Friday 16 February 2018

PERANG KHANDAQ [ BAB 25 - LARI BERTEMPIARAN ]






LARI BERTEMPIARAN









Malam Keenam Belas

Abu Sufian, Safwan, Tulaihah, Khalid dan beberapa orang kawan mereka sedang duduk mengelilingi unggun api yang sedang marak menyala. Mereka mendekatkan kedua-dua tapak tangan kepada unggun api itu supaya panas kemudian menyapukan ke perut masing-masing. Cuaca sejuk yang teramat sangat membuat mereka tidak dapat tidur. Kesempatan itu mereka gunakan bagi merancang strategi serangan yang akan dilakukan pada keesokan harinya.

     "Esok sebelum matahari terbit orang Bani Quraizah akan menyerang Muhammad dan pengikutnya dari belakang. Dan kita menyeberangi parit secara beramai-ramai. Selepas itu segalanya berjalan dengan mudah kerana Muhammad dan pengikutnya sudah dihancurkan dan kota Madinah ditawan," kata Safwan dengan nada suara yang bangga.

     "Unta-unta sudah dikumpulkan di tepi parit. Esok kita akan menyembelihnya kemudian dijadikan jambatan menyeberang parit," kata Khalid Al-Walid pula, ketua pasukan berkuda Quraisy.

     "Sepatutnya pada hari pertama lagi kita sudah melakukannya. Mengapa sekarang baru kamu mencadangkan?" tanya Abu Sufian pula.

     "Kerana pada malam ini baru fikiran seperti itu datang kepadaku," jawab Khalid Al-Walid pula sambil tersenyum kerana berjaya memperdayakan ketuanya.

     Sebenarnya pada hari pertama lagi Khalid Al-Walid sudah terfikirkan perkara itu. Mereka dapat menyembelih unta-unta kemudian bangkainya disusun ke dalam parit dijadikan jambatan bagi menyeberang ke seberang parit. Tetapi entah mengapa dia berat hati setiap kali hendak menyuarakannya kepada Abu Sufian. Hanya pada malam itu, selepas semua ikhtiar tidak mendatangkan hasil, dia menyuarakan cadangan itu. Abu Sufian bersetuju menerimanya.

     Mengikut perancangan mereka, seratus ekor unta akan dikorbankan pada waktu dinihari. Kemudian bangkai unta itu disusun ke dalam tiga kawasan parit bagi membolehkan tiga pasukan bersekutu menyeberanginya serentak. Gerakan itu akan dilakukan pada waktu dinihari supaya tidak disedari Muhammad dan pengikutnya. Menjelang terbit matahari mereka menjangka Nabi Muhammad dan semua pengikutnya sudah dibunuh dan Kota Madinah ditawan.

     Sedang mereka asyik berbual dan merancang serangan yang akan dilakukan pada keesokan harinya, tiba-tiba kedengaran bunyi seperti ribut kencang yang datangnya menderu-deru diikuti bunyi derapan tapak kaki kuda dan gemerincing mata pedang.

     "Muhammad menyerang kita. Bangun semua dan balas serangan mereka," teriak Abu Sufian yang menyangka bunyi yang didengarnya itu serangan daripada pasukan Muslimin.

     "Wahai pahlawan berkuda Quraisy. Bangun segera. Tenagamu diperlukan sekarang!" teriak Khalid pula.

     Tentera Quraisy yang sedang tidur segera dikejutkan. Suasana menjadi semakin bising dan kelam kabut apabila tentera yang baru terjaga itu berebut-rebut mengenakan pakaian perang serta mencapai senjata masing-masing. Kemudian mereka keluar dari khemah lalu bersiap sedia dengan senjata masing-masing.

     Deruan angin bunyinya semakin kuat. Derapan tapak kaki kuda juga semakin kencang. Gemercingan mata pedang semakin kuat. Tentera pasukan bersekutu menjadi cemas dan ketakutan. Tambahan pula cuaca di sekeliling gelap gelita. Mereka tidak tahu muush datang dari arah mana, dan bagaimanakah cara menghadapinya.

     Tiba-tiba ribut kencang melanda kawasan perkhemahan tentera bersekutu. Pasir dan batu berterbangan, tiang-tiang khemah tercabut dan tunggang langgang. Segala periuk belanga mereka tidak tahu terpelanting entah ke mana. Kuda-kuda dan unta-unta pula menjerit ketakutan dan berlari ke sana ke sini mencari tempat perlindungan. Ada yang mati dan ada yang lari entah ke mana. Cuaca pula semakin sejuk. Unggun api terpadam ditimpa hujan lebat. Lebih menggerunkan apabila kedengaran laungan Allahu Akbar.

     "Suara siapakah itu?" tanya Safwan cemas.

     "Saya tidak tahu tetapi bukan suara Muhammad ataupun pengikutnya," balas Abu Sufian.

     "Suara itu datang dari langit. Bukan dari arah pasukan Muhammad," kata Thulaihah pula. Dia turut berasa cemas.

     Tentera bersekutu berasa sangat takut. Tambahan pula keadaan gelap gelita. Khemah mereka sudah berterbangan dibawa ribut kencang. Kini mereka tidak ada lagi tempat berlindung. Hujan turun semakin lebat diikuti kilat dan dentuman petir.

     Anehnya ribut taufan dan hujan lebat itu hanya berlaku di kawasan luar parit kawasan pasukan tentera bersekutu sahaja tidak sampai ke kawasan pasukan Islam. Sedangkan jarak mereka cuma dipisahkan oleh parit. Malah Nabi Muhammad dan pengikutnya dapat mendengar bunyi ribut dan pekikan serta lolongan pasukan bersekutu.

     "Wahai kaum Quraisy, Muhammad telah menimpakan kejahatan terhadap kita. Maka selamatkanlah diri. Segera selamatkan diri kamu," teriak Tulaihah bin Khuwailid Al-Asadi pemimpin Bani Asad.

     Abu Sufian juga berasa cemas lalu mengeluarkan arahan kepada pasukan Quraisy.

     "Wahai kaum Quraisy, sesungguhnya kamu sekarang sudah tidak dapat bertahan. Khemah kita sudah berterbangan. Periuk dan kuali hilang entah ke mana. Unta dan kambing kita juga sudah habis binasa. Kaum Yahudi Bani Quraizah sudah mengingkari janji mereka. Oleh itu pulanglah kamu ke Mekah."

     Mendengar perintah Abu Sufian itu maka tentera Quraisy berundur dengan segera dari tempat itu. Abu Sufian juga mahu menyelamatkan dirinya. Dia segera mengekang tali untanya. Tetapi diherdik oleh Safwan.

     "Engkau adalah pemimpin tertinggi kaum Quraisy. Tidak sepatutnya melarikan diri terlebih dahulu. Biarlah orang di bawah kamu pergi dahulu," herdik Safwan.

     Abu Sufian berasa malu. Dia terpaksa menunggu semua tenteranya pergi barulah dia melarikan diri dari situ. Selepas semuanya pergi barulah Abu Sufian, Safwan dan Khalid Al-Walid meninggalkan tempat itu dan terus menuju ke Mekah.

     Selepas tentera bersekutu meninggalkan tempat itu maka ribut taufan itu berhenti dengan tiba-tiba. Tidak kedengaran lagi bunyi tapak kaki kuda dan gemercingan mata pedang. Pekikan Allahu Akbar juga tidak kedengaran lagi.

     "Keadaan di kawasan musuh sudah sunyi sepi. Apakah yang terjadi?" tanya Ubaidillah.

     "Allah sudah mendatangkan bantuan bagi menolong kita. Mereka terdiri dari para malaikat," jawab Abu Bakar As-Siddiq.

     Menurutnya lagi, bunyi tapak kaki kuda, gemercing mata pedang dan laungan Allahu Akbar itu datangnya daripada malaikat.

     "Selepas tahun ini angkatan Quraisy tidak akan datang lagi memerangi kamu. Bahkan kamulah yang akan pergi memerangi mereka," kata Nabi Muhammad.

     Keesokan harinya Nabi Muhammad dan semua pasukan Muslimin pergi ke tempat musuh. Ternyata pasukan musuh tidak berada lagi di situ. Yang kelihatan cuma tiang-tiang khemah yang bertaburan, periuk belanga yang bersepah dan barang-barang yang tidak sempat dibawa pergi.

     Mereka juga terjumpa dua puluh ekor unta yang sarat membawa makanan. Nabi Muhammad menyuruh makanan itu dimasak dan sembilan belas ekor dari unta itu disembelih. Mereka akan mengadakan kenduri sebagai tanda kesyukuran dan kegembiraan di atas kemenangan itu dan semua penduduk Madinah dijemput datang.

     Suasana di khandaq bertukar menjadi meriah apabila orang ramai datang bagi meraikan kemenangan itu. Mereka bergotong-royong memasak makanan kemudian sama-sama menjamu selera. Umat Islam bertakbir dan bertahmid penuh kesyukuran. Kenduri meraikan kemenangan itu berlangsung sehingga waktu zuhur. Selepas selesai sembahyang zuhur baru mereka meninggalkan kawasan itu lalu berarak masuk ke dalam kota Madinah.

     Perang Khandaq berlangsung selama lima belas hari sahaja. Tentera Islam yang syahid seramai enam orang. Mereka adalah:

     1. Saad bin Muaz

     2. Anas bin Aus bin Atiq

     3. Abdullah bin Sahal

     4. Tha'labah bin Ghanamah

     5. At-Tufail bin An-Nu'man

     6. Kaab bin Zaid

     Dipihak tentera musuh pula tiga orang yang terbunuh. Mereka adalah:

     1. Amru bin Abdu Wud

     2. Munabbah bin Ubaid

     3. An-Naufal bin Abdullah Al-Makhzumi









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment