Wednesday 21 February 2018

PERANG KHAIBAR [ BAB 6 - SERANGAN PERTAMA ]






SERANGAN PERTAMA








Suasana di Kota Khaibar menjadi kelam kabut apabila Nabi Muhammad dan pengikutnya berjaya memasuki fasa pertama Kota Khaibar lalu mengepung kubu Nai'im yang menyimpan bekalan maknaan. Sallam bin Misykam yang berada di dalam benteng itu memerintahkan pasukan tentera mempertahankannya kerana itu benteng yang paling penting. Maka berlaku pertempuran antara kedua-dua belah pihak. Tetapi pertempuran itu hanya menggunakan panah. Tentera Khaibar yang berada di benteng Nai'im melepaskan anak-anak panah ke arah tentera Islam yang cuba menghampirinya. Pasukan tentera Islam juga membalas serangan itu juga dengan menggunakan anak panah.

     Selepas berlangsung serangan demi serangan tiba-tiba kedengaran tentera Islam bertakbir dengan suara yang nyaring. Suara takbir mereka berbalas-balas sehingga membuatkan suasana menjadi bertambah cemas dan kelam kabut.

     Nabi Muhammad kurang senang melihatnya lalu berkata, "Kasihanilah diri kamu. Janganlah berlebih mengangkat suara, kerana sesungguhnya kamu tidak menyeru kepada yang tuli dan tidak pula kepada yang jauh. Tetapi sesungguhnya kamu berseru kepada Yang Maha Mendengar lagi Maha Dekat dan Dia ada bersama kamu."

     Mendengar teguran Nabi Muhammad itu barulah mereka tidak melaungkan takbir dengan suara yang kuat. Tumpuan sepenuhnya diberikan kepada musuh. Tambahan pula ketika itu pasukan tentera Khaibar semakin hebat melancarkan serangan.

     "Pertahankan benteng Nai'im dengan darah dan nyawa kamu," teriak Sallam bin Misykam dari dalam benteng itu.

     "Rebut benteng Nai'im dan berjuanglah kerana Allah," teriak Ali bin Abi Talib yang ditugaskan membawa bendera perang.

     "Keluar dari benteng halau Muhammad dan pengikutnya," perintah Sallam bin Misykam.

     Tentera Khaibar keluar dari kubu Nai'im bagi mengusir tentera Islam yang mengepung mereka, maka berlaku pertempuran secara berhadapan sehingga sukar mengenal lawan dan kawan. Bagi mengatasi masalah itu Nabi Muhammad mencipta kod rahsia supaya pengikutnya dapat mengenal musuh dan kawan. Kod rahsia itu berbunyi.

     Ya Mansur.

     Amir, Amir.

     Apabila bertemu dengan lawan yang tidak dikenali mereka akan berteriak, "Ya Mansur", dan dibalas pula dengan perkataan "Amir, Amir". Dengan adanya kod rahsia itu barulah tentera Islam dapat mengenali siapa lawan dan kawan. Maka ramai tentera Khaibar yang dapat ditewaskan. Sallam bin Misykam menyuruh tenteranya masuk semula ke dalam benteng Nai'im. Mereka segera masuk ke dalam benteng Nai'im lalu mengunci pintunya dari dalam.

     Kemudian mereka menyerang semula pasukan Islam dari atas benteng dengan anak-anak panah. Mujur tentera Islam sudah membuat persediaan. Selain memakai baju besi dan topi besi mereka juga mempunyai perisai bagi melindungi diri daripada terkena senjata musuh. Nabi Muhammad sendiri membawa panah dan sebuah perisai.

     "Kita masih tidak dapat menghampiri pintu benteng Nai'im kerana dihujani anak panah," beritahu Abu Ubaidah Al-Jarrah kepada Saidina Ali yang memegang bendera perang.

     "Saya akan beritahu Rasulullah. Kemudian kita dengar apa pendapatnya," kata Ali pula.

     Kemudian dia menemui Rasulullah lalu menceritakan situasi yang sedang berlaku. Nabi Muhammad ketika itu sedang berbincang dengan beberapa orang sahabatnya. Antaranya Abu Bakar dan Umar Al-Khattab. Selepas berbincang dengan Rasulullah maka Ali bin Abi Talib menemui kawan-kawannya.

     "Rasulullah menyuruh kita menembang pokok-pokok kurma yang terdapat di keliling benteng Nai'im," beritahu Ali bin Abi Talib.

     "Orang Yahudi sangat sayang kepada pokok-pokok kurma kepunyaan mereka. Dengan menembang pokok kurma itu diharap dapat menjatuhkan semangat mereka bagi berperang," kata Abu Ubaidah lalu menyatakan sokongannya kepada cadangan itu.

     "Sebelum kita menebang pokok-pokok kurma itu ada baiknya kita beritahu dahulu kepada Sallam bin Misykam," kata Ali lalu menawarkan dirinya bagi menyampaikan pesanan kepada Sallam.

     Dengan izin Rasulullah SAW Ali bin Abi Talib menulis surat seperti berikut.

     Surat ini daripada Muhammad Rasulullah
   
     Kami berseru kepada kamu supaya menyerah ataupun berdamai nescaya kamu akan selamat. Sekiranya kamu enggan kami akan tebang pokok-pokok kurma kamu yang sedang berbuah sehingga tidak ada sebatang pun yang tinggal...

     Selepas Sallam bin Misykam membaca surat itu lalu mengadakan mesyuarat dengan beberapa orang pemimpin Yahudi Khaibar bagi mendengar pandangan mereka.

     "Kami yang menanam dan menjaga pokok kurma itu sejak kecil hingga berbuah. Pokok kurma itu menjadi sumber rezeki kami. Sekiranya ditebang ataupun dibinasakan alangkah malangnya nasib kami," kata Abdullah bin Juhair salah seorang pemimpin Yahudi Khaibar.

     "Apalah gunanya kita memenangi peperangan ini sekiranya pokok kurma kita sudah habis ditebang. Kita akan kebuluran kerana tidak ada lagi buah kurma bagi dimakan," kata Sulaim pula.

     "Saya yakin Muhammad akan mengotakan apa yang diperkatakannya. Dia akan menebang pokok-pokok kurma kita sampai habis. Kerana itu lebih baik kita berdamai sahaja," sokong Jusoef pula.

     Selepas mendengar pandangan serta rayuan mereka yang hadir dalam mesyuarat itu maka Sallam bin Misykam pun berkata.

     "Bani Nadhir juga pernah dikepung oleh Muhammad dan pengikutnya. Mereka juga mengugut akan menebang pokok-pokok kurma kami sekiranya tidak mahu menyerah."

     "Apa yang berlaku seterusnya?" tanya Abdullah.

     "Pada mulanya kami memang tidak mahu menyerah. Tetapi selepas melihat pokok kurma kami ditebang maka kami terpaksa menyerah diri kerana tidak sanggup melihat pokok kurma kami ditebang," jawab Sallam sambil menceritakan situasi Bani Nadhir dikepung.

     "Ceritakan apa yang berlaku seterusnya?" tanya Sulaim pula.

     "Selepas kami menyerah maka kami dihalau keluar dari Yathrib. Kami bukan sahaja kehilangan pokok kurma tetapi juga rumah, tanah dan segala harta milik kami," jawab Sallam. Kemudian katanya lagi, "Kita cuma ada dua pilihan. Sayang pokok kurma ataupun sayang Kota Khaibar ini. Sekiranya sayangkan pokok kurma kamu menyerah diri dan pasti hilang semuanya. Sekiranya sayangkan Kota Khaibar kamu masih ada harapan mendapat kedua-duanya iaitu Kota Khaibar dan pokok kurma."

     Akhirnya mereka mencapai kata sepakat tidak akan menyerah walaupun pokok kurma ditebang. Malah itu akan menaikkan lagi semangat mereka berjuang. Sallam sengaja tidak memberi jawapan kepada Nabi Muhammad sama ada mahu menyerah ataupun tidak. Sengaja dilakukannya begitu supaya Nabi Muhammad dan pasukan tenteranya letih menunggu.

     Selepas tidak mendapat apa-apa jawapan daripada Sallam bin Misykam maka Nabi Muhammad menyuruh ditebang sebatang pokok kurma yang paling hampir dengan benteng Nai'im. Tindakan itu tidak memberi apa-apa kesan. Malah menaikkan lagi semangat penduduk Khaibar bagi berperang.

     Kemudian Nabi Muhammad menyuruh ditebang dua batang namun tidak juga penduduk Khaibar mahu berdamai. Akhirnya ditebang dengan jumlah yang banyak sehingga jumlahnya empat ratus pokok. Namun penduduk Khaibar masih juga tidak mahu berdamai ataupun menyerah. Akhirnya Nabi Muhammad memutuskan jangan ditebang lagi. Cukup empat ratus pokok sahaja. Mereka akan memikirkan taktik yang lain pula.

     Apabila penduduk Khaibar mendapati pasukan Muslimin tidak lagi menebang pokok kurma, mereka bersorak keriangan. Sallam bin Misykam yang paling gembira kerana berjaya meyakinkan penduduk Khaibar supaya jangan menyerah.

     "Semua yang bersenjatakan panah diminta berada di atas tembok Nai'im. Kemudian hujani Muhammad dan pengikutnya dengan anak panah. Jangan berhenti sehingga mereka pergi dari sini," perintah Sallam bin Misykam kepada pasukan pemanahnya.

     Perintah itu segera dituruti. Tentera Khaibar berada di atas benteng Nai'im lalu menyerang. Maka pasukan Muslimin dihujani anak panah menyebabkan mereka terpaksa berlindung di tempat yang selamat. Melihat begitu banyaknya anak-anak panah yang berterbangan ke arah pasukan Islam maka seorang pahlawan kaum Ansar bernama Mahmud bin Muslamah bertindak berani dengan mengumpulkan anak-anak panah yang masih elok bagi diberikan kepada pasukan pemanah Islam. Tindakan Mahmud itu menyebabkan pasukan pemanah Khaibar tidak lagi melepaskan anak-anak panah kerana tidak mengenai sasaran. Sebaliknya anak-anak panah itu akan digunakan pula oleh pasukan Muslimin.

     Selepas penat mengumpulkan anak-anak panah Mahmud berlindung di bawah satu tembok benteng Khaibar itu. Dia tidak khuatirkan keselamatan dirinya kerana memakai baju besi dan topi besi. Sedang beliau duduk berehat maka beberapa orang tentera Khaibar memanjat tembok itu dari bahagian dalam lalu menjatuhkan sebuah batu yang besar tepat mengenai kepala Mahmud menyebabkan lehernya patah dan meninggal dunia di tempat itu.

     Mayat Mahmud segera diselamatkan kawan-kawannya lalu dibawa ke perkhemahan tentera Islam kemudian dikebumikan sebagai pahlawan yang syahid.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment