Wednesday 28 February 2018

PERANG KHAIBAR [ BAB 18 - PERANG TANDING DI WADI QURRA ]






PERANG TANDING DI WADI QURRA








"Kita sudah menakluk Kota Khaibar dan Kota Fadak. Alangkah baiknya sekiranya kita terus menakluk kawasan di sebelah utara," kata Abu Ubaidah lalu mencadangkan supaya dikemukakan kepada Rasulullah SAW.

     Kerana ramai yang menyokong cadangan itu maka Abu Bakar mengemukakannya kepada Rasulullah. Tidak lama kemudian beliau kembali menemui sahabatnya.

     "Kawasan di sebelah utara sana termasuk dalam jajahan kerajaan Rom timur. Kerana itu Nabi Muhammad tidak bercadang menakluknya. Tambahan lagi kita tidak mahu bersengketa dengan kerajaan Rom," kata Abu Bakar memaklumkan jawapan Rasulullah.

     "Semasa kita menggali parit bagi persiapan Perang Khandaq, terjumpa batu besar yang sangat keras. Nabi Muhammad berjaya memecahkan batu itu dengan tiga kali pukulan. Pada pukulan pertama memancar cahaya lalu baginda diperlihatkan istana-istana maharaja Rom. Pada pukulan kedua memancar lagi cahaya lalu diperlihatkan istana-istana maharaja Parsi. Pada pukulan ketiga diberikan kunci negeri Yaman," kata Salman Al-Farisi lalu mengingatkan semula kawan-kawannya kisah perang Khandaq.

     "Apa yang dikatakan Rasulullah itu pasti akan berlaku cuma kita tidak tahu bila dan bagaimana caranya," kata Umar pula.

     "Alangkah baiknya sekiranya ia berlaku pada masa Rasulullah masih bersama kita," kata Abu Dujanah pula.

     "Kerana itu saya mencadangkan kita terus mencabar kuasa Rom dan Parsi. Tetapi apabila Rasulullah tidak mengizinkannya kita perlu mematuhinya," kata Abu Ubaidah.

     "Rasulullah baru sahaja mengirim surat kepada maharaja Rom dan Parsi. Menyeru mereka menyembah Allah serta mengakui Muhammad pesuruh Allah. Kerana itu barangkali baginda tidak mahu bertindak terburu-buru," kata Ali pula.

     Sebelum penaklukan Kota Khaibar, Nabi Muhammad sudah mengirim surat kepada pemerintah Rom, Parsi, Mesir dan Habsyah. Kerana itu Nabi Muhammad tidak mahu menimbulkan ketegangan dengan mereka. Tambahan tujuan mereka hanya mahu menakluk Kota Khaibar. Selepas bermesyuarat dengan para sahabat, Rasulullah memimpin tentera Islam menuju ke penempatan Yahudi di Wadi Qurra yang terletak di barat daya Kota Khaibar. Arah itu juga menghala ke Madinah.

     Bagi pergi ke Wadi Qurra, Nabi Muhammad sengaja memilih jalan lain yang belum pernah dilalui orang ramai kerana mengelak melalui Kota Khaibar yang baru sahaja mereka takluk. Kemaraan tentera Islam itu dapat diketahui kaum Yahudi di Wadi Qurra. Mereka segera mengadakan mesyuarat tergempar.

     "Muhammad dan pengikutnya sudah menakluk Kota Khaibar dan Kota Fadak. Sekarang mereka sedang dalam perjalanan ke Wadi Qurra. Apakah tindakan yang patut kita lakukan? Menyerah ataupun berperang?" tanya Majsum ketua Yahudi Wadi Qurra yang baru dilantik. Kemudian Majsum menyambung ucapannya, "Penduduk Khaibar sudah berperang dengan Muhammad dan pengikutnya. Akhirnya mereka dapat dikalahkan. Penduduk Kota Fadak pula mengambil keputusan berdamai bagi mengelakkan berlakunya peperangan. Sekarang giliran kita pula membuat keputusan seperti yang dilakukan penduduk Khaibar ataupun Fadak?"

     "Izinkan saya memberi pendapat," kata Abu Aswad seorang lelaki paling tua di kalangan mereka.

     "Kota Khaibar yang begitu teguh dan ramai tenteranya dapat dikalahkan tentera Muhammad. Apatah lagi Kota Wadi Qurra yang lebih kecil daripada Kota Khaibar. Tentera kita cuma ada lima ratus orang sedangkan tentera Muhammad berjumlah seribu enam ratus orang. Mereka juga memiliki senjata dan kuda-kuda yang dirampas dari Kota Khaibar. Kerana itu saya menyarankan kita berdamai sahaja. Itu dapat menyelamatkan nyawa kita dan keluarga kita," katanya.

     "Mengaku kalah sebelum berperang adalah sifat orang yang pengecut sedangkan kita bangsa Yahudi yang berani. Kita bangsa pilihan Tuhan. Kerana itu kita perlu menentang Muhammad," teriak Jalilah seorang pahlawan Yahudi Wadi Qurra yang paling berani.

     "Aku akan bersama kamu Jalilah," kata Basyer kawan baiknya.

     Melihat ada sokongan daripada kawan-kawannya maka tambah bersemangat Jalilah lalu berkata, "Wahai kawan-kawanku. Siapa antara kamu yang sanggup berjuang bersamaku hingga ke hujung nyawa bagi mempertahankan kota kita?"

     Maka bangun sepuluh orang pahlawan Yahudi Wadi Qurra. Mereka menyatakan kesanggupan bersama Jalilah menentang tentera Islam. Namun Jalilah masih berasa kecewa kerana dia mahu lebih ramai lagi yang sanggup berjuang bersamanya.

     "Pahlawan Yahudi Wadi Qurra ada lima ratus orang. Mengapa hanya sepuluh orang yang sanggup berjuang bersama aku? Bagaimana pula dengan yang lain?" tanya Jalilah dengan nada suara yang tinggi.

     "Kamu adalah pahlawan kami yang paling berani. Kamu akan berada di barisan hadapan. Kami akan berada di belakang kamu. Kita akan sama-sama berjuang," kata Majsum pula.

     "Bertenang tuan-tuan sekalian. Saya ada rancangan yang lebih baik daripada apa yang sedang kamu fikirkan," kata Abu Aswad pula.

     "Kemukakan segera kepada kami. Sekiranya baik pasti kami turut," kata Jalilah pula.

     "Kita cabar Muhammad supaya diadakan perang tanding. Perjanjiannya, sekiranya kita menang Muhammad dan pasukan tenteranya perlu berundur dari Wadi Qurra. Sekiranya mereka yang menang kita tinggalkan Wadi Qurra," kata Abu Aswad mencadangkan.

     "Saya boleh terima cadangan itu tetapi perlu dibuat perubahan syaratnya. Sekiranya Muhammad kalah maka mereka menyerah diri kepada kita. Sekiranya kita kalah, kita menyerah diri kepada mereka. Baru adil," kata Jalilah.

     Ramai yang menyokong cadangan Jalilah bagi mengelakkan mereka meninggalkan Wadi Qurra sekiranya kalah. Mereka mahu dilayan seperti Yahudi Khaibar dan Fadak yang masih terus dibenarkan tinggal di tempat mereka.

     "Kami sebelas orang pahlawan Yahudi Wadi Qurra akan mencabar sebelas orang pahlawan Islam dalam perang tanding. Kami akan kalahkan mereka supaya Muhammad dan pengikutnya menyerah kalah. Selepas mereka menyerah kalah terserah kepada kalian apa hukuman yang dijatuhkan kepada mereka," kata Jalilah dengan bersungguh-sungguh.

     "Kita jatuhkan hukuman bunuh ke atas Muhammad dan semua pengikutnya. Jangan ada seorang pun dibiarkan hidup," kata Basyer mencadangkan.

     "Itu tidak menguntungkan kita. Lebih baik kita jadikan mereka hamba, suruh bekerja di kebun dan menggembala kambing ternakan kita. Bukankah itu lebih menguntungkan?" kata Sarraf pula mencadangkan.

     "Lebih baik kita jual Muhammad dan pengikutnya kepada musuh-musuh mereka. Penduduk Khaibar, Fadak, kaum Quraisy. Orang Rom dan Parsi pasti mahu membeli mereka dengan harga yang mahal. Bukankah itu lebih cepat kita mendapat keuntungan?" kata Majsum pula.

     Maka terjadi pertengkaran sesama mereka kerana mempertahankan pendapat masing-masing. Tetapi dapat dileraikan oleh Abu Aswad dan Majsud.

     "Apa yang paling penting pahlawan-pahlawan kita perlu mengalahkan dahulu pengikut Muhammad. Apabila mereka kalah dan sesudah Muhammad dan semua pengikutnya menyerah diri baru kita fikirkan apa hukuman yang paling baik dan menguntungkan kita," kata Majsum lalu menggesa sebelas pahlawan mereka berlatih dengan bersungguh-sungguh supaya dapat mengalahkan lawan mereka.

     Nabi Muhammad dan pasukan tenteranya terus menuju ke Wadi Qurra. Apabila sampai di pinggir penempatan Yahudi itu hari sudah petang. Mereka berhenti lalu berkhemah di satu kawasan lapang. Mereka juga membakar unggun api supaya kedatangan mereka diketahui penduduk Wadi Qurra.

     Pada malam itu Jalilah bersama kawan-kawannya membuat intipan di perkhemahan tentera Islam. Mereka dapati semuanya sibuk beramal ibadat. Ada yang membaca Al-Quran, berzikir dan bersembahyang. Di luar khemah pula ramai yang berkawal bagi menjaga keselamatan.

     Keesokan harinya Nabi Muhammad bertanya kepada para sahabat adakah sesiapa mendengar azan subuh dari perkampungan Yahudi Wadi Qurra itu. Ternyata tidak siapa yang pernah mendengarnya petanda tidak ada seorang pun yang menganut Islam.

     Nabi Muhammad tidak mahu terus melancarkan serangan. Baginda menghantar utusan menemui ketua Yahudi Wadi Qurra bagi memberi dua pilihan. Memeluk Islam ataupun berdamai dengan membayar jizyah.

     "Beritahu Muhammad kami menolak tawarannya. Kami mencabar kamu mengadakan perang tanding satu lawan satu. Siapa yang kalah terpaksa menyerah kalah," beritahu Majsum.

     Utusan pulang ke khemah lalu menyampaikan apa yang dimahukan oleh kaum Yahudi Wadi Qurra. Belum sempat pihak tentera Islam memberikan jawapan tiba-tiba Jalilah muncul di hadapan tentera Islam lalu mencabar.

     "Siapa antara kamu yang berani melawan aku? Kita adakan perang tanding satu lawan satu," jerit Jalilah ke arah tentera Islam.

     Zubair bin Awwam segera menyahut cabaran itu. Selepas mendapat izin daripada Rasulullah SAW dia menerpa ke arah pahlawan Yahudi itu. Maka berlaku pertarungan yang sengit. Orang Yahudi bersorak memberi semangat kepada pahlawan mereka. Tentera Islam bertakbir dan tertahmid memohon doa semoga Allah memberi kemenangan kepada saudara mereka. Akhirnya ternyata Allah memberi kemenangan kepada Zubair bin Awwam. Dia berjaya menetak leher lawannya hingga tersungkur ke bumi.

     Kejayaan Zubair bin Awwam itu disambut dengan laungan takbir pasukan Islam. Di pihak Yahudi pula mereka menjerit memekik marah dengan kemarahan itu. Namun itu tidak melemahkan semangat pahlawan yang lain.

     "Aku akan membela kematian sahabatku Jalilah," teriak Basyir kawan baik Jalilah.

     Ketika itu Zubair bin Awwam mahu balik ke dalam pasukan tentera Islam selepas berjaya menewaskan lawannya. Tetapi langkah kakinya terhenti apabila dicabar musuhnya.

     "Hei pengecut jangan lari. Aku bunuh kau bagi membela kawan baikku," jerit Basyer dengan muka yang bengis bagaikan singa.

     Zubair berpaling ke arah pahlawan Yahudi yang mencabarnya itu. Pahlawan Islam pantang dicabar di medan perang. Begitu pendirian Zubair. Walaupun keletihan masih belum hilang namun dia tidak pernah takut demi menegakkan syiar Islam.

     Basyer yang dikatakan mahir menggunakan pedang itu menggunakan segala kemahirannya bagi menewaskan lawannya. Dia menetak lawannya bertubi-tubi namun masih tidak mengenai sasaran kerana Zubair bin Awwam juga seorang pahlawan yang hebat. Selepas agak lama juga bertarung akhirnya Basyer tersungkur apabila lehernya terkulai ditetak lawannya. Sekali lagi terdengar suara bertakbir dari pasukan tentera Islam sebagai meraikan kemenangan itu. Kedudukan kini sudah 2-0.

     Walaupun sudah dua orang pahlawan mereka tewas namun kaum Yahudi Wadi Qurra masih tidak patah semangat. Mereka menurunkan pahlawan yang ketiga lalu mencabar Zubair bin Awwam berlawan. Walaupun kepenatan selepas bertarung dengan dua orang lawan namun semangat juangnya masih kental. Dia bersedia bertarung. Tetapi Nabi Muhammad menyuruh Ali bin Abi Talib yang menentangnya. Maka berlaku pertarungan antara keduanya. Ternyata Ali lebih hebat dan dengan mudah pahlawan Yahudi itu berjaya ditewaskan.

     Selepas Ali bin Abi Talib masuk ke dalam pasukan tentera Islam maka datang seorang lagi pahlawan Yahudi mencabar pahlawan Islam. Maka Abu Dujanah segera menyahut cabaran itu. Dengan mudah beliau  berjaya menewaskan lawannya.

     Namun Yahud Wadi Qurra masih tidak mahu mengaku kalah. Mereka terus menurunkan seorang demi seorang pahlawan sehingga mereka genap sebelas orang dan semuanya mengalami kekalahan di tangan tentera Islam.

     Kemudian muncul seorang lagi lelaki kedatangannya bukan bagi mencabar tentera Islam tetapi sebagai utusan mewakili Yahudi Wadi Qurra.

     Lelaki itu berkata, "Kami bangsa Yahudi adalah pilihan Tuhan. Bangsa yang paling baik daripada bangsa lain di dunia ini. Tetapi pada hari ini Tuhan menguji kami dengan kekalahan dalam perang tanding dengan pengikut Muhammad. Kami terima kekalahan itu," katanya.

     "Umat yang paling baik di sisi Allah adalah umat yang bertakwa bukannya umat yang sombong," teriak Umar Al-Khattab.

     "Kami adalah umat yang paling baik kerana mencintai Allah dan Rasul-Nya," balas Ali bin Abi Talib pula.

     "Mari kita teruskan perang tanding bagi menentukan siapa umat yang paling gagah," teriak Abu Dujanah pula.

     "Kami mengaku kalah," kata lelaki itu. Kemudian katanya lagi, "Kami mohon dilayan seperti penduduk Khaibar dan Fadak. Ambillah semua harta kami kecuali tanah. Benarkan kami tinggal di sini mengusahakan tanah dan hasilnya dibahagi dua."









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

Tuesday 27 February 2018

PERANG KHAIBAR [ BAB 17 - MISI DAMAI KE FADAK ]






MISI DAMAI KE FADAK








Kejatuhan Kota Khaibar mengejutkan kaum Yahudi di Fadak yang terletak di sebelah utara kota itu. Mereka tidak menyangka tentera Islam di bawah pimpinan Nabi Muhammad SAW begitu mudah dapat menakluk kota yang paling kuat itu. Sedangkan mengikut jangkaan mereka sekiranya dikepung selama setahun pun penghuni di dalam lapan buah kubu itu masih mampu bertahan. Maka timbul rasa bimbang Yahudi Fadak selepas Kota Khaibar maka kota mereka pula akan diserang tentera Islam kerana membantu tentera Ahzab menyerang Madinah dan bersekutu dengan Yahudi Khaibar bagi menyerang buat kedua kalinya.

     "Sekiranya kita ditimpa bencana, Amir ketua kita yang patut dipersalahkan kerana terpedaya dengan pujukan Huyay bin Akhtab dan Sallam bin Misykam," marah Salim, salah seorang pemimpin Yahudi Fadak.

     "Dalam keadaan sekarang kita tidak boleh saling salah menyalahkan lagi. Tambahan pula keputusan yang diambil oleh ketua kita mendapat persetujuan ramai. Walau ada yang menentang tetapi lebih ramai yang menyokonh. Kerana itu apabila terjadi keadaan sebegini kita hendaklah bersatu." Masykam seorang pendeta Yahudi Fadak cuba menenangkan suasana yang mula tegang.

     "Saya menyokong kata-katanya itu. Kita perlu bersatu mempertahankan kota ini. Sekiranya Muhammad dan pengikutnya datang menyerang Kota Fadak kita tentang mereka bermati-matian sehingga mencapai kemenangan," kata Feroz ketua pasukan tentera Fadak.

     "Saya hargai semangat kamu semua. Tetapi tidak semudah itu kita mampu melakukannya. Kota Khaibar yang begitu besar dan kukuh berjaya ditakluk oleh Nabi Muhammad dan pengikutnya yang cuma seramai seribu enam ratus orang," kata Amir ketua Yahudi Fadak.

     "Bagaimana mereka boleh kalah? Bukankah Kota Khaibar mampu bertahan selama setahun sekiranya dikepung musuh? Di dalamnya terdapat air, makanan, ternakan dan senjata yang banyak," tanya Salim pula.

     "Memang benar Kota Khaibar itu sepuluh kali ganda besarnya daripada Kota Fadak. Jumlah penduduknya pula sepuluh kali ganda ramainya berbanding kita. Pertahanan mereka juga lebih kuat daripada kita. Tetapi dengan mudah dapat dikalahkan oleh Muhammad. Saya sendiri tidak tahu apa sebabnya," jawab Amir.

     "Saya yakin ada penduduk Khaibar yang menjadi pembelot dengan membantu tentera Islam. Kerana itu Kota Khaibar dapat dikalahkan dengan mudah," kata Feroz pula.

     "Sama ada Muhammad dibantu pembelot ataupun tidak hanya Tuhan yang mengetahuinya. Tetapi apa yang pasti Kota Khaibar sudah jatuh ke tangan Muhammad. Kejatuhan kota yang menjadi kebanggaan ramai itu diratapi kaum Yahudi terutama penduduk Khaibar," kata Amir.

     "Sekiranya Muhammad datang ke sini apa tindakan kita? Adakah kita akan menyerah ataupun melawan mereka?" tanya Fusail pula, seorang petani Fadak yang kaya.

     "Kita tidak akan menyerah kalah sebelum berperang," jawab Feroz sebelum sempat Amir menjawabnya.

     "Tentera kita berjumlah lima ratus orang sahaja. Sedangkan tentera Khaibar berjumlah lima ribu sembilan ratus orang pun dapat dikalahkan Muhammad," kata Amir pula. Dia berasa takut dengan kekuatan serta kehebatan tentera Islam.

     "Kita akan bersatu dengan Wadil Qura dan Taima'. Apabila ketiga-tiga wilayah ini bersatu, Muhammad dan pasukan tenteranya dapat kita kalahkan," kata Feroz dengan yakin.

     "Yahudi Bani Taima' dan Wadil Qura tidak boleh dipercayai. Mereka juga sudah mengikat perjanjian dengan Khaibar bagi menentang Muhammad. Tetapi apabila Kota Khaibar diserang, mereka tidak dapat memberikan bantuan," kata Amir pula.

     "Bagaimana dengan Kabilah Ghatafan?" tanya Feroz lagi.

     "Mereka juga tidak boleh diharapkan kerana membiarkan Kota Khaibar dikepung walau sudah mengikat perjanjian," jawab Amir.

     "Sekiranya begitu apakah kita akan menyerah begitu sahaja?" tanya Feroz pula.

     "Bergantung pada keadaan. Sekiranya yakin beroleh kemenangan baru kita berperang," jawab Amir lalu disokong Penduduk Fadak.

     Di Kota Khaibar pula Nabi Muhammad sedang berbincang dengan para sahabatnya berkenaan Yahudi Fadak. Mereka memberi perhatian kerana Yahudi Fadak bersempadan dengan wilayah kerajaan Rom. Dikhuatiri mereka meminta bantuan Rom bagi menyerang Madinah.

     "Yahudi Fadak sudah membantu tentera Ahzab menyerang Madinah semasa perang Khandaq. Mereka bersekutu dengan Yahudi Khaibar bagi menyerang Madinah. Kerana itu mereka tidak boleh dibiarkan," kata Umar Al-Khattab pula.

     Selepas berbincang serta mendengar pendapat para sahabat, akhirnya Nabi Muhammad menghantar seorang utusan ke Fadak bagi menawarkan pilihan kepada mereka, memeluk Islam ataupun menyerahkan harta mereka kepada tentera Islam. Tindakan itu dilakukan sebagai hukuman kepada Yahudi Fadak kerana memusuhi Islam.

     "Mengapa Nabi Muhammad hanya menghantar seorang utusan ke Fadak? Bagaimana nanti sekiranya utusan itu dibunuh? Bukankah kaum Yahudi sentiasa menunggu peluang membinasakan kita?" tanya Aswad seorang anak muda yang turut menyertai tentera ke Khaibar.

     "Saya yakin Nabi Muhammad ada perancangan yang tersendiri. Beliau seorang yang bijak," kata Abdullah pula.

     "Pada pendapat kamu apa perancangannya?" tanya Aswad lagi.

     "Sekiranya penduduk Fadak memusuhi Nabi Muhammad mereka akan membunuh utusan itu. Sekiranya mahu berdamai akan dilepaskan dengan selamat. Yang kedua Nabi Muhammad yakin Yahudi Fadak sudah gerun dengan kekuatan Islam selepas berjaya menakluk Kota Khaibar. Kerana itu utusan yang dihantar itu selamat kerana orang Yahudi Fadak tidak berani membunuhnya," jawab Abdullah.

     "Saya yakin Nabi Muhammad sengaja hendak berperang dengan Yahudi Fadak kerana itu dihantarnya seorang utusan sahaja supaya dibunuh. Apabila utusannya dibunuh maka ada alasan baginya menyerang Fadak," kata Aswad pula.

     "Nabi Muhamma bukan seorang yang suka berperang. Peperangan hanya dilakukan apabila terpaksa dan mempertahankan diri. Sekiranya Muhammad mahu menyerang Fadak lebih baik dilakukannya selepas menakluk Kota Khaibar," kata Abdullah yang mempertahankan keputusan Nabi Muhammad.

     Apabila utusan itu sampai ke Fadak, dia disambut dengan baik serta diberi layanan yang mesra oleh Amir dan orangnya.

     "Nabi Muhammad memberi kamu pilihan iaitu masuk Islam ataupun menyerah. Sekiranya masuk Islam kamu akan dilayan seperti saudara seagama dengan kami. Tetapi sekiranya kamu berdamai maka semua harta milik kamu perlu diserahkan kepada kami," kata Abdullah yang menjadi utusan pihak tentera Islam.

     "Apa kesalahan kami sehingga diberi pilihan sebegitu rupa?" tanya Amir pura-pura tidak tahu.

     "Kamu bersekutu dengan tentera Ahzab menyerang Madinah semasa Perang Khandaq. Kamu juga bersekutu dengan Yahudi Khaibar bagi menyerang Madinah sekali lagi. Kerana itu kamu diberi pilihan iaitu berdamai ataupun berperang," jawab Abdullah.

     Amir pada mulanya menafikan tuduhan itu tetapi Abdullah mengemukakan bukti-buktiknya lalu berkata, "Sekiranya kamu menolak tidak mengapa. Tunggulah sedikit masa lagi Nabi Muhammad dan pasukan tenteranya akan datang ke Fadak. Ketika itu tidak ada gunanya kamu menyesal lagi."

     Selepas agak lama berfikir, Amir meminta tempoh sehari bagi memikirkan jawapannya.

     "Kami akan berbincang dulu sebelum membuat kata putus. Kamu boleh tinggal di sini dan kami menjaga keselamatan kamu," kata Amir.

     Di Khaibar pula tentera Islam menyangka Abdullah sudah dibunuh penduduk Fadak lalu Nabi Muhammad memimpin angkatan perangnya menuju ke Fadak. Di pertengahan jalan mereka berjumpa Abdullah.

     "Penduduk Fadak minta berdamai. Mereka bersetuju menyerahkan semua harta kecuali tanah dan rumah," beritahu Abdullah.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

Monday 26 February 2018

PERANG KHAIBAR [ BAB 16 - PERCUBAAN MERACUN RASULULLAH ]






PERCUBAAN MERACUN RASULULLAH








"Walaupun perang sudah tamat namun dendamku terhadap Muhammad tidak pernah padam malah semakin marak menyala membakar seluruh sanubariku. Aku tidak tidur lena selagi dendamku ini tidak berbalas," kata Zainab binti Al-Harith seorang wanita muda yang cantik jelita dan terkenal di kalangan Yahudi Khaibar.

     Kemudian katanya lagi, "Akibat daripada tindakan Muhammad dan pengikutnya menyerang Kota Khaibar, seramai sembilan puluh tiga orang kaum kerabat kita sudah terkorban demi mempertahankan benteng ini. Apakah tuan-tuan dan puan-puan mahu melupakan sahaja malapetaka ini? Adakah anda sekalian hanya tersenyum melihat mereka pergi dari sini? Tidak, aku akan pastikan Muhammad menemui ajalnya sebelum meninggalkan Khaibar."

     Ternyata kata-kata isteri kepada Sallam bin Misykam itu berjaya meniupkan perasaan marah dan benci penduduk Khaibar terhadap Nabi Muhammad dan pengikutnya. Namun perasaan itu terpaksa dipendamkan kerana bimbang tindak balas tentera Islam. Mereka menunjukkan sikap baik walau dalam hati tersimpan dendam kesumat yang menunggu masa bagi dilepaskan.

     Zainab binti Al-Harith menaruh perasaan marah dan dendam kerana suaminya mati semasa mempertahankan benteng Nai'im. Walaupun kematian suaminya akibat diracun oleh orang kepercayaannya sendiri namun wanita itu tetap mempersalahkan Nabi Muhammad. Apa yang lebih membakar dendam kesumatnya adalah apabila abangnya panglima Marhab dibunuh oleh Sayidina Ali dalam perang tanding satu lawan satu.

     Sebenarnya Zainab sendiri yang mencabar abangnya Marhab supaya membunuh Nabi Muhammad melalui perang tanding satu lawan satu. Dia yakin abangnya yang terkenal sebagai lelaki yang gagah perkasa punya kekuatan menyamai sepuluh orang lelaki itu dengan mudah dapat mengalahkan Nabi Muhammad. Marhab menyanggupi cabaran adik perempuannya itu lalu keluar mencabar tentera Islam. Tetapi dia ditewaskan oleh Ali bin Abi Talib.

     Selain itu Zainab juga sakit hati apabila Nabi Muhammad mengambil Safiyyah isteri Kinanah menjadi isterinya. Pada mulanya dia berharap dirinya yang menjadi pilihan Nabi Muhammad kerana dia terkenal sebagai wanita yang paling cantik di kalangan wanita Yahudi Khaibar. Kerana itu dia berasa dengki dan sakit hati lalu mahu membunuh Nabi Muhammad.

     "Kamu seorang wanita yang cantik dan bijaksana. Kata-katamu mendapat sokongan penduduk Khaibar. Mereka merestui rancangan kamu hendak membunuh Muhammad. Namun rancangan itu perlu dibuat dengan halus dan berhati-hati supaya tidak menimbulkan syak wasangka para pengikutnya," kata Ubaid yang juga sudah terpengaruh dengan kata-kata Zainab. Dalam diam-diam dia juga menaruh hati kepada balu Sallam bin Misykam itu.

     "Berilah cadangan cara yang paling baik bagi saya membunuh Muhammad?" tanya Zainab lagi. Dia berasa sangat gembira kerana sudah ada yang berani membantunya menjayakan rancangan jahatnya itu.

     "Muhammad tidak dapat dibunuh dengan senjata kerana sentiasa dikawal pengikutnya. Tetapi saya yakin dia dapat dibunuh dengan racun yang paling berbisa," jawab Ubaid yang juga terkenal sebagai lelaki yang licik fikirannya.

     "Benar sekali katamu itu. Tolong carikan saya racun yang paling bisa. Saya akan berikan kepada Muhammad," kata Zainab dengan gembira selepas Ubaid menyatakan sanggup memberi kerjasama.

     "Saya akan mendapatkan racun yang paling bisa itu tetapi bagaimanakah kamu hendak memberinya sedangkan Muhammad sentiasa dikawal pengikutnya?" tanya Ubaid mahukan kepastian.

     "Tahulah saya bagaimana mahu melakukannya. Kamu carikan sahaja racun yang paling bisa kemudian serahkan kepada saya," jawab Zainab lalu menggesa Ubaid segera mencarinya.

     Ubaid pergi mencari racun yang paling bisa. Kebetulan ada seorang dukun Yahudi yang terkenal pandai membuatnya. Selepas membayar dengan upah yang lumayan maka Ubaid pun dapat memiliki racun yang paling bisa itu. Zainab pula menemui Safiyyah binti Abdul Mutalib, ibu saudara Nabi Muhammad yang turut menyertai tentera Islam ke Khaibar. Dia menjadi ketua Muslimat yang bertugas merawat tentera yang cedera.

     "Wahai ibu, alangkah mulianya budi pekerti Nabi Muhammad yang sanggup memaafkan penduduk Khaibar. Walaupun kami baru sahaja berperang namun Muhammad tidak menaruh dendam. Dia bersedia memaafkan kami. Muhammad seorang lelaki yang paling baik pernah saya temui," kata Zainab lalu berpura-pura kagum serta memuji Nabi Muhammad. Tetapi dalam hatinya penuh dengan dendam kesumat.

     "Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Dia tidak pernah menyimpan dendam kepada sesiapa walaupun kepada mereka yang memusuhinya," puji Safiyyah pula.

     "Muhammad juga sanggup menjadikan Safiyyah binti Huyay sebagai isterinya selepas suaminya Kinanah dihukum pancung. Sekiranya mahu Muhammad boleh sahaja menjadi Safiyyah itu hamba ataupun tempat melepaskan nafsunya sahaja kerana sudah menjadi tawanan perang," kata Zainab lagi terus mencucukkan jarum tipu helahnya bagi memperdayakan Safiyah.

     "Sufiyyah binti Huyay itu seorang wanita yang jujur. Dia berkahwin dengan Kinanah kerana dipaksa oleh ayahnya. Dia juga tidak menyetujui tindakan suaminya bermusuhan dengan Nabi Muhammad," kata Safiyyah binti Abdul Mutalib pula.

     Selepas agak lama berbual dan selepas meluahkan kata-kata puji-pujian terhadap Nabi Muhammad, akhirnya Zainab bertanya perkara yang perlu diketahui bagi melaksanakan rancangan khianatnya.

     "Wahai ibuku, saya juga mahu menjadi pengikut Muhammad. Bolehkah ibu menyampaikan hasrat hati saya ini kepada Muhammad?" tanya Zainab yang tujuannya hanya bagi menarik perhatian Safiyyah.

     "Dengan senang hati ibu sanggup memberitahunya. Dia tentu gembira mendengar kerana kamu wanita yang ternama," jawab Safiyyah yang tidak tahu niat sebenar wanita Yahudi itu.

     "Ibu juga tentu lebih tahu perihal Muhammad. Boleh saya tahu apakah makanan kegemarannya?" tanya Zainab dengan perasaan yang berdebar kerana itulah tujuan sebenar dia berjumpa ibu saudara Nabi Muhammad itu.

     "Nabi Muhammad paling suka sup daging kambing," jawab Safiyyah yang tahu makanan kegemaran Nabi Muhammad.

     "Bahagian manakah yang paling disukainya?" tanya Zainab lagi.

     "Bahagian peha kambing," jawab Safiyyah.

     Sejak itu sering Zainab menemui Safiyah sehingga hubungan mereka menjadi rapat. Kemudian Zainab bertanya, "Di rumah saya ada seekor kambing dara yang belum pernah melahirkan anak. Saya bercadang hendak menyembelih kambing itu dan dagingnya dibuat sup. Saya mahu menghadiahkan semangkuk sup itu kepada Nabi Muhammad. Apakah baginda sudi memakannya?" tanya Zainab pula.

     "Nabi Muhammad tidak pernah menolak pemberian orang. Dia juga tidak pernah mencela makana yang diberikan kepadanya," jawab Safiyyah.

     Alangkah gembira hati Zainab mendengar kata-kata Safiyyah itu. Dia menyuruh Ubaid menyembelih kambing kepunyaannya kemudian dibuatnya sup. Dia mengasingkan semangkuk daripada sup itu bagi diberikan kepada Nabi Muhammad. Selepas dibubuh racun maka sup itu diberikannya kepada Safiyah bagi diberikan kepada Nabi Muhammad.

     "Wahai ibuku, alangkah gembiranya hati saya sekiranya Nabi Muhammad sudi memakan pemberianku ini walaupun sedikit. Kerana itu mahukah ibu sekiranya ibu katakan kepada Muhammad yang sup kambing ini ibu sendiri yang memasaknya. Dengan itu Muhammad tidak segan memakannya," kata Zainab yang kelihatan bersungguh-sungguh.

     Safiyyah bersetuju dengan permintaan wanita Yahudi itu. Dia memberikan mangkuk yang berisi sup kambing itu kepada Nabi Muhammad. Seperti lazimnya baginda tidak suka makan bersendirian melainkan diajak mereka yang berada di kelilingnya supaya makan bersama. Maka datanglah beberapa orang sahabat kepada Nabi Muhammad bagi sama-sama menikmati sup kambing itu. Antaranya seorang sahabat Nabi Muhammad bernama Bisyr bin Al-Barra' bin Al-Ma'rur. Kebetulan pula Bisyr juga suka makan sup kambing. Dia yang dahulu menjamah sup itu sebelum Nabi Muhammad.

     Nabi Muhammad mengambil bahagian peha kambing yang paling digemarinya itu lalu mahu memakannya. Tiba-tiba dengan izin Allah daging kambing itu memberitahu yang dia sudah dibunuh racun.

     "Daging ini memberitahu saya ia sudah dibunuh racun," kata Nabi Muhammad lalu membuang daging itu. Tetapi Bisyr Al-Barra sudah pun menelannya.

     Tidak lama kemudian Bisyr mengadu kesakitan lalu meninggal dunia ketika itu juga. Nabi Muhammad memanggil ibu saudaranya Safiyyah lalu bertanya siapa yang memberinya makanan itu. Dengan rasa penuh ketakutan dan menyesal maka diceritakannya.

     "Saya tidak menyangka wanita Yahudi itu sanggup memanggil saya ibu dan melayan saya seperti ibunya. Rupa-rupanya dia ada muslihat bagi membunuh Nabi Muhammad," kata Safiyyah kesal.

     Kemudian Nabi Muhammad menyuruh semua kaum Yahudi Khaibar berkumpul lalu bertanya, "Apakah kamu mahu menjawab sekiranya saya bertanya?"

     "Ya," jawab orang Yahudi Khaibar itu.

     "Adakah kamu yang membubuh racun ke dalam makanan ini?" tanya Nabi Muhammad sambil menunjuk daging kambing itu.

     Mereka terdiam penuh ketakutan. Sebenarnya mereka semua tahu pakatan membunuh Nabi Muhammad dengan racun itu. Malah mereka yang turut mencari serta membantu Zainab memasaknya.

     "Sebentar tadi kamu berjanji mahu menjawab pertanyaan Nabi Muhammad. Jangan mungkir janji, kelak buruk padahnya," marah Umar bin Al-Khattab.

     "Adakah kamu yang membubuh racun ke dalam makanan ini?" Nabi Muhammad mengulang sekali lagi pertanyaannya.

     "Benar..." jawab mereka beramai-ramai. 

     "Mengapa kamu melakukannya?" tanya Nabi Muhammad lagi.

     "Kami mahu menguji kamu wahai Muhammad. Sekiranya kamu pendusta kami berasa lega dengan kematianmu. Sekiranya kamu benar seorang nabi maka racun itu tidak memudaratkan engkau," jawab Ubaid.

     "Apa yang mendorong kamu membubur racun ke dalam makanan ini?" tanya Nabi Muhammad kepada Zainab.

     "Membalas dendam atas kematian suami dan abang aku," jawab Zainab berterus terang.

     "Allah tidak mengizinkan kamu melakukannya ke atasku," kata Nabi Muhammad.

     "Wahai Rasulullah, izinkan saya memenggal leher wanita ini," teriak Umar Al-Khattab dengan sangat marah.

     Tetapi Nabi Muhammad tidak mengizinkannya kerana wanita itu bercakap benar serta menyesali perbuatannya.

     Namun Abdullah anak lelaki Bisyr yang turut menyertai bapanya dalam Perang Khaibar tidak dapat membiarkan perkara itu berlaku begitu sahaja. Dia mahu membalas dendam ke atas orang yang menyebabkan kematian bapanya. Pada malam itu Abdullah pergi ke rumah Zainab lalu membunuhnya.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

PERANG KHAIBAR [ BAB 15 - MENCARI HARTA YANG DISEMBUNYIKAN ]






MENCARI HARTA YANG DISEMBUNYIKAN








Suasana di Kota Khaibar kembali tenang. Orang ramai dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. Tentera Khaibar juga dibenarkan pulang menemui keluarga mereka selepas diarah meletakkan senjata. Para petani dibenarkan bekerja di ladang mereka. Penternak juga sudah menggembala ternakan mereka tanpa berasa takut kerana keselamatan mereka sudah dijamin oleh tentera Islam.

     Kemudian beberapa orang pendeta Yahudi datang menemui Nabi Muhammad meminta diserahkan kepada mereka kitab Taurat yang dikumpulkan bersama harta rampasan perang. Tambahan pula sebelum itu Rasulullah sudah berjanji hendak menyerahkannya.

     "Kami mohon kitab Taurat itu dikembalikan dalam keadaan asal tanpa dirosakkan mana-mana bahagiannya," rayu pendeta Yahudi itu.

     Nabi Muhammad memenuhi permintaan mereka lalu menyerahkan kitab Taurat itu. Tetapi pendeta itu kelihatan sedih dan tidak puas hati.

     "Kitab suci kami ini kulitnya bertatahkan berlian. Sekarang kulitnya sudah dikoyakkan. Kami mohon dikembalikan semula kulitnya yang asal," pinta pendeta itu.

     Nabi Muhammad berjanji akan mengembalikannya. Kemudian baginda bertanya para sahabat siapa yang mengoyakkan kulit kitab Taurat itu. Menurut mereka yang menjumpai kitab Taurat itu dalam keadaan sudah terkoyak kulitnya. Bagi memastikan kebenarannya, Rasulullah memanggil Sa'yah bin Amru, orang yang diamanahkan oleh Huyay bin Akhtab menyimpan kitab itu.

     "Bagaimana kitab Taurat ini berada dalam rumah kamu?" tanya Ali bin Abi Talib yang disuruh menyoal siasat Sa'yah bin Amru.

     "Pada mulanya kitab ini disimpan oleh Huyay bin Akhtab. Selepas dia meninggal dunia kitab ini disimpan oleh Sallam bin Misykam. Selepas Sallam meninggal dunia giliran saya pula menyimpannya," jawab Sa'yah.

     "Adakah kulit kitab Taurat itu hilang semasa berada dalam simpanan kamu?" tanya Ali bin Abi Talib lagi.

     Sa'yah seperti ragu-ragu mahu menjawabnya. Melihat keadaan itu maka Ali pun berkata, "Berkata jujurlah demi kitab suci kamu sendiri. Lidah kamu akan dipotong sekiranya memberi jawapan yang dusta."

     "Ketika kamu menjumpai kitab Taurat itu keduanya sudah terkoyak kulitnya," jawab Sa'yah.
   
     Jawapan jujur Sa'yah itu menggembirakan para sahabat kerana terlepas daripada tuduhan mencuri kulit kitab Taurat yang bertatahkan berlian itu.

     Kemudian giliran Nabi Muhammad pula yang bertanya, "Di manakah perginya kulit kitab ini?" sambil menunjukkan kitab Taurat yang sudah hilang kulitnya kepada Sa'yah bin Amru Al-Nadhir.

     "Saya tidak tahu," jawab Sa'yah. Dia seperti menyesal kerana memberi jawapan yang jujur sebentar tadi.

     "Ke manakah perginya kulit Taurat yang bertatah berlian itu?" tanya Nabi Muhammad sekali lagi.

     Nabi Muhammad juga tahu ada sebuah kitab Taurat kulitnya bertatahkan berlian dalam simpanan Yahudi Bani Nadhir. Siapa yang dilantik menjadi ketua maka dia yang menyimpan kitab itu. Tetapi sekarang kulit kitab itu sudah hilang. Sallam bin Misykam yang dulunya seorang pendeta Yahudi yang terbilang diberikan kitab ini bagi menyimpannya. Tetapi kemudiannya kitab itu jatuh ke tangan Sa'yah bin Amru.

     "Berkata benarlah wahai Sa'yah bin Amru. Ke mana perginya kulit kitab Taurat ini?" tanya Ali bin Abi Talib lalu mengugut hendak memotong lidah Sa'yah sekiranya bercakap bohong.

     "Kulit kitab itu dijual bagi menampung perbelanjaan perang," jawab Sa'yah.

     Nabi Muhammad tahu lelaki itu memberi jawapan yang salah lalu menyuruh Zubair bin Awwam memaksa Sa'yah supaya bercakap benar.

     "Aku akan pukul kamu sekiranya tidak bercakap benar," ugut Zubair bin Awwam.

     "Aku sudah bercakap benar," kata Sa'yah.

     Zubair bin Awwam memukul lelaki itu bagi memaksanya bercakap benar.

     "Sekiranya engkau masih degil aku pukul dengan lebih menyakitkan," kata Zubair.

     "Baiklah aku akan bercakap benar," akhirnya Sa'yah mengalah.

     Menurut Sa'yah, dia yang mengoyakkan kulit kitab Taurat itu lalu menyimpannya di satu tempat rahsia di dalam rumahnya.

     "Tidakkah kamu tahu sesiapa yang menyembunyikan harta walau pun sedikit akan dihukum mati?" tanya Ali bin Abi Talib.

     "Jangan bunuh saya. Saya berjanji akan menunjukkan tempat di mana kulit kitab Taurat yang bertatahkan berlian itu disembunyikan," jawab Sa'yah. Kemudian Sa'yah menunjukkan di mana dia menyimpannya.

     Kemudian Nabi Muhammad menyerahkan semula kulit kitab Taurat yang bertatahkan berlian itu kepada pendeta Yahudi yang menyimpan kitab itu. Penduduk Khaibar berasa sangat gembira serta memuji kebaikan Nabi Muhammad. Sekiranya orang lain pasti harta yang bernilai tinggi itu menjadi miliknya.

     Keesokan harinya Nabi Muhammad memanggil beberapa orang kenalan rapat Huyay bin Akhtab. Baginda meminta mereka bercerita berkenaan Huyay bin Akhtab yang pernah menjadi ketua Bani Nadhir.

     Menurut ceritanya, semasa Bani Nadhir dihalau keluar dari Madinah, mereka keluar dengan membawa harta masing-masing. Huyay bin Akhtab juga turut membawa hartanya berbentuk emas, perak dan berlian yang dimuatkan ke dalam kulit kambing. Apabila sampai di Khaibar, Huyay bin Akhtab dapat menambah kekayaannya sehingga hartanya memenuhi kulit seekor keldai. Tidak lama kemudian hartanya bertambah banyak sehingga memenuhi kulit seekor unta.

     "Huyay mengumpul kekayaan dengan cepat kerana menipu kami," kata Abdullah bin Salam salah seorang Bani Nadhir. Kemudian katanya lagi, "Dia menjadi orang tengah pembelian tanah maka dia yang menguruskan penjualan serta pembeliannya. Dari situ dia mendapat keuntungan yang banyak."

     Selepas Huyay bin Akhtab, tiada siapa yang mewarisi hartanya?" tanya Ali bin Abi Talib.

     "Saya yakin harta peninggalan Huyay itu disimpan oleh menantunya Kinanah dan adiknya Al-Rabi'," kata Yazir pula.

     Nabi Muhammad memanggil Kinanah dan Al-Rabi' datang menghadap.

     "Di manakah bejana yang selalu kamu berdua pinjamkan kepada orang Mekkah?" tanya Nabi Muhammad dengan cara berkias.

     "Sudah habis kami belanjakan bagi perang dan perbelanjaan yang lain," jawab Kinanah yang faham apa yang dimaksudkan Nabi Muhammad.

     "Perang baru sahaja berlaku sedangkan harta itu begitu banyak. Sekiranya kamu berdua menyembunyikan sesuatu daripada saya, kemudian saya menjumpainya maka darah kamu dan darah anak-anak kamu halal bagi saya," kata Nabi Muhammad.

     "Saya setuju," kata Kinanah.

     "Saya juga," kata Al-Rabi' pula.

     Kinanah yang degil dan keras hati itu sengaja menempah maut kerana dalam perjanjian damai sudah dipersetujui sekiranya ada sesiapa yang cuba menyembunyikan hartanya walaupun kecil akan dihukum bunuh.

     Sebelum berlaku Perang Khandaq, Huyay telah mengahwinkan anak perempuannya bernama Safiyyah dengan Kinanah. Huyay juga menyerahkan semua hartanya bagi diuruskan Kinanah sekiranya sesuatu berlaku terhadapnya.

     Kemudian apabila Kinanah menjadi ketua Yahudi Khaibar dia juga mengambil kesempatan mengumpulkan kekayaan dengan mengenakan pelbagai cukai terhadap penduduk Khaibar.

     Menurut aduan orang ramai, sebelum mereka menyerah diri dan keluar dari benteng, Kinanah menyuruh mereka menyerahkan harta yang berharga kepadanya bagi disembunyikan di tempat rahsia. Mereka tidak tahu di mana harta itu disembunyikan oleh Kinanah.

     Nabi Muhammad menyuruh para sahabat mencari harta yang disembunyikan Kinanah tetapi tidak terjumpa. Kinanah dan Al-Rabi' pula tidak mahu membuka mulut. Akhirnya tampil beberapa orang penduduk Khaibar.

     "Kami sering melihat Kinanah berjalan-jalan di sekitar belakang benteng Al-Qamus. Mungkin di situ dia menyembunyikan hartanya. Al-Rabi' pula sering bersiar seorang diri di belakang benteng Al-Sulaim," beritahu mereka.

     Nabi Muhammad yang sering diberitahu berkenaan perkara yang ghaib dan tersembunyi akhirnya tahu di mana harta itu disembunyikan. Baginda menyuruh para sahabat pergi ke belakang benteng Al-Qamus. Menurut baginda di situ ada sebatang pokok kurma. Di sebelah kiri pokok kurma itu disembunyikan harta itu.

     Mereka pergi ke tempat yang ditunjukkan Rasulullah. Memang benar di belakang benteng Al-Qamus dan Al-Sulaim terdapat sebatang pokok kurma. Mereka menggali tanah di sebelah kiri pokok itu. Akhirnya terjumpa harta yang disembunyikan itu. Ianya berupa gelang, rantai, cincin dan perhiasan dari emas, perak dan intan berlian. Selepas semua barang itu dikumpulkan maka dipanggil Kinanah dan Al-Rabi' datang melihatnya.

     "Itu bukan harta milik aku," kata Kinanah pula yang menunjukkan sikap bongkak dan keras hatinya.

     Kemudian Nabi Muhammad memanggil Safiyyah isteri Kinanah lalu bertanyakan berkenaan harta itu. Safiyyah seorang wanita yang jujur. Dia tidak mahu menipu Nabi Muhamamd lalu membuat pengakuan semua harta itu memang kepunyaan suaminya. Safiyyah itu akhirnya menjadi isteri Nabi Muhammad.

     Selepas isterinya sendiri yang menjadi saksi harta itu milik suaminya maka Kinanah menjadi terkejut sehingga mukanya pucat kerana menyedari hukuman yang akan dijatuhkan ke atasnya. Namun dia masih keras hati tidak mahu meminta maaf kepada Rasulullah. Akhirnya Kinanah dan Al-Rabi' dihukum pancung.

     Mahammad bin Muslamah diberi tugas memancung leher Kinanah dan Al-Rabi' sebagai menuntut bela di atas kematian saudaranya Mahmud bin Muslamah yang syahid dalam Perang Khaibar itu.

     Penduduk Khaibar tidak ada yang membantah hukuman yang dijatuhkan ke atas Kinanah dan Al-Rabi' kerana mereka sedar mereka berdua yang sudah banyak menimbulkan kesusahan bukan sahaja kepada Nabi Muhammad dan pengikutnya, tetapi juga kepada penduduk Khaibar.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.