Sunday 18 February 2018

PERANG KHAIBAR [ BAB 1 - KOTA KHAIBAR ]






KOTA KHAIBAR









Syawal Tahun Kelima Hijrah

Pada malam keenam belas tentera Ahzab mengepung Kota Madinah, tiba-tiba berlaku angin ribut kencang melanda kawasan perkhemahan mereka. Kejadian yang datang secara tiba-tiba itu menyebabkan mereka berasa panik dan ketakutan apabila tiang-tiang khemah tercabut, periuk belanga terpelanting, unta dan kambing ketakutan lalu bertempiaran lari entah ke mana. Dalam suasana yang kelam kabut itu tentera Quraisy yang melarikan diri, diikuti pasukan tentera dari Kabilah Ghatafan. Kemudian kabilah-kabilah Yahudi yang turut lari meninggalkan medan perang.

     Huyay bin Akhtab ketua Bani Nadhir dan pembantunya Sallam bin Misykam juga turut lari menyelamatkan diri. Huyay menyuruh Sallam terus pulang ke Khaibar tetapi dia sendiri menuju ke perkampungan Bani Quraizah.

     "Mengapa tidak mahu pulang ke Khaibar? Bukankah di sana tempat tinggal kita?" tanya Sallam dengan rasa hairan.

     "Saya mahu bersama Bani Quraizah kerana saya sudah berjanji tidak akan meninggalkan mereka sekiranya kita kalah," jawab Huyay. Semangatnya masih berkobar mahu berperang tetapi apakan daya kerana yang lain sudah melarikan diri.

     "Muhammad akan mencari kamu, kemudian menangkap kamu dan akhirnya membunuh kamu," kata Sallam pula yang berkeras mengajak Huyay pulang ke Khaibar.

     "Saya yakin selepas ini Muhammad akan menyerang Bani Quraizah. Kerana itu saya akan tinggal bersama mereka bagi membantu mereka mempertahankan benteng Quraizah. Kamu pulang ke Khaibar, pujuk Uzair bin Rizam datang membantu Bani Quraizah. Sekali gus menyelamatkan saya," pesan Huyay kepada Sallam.

     "Baiklah, saya akan datang bersama angkata Perang Khaibar," janji Sallam bin Misykam.

     Apabila sampai di Khaibar, Sallam terus menemui Uzair, ketua Yahudi Khaibar lalu menceritakan apa yang berlaku kepada tentera Ahzab.

     "Kami dikalahkan ribut yang sangat kencang, bukan oleh Muhammad dan pengikutnya," beritahu Sallam. Dia juga menyalahkan pasukan Quraisy yang lebih awal melarikan diri dari medan perang.

     "Petanda Tuhan tidak merestui tindakan kamu," kata Uzair pula yang sejak dari mula memang keberatan menyertai tentera Ahzab. Tetapi atas semangat setia kawan, orang Khaibar sanggup memberikan setahun hasil buah kurma mereka kepada kabilah yang menyertai tentera Ahzab.

     "Saya yakin itu hanya berlaku secara kebetulan. Bukan kerana kemurkaan Tuhan," bantah Sallam pula. Kemudian katanya lagi, "Saya membawa pesanan daripada Huyay meminta Khaibar membantu mempertahankan perkampungan Bani Quraizah apabila diserang Muhammad dan pengikutnya," kata Sallam menyampaikan pesanan Huyay.

     "Benarkah Muhammad akan menyerang Bani Quraizah?" tanya Uzair meminta kepastian.

     "Mengikut perkiraan Huyay, Muhammad dan pengikutnya akan menyerang Bani Quraizah kerana membantu tentera Ahzab. Sekiranya dibiarkan, Bani Quraizah akan menerima nasib seperti Bani Qainuqa' dan Bani Nadhir yang dihalau keluar dari Yathrib. Sekiranya itu berlaku maka Muhammad akan berkuasa penuh di sana. Kerana itu kita perlu membantu Bani Quraizah menentang Muhammad. Saya akan memimpin pasukan Bani Nadhir dan kamu memimpin pasukan Khaibar," jawab Sallam. Tetapi Uzair tidak setuju dengan permintaan itu.

     "Kami tidak ada kepentingan dengan Bani Quraizah. Kerana itu kami tidak akan membantu mereka sekiranya mereka diserang pasukan Islam. Biarlah mereka yang menentukan nasib mereka sendiri. Lebih baik kami membuat persediaan mempertahankan benteng Khaibar apabila diserang Muhammad," kata Uzair pula.

     "Bukankah Bani Quraizah itu kaum Yahudi? Satu bangsa dan satu agama dengan kita? Mereka wajib dibantu apabila diserang musuh," marah Sallam Misykam.

     "Bani Nadhir sahajalah yang pergi membantu Bani Quraizah. Bukankah kamu menjalin hubungan baik dengan mereka sejak dahulu? Jangan paksa kami ikut kehendak kamu. Ataupun kamu pergi sahaja dari sini," ugutan itu membuat Sallam tidak berani lagi bersuara.

     Kerana itu apabila Bani Quraizah dikepung pasukan Islam, orang Khaibar tidak memberikan bantuan. Mereka bimbang diserang pula oleh Nabi Muhammad. Bani Nadhir juga tidak berani memberikan bantuan. Akhirnya Bani Quraizah berjaya dikalahkan.

     Setahun kemudian (7 Hijrah)

     Sallam bin Misykam merenung dari jauh Kota Khaibar yang besar dan kukuh itu. Sudah setahun dia berada di Khaibar, namun dia masih belum dibenarkan masuk ke dalam benteng yang menjadi kebanggaan Yahudi Khaibar. Teringin sangat dia hendak memasukinya bagi melihat kehebatan benteng itu dari dalam. Tambahan pula apabila orang Khaibar menamakan Kota Khaibar itu 'Syurga Abadi' kerana mereka berasa selamat apabila berada di dalamnya.

     Selepas ketiadaan Huyay bin Akhtab akibat dijatuhi hukuman pancung bersama lelaki Bani Quraizah maka Salam bin Misykam dilantik menjadi ketua Bani Nadhir. Pelantikannya dipersetujui sebulat suara. Dia menerimanya dengan gembira kerana sudah lama bercita-cita menjadi ketua. Tindakan pertama yang dilakukan Sallam adalah memperkuatkan pasukan perang Bani Nadhir. Mereka perlu membuat persediaan bagi berhadapan dengan pasukan Muslimin dari Madinah. Musuh utama Bani Nadhir adalah Nabi Muhammad kerana menghalau mereka keluar dari Kota Madinah.

     Masih terbayang di mata Sallam bagaimana mewahnya kehidupan Bani Nadhir ketika berada di Madinah. Mereka menguasai pasar Qainuqa' selepas Bani Qainuqa' dihalau keluar. Nadhir menguasai ekonomi Madinah, memiliki ladang kurma yang luas dan mendiami rumah yang besar dan cantik. Mereka kaya raya dan senang lenang. Tetapi selepas keluar dari Madinah dan menumpang hidup di Khaibar, kehidupan Bani Nadhir melarat. Segala kekayaan dan kemewahan hidup yang mereka nikmati hilang sekelip mata. Kerana itu mereka menaruh dendam kepada Nabi Muhammad. Impian mereka mahu kembali semula ke Madinah.

     Apabila mendapat tahu Bani Quraizah sudah dikalahkan dan kaum lelaki dihukum pancung maka Sallam berasa sangat dukacita. Bahkan semua orang Bani Nadhir berkabung atas kematian ketua mereka Huyay bin Akhtab. Bertambah marak menyala api dendam mereka kepada Nabi Muhammad dan pengikutnya. Mereka bercadang mahu membalas dendam.

     "Kita akan menuntut bela apabila tiba masanya," janji Sallam bin Misykam kepada orang Bani Nadhir.

     Namun dia sedar Bani Nadhir tidak mampu bersendirian menentang pasukan Muslimin di Madinah. Dia perlu mendapatkan bantuan daripada orang Khaibar. Kerana itu Sallam berusaha mendekati ketua Yahudi Khaibar. Langkah pertama yang dilakukan Sallam adalah dengan memberi pelbagai hadiah yang berharga sehingga akhirnya Uzair berasa sayang kepada Sallam.

     "Alangkah benarnya kata tuan yang Muhammad tidak berani menyerang Khaibar. Selepas berlaku Perang Khandaq, Muhammad hanya berdiam diri di Yathrib. Dia tidak berani datang ke Khaibar," kata Sallam lalu memuji Uzair ketua Yahudi Khaibar.

     "Sesiapa yang berani menyerang Khaibar ibarat menggali kubur mereka sendiri. Tidak ada musuh kami yang dapat menakluk Khaibar sehingga hari kiamat," kata Uzair dengan begitu angkuh.

     "Saya pun yakin begitu. Tambahan pula apabila Khaibar dipimpin oleh ketua yang begitu hebat dan bijak seperti tuan. Tuan lebih hebat daripada Huyay dan Abu Sufian di Mekah," puji Sallam dalam usaha menarik perhatian ketua Yahudi Khaibar itu.

     Uzair gembira mendengar puji-pujian daripada Sallam itu sehingga dia lupa diri. Lalu menawarkan sesuatu yang belum pernah ditawarkannya kepada orang lain.

     "Mahukah kamu saya tunjukkan sesuatu yang belum pernah dilihat orang lain? Kamu pasti terpegun apabila melihat betapa hebatnya benteng Khaibar," kata Uzair dengan rasa gembira seolah-olah tidak sabar lagi hendak menunjukkannya kepada Sallam.

     "Apakah tuan sudi membawa saya masuk ke dalam benteng Khaibar? Sekiranya benar, alangkah beruntungnya saya," kata Sallam pula yang juga turut berasa gembira.

     "Saya akan bawa kamu melihat seluruh bahagian dalam benteng Khaibar. Kamu pasti terpegun melihatnya," kata Uzair pula.

     Sallam berasa sangat gembira kerana sudah lama dia mahu melihatnya. Kini baru tercapai hajatnya. Uzair dan Salam berjalan masuk ke Benteng Khaibar melalui pintu utama yang dikawal ketat.

     "Pintu utama ini sangat berat dan ia hanya mampu diangkat sepuluh orang lelaki," kata Uzair sambil menunjuk ke arah pintu utama Benteng Khaibar.

     Pintu itu diperbuat dari batu yang dipahat, keadaannya sangat tebal dan pejal. Tidak dapat dibakar api dan tidak dapat dipecahkan dengan senjata apapun. Bagi menutup dan membuka pintu itu, ia memerlukan sepuluh orang lelaki.

     "Apabila melewati pintu ini kita mesti mengingati Khaibar," kata Uzair ketika keduanya melangkah masuk melalui pintu utama itu.

     "Khaibar yang agung?" tanya Sallam pula.

     "Khaibar dan Yathrib lambang kemegahan bangsa Yahudi," jawab Uzair.

     Kemudian dia menceritakan semula kisah dua beradik yang bernama Khaibar dan Yathrib. Kedua-duanya adalah orang Yahudi terawal datang ke Madinah. Seorang menetap di suatu tempat (Madinah) dan seorang menetap lagi di bahagian utara Madinah (Khaibar). Lalu dinamakan tempat itu Khaibar dan Yathrib sempena nama mereka berdua. Sejak itu semakin ramai orang Yahudi mendiami kawasan itu.

     "Kota Khaibar ini besar dan luas sehingga dapat didiami sepuluh ribu manusia. Ia meliputi kawasan berbukit dan kawasan pamah yang sangat luas. Nenek moyang kami dahulu mengambil masa selama sepuluh tahun bagi membinanya," kata Uzair sambil memberi penerangan berkenaan asal usul Kota Khaibar.

     Menurut Uzair, apabila tentera Rom menakluk Palestin, orang Yahudi dihalau keluar dari negeri itu. Mereka berhijrah ke Yathrib, Hijaz dan Yaman. Bagi menyelamatkan diri mereka dari buruan tentera Rom, orang Yahudi di Khaibar membina sebuah benteng yang besar dan kukuh lalu dinamakan Kota Khaibar atau Benteng Khaibar.

     "Di kawasan berbukit kami gunakan sebagai kubu pertahanan dan penempatan tentera dan orang awam. Di kawasan pamah kami gunakan bagi bercucuk tanam dan saliran air. Kerana itu sekiranya kami dikepung walau sepuluh tahun kami masih dapat hidup kerana mendapat cukup makanan dan air," kata Uzair.

     Di kawasan pamah itu terdapat ladang gandum, ladang kurma dan buah-buahan. Di situ juga terdapat ladang ternakan kambing dan unta. Kerana itu sekiranya benteng itu dikepung mereka masih mampu mendapatkan bekalan gandum, buah-buahan dan daging. Di situ juga terdapat sungai dan saliran air bagi mengairi ladang pertanian mereka.

     "Benarlah kata tuan, sekiranya benteng ini dikepung dari luar selama sepuluh tahun pun penduduk di dalamnya masih dapat hidup dengan selesa kerana di sini ada semua kemudahan dan keperluan." Sallam memberi puji-pujian yang agak berlebihan bagi menggembirakan hati Uzair.

     Kemudian Uzair membawa Sallam berjalan di sekitar kawasan pertanian itu. Kelihatan pohon kurma yang subur mengeluarkan hasil yang banyak. Begitu juga dengan pohon buah-buahan. Ladang gandum juga mengeluarkan hasil yang banyak.

     "Saya sangat kagum dan terpegun melihatnya," puji Sallam kerana belum pernah seumur hidupnya melihat kawasan pertanian yang begitu subur dan banyak hasilnya.

     Kemudian Sallam di bawa melawat kawasan berbukit. Di situ kelihatan kubu-kubu pertahanan yang kukuh.

     "Di dalam Kota Khaibar ini terdapat lapan kubu atau benteng yang sangat kukuh. Semuanya dibina di kawasan berbukit. Nenek moyang kami dahulu memang bijak, mereka yang membinanya bagi keselamatan anak cucu mereka," kata Uzair lagi lalu menunjukkan ke arah kubu-kubu itu.

     "Dinding kubu-kubu ini diperbuat daripada batu pejal yang tidak dimakan api. Bagaimana mereka membawa batu itu ke sini dan menyusunnya?" tanya Sallam dengan rasa kagum.

     "Nenek moyang kami dahulu bijak dan kuat. Mereka membina 'Syurga Abadi' ini bagi kami kami diami. Kerana itu kami berasa selamat apabila berada di dalamnya," jawab Uzair.

     Dari lapan buah kubu di kawasan berbukit itu terdapat tiga buah medan. Pertama dinamakan Na'im dijadikan tempat menyimpan makanan, kedua dinamakan Sa'ab tempat menyimpan senjata dan ketiga Al-Qullah tempat menyimpan air.

     "Air dari gunung kami gunakan sebagai minuman dan kegunaan harian. Air di kawasan lembah digunakan bagi pertanian," beritahu Uzair.

     Kemudian Sallam dibawa melawat dua buah kubu yang dikawal ketat pasukan tentera Khaibar.

     "Di kubu-kubu ini terdapat senjata pemusnah. Senjata ini dapat membunuh musuh dari jarak jauh," kata Uzair lalu membawa Sallam ke kubu itu. Kubu pertama dinamakan Al-Ubaiyu dan kedua Al-Baryu.

     Kedua-dua kubu itu terletak di tempat yang paling tinggi. Terdapat juga tiga buah menara. Di puncak menara itu kelihatan tiga buah senjata pemusnah yang dimaksudkan oleh Uzair. Ia dipanggil manjaniq. Pelantik besar yang dapat melontar batu dan api ke arah musuh yang cuba menghampiri benteng Khaibar.

     "Pernahkah senjata pemusnah ini digunakan?" tanya Sallam pula.

     "Kami cuma gunakan semasa latihan tetapi belum pernah digunakan menentang musuh yang berani menyerang kami," jawab Uzair sambil tertawa.

     "Saya yakin senjata ampuh ini dapat memusnahkan Muhammad dan pengikutnya sekiranya mereka berani menyerang," kata Sallam pula sambil memuji kelebihan senjata itu.

     "Kami juga tidak sabar menggunakannya tetapi saya yakin Muhammad tidak berani datang ke sini," kata Uzair pula.

     "Tiga kubu di bahagia tengah itu untuk apa?" tanya Sallam sambil menunjuk ke arah tiga kubu yang terletak di tengah.

     "Di sana dinamakan kubu Al-Qamus, Al-Watih dan As-Sulalim. Di sana kami tempatkan kaum wanita dan kanak-kanak. Tempat berehat dan tempat kediaman. Kubu yang paling kuat adalah Al-Qamus," jawab Uzair lalu membawa Sallam melawat kubu-kubu itu.

     "Sewajarnya Kota Khaibar dinamakan Syurga Abadi. Inilah kota yang paling teguh dan kukuh dalam dunia," puji Sallam dengan rasa yang sangat kagum.

     "Bani Nadhir juga mampu membina kota yang besar dan kukuh seperti ini. Ia sesuai dinamakan Kota Bani Nadhir. Kami akan tunjukkan kawasan yang sesuai bagi membina kota itu," kata Uzair mencadangkan.

     Lalu dibawanya Sallam ke satu kawasan yang terletak agak jauh dari Kota Khaibar. Tetapi Sallam tidak tertarik dengan tempat itu.

     "Bagi membina sebuah kota mengambil masa yang lama. Mungkin bertahun-tahun ataupun berpuluh tahun. Kerana itu kami tidak bercadang membuat kota. Sekiranya ada belas kasihan tuan, benarkan sahaja kami tinggal di dalam Kota Khaibar. Apabila diserang musuh kami bersedia sama-sama mempertahankannya," kata Sallam lalu merayu supaya Bani Nadhir dibenarkan menumpang dalam Kota Khaibar.

     "Dalam dunia ini tidak ada yang diberi percuma. Sekiranya kamu mahu menumpang, boleh sahaja dengan syarat membayar pajakannya," kata Uzair berterus terang.

     "Kami sedia membayar berapa sahaja yang tuan minta asalkan dibenarkan tinggal di dalam Kota Khaibar. Pada sebelah malam sahaja kami berada di dalam kota. Pada sebelah siang kami keluar bekerja dengan berniaga ataupun bercucuk tanam di tanah kepunyaan kami," kata Sallam lalu memberi pengakuan akan taat setia kepada Uzair.

     Sejak itu Bani Nadhir dibenarkan mendiami Kota Khaibar. Tetapi mereka dikenakan bayaran pajakan yang tinggi. Hasil pertanian mereka juga dikenakan cukai. Ini menyebabkan orang Bani Nadhir berasa marah dan menunggu masa sahaja mahu memberontak.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment