Wednesday 14 February 2018

PERANG KHANDAQ [ BAB 22 - PERISIK YANG BERJASA ]






PERISIK YANG BERJASA








Malam itu Nu'aim bin Mas'ud, yang memimpin empat ratus orang pahlawan Bani Al-Asyja'I daripada kabilah Arab Ghatafan berasa gelisah hingga matanya tidak mahu terlena. Dia teringatkan keluarganya yang ditinggalkan. Mereka pasti sedang menunggu kepulangannya.

     "Abang pergi sekejap sahaja. Selepas tugas ini selesai abang akan pulang segera," janji Nu'aim kepada isterinya yang sedang sarat mengandung menunggu masa hendak melahirkan.

     Sepatutnya ketika itu dia berada di samping isterinya yang akan melahirkan anak sulung mereka. Tetapi ayahnya Mas'ud bin Rukhailah pemimpin Bani Al-Asyja'I menyuruhnya menyertai pasukan bersekutu menyerang Madinah. Ayahnya berjaya dipujuk Huyay bin Akhtab lalu menyatakan persetujuan menghantar empat ratus orang yang diketuai anaknya Nu'aim.

     "Kita pergi tidak lama kerana Kota Madinah akan dapat ditawan dalam masa sehari sahaja. Selepas itu kita dapat pulang dengan membawa harta rampasan perang yang banyak," begitu janji Huyay kepada Nu'aim.

     Kepada Mas'ud bin Rukhailah pula Huyay berjanji akan menyerahkan separuh hasil kurma Madinah kepada Bani Al-Asyja'I. Malah janji itu juga yang diucapkan Huyay kepada setiap pemimpin kabilah yang ditemuinya. Ternyata mereka mudah dipengaruhi dengan janji itu.

     Tetapi sekarang sudah hampir seminggu mereka mengepung Kota Madinah belum ada tanda-tanda Muhammad dan pengikutnya akan kalah. Malah pertahanan Kota Madinah masih kuat. Keadaan bertambah rumit apabila mereka kekurangan makanan. Pada waktu malam mereka menggigil kesejukan kerana tidur di kawasan lapang di seberang parit luar Kota Madinah.

     "Saya menyesal datang ke sini," kata Malik pemuda dari Bani Ailan yang turut menyertai pasukan bersekutu.

     "Mengapa kamu berkata begitu?" tanya Nu'aim pula.

     "Saya baru sahaja melangsungkan perkahwinan. Huyay memujuk saya menyertai pasukan bersekutu dengan janji saya akan pulang membawa kekayaan. Katanya kita tidak pergi lama. Sekarang saya merasa seperti hampir setahun lamanya meninggalkan isteri yang baru sahaja saya kahwini," jawab anak muda itu.

     Setahu Nu'aim bukan anak muda itu sahaja yang mengalami masalah yang sama. Ramai yang sebaya dengannya berjaya dipujuk Huyay menyertai pasukan bersekutu menyerang Madinah. Mereka diyakinkan pemergian itu tidak lama dan mereka akan pulang membawa kekayaan.

     "Huyay, Abu Sufian dan Abu Thalhah bukan pemimpin yang baik. Mereka lebih mementingkan diri sendiri dan mereka yang rapat dengannya. Kita ini dipandangnya dengan sebelah mata sahaja," kata anak muda itu lagi.

     "Mengapa kamu cakap begitu?" tanya Nu'aim lagi.

     Menurut anak muda itu, Abu Sufian, Huyay dan Abu Thalhah mencatu makanan pasukan tentera bersekutu, sedangkan mereka dan para pembantunya menikmati makanan yang mewah.

     "Mereka bersenang lenang di dalam khemah. Tidur sepuas-puasnya dan makan secukupnya. Kita disuruh duduk di luar dalam kesejukan dan kelaparan," kata Malik sambil meluahkan rasa tidak puas hatinya.

     "Benar kata anak muda itu. Saya juga mahu bertanya apakah tujuan kita datang ke sini?" tanya Haris, lelaki paling tua daripada kabilah Wail.

     "Membunuh Muhammad dan para pengikutnya. Kemudian menakluk Madinah dan merampas harta mereka. Kemudian kita pulang dengan membawa kemenangan dan kekayaan," jawab Fudail kawan baik Haris.

     "Sekiranya begitu perjuangan orang Ansar dan Muhajirin lebih mulia daripada kita," kata Haris pula.

     "Apa maksud kamu?" tanya Nu'aim.

     "Orang Ansar menentang kita bagi mempertahankan tanah air mereka. Orang Muhajirin pula berjuang bagi mempertahankan agama dan nabi mereka. Bukankah perjuangan mereka lebih mulia daripada kita?" jawab Haris dan disokong Malik.

     Kata-kata itu memberi bekas kepada Nu'aim. Sejak itu dia mula berfikir kebenarannya. Dia sudah banyak membantu pasukan Quraisy tetapi tidak pernah mendapat faedahnya. Sebelum berlaku Perang Uhud dia membantu Abu Sufian memujuk Bani Kinanah, Bani Tihamah dan orang Habsyi menyertai pasukan Quraisy. Usahanya itu berjaya tetapi Abu Sufian tidak pernah menghargai sumbangannya. Malah Abu Sufian mendabik dada mengatakan semua itu usaha dia seorang.

     Semasa Abu Sufian berangkat ke Badar kali kedua bagi berperang dengan Nabi Muhammad, dia diajaknya turut serta. Kemudian Abu Sufian menyuruhnya menakutkan Muhammad dengan memberitahu kepadanya kononnya pasukan Quraisy sedang menunggu di Badar dengan satu pasukan tentera yang paling ramai. Namun usahanya tidak berjaya kerana Nabi Muhammad tidak takut.

     Malam itu Nu'aim tidak dapat melelapkan matanya hingga ke pagi. Pada keesokan harinya dia meninggalkan pasukan bersekutu dengan berjalan sendirian lalu sampai ke perkampungan Bani Quraizah. Dilihatnya penduduk kampung itu sedang sibuk membuat persiapan berperang. Mereka mengumpulkan senjata dan makanan lalu dimasukkan ke dalam benteng.

     "Benarkah Bani Quraizah sudah berpaling tadah dan menyertai pasukan bersekutu?" tanya Nu'aim.

     "Benar," jawab Kaab.

     "Apa kesalahan Muhammad sehingga kamu sanggup mengkhianatinya lalu menyertai pasukan bersekutu?" tanya Nu'aim lagi.

     "Adakah kamu pengintip bagi pihak Muhammad?" marah Kaab.

     "Saya pengintip yang dihantar Huyay bin Akhtab. Saya mahu menguji kesetiaanmu," jawab Nu'aim. Kaab pun memuji Huyay dan Abu Sufian lalu memburukkan Nabi Muhammad.

     Nu'aim tidak senang hati dengan sikap Kaab yang pandai bermuka-muka. Dia segera meninggalkan perkampungan Bani Quraizah lalu menyusup masuk ke dalam Kota Madinah. Kerana Nu'aim sering menjalankan kerja-kerja pengintipan bagi pihak tentera Quraisy maka dengan mudah dia dapat menyelinap masuk ke dalam pasukan tentera Islam.

     Nu'aim berasa kagum apabila melihat keadaan tentera Islam yang begitu taat dan setia kepada Nabi Muhammad. Apabila masuk waktu sembahyang Nabi Muhammad menjadi imam dan semua pengikutnya menjadi makmum di belakangnya. Apabila tiba waktu makan, Nabi Muhammad memastikan semua mendapat makanan yang secukupnya. Kemudian baru dia makan bersama para sahabat yang berada di sampingnya. Nu'man juga melihat Nabi Muhammad tidak bermegah dengan kedudukannya. Dia mengenakan pakaian yang sama seperti pengikutnya. Sama-sama duduk bersila di atas tanah. Dan bersikap ramah kepada semua pengikutnya. Akhirnya Nu'aim berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW.

     "Wahai Rasulullah, saya Nu'aim bin Mas'ud. Kita pernah bertemu ketika tuan dalam perjalanan ke Badar buat kali kedua," kata Nu'aim memperkenalkan dirinya.

     Nabi Muhammad masih ingat lelaki itu yang datang ke Madinah menyebarkan khabar angin yang kononnya pasukan Quraisy dengan jumlah yang begitu ramai sedang menunggu di Badar. Dia berjaya menimbulkan ketakutan penduduk Madinah. Tambahan pula dia seorang yang pandai memainkan propaganda. Kerana itu ada yang mencadangkan Nu'aim ditangkap namun cadangan itu ditolak oleh baginda.

     "Apa tujuan kamu datang ke sini?" tanya Umar Al-Khattab.

     "Saya mahu masuk Islam dan menjadi pengikut Nabi Muhammad," jawab Nu'aim.

     "Bolehkah kata-kata lelaki ini dipercayai?" tanya Umar Al-Khattab.

     "Dia pengintip pasukan Quraisy. Mungkin dihantar oleh Abu Sufian bagi mengintip kita," kata Abu Ubaidah pula.

     "Tangkap dia dan jangan lepaskan kembali ke pasukan Quraisy," teriak yang lain pula.

     Nabi Muhammad tetap melayan Nu'aim dengan baik. Hasrat hati Nu'aim memeluk Islam itu diterimanya lalu diajar mengucap kalimah syahadat. Mengaku tidak ada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan mengaku Muhammad itu pesuruh Allah.

     "Wahai Rasulullah, sekarang saya sudah memeluk Islam dan menjadi pengikut tuan. Perintahkanlah kepada saya apa sahaja yang tuan suka," kata Nu'aim.

     Nabi Muhammad tahu kebolehan Nu'aim menjadi pengintip. Beliau yakin Allah menghantar Nu'aim bagi membantu pasukan Islam mengalahkan pasukan bersekutu.

     "Lemahkanlah musuh-musuh kita kerana perang adalah tipu daya," kata Nabi Muhammad.

     Nu'aim faham apa yang dimaksudkan Rasulullah. Dia berjanji akan bertindak bagi melemahkan pasukan bersekutu. Dia yakin berjaya kerana mereka tidak tahu dia sudah memeluk Islam. Nu'aim meninggalkan pasukan Islam lalu kembali menemui Bani Quraizah. Kedatangannya disambut dengan baik.

     "Saya mahu menyatakan sesuatu tetapi bimbang menimbulkan kemarahan tuan-tuan. Kelak tuan-tuan mengusir saya dari sini," kata Nu'aim berpura-pura dalam keadaan serba salah.

     "Katakanlah apa sahaja wahai sahabatku. Kami tidak akan marah. Tambahan pula kamu orang Quraisy yang datang bagi memerangi Muhammad dan pengikutnya," kata Kaab.

     "Saya kasihan apabila memikirkan masa depan kamu selepas bergabung dengan pasukan bersekutu. Orang Quraisy dan Bani Ghatafan datang ke sini hanya bagi membunuh Muhammad dan pengikutnya. Kemudian mereka akan mengambil harta sebagai rampasan perang bagi dibawa pulang. Selepas mereka pergi, kamu akan terus tinggal di sini. Bagaimana pula sekiranya mereka kalah? Mereka ada tempat bagi melarikan diri pulang ke tempat mereka. Bani Quraizah tetap berada di sini kerana tidak ada tempat lain bagi melarikan diri. Ketika itu kamu akan berhadapan dengan Muhammad dan pengikutnya bersendirian. Nasib kamu lebih buruk daripada Bani Qainuqa' dan Bani Nadhir," kata Nu'aim mencucukkan jarum propogandanya.

     "Kata-kata kamu itu menakutkan saya. Tetapi ada juga benarnya. Pada pendapat kamu bagaimana caranya bagi kami memastikan perkara itu tidak akan berlaku?" tanya Kaab pula.

     "Bagi memastikan orang Quraisy dan Bani Ghatafan tidak meninggalkan kamu sekiranya kalah maka minta sepuluh orang pemimpin mereka bagi dijadikan cagaran. Selepas itu baru kamu menyertai mereka. Sekiranya mereka tidak sanggup memberikannya maka tinggalkan sahaja mereka," jawab Nu'aim.

     "Benar juga kata kamu. Saya akan memintanya," kata Kaab. Kemudian Nu'aim pergi pula berjumpa dengan Abu Sufian.

     "Wahai Abu Sufian, saya mahu menyampaikan satu perkara semoga menjadi satu peringatan kepada tuan," kata Nu'aim.

     "Katakanlah apakah perkara itu nescaya saya akan mendengarnya," kata Abu Sufian pula.

     "Saya sudah menjalankan risikan di kalangan Bani Quraizah. Mereka sekarang sudah menyesal kerana mengkhianati Muhammad dan bergabung dengan pasukan bersekutu. Mereka menghantar utusan kepada Muhammad dan menyatakan rasa kesal di atas keterlanjuran itu. Sebagai cara menebus kesalahan mereka dan menyenangkan hati Muhammad mereka berjanji akan menyerahkan beberapa orang pemimpin Quraisy Mekah bagi dipancung leher mereka. Kerana itu sekiranya orang Bani Quraizah datang meminta beberapa orang pemimpin kamu sebagai cagaran maka jangan kamu berikan," kata Nu'aim dengan bersungguh-sungguh bagi menyakinkan Abu Sufian.

     Kemudian Nu'aim pergi menemui ketua Bani Ghatafan lalu mengemukakan perkara yang sama. Maka timbul rasa curiga kepada pasukan Quraisy dan Ghatafan kepada Bani Quraizah.

     Bagi membuktikan kebenaran kata-kata Nu'aim itu Abu Sufian, Huyay dan Abu Thalhah menunggu sehingga genap sepuluh hari seperti yang dijanjikan Bani Quraizah. Pada hari yang kelima belas ataupun pada hari yang kesepuluh janji Bani Quraizah bagi membuat persiapan menyerang Muhammad maka Abu Sufian menghantar Ikram bin Abu Sufian berjumpa dengan Kaab.

     "Hari ini genap sepuluh hari seperti yang kamu janjikan. Kerana itu esok kamu perlu melakukan serangan terhadap Muhammad dan kami akan menyertai kamu," kata Ikramah.

     "Tidakkah kamu tahu hari ini hari Jumaat? Esok hari Sabtu, kami tidak boleh pergi berperang kerana hari Sabtu adalah hari kami beramal ibadat," kata Kaab kepada Ikramah.

     Ikramah kembali ke pasukannya lalu memberitahu Abu Sufian apa yang dikatakan ketua Bani Quraizah itu. Abu Sufian berasa marah lalu menghantar Kinanah menemui Kaab.

     "Ketua kami berpesan hendaklah kamu menjadikan hari Sabtu sebagai hari berperang. Kerana itu esok kamu mesti menyerang Muhammad. Sekiranya kamu enggan maka terbatallah perjanjian kita maka kamu bukan lagi sekutu kami. Dan kami akan menyerang kamu dahulu sebelum menyerang Muhammad," kata Kinanah.

     Kaab terus marah mendengar kata-kata Kinanah itu. Lalu dia menghantar tiga orang utusan menemui Abu Sufian pada hari itu juga. Utusan Kaab itu meminta Abu Sufian menyerahkan sepuluh orang pemimpin mereka bagi dijadikan cagaran bagi memastikan pasukan Quraisy tidak melarikan diri sekiranya mengalami kekalahan. Abu Sufian enggan memenuhi permintaan mereka. Dengan itu musnahlah hubungan baik antara mereka.

     Pada masa yang sama Asyim bin Umar dihantar bagi menemui Uyainah pemimpin Bani Fazarah. Lalu memujuknya menarik diri daripada pasukan bersekutu.

     "Sekiranya tuan setuju kami sanggup memberi separuh daripada hasil buah kurma Madinah," pujuk Asyim.

     Uyainah bersetuju menerimanya tambahan pula dia sudah hilang kepercayaan kepada pasukan bersekutu apabila berlaku perpecahan dengan Bani Quraizah.

     Apabila Al-Harith bin Auf ketua Bani Murrah dari Tabuk mendapat tahu Bani Fazarah ditawarkan separuh hasil kurma Madinah sekiranya keluar dari pasukan bersekutu maka dia menemui Nabi Muhammad menuntut ganjaran yang sama. Permintaan itu tidak disetujui oleh Saad bin Muaz ketua Bani Aus dan Saad bin Ubadah ketua Bani Khazraj.

     Al-Harith marah lalu mengadukan perkara itu kepada Abu Sufian. Menyedari pasukan bersekutu semakin berpecah maka Abu Sufian menyuruh pasukan tentera bersekutu menyerang pasukan Nabi Muhammad. Maka berlaku pertempuran anak panah. Kedua-dua belah pihak saling bertempur tetapi hanya menggunakan anak panah kerana mereka dipisahkan oleh parit. Pertempuran hanya berhenti apabila malam menjelang tiba.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment