Saturday 17 February 2018

PERANG KHANDAQ [ BAB 27 (AKHIR) - BANI QURAIZAH DIHUKUM ]






BANI QURAIZAH DIHUKUM








Kaab bin Asad termenung memikirkan masa depan Bani Quraizah. Apa yang paling ditakutinya kini sudah menjadi kenyataan. Pasukan tentera Ahzab kalah dan mereka sudah pergi meninggalkan Bani Quraizah bagi menentukan nasib mereka sendiri. Sekiranya mereka masih setia dengan Nabi Muhammad sudah tentu masa depan Bani Quraizah lebih terjamin. Tetapi sekarang nasib mereka ibarat telur di hujung tanduk.

     Pada mulanya dia tidak mahu mengkhianati Nabi Muhammad dengan menyebelahi tentera Ahzab. Tetapi entah bagaimana akhirnya dia terpengaruh dengan pujukan, rayuan dan janji manis Huyay bin Akhtab, pemimpin Bani Nadhir. Sekarang baru dia menyesal. Tetapi apakan daya kerana ibarat nasi sudah menjadi bubur.

     Tetapi dengan tiba-tiba terlintas pada fikiran Kaab untuk meminta maaf kepada Nabi Muhammad. Tambahan pula dia tahu baginda seorang yang sangat pemaaf dan tidak pernah menyimpan dendam. Sebelum itu pun sudah ramai yang memusuhinya sudah dimaafkan apabila memeluk agama Islam.

     Maka Kaab mengumpulkan orang ramai di Balai Bani Quraizah. Huyay bin Akhtab juga dijemput hadir. Selepas mengucapkan kata-kata pujian dan sanjungan terhadap nenek moyang mereka maka Kaab pun menyatakan maksudnya.

     "Wahai saudara-saudaraku semua. Sekarang saya mahu mengemukakan satu usul kepada tuan-tuan semua. Kita sudah mengikat perjanjian dengan Muhammad. Tetapi akhirnya kita memutuskan perjanjian itu. Akibatnya kita sekarang berada dalam keadaan yang sangat bahaya. Kerana itu demi menyelamatkan diri kita dan keluarga kita maka marilah kita berdamai semula dengan Muhammad. Dia seorang yang pemaaf sudah tentu mahu memaafkan kita. Dia seorang yang tidak berdendam sudah tentu tidak berdendam kepada kita," kata Kaab bin Asad. Dia berhenti sebentar bagi melihat reaksi orang ramai. Apabila tidak ada bantahan maka dia menyambung ucapannya.

     "Sekarang saya sedar satu-satu jalan yang paling selamat adalah menjadi pengikut Muhammad. Kita mengaku tidak ada Tuhan yang disembah selain Allah dan mengaku Muhammad itu pesuruh Allah. Bukankah sudah jelas kepada kita yang Muhammad itu memang sebenarnya seorang Nabi dan Rasul? Keterangan itu terdapat dalam kitab kita iaitu Taurat. Dengan itu darah dan nyawa kita akan terpelihara, anak-anak dan isteri kita tidak dirampas daripada kita," sekali lagi Kaab berhenti berucap bagi melihat reaksi kaumnya. Dia semakin yakin cadangan itu diterima apabila didapatinya masih tidak ada bantahan. Seolah semuanya membenarkan.

     Kaab bin Asad menyambung lagi ucapannya. "Pada mulanya saya memang tidak mahu memusnahkan perjanjian kita dengan Muhammad. Saya mahu terus setia dengannya. Tetapi ada orang yang sudah memujuk rayu, menabur janji-janji palsu sehingga akhirnya saya terpedaya. Orang itu yang menyebabkan kita terpaksa menanggung kesusahan ini. Dia inilah orangnya."

     Teriak Kaab menunjuk ke arah Huyay yang duduk di barisan paling hadapan. Huyay terkejut mendengar kata-kata ketua Bani Quraizah itu. Dia segera bangun bagi membela dirinya.

     "Memang benar saya yang memujuk Kaab supaya membatalkan perjanjiannya dengan Muhammad. Itu sebagai tanda simpati Bani Quraizah terhadap nasib Bani Qainuqa' dan Bani Nadhir yang dihalau keluar dari Madinah. Kami datang bagi membebaskan kamu daripada kekuasaan Muhammad supaya kamu dapat memerintah sendiri. Tetapi apakan daya kerana kami ditakdirkan kalah. Walau kalah kami tetap menjaga maruah. Bani Qainuqa' dan Bani Nadhir sanggup dihalau keluar dari Madinah. Sekiranya kamu melutut semula pada Muhammad maka di manakah maruah kamu?" kata Huyay yang sememangnya bijak bercakap itu.

     Orang ramai yang pada mulanya bersetuju dengan cadangan Kaab mahu berdamai semula dengan Nabi Muhammad mula berubah fikiran selepas mendengar kata-kata Huyay.

     "Taurat adalah kitab kita. Kitab nenek moyang kita sejak dahulu. Itu rujukan hukum kita. Apakah kita sanggup menukar kitab Taurat dengan kitab lain? Menukar hukum Taurat dengan hukum lain. Itu mustahil terjadi dan tidak akan terjadi. Saya tidak setuju," bantah Isyak seorang pendeta Yahudi yang paling tua dalam kalangan mereka.

     "Saya juga tidak setuju. Cadangan itu ditolak," sokong Taizik pula.

     Akhirnya semua yang hadir membantah cadangan itu dan menolaknya. Huyay tersenyum sinis sambil menjeling ke arah Kaab. Namun ketua Yahudi Bani Quraizah itu masih tidak putus asa. Dia mengemukakan cadangan kedua.

     "Sekiranya kamu menolak cadangan saya yang pertama tidak mengapa. Saya menerimanya dengan berlapang dada. Sekiranya saya berikan cadangan yang kedua pula. Mari kita bunuh semua anak dan isteri kita. Kemudian kita keluar dari benteng ini kita perangi Muhammad hingga kita semua terkorban. Kita tidak perlu bimbang kerana anak dan isteri kita sudah tidak ada," kata Kaab mengemukakan cadangan keduanya.

     "Itu satu cadangan yang gila. Sekiranya kita dapat mengalahkan Muhammad dan pengikutnya, apa gunanya kita hidup kerana keluarga kita sudah tidak ada. Saya tidka sanggup melakukannya," kata Jecob salah seorang pemimpin Bani Quraizah.

     Orang ramai juga membantah lalu menolak cadangan itu. Sekali lagi Huyay bin Akhtab tersenyum sinis sambil menjeling Kaab. Tetapi ketua Yahudi Bani Quraizah itu masih tidak berputus asa. Dia mengemukakan cadangan yang ketiga.

     "Hari ini adalah hari Jumaat. Malam ini malam Sabtu. Muhammad tentu menyangka kita tidak akan berperang pada hari kita beramal ibadat. Kerana itu mari kita serang Muhammad dan pengikutnya malam ini. Saya yakin kita beroleh kemenangan," kata Kaab mengemukakan usul yang ketiga.

     "Saya menyokong cadangan itu," kata Huyay pula. Kemudian katanya lagi, "Muhammad dan pengikutnya sedang keletihan dan mereka tidur lena di luar sana. Mari kita lakukan serangan mengejut ke atas mereka. Saya yakin kita beroleh kemenangan yang mudah."

     "Hei Huyay, tidakkah kamu tahu hari Sabtu adalah hari kita beramal ibadat. Pantang kita berperang ataupun bekerja pada hari Sabtu. Sekiranya kita melanggarnya kelak akan ditimpa bencana. Nenek moyang kita dahulu disumpah menjadi kera kerana melanggar sumpah itu," marah Isyak.

     Akhirnya cadangan ketiga yang dikemukakan Kaab itu ditolak. Dia berasa sangat kecewa dan marah lalu berkata, "Nampaknya tidak ada seorang pun daripada kamu yang mempunyai keberanian. Kerana itu terserahlah kepada kamu. Saya tidak akan memberi apa-apa cadangan lagi."

     Huyay tersentak apabila mendengar kata-kata Kaab itu. Sekiranya Kaab merajuk dan tidak mahu lagi memimpin Yahudi Bani Quraizah, tiada siapa lagi yang sanggup memimpin mereka. Dia yakin dalam keadaan yang genting itu tidak siapa yang sanggup memikul tugas Kaab.

     "Wahai sahabatku Kaab. Walaupun cadangan kamu ditolak bukan bermakna kami tidak suka kamu menjadi ketua. Hanya kamu yang paling layak memimpin Yahudi Bani Quraizah. Kami menolak kerana mengutamakan kepentingan bangsa Yahudi. Kami tidak mahu cadangan itu merugikan kita. Walaupun cadangan itu ditolak kami tetap hormat kepada kamu sebagai ketua," pujuk Huyay bin Akhtab.

     "Benar kata Huyay. Kami tetap hormat dan setia terhadap tuan. Sila tuan kemukakan cadangan yang seterusnya. Sekiranya baik pasti kami menyokongnya," kata Jecob pula.

     Orang ramai menyokong kata-kata Huyay dan Jecob itu. Baru terubat hati Kaab. Dia mengemukakan cadangan yang keempat, "Daripada kalangan pengikut Muhammad ada beberapa orang daripada suku Aus yang sangat kita kenali. Semasa terjadinya perang antara suku Aus dan Khazraj dahulu kita bersekutu dengan kaum Aus dan banyak membantu mereka. Kerana itu saya yakin mereka masih sanggup menolong kita serta menyelesaikan masalah kita. Saya mencadangkan kita pilih salah seorang daripada mereka bagi mewakili kita berunding dengan Muhammad," kata Kaab mengemukakan cadangannya.

     "Saya sokong," teriak Huyay. Kemudian katanya lagi, "Kamu pilihlah seorang yang paling rapat dengan Muhammad. Yang kata-katanya tidak dapat ditolak oleh Muhammad. Dia pasti membela kamu dan tidak akan membiarkan kamu menderita."

     Selepas berbincang akhirnya mereka menamakan Abu Lubabah sebagai orang tengah bagi menyelesaikan masalah mereka. Dia akan dijadikan orang tengah bagi perundingan antara Bani Quraizah dengan Nabi Muhammad.

     Kaab segera menghantar wakil menemui Nabi Muhammad. Kedatangannya disambut dengan baik. Lalu dinyatakan tujuannya meminta Nabi Muhammad menghantar seorang wakil daripada kaum Aus bagi menemui Bani Quraizah.

     "Kami namakan orang itu Abu Lubabah Al-Ausi Al-Ansari. Hanya yang kami percaya bagi mengadakan perundingan dengan pihak kami," kata utusan Kaab itu.

     Ada antara sahabat yang membantah permintaan itu antaranya Umar Al-Khattab. "Bani Quraizah sudah mengkhianati kita. Tindakannya menyebelahi tentera ahzab yang mahu menghancurkan kita adalah sangat bahaya. Kerana itu tidak ada gunanya lagi perundingan. Bani Quraizah terpaksa menyerah diri tanpa syarat," katanya.

     Nabi Muhammad seorang yang bersikap pemaaf dan lembut hati tetap menunaikan permintaan Bani Quraizah itu. Baginda memaklumkan perkara itu kepada Abu Lubabah dan dia berjanji akan pergi keesokan harinya selepas sembahyang subuh.

     Pada malam itu Abu Lubabah bermimpin berada di satu kawasan yang paling busuk penuh dengan bangkai. Beliau segera keluar dari tempat itu lalu menemui sebuah sungai. Selepas meminum air sungai itu dan selepas membersih diri Abu Lubabah tercium bau yang sangat wangi. Badannya berasa sihat dan segar. Dia terkejut dari tidur lalu menyatakan mimpinya itu kepada Abu Bakar As-Siddiq yang pandai mentafsir mimpi.

     "Kamu akan menempuh satu perkara yang tidak baik. Tetapi akhirnya kamu selamat," beritahu Abu Bakar As-Siddiq.

     Keesokan harinya seperti yang dijanjikan, Abu Lubabah menemui Nabi Muhammad dahulu sebelum pergi ke benteng Bani Quraizah. Abu Lubabah sengaja tidak memberitahu berkenaan mimpinya kepada Nabi Muhammad kerana mengganggap itu tidak penting.

     "Wahai Rasulullah, saya bimbang Bani Quraizah mengkhianati kita sekali lagi. Kerana itu ada baiknya Abu Lubabah pergi bersama beberapa orang pengiring," cadang Umar Al-Kattab.

     Nabi Muhammad yakin Bani Quraizah yang sudah terkepung itu tentu tidak berani berbuat khianat lagi kerana nasib mereka sekarang dalam tangan orang Islam. Kerana itu baginda membenarkan Abu Lubabah pergi seorang diri sahaja.

     Abu Lubaha atau nama sebenarnya Mubsyir bin Abdul Munzir. Beliau termasuk kumpulan orang Ansar yang terawal memeluk Islam. Turut sama dalam Baitul Aqabah yang pertama. Kemudian dilantik menjadi ketua kumpulan bagi kaum Aus. Kerana beliau seorang yang bijak dan buah fikirannya bernas maka digelar 'Abu Lubabah' yang bererti bapa yang mempunyai fikiran yang baik. Abu Lubabah juga turut menyertai Perang Badar dan Perang Uhud. Kerana itu dia antara sahabat Rasulullah yang terkemuka.

     Kedatangan Abu Lubabah ke benteng Bani Quraizah disambut dengan penuh hormat oleh Kaab dan para pembantunya. Mereka juga menyediakan pelbagai makanan dan minuman yang lazat tetapi Abu Lubabah enggan memakannya dengan alasan sedang berpuasa.

     Kemudian Abu Lubabah dibawa melawat tempat tinggal wanita dan kanak-kanak Bani Quraizah di dalam benteng itu. Mereka menangis sambil merayu supaya Abu Lubabah memujuk Nabi Muhammad melepaskan mereka daripada kepungan itu.

     "Demi Tuhan, suruhlah Muhammad dan pengikutnya meninggalkan tempat ini. Jangan apa-apakan kami dan biarkan kami hidup bebas," rayu kaum wanita itu.

     Tersentuh juga hati Abu Lubabah apabila mendengar ratap tangis kaum wanita dan kanak-kanak itu. Tetapi apabila mengenangkan perbuatan suami-suami mereka yang sanggup mengkhianati Nabi Muhammad serta berpaling tadah dengan menyebelahi musuh membuat Abu Lubabah berasa kesal dan marah.

     "Disebabkan tindakan bodoh dan khianat kamu itu menyebabkan kaum wanita dan kanak-kanak ini menjadi mangsa," marah Abu Lubabah sambil melahirkan rasa kesalnya.

     "Apakah baik sekiranya kami menyerah sahaja kepada Muhammad dan menerima apa sahaja hukuman daripadanya?" tanya Kaab bin Asad.

     "Ya," jawab Abu Lubabah sambil tangan kanannya diarahkan ke lehernya yang membawa maksud disembelih.

     "Sekiranya begitu kami tidak akan menyerah!" tempik Kaab.

     Abu Lubabah berasa sangat menyesal kerana memberi jawapan sedemikian rupa seolah dia mendahului Rasulullah dalam menjatuhkan hukuman ke atas Bani Quraizah. Sedangkan tugasnya datang cuma berbincang dengan Kaab, ketua Bani Quraizah. Bukan menjatuhkan hukuman.

     Kerana berasa kesal yang teramat sangat maka Abu Lubabah mengambil keputusan keluar dari benteng itu dan terus berjalan seorang diri memuju ke Madinah. Apabila sampai di rumah, dia mengambil rantai besi lalu berpesan kepada isterinya.

     "Saya sudah melakukan kesalahan yang paling berat terhadap Nabi Muhammad. Sebagai hukumannya saya akan mengikat diri saya dengan rantai ini pada tiang masjid nabi. Jangan tinggalkan ikatan pada tubuh saya kecuali bagi ke bilik air, makan dan minum serta bersembahyang," pesan Abu Lubabah.

     Kemudian dia pergi ke masjid nabi lalu mengikatkan badannya dengan rantai pada tiang masjid itu. Apabila orang bertanya dia mengataka, apabila Allah memberikan keampunan barulah dia membebaskan dirinya daripada rantai itu.

     Di medan perang pula orang Bani Quraizah sudah menunjukkan tanda penentangan apabila mereka melepaskan anak panah dan balingan tombak ke arah pasukan Muslimin. Rasulullah menyuruh tentera Islam terus mengepung perkampungan Bani Quraizah sehingga berlangsung selama 25 hari tanpa ada jalan penyelesaian.

     Pada suatu hari Ali bin Abi Talib dengan ditemani Zubir Al-Awwam membuat tinjauan di kawasan benteng itu. Selepas memeriksanya dengan teliti mereka menjumpai ada sebuah pintu rahsia di bahagian belakang benteng itu. Pintu rahsia itu digunakan bagi menyelamatkan diri apabila keadaan terpaksa. Selepas agak lama menunggu tiba-tiba keluar seorang lelaki dari pintu itu lalu ditangkap oleh Ali dan Zubir. Kemudian Ali bin Abi Talib berteriak dengan suara yang kuat, "Sekiranya kamu tidak menyerah kalah aku binasakan kuda-kuda kamu. Kemudian aku akan pecahkan pintu kota kamu. Selepas itu aku akan menyerbu masuk bagi memerangi kamu!"

     Teriakan Ali bin Abi Talib itu cukup kuat sehingga suaranya bergema ke dalam benteng Bani Quraizah. Serentak dengan itu juga berlaku gegaran seperti berlakunya gempa bumi.

     "Suara siapakah itu?" tanya Kaab bin Asad dengan rasa cemas.

     "Dia adalah Ali bin Abi Talib yang membunuh Amru Abdu Wudd. Dia mempunyai kekuatan yang luar biasa. Dia seorang mampu mengalahkan kita semua," jawab Huyay yang turut berasa takut apabila mendengar suara Ali bin Abi Talib.

     Maka timbul rasa takut dalam hati Kaab. Dia pun berbincang dengan Huyay bagi menyerah kalah. Tambahan pula mereka sudah kehabisan bekalan makanan akibat dikepung oleh orang Islam.

     "Kami Bani Nadhir juga pernah melanggar perjanjian damai dengan Muhammad. Hukuman yang dijatuhkan kepada kami cuma dihalau keluar dari Madinah. Kerana itu saya setuju kita menyerah kalah," pujuk Huyay.

     "Saya tidak mahu orang saya dihalau keluar dari Madinah. Kerana itu saya fikirkan cara yang lebih selamat," kata Kaab pula.

     "Apa rancangan kamu?" tanya Huyay pula.

     "Sesungguhnya orang Yahudi sahaja yang dapat menyelamatkan orang Yahudi," jawab Kaab.

     Kemudian Kaab pun menghantar utusan kepada Nabi Muhammad bagi merunding penyerahan diri mereka. Menurut utusan itu, orang Bani Quraizah sanggup menyerah kalah dengan syarat Saad bin Muaz yang menjatuhkan hukuman terhadap mereka. Nabi Muhammad bersetuju dengan permintaan itu.

     Selepas orang Bani Quraizah menyerah maka datanglah orang Yahudi daripada Bani Aus dan Khazraj berjumpa Nabi Muhammad.

     "Wahai Muhammad, mereka adalah sahabat dan saudara kami. Kerana itu maafkanlah kesalahan mereka," rayu orang Aus dan Khazraj.

     "Adakah kamu setuju sekiranya orang yang memutuskan hukuman itu dilantik dari kalangan kamu?" tanya Nabi Muhammad.

     "Kami setuju," jawab mereka.

     "Saya serahkan kepada Saad bin Muaz bagi menentukan apakah hukuman yang patut dikenakan kepada mereka," kata Nabi Muhammad.

     Orang Aus dan Khazraj berasa senang hati kerana yakin Saad akan membebaskan orang Yahudi Bani Quraizah. Kaab dan Huyay juga nampak senang hati kerana yakin Saad akan memaafkan kesalahan mereka.

     Sebelum menjatuhkan hukuman maka Saad bin Muaz membaca kandungan kita Taurat yang menjadi panduan kaum Bani Israil.

     "Jika kamu telah dekat dengan suatu kota yang hendak kamu serang ajaklah mereka untuk berdamai. Jika mereka tidak mahu berdamai maka kepunglah kota itu. Tuhan memberi kemenangan kepada kamu maka bunuhlah semua kaum lelakinya dengan pedang. Kaum wanita anak kecil dan anak ternakan jadikan sebagai rampasan perang..." (kitab Taurat)

     Selepas membaca kandungan kita Taurat itu maka Saad bin Muaz pun berkata. "Dengan ini saya menjatuhkan hukuman ke atas mereka, semua kaum lelaki dibunuh, harta mereka dirampas dan anak isteri mereka dijadikan tawanan."

     Selepas Saad menjatuhkan hukuman itu maka Nabi Muhammad menyuruh digali parit yang panjang. Kemudian orang lelaki Bani Quraizah dibawa ke tepi parit dengan tangan terikat. Saidina Ali, Az-Zubir bin Awwam dan Aslam diberi tugas melaksanakan hukuman pancung.

     Orang yang pertama menjalani hukuman pancung itu adalah Huyay bin Akhtab. Dia yang bertanggungjawab mencetuskan Perang Khandaq. Kesalahannya memang tidak dapat dimaafkan. Namun Nabi Muhammad yang mempunyai rasa kasih sayang dan belas kasihan masih mahu Huyay insaf di atas kesalahannya.

     "Bukankah Allah sudah menghina engkau wahai Huyay?" tanya Nabi Muhammad.

     Dengan lagak yang amat sombong Huyay pun menjawab. "Hei! Muhammad aku tidak takut mati kerana semua orang akan mati apabila sampai masanya. Dan aku tidak menyesal kerana memusuhi engkau."

     Kemudian Huyay berpaling kepada kawan-kawannya lalu berkata, "Wahai saudara-saudaraku semua. Tidak mengapa kita dihukum begini kerana semuanya sudah ditakdirkan tuhan kepada kita kaum Bani Israil."
   
     Mendengar kata-kata Huyay itu maka bersoraklah orang Bani Quraizah kerana mereka tidak berasa takut lagi dihukum pancung. Bagi menunjukkan keberaniannya, Huyay melutut di tepi parit sambil menghulurkan lehernya bagi dipancung. Melihat kedegilan Huyay itu maka hukuman pancung pun dijalankan.

     Proses hukuman pancung berjalan lancar kerana orang Bani Quraizah sudah bersedia menerima hukuman itu. Padahal sebelum dipancung mereka disuruh mengucap syahadah. Sekiranya mereka mengucapkan kalimah itu dengan mengaku tidak ada Tuhan disembah selain Allah dan mengaku Muhammad itu pesuruh Allah maka mereka dimaafkan. Tetapi apabila disuruh mengucap mereka enggan mengucapkannya.

     "Wahai sahabatku sekarang sampai pula giliran aku menerima hukuman ini. Aku akan pergi meninggalkan isteri dan anak-anakku termasuk juga engkau sahabatku," kata Zubair bin Batha.

     Dia seorang lelaki yang sudah berumur. Semasa dibawa ke tempat pemancungan dia terpandang Thabit bin Qais lalu diucapkannya kata-kata itu. Kebetulan pula kedua-duanya bersahabat baik sejak Thabit belum menganut Islam.

     "Wahai sahabatku, mahukah engkau jika aku mohon supaya Nabi Muhammad memaafkan kamu serta melepaskan daripada hukuman ini?" tanya Thabit pula kerana dia berasa kasihan kepada sahabat baiknya itu.

     "Tolonglah aku," jawab Zubair.

     Thabit meminta Ali bin Abi Talib menangguhkan dulu hukuman ke atas Zubair, lalu menghadap Nabi Muhammad. Dia merayu kepada baginda supaya membebaskan Zubair kerana dia sudah tua. Nabi Muhammad memperkenankan permintaan itu. Dengan rasa yang sangat gembira Thabit menemui Zubair.
     
     "Wahai sahabatku, Rasulullah yang berhati mulia telah membebaskan kamu daripada hukuman ini," beritahu Thabit.

     Dengan muka yang sedih Zubair pun berkata, "Saya sudah tua. Sekiranya saya dibebaskan, apalah guna hidupku ini jika anak dan isteriku tidak dapat hidup bersama aku."

     Thabit menemui Rasulullah sekali lagi memohon supaya anak dan isteri Zubair dipulangkan semula kepadanya dan tidak dijadikan tawanan. Nabi Muhammad bersetuju dengan permintaan itu.

     "Wahai sahabatku Zubair. Bergembiralah kamu kerana Nabi Muhammad yang berhati mulia bersetuju supaya isteri dan anak kamu dibebaskan dan dipulangkan semula kepada kamu," kata Thabit dengan rasa gembira.

     "Bagaimana saya dan keluarga mahu hidup sekiranya semua harta kami sudah dirampas. Daripada hidup sengsara lebih baik saya mati sahaja," kata Zubair pula.

     Kerana berasa kasihan maka sekali lagi Thabit menghadap Nabi Muhammad memohon supaya harta Zubair juga dikembalikan kepadanya. Rasulullah bersetuju dengan permintaan itu. Dengan rasa gembira Thabit memberitahu perkara itu kepada Zubair.

     "Wahai sahabatku Zubair, bergembiralah kamu kerana Nabi Muhammad yang berhati mulia bersetuju membebaskan kamu daripada hukuman ini. Menyerahkan semula isteri dan anak kamu serta mengembalikan semula semua harta kamu," beritahu Thabit.

     Tetapi Zubair kelihatan masih belum berpuas hati. Tidak ada terpalit rasa gembira pada wajahnya.

     "Apakah lagi yang engkau mahukan, wahai sahabatku?" tanya Thabit.

     "Di mana Kaab bin Asad? Di mana Huyay bin Akhtab? Di mana Azzal bin Syammil?" tanya Zubair.

     "Semuanya sudah menerima hukuman di atas kedegilan mereka," jawab Thabit.

     "Wahai Thabit, mereka adalah ketua dan sahabat baik saya. Apa gunanya saya hidup tanpa mereka? Kerana itu hukumlah saya kerana tidak sabar lagi bertemu mereka di alam sana," kata Zubair lalu meminta hukuman kepadanya dilakukan segera.

     Kemudian tiba pula giliran Natabah bin Hakam dibawa ke tempat hukuman. Wanita muda itu kelihatan tertawa sahaja. Ini menimbulkan rasa hairan Aisyah yang turut berada di situ.

     "Mengapa kamu ketawa? Sedangkan kamu akan dihukum," tanya Aisyah.

     "Saya gembira kerana dapat menemui suamiku di alam sana. Saya juga gembira dapat menemui Khallad bin Suwaid," jawab Natabah.

     Antara Yahudi Bani Quraizah hanya Natabah seorang wanita yang dijatuhi hukuman kerana perbuatannya membunuh seorang sahabat Nabi Muhammad bernama Khallad bin Suwaid. Dia mengetuk kepala Khallad dengan batu penggiling. Akibat perbuatannya itu dia dijatuhkan hukuman mati. Natabah menerimanya sambil tertawa.

     Kemudian tiba pula giliran empat orang sahabat baik dibawa ke tempat hukuman. Mereka adalah Tha'labah bin Sajah, Usaid bin Sajah, Asad bin Ubaid, dan Amru bin Suda.

     "Sebelum dijatuhkan hukuman, benarkan kami berempat berbincang dahulu," rayu Tha'labah. Ali bin Abi Talib, Zubair bin Awwam dan Aslam membenarkan permintaan itu.

     Selepas mereka berbincang maka Tha'labah bertanya kepada Ali bin Abi Talib.

     "Wahai Ali, sekiranya kami memohon maaf dan memeluk agama Islam apakah kami dibebaskan daripada hukuman ini?" tanya Tha'labah.

     "Ya kamu akan dibebaskan," jawab Ali.

     "Apakah isteri dan anak-anak kami dikembalikan?" tanya Usaid pula.

     "Ya, isteri dan anak kamu dikembalikan," jawab Az-Zubair bin Awwam pula.

     "Apakah harta kami juga akan dikembalikan?" tanya Amru bin Suda pula.

     "Ya, harta kamu akan dikembalikan," jawab Aslam.

     Maka keempat lelaki itu pun mengucapkan kalimah syahadat, mengaku tidak ada Tuhan yang disembah selain Allah dan mengaku Nabi Muhammad itu Rasulullah. Mereka dibebaskan daripada hukuman bunuh, anak dan isteri mereka diserahkan semula, begitu juga dengan harta mereka.

     Pasukan Muslimin juga mendapat harta rampasan perang seperti berikut:

     1. Tanah dan kebun kurma

     2. Alat-alat pertanian

     3. Rumah berserta perabotnya

     4. Pedang seribu lima ratus bilah

     5. Baju besi tiga ratus

     6. Lembing atau tombak seribu

     7. Perisai lima ratus

     8. Berpuluh tong arak semuanya ditumpahkan

     9. Tiga ratus wanita dan kanak-kanak.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment