Friday 9 February 2018

PERANG KHANDAQ [ BAB 16 - MAHU MEMBALAS DENDAM ]






MAHU MEMBALAS DENDAM








Pagi itu suasana di Masjidil Haram riuh rendah dengan suara orang ramai. Mereka datang bukan bagi bertawaf tetapi menyaksikan keberangkatan angkatan perang Quraisy yang akan bergabung dengan angkatan perang bersekutu bagi menyerang Madinah. Mereka yakin kali ini Nabi Muhammad dan pengikutnya dapat dikalahkan dan Kota Madinah jatuh ke tangan pasukan bersekutu.

     Abu Sufian berjaya memujuk Bani Kinanah, Bani Tihamah dan orang Habsyi supaya menyertai pasukan Quraisy. Maka terbentuklah sebuah angkatan perang Quraisy yang besar melebihi jumlah Perang Badar dan Perang Uhud. Ramai yang percaya kali ini mereka mampu mengalahkan Nabi Muhammad dengan mudah. Tambahan pula pasukan bersekutu disertai hampir semua kabilah Yahudi dan Arab.

     Tidak lama kemudian Abu Sufian muncul dengan memakai pakaian perang berwarna hitam menunggang kuda juga berwarna hitam lengkap dengan senjata. Dia diberikan tanggungjawab sekali lagi bagi memimpin angkatan perang Quraisy. Kali ini dia bertekad memerangi Muhammad habis-habisan dan pulang dengan membawa kejayaan yang gemilang. Dia berasa begitu yakin kerana berjaya membentuk pasukan perang berjumlah lima ribu lapan ratus orang terdiri daripada empat ribu pasukan penggempur, seribu lima ratus penunggang unta dan tiga ratus pasukan berkuda. Pasukan Quraisy kali ini disertai pahlawan Quraisy yang tidak terkalahkan. Mereka adalah Khalid Al-Walid, Ikramah bin Abu Jahal, Amru Al-Ash dan Amru bin Abu Wudd. Bendera pasukan diserahkan kepada Usman bin Thalha dan Abu Sufian sendiri menjadi ketuanya.

     Ketua Bani Kinanah, Bani Tihamah dan orang Habsyi bersetuju menyerahkan pasukan mereka di bawah pimpinan Abu Sufian bin Harb. Kali ini mereka dijanjikan upah yang lebih lumayan daripada Perang Uhud dahulu. Mereka berperang kerana wang. Itu keyataannya. Namun penduduk Mekah tidak menghiraukannya asalkan mereka mahu menyertai pasukan Quraisy menyerang Madinah. Hartawan Quraisy seperti Abu Sufian, Safwan dan ramai lagi sanggup mengorbankan harta mereka demi membalas dendam terhadap Nabi Muhammad.

     Hari itu penduduk Kota Mekah bagaikan berpesta. Kaum wanita dan kanak-kanak berdiri di sepanjang jalan yang akan dilalui pasukan Quraisy. Mereka menari dan menyanyi dalam usaha menaikkan semangat pahlawan mereka yang pergi ke medan perang. Hindun, isteri Abu Sufian tersenyum gembira kerana usahanya memastikan semua kaum wanita keluar bagi menaikkan semangat pasukan Quraisy berjaya.

     "Pahlawan-pahlawan Quraisy, Berangkatlah segera ke Madinah bagi membalas dendam," teriak Hindun dengan gembira.

     Teriakan itu disambut oleh kaum wanita yang mengiringi pemergian suami mereka dengan laungan yang sama. Abu Sufian semakin bersemangat apabila mendengarnya lalu berteriak, "Kami pergi membalas dendam dan pulang membawa kejayaan!"

     Teriakan Abu Sufian itu disambut pula oleh pasukan tentera Quraisy. Orang ramai memberi tepukan gemuruh. Suasana benar-benar bagaikan satu temasya menaikkan semangat. Tidak lama kemudian pasukan Quraisy bergerak meninggalkan Kota Mekah menuju ke Madinah. Pasukan tentera berkuda berjalan di hadapan diikuti pasukan menaiki unta dan di belakang sekali pasukan penggempur yang berjalan kaki. Sambil berjalan, mereka menyanyikan lagu-lagu perang bagi menaikkan semangat. Selepas berjalan sejauh empat kilometer Abu Sufian menyuruh mereka berhenti rehat di satu tempat bernama Marru Zhahran.

     "Mengapa kita berhenti di sini? Saya lebih suka kita teruskan perjalanan kerana tidak sabar menyerang Madinah dan membunuh Muhammad," kata Amru bi Abu Wudd seorang pahlawan yang paling digeruni di kalangan pasukan Quraisy itu. Dia dikatakan memiliki keberanian dan kekuatannya menyamai sepuluh orang lelaki.

     "Kita menunggu kedatangan pasukan Bani Sulaim, Bani Murrah, Bani Asyja, Bani Fazarah dan Bani Asad. Mereka akan sampai tidak lama lagi," jawab Abu Sufian.

     "Dengan bilangan kita yang begini ramai disertai pahlawan-pahlawan yang handal, saya yakin kita mampu menakluk Madinah tanpa bantuan daripada mereka," kata Amru bin Abu Wudd pula yang tidak sabar lagi mahu sampai ke Madinah.

     "Kami sudah berjanji bergabung dalam pasukan bersekutu bagi menyerang Madinah. Kerana itu kita perlu menunggu kedatangan mereka kemudian bersama-sama menyerang Madinah," kata Abu Sufian yang bangga melihat kehebatan pahlawan Quraisy yang terbilang itu.

     Beberapa hari sebelum itu Abu Sufian mengadakan pertemuan dengan ketua Bani Sulaim, Bani Asad, Bani Fazarah, Bani Asyja, Bani Murrah, dan Bani Nadhir. Mereka berjanji membawa pasukan tentera masing-masing ke Marru Zhahran. Di sana pasukan itu akan digabungkan menjadi pasukan bersekutu.

     Sayfan bin Abu Syam tidak menghadapi masalah kerana semua penduduk Bani Sulaim bersetuju menyertai pasukan bersekutu. Mereka berjaya membentuk pasukan tentera berjumlah tujuh ratus orang. Pemergian mereka juga direstui keluarga masing-masing. Tidak lama kemudian mereka sampai di Marru Zhahran lalu bergabung dengan pasukan Quraisy.

     Kemudian sampai pula Haris bin Auf pemimpin Bani Murrah berserta pasukannya berjumlah empat ratus orang. Mereka dikatakan mahir memanah dan menunggang kuda. Selepas itu datang pula Mis'ar bin Rukhailah pemimpin Bani Asyja berjumlah empat ratus orang.

     Tidak lama kemudian sampai pula Thulaihah bin Khuwailid pemimpin Bani Asad dengan tujuh ratus orang tenteranya dan Huyay bin Akhtab dengan seribu orang tentera.

     Berlainan pula dengan Uyainah kerana daripada empat ribu orang pengikutnya cuma seribu yang sanggup menyahut seruan ketua mereka  bagi memerangi Nabi Muhammad. Tiga ribu lagi tidak sanggup kerana mereka baru sahaja mengikat perjanjian damai dengan Nabi Muhammad. Kerana itu pasukan Bani Fazarah yang paling lambat sampai ke Marru Zhahran. Akibatnya keberangkatan pasukan bersekutu terlewat selama tiga hari. Selepas semuanya berkumpul barulah mereka meneruskan perjalanan.

     Pasukan bersekutu itu juga mendapat kerjasama kabilah Arab dan Badwi yang terdapat di sepanjang perjalanan dari Mekah ke Madinah. Mereka memberi bantuan dengan membenarkan pasuka bersekutu bermalam di perkampungan mereka. Pada waktu siang mereka berjalan dan pada waktu malam berhenti di perkampungan yang ditentukan. Akhirnya mereka sampai di perkampungan Bani Khuzaah.

     Budail cuba melengahkan perjalanan pasukan bersekutu supaya Nabi Muhammad dapat membuat persiapan menghadapinya. Dia menyambut kedatangan pasukan bersekutu itu dengan baik supaya tidak menimbulkan syak wasangka.

     "Tinggallah di sini selama tiga atau empat hari sebelum meneruskan perjalanan ke Madinah," pelawa Budail dengan sikap yang ramah.

     "Kami sudah terlambat beberapa hari, jadi kami tidak dapat melengahkan masa lagi. Esok kita meneruskan perjalanan ke Madinah," kata Abu Sufian.

     "Sekiranya begitu kami tidak dapat menyertai pasukan bersekutu," kata Budail sambil menunjukkan wajah resah.

     "Bukankah kamu berjanji menyertai kami dengan seribu orang tentera?" tanya Abu Sufian sambil merenung wajah Budail dengan rasa marah.

     "Benar kami sudah berjanji tetapi masih belum membuat persiapan kerana ramai antara pahlawan kami yang pergi berniaga di Syam masih belum pulang," jawab Budail yang sengaja membuat helah bagi mengelakkan menyertai pasukan bersekutu.

     "Bila mereka pulang?" tanya Abu Sufian.

     "Mungkin esok ataupun lusa," jawab Budail.

     "Kami tidak dapat menunggu lebih lama. Esok sebelum amtahari terbit kami akan terus perjalanan ke Madinah," kata Abu Sufian.

     "Sekiranya begitu kamu pergi dulu dan kami akan menyusul kemudian," kata Budail.

     "Tidak boleh kerana kamu perlu menyertai kami supaya Muhammad tahu Bani Khuzaah menyebelahi pasukan bersekutu," marah Huyay pula.

     "Apabila Muhammad mendapat tahu sekutu rapatnya Bani Khuzaah berpaling tadah dia akan menjadi lemah semangat dan mengaku kalah sebelum berperang," kata Abu Sufian pula.

     "Sekiranya Bani Khuzaah tidak menyertai kita pun tidak mengapa kerana jumlah kita sudah melebih sepuluh penduduk Madinah," kata Thulaihah pula.

     "Benar kata Thulaihah. Apa yang penting Bani Khuzaah tidak menyebelahi Muhammad," sokong Safwan pula.

     "Saya yakin Muhammad dan pengikutnya akan meninggalkan Madinah sebelum kita sampai," kata Safyan pemimpin Bani Sulaim sambil tertawa.

     "Benar kata kamu. Jumlah kamu sudah ramai. Sekiranya Bani Khuzaah tidak turut serta tidak menjejaskan pasukan bersekutu," kata Budail yang mendengar perbualan mereka.

     "Saya harap kamu tidak mengkhianati kami," kata Abu Sufian pula.

     "Saya seorang yang setia dengan janji. Apabila sudah berjanji saya tidak memungkirinya," kata Budail pula.

     "Sekiranya begitu marilah sertai kami walaupun jumlah kamu tidak sampai seribu orang," kata Huyay pula yang berasa sangsi dengan Budail.

     "Baiklah saya bersetuju, tetapi jumlahnya cuma seratus orang," kata Budail.

     "Mengapa jumlahnya sedikit sangat?" marah Abu Sufian.

     "Kami pergi berperang yang lain melindungi keluarga yang ditinggalkan," kata Budail pula.

     "Apa maksud kamu?" tanya Abu Sufian.

     "Sekiranya semua pahlawan Bani Khuzaah pergi ke Madinah, siapa yang akan menjaga keselamatan perkampungan kami? Kami lebih utamakan keselamatan keluarga," jawab Budail. Kemudian katanya lagi, "Semua pahlawan Quraisy berada di sini. Sekiranya Mekah diserang musuh, siapa yang akan melindungi keluarga kalian? Semua pahlawan Bani Murrah, Bani Sulaim, Bani Kinanah, Bani Tihamah, Bani Nadhir dan yang lain-lain semua berada di sini. Sekiranya musuh menyerang kampung kamu siapa yang akan mempertahankannya?"

     Pertanyaan itu berjaya meresahkan pasukan bersekutu. Mereka mula bimbang dengan keluarga yang ditinggalkan.

     "Kamu jangan bimbang kerana pahlawan Bani Khuzaah akan melindungi mereka. Kerana itu benarkan hanya seratus orang yang menyertai kamu. Mereka yang tinggal di sini akan melindungi keluarga kamu apabila diserang musuh." Kata-kata Budial itu disokong ramai. Baru mereka berasa senang hati.

     Kemudian timbul pula masalah melantik pemimpin tertinggi pasukan bersekutu. Pada mulanya mereka bersetuju melantik Abu Sufian bin Harb menjadi ketua tertinggi. Tetapi apabila melihat jumlah orang Quraisy cuma sekitar 1500 orang maka timbul perbalahan sesama mereka.

     "Memang benar pasukan Quraisy berjumlah 5800 orang tetapi sebahagian besar daripada mereka terdiri daripada Bani Tihamah, Bani Kinanah dan orang Habsyi. Sedangkan bilangan orang Quraisy cuma 1500 orang. Kerana itu Abu Sufian tidak layak menjadi ketua pasukan bersekutu," kata Thalhah yang mahu dirinya menjadi ketua.

     "Huyay yang sepatutnya menjadi ektua kerana dia yang menjadi penggerak pasukan bersekutu," kata Sallam pla. Maka berlaku perbalahan sesama mereka.

     "Sekiranya kita berbalah sesama sendiri, pasukan kita akan menjadi lemah dan tujuan utama kita menyerang Madinah tidak akan berjaya. Kerana itu saya sedia berkongsi kuasa," kata Abu Sufian yang berusaha meredakan suasana.

     "Apa maksud kamu kita berkongsi kuasa?" tanya Huyyay pula.

     "Saya sedia berkongsi kuasa dengan kamu. Kita pecahkan pasukan ini kepada tiga kumpulan. Kumpulan pertama terdiri daripada angkatan perang Quraisy dan ketuanya saya sendiri. Ketua kumpulan kedua diketuai Huyay dan ketua pasukan ketiga adalah Thalhah. Walau kita berada dalam tiga pasukan tetapi berjalan serentak dan berkumpul semula sebelum menyerang Madinah," jawab Abu Sufian.

     Cadangan itu disokong ramai. Mereka bertiga bersetuju berkongsi kuasa. Pasukan pertama terdiri daripada orang Quraisy, Bani Tihamah, Bani Kinanah dan orang Habsyi di bawah pimpinan Abu Sufian.

     Bani Nadhir, Bani Asyj dan Bani Fazarah dibawah pimpinan Huyay dan selebihnya di bawah pimpinan Thalhah. Budail dan seratus orang pengikutnya di bawah pimpinan Thalhah. Mereka berpuas hati dengan pembahagian itu kemudian berangkat ke Madinah.

     "Saya belum pernah pergi ke Madinah. Kerana itu tidak tahu jalannya. Saya melantik kamu sebagai penunjuk jalan," kata Thalhah kepada Budail. Dengan senang hati tawaran itu diterimanya.

     "Saya dan orang saya akan berjalan di hadapan. Selain menjadi penunjuk jalan kami juga akan memastikan tidak ada musuh yang menghalang perjalanan kita. Sekiranya terdapat bahaya di hadapan kami laporka," kata Budail dengan gembira.

     Budail mencari helah bagi melengahkan perjalanan pasukan itu supaya terpisah dengan pasukan lain. Usaha itu berjaya apabila pasukan yang dipimpin Thalhah itu tertinggal jauh di belakang. Ini memaksa pasukan yang di hadapan memperlahankan perjalanan mereka.

     "Mengapa perjalanan kita terlalu lambat?" tanya Thalhah.

     "Kita sedang melalui kawasan yang banyak ular berbisa. Kerana itu kita mesti berjalan dengan berhati-hati," jawab Budail.

     "Sekiranya begitu lebih baik jangan tempuhi jalan ini. Kita lalui jalan yang lebih selamat," kata Thalhah.

     Budail membawa pasukan itu melalui kawasan yang belum pernah dilalui orang ramai. Akhirnya mereka tersesat di tengah padang pasir. Abu Sufian dan Huyay terpaksa mencarinya dan perjalanan mereka terlambat beberapa hari lagi.

     "Kali ini kita perlu berjalan serentak dan tidak boleh terpisah lagi," kata Abu Sufian.

     Selepas beberapa hari berjalan mereka sampai di lembah Wadi Zuhrah. Abu Sufian menyuruh mereka berhenti di situ.

     "Saya yakin Muhammad dan pasukannya menunggu kita di Uhud. Kerana itu lebih baik kita terus ke sana," kata Budail dalam usaha melengahkan pergerakan pasukan bersekutu.

     "Saya juga yakin begitu," kata Abu Sufian pula.

     Keesokan harinya pasukan bersekutu bergerak menuju ke Bukit Uhud. Apabila sampai mereka dapati kawasan itu kosong sahaja. Ternyatan andaian mereka salah kerana Nabi Muhammad tidak berada di situ.

     "Mungkin Muhammad menunggu kita di Badar," kata Budail pula.

     "Pasukan Quraisy akan berhenti di lembah Mujtamaus Suyul. Tempat itu paling hampir dengan Madinah," kata Abu Sufian.

     "Mengapa tempat itu yang menjadi pilihan?" tanya Safwan pula.

     "Kawasan lembah itu banyak air. Apabila berperang tentera kita memerlukan air minuman. Kerana itu saya memilih kawasan itu," jawab Abu Sufian.

     "Pasukan kami berkhemah di mana?" tanya Huyay pula.

     Abu Sufian menyuruh pasukan kedua berkhemah di Zanab Naqma yang terletak di antara Bukit Uhud jaraknya lima kilometer dari Madinah. Pasukan ketiga pula disuruhnya berkhemah di seberang Bukit Bir Ali yang jauhnya kira-kira dua belas kilometer dari Madinah.

     Abu Sufian sengaja meletakkan pasukan bersekutu itu di tempat berasingan bagi memudahkan mereka melancarkan serangan ke Kota Madinah. Mereka belum tahu adanya parit yang akan menghalang serangan mereka.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment