Saturday 24 February 2018

PERANG KHAIBAR [ BAB 11 - JATUHNYA BENTENG SA'AB DAN AL-QULLAH ]






JATUHNYA BENTENG SA'AB DAN AL-QULLAH








Kejatuhan benteng Nai'im memberi tamparan yang sangat hebat kepada Yahudi Khaibar. Malah ada yang patah semangat kerana benteng itu sangat penting kepada mereka. Tambahan pula di situ tersimpan banyak makanan dan senjata. Mereka bimbang senjata itu akan digunakan tentera Islam. Kinanah berusaha memulihkan semangat mereka dengan berjanji akan merampas semula benteng itu.

     Di pihak tentera Islam pula, kejatuhan benteng Nai'im menjadi kejayaan yang paling bermakna sekali gus menaikkan semangat mereka bagi meneruskan perjuangan bagi menakluk benteng-benteng yang lain pula. Azmer pengintip Yahudi yang sudah berpaling tadah memberikan kerjasama dengan menunjukkan di mana tempat menyimpan senjata berat Yahudi Khaibar. Dia juga mengajar cara-cara menggunakan senjata itu.

     Kinanah berasa sangat marah apabila mendapat tahu Azmer pengintip yang paling dipercayainya sudah berpaling tadah. Dia menawarkan hadiah kepada sesiapa yang dapat membunuh Azmer.

     "Azmer banyak mengetahui kekuatan dan kelemahan kita. Saya yakin dia akan menunjukkan di mana senjata pemusnah itu disimpan. Dia sudah pun mengajar tentera Islam cara menggunakannya. Kerana itu aku mahu dia dibunuh serta-merta supaya menjadi pengajaran kepada yang lain," kata Kinanah dalam satu mesyuarat bersama para pembantunya.

     "Kita hantar pengintip rahsia yang paling setia bagi menyusup ke dalam pasukan Islam kemudian membunuh Azmer," cadang Ubaid, pembantu KInanah.

     "Bawalah kepada saya seorang yang paling layak melakukan tugas ini. Saya mahu segera," kata Kinanah.

     Ubaid membawa seorang lelaki yang paling dipercayainya, bernama Qamil. Selepas bertanyakan latar belakang lelaki itu, Kinanah pun berkata, "Saya mahu kamu menyamar sebagai tentera Islam kemudian menyusup ke dalam benteng Nai'im. Cari Azmer dan bunuhlah dia. Selepas itu sekiranya berpeluang bunuh Muhammad."

     Qamil menyanggupi tugas yang diberikan itu selepas dijanjikan pelbagai hadiah. Dia menukar pakaian seperti pahlawan Islam lalu berjaya menyusup masuk ke dalam benteng Nai'im. Namun pergerakannya berjaya dikesan Umar Al-Khattab yang sentiasa berwaspada. Qamil ditangkap lalu dibawa menghadap Nabi Muhammad.

     Seperti Azmer, Qamil juga terpegun apabila melihat wajah Nabi Muhammad. Lantas membuat pengakuan dia adalah pengintip yang dihantar Kinanah bagi membunuh Azmer. Qamil dibebaskan lalu kembali menemui Kinanah dengan mengatakan dia sudah berjaya membunuh Azmer. Kinanah berasa sangat gembira lalu memberi hadiah kepada Qamil.

     "Wahai Rasulullah, tidak jauh dari benteng Nai'im ini ada dua benteng lagi yang perlu kita takluk. Satu bernama Sa'ab dan satu lagi Al-Qullah. Izinkan kami ke sana," kata Al-Hubbab bin Al-Munzir seorang pahlawan Ansar yang pakar dalam strategi peperangan.

     Semasa Perang Badar beliau yang memilih satu tempat yang paling baik bagi dijadikan penempatan tentera Islam. Rasulullah SAW bersetuju dengan cadangan itu lalu menyerahkan bendera perang kepada Al-Hubbab. Dia menerima tugas itu lalu memimpin tentera Islam bagi menakluk benteng Sa'ab.

     Menurut Qamil pengintip Yahudi yang berpaling tadah, Kinanah bersama lima ratus orang tenteranya berada di benteng itu. Rupa-rupanya dalam benteng Sa'ab juga terdapat lebih banyak makanan termasuk tepung gandum, kurma, minyak sapi, biji-bijian, manisan lebah, gula, unta, kambing dan barang-barang perhiasan rumah. Kerana itu Kinanah memilih berada di situ selepas benteng Nai'im jatuh.

     "Mengapa lambat bertindak? Sepatutnya kita sudah merebut semula benteng Nai'im. Apakah kamu hendak membiarkan Muhammad dan pengikutnya merampas benteng Sa'ab dan Al-Qullah?" desak Maarif ketua Bani Qimmah.

     Bani Qimmah terkenal sebagai bangsa Yahudi yang paling rajin dalam bidang pertanian. Sebelum berlaku peperangan, mereka menyimpan banyak makanan dalam benteng Nai'im dan Sa'ab. Kerana itu mereka mendesak Kinanah supaya merebut semula benteng Nai'im bagi menyimpan hasil pertanian mereka yang disimpan di situ. Paling dia bimbang sekiranya benteng Sa'ab turut jatuh ke tangan tentera Islam.

     "Saya berpendapat lebih baik kita pertahankan benteng Sa'ab dan Al-Qullah. Mustahil kita dapat merebut semula benteng Nai'im dengan jumlah tentera yang cuma seramai lima ratus orang. Sedangkan Muhammad dan pengikutnya tiga kali ganda ramainya dari kita," kata Kinanah menolak desakan Maarif.

     "Mengapa kita tidak minta bantuan daripada mereka yang berada di benteng-benteng lain? Sepatutnya kita bersatu memerangi Muhammad dan pengikutnya," marah Maarif.

     "Mereka mempertahankan benteng masing-masing. Mereka tidak akan meninggalkan benteng mereka," jawab Kinanah.

     "Sekiranya begitu saya yakin semua benteng di dalam Kota Khaibar ini akan jatuh ke tangan Muhammad," kata Maarif dengan rasa kecewa.

     Perbualan mereka terhenti apabila didatangi pembantu Kinanah yang mengatakan tentera Islam sudah mengepung benteng Sa'ab. Kinanah mencari helah bagi memenangi peperangan itu. Dia berbincang dengan para pembantunya lalu menghantar seorang utusan menemui Al-Hubbab.

     "Mari kita adakan perang tanding satu lawan satu. Sekiranya kami yang menang hendaklah kamu berundur dari benteng Sa'ab. Tetapi sekiranya kamu yang menang maka kami yang akan keluar dari benteng Sa'ab," beritahu utusan Kinanah itu.

     Al-Hubbab bersetuju dengan permintaan itu. Maka keluar dari benteng Sa'ab seorang pahlawan bernama Moser. Badannya tegap dan kelihatan begitu kuat dan bertenaga lalu mencabar tentera Islam. Al-Hubbab sendiri yang keluar bagi menentang Moser.

     "Bukankah kamu ketua tentera Islam? Mengapa kamu yang datang?" tanya Moser dengan rasa hairan.

     "Benar saya ketua tentera Islam yang diperintahkan Nabi Muhammad merampas benteng Sa'ab. Sekiranya saya syahid maka terbatallah perjanjian saya dengan Kinanah," jawab Al-Hubbab.

     "Engkau menipu kami," marah Moser lalu menyerang Al-Hubbab dengan tujuan mahu membunuhnya.

     Maka berlaku pertarungan antara kedua-dua pahlawan itu dan akhirnya Al-Hubbab dapat menewaskan lawannya. Selepas melihat Moser tewas, tampil seorang lagi pahlawan Yahudi bernama Dayal. Daripada pihak tentera Islam pula tampil ke hadapan Ammarah bin Uqbah Al-Ghifari mencabar Dayal. Kedua-duanya berlawan dan akhirnya pahlawan Yahudi itu berjaya ditewaskan oleh Ammarah.

     "Hei Kinanah! Jangan mungkir janji. Serahkan benteng Sa'ab kepada kami," teriak Al-Hubbab kerana Kinanah berjanji akan menyerahkan benteng Sa'ab apabila kalah berperang tanding.

     Kinanah tidak menjawab, sebaliknya dia bersiap sedia memimpin pasukan tenteranya bagi melancarkan serangan dengan cara tipu muslihat. Dia mengatur rancangan dengan begitu licik sekali.

     Tiba-tiba kelihatan bendera putih dikibarkan dari benteng Sa'ab seolah-olah mereka mahu menyerah kalah. Kemudian pintu benteng Sa'ab dibuka lalu keluar tentera Khaibar yang mempertahankan benteng itu. Al-Hubbab menyangka mereka keluar kerana mahu menyerahkan benteng itu dengan baik. Ini menyebabkan tentera Islam tidak mengambil kedudukan bagi berperang.

     Tiba-tiba apabila sudah dekat, Kinanah memerintahkan pasukan tenteranya menyerang. Keadaan tiba-tiba menjadi kelam kabut. Tentera Islam diasak sehingga terpaksa berundur. Namun Al-Hubbab seorang tidak mahu berundur. Dengan seorang diri dia bertempur bermati-matian.

     Melihat keadaan itu Nabi Muhammad berseru supaya tentera Islam kembali ke medan tempur dan jangan berundur. Mendengar perintah Nabi Muhammad itu mereka kembali bersemangat lalu menyerah semula tentera Yahudi Khaibar. Akhirnya mereka berjaya mengalahkan musuh dan benteng Sa'ab jatuh ke tangan tentera Islam. Di dalam benteng Sa'ab itu terdapat banyak makanan. Cukup dijadikan bekalan makanan sebulan lamanya.

     Kinanah dan pasukan tenteranya bertempiaran lari lalu berlindung dalam benteng yang ketiga bernama Al-Qullah. Di situ hanya terdapat tempat simpanan air.

     Seperti benteng Nai'im, pintu benteng Al-Qullah tertutup rapat. Tentera Yahudi di dalamnya tidak mahu keluar bagi berperang tanding kerana tidak ada lagi pahlawan mereka yang berani menentang pahlawan Islam. Mereka bertahan dari dalam benteng.

     Nabi Muhammad dan pasukan tenteranya cuma mampu mengepung benteng itu tetapi tidak mampu memasukinya. Namun pada hari yang ketiga, ketika Sayidina Ali ditugaskan memeriksa keliling benteng itu bagi mencari titik kelemahannya, dia terserempak dengan Qamil yang pernah ditangkap tentera Islam lalu memberikan kerjasama. Dia turut berlindung di dalam benteng Al-Qullah. Qamil dibawa bertemu dengan Nabi Muhammad.

     "Wahai Muhammad, kamu tidak dapat menakluk benteng ini walau mengepungnya selama sebulan," kata Qamil.

     "Tentu ada cara lain bagi memaksa mereka menyerah diri," kata Ali bin Abi Talib.

     "Saya sanggup beritahu caranya dengan syarat benarkan saya tinggal bersama kamu. Saya tidak mahu lagi kembali kepada kaumku," kata Qamil. Nabi Muhammad bersetuju dengan permintaan itu.

     "Ada sebuah saliran air yang masuk ke benteng Al-Qullah. Air itu digunakan bagi menampung keperluan Kota Khaibar. Sekiranya saluran air itu diputuskan maka penghuni dalam benteng itu akan kehausan akibat tidak ada air. Mereka akan menyerah kalah," beritahu Qamil.

     Selepas saluran air itu diputuskan maka tentera yang menjaga benteng Al-Qullah tidak mendapat bekalan air. Mereka terpaksa menyerah diri. Akhirnya tiga benteng itu dapat dikuasai tentera Islam. Namun Kinanah dan pasukan tenteranya sempat lagi melarikan diri lalu berlindung dalam benteng yang lain pula.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment