Thursday 8 February 2018

PERANG KHANDAQ [ BAB 15 - MUKJIZAT ]






MUKJIZAT








Musim sejuk sedang menyelubungi Kota Madinah. Namun itu tidak menghalang Nabi Muhammad dan pengikutnya menggali parit bagi menghadang serangan pasukan bersekutu. Jumlah mereka yang terlibat seramai tiga ribu orang sahaja. Mereka terdiri daripada lelaki dewasa yang menjadi pengikut setia Nabi Muhammad.

     Pada mulanya kerja-kerja berjalan lancar. Orang Ansar yang menggali parit di kawasan tanah rendah di sebelah barat dari kawasan Dhubab hingga ke pergunungan tidak menghadapi banyak masalah. Tetapi orang Muhajirin yang berada di sebelah timur kawasan Harrah Waqim sehingga Harrah Al-Wabarah menghadapi masalah kerana kawasan itu tanah tinggi dan berbukit. Selain tanahnya keras, terdapat banyak batu besar yang menghalang kerja penggalian. Namun kerja tetap diteruskan juga. Mereka melakukannya dengan bersungguh-sungguh.

     Pada hari yang ketujuh kerja menggali parit dijalankan, mereka sampai ke satu kawasan yang ada sebuah batu besar dan keras. Pelbagai usaha dilakukan bagi memecahkan batu itu namun tidak berjaya.

     Salman Al-Farisi dan Ali bin Abi Talib yang diberitahu berkenaan batu itu segera datang lalu cuba memecahkannya. Salman Al-Farisi yang kekuatannya seperti sepuluh orang lelaki itu menggunakan tukul besi yang tajam pada bahagian hujungnya bagi memecahkan batu itu tetapi tidak berjaya. Ali bin Abi Talib juga cuba memecahkannya namun gagal juga.

     "Batu ini tidak dapat dipecahkan walau menggunakan tenaga seribu orang. Kerana itu hentikan sahaja kerja menggali parit ini dan cukup sampai di sini sahaja," hasut Abdullah bin Ubai yang sejak mula mahu kerja itu dihentikan.

     "Kerja ini perlu diteruskan kerana kita mengikut perintah Rasulullah. Jangan hiraukan kata-kata orang munafik," kata Jaafar yang tidak senang hati mendengar kata-kata Abdullah bin Ubai.

     "Sekiranya batu ini tidak dapat dipecahkan bagaimana kamu hendak meneruskan kerja yang sia-sia ini?" marah Abdullah bin Ubai.

     "Kita buat lencongan ke arah lain bagi mengelakkan batu besar ini." Ali mencadangkan.

     "Kita jangan bertindak sendiri. Maklumkan dulu perkara ini kepada Rasulullah," kata Salman Al-Farisi lalu menghadap Nabi Muhammad SAW.

     "Wahai Rasulullah, di kaki bukit sana terdapat sebuah batu besar yang sangat keras sehingga kami tidak dapat memecahkannya. Bolehkah kami membelokkan haluan parit bagi mengelakkan batu besar itu?" tanya Salman Al-Farisi.

     Nabi Muhammad pergi ke tempat itu bagi melihat batu besar itu, lalu menyuruh Ali menyiramkannya dengan air. Kemudian baginda mengambil tukul besi dari Salman Al-Farisi lalu membaca Bismillah dan berdoa. Dipukulnya batu besar itu dengan kuat sehingga keluar percikan api dan batu itu pecah satu pertiga bahagian. Baginda bertakbir lalu berkata,

     "Telah dibuka kepada saya negeri Syam. Dan demi Allah, saya telah melihat istana-istananya yang merah."

     Kemudian Nabi Muhammad membaca bismillah sekali lagi lalu memukul batu itu kali kedua. Kelihatan percikan api sekali lagi dan batu itu terbelah satu pertiga lagi. Sekali lagi Nabi Muhammad bertakbir lalu berkata,

     "Telah dibuka kepada saya negeri Parsi. Demi Allah, saya telah melihat istana-istana Mada'in yang putih."

     Kemudian Nabi Muhammad membaca bismillah dan memukul batu itu buat kali ketiga dan batu itu pecah semuanya. Sekali lagi Nabi Muhammad bertakbir lalu berkata,

     "Kepada saya telah diberi kunci negeri Yaman. Demi Allah, saya telah melihat dari tempat saya ini pintu-pintu negeri Yaman itu."

     Selepas batu besar yang keras itu pecah, Nabi Muhammad segera berlalu dari situ bagi menyambung semula kerjanya. Para sahabat mendapati batu itu hancur dan keadaannya sudah menjadi lembut seperti pasir. Mereka meneruskan kerja dengan lebih bersemangat dan bersungguh-sungguh.

     "Dengan izin Allah, Nabi Muhammad dapat memecahkan batu besar yang keras hanya dengan tiga kali pukulan. Pada pukulan pertama saya melihat percikan api dan batu itu pecah satu bahagian. Nabi Muhammad bertakbir lalu mengatakan Allah memperlihatkan kepadanya negeri Syam sehingga baginda dapat melihat istana-istana berwarna merah. Pada pukulan kedua sekali lagi saya melihat percikan api dan batu itu terbelah separuh. Nabi Muhammad bertakbir lalu mengatakan Allah memperlihatkannya negeri Parsi hingga kelihatan istana-istana berwarna putih. Dan pada pukulan yang ketiga sekali lagi kelihatan percikan api dan batu itu pecah semuanya. Baginda bertakbir lalu berkata Allah telah memberinya kunci negeri Yaman." Salman Al-Farisi menceritakan kisah itu kepada mereka yang tidak dapat melihat peristiwa itu.

     "Wahai sahabatku Salman Al-Farisi, pada pendapatmu apakah maksud Nabi Muhammad mengatakan diperlihatkan kepadanya negeri Syam, Parsi dan Yaman itu?" tanya Abu Ubaidah Al-Jarrah.

     "Negeri Syam, Parsi dan Yaman akan jatuh ke tangan umat Nabi Muhammad. Sekiranya umur kita panjang pasti dapat melihatnya," jawab Salman Al-Farisi.

     "Kata-kata itu sekadar bagi menaikkan semangat kamu," kata Abdullah bin Ubai yang masih dengan sikap munafiknya.

     Namun ramai yang percaya dengan apa yang dikatakan oleh Nabi Muhammad itu akan menjadi kenyataan. Cuma Abdullah bin Ubai dan konco-konconya yang selalu mempertikaikannya dengan mengatakan sekadar ucapan menaikkan semangat.

     Pada hari yang kesepuluh lebih separuh kerja menggali parit sudah disiapkan. Mereka terus menggalinya tanpa dipaksa-paksa. Selesai sembahyang subuh mereka terus berada di tempat kerja dan berehat cuma bagi bersembahyang.

     "Wahai ibuku, buah kurma ini mahu diberikan kepada siapa?" tanya Fatimah apabila melihat ibunya memasukkan buah-buah kurma ke dalam bekas.

     "Pagi tadi ayahmu tidak sempat bersarapan. Dia tentu lapar. Bawalah kurma ini ke tempat mereka yang sedang menggali parit. Berikan kepada ayahmu separuh dan separuh lagi kepada ayah saudaramu Abdullah bin Rawahah," kata Amrah bin Rawahah, isteri Basyir bin Saad.

     "Buah kurma ini sedikit sahaja, ibu. Cukupkah untuk makanan mereka berdua?" tanya Fatimah lagi.

     "Hanya itu makanan yang kita ada. Berikan makanan itu kepada mereka kerana mereka lebih memerlukannya," kata Amrah lalu menyerahkan bekas berisi kurma itu kepada Fatimah.

     Tanpa banyak soal lagi Fatimah mengambilnya lalu pergi ke tempat orang ramai yang sedang menggali parit. Kerana Fatimah tidak tahu di mana ayahnya sedang bekerja maka terpaksalah dia berjalan dari satu tempat ke satu tempat bagi mencari ayah dan bapa saudaranya.

     "Wahai anak, berikan buah kurma itu kepada pak cik kerana pak cik sangat lapar," kata seorang lelaki apabila melihat Fatimah datang membawa buah kurma.

     "Ibu saya berpesan, kurma ini untuk ayah saya Basyir bin Saad. Di mana dia sekarang?" tanya Fatimah pula.

     "Ayah kamu bersama Rasulullah di hujung sana. Pergilah mendapatkannya," kata lelaki itu sambil menunjuk arah tempat yang dimaksudkannya. Fatimah segera mendapatkan ayahnya.

     Apabila Nabi Muhammad melihat Fatimah membawa buah kurma itu lalu dipintanya dengan berkata,

     "Bawalah ke mari kepada saya."

     "Ibu saya berpesan buah kurma ini untuk ayah dan pak cik saya," kata Fatimah pula.

     "Bawalah ke mari kepada saya," kata Nabi Muhammad lagi.

     "Wahai anakku, berikan kurma itu kepada Rasulullah kerana dia lebih memerlukannya," kata Basyir pula.

     Fatimah mematuhi suruhan bapanya lalu memberikan buah kurma itu kepada Nabi Muhammad. Baginda menyuruh seorang sahabat membentangkan sehelai kain lalu meletakkan kurma itu di atas kain tersebut. Kemudian mengajak orang ramai datang memakannya. Mendengar ajakan itu maka mereka bergilir-gilir datang lalu memakannya. Buah kurma itu masih ada bakinya walaupun semua orang sudah memakannya.

     "Inilah mukjizat Nabi Muhammad. Setiap nabi dikurniakan mukjizat," kata Salman Al-Farisi.

     Pada hari ke-15 Jabir bekerja bersungguh-sungguh mencontohi Nabi Muhammad. Jabir yang turut bersama dengan Rasulullah SAW tahu beliau mula bekerja sejak dari pagi hanya berhenti rehat bagi menunaikan sembahyang zuhur kemudian meneruskan kerjanya semula. Jabir juga melihat Nabi Muhammad mengikatkan batu pada perutnya bagi menahan lapar. Tiba-tiba Jabir berasa kasihan.

     "Wahai Rasulullah, izinkan saya pulang ke rumah sebentar. Selepas selesai urusan, saya datang semula," beritahu Jabir bin Abdullah.

     Selepas mendapat keizinan daripada Rasulullah maka Jabir pulang ke rumah terus mendapatkan isterinya.

     "Saya lihat Rasulullah dalam keadaan lapar dan kita tidak patut membiarkannya. Adakah kita mempunyai sesuatu bagi dimakan?" tanya Jabir kepada isterinya.

     "Ada sedikit gandum buat makanan anak-anak kita pada hari ini," jawab isteri Jabir.

     "Selain itu?" tanya Jabir lagi.

     "Kita mempunyai seekor kambing yang susunya menjadi minuman keluarga kita," jawab isteri Jabir.

     "Demi Allah, Rasulullah lebih memerlukan makanan itu daripada kita," kata Jabir lalu menumbuk gandum bagi dijadikan tepung. Kemudian disembelihnya kambing tersbeut.

     Selepas daging kambing itu dimasukkan ke dalam kuali dan tepung gandum itu dimasukkan ke dalam dapur pembakar roti maka Jabir kembali mendapatkan Rasulullah SAW yang pada ketika itu masih tekun bekerja menggali parit bersama sahabat-sahabatnya. Jabir segera mendapatkan Rasulullah.

     "Wahai Rasulullah, jemputlah makan di rumah saya dan bawalah seorang atau dua orang sahabat bagi menemani tuan," bisik Jabir kerana bimbang didengar orang lain.

     Ketika itu Abu Bakar juga sedang lapar. Apabila melihat Jabir membisikkan sesuatu kepada Rasulullah SAW beliau menyangka tentu Rasulullah akan dijemput makan ke rumah Jabir. Dia berharap dirinya akan dijemput sama. Pada masa yang sama Umar juga melihat Jabir berbisik kepada Rasulullah lalu berdoa semoga dirinya juga dijemput.

     "Berapa banyak makanan itu?" tanya Nabi Muhammad.

     "Wahai Rasulullah, saya ada menyembelih seekor kambing dan membuat makanan sebanyak satu gantang gandum. Kerana itu jemputlah datang ke rumah saya," jawab Jabir.

     "Itu sudah cukup banyak. Beritahu kepada isterimu supaya dia jangan mengangkat masakan itu dari atas tungku dapurnya. Dan roti itu jnagan dikeluarkan dari dapur pembakarnya sehingga aku datang," pesan Rasulullah.

     "Baiklah wahai Rasulullah," kata Jabir.

     Kemudian Nabi Muhammad berseru, "Wahai ahli khandaq, Jabir ada menyediakan makanan."

     Orang ramai berasa gembira mendengarnya lalu mengikuti Nabi Muhammad menuju ke rumah Jabir. Apabila melihat semua orang Ansar dan Muhajirin berduyun datang ke rumahnya maka Jabir berasa cemas kerana bimbang makanan tidak cukup.

     "Wahai isteriku, Rasulullah datang bersama orang Ansar dan Muhajirin. Jumlah mereka lebih seribu orang," kata Jabir yang mendapatkan isterinya di dapur.

     "Apakah Rasulullah ada bertanya kepadamu berkenaan makanan ini?" tanya isteri Jabir pula.

     "Saya sudah beritahu Rasulullah kita cuma ada sedikit makanan dan menyembelih seekor kambing," jawab Jabir.

     "Apa kata Rasulullah?" tanya isteri Jabir lagi.

     "Dia mengatakan makanan itu sudah cukup banyak dan menyuruh kamu jangan mengangkat makanan itu dari tungku dapur dan roti itu jangan dikeluarkan dari dapur pembakarnya," jawab Jabir.

     "Alhamdulillah," ucap isteri Jabir dengan rasa gembira.

     "Apakah kamu tidak malu sekiranya makanan ini tidak mencukupi?" tanya Jabir dengan rasa hairan.

     "Apakah kakanda sudah lupa bagaimana kurma yang sedikit diberikan Amrah kepada suaminya mencukupi dimakan tiga ribu orang?" tanya isteri Jabir.

     Barulah Jabir teringat peristiwa bagaimana kurma yang dibawa anak perempuan Basyir diletakkan Rasulullah di atas kain kemudian mengajak orang ramai memakannya. Buah kurma itu masih ada bakinya walaupun semua orang sudah memakannya.

     Apabila sampai di rumah Jabir, Nabi Muhammad berpesan kepada orang ramai supaya jangan berebut-rebut masuk ke rumah itu kerana mereka semua akan mendapat makanan.

     Kemudian Nabi Muhammad mengambil roti dari tempat bakarnya lalu mencampurkannya dengan lauk daging kambing yang masih di dalam periuk di atas dapur. Baginda menyenduk makanan itu dan diletakkan di atas bekas makanan lalu dihidangkan kepada orang ramai. Mereka memakannya bergilir-gilir sehingga semuanya kenyang.

     "Berikan makanan ini kepada orang ramai kerana sekarang musim kekurangan makanan," pesan Nabi Muhammad kepada Jabir.

     Maka makanan yang masih berbaki itu diberikannya kepada orang ramai sehingga semua merasainya. Selepas dihitung tidak kurang daripada tiga ribu orang yang memakannya. Mereka yang beriman bertambah kuat imannya selepas menyaksikan mukjizat Nabi Muhammad itu. Mereka yang munafik pula terus mempertikaikannya. Namun ada juga yang mendapat hidayat.

     "Bagaimana batu yang besar dan keras dapat dihancurkan dengan tiga kali pukulan? Bagaimana makanan yang sedikit dapat dimakan beribu orang?" tanya Kumair yang masih belum memeluk Islam namun tetap bersama menggali parit bagi menahan serangan pasukan Quraisy.

     "Itulah mukjizat Nabi Muhammad bagi membuktikan kerasulannya. Sebelum ini kami pernah melihat mukjizat Rasulullah. Antaranya bulan terbelah dua, berlakunya Israk dan Mikraj, pokok keluar dari batu dan bermacam-macam lagi mukjizatnya," jawab Salman Al-Farisi.

     Kemudian diceritakannya peristiwa yang membuktikan kerasulan Nabi Muhammad itu sehingga Khumair begitu tertarik hati mendengarnya.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment