Monday 12 February 2018

PERANG KHANDAQ [ BAB 19 - PENGKHIANATAN BANI QURAIZAH ]






PENGKHIANATAN BANI QURAIZAH








"Sekiranya keadaan ini berterusan, kita akan kalah dan impian kita menakluk Madinah akan musnah. Kita berputih mata dan pulang dengan penuh kehinaan," kata Huyay sambil meluahkan kerisauan hatinya.

     "Ataupun kita mati kelaparan dan mayat kita dimakan burung dan serigala," kata Abu Thalhah pula.

     "Mengapa kamu cakap begini? Apa masalah kamu?" tanya Abu Sufian yang berasa kurang senang dengan kata-kata Huyay dan Abu Thalhah itu.

     "Saya kecewa kerana sudah tiga hari kita mengepong Muhammad dan pengikutnya tetapi masih belum nampak hasilnya. Mereka mengawal benteng itu dengan ketat. Pasukan kita tidak dapat menyeberang kerana diserang dengan anak-anak panah," kata Huyay lalu mengatakan beberapa percubaan yang dilakukan oleh pahlawan Bani Nadhir bagi menyeberangi parit itu tetap tidak berjaya.

     "Jangan berputus asa kita terus mencubanya." Abu Sufian cuba memberi kata-kata semangat.

     "Kita tidak akan berjaya selagi Muhammad dan pengikutnya berada di seberang sana," kata Huyay pula.

     "Makanan kami juga hampir kehabisan. Kami juga perlukan kayu ataupun pelepar tamar buat unggun api bagi melawan cuaca yang sejuk. Dalam beberapa hari lagi apabila makanan sudah habis dan tidak ada unggun api maka kami mati kebuluran dan kesejukan," kata Abu Thalhah pula.

     "Masalah makanan jangan dirisaukan kerana kami pasukan Quraisy masih cukup bekalan makanan. Kita satukan pasukan kita supaya tidak timbul lagi masalah makanan," kata Abu Sufian. Kemudian katanya lagi, "Berkenaan masalah kedua, kamu jangan cepat berputus asa. Mari kita fikirkan bagaimana cara bagi menyeberangi parit itu secara besar-besaran. Kita akan lancarkan serangan serentak, Muhammad dan pengikutnya pasti dapat dikalahkan," kata Abu Sufian sambil memujuk Huyay dan Abu Thalhah.

     Cadangan Abu Sufian itu diterima dan tiga pasukan bersekutu itu disatukan. Namun masalah utama mereka juga masih juga tidak dapat diselesaikan. Mereka berbincang sekali lagi bagi mencari jalan penyelesaian.

     "Kita semua menyangka Muhammad dan pengikutnya dapat dikalahkan dalam masa sehari saja. Kerana itu kita tidak memikirkan masalah makanan," kata Huyay bin Akhtab.

     "Benar kerana kita terlalu yakin dengan bilangan yang begini ramai kita dapat mengalahkan Muhammad dan pengikutnya dengan mudah. Kerana itu kita tidak memikirkan bagi membawa bekalan makanan yang banyak," kata Abu Thalhah.

     "Pada mulanya kita menyembelih seratus ekor unta dan memasak 2500 gantang gandum untuk makanan pasukan kita. Kemudian kita membuat catuan dengan menyembelih lima puluh ekor unta sahaja dan memasak dua ribu gantang gandum sahaja satu hari. Akhirnya timbul perbalahan kerana tidak cukup makanan. Masalah itu menjadi lebih rumit apabila unta dan gandum kita sudah kehabisan," kata Huyay.

     Masalah itu juga yang sedang difikirkan Abu Sufian dan dia masih belum nampak cara mengatasinya. Apabila perkara itu dibangkitkan dalam perbincangan mereka bertiga maka Abu Sufian tidak dapat menyembunyikannya lagi.

     "Benar kata kamu. Hampir semua unta yang sepatutnya menjadi tunggangan tentera kita sudahd disembelih. Bekalan gandum pula dapat bertahan sehari sahaja lagi. Marilah kita sama-sama memikirkan bagaimana cara mengatasinya," akhirnya Abu Sufian juga terpaksa meluahkan kerisauan hatinya.

     "Bagaimana sekirannya kita meminta bantuan Bani Quraizah?" Abu Thalhah memberi cadangan.

     "Mereka masih setia dengan Muhammad. Kerana itu mustahil mereka mahu membantu kita," kata Abu Sufian pula.

     "Huyay pandai memujuk. Gunakan kepandaian itu bagi memujuk Kaab, ketua Bani Quraizah menyebelahi kita. Sekiranya berjaya Muhammad akan menjadi lemah dan kita dapat mengalahkannya dengan mudah," kata Abu Thalhah. Kemudian katanya lagi, "Kawasan di sebelah utara tidak ada parit kerana di situ ada beberapa buah perkampungan termasuk kediaman Bani Quraizah. Kerana itu satu-satunya jalan yang paling mudah memasuki Kota Madinah melalui perkampungan itu."

     "Saya fikir begitu juga. Tambahan pula Huyay pernah bersahabat baik dengan Kaab ketika di Madinah. Pujuklah dia supaya dapat membantu kita. Sekiranya berjaya, kamu adalah orang yang paling berjasa dan kami tidak akan melupakannya," sokong Abu Sufian pula.

     Huyay tersenyum lalu berkata, "Saya yakin dapat memujuk Kaab kerana tahu di mana kelemahannya."

     "Mula-mula pujuk Kaab supaya membekalkan kita dengan makanan. Sekiranya Kaab tidak mahu memberinya makanan secara percuma katakan kita sanggup membelinya," kata Abu Sufian pula.

     "Saya akan pujuk Kaab batalkan perjanjiannya dengan Muhammad dan menyertai kita. Bukankah itu lebih baik dan menguntungkan kita?" tanya Huyay pula yang memang terkenal seorang yang licik.

     Abu Sufian dan Abu Thalhah gembira mendengarnya. Mereka meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Huyay bagi menjayakan rancangan itu. Sekiranya gagal, bermakna gagal dan musnahlah pasukan bersekutu itu.

     Huyay mengajak Abu Rafi', Sallam bin Abu Huqaiq, Sallam bin Miskam, Kinanah bin Abu Huqaiq, Abu Ammar dan Hauzah bin Qais ke perkampungan Bani Quraizah. Mereka pergi pada waktu malam supaya tidak dilihat oleh orang Islam.

     Huyay mengetuk pintu rumah Kaab sambil memanggil namanya. Kaab yang masih belum tidur kenal itu suara Huyay. Dia tidak mahu membuka pintu rumahnya. Namun Huyay tidak berputus asa. Dia terus mengetuk pintu rumah itu sambil memanggil nama Kaab.

     "Wahai sahabatku Kaab. Adakah kamu tidak kenal saya Huyay ketua Bani Nadhir yang juga sahabat baik kamu? Bukalah pintu ini kerana ada perkara penting hendak saya sampaikan," pujuk Huyay dengan suara merayu-rayu.

     "Hai Huyay, alangkah kasihannya kamu, seorang yang paling malang kerana tidak mentaati janjimu dengan Muhammad. Saya tidak beruntung kerana itu tidak akan merosak janji ku dengannya. Tambahan pula saya lihat Muhammad itu seorang yang berpegang teguh pada janji," kata Kaab dari dalam rumahnya.

     Huyay berasa tersinggung dengan kata-kata Kaab itu tetapi ditahan perasaan marahnya. Tambahan pula dia seorang yang bijak berdiplomasi. Dia menggunakan kemahirannya bagi memujuk ketua Bani Quraizah itu.

     "Wahai Kaab sahabatku. Kamu seorang yang penuh dengan perasaan belas kasihan. Tidak kasihankah kamu kepada saya dan sahabat-sahabat saya yang juga sahabatmu yang sedang menggigil kesejukan di luar ini? Bukalah pintu rumah supaya dapat saya masuk dan berbual denganmu. Ada perkara penting yang mahu saya sampaikan," rayu Huyay lagi.

     Kaab tetap tidak mahu membukanya. Huyay pula tidak berputus asa. Dia terus merayu supaya Kaab membukakan pintu rumahnya. Akhirnya Kaab berasa kasihan lalu membuka pintu rumahnya.

     "Kamu sudah dihalau keluar dari Madinah oleh Muhammad. Kemudian datang bagi berperang dengannya. Saya tidak mahu masuk campur. Sebaiknya jangan kamu datang ke sini," kata Kaab sebaik sahaja Huyay dan kawan-kawannya masuk ke dalam rumah.

     "Betapa malangnya kamu wahai Kaab. Saya datang dengan membawa satu angkatan perang yang paling berkuasa pada masa ini. Semua pahlawan Quraisy, Bani Kinanah, Bani Tihamah, Habsyi dan Ghatafan sudah bersatu membantu saya bagi mengalahkan Muhammad dan pengikutnya. Sedangkan kami sedang mengepong Kota Madinah. Mereka sudah berjanji tidak akan meninggalkan tempat ini sehingga Muhammad dan semua pengikutnya dibinasakan," kata Huyay dalam usahanya menakutkan Kaab sekali gus menyebelahi pasukan bersekutu.

     "Kamu datang membawa kehinaan, kesusahan dan pertumpahan darah. Kemudian datang cuba menakut-nakutkan aku. Tetapi ingatlah, ia tidak membawa sedikit hasil pun. Muhammad itu tidak dapat dikalahkan. Kerana itu pergilah dan tinggalkan saya dengan Muhammad," kata Kaab pula menyatakan masih setia kepada Nabi Muhammad.

     Huyay dan kawan-kawannya terus berusaha memujuk ketua Bani Quraizah itu supaya berpaling tadah. Mereka yang terkenal petah bercakap dan bijak berdiplomasi itu menggunakan kepandaian mereka memujuk Kaab.

     "Wahai sahabatku Kaab. Kami datang bagi menyelamatkan kamu. Selepas pasukan bersekutu berjaya menakluk Madinah dan memusnahkan Muhammad dan semua pengikutnya, bagaimana pula dengan nasib kamu dan nasib Bani Quraizah? Apakah kamu menyangka mereka dapat memaafkan kamu sekiranya terus setia dengan Muhammad dan memusuhi kami?" pujuk Huyay.

     "Jumlah pasukan bersekutu dua kali ganda ramainya berbanding semua penduduk Madinah. Apakah kamu menyangka Muhammad dan pengikutnya dapat mengalahkan kami?" tanya Sallam bin Maskan pula.

     "Demi keselamatan Bani Quraizah lebih baik kamu bersikap berkecuali. Ataupun paling baik memutuskan perjanjian dengan Muhammad lalu bergabung dengan kami," pujuk Kinanah pula.

     "Selepas Muhammad dan pengikutnya dikalahkan, orang Quraisy akan pulang ke Mekah. Orang Kinanah, Tihamah dan Habsyi akan pulang ke tempat mereka. Bani Nadhir akan pulang semula ke sini. Kita sama-sama memerintah Kota Madinah," pujuk Huyay bin Akhtab.

     Akhirnya Kaab terpengaruh juga dengan pujukan dan rayuan Huyay dan kawan-kawannya lalu menyatakan persetujuannya bergabung dengan pasukan bersekutu. Dia meminta tempoh selama sepuluh hari bagi membuat persiapan berperang dengan Muhammad.

     "Kami ada tiga permintaan bagi menguji kesetiaan kamu. Sekiranya kamu tunaikan permintaan kami ini maka barulah kami yakin Bani Quraizah sahabat kami," kata Huyay pula.

     "Sebutlah apa permintaan kamu?" tanya Kaab.

     "Pertama, kami perlukan unta dan gandum. Boleh kamu berikan kepada kami? Makanan itu akan disimpan sebagai keperluan kita apabila berperang nanti," jawab Huyay. Dia sengaja tidak mahu mengatakan pasukan bersekutu sudah kehabisan makanan.

     "Saya setuju dengan permintaan kamu yang pertama. Apa pula permintaan kedua?" tanya Kaab.

     "Bani Quraizah menyalurkan air kepada Muhammad dan pengikutnya. Kami mahu kamu putuskan saluran air itu," kata Huyay.

     "Itu juga mudah kami melakukannya. Apa pula permintaan kamu yang ketiga?" tanya Kaab lagi.

     "Benarkan pasukan bersekutu menyerang Muhammad melalui perkampungan Bani Quraizah. Kami akan lakukan serangan dari dua tempat. Pertama dari parit di kaki Bukit Sala'. Pasukan kedua melalui perkampungan Bani Quraizah," jawab Huyay.

     "Muhammad dan pengikutnya hanya berada di kaki Bukit Sala' dan mereka tidak sedar kami sudah masuk melalui perkampungan Bani Quraizah. Dengan itu mereka dapat dikalahkan dengan mudah," kata Salam bin Miskam pula.

     "Kamu memang bijak. Saya bersetuju menunaikan tiga permintaan kamu itu. Maafkan di atas kesalahanku mengeluarkan kata-kata pada awal pertemuan kita tadi," kata Kaab yang sudah berjaya diperdayakan oleh Huyay dan kawan-kawannya.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment