Monday 26 February 2018

PERANG KHAIBAR [ BAB 16 - PERCUBAAN MERACUN RASULULLAH ]






PERCUBAAN MERACUN RASULULLAH








"Walaupun perang sudah tamat namun dendamku terhadap Muhammad tidak pernah padam malah semakin marak menyala membakar seluruh sanubariku. Aku tidak tidur lena selagi dendamku ini tidak berbalas," kata Zainab binti Al-Harith seorang wanita muda yang cantik jelita dan terkenal di kalangan Yahudi Khaibar.

     Kemudian katanya lagi, "Akibat daripada tindakan Muhammad dan pengikutnya menyerang Kota Khaibar, seramai sembilan puluh tiga orang kaum kerabat kita sudah terkorban demi mempertahankan benteng ini. Apakah tuan-tuan dan puan-puan mahu melupakan sahaja malapetaka ini? Adakah anda sekalian hanya tersenyum melihat mereka pergi dari sini? Tidak, aku akan pastikan Muhammad menemui ajalnya sebelum meninggalkan Khaibar."

     Ternyata kata-kata isteri kepada Sallam bin Misykam itu berjaya meniupkan perasaan marah dan benci penduduk Khaibar terhadap Nabi Muhammad dan pengikutnya. Namun perasaan itu terpaksa dipendamkan kerana bimbang tindak balas tentera Islam. Mereka menunjukkan sikap baik walau dalam hati tersimpan dendam kesumat yang menunggu masa bagi dilepaskan.

     Zainab binti Al-Harith menaruh perasaan marah dan dendam kerana suaminya mati semasa mempertahankan benteng Nai'im. Walaupun kematian suaminya akibat diracun oleh orang kepercayaannya sendiri namun wanita itu tetap mempersalahkan Nabi Muhammad. Apa yang lebih membakar dendam kesumatnya adalah apabila abangnya panglima Marhab dibunuh oleh Sayidina Ali dalam perang tanding satu lawan satu.

     Sebenarnya Zainab sendiri yang mencabar abangnya Marhab supaya membunuh Nabi Muhammad melalui perang tanding satu lawan satu. Dia yakin abangnya yang terkenal sebagai lelaki yang gagah perkasa punya kekuatan menyamai sepuluh orang lelaki itu dengan mudah dapat mengalahkan Nabi Muhammad. Marhab menyanggupi cabaran adik perempuannya itu lalu keluar mencabar tentera Islam. Tetapi dia ditewaskan oleh Ali bin Abi Talib.

     Selain itu Zainab juga sakit hati apabila Nabi Muhammad mengambil Safiyyah isteri Kinanah menjadi isterinya. Pada mulanya dia berharap dirinya yang menjadi pilihan Nabi Muhammad kerana dia terkenal sebagai wanita yang paling cantik di kalangan wanita Yahudi Khaibar. Kerana itu dia berasa dengki dan sakit hati lalu mahu membunuh Nabi Muhammad.

     "Kamu seorang wanita yang cantik dan bijaksana. Kata-katamu mendapat sokongan penduduk Khaibar. Mereka merestui rancangan kamu hendak membunuh Muhammad. Namun rancangan itu perlu dibuat dengan halus dan berhati-hati supaya tidak menimbulkan syak wasangka para pengikutnya," kata Ubaid yang juga sudah terpengaruh dengan kata-kata Zainab. Dalam diam-diam dia juga menaruh hati kepada balu Sallam bin Misykam itu.

     "Berilah cadangan cara yang paling baik bagi saya membunuh Muhammad?" tanya Zainab lagi. Dia berasa sangat gembira kerana sudah ada yang berani membantunya menjayakan rancangan jahatnya itu.

     "Muhammad tidak dapat dibunuh dengan senjata kerana sentiasa dikawal pengikutnya. Tetapi saya yakin dia dapat dibunuh dengan racun yang paling berbisa," jawab Ubaid yang juga terkenal sebagai lelaki yang licik fikirannya.

     "Benar sekali katamu itu. Tolong carikan saya racun yang paling bisa. Saya akan berikan kepada Muhammad," kata Zainab dengan gembira selepas Ubaid menyatakan sanggup memberi kerjasama.

     "Saya akan mendapatkan racun yang paling bisa itu tetapi bagaimanakah kamu hendak memberinya sedangkan Muhammad sentiasa dikawal pengikutnya?" tanya Ubaid mahukan kepastian.

     "Tahulah saya bagaimana mahu melakukannya. Kamu carikan sahaja racun yang paling bisa kemudian serahkan kepada saya," jawab Zainab lalu menggesa Ubaid segera mencarinya.

     Ubaid pergi mencari racun yang paling bisa. Kebetulan ada seorang dukun Yahudi yang terkenal pandai membuatnya. Selepas membayar dengan upah yang lumayan maka Ubaid pun dapat memiliki racun yang paling bisa itu. Zainab pula menemui Safiyyah binti Abdul Mutalib, ibu saudara Nabi Muhammad yang turut menyertai tentera Islam ke Khaibar. Dia menjadi ketua Muslimat yang bertugas merawat tentera yang cedera.

     "Wahai ibu, alangkah mulianya budi pekerti Nabi Muhammad yang sanggup memaafkan penduduk Khaibar. Walaupun kami baru sahaja berperang namun Muhammad tidak menaruh dendam. Dia bersedia memaafkan kami. Muhammad seorang lelaki yang paling baik pernah saya temui," kata Zainab lalu berpura-pura kagum serta memuji Nabi Muhammad. Tetapi dalam hatinya penuh dengan dendam kesumat.

     "Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Dia tidak pernah menyimpan dendam kepada sesiapa walaupun kepada mereka yang memusuhinya," puji Safiyyah pula.

     "Muhammad juga sanggup menjadikan Safiyyah binti Huyay sebagai isterinya selepas suaminya Kinanah dihukum pancung. Sekiranya mahu Muhammad boleh sahaja menjadi Safiyyah itu hamba ataupun tempat melepaskan nafsunya sahaja kerana sudah menjadi tawanan perang," kata Zainab lagi terus mencucukkan jarum tipu helahnya bagi memperdayakan Safiyah.

     "Sufiyyah binti Huyay itu seorang wanita yang jujur. Dia berkahwin dengan Kinanah kerana dipaksa oleh ayahnya. Dia juga tidak menyetujui tindakan suaminya bermusuhan dengan Nabi Muhammad," kata Safiyyah binti Abdul Mutalib pula.

     Selepas agak lama berbual dan selepas meluahkan kata-kata puji-pujian terhadap Nabi Muhammad, akhirnya Zainab bertanya perkara yang perlu diketahui bagi melaksanakan rancangan khianatnya.

     "Wahai ibuku, saya juga mahu menjadi pengikut Muhammad. Bolehkah ibu menyampaikan hasrat hati saya ini kepada Muhammad?" tanya Zainab yang tujuannya hanya bagi menarik perhatian Safiyyah.

     "Dengan senang hati ibu sanggup memberitahunya. Dia tentu gembira mendengar kerana kamu wanita yang ternama," jawab Safiyyah yang tidak tahu niat sebenar wanita Yahudi itu.

     "Ibu juga tentu lebih tahu perihal Muhammad. Boleh saya tahu apakah makanan kegemarannya?" tanya Zainab dengan perasaan yang berdebar kerana itulah tujuan sebenar dia berjumpa ibu saudara Nabi Muhammad itu.

     "Nabi Muhammad paling suka sup daging kambing," jawab Safiyyah yang tahu makanan kegemaran Nabi Muhammad.

     "Bahagian manakah yang paling disukainya?" tanya Zainab lagi.

     "Bahagian peha kambing," jawab Safiyyah.

     Sejak itu sering Zainab menemui Safiyah sehingga hubungan mereka menjadi rapat. Kemudian Zainab bertanya, "Di rumah saya ada seekor kambing dara yang belum pernah melahirkan anak. Saya bercadang hendak menyembelih kambing itu dan dagingnya dibuat sup. Saya mahu menghadiahkan semangkuk sup itu kepada Nabi Muhammad. Apakah baginda sudi memakannya?" tanya Zainab pula.

     "Nabi Muhammad tidak pernah menolak pemberian orang. Dia juga tidak pernah mencela makana yang diberikan kepadanya," jawab Safiyyah.

     Alangkah gembira hati Zainab mendengar kata-kata Safiyyah itu. Dia menyuruh Ubaid menyembelih kambing kepunyaannya kemudian dibuatnya sup. Dia mengasingkan semangkuk daripada sup itu bagi diberikan kepada Nabi Muhammad. Selepas dibubuh racun maka sup itu diberikannya kepada Safiyah bagi diberikan kepada Nabi Muhammad.

     "Wahai ibuku, alangkah gembiranya hati saya sekiranya Nabi Muhammad sudi memakan pemberianku ini walaupun sedikit. Kerana itu mahukah ibu sekiranya ibu katakan kepada Muhammad yang sup kambing ini ibu sendiri yang memasaknya. Dengan itu Muhammad tidak segan memakannya," kata Zainab yang kelihatan bersungguh-sungguh.

     Safiyyah bersetuju dengan permintaan wanita Yahudi itu. Dia memberikan mangkuk yang berisi sup kambing itu kepada Nabi Muhammad. Seperti lazimnya baginda tidak suka makan bersendirian melainkan diajak mereka yang berada di kelilingnya supaya makan bersama. Maka datanglah beberapa orang sahabat kepada Nabi Muhammad bagi sama-sama menikmati sup kambing itu. Antaranya seorang sahabat Nabi Muhammad bernama Bisyr bin Al-Barra' bin Al-Ma'rur. Kebetulan pula Bisyr juga suka makan sup kambing. Dia yang dahulu menjamah sup itu sebelum Nabi Muhammad.

     Nabi Muhammad mengambil bahagian peha kambing yang paling digemarinya itu lalu mahu memakannya. Tiba-tiba dengan izin Allah daging kambing itu memberitahu yang dia sudah dibunuh racun.

     "Daging ini memberitahu saya ia sudah dibunuh racun," kata Nabi Muhammad lalu membuang daging itu. Tetapi Bisyr Al-Barra sudah pun menelannya.

     Tidak lama kemudian Bisyr mengadu kesakitan lalu meninggal dunia ketika itu juga. Nabi Muhammad memanggil ibu saudaranya Safiyyah lalu bertanya siapa yang memberinya makanan itu. Dengan rasa penuh ketakutan dan menyesal maka diceritakannya.

     "Saya tidak menyangka wanita Yahudi itu sanggup memanggil saya ibu dan melayan saya seperti ibunya. Rupa-rupanya dia ada muslihat bagi membunuh Nabi Muhammad," kata Safiyyah kesal.

     Kemudian Nabi Muhammad menyuruh semua kaum Yahudi Khaibar berkumpul lalu bertanya, "Apakah kamu mahu menjawab sekiranya saya bertanya?"

     "Ya," jawab orang Yahudi Khaibar itu.

     "Adakah kamu yang membubuh racun ke dalam makanan ini?" tanya Nabi Muhammad sambil menunjuk daging kambing itu.

     Mereka terdiam penuh ketakutan. Sebenarnya mereka semua tahu pakatan membunuh Nabi Muhammad dengan racun itu. Malah mereka yang turut mencari serta membantu Zainab memasaknya.

     "Sebentar tadi kamu berjanji mahu menjawab pertanyaan Nabi Muhammad. Jangan mungkir janji, kelak buruk padahnya," marah Umar bin Al-Khattab.

     "Adakah kamu yang membubuh racun ke dalam makanan ini?" Nabi Muhammad mengulang sekali lagi pertanyaannya.

     "Benar..." jawab mereka beramai-ramai. 

     "Mengapa kamu melakukannya?" tanya Nabi Muhammad lagi.

     "Kami mahu menguji kamu wahai Muhammad. Sekiranya kamu pendusta kami berasa lega dengan kematianmu. Sekiranya kamu benar seorang nabi maka racun itu tidak memudaratkan engkau," jawab Ubaid.

     "Apa yang mendorong kamu membubur racun ke dalam makanan ini?" tanya Nabi Muhammad kepada Zainab.

     "Membalas dendam atas kematian suami dan abang aku," jawab Zainab berterus terang.

     "Allah tidak mengizinkan kamu melakukannya ke atasku," kata Nabi Muhammad.

     "Wahai Rasulullah, izinkan saya memenggal leher wanita ini," teriak Umar Al-Khattab dengan sangat marah.

     Tetapi Nabi Muhammad tidak mengizinkannya kerana wanita itu bercakap benar serta menyesali perbuatannya.

     Namun Abdullah anak lelaki Bisyr yang turut menyertai bapanya dalam Perang Khaibar tidak dapat membiarkan perkara itu berlaku begitu sahaja. Dia mahu membalas dendam ke atas orang yang menyebabkan kematian bapanya. Pada malam itu Abdullah pergi ke rumah Zainab lalu membunuhnya.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment