Thursday 15 February 2018

PERANG KHANDAQ [ BAB 24 - PENGINTIP YANG SETIA ]






PENGINTIP YANG SETIA








Malam itu cuaca sejuk dan gelap gelita. Langit dilitupi awan mendung tanda-tanda hujan lebat akan turun. Sesekali angin padang pasir bertiup kencang. Di luar Kota Madinah pasukan tentera bersekutu berada di dalam khemah masing-masing. Mereka menyalakan unggun api bagi memanaskan badan. Di dalam Kota Madinah pula pasukan tentera terus berwaspada dan bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan. Khabar angin bertiup kencang mengatakan musuh akan melakukan serangan secara besar-besaran.

     "Benarkah Bani Quraizah sudah berpaling tadah? Mereka menyertai pasukan tentera bersekutu?" tanya Basir dengan nada suara yang cemas.

     "Khabarnya begitulah dan kita akan dilanda musibah yang tersangat dahsyat," jawab Abdullah bin Ubai. Menambah cemas mereka yang mendengarnya.

     "Apa maksud kamu dengan musibah yang sangat dahsyat?" tanya Huzaifah pula.

     "Apabila Bani Quraizah membantu pasukan tentera bersekutu menyerang Madinah, ianya ibarat banjir besar yang datang melanda kita. Tidak ada sesiapa yang dapat menghalangnya termasuk Nabi Muhammad," jawab Abdullah bin Ubai.

     "Saya yakin Allah akan menyelamatkan kita. Nabi Muhammad mengatakan kemenangan semakin hampir." Huzaifah menyanggah kata-kata Abdullah bin Ubai itu.

     "Adakah kamu percaya dengan kata-katanya itu? Sedangkan di luar sana musuh sedang menyalakan api dan mereka akan menyerang kita pada bila-bila masa," marah Abdullah bin Ubai.

     "Saya yakin apa yang dikatakan Nabi Muhammad itu adalah benar. Sesungguhnya Allah akan memberi kemenangan kepada mereka yang beriman," kata Huzaifah pula.

     "Hei Huzaifah, saya mahu bertanya. Apabila musuh menyerang kita dengan apakah kamu mahu menentang mereka? Sedangkan kamu tidak mempunyai senjata," tanya Basir pula.

     Abdullah bin Ubai dan para pengikutnya tertawa.

     Huzaifah seorang lelaki yang miskin. Namun imannya kuat dan semangatnya berkobar mahu terus berjuang bersama Rasulullah SAW. Dia datang ke medan perang hanya dengan tangan kosong kerana tidak mampu membeli senjata. Tubuhnya yang kurus itu hanya dilitupi sehelai kain selendang nipis yang dipinjam daripada isterinya.

     "Tidakkah kamu tahu bahawa senjata yang paling kuat adalah iman dalam dada kita. Sekiranya iman tidak kuat, rapuh bagaikan pasir di bawah tapak kaki kita maka sia-sia sahaja senjata yang kamu bawa itu. Kamu akan lari lintang pukang apabila musuh datang menyerang," kata Huzaifah pula. Giliran dia pula yang tertawa. Sengaja dia berbuat begitu bagi menyakitkan hati Abdullah bin Ubai.

     "Hei Huzaifah, saya tahu kamu pengikut setia Nabi Muhammad. Kerana itu berjuanglah bersamanya walaupun engkau datang tanpa membawa senjata. Saya mahu pulang ke rumah. Alangkah seronoknya dalam cuaca yang sejuk begini berada di atas katil sambil membalut tubuh dengan selimut yang tebal," kata Ubaid pula.

     "Saya juga mahu pulang ke rumah bagi menjaga keselamatan keluarga saya. Saya bimbang sekiranya orang Bani Quraizah merampas rumah serta menjadikan mereka tawanan," kata Ubai kawan baik Ubaid.

     Ramai yang terpengaruh dengan kata-kata golongan yang munafik itu. Mereka pulang ke rumah tanpa kebenaran Nabi Muhammad SAW. Hanya tinggal tiga ratus orang yang masih setia bersama Rasulullah SAW. Mereka adalah pahlawan Islam yang pernah bertempur di medan Badar dan Uhud. Huzaifah adalah seorang daripada mereka.

     "Mereka yang penakut dan munafik sudah meninggalkan kita. Ramai pula bimbang keselamatan keluarga masing-masing. Tetapi kita akan terus berada di sisi Rasulullah," tegas Abu Bakar As-Siddiq.

     Sepanjang malam itu Rasulullah turut berjaga. Kemudian sampai kepada Huzaifah yang ketika itu sedang menggigil kesejukan.

     "Siapakah kamu?" tanya Rasulullah SAW.

     "Saya Huzaifah, wahai Rasulullah," jawab Huzaifah dengan sauara menggeletar kerana kesejukan.

     Ketika itu Huzaifah dalam keadaan kesejukan yang teramat sangat hingga tidak berdaya berdiri menyambut kedatangan Rasulullah. Dia terbaring di atas tanah sambil mengerekotkan badannya.

     "Bangun wahai Huzaifah," kata Nabi Muhammad.

     Huzaifah tidak terdaya untuk bangun kerana kakinya terasa kaku. Seluruh badannya terasa beku.

     "Huzaifah berdirilah," perintah Rasulullah SAW.

     Huzaifah berusaha berdiri bagi mematuhi perintah Rasulullah SAW. Tiba-tiba dia merasakan tenaganya pulih semula. Dengan pantas Huzaifah bangun lalu berdiri di hadapan Rasulullah SAW.

     "Wahai Rasulullah, saya sudah berdiri," kata Huzaifah.

     "Wahai Allah peliharalah dia dari segala arah." Nabi Muhammad mendoakan Huzaifah.

     Kemudian Nabi Muhammad berpesan, "Kembalilah segera selepas melihat apa yang dilakukan oleh mereka. Jangan mengambil sebarang tindakan selain daripada itu," pesan Nabi Muhammad SAW.

     Salman Al-Farisi yang berada di situ memberikan panahnya kepada Huzaifah bagi dijadikan senjata bagi mempertahankan diri. Sepanjang perjalanan ke kawasan musuh Huzaifah merasakan cuaca tidak lagi sejuk malah terasa nyaman. Walau cuaca gelap gelita namun perjalannnya tidak terganggu seperti ada cahaya yang menerangi perjalanannya.

     Apabila sampai di kawasan musuh dilihatnya sekumpulan tentera bersekutu duduk mengelilingi unggun api tanpa menyedari kedatangan Huzaifah. Pada mulanya mahu sahaja dia menghabiskan musuh itu dengan anak panah yang dibekalkan Salman Al-Farisi. Tetapi Huzaifah terus segera teringat pesanan Rasulullah supaya jangan bertindak apa-apa selain melihat keadaan mereka.

     Huzaifah terus berjalan sambil memerhatikan keadaan pasukan bersekutu itu. Tiba-tiba dia melihat seorang lelaki sedang duduk di tepi unggun api. Dihampirinya lelaki itu bagi mengecam siapa gerangannya. Rupa-rupanya lelaki itu adalah Abu Sufian bin Harb, ketua Quraisy yang juga ketua pasukan tentera bersekutu. Lelaki itu yang paling banyak menimbulkan kesusahan kepada Nabi Muhammad. Dia juga yang mengetuai pasukan Quraisy semasa Perang Uhud.

     Tiba-tiba Huzaifah berasa sangat marah lalu mahu membunuh lelaki itu. Dia yakin sekiranya Abu Sufian dibunuh maka pasukan bersekutu kehilangan ketua dan mereka akan kalah. Huzaifah menarik busar anak lalu dihalakan ke arah lelher Abu Sufian. Tiba-tiba Huzaifah teringat pesanan Rasulullah yang melarang melakukan sebarang tindakan. Maka dia menyimpan semula panahnya.

     Huzaifah meneruskan perjalanannya lalu bertemu dengan beberapa orang Quraisy yang sedang berbincang. Huzaifah mendekati mereka bagi mendengar apa yang sedang mereka bincangkan. Tiba-tiba salah seorang daripada mereka menyedari kehadiran Huzaifah lalu berteriak.

     "Di sini ada seorang pengintip. Bagi mengenalinya kita pegang tangan kawan di kiri dan kanan kita. Sekiranya ada yang melarikan diri itulah orangnya. Tangkap pengintip itu dan bunuh," teriak Abu Sufian bin Harb.

     Mereka yang mendengar perintah itu segera menangkap tangan kawan yang berada di kiri dan kanannya. Huzaifah segera menangkap tangan lelaki yang berada di sebelah kanannya lalu berteriak, "Siapa kamu?"

     "Saya Muawiyah bin Abu Sufian," jawab lelaki itu.

     "Siapa kamu?" tanya Huzaifah kepada lelaki di sebelah kanannya.

     "Saya Amru bin Al-Ash," jawab lelaki itu.

     "Siapa pula kamu?" tanya Muawiyah dan Amru serentak.

     "Abdullah (hamba Allah)," jawab Huzaifah.

     Muawiyah dan Amru tertawa kerana menyangka Huzaifah adalah kawan mereka. Tidak lama kemudian Huzaifah segera meninggalkan tempat itu.

     Semasa dalam perjalanan pulang ke tempat Rasulullah, Huzaifah bertemu dengan dua puluh orang lelaki memakai serban sedang menunggang kuda. Seorang daripada mereka berkata, "Beritahu nabi kamu yang Allah akan membantunya. Dia tidak perlu bimbang lagi."

     Tidak lama kemudian berlaku ribut kencang yang sangat dahsyat hingga menerbangkan pasir dan batu-batu. Khemah-khemah tentera pasukan bersekutu berterbangan. Mereka terpekik terlolong ketakutan lalu berusaha menyelamatkan diri. Anehnya ribut kencang itu melanda kawasan tentera bersekutu sahaja dan tidak sampai ke kawasan tentera Islam.

     Apabila berjumpa dengan Nabi Muhammad maka Huzaifah melaporkan apa yang dilihat dan ditemuinya.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment