Thursday 15 February 2018

PERANG KHANDAQ [ BAB 23 - PERTEMPURAN TERAKHIR ]






PERTEMPURAN TERAKHIR








Hari Kelima Belas

Pagi itu ketika pasukan tentera Islam sedang bersembahyang subuh, Abu Sufian memerintahkan pasukan tentera Quraisy menyeberangi parit di kawasan bukit Sala'. Mengikut perancangannya 5800 orang tentera Quraisy akan menyeberangi parit yang agak sempit itu bagi menawan kawasan itu. Kemudian giliran pasukan Ghatafan dan Bani Nadhir pula menyeberanginya. Selepas itu mereka serentak menyerbu Kota Madinah.

     Abu Sufian, Huyay dan Abu Thalhah memberi arahan kepada anggota pasukan mereka supaya membunuh Nabi Muhammad dan semua pengikutnya tanpa ada rasa belas kasihan lagi. Mereka diyakikan bahawa pertempuran pada hari itu adalah pertempuran yang terakhir bagi keamanan selamanya.

     Pasukan tentera bersekutu merancang tetapi dalam masa yang sama Nabi Muhammad juga merancang dan Allah itu lebih hebat perancangan-Nya.

     Nabi Muhammad memerintahkan pasukan Muslimin berkawal siang dan malam. Mereka mematuhi perintah Rasulullah dengan rela hati tanpa rasa dipaksa. Perjuangan mereka hanya kerana Allah dan Rasul-Nya. Pasukan pertahanan Kota Madinah mengawal kawasan parit itu siang dan malam. Mereka dibekalkan dengan senjata anak panah. Apabila melihat musuh mahu menyeberangi parit itu mereka melepaskan anak panah sehingga berjaya menggagalkan percubaan musuh bagi menyeberanginya.

     Abu Sufian, Huyay dan Abu Thalhah tidak putus asa. Mereka memerintahkan pasukan masing-masing membalas serangan pasukan Muslimin. Tetapi kedudukan mereka masih dipisahkan oleh parit.

     Maka berlaku pertempuran antara kedua-dua belah pihak. Pertempuran menjadi semakin sengit apabila pasukan tentera Islam yang selesai sembahyang subuh menyertai pertempuran. Namun pertempuran berlaku dari jarak jauh sahaja. Mereka hanya menggunakan panah dan lembing. Walau berlaku pertempuran yang hebat namun belum ada yang terbunuh.

     Pada suatu ketika pasukan berkuda Quraisy yang dipimpin panglima Khalid bin Al-Walid cuba menyeberang parit yang pernah diseberangi Amru bin Abdu Wud tetapi berjaya dihalau oleh pasukan pemanah Muslimin yang diketuai Usaid bin Hudhair.

     Pertempuran hebat terus berlaku hingga masuk waktu zohor dan seterusnya membawa ke asar. Pasukan tentera bersekutu semakin memperhebatkan tekanan dan berusaha berkali-kali menyeberangi parit itu tetapi masih gagal.

     Menjelang petang pertempuran menjadi semakin sengit apabila pasukan tentera bersekutu cuba menyeberang parit itu dari tiga tempat. Pasukan Quraisy yang dipimpin Abu Sufian menyerang dari kawasan tengah parit di kawasan bukit Sala' manakala pasukan yang diketuai Huyay dari sebelah kiri dan pasukan yang diketuai Abu Thalhah dari sebelah kanan. Pasukan tentera Islam pula terus berusaha mempertahankannya.

     Serangan hebat yang dilakukan secara besar-besaran itu membuatkan pasukan tentera Islam berasa tertekan. Malah ada yang menyangka kali ini mereka akan kalah di negeri sendiri. Sehubungan itu turut ayat Al-Quran surah Al-Ahzab ayat 10 dan 11 bermaksud.

     "Ketika mereka (tentera musyrikin Ahzab) datang menyerang kamu dan tatkala pandangan telah suram dan hati-hati sudah naik ke kerongkong. Dan ketika itu kamu (sebahagian kaum Muslimin) telah berprasangka kepada Allah dengan prasangka yang jahat. Di kala itu orang-orang yang beriman mendapat ujian dan perasaan mereka digoncang dengan goncangan yang hebat."

     Sebagai ketua pasukan Muslimin Nabi Muhammad mempunyai tugas yang berat dan sentiasa sibuk bagi memastikan para pengikutnya berjuang dengan bersungguh-sungguh. Kerana terlalu sibuk memastikan musuh tidak dapat menyeberangi parit itu membuat baginda hampir terlepas sembahyang asar.

     "Wahai Rasulullah, saya masih belum dapat mengerjakan sembahyang asar sedangkan matahari sudah hampir terbenam," beritahu Umar Al-Khattab.

     "Saya pun masih juga belum mengerjakan sembahyang asar," kata Nabi Muhammad. Kemudian katanya lagi, "Barang dipenuhkan Allah di dalam rumah-rumah mereka (orang kafir) dengan api dan kubur-kubur mereka juga dengan api. Kerana mereka telah membimbangkan kita daripada dapat mendirikan sembahyang wusta sehingga matahari terbenam."

     Kemudian Nabi Muhammad mengajak Umar Al-Khattab dan beberapa orang lagi sahabat pergi ke lembah Buthan. Di sana mereka mengambil air sembahyang lalu mengerjakan sembahyang asar. Tidak lama kemudian masuk waktu maghrib lalu mereka terus mengerjakan sembahyang maghrib pula.

     Selesai sembahyang maghrib baginda berdoa. "Wahai Allah wahai Tuhan yang menurunkan kitab, Yang cepat hisabnya, tewaskan tentera ahzab itu. Wahai Tuhan wahai Tuhan kami, Engkau tewaskanlah tentera-tentera bersekutu itu dan goncangkanlah mereka."

     Tidak lama kemudian datang pula beberapa sahabat baginda di lembah itu lalu mengerjakan sembahyang. Kemudian mereka juga berdoa.

     "Wahai Allah, wahai Tuhan kami, peliharalah keselamatan diri kami dan amankanlah hati-hati kami dari rasa takut."

     Pertempuran menjadi reda apabila hari menjelang senja. Pertempuran berhenti sepenuhnya apabila malam menjelang tiba. Kedua-dua pasukan berehat selepas penat bertempur sehari suntuk.

     "Pergilah pujuk Bani Quraizah supaya menyerang Muhammad dan pengikutnya dari belakang. Itu sahaja caranya bagi memenangi pertempuran ini," kata Abu Sufian semasa berbincang dengan Huyay dan Abu Thalhah.

     "Bukankah mereka sudah bersatu semula dengan Muhammad?" tanya Abu Thalhah pula.

     "Saya tidak nampak orang Bani Quraizah menyertai pasukan Muhammad semasa bertempur siang tadi. Kerana itu saya yakin mereka tidak menyebelahi Muhammad," kata Abu Sufian pula.

     "Baiklah saya akan pergi memujuk Kaab. Kali ini apa sahaja permintaannya kita tunaikan," kata Huyay bin Akhtab.

     Kemudian dia pergi ke perkampungan Bani Quraizah menemui Kaab lalu berusaha memujuknya menyertai pasukan bersekutu.

     "Siang tadi kami menyerang Muhammad dan pengikutnya secara besar-besaran dan kami hampir berjaya. Cuma tertangguh kerana cuaca gelap dan hari sudah malam. Pagi esok kami akan melakukan secara besar besaran sekali lagi. Kami mahu kamu menyertai kami dengan menyerang Muhammad dan pengikutnya dari belakang," pujuk Huyay.

     "Sekiranya kalah apakah ada jaminan yang kamu tidak akan tinggalkan kami?" tanya Kaab pula.

     "Kemenangan sudah berada di hadapan mata. Hari esok Muhammad dan semua pengikutnya pasti dapat dikalahkan. Kerana itu sama ada kamu menyertai kami ataupun tidak, kemenangan itu tetap milik kami," kata Huyay dengan begitu yakin. Kemudian katanya lagi, "Sekiranya kamu tidak mahu menyertai kami, apakah kamu mahu berbaik dengan Muhammad? Sedangkan mereka sudah menganggap kamu sebagai pembelot. Kerana itu kamu tidak akan diterima lagi. Jalan paling selamat adalah bergabung sahaja dengan kami."

     "Sekiranya kami mengambil sikap berkecuali?" tanya Kaab pula.

     "Bani Nadhir akan memaafkan kamu. Tetapi saya yakin kaum Quraisy tidak dapat memaafkan kamu. Mereka akan menyerang kamu pula selepas Muhammad dan pengikutnya dikalahkan. Kerana itu jalan paling selamat maka bergabung sahaja dengan pasukan bersekutu," jawab Huyay lalu terus memujuk rayu Kaab.

     Akhirnya sekali lagi Kaab terpengaruh dengan pujukan Huyay. Dia berjanji akan menyerang pasukan Muslimin dari belakang.

     "Keluarga Muhammad dan pengikutnya ditempatkan di perkampungan Bani Harithah. Mari kita pujuk Hamamah supaya turut bergabung dengan kita," kata Kaab mencadangkan.

     Namun usaha itu tidak berjaya kerana Bani Harithah masih setia dengan Nabi Muhammad.

     "Kamu boleh melakukan apa sahaja terhadap Nabi Muhammad dan pengikutnya. Tetapi kaum keluarga mereka jangan diganggu kerana mereka adalah tetamu di perkampungan kami," tegas Hamamah.

     Huyay pulang ke perkhemahan pasukannya lalu menemui Abu Sufian bagi melaporkan apa yang sudah diusahakannya.

     "Esok Muhammad dan pengikutnya kita serang dari hadapan dan belakang. Bani Quraizah sudah bersetuju menyerang dari perkampungan mereka. Kita pula menyerang dari kawasan Bukit Sala'," beritahu Huyay kepada Abu Sufian bin Harb.

     Alangkah gembira Abu Sufian mendengarnya. Mereka segera mengadakan mesyuarat berbincang serta mengatur strategi bagi melancarkan serangan pada keesokan harinya.

     Abu Sufian juga menyuruh orangnya memberitahu pasukan Muslimin di seberang parit yang Bani Quraizah sudah menyertai pasukan bersekutu.

     "Wahai pengikut Muhammad, lebih baik kamu pulang ke rumah bagi menyelamatkan isteri dan anak-anak kamu kerana esok Bani Quraizah akan menyerang kamu dari belakang," teriak orang-orang Abu Sufian.

     Ramai yang cemas mendengar perkhabaran itu. Malah ada yang sudah terpengaruh lalu mahu pulang ke rumah mereka.

     "Nabi Muhammad menjanjikan kemenangan kepada kita. Bilakah kemenangan itu akan datang?" tanya mereka.








N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.


No comments:

Post a Comment