ismail memcari batu besar untuk menjadi tempat terpijak kakinya untuk mencapai puncak tembok yang sudah meninggi.

     Ismail membawa sebuah batu, dan dengan pertolongan batu itu, yang kemudian batu itu disebut maqam Ibrahim, yang berbekas padanya kaki Nabi Ibrahim, Nabi Ibrahim dapat menjangkau puncak tembok yang sudah tinggi, menyelesaikan bangunan dengan bantuan Ismail yang menyiapkan bahan-bahannya dari bawah.

     Demikianlah, dengan giatnya, kedua hamba Allah SWT itu tanpa pertolongan dan bantuan pihak ketiga, menyelesaikan bahagian demi bahagian dari pembangunan Kaabah, sehingga selesai seluruhnya dan berdirilah tegak sesuai dengan perintah Allah SWT kepada rasul-Nya.

     Berserulah Nabi Ibrahim kepada Allah SWT setelah melihat bangunannya siap dengan sempurna: "Ya Tuhan kami! Terimalah amal kami dan jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepada-Mu. Tunjukkanlah kepada kami cara-cara dan tempat-tempat ibadah haji kami serta terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.


F. Kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail Dalam Al-Quran


     Kisah Nabi Ibrahim yang ada hubungannya dengan Nabi Ismail di dalam Al-Quran diceritakan oleh 30 ayat dalam 5 surah di antaranya surah Ibrahim ayat 35 sehingga ayat 40 sebagai berikut:

Ertinya:

"Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata: "Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini (Mekah), negeri yang aman dan jauhkanlah aku berserta anak-cucuku daripada menyembah berhala-berhala." "Ya Tuhanku! Sesungguhnya berhala-berhala itu telah menyesatkan kebanyakan daripada manusia, maka barangsiapa mengikutku, maka sesungguhnya orang itu termasuk golonganku dan barangsiapa yang menderhakai aku, maka sesungguhnya Kamu Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang." "Ya Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di sisi rumah Kamu (Baitullah) yang dihormati, ya Tuhan (yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat, maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berikanlah rezeki kepada mereka daripada buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur." "Ya Tuhanku! Sesungguhnya berhala-berhala itu telah menyesatkan kebanyakan daripada manusia, maka barangsiapa mengikutku, maka sesunggunya orang itu termasuk golonganku dan barangsiapa yang menderhakai aku, maka sesungguhnya Kamu Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang." "Ya Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di sisi rumah Kamu (Baitullah) yang dihormati, ya Tuhan (yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat, maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berikanlah rezeki kepada mereka daripada buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur." "Ya Tuhan kami! Sesungguhnya Kamu mengetahui apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami zahirkan dan tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi bagi Allah, baik yang ada di bumi mahupun yang aa di langit." "Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadaku di hati tua(ku) Ismail dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanku benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) doa." "Ya Tuhanku! Jadikanlah aku dan anak cucuku orang yang tetap mendirikan solat; ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku." (Surah Ibrahim: ayat 35-40)

     Surah "Al-Safaat" ayat 99 sehingga ayt 113 sebagai berikut:

Ertinya:

"Dan dia (Ibrahim berkata: "Sesungguhnya aku harus pergi (menghadap) kepada Tuhanku, Dia akan memberi petunjuk kepadaku. Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang yang soleh." Maka Kami beri khabar gembira dengan (kelahiran) seorang anak yang sangat sabar (Ismail). Maka tatkala anaknya itu sampai (umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, (Ibrahim) berkata: "Wahai anakku! Sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkan apa pendapatmu!" Dia (Ismail) menjawab: "Wahai ayahku! Lakukan apa yang diperintahkan kepadamu; dengan kehendak Allah, kamu akan mendapatiku termasuk orang yang sabar." Maka ketika keduanya telah berserah diri dan dia (Ibrahim) membaringkan anaknya atas pelipisnya, (untuk melaksanakan perintah Allah). Lalu Kami panggil dia: "Wahai Ibrahim! Sesungguhnya, kamu telah membenarkan mimpi itu." Sesungguhnya, demikianlah Kami beri balasan kepada orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar satu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar. Dan kami abadikan untuk Ibrahim (pujian) di kalangan orang yang datang kemudian. "Selamat sejahtera bagi Ibrahim." Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang yang berbuat baik. Sesungguhnya, dia termasuk hamba-hamba Kami yang beriman. Dan kami beri dia khabar gembira dengan (kelahiran) Ishak seorang nabi yang termasuk di kalangan orang yang soleh. Dan Kami limpahkan keberkatan kepadanya dan Ishak. Dan di antara keturunan keduanya ada yang berbuat baik dan ada (pula) yang terang-terangan berbuat zalim terhadap dirinya sendiri." (Surah Al-Saffat: ayat 99-113)

     Dan surah "Al-Baqarah" ayat 125 sehingga ayat 128 sebagai berikut:

Ertinya:

"Dan (ingatlah) ketika Kami menjadikan rumah itu (Baitullah) tempat berkumpul bagi manusia dan tempat yang aman. Dan jadikanlah sebahagian Maqam Ibrahim tempat solat. Dan telah Kami perintahkan kepada Ibrahim dan Ismail: "Bersihkanlah rumahKu untuk orang yang tawaf, yang iktikaf, yang rukuk dan yang sujud." Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa: "Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini, negeri yang aman sentosa dan berikanlah rezeki dari buah-buahan kepada penduduknya yang beriman di antara mereka kepada Allah dan hari kemudian." Allah berfirman: "Dan kepada orang yang kafir pun Aku beri kesenangan sementara, kemudian Aku paksa dia menjalani seksaan neraka dan itulah seburuk-buruk tempat kembali." Dan (ingatlah) ketika Ibrahim meninggikan (membina) asas-asas Baitullah bersama Ismail (seraya berdoa): "Ya Tuhan Kami, terimalah daripada kami (amalan kami), sesungguhnya Kamulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk dan patuh kepada Kamu dan (jadikanlah) di antara anak-cucu kami umat yang tunduk dan patuh kepada Kamu dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara dan tempat-tempat ibadah haji dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Kamulah Yang Maha Penerima Taubat, lagi Maha Penyayang." (Surah Al-Baqarah: 125-128)









N / F : DARIPADA "KISAH-KISAH PARA NABI & RASUL", OLEH ABDULLAH BIN AHMAD MUBARAK.

No comments:

Post a Comment