Monday 19 February 2018

PERANG KHAIBAR [ BAB 4 - DI AMBANG PERANG ]






DI AMBANG PERANG








Di bawah sinaran matahari yang sedang membahang panasnya, seorang lelaki sedang menunggang kuda meredah padang pasir Madinah menuju ke Khaibar. Lelaki itu adalah orang suruhan Abdullah bin Ubai yang ditugaskan membawa sepucuk surat bagi diserahkan kepada Sallam bin Misykam, ketua Yahudi Khaibar. Pembawa surat itu memecut kudanya dengan pantas.

     "Pergi segera ke Khaibar sebelum Muhammad dan pasukannya sampai. Kemudian serahkan surat rahsia ini kepada Sallam bin Misykam. Jaga surat ini supaya jangan jatuh ke tangan orang lain walau nyamu menjadi taruhannya," pesan Abdullah bin Ubai kepada orang suruhannya itu.

     Dia begitu sakit hati kerana tidak dapat menyertai pasukan Madinah pergi ke Khaibar. Pada mulanya dia dan pengikutnya mahu mendaftar diri bagi menyertainya. Tetapi apabila Nabi Muhammad mengatakan mereka tidak akan diberi walau sedikit pun harta rampasan perang, maka dia membatalkannya. Kerana itu dia tidak mahu Nabi Muhammad dan pasukannya dapat mengalahkan Yahudi Khaibar. Dengan itu mereka tidak memperoleh harta rampasan. Dia mahu Nabi Muhammad dan pasukannya pulang ke Madinah dengan penuh kehinaan. Itu yang dimahukannya sehingga dia sanggup berpaling tadah dengan menghantar surat kepada ketua Yahudi Khaibar. Surat itu berbunyi.

     Surat ini datang daripada sahabatmu Abdullah bin Ubai.

     Sesungguhnya pada hari ini Muhammad dan para pengikutnya telah berangkat ke Kota Khaibar bagi memerangi kamu. Kerana itu kamu hendaklah bersiap sedia menentang mereka. Jika boleh, gunakan tipu muslihat bagi memerangkap mereka kemudian binasakan semuanya. Ketahuilah wahai sahabatku, Muhammad datang bagi merampas harta kamu. Kerana itu simpan harta-harta kamu ke dalam kubu-kubu yang kukuh. Kemudian keluar dari kubu-kubu itu untuk menangkis serangan Muhammad dan pengikutnya. Kamu jangan takut berhadapan dengan mereka kerana angkatan tentera kamu jauh lebih hebat dan kuat berbanding mereka. Persediaan dan alat kelengkapan senjata kamu jauh lebih hebat daripada yang dimiliki pasukan Muhammad. Mereka tidak ramai dan alat kelengkapan senjata mereka sedikit sahaja. Apabila mereka sampai di Kot Khaibar maka kamu hancurkan mereka dengan sedaya upaya yang ada. Aku dan penduduk Yathrib lebih suka sekiranya Muhammad dan pegikutnya tidak kembali lagi.

     Apabila sampai di Khaibar maka lelaki suruhan Abdullah bin Ubai segera menyampaikan surat rahsia itu kepada Sallam bin Misykam. Dia berasa sangat terkejut apabila membaca surat itu kerana tidak menyangka Nabi Muhammad sudah mengetahui rancangan mereka hendak menyerang Madinah. Apa yang paling mengejutkannya kerana Nabi Muhammad bertindak pantas dengan membawa pasukannya mahu menyerang Kota Khaibar.

     Sallam masih teringat bagaimana pasukan Islam di bawah pimpinan Nabi Muhammad mengepung benteng Bani Nadhir. Mereka mengepungnya siang dan malam hingga akhirnya terpaksa menyerah. Peristiwa itu membawa kepada tersingkirnya Bani Nadhir di Madinah. Ketika di Madinah Bani Nadhir juga mempunyai benteng yang kukuh, walau tidak sehebat Benteng Khaibar. Tetapi akhirnya mereka terpaksa tunduk juga kepada Nabi Muhammad dan para pengikutnya. Dia mencari jalan bagi mengelakkan perkara itu berulang lagi.

     Tindakan pertama yang dilakukan Sallam bin Misykam adalah mengumpulkan semua penduduk Kota Khaibar. Kemudian dia membacakan surat Abdullah bin Ubai itu kepada orang ramai dengan penuh semangat. Seperti yang dijangkanya surat itu menimbulkan kemarahan semua penduduk Khaibar.

     "Kita ada dua pilihan. Pertama menyerah diri lalu tunduk kepada Muhammad dan pengikutnya. Ataupun pilihan kedua kita pertahankan kota ini hingga ke hujung nyawa," kata Sallam bin Misykam.

     "Kami tidak mahu menyerah diri. Kami sanggup berperang hingga ke hujung nyawa," teriak orang ramai penuh semangat. Sallam bin Misykam berpuas hati melihat reaksi penduduk Khaibar.

     "Saya juga bersumpah akan bersama kamu mempertahankan Kota Khaibar hingga ke hujung nyawa. Kita akan terus berperang dan tidak akan mengaku kalah selagi munculnya bulan dan matahari," kata Sallam lalu menyatakan ikrar dan sumpah setianya.

     "Berapa ramai musuh yang datang itu? Bagaimana pula dengan kelengkapan senjata mereka," tanya seorang penduduk Khaibar.

     "Menurut penghantar surat ini iaitu sahabat kita Abdullah bin Ubai, Muhammad dan pengikutnya tidak ramai. Jumlah mereka tidak sampai seribu orang. Senjata mereka juga serba kekurangan dan itu pastinya memberi kelebihan kepada kita yang mempunyai senjata pemusnah," kata Sallam pula yang berjaya menaikkan semangat penduduk Khaibar supaya sanggup berperang.

     "Bagi menjamin kemenangan, kita akan bersatu dengan penduduk Fada', Ummul Qura, Taima', Fazarah, Wail dan kabilah Ghatafan," kata Sallam lagi dan orang ramai senang hati mendengarnya kerana yakin dengan mudah dapat mempertahankan Kota Khaibar.

     Selepas mendapat sokongan padu penduduk Khaibar maka Sallam menemui ketua-ketua kabilah Yahudi yang terdapat di sekitar Kota Khaibar. Mula-mula dia menemui ketua Yahudi Fadak lalu menunjukkan surat Abdullah bin Ubai itu. Kemudian dia memujuknya sehingga berjaya mendapat sokongan daripada orang Yahudi Fadak. Selepas itu Sallam menemui ketua Yahudi Ummul Qura dan Taima'. Mereka juga dapat dipujuknya supaya bergabung bagi berperang dengan Nabi Muhammad.

     Sallam masih belum berpuas hati lagi memujuk kabilah Ghatafan, suku Wail dan Fazarah bergabung dengan mereka. Bagi memujuk mereka, maka Sallam berjanji menyerahkan separuh daripada hasil kurma Khaibar kepada mereka yang menyertai pakatan itu.

     Tidak lama kemudian Yahudi Fadak menghantar lima ratus orang tenteranya ke Kota Khaibar. Yahudi Ummu Qura juga menghantar lima ratus orang tentera. Begitu juga dengan Yahudi Bani Taima' lima ratus orang. Kinanah ketua kabilah Ghatafan pula menghantar seribu orang. Jumlah keseluruhannya termasuk Bani Nadhir dan Yahudi Khaibar berjumlah 5900 orang. Mereka bersiap sedia menghadapi kedatangan Nabi Muhammad dan pasukannya.

     Kota Khaibar jauhnya 93 batu atau 165 kilometer dari Madinah. Sekiranya menunggang unta ataupun kuda dapat sampai dalam masa sehari sahaja. Tetapi Nabi Muhammad tidak mahu terburu-buru sampai ke Khaibar. Sekiranya boleh, baginda mahu Kota Khaibar ditundukkan tanpa kekerasan dan pertumpahan darah. Kerana itu perjalanan mereka sengaja diperlahankan.

     Apabila sampai di Layrin yang terletak di sempadan antara Madinah dengan Khaibar maka Nabi Muhammad menyuruh mereka berhenti di situ. Ramai penduduk Layrin datang lalu memeluk agama Islam dan meminta kebenaran menyertai serangan ke Kota Khaibar. Namun permintaan itu tidak dibenarkan oleh Rasulullah memandangkan mereka baru sahaja memeluk Islam. Nabi Muhammad sempat mendirikan sebuah masjid di perkampungan itu.

     Keesokan harinya mereka meneruskan perjalanan hingga sampai ke suatu tempat yang tidak jauh dari Kota Khaibar. Nabi Muhammad menyuruh mereka berhenti bagi mendirikan khemah di situ.

     "Wahai Rasulullah, saya berpendapat tempat ini kurang sesuai dijadikan tempat perkhemahan tentera kerana terletak di kawasan berbukit dan jauh dari punca air. Saya mencadangkan kita pergi ke Raji' yang terletak tidak jauh dari sini kerana di sana ada mata air yang dapat kita gunakan airnya. Kawasan itu juga lapang dan sesuai dijadikan tapak perkhemahan," kata Salman Al-Farisi yang pernah sampai ke situ. Nabi Muhammad bersetuju dengan cadangan itu lalu mereka berpindah ke Raji'.

     "Di sinilah berlakunya peristiwa air mata Raji'. Apakah kamu sudah melupakannya?" tanya Umar Al-Khattab.

     "Mustahil saya lupa. Di sinilah enam sahabat kita dikhianati oleh suku Adhal dan Qarah. Kesemua mereka akhirnya menemui syahid," kata Ali bin Abi Talib.

     "Apabila kita berada di tempat ini semakin berkobar semangat berjihad bagi membela sahabat kita yang dianiaya oleh mereka yang memusuhi Allah dan Rasul-Nya," kata Sa'ad bin Abi Waqas pula.

     "Allah memilih tempat ini bagi menjadi pangkalan kita sebelum menyerang Kota Khaibar. Pasti ada hikmahnya," kata Uthman Affan pula.

     Ternyata ramai yang berasa sebak apabila berada di Raji' kerana di situlah syahidnya enam orang pendakwah yang dikhianati musuh. Kisah bermula apabila ketua suku Adhal dan Qarah datang ke Madinah lalu menemui Rasulullah SAW supaya dihantar pendakwah ke perkampungan mereka bagi mengajar Al-Quran dan agama Islam. Baginda akhirnya bersetuju menghantar enam orang sahabat iaitu Asim bin Thabit, Abdullah bin Tariq, Khalid bin Al-Bukair, Zaid bin Dasinah, Khubab bin Adi dan Murthid bin Abu Murthid.

     Apabila sampai di Raji' mereka dikepung oleh kira-kira dua ratus orang lelaki yang bersenjata dari suku Huzail yang bersepakat dengan ketua suku Adhal dan Qarah. Pada mulanya kumpulan bersenjata itu cuma mahukan Asim bin Thabit bagi dijual kepada seorang wanita Quraisy bernama Sulafah binti Saad. Wanita itu mahu membalas dendam kepada pembunuh anaknya dalam Perang Badar.

     Semasa berlakunya Perang Badar, Asim bin Thabit telah membunuh anak Sulafah yang bernama Musafi' bin Talhah. Apabila Sulafah mendapat tahu Asim yang membunuh anaknya maka dia bersumpah mahu minum arak dari tengkorak Asim.

     Asim tidak mahu menyerah diri sebaliknya bertekad mahu melawan hingga syahid. Kawan-kawannya juga bersetuju dengan Asim dan mereka sanggup berjuang bersamanya. Maka berlaku pertempuran yang tidak seimbang antara enam orang pendakwah dengan dua ratus orang lelaki bersenjata.

     Selepas berlaku pertempuran yang hebat, akhirnya Asim, Murthid dan Khalid syahid manakala tiga lagi dijadikan tawanan lalu dijual ke pasar Madinah. Tetapi semasa dalam perjalanan, Abdullah bin Tariq cuba melepaskan diri dan akhirnya dibunuh. Khubaib bin Adi dan Zaid bin Dasinah dapat dibawa ke pasar Mekah bagi dijual. Khubaib dibeli oleh Uqbah bin Al-Haris dan Zaid bin Dasinah dibeli Safwan bin Umayyah bagi dibunuh sebagai membalas dendam di atas kematian keluarga mereka semasa Perang Badar dan Uhud. Kedua-dua tawanan itu juga akhirnya syahid.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment