Sunday 25 February 2018

PERANG KHAIBAR [ BAB 14 - KASIH SAYANG SEORANG RASUL ]






KASIH SAYANG SEORANG RASUL








Malam itu Kinanah dan para panglima tenteranya mengadakan perbincangan tertutup perihal proses menyerah diri seperti yang diminta orang ramai.

     "Sekiranya kita terus peperangan ini, orang ramai akan memberontak dan itu membahayakan kerana kita perlukan mereka. Kerana itu ada baiknya kita kemukakan dulu syarat perdamaian dengan Muhammad," kata Kinanah yang cuba mencari jalan bagi menyelamatkan diri.

     "Apa rancangan tuan?" tanya Yazir salah seorang ketua tentera yang setia dengan Kinanah.

     "Sebelum kita menyerah diri, saya akan hantar utusan bertemu dengan Muhammad. Saya mahu tahu apa yang akan dilakukannya apabila kita menyerah kalah," jawab Kinanah. Kemudian katanya lagi, "Sekiranya Muhammad memaafkan kita, saya tidak teragak-agak lagi menyerah diri. Tetapi sekiranya kita dihukum, saya mahu tahu apa hukuman yang akan dijatuhkan kepada kita."

     "Kita sudah berperang dengan Muhammad. Ramai pengikutnya terbunuh dan lebih ramai tentera kita yang terkorban. Kerana itu saya yakin Muhammad tidak akan memaafkan kita. Malah akan menghukum kita," kata Yazir pula.

     "Apa pendapat kamu sekiranya kita dihukum keluar dari Khaibar seperti Bani Qainuqa' dan Bani Nadhir?" tanya Kinanah pula.

     "Kita terima sahaja asalkan dibiarkan hidup. Harta dapat dicari tetapi nyawa tidak," jawab Ubaid.

     "Bagaimana pula sekiranya Muhammad menjatuhi hukuman bunuh terhadap kita? Seperti yang mereka lakukan terhadap Bani Quraizah? Semua kaum lelaki dipancung leher mereka," tanya Kinanah lagi.

     "Saya tidak mahu menyerah. Lebih baik saya mati di medan perang daripada mati penuh penghinaan," jawab Yazir.

     "Saya juga berfikiran seperti itu. Lebih baik kita mati berperang daripada mati dalam tawanan," sokong yang lain.

     "Sekiranya kamu setuju biar saya sendiri yang berjumpa Muhammad. Saya akan rundingkan syarat perdamaian yang tidak merugikan kita," kata Ubaid.

     Kinanah bersetuju lalu berkata, "Syarat pertama minta kepada Muhammad kita menyerah tanpa syarat. Maksudnya kita menyerah tetapi tidak dihukum dengan apa-apa hukuman. Sekiranya dia menolak syarat pertama, kemukakan syarat kedua iaitu menyerah dengan hukuman keluar dari Khaibar."

     "Bagaimana sekiranya Muhammad menolak kedua-dua permintaan kita itu?" tanya Rabi' ragu-ragu.

     "Beritahu Muhammad kita akan bunuh semua wanita dan kanak-kanak kemudian kita berperang habis-habisan sehingga kita mati," jawab Kinanah.

     "Saya tidak setuju cara itu," bantah Ubaid.

     "Itu cuma helah bagi memancing simpati Muhammad. Sekiranya benar dia seorang Rasul pasti dia dapat memaafkan kita," kata Kinanah.

     Keesokan harinya tentera Yahudi Khaibar mengibarkan bendera putih menandakan mereka mahu berdamai. Kemudian Kinanah menghantar Ubaid sebagai utusan menemui Nabi Muhammad.

     "Nabi Muhammad sekarang sedang beribadat. Dia mewakilkan saya bagi menemui kamu. Kamu boleh beritahu saya supaya disampaikan kepadanya," kata Ali bin Abi Talib.

     "Kami mahu menyerah sekiranya Nabi Muhammad memenuhi permintaan kami," kata Ubaid pula.

     "Apa permintaan kamu?" tanya Ali pula.

     "Kami bersetuju menyerah sekiranya nyawa dan darah kami dijamin selamat," jawab Ubaid.

     "Sekiranya Nabi Muhammad bersetuju, apa pula tindakan kamu selepas itu?" tanya Ali lagi.

     "Benarkan kami keluar dari Kota Khaibar tanpa membawa apa-apa harta kecuali pakaian yang melekat pada tubuh kami," jawab Ubaid pula.

     "Baiklah saya akan sampaikan kepada Nabi Muhammad permintaan kamu itu. Pulanglah dahulu ke tempat kamu sehingga baginda memberikan jawapannya," kata Ali bin Abi Talib.

     Ubaid kembali ke benteng Al-Watih dengan rasa gembira kerana yakin permintaan mereka diperkenankan Nabi Muhammad SAW.

     Keesokan harinya Ali bin Abi Talib datang ke benteng Al-Watih sebagai utusan Nabi Muhammad SAW. Beliau memberitahu yang Nabi Muhammad bersedia berdamai. Semua tentera Khaibar yang berada di dalam benteng Al-Watih dan Al-Sulaim perlu keluar menyerah diri kemudian diikuti kaum lelaki yang bukan tentera, kaum perempuan dan kanak-kanak. Mereka mematuhi perintah itu. Mereka dikumpulkan di sebuah kawasan lapang berhampiran dengan benteng Al-Watih. Tidak lama kemudian Nabi Muhammad pun datang.

     Apabila melihat kemunculan baginda, kaum wanita dan kanak-kanak menangis sambil merayu minta dibebaskan. Tentera Khaibar ketakutan kerana menyangka mereka akan dijatuhkan hukuman bunuh. Kemudian Nabi Muhammad bertanya apakah permintaan mereka?

     "Wahai Muhammad, kami cuma meminta dibenarkan pergi dari sini dengan membawa keluarga kami hanya dengan sehelai sepinggang. Adapun yang lain termasuk harta, kami serahkan kepada kamu," kata Kinanah.

     "Adakah kamu setuju sekiranya saya berikan syarat perjanjian damai lain daripada yang kamu minta?" tanya Nabi Muhammad SAW.

     "Kami bersetuju apa sahaja syaratnya asalkan kami tidak dibunuh," jawab Kinanah.

     "Kamu meminta dibenarkan keluar dari sini hanya dengan sehelai sepinggang dan semua harta yang ada diserahkan kepada kami," kata Nabi Muhammad.

     "Benar wahai Muhamamd," kata Kinanah.

     "Sekiranya ada antara kamu yang menyembunyikan harta walau sebentuk cincin akan dihukum bunuh. Adakah kamu setuju?" tanya Nabi Muhammad.

     "Kami setuju," jawab mereka beramai-ramai.

     Maka yakinlah baginda Yahudi Khaibar itu sememangnya mahu berdamai. Kemudian baginda meminta Ali bin Abi Talib menulis syarat perjanjian damai seperti yang diputuskannya. Kemudian baginda meminta Ali membacakannya kepada mereka. Ali berdiri di hadapan Yahudi Khaibar lalu membacakan syarat perdamaian yang ditetapkan Nabi Muhammad.

     "Syarat pertama, orang Yahudi Khaibar dibenarkan tinggal di dalam Kota Khaibar dan kediaman mereka semula," kata Sayidina Ali membacakan syarat perdamaian itu.

     "Terima kasih wahai Muhammad," teriak mereka dengan rasa terharu kerana tidak disuruh keluar dari Khaibar walau mereka sendiri meminta keluar dengan sehelai sepinggang.

     "Syarat kedua, kamu dibenarkan mengurus dan menjaga kebun-kebun kamu serta mengutip hasilnya seperti yang kamu lakukan sebelum perang," kata Sayidina Ali membacakan syarat kedua perdamaian.

     Orang Yahudi Khaibar melonjak-lonjak kegembiraan kerana tidak menyangka Nabi Muhammad memutuskan syarat yang begitu tidak disangka. Padahal sebelumnya mereka sudah bersetuju menyerahkan semua harta mereka kepada Nabi Muhammad.

     "Syarat yang ketiga, separuh daripada hasil tanaman kamu hendaklah diserahkan kepada Nabi Muhammad," kata Sayidina Ali membacakan syarat yang ketiga perdamaian.

     Sekali lagi mereka melonjak keriangan dengan syarat yang ditetapkan Nabi Muhammad itu. Sebelum berlaku peperangan mereka juga sudah berjanji dengan kabilah Ghatafan akan menyerahkan separuh hasil tanaman kepada mereka. Kerana itu mereka merasakan syarat yang ketiga itu tidak membebankan mereka.

     "Wahai Muhammad, memang benarlah kamu pesuruh Allah," kata beberapa orang pendeta Yahudi. Ramai antara mereka yang menyatakan mahu memeluk Islam.

     Kemudian Nabi Muhammad menyuruh tentera Islam memasuki kedua-dua benteng itu serta mengumpulkan semua harta yang terdapat di dalamnya. Antaranya seratus baju besi yang belum pernah dipakai, empat ratus bilah pedang yang belum pernah digunakan, lima ratus batang panah, seribu batang tombak dan beberapa buah kitab Taurat yang sudah terkoyak kulitnya.

     "Wahai Muhammad, kami memohon diserahkan kepada kami kitab Taurat itu," kata salah seorang pendeta Yahudi sambil merayu jangan dimusnahkan kitab suci mereka itu. Dengan senang hati Nabi Muhammad memberi jawapan akan memenuhi permintaan itu sebelum meninggalkan Kota Khaibar.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment