Wednesday 28 February 2018

PERANG KHAIBAR [ BAB 18 - PERANG TANDING DI WADI QURRA ]






PERANG TANDING DI WADI QURRA








"Kita sudah menakluk Kota Khaibar dan Kota Fadak. Alangkah baiknya sekiranya kita terus menakluk kawasan di sebelah utara," kata Abu Ubaidah lalu mencadangkan supaya dikemukakan kepada Rasulullah SAW.

     Kerana ramai yang menyokong cadangan itu maka Abu Bakar mengemukakannya kepada Rasulullah. Tidak lama kemudian beliau kembali menemui sahabatnya.

     "Kawasan di sebelah utara sana termasuk dalam jajahan kerajaan Rom timur. Kerana itu Nabi Muhammad tidak bercadang menakluknya. Tambahan lagi kita tidak mahu bersengketa dengan kerajaan Rom," kata Abu Bakar memaklumkan jawapan Rasulullah.

     "Semasa kita menggali parit bagi persiapan Perang Khandaq, terjumpa batu besar yang sangat keras. Nabi Muhammad berjaya memecahkan batu itu dengan tiga kali pukulan. Pada pukulan pertama memancar cahaya lalu baginda diperlihatkan istana-istana maharaja Rom. Pada pukulan kedua memancar lagi cahaya lalu diperlihatkan istana-istana maharaja Parsi. Pada pukulan ketiga diberikan kunci negeri Yaman," kata Salman Al-Farisi lalu mengingatkan semula kawan-kawannya kisah perang Khandaq.

     "Apa yang dikatakan Rasulullah itu pasti akan berlaku cuma kita tidak tahu bila dan bagaimana caranya," kata Umar pula.

     "Alangkah baiknya sekiranya ia berlaku pada masa Rasulullah masih bersama kita," kata Abu Dujanah pula.

     "Kerana itu saya mencadangkan kita terus mencabar kuasa Rom dan Parsi. Tetapi apabila Rasulullah tidak mengizinkannya kita perlu mematuhinya," kata Abu Ubaidah.

     "Rasulullah baru sahaja mengirim surat kepada maharaja Rom dan Parsi. Menyeru mereka menyembah Allah serta mengakui Muhammad pesuruh Allah. Kerana itu barangkali baginda tidak mahu bertindak terburu-buru," kata Ali pula.

     Sebelum penaklukan Kota Khaibar, Nabi Muhammad sudah mengirim surat kepada pemerintah Rom, Parsi, Mesir dan Habsyah. Kerana itu Nabi Muhammad tidak mahu menimbulkan ketegangan dengan mereka. Tambahan tujuan mereka hanya mahu menakluk Kota Khaibar. Selepas bermesyuarat dengan para sahabat, Rasulullah memimpin tentera Islam menuju ke penempatan Yahudi di Wadi Qurra yang terletak di barat daya Kota Khaibar. Arah itu juga menghala ke Madinah.

     Bagi pergi ke Wadi Qurra, Nabi Muhammad sengaja memilih jalan lain yang belum pernah dilalui orang ramai kerana mengelak melalui Kota Khaibar yang baru sahaja mereka takluk. Kemaraan tentera Islam itu dapat diketahui kaum Yahudi di Wadi Qurra. Mereka segera mengadakan mesyuarat tergempar.

     "Muhammad dan pengikutnya sudah menakluk Kota Khaibar dan Kota Fadak. Sekarang mereka sedang dalam perjalanan ke Wadi Qurra. Apakah tindakan yang patut kita lakukan? Menyerah ataupun berperang?" tanya Majsum ketua Yahudi Wadi Qurra yang baru dilantik. Kemudian Majsum menyambung ucapannya, "Penduduk Khaibar sudah berperang dengan Muhammad dan pengikutnya. Akhirnya mereka dapat dikalahkan. Penduduk Kota Fadak pula mengambil keputusan berdamai bagi mengelakkan berlakunya peperangan. Sekarang giliran kita pula membuat keputusan seperti yang dilakukan penduduk Khaibar ataupun Fadak?"

     "Izinkan saya memberi pendapat," kata Abu Aswad seorang lelaki paling tua di kalangan mereka.

     "Kota Khaibar yang begitu teguh dan ramai tenteranya dapat dikalahkan tentera Muhammad. Apatah lagi Kota Wadi Qurra yang lebih kecil daripada Kota Khaibar. Tentera kita cuma ada lima ratus orang sedangkan tentera Muhammad berjumlah seribu enam ratus orang. Mereka juga memiliki senjata dan kuda-kuda yang dirampas dari Kota Khaibar. Kerana itu saya menyarankan kita berdamai sahaja. Itu dapat menyelamatkan nyawa kita dan keluarga kita," katanya.

     "Mengaku kalah sebelum berperang adalah sifat orang yang pengecut sedangkan kita bangsa Yahudi yang berani. Kita bangsa pilihan Tuhan. Kerana itu kita perlu menentang Muhammad," teriak Jalilah seorang pahlawan Yahudi Wadi Qurra yang paling berani.

     "Aku akan bersama kamu Jalilah," kata Basyer kawan baiknya.

     Melihat ada sokongan daripada kawan-kawannya maka tambah bersemangat Jalilah lalu berkata, "Wahai kawan-kawanku. Siapa antara kamu yang sanggup berjuang bersamaku hingga ke hujung nyawa bagi mempertahankan kota kita?"

     Maka bangun sepuluh orang pahlawan Yahudi Wadi Qurra. Mereka menyatakan kesanggupan bersama Jalilah menentang tentera Islam. Namun Jalilah masih berasa kecewa kerana dia mahu lebih ramai lagi yang sanggup berjuang bersamanya.

     "Pahlawan Yahudi Wadi Qurra ada lima ratus orang. Mengapa hanya sepuluh orang yang sanggup berjuang bersama aku? Bagaimana pula dengan yang lain?" tanya Jalilah dengan nada suara yang tinggi.

     "Kamu adalah pahlawan kami yang paling berani. Kamu akan berada di barisan hadapan. Kami akan berada di belakang kamu. Kita akan sama-sama berjuang," kata Majsum pula.

     "Bertenang tuan-tuan sekalian. Saya ada rancangan yang lebih baik daripada apa yang sedang kamu fikirkan," kata Abu Aswad pula.

     "Kemukakan segera kepada kami. Sekiranya baik pasti kami turut," kata Jalilah pula.

     "Kita cabar Muhammad supaya diadakan perang tanding. Perjanjiannya, sekiranya kita menang Muhammad dan pasukan tenteranya perlu berundur dari Wadi Qurra. Sekiranya mereka yang menang kita tinggalkan Wadi Qurra," kata Abu Aswad mencadangkan.

     "Saya boleh terima cadangan itu tetapi perlu dibuat perubahan syaratnya. Sekiranya Muhammad kalah maka mereka menyerah diri kepada kita. Sekiranya kita kalah, kita menyerah diri kepada mereka. Baru adil," kata Jalilah.

     Ramai yang menyokong cadangan Jalilah bagi mengelakkan mereka meninggalkan Wadi Qurra sekiranya kalah. Mereka mahu dilayan seperti Yahudi Khaibar dan Fadak yang masih terus dibenarkan tinggal di tempat mereka.

     "Kami sebelas orang pahlawan Yahudi Wadi Qurra akan mencabar sebelas orang pahlawan Islam dalam perang tanding. Kami akan kalahkan mereka supaya Muhammad dan pengikutnya menyerah kalah. Selepas mereka menyerah kalah terserah kepada kalian apa hukuman yang dijatuhkan kepada mereka," kata Jalilah dengan bersungguh-sungguh.

     "Kita jatuhkan hukuman bunuh ke atas Muhammad dan semua pengikutnya. Jangan ada seorang pun dibiarkan hidup," kata Basyer mencadangkan.

     "Itu tidak menguntungkan kita. Lebih baik kita jadikan mereka hamba, suruh bekerja di kebun dan menggembala kambing ternakan kita. Bukankah itu lebih menguntungkan?" kata Sarraf pula mencadangkan.

     "Lebih baik kita jual Muhammad dan pengikutnya kepada musuh-musuh mereka. Penduduk Khaibar, Fadak, kaum Quraisy. Orang Rom dan Parsi pasti mahu membeli mereka dengan harga yang mahal. Bukankah itu lebih cepat kita mendapat keuntungan?" kata Majsum pula.

     Maka terjadi pertengkaran sesama mereka kerana mempertahankan pendapat masing-masing. Tetapi dapat dileraikan oleh Abu Aswad dan Majsud.

     "Apa yang paling penting pahlawan-pahlawan kita perlu mengalahkan dahulu pengikut Muhammad. Apabila mereka kalah dan sesudah Muhammad dan semua pengikutnya menyerah diri baru kita fikirkan apa hukuman yang paling baik dan menguntungkan kita," kata Majsum lalu menggesa sebelas pahlawan mereka berlatih dengan bersungguh-sungguh supaya dapat mengalahkan lawan mereka.

     Nabi Muhammad dan pasukan tenteranya terus menuju ke Wadi Qurra. Apabila sampai di pinggir penempatan Yahudi itu hari sudah petang. Mereka berhenti lalu berkhemah di satu kawasan lapang. Mereka juga membakar unggun api supaya kedatangan mereka diketahui penduduk Wadi Qurra.

     Pada malam itu Jalilah bersama kawan-kawannya membuat intipan di perkhemahan tentera Islam. Mereka dapati semuanya sibuk beramal ibadat. Ada yang membaca Al-Quran, berzikir dan bersembahyang. Di luar khemah pula ramai yang berkawal bagi menjaga keselamatan.

     Keesokan harinya Nabi Muhammad bertanya kepada para sahabat adakah sesiapa mendengar azan subuh dari perkampungan Yahudi Wadi Qurra itu. Ternyata tidak siapa yang pernah mendengarnya petanda tidak ada seorang pun yang menganut Islam.

     Nabi Muhammad tidak mahu terus melancarkan serangan. Baginda menghantar utusan menemui ketua Yahudi Wadi Qurra bagi memberi dua pilihan. Memeluk Islam ataupun berdamai dengan membayar jizyah.

     "Beritahu Muhammad kami menolak tawarannya. Kami mencabar kamu mengadakan perang tanding satu lawan satu. Siapa yang kalah terpaksa menyerah kalah," beritahu Majsum.

     Utusan pulang ke khemah lalu menyampaikan apa yang dimahukan oleh kaum Yahudi Wadi Qurra. Belum sempat pihak tentera Islam memberikan jawapan tiba-tiba Jalilah muncul di hadapan tentera Islam lalu mencabar.

     "Siapa antara kamu yang berani melawan aku? Kita adakan perang tanding satu lawan satu," jerit Jalilah ke arah tentera Islam.

     Zubair bin Awwam segera menyahut cabaran itu. Selepas mendapat izin daripada Rasulullah SAW dia menerpa ke arah pahlawan Yahudi itu. Maka berlaku pertarungan yang sengit. Orang Yahudi bersorak memberi semangat kepada pahlawan mereka. Tentera Islam bertakbir dan tertahmid memohon doa semoga Allah memberi kemenangan kepada saudara mereka. Akhirnya ternyata Allah memberi kemenangan kepada Zubair bin Awwam. Dia berjaya menetak leher lawannya hingga tersungkur ke bumi.

     Kejayaan Zubair bin Awwam itu disambut dengan laungan takbir pasukan Islam. Di pihak Yahudi pula mereka menjerit memekik marah dengan kemarahan itu. Namun itu tidak melemahkan semangat pahlawan yang lain.

     "Aku akan membela kematian sahabatku Jalilah," teriak Basyir kawan baik Jalilah.

     Ketika itu Zubair bin Awwam mahu balik ke dalam pasukan tentera Islam selepas berjaya menewaskan lawannya. Tetapi langkah kakinya terhenti apabila dicabar musuhnya.

     "Hei pengecut jangan lari. Aku bunuh kau bagi membela kawan baikku," jerit Basyer dengan muka yang bengis bagaikan singa.

     Zubair berpaling ke arah pahlawan Yahudi yang mencabarnya itu. Pahlawan Islam pantang dicabar di medan perang. Begitu pendirian Zubair. Walaupun keletihan masih belum hilang namun dia tidak pernah takut demi menegakkan syiar Islam.

     Basyer yang dikatakan mahir menggunakan pedang itu menggunakan segala kemahirannya bagi menewaskan lawannya. Dia menetak lawannya bertubi-tubi namun masih tidak mengenai sasaran kerana Zubair bin Awwam juga seorang pahlawan yang hebat. Selepas agak lama juga bertarung akhirnya Basyer tersungkur apabila lehernya terkulai ditetak lawannya. Sekali lagi terdengar suara bertakbir dari pasukan tentera Islam sebagai meraikan kemenangan itu. Kedudukan kini sudah 2-0.

     Walaupun sudah dua orang pahlawan mereka tewas namun kaum Yahudi Wadi Qurra masih tidak patah semangat. Mereka menurunkan pahlawan yang ketiga lalu mencabar Zubair bin Awwam berlawan. Walaupun kepenatan selepas bertarung dengan dua orang lawan namun semangat juangnya masih kental. Dia bersedia bertarung. Tetapi Nabi Muhammad menyuruh Ali bin Abi Talib yang menentangnya. Maka berlaku pertarungan antara keduanya. Ternyata Ali lebih hebat dan dengan mudah pahlawan Yahudi itu berjaya ditewaskan.

     Selepas Ali bin Abi Talib masuk ke dalam pasukan tentera Islam maka datang seorang lagi pahlawan Yahudi mencabar pahlawan Islam. Maka Abu Dujanah segera menyahut cabaran itu. Dengan mudah beliau  berjaya menewaskan lawannya.

     Namun Yahud Wadi Qurra masih tidak mahu mengaku kalah. Mereka terus menurunkan seorang demi seorang pahlawan sehingga mereka genap sebelas orang dan semuanya mengalami kekalahan di tangan tentera Islam.

     Kemudian muncul seorang lagi lelaki kedatangannya bukan bagi mencabar tentera Islam tetapi sebagai utusan mewakili Yahudi Wadi Qurra.

     Lelaki itu berkata, "Kami bangsa Yahudi adalah pilihan Tuhan. Bangsa yang paling baik daripada bangsa lain di dunia ini. Tetapi pada hari ini Tuhan menguji kami dengan kekalahan dalam perang tanding dengan pengikut Muhammad. Kami terima kekalahan itu," katanya.

     "Umat yang paling baik di sisi Allah adalah umat yang bertakwa bukannya umat yang sombong," teriak Umar Al-Khattab.

     "Kami adalah umat yang paling baik kerana mencintai Allah dan Rasul-Nya," balas Ali bin Abi Talib pula.

     "Mari kita teruskan perang tanding bagi menentukan siapa umat yang paling gagah," teriak Abu Dujanah pula.

     "Kami mengaku kalah," kata lelaki itu. Kemudian katanya lagi, "Kami mohon dilayan seperti penduduk Khaibar dan Fadak. Ambillah semua harta kami kecuali tanah. Benarkan kami tinggal di sini mengusahakan tanah dan hasilnya dibahagi dua."









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment