Monday 19 February 2018

PERANG KHAIBAR [ BAB 3 - PERSIAPAN KE KHAIBAR ]






PERSIAPAN KE KHAIBAR








Musim sejuk sudah berakhir. Kini tiba pula musim panas. Pohon-pohon kurma sudah mula berbunga dan berputik. Haiwan ternakan juga mula membiak. Penduduk Madinah menyambut kedatangan musim panas dengan gembira. Namun kegembiraan itu hanya sementara kerana tersebar beritahu Yahudi Khaibar sedang membuat persiapan mahu menyerang Madinah. Lebih menggemparkan apabila mereka bergabung dengan kabilah Yahudi yang lain antaranya Wadi Qura, Yahudi Taima' dan kabilah Arab Ghatafan.

     "Penduduk Madinah baru sahaja menikmati kehidupan yang aman selepas berlakunya Perang Khandaq. Sekarang kita akan menghadapi serangan Yahudi Khaibar pula. Di manakah keamanan yang dijanjikan Nabi Muhammad?" tanya Nukman, seorang penduduk Madinah yang belum menganut Islam.

     "Nabi Muhammad sudah pun membawa keamanan kepada penduduk Madinah. Tidakkah kamu sedar yang kita sedang menikmati keamanan itu sekarang?" tanya Basyirun pula.

     "Peperangan demi peperangan berlaku. Apakah itu keamanan kepada penduduk Madinah?" marah Nukman pula.

     "Apakah kamu sudah lupa, sebelum kedatangan Muhammad berlaku peperangan antara kaum Aus dan Khazraj? Pertempuran demi pertempuran berlaku antara kedua-dua belah pihak dan pertumpahan darah itu berlaku di bumi Madinah ini. Ramai yang terkorban."

     "Selepas Nabi Muhammad berhijrah ke sini, tidak pernah lagi berlaku pertumpahan darah di bumi Madinah. Walaupun berlaku Perang Badar, Perang Uhud dan peperangan yang kecil-kecil, semuanya berlaku di luar Kota Madinah. Kaum wanita dan kanak-kanak kita selamat. Bukankah itu namanya keamanan hidup?" tanya Basyirun dengan agak panjang bagi memberi kesedaran kepada kawannya.

     "Benar juga katamu itu. Nabi Muhammad membawa keamanan kepada penduduk Madinah." Akhirnya Nukman mengakui kebenaran itu. Dia tidak menyalahkan Nabi Muhammad lagi.

     Kemudian datang pula Abdullah bin Ubai bersama kawan-kawannya. Dia terus berkata, "Tidakkah kamu tahu orang Yahudi sudah bergabung dengan kabilah Arab Ghatadan dan mereka sedang membuat persiapan bagi menyerang Madinah? Jumlah mereka lebih ramai daripada tentera Ahzab," kata Abdullah bin Ubai dengan wajah yang memperlihatkan rasa cemas.

     "Kami tahu dan kami bersedia menentang mereka," kata Basyirun pula.

     "Menentang mereka sama seperti menyembelih leher sendiri. Kerana itu saya berpendapat lebih baik kita menyerah diri ataupun berundur dari sini," kata Abdullah bin Ubai.

     "Itu tindakan orang yang penakut. Saya yakin Nabi Muhammad dan semua pengikutnya tidak akan menyerah kalah apatah lagi melarikan diri," kata Basyirun pula.

     "Tidakkah kamu tahu kedudukan kita lebih bahaya kerana pasukan yang datang itu lebih ramai daripada tentera Ahzab. Mereka datang pada musim panas yang pastinya tidak berlaku ribut taufan dan hujan lebat seperti yang menimpa pasukan Ahzab?" Abdullah bin Ubai cuba menakutkan Basyirun dan Nukman.

     "Saya tidak takut kerana parit yang digali oleh Muhammad dan pengikutnya masih dapat digunakan sebagai penghadang serangan musuh. Kita akan membantu Nabi Muhammad berjuang bersungguh-sungguh bagi mempertahankan Madinah," kata Basyirun lagi yang tidak takut dengan kata-kata Abdullah bin Ubai itu.

     "Mereka datang membawa peralatan bagi menyeberangi parit itu. Ke mana kita hendak lari sekiranya musuh sudah berada di keliling kita?" tanya Abdullah bin Ubai pula.

     "Saya yakin Allah akan membantu Nabi Muhammad dan kita semua. Saya menganggap kamu adalah mereka yang penakut." Kata-kata Basyirun itu mengundang kemarahan Abdullah bin Ubai. Maka terjadi pertengkaran antara mereka.

     Tetapi pertengkaran antara Abdullah bin Ubai dengan Basyirun itu dapat dileraikan apabila Abu Mas'ud datang. Beliau segera membuat pengumuman.

     "Nabi Muhammad akan membentuk pasukan bagi berangkat ke Khaibar. Mereka yang mahu menyertainya boleh mendaftarkan nama. Tetapi keutamaan hanya diberikan kepada mereka yang bersama dengan Nabi Muhammad semasa menandatangani perjanjian Hudaibiyah," kata Abu Mas'ud.

     "Apakah Nabi Muhammad mahu menyerang Khaibar?" tanya Abdullah bin Ubai yang kelihatan begitu tertarik hati.

     "Sudah sampai berita kepada Nabi Muhammad bahawa musuh dari Khaibar mahu menyerang Madinah. Sebelum mereka datang menyerang, lebih baik kita yang menyerang mereka dulu," jawab Abu Mas'ud. Perkara itu tidak menjadi rahsia lagi kerana Nabi Muhammad menyuruh para sahabat mengumumkannya kepada orang ramai.

     "Nabi Muhammad memang seorang yang sangat bijak. Kerana itu saya menyokong cadangannya bagi menyerang Khaibar sebelum mereka menyerang kita. Saya cadangkan kita menyerang Khaibar pada waktu malam ketika mereka sedang tidur nyenyak." Tiba-tiba Abdullah bin Ubai menukar corak percakapannya seolah-olah menyokong penuh apa yang dirancang Nabi Muhammad.

     "Dengar baik-baik pengumuman ini. Hanya mereka yang bersama Rasulullah semasa perjanjian Hudaibiyah yang diberi keutamaan. Walaupun begitu, sesiapa yang mahu pergi tidak dihalang," kata Abu Mas'ud mengulang semula pengumuman itu.

     "Walaupun saya tidak bersama Nabi Muhammad semasa Perjanjian Hudaibiyah tetapi saya tetap mahu ikut juga. Nabi Muhammad tidak boleh melarang sesiapa yang hendak pergi memerangi musuh yang mahu menyerang kita," kata Abdullah bin Ubai pula.

     "Kata Nabi Muhammad, sekiranya mereka yang tidak menyertai Perjanjian Hudaibiyah hendak pergi juga berperang di Khaibar, mereka dibenarkan tetapi dengan syarat," kata Abu Mas'ud pula.

     "Syarat apa pula?" tanya Abdullah bin Ubai.

     "Mereka tidak berhak mendapat harta perang tetapi sekiranya gugur akan dikira sebagai syahid," jawab Abu Mas'ud.

     "Syarat itu tidak adil. Saya tidak setuju," bantah Abdullah bin Ubai.

     "Mengapa tidak setuju?" tanya Abu Mas'ud pula.

     "Semua yang pergi berperang berhak mendapat harta rampasan. Saya akan menuntut hak saya," jawab Abdullah bin Ubai.

     "Nabi Muhammad sendiri yang akan memimpin angkatan perang Madinah kerana itu baginda berhak membuat keputusan," tegas Abu Mas'ud.

     "Sekiranya begitu lebih baik kita jangan pergi. Saya yakin mereka akan pulang dengan membawa kekalahan," kata Abdullah bin Ubai.

     "Saya lebih percayakan kata-kata Nabi Muhammad daripada kata-kata kamu yang suka berdolak-dalik," kata Abu Mas'ud.

     "Apa kata Nabi Muhammad?" tanya Abdullah bin Ubai.

     "Baginda memberi isyarat pasukan Islam mendapat kemenangan apabila mengatakan mereka yang menyertainya akan beroleh pembahagian harta rampasan perang kecuali mereka yang tidak menyertai baginda dalam Perjanjian Hudaibiyah," jawab Abu Mas'ud.

     "Saya pernah pergi ke Kota Khaibar. Benteng mereka kukuh dan tidak siapa yang mampu menewaskan mereka walaupun dikepung selama sepuluh tahun. Kerana itu saya rasa tidak rugi sekiranya tidak menyertainya," kata Abdullah bin Ubai sambil tertawa.

     "Biarlah mereka yang ikhlas berjuang di jalan Allah sahaja yang menyertainya. Mereka yang munafik lebih baik duduk di rumah sahaja," perli Abu Mas'ud.

     Maka berlaku pula pertengkaran antara Abdullah bin Ubai dan Abu Mas'ud. Keadaan menjadi semakin tegang apabila kawan-kawan Abdullah bin Ubai masuk campur. Nukman dan Basyirun pula menyebelahi Abu Mas'ud.

     "Jangan bergaduh sesama sendiri. Kita perlu bersatu menghadapi musuh yang mengancam Madinah," marah Umar Al-Khattab yang kebetulan lalu di situ. Dia berjaya menenangkan keadaan. Kemudian Abdullah bin Ubai dan kawan-kawannya segera beredar dari situ.

     Keesokan harinya selepas sembahyang subuh di Masjid Nabi masih ramai yang mendaftarkan nama mereka bagi menyertai pasukan perang ke Khaibar. Abdullah bin Ubai dan pengikutnya turut mendaftarkan diri.

     "Janganlah kamu keluar bersama saya, melainkan kerana berjihad. Adapun rampasan perang sedikit pun saya tidak akan berikan kepada kamu," kata Nabi Muhammad.

     Mendengar kata-kata itu Abdullah bin Ubai dan pengikutnya tidak jadi mendaftarkan diri. Namun mereka yang ikhlas berjuang kerana Allah tetap juga mahu pergi berperang walaupun tidak mendapat harta rampasan perang. Ali bin Abi Talib ditugaskan mengira jumlah anggota pasukan itu. Semuanya berjumlah 1600 orang, 200 orang daripada mereka menunggang kuda. Selebihnya menaiki unta. Pada kali ini tidak ada yang berjalan kaki.

     Safiyyah binti Abdul Mutalib yang mewakili kaum Muslimat memohon kepada Nabi Muhammad supaya dibenarkan mereka turut serta bagi membantu pasukan Muslimin menyediakan makanan serta merawat mereka yang cedera. Nabi Muhammad membenarkan dengan syarat mereka terdiri daripada isteri para sahabat yang turut menyertai pasukan itu. Wanita yang suami mereka tidak termasuk dalam pasukan itu tidak dibenarkan. Jumlah mereka dua puluh orang, diketuai Safiyyah binti Abdul Mutalib. Bagi menguruskan Kota Madinah Nabi Muhammad melantik Siba' bin Arfatah sebagai wakilnya.

     Ummu Sulaim binti Milhan datang menemui Nabi Muhammad bagi menyerahkan anaknya Anas bin Malik yang baru berumur sepuluh tahun bagi dijadikan pengasuh baginda. Amir bin Akwa pula menawarkan dirinya menjadi pengemudi atau pembimbing unta yang akan dinaiki Rasulullah.

     Nabi Muhammad berpesan kepada mereka yang tidak menyertai pasukan itu supaya menjaga keselamatan Kota Madinah. Kemudian baginda melantik Ali bin Abi Talib membawa bendera. Umar Al-Khattab diberi tanggungjawab mengetuai sayap di sebelah kiri manakala Akhasyah bin Mohsin di sayap sebelah kanan. Selepas Nabi Muhammad memberikan taklimat mereka pun bergerak keluar dari Madinah menuju ke Khaibar.

     Orang ramai mengiringi perjalanan pasukan Muslimin dan Muslimat itu sehingga sampai ke pintu masuk Kota Madinah. Selepas pasukan itu hilang daripada pandangan baru mereka pulang ke rumah.

     "Bagi mengalahkan musuh dalam peperangan memerlukan anggota yang ramai. Mengapa Nabi Muhammad hanya membenarkan mereka yang menyertai Perjanjian Hudaibiyah yang pergi berperang di Khaibar? Mengapa tidak dibenarkan semua orang pergi?" tanya Abdul Jabar kepada ibunya semasa dalam perjalanan pulang.

     "Sebab baginda tidak mahu pasukan itu disertai mereka yang munafik seperti Abdullah bin Ubai dan konco-konconya. Kerana itu baginda membuat syarat begitu," jawab Asmah, ibu Abdul Jabar.

     "Apa salahnya sekiranya golongan munafik itu turut serta?" tanya Abdul Jabar lagi.

     "Mereka tidak boleh dipercayai. Tengok apa yang terjadi semasa Perang Uhud. Abdullah bin Ubai berserta tiga ratus orang pengikutnya pulang dengan meninggalkan pasukan Islam. Tindakan mereka itu sangat bahaya kerana dapat melemahkan semangat pasukan Muslimin bagi berperang. Mujur tidak berlaku kerana Nabi Muhammad dapat memberi semangat kepada mereka supaya terus berjuang," jawab ibunya.

     "Mengapa Nabi Muhammad memberi syarat sekiranya mereka yang tidak menyertai Perjanjian Hudaibiyah mahu turut serta, dibenarkan tetapi mereka tidak dapat menerima harta rampasan perang?" tanya Abdul Jabar lagi.

     "Nabi Muhammad seorang ketua tentera yang bijak. Baginda mahu mereka yang menyertainya benar-benar berjuang kerana Allah bukan kerana mahukan harta rampasan perang. Dengan adanya syarat itu mereka yang munafik seperti Abdullah bin Ubai tidak mahu pergi kerana tidak mendapat harta rampasan," jawab Asmah. Kemudian katanya lagi, "Apabila pasukan itu hanya disertai mereka yang benar-benar ikhlas berjuang kerana Allah dan bukannya bagi mendapat harta rampasan perang, maka mereka akan mendapat bantuan daripada Allah. Sesungguhnya kemenangan sesuatu pasukan itu bukan ditentukan kepada ramai atau sedikitnya jumlah pasukan," kata Asmah.

     Barulah Abdul Jabar faham. Dia turut memuji kebijaksanaan Nabi Muhammad SAW.

     "Apabila besar kelak saya mahu menyertai pasukan Islam berjihad ke jalan Allah," kata Abdul Jabar dengan penuh semangat.

     Pada masa yang sama, pasukan Islam meredah padang pasir Madinah menuju ke Khaibar. Unta yang ditunggang Nabi Muhammad berjalan di hadapan sekali. Amir bin Akwa yang menjadi pengemudi kenderaan Rasulullah menjalankan tugasnya dengan baik.

     "Wahai Amir, kamu seorang penyair yang mempunyai suara yang lunak. Tidak mahukah kamu memperdengarkan syair-syairmu kepada kami?" tanya Uthman bin Affan.

     "Boleh juga sekiranya mendapat keizinan daripada Rasulullah," jawab Amir sambil memohon izin baginda. Selepas mendapat keizinan maka Amir pun bersyair.

     Demi Allah
     Sekiranya tidak kerana rahmatmu
     Kita telah sesat
     Kita tidak mengeluarkan zakat
     Kita tidak mengerjakan sembahyang
     Kita umat Nabi Muhammad
     Bila dizalimi dan dianiaya 
     Tidak akan berdiam diri
     Demi Allah
     Kurniakan kami kelegaan hati 
     Kuatkan tekad kami di jalan ini.

     Nabi Muhammad kelihatan senang hati mendengar bait-bait syair yang dibacakan Amir sehingga baginda berdoa.

     "Semoga Allah melimpahkan rahmat kepadamu," kata Rasulullah.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment