Saturday 14 December 2013

ADAB BERDOA

Adab berdoa ada sepuluh:

     Pertama, memilih waktu-waktu yang mulia untuk berdoa, seperti hari Arafah di antara hari-hari dalam seminggu, waktu sahur (kala awal pagi hari) di antara jam-jam dimalam hari.

     Allah s.w.t. berfirman:

     Ertinya:
     "Dan di akhir-akhir malam mereka memohon keampunan (kepada Allah)."
(Adz-Dzariyat: 18)

     Kedua, mengambil ksempatan yang mulia, seperti: sata bergeraknya barisan pada perang di jalan Allah s.w.t., saat turunnya hujan lebat, saat perlaksanaan solat fardu, selesai solat fardu, waktu antara azan dan iqamah, saat sujud, sebagaimana dikemukakan dalam sejumlah riwayat.

     Sebenarnya kemuliaan waktu-waktu tersebut terpulang kepada kemuliaan suasananya. Contohnya, waktu awal hari merupakan waktu hati menjadi jernih, ikhlas dan bebas dari pelbagai jenis gangguan (kekacauan). Hari Jumaat dan hari Arafah merupakan saat berhimpunnya semua tujuan dan saling terpautnya semua hati untuk mengharapkan curahan rahmat Allah s.w.t..

     Ketiga, menghadap ke arah kiblat dan mengangkat kedua-dua tangan hingga putih ketiaknya nampak. Lalu mengusapkan kedua-dua telapak tangan ke wajah di akhir doa. Umar r.a. berkata: "Rasulullah s.a.w. apabila menjulurkan kedua-dua telapak tangannya dalam berdoa, tidak menariknya kembali sebelum mengusap wajah dengan kedua-dua telapak tangannya itu."

     Ibnu Abbas r.a. berkata: "Apabila selesai berdoa, Rasulullah s.a.w. mendempetkan kedua-dua telapak tangannya dan menjadikan bahagian dalamnya mengarah ke wajah." Inilah keadaan kedua-dua tangan baginda, tetapi tanpa mengarahkan tatapan matanya ke langit.

     Keempat, merendahkan suara, antara berbisik dan jahr (nyaring). Tentang firman Allah s.w.t.: "Dan janganlah kamu menguatkan suaramu dalam solatmu dan janganlah pula merendahkannya." Aisyah r.a. berkata: "Maksudnya, dalam doamu."

     Allah s.w.t. memuji Nabi Zakaria a.s. melalui firman-Nya:

     Ertinya:
     "Iaitu tatkala dia berdoa kepada Tuhannya dengan suara yang lembut."
(Maryam: 3)

     Allah s.w.t. juga berfirman:

     Ertinya:
     "Berdoalah kepada Tuhanmu dengan berendah diri dan suara yang lembut."
(Al-Isra': 55)

     Kelima, tidak membebani diri dengan ucapan yang bersajak dalam berdoa.

     Keenam, merendah diri, khusyuk, penuh harap dan cemas. Allah s.w.t. berfirman: "Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan suara yang lembut."

     Ketujuh, memantapkan doa, berasa yakin akan diterima dan benar-benar menggantungkan harapan kepada-Nya.
   
     Rasulullah s.a.w. bersabda, "Jangan sampai salah seorang di antara kamu berucap ketika berdoa, 'Ya Allah, ampunilah dosaku jika Engkau kehendaki. Ya Allah, kasihanilah daku jika Engkau kehendaki. Tetapi, hendaklah ia memantapkan permohonan. Sesungguhnya, memantapkan doa bukan perkara yang dibenci.'"

     Rasulullah s.a.w. juga bersabda, "Apabila salah seorang di antara kamu berdoa, hendaklah dia membesarkan harapan. Sesungguhnya, tidak ada sesuatu pun yang lebih besar dari Allah s.w.t.." Baginda bersabda, "Berdoalah kepada Allah dengan keyakinan mendapat pengabulan. Dan ketahuilah bahawa Allah tidak menerima doa dari hati yang lalai dan leka."

     Kelapan, terus-menerus dan mengulangi doa tiga kali, dan jangan berharap pengabulannya dilewatkan.

     Kesembilan, mengawali doa dengan zikir dan pujian kepada-Nya (jangan terus dengan permintaan), lalu membaca selawat untuk Nabi s.a.w. kemudian menutup doanya juga dengan zikir dan selawat.

     Kesepuluh, ini adalah etika batin yang merupakan inti dalam pengabulan doa, iaitu taubat, menebus pelbagai jenis kezaliman dan menghadapkan diri kepada Allah s.w.t. setulus hati. Yang batin inilah sebenarnya yang menjadi penyebab doa dikabulkan oleh Allah s.w.t..




P/S: BUKU BERTAJUK "DOA-DOA PARA NABI & WALI", DITULIS OLEH "SAYYID MUHAMMAD BIN 'ALAWI AL-MALIKI DAN DITERBITKAN OLEH "DR. MOHD PUZHI BIN USOP". Waallahualam :)

     

Friday 13 December 2013

ISTIMEWA KEJADIAN WANITA DARI TULANG RUSUK












BERBICARA soal nafsu dan akal, mantan Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti Jabatan Kemajuan Islam Malayasia (JAKIM), Zawiyah Hassan berpendapat apa yang dikatakan nafsu sebenarnya bukan sesuatu yang hanya melibatkan syahwat.

     Malah ia merangkumi keseluruhan keinginan dan lebih kepada sukakan sesuatu yang indah dan cantik. Tidak ketinggalan juga kasih sayang.

     Mengikut kamus dewan, nafsu membawa maksud keinginan yang keras, kehendak hati yang kuat, kemahuan yang kuat, serta dorongan hati. Manakala akal pula bermaksud budi atau fikiran ilmu. Jika menyebut perihal nafsu tidak semestinya ia hanya menjurus pada sesuatu yang tidak baik.

     Jelas Zawiyah, nafsu juga boleh dikenali dengan nama emosi. Begitu juga dengan akal. Dalam cabang akal terdapat banyak laluannya. Tidak semua akal itu baik dan begitu juga sebaliknya. Kerana itulah wanita tidak boleh merasa rendah diri apabila dikatakan kurangnya akal dan tingginya nafsu. Malah lelaki juga jangan terlalu bangga memiliki akal yang banyak berbanding nafsu. Masing-masing ada kelebihannya.

     "Apabila berbicara tentang akal dan nafsu, setiap pasangan suami isteri pasti akan mengalami situasi menggunakan akal dan nafsu untuk memastikan bahtera rumah sentiasa mekar disirami bahagia.

     "Allah menciptakan wania untuk lelaki. Wanita menjadi tempat lelaki menumpahkan bibit cinta dan kasih sayang. Begitulah sebaliknya. Lelaki sebagai pelindung dan tempat bermanja kepada wanita. Sekalipun lelaki dan wanita berbeza peranan tetapi saling lengkap-melengkapi dan saling memerlukan," ujar Zawiyah.

     Katanya lagi, wanita adalah rakan setia bagi lelaki. Jika baik wanita maka baiklah lelaki yang menjadi temannya. Dan jika buruk akhlaknya, maka buruklah akhlak lelaki tersebut. Sebagaimana kata-kata hikmah yang sering diungkapkan, "Wanita adalah penawar dan wanita juga adalah racun. Maka berhati-hatilah." Wanita yang solehah, mempunyai didikan agama Islam yang sempurna, berakhlak mulia dan beriman. Maka dia adalah umpama penawar kepada suami dan masyarakat. Sebaliknya jika seorang wanita itu tidak beriman, mempunyai akhlak yang buruk, maka dia adalah racun yang berbisa kepada suaminya dan akan meruntuhkan masyarakat bahkan sebuah negara.

     Allah s.w.t. berfirman dalam surah at.Tahrim ayat 10, "Allah menjadikan isteri Nuh dan isteri Luth perumpamaaan bagi orang-orang yang kafir. Kedua-duanya di bawah (pimpinan dan kasih sayang) dua orang hamba dari hamba-hamba Kami yang soleh; lalu isteri-isteri itu berkhianat (menentang perintah Allah s.w.t.) kepada kedua-dua suami mereka, maka kedua-dua suami mereka itu tidak dapat menolong mereka sedikit pun dari (siksaan) Allah; Dan dikatakan (kepada mereka): Masuklah ke dalam neraka bersama orang-orang yang masuk (neraka)."

     Namun begitu, pesan Zawiyah, jangan sesekali lupa bahawa wanita diciptakan dengan kemuliaan syahadah. Kerana benih seorang lelaki, wujudnya seorang wanita di dunia ini dan di kurniakan tenaga sehingga mampu menjengah jalan keluar dari rahim ibu untuk melihat dunia. Kerana benih seorang lelaki juga zuriat yang dikandung sembilan bulan ditiupkan jiwa, menjadi manusia, dan mencari seorang lelaki untuk dicintai, sebagaimana ibu yang diilhamkan Allah s.w.t. untuk berkasih sayang dengan bapa.

     Dan kerana Allah s.w.t. yang maha kuasa dan maha pencipta, sudah tertulis wanita diciptakan daripada lengkungan rusuk kiri lelaki, tidak terlalu gagah sehingga mengetepikan kudrat lelaki, tidak juga terlalu lemah sehingga jatuh menyembah kaki.

     Tetapi kerana ciptaan Allah itu indah, katanya lagi, wanita terbit daripada rusuk lelaki, bukan dekat kepala untuk dijunjung, bukan dekat bahu untuk membebani, bukan dekat lengan untuk dijulang, bukan dekat jari untuk disakiti, bukan dekat pinggul untuk dihenyak, bukan dekat lutut untuk ditindih, bukan dekat kaki untuk ditunggangi, tetapi dekat di hati untuk dimulia, disayangi dan dicintai.




P/S: DIPETIK DARI MAJALAH AL-ISLAM :) Waallahualam :)

DOA

DOA merupakan salah satu cara untuk mencapai ketenangan jiwa, sekaligus merupakan kunci hajat, tempat memperolehi harapan bagi orang-orang yang mempunyai keperluan, tempat mencari perlindungan bagi orang-orang yang terdesak, dan tempat bernafas lega bagi orang-orang yang memiliki keinginan.

     Sesungguhnya, Allah s.w.t. telah menyuruh manusia berdoa. Dia berfirman:

     Ertinya:
     "Berdoalah kepada Tuhanmu dengan rendah diri dan suara yang lembut."
(Al'A'raf: 55)

     Dia berfirman: Dan Tuhanmu berfirman:

     Ertinya:
     "Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu."
(Ghafir: 60)

     Allah s.w.t. telah mencela kaum yang meninggalkan doa. Allah s.w.t. berfirman:

     Ertinya:
     "Dan sesungguhnya Kami telah pernah menimpakan azab kepada mereka, mereka tidak        tunduk kepada Tuhan mereka dan (juga) tidak memohon (kepada-Nya) dengan                      merendahkan diri."
(Al-Mukminun: 76)

     Sahal bin Abdullah berkata, "Allah menciptakan makhluk, setelah itu Dia menyatakan,'Bermunajatlah kepada-Ku. Jika itu tidak kamu lakukan, dengarkanlah dari-Ku. Jika tidak kamu lakukan, berdirilah di pintu-Ku. Jika itu juga tidak kamu lakukan, panjatkanlah segala keinginanmu kepada-Ku.'"

     Allah s.w.t. berfirman:

     Ertinya:
     "Atau siapa yang memperkenankan (doa) orang yang dalam kesusahan apabila dia berdoa      kepada-Nya dan yang menghilangkan kesusahan..."
(An-Naml: 63)

     Rasulullah s.a.w. telah mengkhabarkan berita gembira bagi orang yang telah diberi inspirasi untuk berdoa, bahawa dia termasuk orang yang dikasihi. Rasulullah s.a.w. bersabda:

     "Siapa di antara kamu yang untuknya dibukakan pintu doa, nescaya dibukakan baginya           pintu-pintu rahmat. Allah tidak diminta sesuatu - yakni, yang lebih disukai-Nya -                   daripada diminta al-'afiyah (kesihatan yang baik)."
(HR. At-Tirmidzi dan al-Hakim)

     Rasulullah s.a.w. juga menyampaikan berita gembira bagi orang yang berdoa, bahawa dia akan dijaga dengan penjagaan Allah dan dilindungi dengan perlindungan istimewa yang berfungsi sebagai senjata untuk mengalahkan musuh dan membentengi diri.

     Rasulullah s.a.w. bersabda:

     "Doa adalah senjata orang beriman, tiang agama, cahaya langit dan bumi."
(HR. Al-Hakim shahih al-isnad)

     Sabdanya lagi, "Janganlah kamu bersikap lemah dalam doa, kerana tidak seorang pun            yang celaka bersama doa."
(HR. Ibnu Hibban dan al-Hakim)

     Sabdanya lagi:
    
     "Mahukah kutunjukkan kepada kamu apa yang boleh menyelamatkan kamu dari musuh          kamu dan mencurahkan rezeki-rezeki kepada kamu? Berdoalah kepada Allah di malam          dan siang hari, kerana doa adalah senjata orang beriman."
(HR. Abu Ya'la)

     Rasulullah s.a.w. mengkhabarkan berita gembira bagi orang yang berdoa, bahawa doanya akan dikabulkan serta penghadapan dirinya kepada Allah akan diterima. Rasulullah s.a.w bersabda,

     "Sesungguhnya, Allah Pemalu lagi Maha Mulia, dia malu apabila ada seseorang                        menadahkan kedua-dua tangan kepada-Nya dan dia mengembalikannya dalam keadaan          hampa dan kecewa."
(HR. Abu Daud dan At-Tirmidz. Ibnu Majah dan Ibnu Hibban mengatakan bahawa ini hadith Hasan, bahkan shahih)

     Rasulullah s.a.w. juga bersabda:

     "Sesungguhnya, Allah Maha pengasih lagi Maha Mulia. Dia malu terhadap hamba-Nya yang      menadahkan kedua-dua tangan kepada-Nya tanpa Dia letakkan sesuatu kebaikan pun            padanya."
(HR. Al-Hakim shahih al-isnad)

      Rasulullah s.a.w. menjelaskan tentang bentuk-bentuk pengabulan doa. Semua bentuk pengabulan doa adalah baik, yang disegerakan mahu pun yang ditunda. Yang jelas, semua keadaan orang yang berdoa adalah baik, jika ia mengetahuinya.

     Rasulullah s.a.w. bersabda:

     "Tidak ada seorang muslim pun bermohon dalam sesuatu doa yang tidak mengandungi unsur dosa dan permutusan tali persaudaraan, melainkan Allah memberinya salah satu di antara tiga, pengabulannya disegerakan atau ditangguhkan untuk dirinya di akhirat atau dihindarkan dari kejahatan yang setara." Lalu para sahabat bertanya, "Kalau begitu kami akan memperbanyakkan doa." Kemudian baginda memanggapi, "Sesungguhnya, Allah mempunyai lebih banyak - dari apa yang kamu minta."
(HR. Ahmad, al-Bazzar, Abu Ya'la dan al-Hakim shahih al-isnad)

     Kemudian Rasulullah s.a.w. menjelaskan perkara itu lebih terperinci, hingga masalah ini menjadi jelas bagi manusia, dan mereka pun boleh melihat doa yang mereka kira belum dikabulkan.

     Sabdanya, "Allah memanggil orang beriman pada hari kiamat, hingga Dia memberdirikannya di hadapan-Nya. Dia berkata, 'Hamba-Ku, Aku sungguh telah menyuruhmu agar berdoa kepada-Ku, dan Aku telah berjanji kepadamu bahawa Aku akan mengabulkan permohonanmu, maka adakah dulu Engkau berdoa kepada-Ku?' Hamba itu menjawab, 'Benar, wahai Tuhanku.' Tuhan berkata, 'Sesungguhnya, tidaklah kamu berdoa kepada-Ku dengan suatu doa melainkan Aku telah mengabulkannya. Tidakkah kamu pernah berdoa kepada-Ku pada hari ini dan itu kerana suatu kesusahan yang telah menimpamu agar Aku memberi kelapangan untukmu, maka Aku pun telah melakukannya untukmu?' Hamba menjawab, 'Benar, wahai Tuhanku.' Tuhan berkata, 'Sesungguhnya, Aku telah menyegerakannya untukmu di dunia. Dan kamu pun berdoa kepada-Ku pada hari ini dan itu kerana suatu kesusahan lain yang menimpamu agar Aku melapangkannya untukmu, tetapi kamu tidak melihat kelapangan.' Hamba menjawab, 'Benar, wahai Tuhanku.' Tuhan berkata, 'Sesungguhnya, Aku telah menyimpannya untukmu di syurga ini dan itu. Kamu berdoa kepada-Ku untuk suatu keinginan supaya Aku memenuhi untukmu pada hari ini dan itu, maka telah Kulakukan itu untukmu.' Hamba menjawab, 'Benar, wahai Tuhanku.' Tuhan berfirman, 'Sesungguhnya, Aku telah menyegerakannya untukmu di dunia. Dan kamu pun berdoa kepada-Ku untuk suatu keinginan yang lain supaya aku memenuhinya untukmu pada hari ini dan itu, tetapi kamu tidak melihat jawapannya.'"
   
     Hamba menjawab, "Benar, wahai Tuhan." Tuhan berfirman, "Sesungguhnya, Aku telah menyimpannya untukmu di syurga ini dan itu."

     Rasulullah s.a.w. bersabda:

     "Allah tidak membiarkan suatu doa yang dimohon oleh hamba-Nya yang beriman                    melainkan Dia menjelaskannya kepadanya baik telah disegerakan di dunia mahu pun              ditangguhkannya dalam bentuk simpanan di akhirat, sehingga seorang beriman berkata        dalam keadaan itu, 'Sekiranya tidak ada sedikit pun dari doa yang disegerakan                        untukku...'"
(HR. Al-Hakim)

     Rasulullah s.a.w mengkhabarkan bahawa doa dapat menghalang datangnya sergapan pelbagai bencana dan meringankan takdir Allah dengan takdir Allah.

     Baginda bersabda:

     "Kewaspadaan tidak berguna bagi takdir, sedangkan doa bermanfaat terhadap ketentuan      yang telah terjadi dan yang belum terjadi. Suatu bencana akan turun, lalu doa                      menemuinya hingga kedua-duanya bergumul sampai hari kiamat."
(HR. Al-Bazzar, Thabrani dan al-Hakim shahih al-isnad)

     Rasulullah s.a.w. bersabda:

     "Tidak ada yang dapat menolak ketentuan (qada') selain doa dan tidak ada yang dapat            memanjangkan umur selain berbakti."
(HR. Tirmidzi)

     Rasulullah s.a.w. juga bersabda:

     "Tidak ada sesuatu yang lebih mulia bagi Allah daripada doa dalam keadaan makmur."
(HR. Tirmidzi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan Al-Hakim)

     Sejumlah hadith di atas dan hadith-hadith yang lainnya menerangkan bahawa doa adalah faktor paling kuat untuk mencegah datangnya perkara-perkara yang tidak disukai. Doa adalah musuh bencana, menghalang dan mengatasi, mencegah turunnya, menghilangkan dan meringankannya bila telah telah terjadi. Ada hadith yang mengisyaratkan bahawa doa mempunyai tiga kedudukan bersama bencana:

     Pertama, doa lebih kuat daripada bencana sehingga dapat mencegahnya.

     Kedua, doa lebih lemah daripada bencana sehingga bencana dapat mengalahkannya dan si hamba tersebut pun ditimpanya. Akan tetapi kadangkala doa dapat meringankannya, sekalipun keadaannya lemah.

     Ketiga, kedua-duanya saling beradu dan saling mendesak satu sama lain, tetapi pengaruhnya terlewat, entah kerana lemahnya doa itu - contohnya doa itu tidak disukai Allah kerana mengandungi permusuhan atau doanya itu lemah kerana bersumber dari hati yang lemah dan tidak bermohon secara bersungguh-sungguh - atau, kerana adanya penghalang dikabulkannya doa, seperti makanan yang haram, karat dosa-dosa yang menutup hati, dominasi kelalaian, keinginan yang hina, dan perkara sia-sia yang mengalahkannya.

     Diriwayatkan dalam Mustadrak al-Hakim, dari hadith Abu Hurairah, bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda: "Berdoalah kepada Allah dengan keyakinan mendapat pengabulan. Dan ketahuilah bahawa Allah tidak menerima doa dari hati yang lalai dan leka."

     Doa merupakan ubat yang berfungsi melenyapkan penyakit, tetapi kelalaian hati terhadap Allah akan melemahkan keampuhannya. Begitu juga makanan yang haram. Makanan yang haram ini akan melumpuhkan dan melemahkan kekuatan doa. Di dalam Sahih Muslim diriwayatkan satu hadith dari Abu Hurairah yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, "Hai manusia, sesungguhnya Allah itu baik dan tidak menerima selain yang baik. Sesungguhnya, Allah telah memerintahkan oang-orang beriman dengan apa juga yang diperintahkan kepada para Rasul."

     Allah s.w.t. berfirman:

     Ertinya:
     "Hai Rasul-rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal soleh.            Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."
(Al-Mukminun: 51)

     Allah s.w.t. berfirman:

     Ertinya:
     "(Hai orang-orang beriman), makanlah dari makanan yang baik-baik yang telah Kami              berikan kepadamu."

     Setelah itu beliau pun menceritakan seorang lelaki yang - telah jauh menempuhi perjalanan hingga rambutnya acak-acakan dan tubuhnya penuh debu. Dia menadah kedua-dua tangannya ke langit seraya berucap, "Ya Tuhanku... ya Tuhanku..." sementara makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan diberi makan dengan yang haram, maka dari mana doanya boleh diperkenankan.

     Abdullah bin Imam Ahmad mengatakan cerita di dalam kitab az-Zuhd karya ayahnya, "Pada suatu ketika, Bani Israel dilanda bencana, maka mereka pun keluar menuju ke satu tempat. Lalu Allah s.w.t. menyampaikan wahyu kepada Nabi mereka untuk memberitahu, 'Sesungguhnya, kamu keluar menuju satu tempat dengan tubuh yang berlumuran najis, kamu menadahkan tangan kepada-Ku, sedangkan dengan tangan-tangan itu kamu telah menumpahkan darah, memenuhi rumah-rumah kamu dengan harta benda yang haram. Sekarang, di saat murka-Ku terhadap kamu memuncak, kamu tidak akan mendapat tambahan dari-Ku selain jarak yang semakin jauh.'"

     Abu Zar berkata: "Cukuplah doa bersama perbuatan baik, seperti makan bersama garam."




P/S: Petikan daripada buku 'DOA-DOA PARA NABI & WALI', ditulis oleh 'SAYYID MUHAMMAD BIN 'ALAWI AL-MALIKI' dan diterbitkan oleh 'DR. MOHD. PUZHI BIN USOP'. 

Harap dapat berkongsi dengan sahabat-sahabat semua! In Shaa Allah! Waallahualam :)





KATA-KATA INDAH ISLAM

1) Yang besar itu nafsu. Yang singkat itu waktu. Yang dekat itu kematian. Yang susah itu keikhlasan. Yang dijauhi itu kemalasan. Yang cepat itu adalah marah. Yang berat itu ialah amanah. Yang sukar itu kesabaran. Yang lupa itu kesyukuran. Yang merosak amal itu mengumpat. Yang dinanti Allah SWT itu ialah taubat.

2) Kecantikan hakiki bukan dari wajah, melainkan cahaya yang keluar dari hati.

3) Jangan resah andai ada yang membencimu kerana masih ramai yang mencintaimu di dunia tetapi resahlah andai Allah membencimu kerana tiada lagi yang mencintaimu di akhirat.

4) Jika hari ini aku terlalu gembira, sedarkah aku dengan amaran Allah SWT. Jika aku bersedih tanpa kata, pujuklah aku dengan tarbiyah pencipta. Jika aku lemah tak berdaya, ingatkanlah aku dengan kehebatan Syurga. Jika antara kita ada tembok pemisah, ajaklah aku meleraikannya segera. Jika pernah hatimu tersebut disebabkan daku, luahkanlah agar aku dapat mengubah diriku. Ukhuwah kita untuk selamanya.

5) Tiada ungkapan perpisahaan dalam persahabatan walaupun maut menjadi noktahnya kerana seorang SAHABAT itu terlalu istimewa dalam doa saudarnya yang lain biarpun tanpa bayangnya.

6) SENYUM dan ucapkan ALHAMDULILLAH kerana ALLAH masih izinkan kita bersama mereka yang kita SAYANG.

7) Ya Allah, kuyakin bahwa takdir-Mu lebih baik dari semua yang aku inginkan, berikan aku kekuatan untuk memahami ini sebagai anugerah dari-Mu.

8) Cinta dan kasih sayang manusia hanyalah setitis jika dibandingkan dengan selautan cinta dan kasih sayang Allah. Sekiranya engkau kehilangan yang setitis itu, ia tidak akan menjejaskan kehidupanmu selagi yang selautan itu masih engkau miliki.

9) Orang yang selalu menyediakan dirinya untuk menerima nasihat maka dirinya akan mendapat penjagaan daripada Allah; orang yang membolehkan dirinya insaf dan sabar menerima nasihat orang lain, tandanya ia akan menerima kemuliaan daripada Allah; berasa hina diri dalam ibadat dan bertaat kepada Allah Taala untuk menimbulkan rasa lebih dekat kepada-Nya dan lebih menghindarkan diri daripada nasihat. (NASIHAT LUKMANUL HAKIM KEPADA ANAKNYA)

10) JADIKANLAH ALLAH SEBAGAI KEKASIH SEJATI DALAM HIDUPMU. "Orang-orang yang beriman sangat mencintai Allah." (QS. al-Baqarah : 165)

11) AKU RELA ALLAH TUHANKU, AKU RELA ISLAM AGAMAKU DAN AKU RELA NABI MUHAMMAD SAW RASUL UTUSAN ALLAH. YA ALLAH, TAMBAHKANLAH ILMUKU DAN PERTINGGIKANLAH KECERDASANKU.

12) Rasulullah bersabda bermaksud: "Berbahagialah hidup di dunia bagi orang yang mengumpul kebajikan untuk bekalan hari akhiratnya, sehingga dia memperoleh reda Tuhannya. Dan celakalah hidup di dunia, hingga dia terhalang daripada (mengerjakan) amalan untuk akhiratnya, dan lalai untuk memperoleh reda Tuhannya." -- Hadis riwayat al-Hakim

13) Hargai... "Malam itu panjang... jangan dipendekkan dengan banyak tidur... siang itu terang... jangan digelapkan dengan dosa..."

14) Ilmu sedikit yang sentiasa di amalkan lebih baik dari ilmu banyak tetapi tidak pernah diamalkan. Kalau kita rasa susah, fikir-fikirkanlah bahawa ada lagi orang yang lebih susah dari kita dan jika kita senang, ingatlah, ada lagi orang yang lebih senang dari kita. Kalau kita sentiasa berasa seronok dalam membuat kebajikan berbahagialah kita sebab itu tandanya Allah telah menerima amalan kebajikan kita. (Yang Berbahagia TG Ustaz Haron Din)

15) Beribadahlah seakan-akan engkau akan mati esok pagi dan bekerjalah seakan-akan engkau akan hidup selamanya.

16) Kebahagiaan tidak selamanya abadi. Kesedihan tidak selamanya abadi. Kemudahan tidak selamanya abadi. Kesulitan juga tidak selamanya abadi. Roda kehidupan terus berputar. Yang ada di atas akan turun kebawah. Begitu juga sebaliknya. Kesulitan adalah harga untuk membeli kemudahan. Selepas kesulitan pasti ada kemudahan. Rasulullah SAW mengatakan: "Kesulitan tidak akan mengalahkan kemudahan dua kali." Seperti juga yang telah dijanjikan Allah SWT dalam QS. Al-insyirah : 5-6 "Maka sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan."

17) "Ya Allah sebagaimana Engkau telah cantikkan rupaku, maka cantikkanlah juga akhlakku."(HR Ahmad & Ibn Hibban)

18) Tiga hal adalah kemuliaan dunia dan akhirat: memaafkan orang yang menzalimimu, menyambung tali persaudaraan terhadap orang yang memutuskannya, dan sabar ketika engkau diperlakukan sebagai orang bodoh.

19) Happy moments, praise God. Difficult moments, seek God. Quiet moments, worship God. Painful moments, trust God. Every moments, thank God.

20) Nasihat untuk Adam dan Hawa: 1. Jangan tinggal solat, 'qada'' walaupun terbangun lewat. 2. Tutup aurat dengan sempurna, baju takmau ketat-ketat... jarang-jarang... nipis-nipis... tudung tu biarlah menutupi dada... longgar-longgarkan seluar tu... labuhkan juga baju anda~~!! lelaki pun sama... kepala lutut tu aurat~!! 3. Solat dhuha & tahajjud, jadikan solat sunat ini sebagai amalan harian... tak rugi pun kalau buat... untung lagi ada...~!! p/s :: kalau amalkan selama 40 hari berturut-turut... insyaALLAH kita akan berasa janggal jika meninggalkannya... 3 perkara ini secara tidak langsung dapat mengubah hidup kita ke arah yang lebih baik dan lebih mendekati Yang Maha Esa.