Thursday 30 January 2014

JANGAN BIARKAN 'JUMAAT' ITU BERLALU SIA-SIA

SIFAT ALLAH ITU MAHA ADIL. SETIAP KEJADIAN YANG DILAKUKAN, TELAH DITETAPKAN GANJARAN YANG SETIMPAL DENGAN TANGGUNGJAWAB YANG DIBERIKAN. UNTUK KAUM ADAM, GANJARAN BAGI MEREKA YANG MENUNAIKAN SOLAT JUMAAT BUKAN HANYA TERLETAK PADA SOLAT ITU SENDIRI. BAHKAN BERMULA DARI PERSIAPAN YANG DIBUAT DENGAN BERTUJUAN MENUNAIKAN SOLAT JUMAAT SEHINGGALAH DIA MENDENGAR KHUTBAH YANG DIBACAKAN IMAM, MAKA DIAMPUNKAN DOSA BAGINYA DI ANTARA DUA JUMAAT TERSEBUT.

     Ini jelas sebagaimana hadis Rasulullah S.A.W., dari Salman al-Farisi, Rasulullah S.A.W. bersabda, "Tidaklah seseorang mandi pada hari Jumaat dan bersuci semampunya, berminyak dengan minyak atau memakaikan minyak wangi dari rumahnya, kemudian keluar menuju masjid dan dia tidak memisahkan dua orang (yang sedang duduk berdampingan),] selanjutnya bersembahyang apa yang diwajibkan atas dirinya, baik yang wajib mahupun sunat lalu diam mendengar imam berkhutbah, melainkan akan diampuni (dosa-dosanya) antara Jumaat berikutnya." -HR. Bukhari-.

     Bukan itu sahaja, kaum Adam yang menunaikan solat Jumaat diharamkan Allah diri mereka dari seksaan api neraka. Hal ini juga dengan jelas dinyatakan dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W.. Daripada iAbabah bin Rifaiah, katanya, "Abu Abas bertemu denganku dan di saat itu aku sedang pergi untuk menunaikan solat Jumaat lalu dia berkata, "Aku mendengar Rasulullah S.A.W. berkata, "...barang siapa yang kedua kakinya berdebu dalam melaksanakan sabilillah (ia mengandungi maksud yang umum dan termasuk di dalamnya solat Jumaat), maka Allah mengharamkan dirinya untuk terkena seksa neraka."

     Apa pun ganjaran yang dijanjikan oleh Allah, ada lagi satu perkara yang Allah berikan kepada mereka yang menunaikan solat Jumaat iaitu doa yang dimakbulkan. Justeru, ambillah peluang yang Allah berikan tersebut untuk berdoa apa sahaja kerana di antara solat Jumaat itu, terdapat masa yang begitu singkat - yang kalau ketika itu jemaah memohon doa kepada Allah, nescaya Allah tidak akan menghampakan permintaannya.

     Waktunya?

     Ada beberapa hadis yang menerangkan hal tersebut. Antaranya, daripada Abu Lubabah bin Ubnu Mundzir r.a. berkata, "Rasulullah S.A.W. berkata, "Hari Jumaat adalah penghulu hari-hari yang paling mulia di sisi Allah, hari Jumaat ini lebih mulia dari hari raya Aidilfitri dan Aidiladha di sisi Allah, pada hari Jumaat terdapat lima peristiwa, diciptakannnya Adam dan diturunkannya ke bumi, pada hari Jumaat juga Adam dimatikan, di hari Jumaat terdapat waktu yang mana jika seseorang meminta kepada Allah, maka akan dimakbulkan selama mana tidak memohon yang haram, dan di hari Jumaat pula akan terjadi kiamat, tidaklah seseorang malaikat yang dekat di sisi Allah, di bumi dan di langit kecuali dia dikasihi pada hari Jumaat." -HR. Ahmad-.

     Manakala dalam riwayat yang lain menyebut, daripada Abu Hurairah r.a. baginda bersabda, "Di hari Jumaat itu terdapat satu waktu jika seseorang Muslim melakukan solat di dalamnya dan memohon sesuatu kepada Allah, nescaya permintaannya akan dikabulkan." -HR. Bukhari dan Muslim-.


P/S: DIPETIK DARI MAJALAH AL-ISLAM.

No comments:

Post a Comment