Tuesday 13 February 2018

PERANG KHANDAQ [ BAB 21 - SRIKANDI ISLAM ]






SRIKANDI ISLAM








Tindakan Kaab berpaling tadah dan menyebelahi pasukan bersekutu itu mendapat sokongan semua orang Bani Quraizah. Malah mereka menganggap itu tindakan bijak kerana menyebelahi pasukan yang mereka yakin paling kuat dan tidak dikalahkan. Mereka tidak sedar mereka sudah diperdayakan Huyay dan kawan-kawannya.

     "Kamu hendak ke mana?" tanya Kaab apabila berselisih jalan dengan sepuluh orang lelaki Yahudi Bani Quraizah.

     "Kami sudah tidak sabar mahu berperang dengan Muhammad," jawab Jasim, lelaki yang paling gagah antara sepuluh orang itu.

     "Belum boleh lagi kerana saya minta tempoh selama sepuluh hari. Selepas itu baru kita berperang dengan Muhammad dan pengikutnya," kata Kaab lalu menyuruh mereka bersabar dahulu.

     "Mengapa menunggu sehingga sepuluh hari. Mengapa tidak sekarang?" tanya Jasim lagi.

     "Kita perlukan bekalan senjata daripada Rom dan Parsi. Apabila senjata itu sampai baru kita melakukan serangan terhadap Muhammad," jawab Kaab sambil mengatakan dia sudah menghantar orangnya bagi membeli senjata yang mereka perlukan.

     "Sekiranya begitu izinkan kami ke perkampungan Bani Harithah. Di sana tempat perlindungan wanita dan kanak-kanak orang Islam. Isteri-isteri Muhammad juga turut berada di situ," kata Jasim pula mengharapkan persetujuan ketua Bani Quraizah.

     "Jangan apa-apakan mereka kelak Muhammad menghantar orangnya menyerang kita. Saya mahu tindakan kita menyokong pasukan bersekutu tidak diketahui Muhammad dan pengikutnya," kata Kaab pula.

     "Kami cuma mahu menjamu mata. Mungkin ada yang kesunyian kerana suami mereka berada di medan perang," kata Jasim sambil tertawa. Kaab juga tertawa tanda bersetuju.

     Jasim dan kawan-kawannya pergi ke perkampungan Harithah kemudian masuk ke kawasan perlindungan wanita dan kanak-kanak Islam. Kedatangan mereka disedari beberapa orang wanita yang berada di situ.

     "Sepuluh lelaki Yahudi sudah datang ke kubu perlindungan kita. Saya tidak pasti apa tujuan mereka. Kerana itu kita perlu berwaspada. Jangan memperlihatkan diri kepada mereka," kata Hindun bin Simmak, wanita yang paling tua antara mereka.

     Semua wanita dan kanak-kanak dalam kubu perlindungan itu mendiamkan diri sambil berlindung supaya tidak dilihat lelaki-lelaki Yahudi itu. Apabila mendapat tidak ada orang di sana maka sepuluh orang lelaki Yahudi itu melemparkan batu dengan harapan mereka keluar.

     "Nampaknya orang Bani Quraizah mahu mengganggu kita. Sedangkan ketika ini tidak ada seorang pun tentera Islam berkawal di sini. Kita berada dalam bahaya," kata Hindun lagi.

     "Terus bersembunyi di tempat masing-masing dan jangan menampakkan diri," kata Aisyah pula.

     "Mungkin mereka sudah berpindah dari sini. Marilah kita pulang," kata salah seorang dari mereka.

     "Kamu pulanglah dulu. Saya menyusul kemudian," kata Jasim pula.

     Selepas kawan-kawannya pergi dari situ maka Jasim masuk ke dalam kubu perlindungan itu seorang diri. Safiyah binti Abdul Mutalib, ibu saudara Nabi Muhammad berasa tidak senang hati lalu mendapatkan Hassan bin Thabit, penyair kesayangan Rasulullah SAW.

     "Wahai Hassan, pergilah bunuh lelaki Yahudi itu supaya dia tidak dapat menceroboh kami," kata Safiah kepada Hassan.

     "Semoga Allah mengampuni saya kerana tidak berdaya melakukannya," kata Hassan yang ketika itu dalam keadaan lemah kerana sakit.

     Safiah terpaksa bertindak sendirian bagi menyelamatkan kaum wanita dalam benteng itu. Dia mengambil sebatang besi lalu mendapatkan lelaki Yahudi itu. Sebelum lelaki itu sempat bertindak, Safiah memukul kepala lawannya dengan batang besi itu sehingga jatuh tersungkur dan mati di situ juga. Kemudian Safiah kembali mendapatkan Hassan.

     "Saya sudah bunuh lelaki yang menceroboh itu. Pergilah tanggalkan pakaiannya kerana saya memerlukannya. Saya tidak boleh menanggalkannya kerana dia seorang lelaki," kata Safiah.

     Hassan bin Thabit tidak sanggup melakukannya lalu berkata, "Saya tidak mampu berdikari, bagaimana hendak melakukannya."

     Safiah pergi mendapatkan lelaki Yahudi yang sudah mati itu lalu menanggalkan pakaiannya. Kemudian pakaian itu dipakainya supaya kelihatan seperti orang lelaki. Selepas itu dia mendapatkan Hassan bin Thabit semula.

     "Kawan-kawan, lelaki Yahudi itu sedang mencari kawannya. Kita perlu lakukan sesuatu bagi menakutkan mereka supaya pergi dari sini," kata Safiah.

     "Bagaimana kita mahu melakukannya?" tanya Hassan bin Thabit pula.

     "Kamu pergi penggal leher lelaki Yahudi itu. Kemudian campakkan kepada kawan-kawannya. Saya pula akan berada di belakang kamu bagi menghadapi sebarang kemungkinan," jawab Safiah.

     "Saya tidak dapat melakukannya kerana saya sedang sakit," kata Hassan bin Thabit.

     Safiah yang sudah berpakaian seperti lelaki mengambil sebilah pedang lalu memenggal mayat lelaki itu. Kemudian diambilnya kepala lalu dilemparkan kepada kawan-kawannya. Sembilan orang kawan Jasim terkejut apabila melihat kepala kawan mereka.

     "Bukankah sudah kukatan, Muhammad pasti menyuruh pengikutnya menjaga benteng ini. Lihat lelaki itu yang membunuh Jasim," kata salah seorang daripada sembilan lelaki Yahudi itu.

     Safiah pula bertindak lebih berani lalu mengejar mereka sambil menghunus pedang. Kerana menyangka Safiah salah seorang pahlawan Islam yang bertugas menjaga benteng itu maka mereka berasa takut lalu melarikan diri.

     Tidak lama kemudian Az-Zubair bin Al-Awwam datang ke situ seorang diri sambil menunggang kuda. Tujuannya bagi memastikan tempat itu dalam keadaan selamat kerana di dalamnya ada isteri Nabi Muhammad dan keluarganya juga. Abdullah bin Az-Zubair, anak Az-Zubair bin Awwam segera mendapatkan bapanya lalu menceritakan apa yang terjadi. Selepas memastikan kesahihannya, maka Az-Zubair segera memecut kudanya meninggalkan tempat itu bagi melaporkannya kepada Nabi Muhammad.

     Pada masa yang sama Zaid bin San'ah, ketua Yahudi Bani San'ah juga sedang dalam perjalanan bertemu dengan Nabi Muhammad. Apabila dia melintas tempat perlindungan kaum wanita dan kanak-kanak Islam maka Safiah menghadangnya kerana menyangka lelaki itu berniat jahat.

     "Saya mahu menemui Nabi Muhammad kerana ada perkara penting yang hendak saya laporkan. Kerana itu jangan halang perjalanan saya," kata Zaid.

     Mendengar kata-kata itu Safiah tidak jadi membunuhnya lalu melepaskan Zaid meneruskan perjalanannya. Kemudian Safiah kembali berkawal di situ.

     Az-Zubair bin Al-Awwam segera melaporkan kejadian itu kepada Nabi Muhammad. Tidak lama kemudian sampai pula Zaid bin San'ah.

     "Wahai Rasulullah, Bani Quraizah sudah mengkhianati kamu. Kerana itu berhati-hatilah," bisik Zaid kerana tidak mahu didengar orang lain.

     Menurut Zaid, Kaab ketua Bani Quraizah memujuknya supaya membatalkan perjanjian dengan Nabi Muhammad dan menyertai pasukan bersekutu. Dia tidak setuju lalu melaporkannya kepada Rasulullah. Bagi mengesahkan perkara itu, Nabi Muhammad menghantar empat orang sahabat terdiri daripada orang Ansar. Mereka adalah Saad bin Muaz, Saad bin Ubadah, Abdullah bin Rawahah dan Khuwwat bin Jubair, menemui Kaab, ketua Bani Quraizah.

     Saad bin Muaz walaupun kecederaan di tangannya masih parah, namun tugas yang diberikan Rasulullah itu tidak dihampakannya. Dia bersama kawan-kawannya pergi menemui Kaab.

     "Pergilah kamu kepada mereka sehingga kamu melihat sendiri apakah benar berita yang sampai kepada kita itu, ataupun sekadar gempar-gempur sahaja. Sekiranya berita itu benar, sampaikan kepada saya dengan cara sindiran yang dapat saya memahaminya. Dan janganlah kamu melemahkan semangat orang ramai. Dan sekiranya mereka itu tetap setia dengan kita maka hebahkanlah kepada orang ramai," pesan Nabi Muhammad kepada empat orang utusan itu.

     Saad bin Muaz bersama tiga lagi kawannya menemui Kaab bin Asad ketua Bani Quraizah. Kedatangan mereka disambut dengan baik oleh Kaab kerana ingin memujuk mereka menyertai pasukan bersekutu.

     "Kami mahukan kepastian apakah benar kamu sudah membatalkan perjanjian dengan Nabi Muhammad lalu menyertai pasukan bersekutu?" tanya Saad bin Muaz.

     "Siapa Muhammad yang kamu katakan utusan Allah itu? Kami tidak pernah mengadakan apa-apa perjanjian dengannnya," kata Kaab dengan berlagak sombong.

     "Ingatlah wahai Kaab, bahawa pengkhianatan yang kamu lakukan ini akan membawa kecelakaan pada diri kamu dan Bani Quraizah. Apakah kamu mahu menerima nasib seperti Bani Qainuqa' dan Bani Nadhir?" marah Saad bin Muaz.

     "Kali ini giliran Muhammad dan pengikutnya akan diusir dari Madinah. Kerana itu lebih baik kamu menyertai kami pasukan bersekutu. Tahukah kamu seluruh kabilah Arab dan Yahudi di sekitar Madinah sudah bersatu bagi menghancurkan Muhammad? Mereka tidak akan pulang selagi Muhammad belum dikalahkan. Satu-satunya jalan selamat bagi kamu adalah menyertai kami," kata Kaab pula.

     Saad bin Muaz memarahi Kaab lalu berlaku pertengkaran antara keduanya. Seorang membela Nabi Muhammad dan seorang lagi mencacinya.

     "Janganlah bertengkar lagi kerana kita ada urusan yang lebih penting yang perlu kita selesaikan segera," kata Saad bin Ubadah sambil mengingatkan mereka perlu melaporkannya kepada Rasulullah.

     Saad bin Muaz dan kawan-kawannya segera meninggalkan perkampungan Bani Quraizah lalu menemui Nabi Muhammad. Saad memberitahu Rasulullah dengan bahasa isyarat sebagaimana yang diajar kepadanya.

     "Al-Adhal dan Al-Qarrah, kata Saad apabila mengadap Rasulullah.

     Maka fahamlah baginda Bani Quraizah sudah berlaku khianat seperti mana yang pernah dilakukan Bani Al-Adhal dan Bani Al-Qarrah dalam peristiwa Air mata Raji'.

     Sejak itu Nabi Muhammad mengarahkan pasukan pengawas berkawal di benteng Bani Harithah bagi memastikan mereka dalam keadaan selamat.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.











No comments:

Post a Comment