Thursday 22 February 2018

PERANG KHAIBAR [ BAB 7 - LARANGAN MEMAKAI KELDAI JINAK ]






LARANGAN MEMAKAN KELDAI JINAK








Selepas mengepung benteng Nai'im selama enam hari, belum ada tanda-tanda tentera Khaibar yang mempertahankan benteng itu akan menyerah kalah. Malah serangan yang mereka lakukan terhadap pasukan Islam semakin sengit. Setiap hari mereka menghujani tentera Islam dengan anak-anak panah sehingga tentera Islam tidak dapat menghampiri benteng utama Kota Khaibar itu.

     "Teruslah menyerang mereka dengan anak-anak panah supaya tidak dapat menghadiri kubu yang penting ini. Pertahankan benteng Nai'im hingga ke hujung nyawa," perintah Sallam bin Misykam.

     Dia sangat bimbang sekiranya kubu Nai'im itu jatuh ke tangan pasukan Islam kerana di dalamnya terdapat makanan dan senjata yang sangat berguna. Kerana itu dia menempatkan ramai pahlawan Bani Nadhir di benteng itu.

     "Bagaimana nanti sekiranya anak-anak panah kita kehabisan? Sedangkan kita tidak mendapat bantuan dari luar," kata Al-Harith bin Abu Zainab pembantu Sallam.

     Dia juga kurang setuju dengan beberapa tindakan Sallam tetapi tidak berani membantahnya kerana sudah dilantik menjadi ketua Yahudi Khaibar.

     "Jangan bimbang kerana kabilah Ghatafan dan rakan-rakan kita yang lain akan datang memberi bantuan tidak lama lagi," kata Sallam dengan begitu yakin.

     "Bagaimana sekiranya mereka tidak dapat memberi bantuan kerana Muhammad dan pengikutnya sudah mengepung Kota Khaibar?" tanya Al-Harith lagi lalu menyatakan rasa kurang yakinnya kabilah Ghatafan akan datang membantu.

     "Kita sudah membuat perjanjian dengan mereka. Kerana itu mereka perlu membantu kita. Saya yakin sangat mereka tidak akan membiarkan kita," jawab Salam pula.

     "Sudah enam hari kita dikepung namun kabilah Ghatafan masih belum memberi bantuan. Saya bimbang mereka mungkir janji kerana lebih memikirkan keselamatan perkampungan mereka daripada kita." Al-Harith terus meluahkan keraguan hatinya.

     "Jangan bimbang sebab Muhammad dan pengikutnya tidak dapat bertahan lama. Apabila mereka kehabisan makanan pasti mereka meninggalkan tempat ini. Sedangkan kita mempunyai simpanan makanan yang banyak. Kita tidak akan kebuluran walaupun dikepung selama setahun," jawab Sallam lalu menyuruh pembantunya itu jangan bimbang serta menaruh kepercayaan terhadapnya.

     Pada malam sebelum pasukan tentera Islam mengepung Kota Khaibar, pasukan tentera Ghatafan sudah pulang ke kampung mereka kerana yakin Nabi Muhammad tidak jadi menyerang. Yang tinggal cuma pasukan tentera dari Qura, Taima' dan Fazarah. Mereka sama-sama mempertahankan Kota Khaibar.

     Berita berkenaan kepungan yang dilakukan terhadap Kota Khaibar itu sampai ke pengetahuan pemimpin kabilah Ghatafan. Tetapi mereka tidak dapat memberi bantuan kerana jalan ke Kota Khaibar sudah disekat oleh tentera Islam. Kerana itu mereka hanya berdiam diri tidak dapat menghantar bantuan. Tambahan pula timbul rasa ketakutan mereka terhadap tindak balas tentera Islam.

     "Lebih baik kita kutip semua buah kurma yang sudah masak dan simpan di dalam kubu kita. Sekiranya kita dikepiung oleh Muhammad dan pengikutnya kita sudah cukup bekalan makanan," kata pemimpin kabilah Ghatafan. Dia melupakan perjanjiannya dengan ketua Yahudi Khaibar itu.

     Di medan perang pula, tentera Khaibar yang berada di atas benteng Nai'im terus menyerang tentera Islam dengan anak-anak panah sehingga mereka tidak dapat menghampiri benteng itu. Beberapa kali percubaan dilakukan bagi menawan benteng itu tetapi tidak berjaya.

     Pada waktu malam tentera Islam cuba memanjat benteng itu tetapi masih gagal juga kerana licin dan tinggi. Satu-satunya cara memasuki benteng itu hanya melalui pintu hadapan yang diperbuat daripada besi. Tetapi mereka tidak dapat menghampirinya kerana diserang dengan panah. Namun tentera Islam tidak berputus asa. Mereka terus berusaha memasuki benteng Nai'im.

     "Pertahanan benteng Nai'im ini begitu kukuh sehingga sukar bagi kita hendak memasukinya. Namun saya yakin kita pasti berjaya juga akhirnya. Cuma menunggu masanya," kata Abu Ubaidah.

     "Saya juga yakin Tuhan menganugerahkan Kota Khaibar kepada kita. Tetapi Tuhan tidak akan memberinya dengan mudah kerana itu kita perlu berusaha mendapatkannya," kata Uthman pula.

     "Di sini terdapat tiga buah kubu yang besar dan kita masih belum dapat menawan walau sebuah pun. Kerana itu mari kita berusaha keras bagi mendapatkannya," kata Umar Al-Khattab dengan penuh bersemangat.

     "Kita diperintahkan Rasulullah menawan kubu Nai'im dahulu kerana inilah kubu yang paling besar dan kukuh. Apabila kubu ini dapat ditawan maka kubu yang lain dengan mudah jatuh ke tangan kita," kata Ali bin Abi Talib pula.

     "Selepas enam hari bertempur kita kekurangan makanan. Sekiranya keadaan ini berterusan, bimbang melemahkan semangat tentera kita. Kerana itu kita perlu melakukan sesuatu bagi mengatasinya," kata Abu Ubaidah pula.

     "Usah bimbang kerana Rasulullah ada bersama kita. Beliau tidak akan membiarkan kita kelaparan. Bantuan Allah pasti tiba melalui mukjizat Rasulullah," pujuk Abu Bakar yang cuba menenangkan perasaan sahabat-sahabatnya.

     Umar Al-Khattab kelihatan termenung sejenak. Kemudian dia berkata, "Apakah kamu tidak nampak banyak himar jinak berkeliaran di sekitar kawasan ini. Mari kita tangkap dan sembelih kemudian dimasak sebagai makanan kita."

     "Himar itu dimiliki penternak Khaibar. Apakah kita dibolehkan memakannya?" tanya Ali ragu-ragu.

     "Kita dalam keadaan berperang dan darurat kerana kekurangan makanan. Kerana itu saya berpendapat dibolehkan," jawab Umar Al-Khattab.

     Mereka bersetuju dengan cadangan itu walaupun tahu himar jinak itu kepunyaan penternak Khaibar. Tetapi dalam perang atau keadaan darurat mereka berpendapat dibolehkan memakannya. Tanpa memberitahu Nabi Muhammad mereka menangkap tiga puluh ekor himar yang jinak itu lalu menyembelihnya. Kemudian dimasak dalam tiga puluh buah kuali.

     Apabila menggelegak asap dari api yang memasak daging himar jinak itu kelihatan oleh Rasulullah. Baginda datang lalu bertanya apa yang sedang mereka masak.

     "Kami berasa lapar lalu menangkap tiga puluh ekor himar jinak bagi dijadikan makanan," kata Umar Al-Khattab lalu menerangkan kepada Rasulullah SAW dari mana mereka mendapatkannya.

     Rasulullah tidak setuju dengan tindakan mereka itu lalu menyuruh masakan itu segera ditumpahkan ke tanah dan kuali itu dipecahkan.

     "Wahai Rasulullah, bolehkah kami tumpahkan gulai itu sahaja. Kuali itu tidak kami pecahkan kerana berguna kepada kita," kata Umar Al-Khattab membuat rayuan dan Rasulullah bersetuju dengan permintaan itu.

     Mereka mematuhi perintah Rasulullah. Semua isi kuali yang sedang menggelegak itu ditumpahkan ke tanah. Mereka rela berlapar kerana menurut perintah Nabi Muhammad.

     "Kamu tahu mengapa baginda melarang kita memakan daging himar jinak itu?" tanya Dardaq apabila Nabi Muhammad beredar dari situ.

     "Hanya Allah dan Rasul-Nya yang mengetahuinya," jawab Abu Ubaidah.

     "Himar jinak itu ada tuannya. Kita tidak boleh mengambilnya sebelum mendapat izin dari pemiliknya," kata Dardaq.

     "Saya berpendapat ada sebab yang lain," kata Uthman pula. Kemudian katanya lagi, "Saya pernah melihat himar jinak itu memakan najis manusia. Kerana itu kita dilarang memakannya. Adapun himar yang liar tidak memakan najis manusia kerana itu tidak dilarang. Selain itu himar itu juga digunakan bagi mengangkat barang-barang dan manusia. Himar jinak juga digunakan oleh penduduk Khaibar apabila ada majlis keramaian dan upacara keagamaan."

     "Kita kekurangan makanan. Apakah daging kuda juga dilarang memakannya?" tanya Abu Ubaidah pula.

     "Nabi Muhammad tidak melarang kita memakan daging kuda," jawab Dardaq.








N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.







No comments:

Post a Comment