Thursday 30 January 2014

JANGAN BIARKAN 'JUMAAT' ITU BERLALU SIA-SIA

SIFAT ALLAH ITU MAHA ADIL. SETIAP KEJADIAN YANG DILAKUKAN, TELAH DITETAPKAN GANJARAN YANG SETIMPAL DENGAN TANGGUNGJAWAB YANG DIBERIKAN. UNTUK KAUM ADAM, GANJARAN BAGI MEREKA YANG MENUNAIKAN SOLAT JUMAAT BUKAN HANYA TERLETAK PADA SOLAT ITU SENDIRI. BAHKAN BERMULA DARI PERSIAPAN YANG DIBUAT DENGAN BERTUJUAN MENUNAIKAN SOLAT JUMAAT SEHINGGALAH DIA MENDENGAR KHUTBAH YANG DIBACAKAN IMAM, MAKA DIAMPUNKAN DOSA BAGINYA DI ANTARA DUA JUMAAT TERSEBUT.

     Ini jelas sebagaimana hadis Rasulullah S.A.W., dari Salman al-Farisi, Rasulullah S.A.W. bersabda, "Tidaklah seseorang mandi pada hari Jumaat dan bersuci semampunya, berminyak dengan minyak atau memakaikan minyak wangi dari rumahnya, kemudian keluar menuju masjid dan dia tidak memisahkan dua orang (yang sedang duduk berdampingan),] selanjutnya bersembahyang apa yang diwajibkan atas dirinya, baik yang wajib mahupun sunat lalu diam mendengar imam berkhutbah, melainkan akan diampuni (dosa-dosanya) antara Jumaat berikutnya." -HR. Bukhari-.

     Bukan itu sahaja, kaum Adam yang menunaikan solat Jumaat diharamkan Allah diri mereka dari seksaan api neraka. Hal ini juga dengan jelas dinyatakan dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W.. Daripada iAbabah bin Rifaiah, katanya, "Abu Abas bertemu denganku dan di saat itu aku sedang pergi untuk menunaikan solat Jumaat lalu dia berkata, "Aku mendengar Rasulullah S.A.W. berkata, "...barang siapa yang kedua kakinya berdebu dalam melaksanakan sabilillah (ia mengandungi maksud yang umum dan termasuk di dalamnya solat Jumaat), maka Allah mengharamkan dirinya untuk terkena seksa neraka."

     Apa pun ganjaran yang dijanjikan oleh Allah, ada lagi satu perkara yang Allah berikan kepada mereka yang menunaikan solat Jumaat iaitu doa yang dimakbulkan. Justeru, ambillah peluang yang Allah berikan tersebut untuk berdoa apa sahaja kerana di antara solat Jumaat itu, terdapat masa yang begitu singkat - yang kalau ketika itu jemaah memohon doa kepada Allah, nescaya Allah tidak akan menghampakan permintaannya.

     Waktunya?

     Ada beberapa hadis yang menerangkan hal tersebut. Antaranya, daripada Abu Lubabah bin Ubnu Mundzir r.a. berkata, "Rasulullah S.A.W. berkata, "Hari Jumaat adalah penghulu hari-hari yang paling mulia di sisi Allah, hari Jumaat ini lebih mulia dari hari raya Aidilfitri dan Aidiladha di sisi Allah, pada hari Jumaat terdapat lima peristiwa, diciptakannnya Adam dan diturunkannya ke bumi, pada hari Jumaat juga Adam dimatikan, di hari Jumaat terdapat waktu yang mana jika seseorang meminta kepada Allah, maka akan dimakbulkan selama mana tidak memohon yang haram, dan di hari Jumaat pula akan terjadi kiamat, tidaklah seseorang malaikat yang dekat di sisi Allah, di bumi dan di langit kecuali dia dikasihi pada hari Jumaat." -HR. Ahmad-.

     Manakala dalam riwayat yang lain menyebut, daripada Abu Hurairah r.a. baginda bersabda, "Di hari Jumaat itu terdapat satu waktu jika seseorang Muslim melakukan solat di dalamnya dan memohon sesuatu kepada Allah, nescaya permintaannya akan dikabulkan." -HR. Bukhari dan Muslim-.


P/S: DIPETIK DARI MAJALAH AL-ISLAM.

BAB 1 : PENDAHULUAN

     Menyentuh pemahaman mengenai enam pertanyaan malaikat di alam kubur, sesungguhnya pada masa yang sama berusaha untuk mengukuhkan dimensi iman. Sebabnya, pada asasnya, apa yang akan berlaku di alam barzakh selaku persinggahan sementara menuju ke alam akhirat merupakan akibat logik daripada semua amal perbuatan di dunia. Sebelum melangkah terlalu jauh, ada baiknya untuk menyisir pemahaman mengenai beberapa perkara yang berkaitan erat dengan alam kubur serta bahagian tertentu ragam kejadian yang menyelubunginya.

     Setiap manusia sudah tentu akan mengalami kematian dan mereka sesungguhnya telah mengetahui dengan pasti akan semua itu. Namun, ramai daripada mereka yang cuba ingkar pada semua bentuk ketentuan-Nya.

"Setiap manusia sudah tentu akan mengalami kematian dan mereka sesungguhnya telah mengetahui dengan pasti akan semua itu. Namun, ramai daripada mereka yang cuba ingkar pada semua bentuk ketentuan-Nya."

     Allah S.W.T. berfirman:
"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan." (Surah al-Anbiya': 35)

     Kematian adalah sebahagian daripada ketentuan-Nya yang tidak dapat diubah dan datang secara tiba-tiba. Selain itu, patut disedari bahawa melalui kehidupan di alam kubur jauh lebih sukar dibandingkan dengan kehidupan ketika masih ada di dunia. Setiap manusia tidak dapat lagi membezakan antara siang dan malam; hidup dalam rengkuhan perut bumi; yang ada hanya kegelapan tidak berakhir. Setiap manusia akan mengalami perpindahan pada alam yang dipanggil dengan alam barzakh atau alam kubur.

     Perumpamaan kehidupan di alam kubur sesungguhnya satu titik persamaan dengan kehidupan ketika manusia masih berada di dalam alam kandungan ibu. Sudah menjadi pasti bagi setiap manusia untuk mengalami empat alam, iaitu:

1. Alam kandungan,

2. Alam dunia,

3. Alam barzakh (alam kubur), dan

4. Alam akhirat (setelah hari kiamat tiba).

     Kehidupan di dunia dan di alam barzakh sesungguhnya hanya bersifat sementara, kerana kehidupan yang paling sejati dan abadi adalah di alam akhirat. Kehidupan di alam barzakh hanya berlangsung sehingga tibanya hari kiamat. Semasa itu, manusia akan mengalami perpindahan menuju ke alam sejati, alam akhirat. Pertanyaannya adalah adakah benar setiap manusia akan merasakan nikmat dan seksa kubur? Adakah semasa itu manusia masih dapat mengharapkan siraman doa daripada sanak keluarga, kerabat, mahupun orang yang mereka kenal?

     Selaku umat Islam yang taat, sudah menjadi satu bentuk keperluan bagi kita untuk beriman pada perkara yang ghaib. Pada prinsipnya, setiap manusia perlu bertanggungjawab akan semua bentuk perbuatan, sikap, serta imannya semasa masih melalui hidup di dunia. Sebab itu, selaku seorang hamba, sudah sepatutnya sentiasa berada dalam keadaan berwaspada pada segala bentuk kemungkinan ketika memasuki alam akhirat kelak. Dan, di antara sekian banyak ragam perkara ghaib yang wajib diimani adalah adanya seksa serta nikmat di alam kubur.

     Cara terbaik untuk menghadapi segala kemungkinan yang mungkin berlaku di alam akhirat kelak, kita perlu menyediakan diri dengan bangunan akidah yang terpancar daripada wawasan Islam yang kemudian berakhir pada perbuatan. Sekali lagi, kematian adalah benar adanya, begitu juga dengan kehidupan yang bakal berlaku setelah kematian atau kehidupan akhirat. Kampung akhirat merupakan kampung bagi seluruh manusia untuk kembali. Oleh kerana itu, adalah penting bagi kita semua untuk menyediakan diri menyambutnya.

     Allah S.W.T. berfirman:
"Dan tidaklah (dinamakan) kehidupan dunia, melainkan permainan dan senda-gurau belaka. Dan sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Maka, tidakkah kamu memahaminya?" (Surah al-An'am: 32)



A. ADAKAH ORANG KAFIR JUGA AKAN DITANYA?

     Beberapa orang ulama berselisih pendapat berhubung dengan perbahasan adakah enam pertanyaan malaikat Mungkar dan Nakir di alam kubur juga ada bagi golongan orang munafik dan kafir, atau hanya bagi umat Islam semata-mata. Sebahagian ulama berpendapat bahawa pertanyaan tersebut hanya ditujukan kepada golongan orang munafik dan muslim, iaitu orang yang sudah pernah mengucapkan syahadat. Sementara orang kafir yang sudah jelas ingkar serta menentang tidak termasuk golongan orang yang mendapat pertanyaan daripada malaikat Munkar dan Nakir. 

     Sementara itu, sebahagian golongan ulama memiliki pendapat berbeza dengan berpandukan pada sunnah dan al-Quran, sebagaimana firman Allah S.W.T.: 
"(Iaitu) orang yang melanggar perjanjian (dengan) Allah sesudah perjanjian itu teguh dan memutuskan apa yang diperintahkan Allah (kepada mereka) untuk menghubungkannya dan membuat kerosakan di muka bumi. Mereka itulah orang yang rugi." (Surah al-Baqarah: 27)

"Sebahagian ulama berpendapat bahawa pertanyaan daripada malaikat Munkar dan Nakir di alam kubur hanya ditujukan kepada orang muslim dan orang munafik sahaja."

     Sebahagian besar daripada golongan ulama berpendapat bahawa ayat tersebut berhubungan dengan semua bentuk seksa kubur semasa manusia ditanya "siapa Rabb-mu? Apa agamamu? Siapa Nabimu?" Adapun penjelasan yang mengarah secara langsung pada kewujudan orang munafik dan kafir di alam kubur terdapat di dalam sunnah, seperti hadis daripada Abu Sa'id al-Khudri, diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan Imam Ahmad, dia berkata, "Kami menguruskan jenazah bersama Rasulullah S.A.W., lalu baginda bersabda, 'Wahai manusia, sesungguhnya umat ini duji kuburnya. Jika manusia sudah dikebumikan dan rakan-rakannya meninggalkannya, maka malaikat akan datang kepadanya sambil membawa palu. Malaikat mendudukkannya lalu bertanya, '(Apa yang kamu katakan tentang orang ini?)'

     "Apabila dia seorang mukmin, maka dia akan menjawab, 'Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah, yang tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad S.A.W. adalah utusan-Nya.' Lalu, malaikat berkata, 'Kamu benar!' Lalu, malaikat membukakan pintu baginya menuju ke neraka sambil berkata, 'Itulah tempat dudukmu sekiranya kamu mengingkari Rabb-mu.'

     "Kepada orang kafir dan munafik ditanyakan, 'Apa yang kamu katakan tentang orang ini?' Dia menjawab, 'Kami tidak tahu!' Malaikat berkata, 'Kamu memang tidak tahu dan tidak mendapat petunjuk.' Lalu, malaikat membukakan pintu baginya menuju ke syurga, sambil berkata, 'Itu adalah tempat tinggalmu sekiranya kamu beriman pada Rabb-mu. Akan tetapi, kerana kamu kafir, maka Allah S.W.T. menggantikannya dengan yang ini.' Kemudian, malaikat membukakan pintu menuju ke neraka. Setelah itu, malaikat memukulnya dengan sekali pukulan, dia pun menjerit kesakitan sehingga didengar oleh semua makhluk Allah S.W.T. kecuali jin dan manusia.

     Allah S.W.T. berfirman:
"Sesungguhnya orang yang berbakti benar-benar berada dalam (syurga yang penuh) kenikmatan. Dan sesungguhnya orang yang derhaka, benar-benar berada dalam neraka." (Surah al-Infitar: 13-14)

     Dapat difahami bahawa enam pertanyaan malaikat Munkar dan Nakir di alam barzakh juga ada bagi golongan orang munafik dan kafir, bukan hanya bagi golongan orang mukmin dan munafik. Bahkan, sebahagian daripada golongan ulama berpendapat bahawa jelas orang munafik dan kafirlah yang lebih sesuai mendapat pertanyaan tersebut. Tentu sahaja, perkara ini tidak terlepas daripada semua perkara yang telah mereka lakukan semasa hidup di dunia. Lebih-lebih lagi dalam beberapa firman-Nya, Allah S.W.T. memberitahu bahawa kelak semasa tiba hari kiamat, Allah S.W.T. akan bertanya kepada segolongan orang kafir. Ini sesuai dengan firman-Nya:
"Dan (ingatlah) pada hari ketika Dia (Allah) menyeru mereka, dan berfirman: "Apakah jawapanmu terhadap para rasul?"" (Surah al-Qasas: 65)

     Dalam firman Allah S.W.T. yang lain:
"Maka demi Tuhanmu, Kami pasti akan bertanya kepada mereka semua. Tentang apa yang telah mereka kerjakan dahulu." (Surah al-Hijr: 92-93)

     Allah S.W.T. juga berfirman:
"Maka sesungguhnya Kami pasti akan bertanya umat-umat yang telah diutus para Rasul kepada mereka dan sesungguhnya Kami pasti akan bertanya (juga) para Rasul (Kami)." (Surah al-A'raf: 6)


B. APA YANG DAPAT MENYELAMATKAN MANUSIA DARIPADA SEKSA KUBUR?

     Apa yang dapat menyelamatkan manusia daripada seksa kubur? Dalam bahan bacaan Islam dijelaskan bahawa sebahagian besar daripada kalangan ulama memetakan jawapan pertanyaan tersebut kepada dua, iaitu umum dan khusus.

     Jawapan yang bersifat umum adalah dengan cara sentiasa mengelakkan semua perkara yang boleh menjadi sebabnya berlaku seksa kubur. Usaha seperti ini boleh berupa bertafakur, merenung walaupun sejenak semasa mahu masuk tidur, memikirkan kembali semua perkara yang telah dilakukan sejak dari bangun tidur sehingga menjelang tidur kembali dan petakan antara kebaikan dan keburukannya. Setelah itu, segeralah memperbaharui taubat yang sebenar-benarnya.

     Allah S.W.T. berfirman:
"Maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketakwaannya. Sesungguhnya beruntung orang yang menyucikan (jiwa)nya. Dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya." (Surah al-Syams: 8-10)

Enam pertanyaan malaikat Munkar dan Nakir di alam barzakh juga ada bagi golongan orang munafik dan kafir, bukan hanya bagi golongan orang mukmin dan munafik.

     Rasulullah S.A.W. bersabda:
    
     "Sesungguhnya, Allah merentangkan tangan-Nya pada waktu malam untuk memberikan kesempatan taubat bagi orang yang melakukan kesalahan pada waktu siang dan merentangkan tangan-Nya pada waktu siang sambil memberikan kesempatan taubat bagi orang yang melakukan kesalahan pada waktu malam, sehingga kelak matahari terbit dari barat (kiamat)." (HR. MUSLIM)

     Dari sini, dapat difahami bahawa selaku seorang muslim yang taat, sudah sepatutnya kita sentiasa bertafakur untuk membersihkan jiwa daripada kotoran dosa yang telah kita lakukan. Ini merupakan satu bentuk usaha paling berkesan bagi seorang muslim untuk menyelamatkan diri daripada seksa kubur. Seboleh mungkin, usahakan perkara itu dilakukan setiap malam, bukan hanya dilakukan sesekali sahaja. Setelah itu, tidurlah dalam keadaan bertaubat. Ini kerana, sesungguhnya taubat adalah satu perkara mulia yang berfungsi membersihkan jiwa manusia daripada kotoran dosa yang tidak lain merupakan sebab munculnya seksa kubur.

     Apabila seseorang bertaubat sebelum dia memejamkan mata untuk tidur dan ternyata malam itu adalah malam terakhir baginya hidup di dunia ini, maka sesungguhnya dia telah dianggap meninggal dunia dalam keadaan bertaubat. Namun, jika ternyata orang tersebut masih diberi usia panjang oleh Allah S.W.T., maka dia akan bangun dalam keadaan gembira dan bersedia melakukan aktiviti yang baru, iaitu aktiviti yang masih belum dilakukan, serta masih memiliki kesempatan untuk semakin meningkatkan amal ibadahnya.

     Ringkasnya, bagi seorang muslim yang taat, sesungguhnya tiada ada cara tidur yang lebih bijak dibandingkan dengan cara tidur sedemikian. Lebih-lebih lagi apabila perkara itu dilengkapi dengan berzikir pada Allah S.W.T., serta melaksanakan semua sunnah Rasulullah S.A.W. apabila mahu masuk tidur.

Selaku seorang muslim yang taat, sudah sepatutnya kita sentiasa bertafakur untuk membersihkan jiwa daripada kotoran dosa yang telah kita lakukan. Ini merupakan satu bentuk usaha paling berkesan bagi seorang muslim untuk menyelamatkan diri daripada seksa kubur.

     Bagi umat Islam, sesungguhnya tidak ada perkataan terlambat untuk melakukan perkara seperti itu. Memang, tidak ada perkataan terlambat untuk bertaubat. Sebabnya, Allah sentiasa membuka pintu taubat bagi orang yang mahu membersihkan jiwanya dan taubat sendiri adalah usaha paling berkesan untuk selamat daripada berbagai seksa alam kubur.

     Allah S.W.T. berfirman:
     "Katakanlah: "Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Jangan kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya, Dialah Yang Maha Pengampun, Lagi Maha Penyayang."" (Surah az-Zumar: 53)

     Sementara jawapan yang bersifat khusus lebih mengarah pada perincian usaha untuk selamat daripada seksa kubur. Perincian ini berpandukan pada beberapa hadis yang menjelaskan mengenai perkara yang dapat menyelamatkan manusia daripada seksa kubur.

     Muslim meriwayatkan dalam Sahih-nya daripada Salman r.a., dia berkata bahawasanya Rasulullah S.A.W. bersabda: "Menyiapkan tali selama sehari semalam lebih baik daripada berpuasa sebulan berserta solat malamnya. Jika dia meninggal dunia, maka dia diberi berdasarkan amalan yang telah dilakukannya, diberi pahala berupa rezekinya dan dia selamat daripada ujian (kubur)." (HR. Muslim)

     Penjelasan hadis ini memiliki persamaan dengan penjelasan yang terdapat dalam Jami' at-Tirmizi, daripada hadis Fadhalah bin Ubaid dari Rasulullah S.A.W. Baginda bersabda, "Setiap orang yang meninggal dunia disudahi berserta amalnya, kecuali orang yang meninggal dunia dalam keadaan menyediakan tali kudanya di jalan Allah S.W.T.. Sesungguhnya, dalam amalnya diteruskan baginya sehingga hari kiamat dan dia selamat daripada ujian kubur." (HR. Tirmizi)

     Dalam hadis lain juga dijelaskan bahawa orang yang mati dalam keadaan syahid, sesungguhnya memiliki enam perkara di sisi Allah S.W.T., iaitu:

1. Dosanya diampun pada percikan darahnya yang pertama;

2. Dia melihat tempat duduknya di syurga,

3. Dilindungi daripada seksa kubur;

4. Selamat daripada ketakutan besar;

5. Di atas kepalanya, diletakkan mahkota dewi kewibawaan, yaqut yang baginya lebih baik daripada dunia dan seisinya.

6. Berkahwin dengan tujuh puluh bidadari dan dia dapat meminta syafaat bagi tujuh puluh orang kerabatnya.

     Berdasarkan penjelasan ini, dapat diketahui bahawa salah seorang yang selamat daripada seksa kubur adalah segolongan orang yang mati syahid. Selain itu, sebahagian ulama juga mengatakan bahawa salah satu usaha yang boleh dilakukan oleh manusia untuk selamat daripada seksa kubur adalah dengan membiasakan diri membaca al-Quran iaitu surah al-Mulk.

Salah satu usaha yang boleh dilakukan oleh manusia untuk selamat daripada seksa kubur adalah dengan membiasakan diri membaca al-Quran iaitu surah al-Mulk.

     Sebenarnya terdapat hubung kait yang cukup dalam daripada dua jawapan tersebut, yang bersifat umum dan yang bersifat khusus, iaitu usaha untuk selamat daripada seksa kubur hanya boleh dilakukan dengan cara semakin mendekatkan diri pada Allah S.W.T.. Sebabnya, hanya dengan cara demikian, manusia akan selamat di dunia mahupun di akhirat. Begitu juga sebaliknya, semakin manusia menjauhkan diri daripada Zat yang telah menciptakan diri mereka, sesungguhnya pada masa yang sama mereka telah menciptakan petaka bagi diri mereka sendiri yang kemudian akan berakhir dengan kerugian yang amat besar.




P/S : PETIKAN DARI BUKU 'BEGINIKAH CARA MENJAWAB ENAM PERTANYAAN MALAIKAT DI ALAM KUBUR', DITULIS OLEH 'ZEN ABDURRAHMAN', DITERBITKAN OLEH 'AL HIDAYAH HOUSE OF PUBLISHERS SDN BHD'. Maaf jika ada kekurangan. Syukran Jazilan yang membaca :) Wallahualam...